Isnin, 2 Februari 2009

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 6

ORANG MUNAFIQ MENIPU

Dalam kehidupan manusia, Islam menggariskan ada golongan manusia, iaitu (a) beriman; (b) kafir; dan (c) munafiq.

Dalam surah Al-Baqarah, dari ayat 1 hingga ayat 5, Allah menggariskan cirri-ciri orang beriman. Ayat 6 dan ayat 7, Allah menggaris satu bentuk orang kafir; kafir yang degil dengan hidayah. Adapun berkenaan dengan orang munafiq, Allah menggariskan dari ayat 8 hingga ayat 20.

Persoalannya, mengapa Allah menggariskan ciri-ciri orang munafiq ini dengan sebegitu banyak sekali, berbanding orang beriman dan orang kafir???

Bagi menjawab persoalan ini, Imam Mujahid menyatakan bahawa, dari sinilah menjadi bukti bahawa besarnya dosa munafiq berbanding dosa menjadi kafir.

Begitujuga, menunjukkan bahaya yang wujud pada munafiq ini lebih memberi mudharat berbanding bahaya yang wujud pada kafir.

Ini diumpamakan, orang munafiq seperti pijat yang duduk dalam kain selimut; orang kafir seperti nyamuk yang berada di luar kain selimut.

Mahu menyelamatkan diri dari nyamuk ketika tidur, hanya perlu menyelubungkan tubuh badan dengan selimut, tetapi kalau mahu menyelamatkan diri dari pijat, selimut tersebut wajar di buang.

Justeru itu, dalam ayat 8 dari surah Al-Baqarah, Allah bercerita kepada kita cirri-ciri orang munafiq ini, agar kita ambil jalan berhati-hati dalam menjalani kehidupan beragama.

Firman Allah;

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
“Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian," pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman”

(Surah Al-Baqarah : 8)

Menurut Imam Ibni Abbas, ayat ini diturunkan rentetan kejadian yang menimpa kepada sebilangan sahabat nabi SAW yang dikunjungi oleh beberapa orang tokoh munafiq dari kalangan musyrikin dan munafiq Ahli kitab, seperti Abdullah bin Ibai bin Salul, Ma’tab bin Qusyair dan wajdi bin Qais. Mereka menunjukkan kesetiaan mereka kepada Islam diharapan para sahabat.

Selepas dari mereka berpaling, Allah menurunkan ayat ini kepada Nabi SAW; memberi peringatan bahawa kehadiran mereka yang menggambarkan keimanan itu bukanlah sebenar-benarnya mereka beriman, tetapi sekadar berlakon dihadapan orang beriman sahaja.

*****
Imam Ibni Kathir mendefinisikan nifaq (tatabahasa arab : masdar) sebagai;

إظهار الخير وإسرار الشر

Maksudnya;
“Menzahirkan kebaikan, menyembunyikan kejahatan”

Adapun Imam Ibnu Juraij pula mendefinisikan nifaq sebagai;

المنافق يخالف قَوْلُه فِعْلَهُ، وسِرّه علانيته، ومدخله مخرجه، ومشهده مَغِيبه

Maksudnya;
“Munafiq adalah orang yang menyalahi perkataannya dari perbuatannya; rahsianya daripada yang nyatanya; dalamannya daripada luarannya; yang nampak tengok dengan yang tersembunyi”

Imam Ibni Kathir juga menyatakan, munafiq itu terbahagi kepada dua, iaitu ; (a) munafiq dari sudut aqidah; (b) munafiq dari sudut amalan.

Orang munafiq dari sudut aqidah ini, tidak boleh dikategorikan sebagai masih beriman, bahkan mereka adalah kufur; kekal dalam neraka sampai bila-bila.

Adapun orang munafiq dari sudut amalan (sebutan lain : mukmin yang melakukan maksiat), adalah orang yang diertikan sebagai orang yang mengekali dosa besar. Mereka akan dimasukkan kedalam neraka, dibakar kadar dosa mereka sahaja. Selepas dari itu, mereka akan dimasukkan juga ke dalam syurga Allah SWT.

Inilah bentuk munafiq yang disebut oleh Nabi SAW;

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Maksudnya;
“tanda orang munafiq itu ada tiga; apabila bercakap, dia menipu; apabila dia berjanji, ia menyalahinya; apabila dia diberi amanah, dia khianat
[1]

Penyakit munafiq itu sebenarnya berpunca daripada hati. Ini kerana, hati manusia itu terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu seperti berikut; (a) orang yang beriktiqad dengan sesuatu dalam keadaan tepat dengan dalil. Orang ini disebut sebagai orang yang berilmu; (b) orang yang beriktiqad dalam sesuatu dalam keadaan tidak tepat dengan dalil, bahkan sekadar mengikut orang lain sahaja. Orang ini disebut sebagai orang yang taqlid; (c) orang yang beriktiqad tidak tepat dengan dalil. Orang ini adalah orang yang jahil; (d) orang yang tidak mempunyai iktiqad langsung.

Orang munafiq adalah golongan manusia yang mempunyai iktiqad, tetapi dalam masa yang sama, iktiqad mereka tidak bersesuaian dengan kehendak dalil yang sebenar. Bahkan, jika wujud pun, mereka berdegil untuk tidak mahu menerima dalil yang sebenar itu.

Adapun jika ada manusia yang dipaksa menyebut kalimah kufur, lalu ia menyebutnya, tetapi hati mereka masih tetap dengan iman. Orang sebegini adalah orang yang masih beriman dengan Allah.

Firman Allah;

إِلاَّ مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بالإيمان

Maksudnya;
”Melainkan mereka yang dipaksa, padahal hati mereka masih tenang dengan iman”.

(surah An-Nahl : 106)

Pada zaman Nabi SAW, orang munafiq ini datang dari dua jenis manusia, iaitu (a) orang kafir musyrikin; (b) ahli kitab.

Musyirikin menjadi nifaq adalah dengan mereka masuk islam, tapi sebenarnya mereka tidak menerima Islam sebagai aqidah, malahan mereka bertindak sedemikian dengan tujuan untuk mencari keuntungan dunia yang sedikit. Mereka tidak mempercayai Allah, juga tidak mempercayai kenabian Nabi Muhammad SAW.

Adapun munafiq dari kalangan ahli kitab, mereka asalnya mempercayai Allah, tetapi kepercayaan mereka terhadap Allah itu telah diselewengkan dengan mengatakan bahawa Allah itu berjisim seperti manusia. Ekoran itulah mereka mendakwa Allah mempunyai anak, seperti yahudi mendakwa Uzair sebagai anak Allah; nasrani mendawak Isa sebagai anak Allah.

Firman Allah;

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ

Maksudnya;
”Berkata Yahudi, Uzair anak Allah. Berkata Nasrani, Al-Masih (isa) adalah anak Allah”

(Surah At-Taubah : 30)

Ahli kitab pada zaman Nabi Saw pun ada yang meninggalkan agama mereka, pun begitu, tindakan mereka pada masa itu bukan untuk sebenarnya mereka mahukan islam dengan sebenar, tetapi mahu merosakan Islam dari dalam.

Keadaan ini berlaku, ekoran Nabi SAW mendapat tempat disisi Orang madinah, iaitu dikala Islam sudah mempunyai negara; mempunyai pemerintahan.

Sesungguhnya di Makkah, istilah munafiq ini tidak wujud sama sekali. Ini kerana, di marhalah Makkiyyah, umat Islam tidak mendapat sebarang kesenangan. Keadaan ini berbeza selepas Nabi SAW berada di Madinah; baginda di lantik menjadi perdana Menteri; sudah pasti banyak kemudahan yang didapati oleh orang islam.

Justeru itulah, lahirnya orang munafiq di Madinah. Sedangkan di Madinah, rakyatnya tidak terbatas dikalangan orang arab sahaja, bahkan di Madinah sudah wujud masyarakat Majmuk, terdiri dari kalangan arab, malahan yahudi dan nasrani pun wujud di sana.

******

Dalam ayat 8, surah Al-Baqarah ini, Allah menyebut ”sebilangan Manusia”.

Setiap penggunaan kalimah, mesti mempunyai sebab. Oleh itu, apa sebab Allah menggunakan kalimah ”Manusia” dalam ayat ini???

Manusia dalam sebutan arabnya adalah ”Al-Insan” atau ”An-Nas”. Ianya berasal dari kalimah ”Na Si Ya” yang bermaksud ’lupa”.

Oleh itu, manusia itu boleh jadi munafiq atau kafir, semuanya berpunca dari lupa. Lupa kepada maha pencipta. Lupa kepada pembimbing manusia. Apabila mereka lupa, ekoran itulah mereka menjadi degil, lantaran jadi munafiq.

**************

Dalam ayat ini juga, Allah menyebut ”mereka berkata (baca : mendakwa) kami beriman dengan Allah dan hari Akhirat”.

Persoalannya, mengapa difokuskan kepada dua perkara; beriman dengan Allah dan hari akhirat???

Jawapannya adalah;

Kedua-dua ini merupakan asas bagi keimanan. Apabila manusia itu beriman dengan Allah dan hari akhirat, pasti yang lainnya mereka akan beriman juga.

Hari Akhirat bermaksud, waktu yang wujud selepas alam dunia. Ianya adalah waktu yang berkekalan sehingga tidak ada waktu penghujungnya, melainkan dengan kehendak Allah SWT.

*******

Antara munafiq dan kafir, manakah yang paling kotor disisi Allah???

Ada ulama menyatakan, orang kafir adalah lebih kotor berbanding orang munafiq. Ini kerana, orang jahil dari sudut hati mereka, tetapi lidah mereka adalah benar, dan orang munafiq pula adalah orang yang benar pada lidahnya, dusta pada hatinya.

Pendapat ini tidak tepat, dijawab oleh Imam Fakhru razi dengan katanya, orang munafiq lagi kotor daripada orang kafir, ini kerana, orang munafiq ini dusta pada hatinya dan lidahnya, sedangkan orang kafir ini benar pada lidahnya, dusta pada hatinya.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Febuari 2009 * 4:00 petang.





[1] Sahih Al-Bukhari : 32.

Tiada ulasan: