Isnin, 7 September 2009

APAKAH SUAMI ADA KUASA MUTLAK?

APAKAH SUAMI ADA KUASA MUTLAK?

Apabila seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, maka perempuan tersebut sudah berada dibawah tanggungannya. Perempuan yang merupakan isterinya itu pula, hendaklah meletakkan ketaatan terhadap suaminya melebih dari ibu dan bapanya.

Dalam hadis, Aisyah R.Ha bertanya Nabi SAW dengan katanya;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقاعلى الرجل قال أمه

Maksudnya;
”siapakah manusia yang paling besar hak yang wajib ditunaikan oleh perempuan?”

”suaminya”
jawab Nabi

Aisyah bertanya lagi, ”siapa pula manusia yang paling besar hak yang wajib ditunaikan oleh lelaki”

”ibunya”
Nabi SAW memberikan jawapan
[1].

Dalam hadis ini, kita dapat melihat bahawa Nabi SAW meletakkan asas bahawa seseorang isteri, ketaatan yang hendak diberikan perlu didahulukan suaminya berbanding keluarganya.

Pun begitu, bukanlah keadaan ini membenarkan seseorang suami itu mempunyai kuasa mutlak terhadap isterinya, sehingga menyebabkan dia boleh lakukan apa sahaja terhadap isterinya.

Sesungguhnya ketaatan terhadap makhluk tidak mutlak sepertimana ketaatan terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Sabda Nabi SAW;

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلَا سَمْعَ عَلَيْهِ وَلَا طَاعَةَ

Maksudnya;
”Dengar dan taat merupakan kewajipan seseorang muslim pada perkara, sama ada dia suka atau dia benci. Itupun, selama tidak disuruh melakukan maksiat. Sekiranya disuruh melakukan maksiat, maka tidak ada dengar dan taat lagi
[2]

Justeru, ketaatan seseorang isteri terhadap suaminya masih lagi terbatas. Sekiranya suruhan itu berbentuk maksiat, maka ketaatan terhadap suami itu terbatal.

PUTUS SILATURAHIM

Ada sebilangan suami yang bertindak dengan sesuatu tindakan yang boleh menyebabkan isterinya terputus hubungan silaturahim dengan keluarganya. Dalam keadaan sedemikian, isteri tidak perlu mentaati terhadap tindakan atau suruhan suaminya itu.

Ini kerana, mengadakan hubungan silaturahim merupakan tuntutan syarak. Bermakna, apabila seseorang itu bertindak untuk memutuskan hubungan silaturahim, maka dia telah melanggar tuntutan syarak. Justeru, ia adalah perbuatan yang diharamkan oleh islam.

Sabda Nabi SAW;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَاطِعٌ

Maksudnya;
”tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan silaturahim
[3]

Pun begitu, melakukan hubungan silaturahim bukan sekadar dengan berziarah sahaja. Sebaliknya, dengan cara bertelefon, berutusan surat, e-mail, SMS dan sebagainya juga sudah memadai untuk dikatakan sebagai mengadakan hubungan silaturahim.

Justeru, sekiranya seseorang suami tidak membenarkan isterinya menziarahi rumah keluarganya. tetapi, dia membenarkan isterinya mengadakan hubungan silaturahim dengan ibubapanya melalui cara-cara yang lain, maka ketika itu, haram seseorang isteri melanggar arahan suami dengan meninggalkan rumah untuk menziarahi keluarganya.

SUAMI TERHADAP ANAK PEREMPUAN

Ada sebilangan kes, yang mana seseorang bapa memaksa anaknya berkahwin dengan lelaki pilihannya, tanpa mendapat persetujuan dari anak perempuannya sendiri dengan alasan, bapanya itu dikira sebagai ”wali ijbari” iaitu wali yang boleh memaksa anaknya kahwin.

Tindakan sebegini menyanggahi maqasid Islam yang meletakkan asas perkahwinan sebagai sesuatu ketenangan, kasih sayang dan membahagiakan kehidupan.

Firman Allah;

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya;
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”

(Surah Ar-Rum : 21)

Lantaran itu, tidak hairan kalau kita membaca satu kisah dari hadis yang diriwayatkan oleh Imam An-Nasai, iaitu kisah yang berlaku kepada seorang anak gadis yang dipaksa berkahwin oleh bapanya dalam keadaan dia tidak bersetuju dengan pilihan bapanya.

Dia telah berjumpa dengan Aisyah R.Ha, melaporkan kejadian itu kepada Aisyah bahawa dia dikahwinkan oleh bapanya dengan sepupunya tanpa persetujuannya. Aisyah memaklumkan perkara ini kepada Rasulullah SAW.

Mendengar itu, Rasulullah SAW mengarahkan agar bapa anak gadis itu hadir. Lalu, Nabi SAW memberikan hak anak gadis itu pada dirinya sendiri dihadapan bapanya
[4].

Dari kisah ini, kita akan dapat memahami bahawa seseorang bapa –hakikatnya- tidak boleh memaksa anak gadisnya berkahwin dengan sesiapa yang dipilihnya, tanpa mendapat persetujuan dari anak gadisnya sendiri. Sebaliknya, sesuatu keputusan hendak mengkahwinkan anak gadisnya, hendaklah mendapat persetujuannya terlebih dahulu, waimma lelaki itu adalah pilihan si bapa sekalipun.

Sabda Nabi SAW;

لَا تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ وَلَا الثَّيِّبُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ إِذْنُهَا قَالَ إِذَا سَكَتَتْ

Maksudnya;
“seseorang anak gadis tidak boleh dinikahkan hinggalah diminta izin daripadanya. Seseorang janda tidak boleh dikahwinkan melainkan mendapat persetujuannya

Sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, bagaimana izinnya itu?”

“apabila dia berdiam diri”
jawab Nabi SAW ringkas
[5].

Dari hadis ini, kita dapat melihat bagaimana Nabi SAW menekankan persetujuan dengan cara meminta izin terlebih dahulu dari anak gadis yang mahu dinikahkan. Bermaksud, walau bapanya itu mempunyai kuasa “wali ijbari” terhadap anak gadisnya, tetapi kuasa tersebut bukan bersifat mutlak, malah hendaklah mendapat persetujuan dari anak gadisnya terlebih dahulu.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan dan olahan yang merujuk kepada kitab Fatawa Maasarah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi di jilid pertama dan jilid kedua ttg perempuan dan kekeluargaan.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 september 2009 * 5:57 petang






[1] As-Sunan Al-Kubra : 9149.
[2] Sunan At-Tarmizi : 1269.
[3] Al-Bukhari : 5525.
[4] Sunan An-nasai : 3217.
[5] Sahih Al-BUkhari : 6453.

1 ulasan:

asniza berkata...

assalamu'alaikum,
ustaz, bolehkah saya kongsikan artikel ini di web saya?