Isnin, 7 September 2009

AURATKAH SUARA PEREMPUAN?

AURATKAH SUARA PEREMPUAN?

Ada sebilangan manusia mendakwa bahawa suara perempuan dikira sebagai aurat. Mereka menyandarkan kenyataan mereka kepada nas-nas Islam juga. Antaranya adalah, satu hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنْ النِّسَاءِ

Maksudnya;
“Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih mudharat terhadap orang lelaki daripada perempuan
[1]

Hadis ini dijadikan hujjah oleh mereka untuk mengkuatkan pendapat mereka yang menyebut bahawa suara perempuan adalah aurat. Pada mereka, semua suara wanita itu akan membawa kepada fitnah.

Pendapat sebegini pada hakikatnya melahirkan kekeliruan, malah mengandungi unsur penghinaan terhadap perempuan, sedangkan islam merupakan agama yang amat memuliakan perempuan.

Sebab itu, jika kita mendalami Al-Quran, kita akan dapati bahawa permulaan pemberatan hukum tidak diberikan kepada Adam seorang diri, ketika dibumi, malah pemberatan hukum itu berlaku setelah Adam ditemani oleh hawa.

Firman Allah;

وَقُلْنَا يَا آَدَمُ اسْكُنْ أَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ وَكُلَا مِنْهَا رَغَدًا حَيْثُ شِئْتُمَا وَلَا تَقْرَبَا هَذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُونَا مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya;
”Kami berkata, ”wahai Adam, tinggallah kamu dan isteri kamu di dalam syurga. Makanlah kamu berdua daripada apa yang kamu mahu. dan jangan kamu berdua hampiri pokok ini, nescaya kamu berdua daripada kalangan orang-orang yang zalim”

(Surah Al-Baqarah : 35)

Dari ayat ini, kita akan dapat lihat bahawa larangan Allah terhadap adam agar jangan hampiri pokok dalam syurga itu bukan larangan terhadap adam sahaja, malah terhadap isterinya juga, iaitu hawa.

Padahal, sebelum hawa diciptakan lagi, Adam tidak pernah diberikan sebarang arahan pun, sama ada berbentuk suruhan ataupun berbentuk larangan.

Justeru, ini membuktikan kepada kita bahawa nas Islam, iaitu Al-Quran sendiri menyatakan bahawa perempuan bukanlah satu kalangan manusia yang boleh dipandang rendah, malah mereka wajib dipandang dengan pandangan yang mulia.

SUARA PEREMPUAN

Dakwaan mengatakan suara perempuan adalah aurat merupakan satu dakwaan yang tidak benar. Ini kerana, jika kita perhatikan kepada nas-nas Islam, kita akan dapati banyak kejadian yang memberi dalil bahawa suara perempuan tidak aurat.

Bukankah Allah SWT ada berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 53;

وَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ

Maksudnya;
“apabila kamu meminta sesuatu perkara daripada mereka (isteri-isteri nabi), maka mintalah daripada belakang hijab”

(Surah Al-Ahzab : 53)

Ayat ini membuktikan bahawa suara perempuan tidak dikira sebagai aurat. Jika ia dianggap sebagai aurat, masakan dalam ayat ini Allah SWT menyuruh para sahabat meminta sesuatu perkara itu daripada isteri-isteri Nabi. Apabila meminta, sudah pasti mengharapkan jawapan balas. Justeru, jawapan balas itu sudah pasti berkaitan dengan suara.

Keadaan ini juga dapat dilihat kepada banyak hadis-hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh perempuan, seperti banyak hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, Ummu Salamah dan banyak lagi.

Begitujuga, di zaman para sahabat terdapat banyak kisah yang menggambarkan suara perempuan tidak dikira sebagai aurat. Antaranya adalah, teguran seorang muslimat terhadap Omar yang ketika sedang menyampaikan satu ucapan di atas mimbar. Teguran perempuan yang kedengaran oleh mereka yang hadir dalam majlis ucapan Omar itu tidak diingkarkan atau dibantah oleh Omar, malah sahabat-sahabat nabi yang lain. justeru, ini membuktikan suara perempuan bukanlah aurat seperti dakwaan sesetengah pihak.

JANGAN MENGIURKAN

Walaupun nyata suara perempuan bukan dikira sebagai aurat, tetapi ia bukan bermaksud seseorang perempuan itu boleh bercakap dengan mana-mana lelaki pun dalam semua bentuk bunyian suara.

Justeru, dibimbangi wujud sebilangan lelaki yang mempunyai nafsu syahwat yang luar biasa, ataupun mempunyai penyakit hati yang agak susah untuk diubatkan, maka dilarang sama sekali terhadap perempuan bercakap dengan mana-mana lelaki ajnabi dengan mengalunkan suara yang mengiurkan.

Suara yang hendak digunakan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi hendaklah berbentuk agak garau, sekira-kira tidak melahirkan ngiur para lelaki apabila mendengarnya. Jikalau dia sengaja menggunakan alunan suara yang boleh mengiurkan, tindakannya itu merupakan dosa. Dosa tersebut, bukan kerana suara itu dikira sebagai aurat, tetapi disebabkan tindakanya yang sengaja menggunakan alunan suara yang boleh menaikan syahwat lelaki dan sebagainya.

Sekian

p/s : artikle ini adalah ulasan dan olahan dari kitab Fatawa Maasarah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi jilid kedua.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 september 2009 * 2:48 pagi



[1] Al-Bukhari : 4706.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Slm

selain perbahasan ttg suara wanita, sy cdgkn ust wat perbahasan ttg cukur bulu kening. saya lihat cukur bulu kening dilihat sebagai satu 'trend' (mcm tak salah), sdgkan ia termasuk dlm perkara mengubah ciptaan Allah.

Bdk Bangi

Tanpa Nama berkata...

ape pendapat ustaz kalu memang dah sifat wanita tu macam tu dan bukan kehendak dia nak jadi macam tu..bersuara lembut dengan semua orang sehingga ramai orang tertarik dengan percakapannya.. bukan ke ia satu kelebihan bagi dia untuk dia attract org lain bagi menyampaikan dakwah islam kepada mereka bilamana dah wujud rapor yang baik antara sesama lain,..

Tanpa Nama berkata...

saya berharap klu ada pendapat lain yang boleh didebatkan. sebab selama ini suara wanita adalah aurat telah menjadi sebagai pegangan kepada kebanyakan orang islam. and terima kasih atas ulasan yang baik in