PAKAR PERUBATAN BARAT AKUI MUDHARAT ARAK
Pengharaman arak dalam Al-Quran dan As-sunnah amat jelas. Dari sabdaan Nabi, arak disifatkan sebagai ibu segala kemungkaran.
Sabda Nabi SAW;
الخمر أم الخبائث فمن شربها لم تقبل صلاته أربعين يوماً ، فإن مات وهي في بطنه مات ميتة جاهلية
Maksudnya;
“Arak adalah ibu segala kemungkaran. Barangsiapa yang meminumnya, maka solatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Jika dia mati dalam keadaan perutnya dipenuhi dengan arak, maka dia mati sebagai mati jahiliyyah[1]”
Pengharaman terhadap arak sampai satu tahap, di saat keperluan untuk dijadikan ubat pun dilarang sama sekali. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh baginda SAW dengan sabda Nabi;
إنه ليس بدواء ولكنه داء
Maksudnya;
“Sesungguhnya ia adalah penyakit, bukan ubat[2]”
Justeru, arak adalah minuman yang dilarang keras dalam Islam. Larangan terhadap arak, bukan sekadar termaktub dalam Al-Quran dan As-sunnah, malah dari sudut sains, telah terbukti bahawa arak tidak mampu untuk dijadikan ubat.
Seorang pakar sains dari British Medical Association bernama Dr Hegntom berkata;
“aku tidak pernah berjumpa satu pun penyakit yang boleh diubati dengan arak”
Kenyataan Dr Hegntom ini disokong oleh ramai pengkaji-pengkaji sains yang lain, seperti Dr. Johnson Dr. John Hill dan Dr Maarts Henry. (sila klik)
Kajian ini berlaku kini, tetapi hakikat kemudharatan yang wujud pada arak telah diakui sendiri oleh Nabi SAW sejak 1400 tahun yang lalu dengan sabda Nabi SAW;
إن الله لم يجعل شفاء أمتي فيما حرم عليها
Maksudnya;
“sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubat umatku pada perkara yang Allah haramkannya[3]”
ARAK IBU MAKSIAT
Imam An-Nasai ada meriwayatkan daripada Osman suatu hari bercerita;
“hindarilah diri kamu dari arak, kerana ia adalah ibu segala maksiat. Seorang lelaki telah diberi pilih untuk melakukan tiga perkara, iaitu berzina, membunuh seorang bayi dan meminum arak. Memandangkan membunuh adalah sesuatu yang berat, begitujuga berzina, menyebabkan lelaki itu memilih untuk minum arak. Apabila dia minum arak, ternyata dia mabuk. Sedang dia mabuk, dia melihat perempuan tadi dalam keadaan mengghairahkan, menyebabkan dia pun berzina dengan perempuan tersebut. Sedang dia berzina, kedengaran suara bayi yang sedang menangis, menyebabkan lelaki tersebut rasa terganggu, lalu membunuh bayi tersebut[4]”
Dari kisah ini, jelas bahawa arak adalah ibu segala maksiat. Disebabkan arak yang diminum, menyebabkan dia telah melakukan maksiat yang lain, iaitu berzina dan membunuh.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com
- Kota Damansara
6 ogos 2009 * 4:36 petang
[1] Al-Mukjam Al-Kabir : 1543.
[2] Sahih Muslim : 3670.
[3] Al-Mukjam Al-Kabir : 19210.
[4] Sunan An-Nasai : 5572.
1 ulasan:
Tok guru mana pulak ni. Tu di Selangor tu dok jual arak dikedai dekat masjid..... Mu buat apa dok cakap aja....... Oh lupa Orang PAS memang lagu ni.
Catat Ulasan