Rabu, 5 Ogos 2009

Sokongan Ramai Ke Atas Kerajaan Baru Pakatan Rakyat Di Selangor Terus Kukuh - Ummah centre

SHAH ALAM, 24 Julai 2009- Bancian terbaru yang dikendalikan oleh Ummah Centre telah menunjukkan bahawa sokongan ramai ke atas kerajaan baru Pakatan Rakyat di Selangor terus kukuh selepas 1 tahun pentadbiran. Bancian yang dilakukan sepanjang bulan Jun 2009 adalah berasaskan temuduga rambang menggunakan telefon ke atas 1078 responden yang merupakan pengundi berdaftar berumur 21 tahun ke atas daripada seluruh Selangor. Ralat bancian adalah ± 3.08%.

Apabila ditanya samada responden akan terus menyokong kerajaan negeri Selangor yang sedia ada setelah mengambil kira prestasi mereka selepas 1 tahun mentadbir, 59.2% berkata ya sementara 10.4% berkata tidak dan 22.7% tidak pasti. 7.7% responden tidak memberikan sebarang respon.


Antara 3 etnik terbesar, responden berketurunan India memberikan sokongan tertinggi ke atas kerajaan negeri sekarang dengan 75.7% diikuti kaum Cina dengan 56.9% dan seterusnya kaum Melayu dengan 56.0%.


Responden lelaki didapati lebih kuat menyokong kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dengan 62.2% berbanding responden wanita dengan 56.7%. Apabila bancian dibuat ke atas responden yang tinggal di kawasan bandar, hasil kajian mendapati mereka lebih kuat menyokong kerajaan negeri sekarang (61.1%) berbanding dengan responden yang tinggal di kawasan luar bandar (56.9%). Tren ini bertepatan dengan hasil bancian yang menunjukkan responden yang tinggal di daerah perbandaran termasuk di Daerah Petaling, Gombak, Klang dan Hulu Langat adalah penyokong kuat kepada kerajaan negeri sekarang (> 60%).


Para responden yang ditemuduga telah juga menunjukkan respon yang positif kepada usaha kerajaan negeri di dalam membantu rakyat Selangor. Apabila ditanya samada dasar dan perubahan yang diperkenalkan oleh kerajaan baru adalah bermanfaat kepada rakyat Selangor, 61.5% berkata ya sementara 21.9% berkata tidak dan 12.2% tidak pasti. 4.5% responden tidak memberi sebarang respon. Antara faktor yang akan memastikan sokongan ramai berterusan ke atas kerajaan sekarang adalah “keutamaan terhadap kebajikan rakyat” dengan 27.1% diikuti dengan “ketelusan dan urus tadbir yang baik” dengan 15.9%, “demokrasi yang adil dan telus” dengan 7.8% dan “pentadbiran negeri yang efektif dan efisyen” dengan 7.6%.



Disediakan oleh,.


Ir Izham Hashim
Pengarah
PUSAT KECEMERLANGAN UMMAH (UMMAH CENTRE)
Worldwide Business Centre, Jalan Tinju 13/50, Seksyen 13,
40675 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan,
MALAYSIA


sumber : ummah centre

Tiada ulasan: