Selasa, 3 November 2009

SENANGNYA LANGGAR TAHALUF ?


SENANGNYA LANGGAR TAHALUF ?

Tahaluf Siyasi berasaskan kepada kaedah fiqh, “melakukan mudharat yang kecil, demi menyelamatkan dari berlakunya mudharat yang lebih besar”. Atas asas ini, tahaluf diguna pakai.

Dalam tahaluf, sudah pasti akan wujud banyak ‘kerugian’, ia sama seperti ‘kerugian’ dalam perjanjian yang dimetraikan sendiri oleh Nabi SAW dalam sejarah Sulh Al-Hudaibiyyah (perjanjian Al-Hudaibiyyah). Pun begitu, ramalan politik nabi SAW amat cekap dan bijak, rupa-rupanya kerugian itu bersifat sementara, sedangkan keuntungannya terbukti 10 tahun selepas itu.

Membaca sirah, kita akan dapati bahawa, waima dilihat banyak kerugian yang Islam dapat dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah, ternyata Nabi SAW akur dengan kandungan perjanjian tersebut. Dari pihak Nabi SAW, tidak pernah dilakukan sebarang tindakan yang mengganggu-gugat kesetiaan pada perjanjian tersebut, waima mendapat tentangan kecil dari sebilangan para sahabat.

Dalam kandungan perjanjian tersebut, ada satu perjanjian yang menyebut seperti berikut;

“jika orang dari pihak Quraish meninggalkan Mekah tanpa izin pemimpinnya dan memeluk Islam, serta bergabung dengan kaum Muslimin, maka hendaklah Muhammad mengembalikannya kepada kaum Quraish. Namun, apabila seseorang muslim bergabung dengan kaum Quraish, tidak ada kewajipan kaum Quraish untuk mengembalikan kepada kaum Muslimin”.

Ternyata, terdapat seorang lelaki Quraish yang bernama Abu Basir yang telah memeluk islam dan sedang berlindung dibawah kerajaan Madinah. menyebabkan, datang dua orang Quraish Mekah; Al-Azhar dan Al-Akhnas bin Syuraiqh As-saqafi, berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

“Wahai Muhammad, Abu Basir bersama dengan kamu. Dia seorang lelaki Quraish yang berlindung dibawah kerajaan kamu, maka hendaklah kamu serahkannya kepada kami atas dasar perjanjian yang telah kita metraikan dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah” Al-Azhar bersuara ganas.

Nabi SAW memanggil Abu Basir, dan meminta agar beliau mengikut dua orang lelaki Quraish tersebut pulang ke Mekah.

“Wahai Rasulullah, apakah Tuan akan menyerahkan saya kepada mereka? Apakah tuan tidak bimbang bahawa mereka akan memurtadkan saya” Abu Basir bersuara sayu.

Nabi SAW melihat wajah Abu Basir dengan sayu, tetapi mengenangkan perjanjian yang telah dimetrai, Nabi SAW hanya mampu berkata, ”Wahai Abu Basir, Saya yakin Allah SWT akan memberi keselamatan kepada kamu”

Abu Basir terpaksa akur dengan keputusan Nabi SAW itu, sehingga ada sebilangan para sahabat berjumpa dengan Nabi SAW memujuk untuk mengekalkan Abu basir berlindung dibawah kerajaan Madinah.

”Saya Yakin Allah SWT akan memberi cara keselamatan kepada Abu Basir”, itu sahaja yang mampu diungkapkan oleh nabi SAW dihadapan para sahabat, menyebabkan mereka akur.

TAAT DENGAN JANJI

Perjanjian Al-Hudaiyyah, semua mengetahuinya betapa kerugian dalam perjanjian itu wujud dari pihak islam. Tetapi, memandangkan kebijaksanaan Nabi SAW dalam berpolitik, Nabi SAW tidak pernah melanggari janji tersebut, disamping mengambil banyak kesempatan dari perjanjian tersebut untuk menyampaikan islam kepada rakyat Mekah.

Apa yang terjadi, waima perjanjian itu dimetraikan di kala para sahabat melihat kerugian, ternyata ia memberi keuntungan yang lebih besar selepas dari itu; iaitu dengan kejayaan islam menguasai Mekah 10 tahun kemudiannya.

Perkara ini ditekankan sendiri oleh Allah SWT menerusi firman-Nya;

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya;
” Sesungguhnya Allah telah ridha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon[1399], maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)”

(Surah Al-Fath : 18)

Kejayaan yang gilang-gemilang ini, semuanya berpunca dari beberapa perkara, antaranya adalah, (1) perpegang teguh dengan janji, yang memperlihatkan kepada seluruh dunia, bahawa Nabi SAW adalah seorang yang baik, dan taat dengan perjanjian, (2) Nabi SAW bijak menggunakan ruang yang ada dalam menyampaikan islam kepada rakyat Mekah dikala perjanjian sedang dilakukan.

Apabila Nabi SAW perpegang teguh dengan perjajian tersebut, sudah pasti imej Nabi SAW akan dilihat bersih oleh dunia tanpa ragu. Ekoran itu, segala ajaran Nabi SAW yang menyeru manusia kepada Islam, akan mudah diterima pakai oleh sesiapa yang mendengarnya.

PAKATAN RAKYAT

Pakatan Rakyat telah dimetraikan. Keberadaan PAS, PKR dan DAP menjadikan wujud kebersamaan dalam gerak-kerja. Bukan sekadar gerak-kerja menumbangkan kerajaan zalim, UMNO/BN, tetapi kebersamaan dalam menubuhkan kerajaan, khususnya di Selangor.

Segala perkara yang hendak diputuskan, hendaklah menerusi Pakatan Rakyat. PAS terpaksa akur dengan beberapa perkara yang tidak mampu dilaksanakan lagi, disebabkan tertakluk dengan kandungan kebersamaan PAS bersama PKR dan DAP.

Apa yang penting difikirkan, Nabi SAW menjaga perjanjian yang dimetraikan. Maka keadaan yang sama juga perlu PAS lakukan dalam pakatan Rakyat. Ia bertujuan, untuk melahirkan imej bersih PAS di mata-mata kawan-kawan Pakatan Rakyat yang lain, seterusnya mereka akan tertarik hati dengan PAS, dan mudah menerima pandangan dari PAS, sepertimana orang Mekah mudah menerima dakwah Nabi SAW setelah imej bersih nabi dilihat dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah.

Pun begitu, direnung sedalam-dalamnya, keadaan yang sepatutnya berlaku ini tidak pernah terjadi kepada PAS dalam Pakatan Rakyat. Yang wujudnya, PAS adalah parti yang sering membuat onar. Ini amat terbukti berlaku, di Selangor.

Semua ini terjadi, kerana tidak menghayati sirah perjanjian Al-Hudaibiyyah dengan sedalam-dalamnya. Ekoran itu, tahaluf siyasi akan didebatkan secara mendalam ketika hendak melawan UMNO/BN, tetapi tidak pernah didebatkan secara terperinci tentang pengkhianatan janji setelah tahaluf dimetraikan dengar PKR dan DAP. Inilah hakikat PAS selangor kini..

Mungkin kita tidak sedar, pengkhianatan terhadapan janji ini sebenarnya telah memberi impak buruk non Muslim terhadap PAS, yang sudah pasti Islam juga mendapat kesan sampingannya.

Wahai Pas Selangor, kembalilah kepada al-Quran dan as-Sunnah agar keburukan tidak tergambar pada Islam dimata-mata rakyat ekoran perbuatan kamu !!

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 november 2009 * 1:58 petang

7 ulasan:

kulaan 1 berkata...

Boleh tunjukkan perincian tahaluf tu... ramai yang tak tahu dan nak tahu... sebut je tahaluf, isinya ada dibincangkan ke??? setahu aku, takde yang jelas dengan tahaluf tu... apa yg aku tahu hanya satu persefahaman bersama di dalam mentadbir Pakatan Rakyat di Selangor...

wan berkata...

Tiba-tiba sebut tahalluf kena itu dan ini.... Pdahal takder sebutpun perjanjian yang mengharamkan tindakan mengkritik, bertembung pendapat ataupun tak boleh laksanakan amar makruf nahi mungkar.

Ambillah pengajaran dari bukan Islam di DAP. Mereka tak hukum mahupun tuduh ahli mereka bersekongkol dengan musuh PR walaupun DAP kedah bersama MCA kedah membalun kerajaan Azizan sampai nak ugut keluar PR.

Kita ni yang parti ISlam, sahabat buat tindakan berlainan sikit dah hukum pengkhianat.

Unknown berkata...

Dah memang pengkianat kena lah panggil PENGKHIANAT.

Kalau tak nak panggil apa?

Abg Wan

Siapa sahabat yang buat tindakan yang berlainan sikit tu?

Tanpa Nama berkata...

sekretariat parlimen kota raja,

elok la koraang tolong dr marriah jaga kebajikan org melayu

tau la menang dengan undi india, tp takkan kerana takut undi lari habis sesama rakan dalam pas sendiri sanggup dipijak dan diludah

agak2 la kalau nak kuasa pon, islam lebih penting

kota raja tu cuba jadikan contoh dakwah yang berkesan untuk bukan islam. barulah hasan ali korang kondem kalau dia gagal.

IbnuQalil berkata...

Salam,

Semuanya perlu kembali kepada Al-Quran dan Sunnah, bukan Pas Selangor jer. Ustaz Wan Ji lebih2 lagi la. Telinga yg mendengar lebih dekat dgn mulut yg bercakap. So, bila tujukan nasihat kt orang, minta kt Allah agar nasihat itu juga melekat kt dalam hati kita. Bukan nampak org jer salah, kita smeua betul.

Kuda Perang berkata...

Betul kata IbnuQalil. Saya nampak blog ustaz albakistani ni lebih kpd medan perbalahan antara sesama ahli jemaah..

Segala teguran dan kritikan kebanyakannya dalam bentuk menghentam dan juga melabelkan dgn cop-cop negatif terhadap pimpinan2 dan kumpulan2 (yang dikelaskan sendiri mengikut nafsu jahat sendiri), secara tidak berhikmah.

Sungguh dahsyat sekali keadaan ahli2 dan penyokong2 PAS sekarang mengambil tindakan. Masing2 berlagak seperti bijakpandai dan alim.

Nampaknya masing2 kita semua perlu mendapatkan tarbiah yang mendalam lagi dalam memahami ilmu Islam dan penghayatannya.

Ya Allah, lindungi lah jemaah ini daripada perpecahan yang merugikan Islam..amin..

Tanpa Nama berkata...

Jumpa UMNO sulit-sulit tak pecahkan jemaah.

kalau hentam tindakan jumpa umno sulit-sulit pecahkan jemaah.

bagus la tu....

-abgsegak-