Sabtu, 16 Mei 2009

BIR HALAL ???

BIR HALAL ???

Seorang kawan minta aku berikan pandangan peribadi tentang isu “bir halal” yang hangat diperdebatkan dikalangan umat Islam di Malaysia. Pada peringkat awalnya, aku tidak mengetahui apa yang dinamakan sebagai “bir halal” itu. Pun begitu, setelah bertanya dengan beberapa kawan, mereka menyatakan bahawa “bir halal” adalah sejenis minuman yang tidak beralcohol, tetapi namanya agak negative, iaitu “bir”, juga botolnya juga berbentuk botol arak.

Dinyatakan juga, “bir halal” adalah satu produk minuman dari Negara Iran, sebagai menandingi barat yang mempromosi “bir”, tetapi yang mengandungi alcohol (baca : arak)

Memahami apa yang diterangkan, secara peribadi aku berpandangan. Hukum minum air tersebut tidak haram. Ini kerana, dalam Islam, kaedah fiqh menyebut;

الحكم يدور على المسمى لا على الإسم

Maksudnya;
“Hukum itu berlegar atas perkara yang diberi nama, bukan pada nama”

Bermakna, walaupun air itu dinamakan sebagai “bir”, tetapi isi kandungan air itu bukan arak, ataupun bukan air yang memabukkan seperti arak, maka hukumnya perlu kembali kepada hukum asal.

Kaedah fiqh menyebut;

الأصل فى الأشياء الإباحة

Maksudnya;
“(hukum) Asal pada sesuatu itu adalah harus”

Justeru itu, selagi mana air itu tidak ada unsur yang haram seperti memabukkan, maka minum air tersebut adalah harus.

NAMA “BIR”

Pun begitu, dicadangkan nama “bir” itu ditukar ganti kepada nama lain; nama yang tidak mengundang melahirkan kontroversi dan kesamaran. Membiarkan penggunaan nama “bir”, bisa melahirkan kekacauan dalam masyarakat Islam, lebih-lebih lagi di zaman manusia yang berada dalam kerosakan, disamping masih ramai lagi agamawan yang masih “lena” dari memberi kesedaran disebalik maksiat arak.

Jika pihak atasan masih lagi redha dengan penggunakaan nama “bir” dengan tidak mengambil inisiatif untuk menggantikan kepada nama lain, maka bagi mengelakkan kemudharatan di masa akan datang, hendaklah pihak Islam memboikot minuman tersebut.

Ini berasaskan kepada kaedah;

إرتكاب أخف الضررين

Maksudnya;
“melakukan mudharat yang paling ringan daripada dua mudharat”

CALSBERG BUAT “BIR HALAL”

Diberitakan, bahawa syarikat arak terbesar di Malaysia, Calsberg sedang bercadang untuk mewujudkan “bir halal” ini. Mereka mahu mencipta sejenis minuman yang tidak mengandungi alcohol untuk dijadikan minuman di kalangan umat Islam.

Pada pandangan peribadiku, isu “bir halal” yang datang dari negara iran tidak sama seperti isu minuman tanpa alcohol yang mahu dikeluarkan oleh syarikat calsberg.

Aku dimaklumkan, syarikat yang mengeluarkan minuman “bir halal” di iran bukanlah syarikat arak, tetapi syarikat minuman biasa. mereka mengeluarkan minuman itu, dengan tujuan menandingi barat yang mempromosi arak yang diharamkan oleh Allah SWT.

Adapun minuman tanpa alcohol keluaran syarikat caslberg, ianya ada kaitan dengan arak secara nyata. Ini kerana, caslberg adalah syarikat arak.

Justeru, sebarang keluaran dari syarikat caslberg merupakan usaha memajukan keuntungan syarikat tersebut. Sedangkan, dari sudut maqasid syariah, Islam telah menggariskan bahawa sebarang usaha yang bisa memajukan arak, maka ia adalah haram disisi Allah SWT.

Ibnu Abbas meriwayatkan hadis dengan katanya;

أن النبي صلى الله عليه وسلم أتاه جبريل فقال‏:‏ يا محمد إن الله لعن الخمر وعاصرها ومعتصرها‏،‏ وحاملها والمحمولة إليه وشاربها وبائعها‏،‏ ومبتاعها وساقيها وَمُسْقِيَهَا ( وفى رواية ومسقاها ) ‏

Maksudnya;
“Sesungguhnya Nabi SAW didatangi oleh Jibril lalu berkata : Wahai Muhammad, Sesungguhnya Allah melaknat arak dan pemerahnya, Orang yang meminta memerahnya, pembawanya, yang dibawa kepadanya, peminumnya, penjualnya, pembelinya, penuangnya dan orang yang meminta dituangkan arak
[1].”

Makanya, membeli sebarang minuman keluaran syarikat caslberg atau arak adalah haram, kerana itu merupakan salah satu sokongan dalam memajukan syarikat arak.

Lebih-lebih kaedah fiqh ada menyebut;

ما أدى الي حرام فهو حرام

Maksudnya;
“Perkara yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram”


Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 mei 2009 * 12:30 petang









[1] Al-Mustadrak ‘ala Sahihain : 4/161. hadis no : 7229.

Rabu, 13 Mei 2009

APA MASALAH LEMBAGA ZAKAT SEBENARNYA??

APA MASALAH LEMBAGA ZAKAT SEBENARNYA??

Di kampungku, ada seorang anak kecil berumur 2 tahun lebih dihinggap penyakit jantung berlubang. Sakitnya itu sejak dia dilahirkan lagi.

Ibu dan bapa anak kecil itu, bukanlah orang berada. Bapanya bekerja sebagai pomen kereta. Bekerja dengan abangnya sendiri. Gajinya sebulan, paling tinggi RM 8 ratus. Itupun, jika ada kenderaan yang rosak. Kalau tak ada, gajinya hanya Rm 5 ratus hingga Rm 6 Ratus sahaja.

Anaknya yang sakit itu adalah anaknya yang bongsu dari dua adik beradik. Memandangkan anaknya sakit jantung berlubang, menyebabkan bapanya sentiasa membawanya ke IJN. Berulang alik ke IJN menyebabkan wang kantong kehabisan. Apabila tidak mempunyai wang untuk dibayar, maka terpaksalah keluarga itu berhutang.

Apabila hutang telah menjangkau RM 82 ribu, pihak IJN terpaksa menolak dari memberikan rawatan kepada anak kecil tersebut. Keluarga miskin ini kesedihan.

Maka ke hulu ke hilirlah si bapa untuk mencari bantuan. Menyedihkan, semuanya hampa.

Sejak dari itu, bapanya hidup seperti orang gila. Badannya yang berisi, sudah jadi kurus kering. Kadang-kadang terpancul di mulutnya kalimah ”biarlah anak aku ini mati, aku dah tak tahu nak buat macam mana dah”.

Pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini, menampakkan sikap bapanya yang terlalu membenci kepada UMNO/BN. Dia menaruh harapan besar kepada parti PAS, PKR dan DAP untuk menang dikeranakan slogan ”negara berkebajikan”.

Kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor menyegarkan hati si bapa. Mungkin, kebajikan yang dilaungkan berjaya menyelesaikan masalah anaknya yang sedang sakit jantung.

Aku dimaklumkan masalah itu oleh bapa saudaranya selepas kemenangan pakatan Rakyat di selangor. Aku meminta agar menyediakan semua dokumen-dokumen yang berkaitan, disamping mengisi borang permohonan zakat.

Setelah sempurna segala dokumen-dokumen itu, aku mengantarnya sendiri ke pejabat exco kerajaan negeri selangor yang mempunyai kuasa terhadap lembaga zakat selangor. Dan pihak di pejabat exco berjanji, akan menyelesaikan masalah ini dengan segara.

Aku berbangga dengan janji itu. tetapi menyedihkan, sudah hampir 4 bulan, masih tidak kedengaran berita pun tentang bantuan zakat yang dijanjikan.

Aku sendiri melakukan follow up sebanyak 4 kali, dijawab bahawa segala dokumen itu telah diserah ke lembaga zakat, tetapi sedihnya sehingga sekarang tidak kedengaran sebarang bantuan pun.

Tiba-tiba baru-baru ini, aku diberitahu oleh seorang yang mempunyai hubungan keluarga terhampir dengan keluarga anak kecil tersebut, bahawa anak kecil tersebut telah berjaya dibantu. Menggembirakan hatiku apabila mendengar berita sebegini. Pun begitu, gembiraku hanya sementara, kerana didapati yang membantu itu bukan lembaga zakat selangor, tetapi pergerakan Pemuda UMNO bahagian.

UMNO memang parti sial. masakan tidak, semasa mereka memerintah, anak kecil itu tidak pernah dijengok. Pun begitu, setelah mereka kalah; mereka tidak menguasai kerajaan, mereka dilihat sangat menjaga perkara kebajikan sebegini.

Walaubagaimana pun, sekurang-kurangnya mereka ini berjaya menyelesaikan masalah sebegini walaupun dengan niat ”modal politik”, tetapi menyedihkan, apabila pihak yang melaungkan slogan ”berkebajikan”, ditambahi dengan ungkapan ”yang berteraskan Islam”, serta ”ikhlas dalam pemerintahan” pun tidak berjaya menyelesaikan masalah seperti ini.

Mungkin islam ”cara kita” adalah, biarkan anak itu mati sakit jantung, sebab itu adalah qada’ dan qadar Allah SWT. (mungkin kot itulah islam yang difahaminya)

Setelah mendapat berita sebegitu, Aku berfikir panjang. Persoalan yang sering bermain dalam pemikiranku sehingga kini adalah, apa masalah sebenar yang sedang berlaku pada lembaga zakat selangor???

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 mei 2009 * 5:34 petang





PERKARA ANEH BERLAKU DALAM NEGARA


PERKARA ANEH BERLAKU DALAM NEGARA

Surat khabar semalam melaporkan berita bertajuk “Nizar Menteri besar yang sah”. Hari ini pula, tajuk berita berbunyi “Zamry kekal Menteri Besar”.

Rakyat yang membaca, pasti pening lalat. Tak tahu, apa sebenarnya yang telah berlaku dan akan berlaku.

Pulang dari menyampaikan kuliah tafsir di Sri Damansara, bapaku bertanya, “sapa menteri besar perak sebenarnya ni??”

“Negara dah jadi gila, berusaha menggilakan rakyat” jawabku ringkas sambil tersenyum kelat.

Itulah hakikat perebutan kuasa dari dua belah pihak. Satu pihak mahu menjadi menteri besar kerana hormat keputusan rakyat. Satu pihak yang lain pula, mahu menjadi menteri besar kerana bimbang kradibaliti partinya jatuh.

Pakatan Rakyat telah berjanji untuk membubarkan DUN dengan perkenan sultan. Barisan Nasional pula, tidak bersetuju dengan bubar DUN.

Persoalannya, kenapa BN takut dengan pembubaran DUN??

Bak kata kawan-kawan, ”kalau bubar DUN, pastu Pilihanraya semula, aku yakin BN kekalkan 10 kerusi sahaja”

”aku rasa, 3 kerusi sahaja” jawab kawan yang lain pula.

Menarik juga mendengar pandangan ”ahli parlimen kedai kopi” yang berbicara tentang politik. Kadang-kadang analisa mereka lebih tepat berbanding para prof-prof dari universiti.

Ditanya, mengapa membuat andaian sebegitu.

”kalau DUN bubar di awal kemelut politik, mungkin BN dapat 16 kerusi.. tapi selepas dorang hina undang-undang.... rakyat makin meluat... melayu pun dah meluat.. india dan cina, lagi-lagi la meluat” jawapan yang diberikan dengan alasan yang agak logik.

Mungkin benar analisa ”ahli parlimen-ahli parlimen kedai kopi” itu. mungkin kerana takut sangat, BN tidak mahu bubar DUN perak. Mana tidaknya, inikan musim PR menang. Boleh dikatakan, semua PRK di sekitar semenanjung akan memberikan kemenangan kepada PR. Kalau di seberang laut, agak berbeda sikit.

Walau apa pun yang terjadi, yang pastinya BN kini amat takut dengan pembubaran DUN. Keadaan ini amat berbeda dengan PR yang amat komitmen untuk membubarkan DUN dan menyerahkan kepada rakyat dalam menentukan status kerajaan negeri Perak.

UMNO/BN MEMERINTAH

”selagi puak-puak UMNO/BN memerintah, selagi itulah masalah macam perak tak selesai-selesai” seorang kawan mencelah.

Ungkapan itu memang nampak dari seorang kampung yang tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, tetapi jika direnung balik, ungkapan itu mempunyai kebenarannya tersendiri.

Mendengar kata kawan itu, aku mengandaikan sekiranya BN sudah menjadi pembangkang di Malaysia, dirasakan kejadian seperti yang berlaku di perak sudah pasti tidak akan berlaku.

Manakan tidak, sistem kehakiman, SPR, media massa dan banyak lagi sudah berada di tangan PR, yang sudah pasti usaha untuk BN mempergunakannya demi kepentingan mereka tidak akan berhasil.

Bermakna, UMNO/BN ini kot mana pun, wajib dihampuskan terlebih dahulu dari muka bumi Allah. Apabila sudah terhapus UMNO/BN, masalah seperti yang berlaku pada perak pada hari ini tidak akan berlaku.

Jika perkara ini tidak berlaku, sudah pasti kita akan terus memerintah dengan konsep keadilan sejagat, seterusnya terus berdakwah; menyeru manusia kepada Islam dan sebagainya. apabila keadaan ini berlaku, diyakini di pilihanraya umum di masa akan datang, kejayaan melihat Islam memerintah agak cerah.

Pun begitu, susah hendak di kata. Maklumlah, masih ada lagi sebilangan kita yang bertindak dengan tindakan yang menggambarkan kita masih redha dengan UMNO/BN memerintah. Alasannya, UMNO/BN ramai orang melayu Islam, PR pula ramai non Muslim...

...nasib oh nasib...

Sekian

wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 mei 2009 * 4:00 petang

Isnin, 11 Mei 2009

ISLAM PERLU DISEBARLUASKAN

As-Syaikh Mustafa Ceric, Mufti Bosnia
ISLAM PERLU DISEBARLUASKAN

Pada hari selasa yang lepas, Aku dijemput oleh seorang kawan untuk menghadiri satu majlis ramah mesra bersama Mufti Bosnia, As-Syaikh Mustafa Ceric di rumah salah seorang tokoh tersohor di Malaysia.

Semasa berada dalam majlis tersebut, mendengar ulasan Al-Fadhil Mufti, banyak input-input baik yang dapat difikirkan, yang aku merasakan ianya wajar dikongsi bersama.

Dalam perbentangan As-Syaikh Mustafa, beliau ada menyentuh tentang sejarah bosnia, dan kaitannya dengan Palestine. Disamping itu juga, beliau menjelaskan tentang bagaimana teruknya kejatuhan umat Islam di seluruh dunia, sama ada di timur mahupun barat.

Dalam perbentangan tersebut, beliau mengemukakan bagaimana Mandela yang berjaya menaikkan pengaruh beliau dikala kejatuhan golongan apartheid, tetapi menyedihkan di saat itu, tidak ada seorang tokoh Islam pun hadir dalam memberikan alternative untuk mengisi di atas kejatuhan golongan apartheid tersebut.

Beliau menyebut, umat Islam kini memerlukan seorang tokoh politik yang mempunyai reputasi yang baik di mata dunia, sama ada di timur, mahupun di barat; iaitu tokoh dari kalangan Umat Islam yang disenangi oleh dunia islam, juga disenangi di dunia barat.

Reputasi yang ada, adalah bertujuan untuk mempertahankan islam di wilayah timur, disamping dapat menyebarluaskan Islam ke wilayah barat. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti Islam akan menjadi agama yang berjaya membina tamadun buat kali keduanya, setelah ianya telah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam.

Mengkagumkan, apabila Beliau beranggapan, Malaysia merupakan sebuah Negara yang mempunyai kemampuan untuk melahirkan tokoh sebegitu, bahkan ianya sudah ada.

Mendengar ulasan dan kupasan dari Mufti Bosnia tersebut, menyebabkan aku berfikir. Berfikir bahawa, rupa-rupanya Malaysia merupakan sebuah Negara yang sedang diperhatikan dunia dalam misi untuk menyebar luaskan Islam dipelusuk dunia.

Jika diperhatikan kepada sirah Nabi SAW. kita dapat melihat, bagaimana Nabi SAW bertindak dengan membina reputasi diri baginda dalam menyebarluaskan dakwah islamiyyah ke pelusuk alam.

Di marhalah makkiyyah, kehebatan baginda membina reputasi diri baginda dari sudut kehidupan harian, menyebabkan seluruh rakyat Makkah ketika itu menggelarkan diri baginda SAW sebagai “Al-Amin”.

Begitujuga, reputasi diri yang dibina oleh Rasulullah SAW di dunia selain arab, iaitu dengan mengeluarkan idea-idea bernas yang melibatkan isu politik semasa, seperti baginda mengeluarkan kenyataan tentang peperangan Rom dan Farsi dengan memberikan sokongan terhadap rom berbanding Farsi.

Juga, tindakan Nabi SAW mengemukakan idea Sulh Al-Hudaibiyyah yang melahirkan keuntungan kepada Islam itu sendiri; iaitu apabila dunia melihat bahawa kebijaksanaan idea Rasulullah SAW itu berjaya melahirkan minat golongan dunia selain Islam mula mencari dan mengkaji Islam.

Jika diperhatikan kepada sirah ini, ianya seakan-akan membenarkan pandangan mufti Bosnia, Syaikh Mustafa ceric yang menyatakan perlu adanya seorang tokoh yang mempunyai reputasi yang baik di seluruh dunia dalam menyebar luaskan Islam ke pelusuk dunia.

Cumanya, siapakah tokoh politik yang dimaksudkan oleh As-Syaikh Mustafa ceric?? Walaupun ianya telah disebut oleh Al-Fadhil Mufti, tetapi lebih baik tidak diungkapkan dalam ruangan blog ini agar ianya dijadikan bahan untuk difikirkan bersama…..

sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- sri Indah (B), Sg buloh
12 mei 2009 * 2:17 petang