Sabtu, 17 Oktober 2009

SATU HARI DI KBMALL, KELANTAN


SATU HARI DI KBMALL, KELANTAN

Dalam hari raya baru-baru ini, aku pulang ke kampung isteriku di Jerteh. Sehari sebelum menyambut hari raya, aku bersiar-siar sekitar Kota Bharu.

Aku bercadang untuk berbuka puasa di medan selera KBMall yang berada di tingkat yang paling atas. Sementara hendak menunggu waktu berbuka, aku berjalan dan bersiar-siar dalam bangunan KBMall.

Aku berhenti berehat di salah satu sudut dalam bangunan tersebut. Disamping itu, aku melihat orang lalu lalang, dan memerhatikan gelagat manusia yang berbeli dan ada juga yang bersiar-siar sepertiku. Sedang asyik memerhatikan gelagat manusia, tiba-tiba datang seorang anak gadis cina menyapa, ”abang sudah pakai Celcom?”

”Oooo.. orang celcom rupanya” hatiku berkata.

Kelihatan seorang anak gadis berbangsa cina menegur untuk mencadangkan kepadaku agar menggunakan nombor telefon Celcom. Sambil tersenyum aku membalas, ”Saya sudah pakai nombor celcom maa!” jawabku dengan loghat selangor.

Kebiasaanku, apabila berjumpa dengan orang yang mampu berloghat kelantan, pasti aku berbicara dengannya dalam loghat kelantan juga. Tetapi, disebabkan terbiasa dengan loghat negeri Selangor, aku membalas pelawaan anak gadis cina itu dalam loghat selangor tanpa aku sengaja. Rupa-rupanya, apabila aku membalas pelawaan itu dengan loghat selangor, menyebabkan anak gadis itu berkata, ”Awak bukan orang kelate ker?”

”eh tak lah.. saya ore kelate, tapi tinggal di Selangor” jawabku

”Ooo. Awak balik kampung la ni?” tanyanya sambil melemparkan senyuman manis.

”ya..” jawabku ringkas, sambil membalas senyuman anak gadis cina itu.

sambil membetulkan buku yang dipegang, dia bertanya lagi, ”Oooo. Gitu ko.. Kampung mmano?”

”jerteh”

”jerteh bukan Kelate la, kan itu kat teganu” balasnya dengan loghat kelantan fasih. Jika tanpa melihat wajah, sudah pasti kita akan kata dia bukan anak cina.

”Saya kelahiran kelate, tapi mertua saya tinggal di Jerteh”

”Oooo..... awak kerja di selangor ko?”

”aah ah”

“awak kerja apa?”

Soalan ini agak susah untuk aku menjawabnya. Aku pun mengeluarkan kad business dan menghulurkan kepadanya.

”Editor Syariah itu apa?” soalnya sambil membaca kad businessku..

Aku tersenyum dengan soalanya itu. aku menjawab, ”editor syariah itu, kerjanya tulis buku-buku islam. kalau ada kesilapan pada terjemahan dan tulisan ayat al-Quran dan hadis yang tidak tepat, saya akan betulkan” jawabku panjang lebar.

“Oooo, gitu koo” katanya sambil dia tidak habis-habis memerhatikan baju T-Shirt yang aku pakai- yang terpampang gambar Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

“saya mahu tanya sikit, tapi awak jangan marah” sambil dia berpaling tengok ke belakang. Mungkin dia sedang memerhatikan kawan-kawannya yang sedang perhatikan perbualan kami dari jauh.

Aku melihat ke arah mereka, sambil itu aku berkata, “awak nak tanya apa? Saya tak marah punya”

“awak orang PAS kan?” tanyanya sambil meleretkan pandangan matanya kepada gambar Tuan Guru Nik Abdul Aziz di baju T-Shirtku.

Aku ketawa kecil bila ditanya dengan soalan itu, ”ade ke orang UMNO pakai baju ada gambar Tuan Guru Nik Abdul Aziz?” tanyaku

”kami ore cina sayang sangat Tok Guru” cakapnya

Aku tergamam sekejap. Tidak semena-mena, aku merasa kagum kepada anak gadis cina itu. Dari wajahnya, aku beranggapan anak gadis cina ini baru berumur dalam awal 20 an. Selalunya, anak-anak muda seumur itu, tidak mengambil tahu sangat tentang tokoh-tokoh politik, terutama mereka yang berbangsa cina. Tiba-tiba, anak gadis semuda itu, boleh melemparkan ayat kekagumannya terhadap Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

”berapa umur awak?” aku bertanya

”19 tahun” jawabnya.

”kenapa awak sayang sama Nik Aziz?” tanyaku

”bapa dan ibu saya selalu puji Tok Guru.. mereka cakap, Tok Guru orang baik.. dia macam dewa” jawabnya ringkas.

”emmm... saya kagumlah sama awak.. awak anak gadis muda, tapi awak tidak buta politik” kataku sambil tanganku memegang bajuku yang terpampang gambar Tuan guru Nik Abdul Aziz.

Dia tersenyum bila aku berkata begitu..

”erk... tak pe la..kawan-kawan sudah tengok pelik sama saya.. ok.., bye..bye” sambil dia melambaikan kepadaku.

Kebetulan itu, memang sudah tersimpan dalam begku sebuah buku yang bertajuk ”Bidadari dari timur” yang sedang elok menceritakan tentang perjalanan hidup Datin tuan Sabariah, Isteri Tuan Guru dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

”nanti jap.. sebab awak suka sama Tok Guru Nik Aziz, saya mahu kasi awak hadiah...” sambil aku buka begku yang berwarna askar, dan menghulurkan buku itu kepadanya.

Sambil tersenyum dia menerima..

”apa agama awak?” tanyaku

”Buddha” jawabnya ringkas...

”mudah-mudahan awak suka buku ini” aku mengakhiri pertemuan kami itu..

Aku pun berlalu pergi, sambil itu kelihatan dia melambai tangan sambil mulutnya menyebut, ”bye..bye”

Aku tidak membalas lambaian itu, Cuma sekadar mengangkat tangan sambil membalas senyumannya sahaja. Dalam hatiku berkata, "minta la budak cina ni masuk Islam"

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
18 oktober 2009 * 5:12 pagi

UMNO NAK BERUBAH?


UMNO NAK BERUBAH?

Seorang pemburu yang hendak melintasi ditempat yang terdapat seekor harimau yang sedang tidur, perlu mengambil sikap berhati-hati. Jika memang harimau itu sedang tidur, factor keselamatan pemburu tersebut boleh diletakkan sebanyak 50%. Adapun jika harimau itu tersedar dari tidurnya, factor keselamatan pemburu terbabit sudah berkurangan mungkin lebih kurang dari 10%.

Keadaan inilah yang aku bimbangkan dengan perkembangan perhimpunan UMNO pada kali ini. Padaku, kejatuhan UMNO/BN di banyak negeri – terutama selangor – adalah berpunca dari sabotaj dalaman UMNO terhadap kepimpinan mereka. Perkara ini, diakui sendiri oleh Mahathir ketika mengulas kejatuhan banyak negeri ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya 8 mac 2008 yang lalu.

Pun begitu, perhimpunan agong UMNO pada kali ini, dilihat seperti ramai ahli-ahli UMNO mendapat semangat baru. Imej Najib sudah mudah diterima ramai ahli-ahli UMNO, waima skandal Altantuya masih lagi menjadi buah mulut rakyat Malaysia.

Dalam perhimpunan itu juga, didapati ramai dari kalangan perwakilan UMNO mengakui bahawa kekalahan mereka dalam pilihanraya umum baru-baru ini adalah berpunca dari pergeseran sesame mereka. apabila mereka sudah sedar, ia merupakan satu bahaya yang akan menimpa Pakatan Rakyat.

Apakah UMNO pasti akan berubah atau tidak, itu bukan persoalannya, tetapi yang pastinya, mereka sudah sedar bahawa mereka perlu berubah. Ia samalah seperti harimau yang sedang tidur tersedar tidurnya, waima sedang berhadapan dengan sakit yang amat parah sekalipun.

Dalam keadaan itu pula, kelihatan keberadaan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat seakan-akan tidak sekata. Pilihanraya di Bagan Pinang telah membuktikan kewujudan ketidak-sekatanya dalam bekerja antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat, sehingga mengakibatkan kejatuhan PAS yang amat teruk dalam pilihanraya tersebut. Dilihat PAS seperti mahu menunjuk ‘hebat’, seperti merasakan tanpa PKR dan DAP, PAS dapat berhadapan dengan UMNO, sedangkan perkara itu sama sekali tidak boleh berlaku.

Jika UMNO sendiri mengakui bahawa mereka tidak akan mampu membentuk kerajaan tanpa dokongan parti-parti yang lain; MCA, MIC, GERAKAN, Makkal Sakti dan sebagainya. keadaan yang sama juga perlu PAS akui. PAS tidak akan dapat mengalahkan UMNO/BN, tanpa kewujudan kawan-kawan dari PKR dan DAP.

Justeru, berhati-hatilah dengan perkembangan UMNO kebelakangan ini. Tidak dinafikan, antara harimau dan pemburu, sudah pasti pemburu lebih hebat. Tetapi perlu diingatkan juga, ramai pemburu yang mati terbaham dek harimau, setelah binatang ganas itu sedar dari tidurnya.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com










- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 oktober 2009 * 11:06 malam





Jumaat, 16 Oktober 2009

AHLI POLITIK PERLU BERMAIN DENGAN MEDIA

AHLI POLITIK PERLU BERMAIN DENGAN MEDIA

Politik demokrasi memerlukan sokongan rakyat. Tanpa rakyat, sesuatu parti tidak akan mencapai kemenangan. Sebaliknya, parti akan kalah, apabila sokongan rakyat tidak berbelah pihak.

Kadang-kala, seseorang ahli politik dari sesebuah parti agak tenggelam. Tenggelam itu, sama ada kerana isu yang dibawa tidak menyengat, atau memang dia kehabisan idea dan isu untuk diketengahkan kepada rakyat. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti rakyat tidak mendengar khabar berita tentang ahli politik terbabit, seterusnya lama kelamaan, ahli politik tersebut akan dilupai.

Bagi mewujudkan keadaan sang ahli politik tersebut, tidak dapat tidak, sesuatu keadaan dan ketika, isu tentang ahli politik terbabit perlu dihidupkan, tidak kira berbentuk dihentam, atau dipuji.

Lihatlah sahaja Anwar Ibrahim dan Nizar Jamaluddin. Jika difikirkan balik, kedua-dua tokoh ini dikenali, bukan kerana rakyat membaca harakah dan suara keadilan, tetapi mereka membaca utusan Meloya dan Berita Hairan, yang tidak habis-habis memburukkan mereka.

Ahli politik yang bijak, mereka tidak pernah mengharapkan pujian dari akhbar parti sendiri, sebaliknya mereka akan berfikir untuk mereka dihentam didalam akhbar musuh.

Sebab itu, jika kita lihat kepada Anwar Ibrahim, beliau sering menjadi sasaran utama UMNO/BN. Di mana sahaja berlaku perhimpunan UMNO, nama Anwar pasti akan terbit dari mulut mereka. Keadaan yang sama juga pada Nizar Jamaluddin. Pergi di mana sahaja lamanweb dan blog UMNO/BN, nama Nizar sering termaktub.

Apabila keadaan ini berlaku, menunjukkan kewujudan mereka merupakan satu ketakutan bagi UMNO/BN. Tidak kira, apa yang mereka lakukan itu disukai UMNO atau tidak disukai.

Memang jika dilihat sekali imbas, UMNO sudah menjatuhkan air muka mereka. Tetapi, jika difikir dua atau tiga kali, tindakan UMNO yang menghentam kedua-dua tokoh ini, sedikit sebanyak telah melakukan satu ’iklan tanpa bayaran’ untuk mereka.

Keadaan yang sama juga wujud pada Khairy jamaluddin. Tidak dinafikan, memang Khairy sering melakukan tindakan yang menyebabkan ramai ahli-ahli parti dari Pakatan Rakyat marah. Ekoran itu, maka terpampang wajah-wajah khairy dalam akhbar-akbar Pakatan Rakyat, walhal apakah kita sedar, keadaan ini telah memberikan satu ’promosi tanpa bayar’ kepada Khairi Jamaluddin.

Amat jarang anak muda mengira apakah hentaman dari akhbar tersebut boleh dipercayai atau tidak, yang pastinya mereka boleh berkawan dengan orang yang terkenal, waima jahat sekalipun.

Sebab itu, show dari seseorang ahli politik perlu dilakukan, sama ada dari dirinya sendiri, atau orang lain yang mewujudkan show untuk dirinya, sehingga ahli politik tersebut akan dijadikan berita. Adalah lebih baik, jika berita seseorang ahli politik itu datang dari akhbar musuh.

sekian

p/s : kadang-kala terfikir, siapakah yang lebih dikenali antara Ketua Pemuda PAS Pusat dengan Bekas Mufti perlis?

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 oktober 2009 * 12:24 petang



KJ LEBIH PANDAI TARIK ANAK MUDA

KJ LEBIH PANDAI TARIK ANAK MUDA

Pada hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa pemuda UMNO mahu tubuh ‘bilik perang’ pilihanraya. Dalam akhbar terbabit melaporkan juga, dalam keadaan yang sedia ada pun, Pemuda UMNO sudah berjaya menarik anak-anak muda untuk mengundi UMNO/BN dalam dua pilihanraya kecil; DUN Manik Urai dan DUN Bagan Pinang. (sila Klik)

Dilihat dari laporan akhbar ini, jelas dan nyata bahawa Khairi jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dilihat lebih bijak tarik anak muda berbanding dua ketua pemuda; Pemuda PAS dan AMK. Pemuda PAS dengan imej Mat Skema yang tidak cool, sedangkan AMK berwatak intelek VIP seperti Penguin berlabuh di ais-ais batu kutub utara.

Kalau pemuda PAS terus dengan imej Mat Skema yang tidak cool, tidak hairan anak-anak muda Malaysia tidak akan menjadikan PAS sebagai parti alternative. Keadaan yang sama juga tidak hairan akan menimpa AMK Malaysia.

MAT SKEMA

Anak-anak muda merupakan eset yang penting dalam menentukan masa depan politik. Kejayaan masa depan politik terletak dibahu-bahu mereka. Jika sekarang mereka memilih islam, sudah pasti kejayaan perlaksanaan islam di masa akan datang akan tercapai. Jika sebaliknya berlaku, masakan islam diterima, tidak mustahil mereka akan menjadi penyerang utama terhadap perlaksanaan islam.

Justeru, pendekatan terhadap anak muda agar mereka menerima Islam perlu dilakukan. Tindakan yang perlu dilakukan, perlu mengandungi unsur bijaksana, malahan bersifat waqie dengan keadaan mereka dan bersifat ’semasa’.

Berimej dan berwatak ’Mat Skema’ akan melahirkan perasaan anak-anak muda agak susah hendak mendekatkan diri. Lebih bertambah jauh, apabila imej dan watak ’mat skema’ ini dicampurkan dengan ’tidak cool’.

Sebarang program-program hiburan, sering diserang. Walhal, sebarang alternatif hiburan tidak pernah diberi hidangan. Jika ini yang wujud, tidak hairan gelaran ’tidak cool’ terkena kepada ’mat skema yang tak tentu pasal’ ini.

Berdampingan dengan Anak-anak muda mempunyai kaedah dan cara tersendiri. Berbicara seperti berceramah di meja kuliah masjid dan surau, menyebabkan anak muda menjauhkan diri. Lebih dahsyat lagi, apabila watak surau dan masjid itu dibawa ketika berjumpa dengan mereka.

Amat pelik pada sebilangan pendakwah dan penceramah, yang bijak mengomel, komplen dan mengherdik anak-anak muda di masjid dan surau, tetapi dalam masa yang sama, tidak pernah anak-anak muda dijadikan kawan dan sahabat dalam mendekatkan mereka kepada surau dan masjid.

Itulah hakikat penceramah pada hari ini. Modal air liur menjadi emas yang disapuh, bagi melahirkan pandangan negatif terhadap anak muda. Tidak dinafikan, tindakan anak-anak muda itu sememangnya negatif, tetapi tindakan negatif itu tidak selayaknya dibiarkan berlanjutan, atau dilakukan kritikan diluar dari kerangka mereka, sebaliknya pandangan positif perlu dibina dengan sebijaksana yang mungkin.

KE’VIP’AN PENGGUIN

Tengok nasional geografi, kita dapat melihat watak-watak penguin dalam berkawan. Sesama mereka menjadi teman, sebeda mereka menjadi ganjilan. Ketika berjalan, cerdik kelihatan. Tetapi, disebalik kelihatan cerdik, terkandung seribu satu ke’VIP’an.

Keadaan ini yang menyebabkan anak-anak muda agak susah hendak mendekat diri dengan AMK Malaysia. Jika wujud kawan, kelihatan wajah-wajah projek dan kewangan. Justeru tidak hairan, AMK mendapat sambutan hangat di negeri PKR menang besar, dan agak tidak kelihatan di negeri-negeri yang kerusi PKR berkurangan.

NIZAR DAN ANWAR

Ada dua dua tokoh di negara ini yang dilihat mesra anak muda. Anwar Ibrahim dan Nizar dilihat anak muda sebagai ikon perjuangan. Di mana sahaja berjumpa dengan anak muda, nama Anwar Ibrahim dan Nizar menjadi buah mulut anak-anak muda

Mengapa mereka menjadi ikon politik anak muda? Kerana mereka sering buat show, tidak skema dan bersikap cool. Waima memegang jawatan ’VIP’, tetapi mereka tidak bersifat ke’VIP’an ketika bersama anak muda.

Sedihnya, dua tokoh ini tidak dicontohi pemimpin-pemimpin dalam pemuda PAS dan AMK. Ekoran itu, anak-anak muda ini akan melaungkan nama dua tokoh ini berbanding parti yang didokong.

Pun begitu, jika kita melihat lebih luas dari daerah Pakatan Rakyat. Khairy jamaluddin dilihat lebih kehadapan dalam menarik minat anak muda kepada UMNO. siapa yang boleh sangka, seorang ketua pemuda UMNO yang boleh menjadi pelakon dalam filem pendek 15malaysia?

Siapa yang boleh sangka, ketua pemuda UMNO itu, sering buat show yang menarik minat anak muda untuk melihatnya, seperti bawa motor kapcai, merayau-rayau dalam kempen Pilihanraya. Waima penyokong dan pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PKR meluat, tetapi tindakannya itu menarik minat anak-anak muda untuk menjadi pengikutnya.

Mujur Khairy Jamaluddin ini mempunyai musuh dalaman pemuda UMNO Malaysia sendiri, seperti Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir. Kalau tidak kerana dua ’jembalang tanah’ ini, sudah pasti sekarang Khairy sudah berjaya membuktikan kejayaannya menarik minat anak-anak muda kepada UMNO, seterusnya mereka tidak mengenali lagi tokoh-tokoh pemuda dari PAS dan AMK.

Mungkin demi kemajuan parti PAS dan PKR di masa akan datang, PAS tidak boleh lagi menabalkan ’ustaz’ sebagai ketua pemuda Pusat, dan ’Mat elit’ sebagai ketua AMK Malaysia.

Sekian

PATIK MOHON SEMBAH DERHAKA

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
17 oktober 2009 * 12:52 pagi


Rabu, 14 Oktober 2009

IKTIBAR DARI KEJATUHAN DINASTI ABBASIYYAH

IKTIBAR DARI KEJATUHAN DINASTI ABBASIYYAH

Pemerintahan dinasti Abbasiyyah jatuh di tangan seorang tokoh penakluk bernama Hulagu Khan yang merupakan cucu kepada Gengis Khan. Khalifah terakhir yang menjadi punca utama kejatuhan Dinasti Abbasiyah bernama Khalifah al-Muktasim Billah. Ketika itu, pusat pemerintahan Abbasiyyah bertapak di Kota Baghdad, Iraq.

Dalam sejarah, dilihat kejatuhan itu berpunca dari kelemahan Khalifah al-Muktasim Billah. Beliau yang hanya mendengar nasihat dari pengampu kerajaan, walhal pengampu tersebut mempunyai seribu satu agenda untuk menjatuhkan pemerintahan Khalifah Islamiyyah tersebut.

Waimma mempunyai kemahiran dalam bidang al-Quran dan as-Sunnah, tetapi ternyata Khalifah al-Muktasim Billah merupakan seorang yang kurang cerdik. Beliau amat mempercayai penasihatnya yang bernama Umayiduddin, sedangkan ketika itu sudah banyak tindakan-tindakan Umayiduddin yang amat meragukan.

Segala nasihat dan cadangan yang diberikan oleh Umayiddin, terbukti banyak tidak memberi faedah kepada Islam, seperti cadangan mengadakan hubungan perpaduan dengan Hulagu Khan, walhal ketika itu tentera Hulagu Khan sudah bersiap sedia untuk melakukan serangan terhadap pusat pemerintahan kerajaan Abbasiyyah di Kota Baghdad tersebut.

Walau diberi nasihat oleh Ketua Tentera kerajaan Abbasiyyah bernama Rukunuddin, Khalifah tetap meletakkan kepercayaannya kepada Umayiduddin, walhal penasihat tersebut mempunyai hubungan dengan Hulagu Khan dalam usaha hendak menjatuhkan kerajaan Abbasiyyah secara senyap-senyap.

Umayiduddin dijanjikan oleh hulagu Khan dengan jawatan raja, sekiranya tentera Hulagu Khan berjaya menguasai Baghdad. Makanya, dengan segala kecerdikan yang ada, digunakan oleh Umayiduddin untuk memperdayakan Khalifah al-Muktasim billah, sehingga Hulagu Khan dan bala tenteranya berjaya masuk ke kota Baghdad tanpa menghadapi sebarang kesusahan dan kepayahan.

Beberapa tindakan yang dilakukan oleh Umayiduddin ini sudah dihidu oleh ketua tentera Kerajaan Abbasiyyah, Rukunuddin, malahan ia telah dilaporkan oleh Rukunuddin kepada Khalifah. Pun begitu, disebabkan kebodohan dan “lurus bendul” yang wujud dalam diri Khalifah al-Muktasim billah, menyebabkan segala laporan yang disampaikan oleh Rukunuddin tidak diambil endah.

Sebagai khalifah, apabila diberitahu tentang keraguan yang ditimbulkan oleh Ketua Tentera Kerajaannyaterhadap Umayiduddin, hendaklah khalifah bertindak seperti Saidina Omar; melakukan siasatan untuk memastikan kebenaran dakwaan anaknya itu. Hendaklah beliau sendiri melakukan siasatan dengan berjumpa dengan rakyat-rakyat bawahan, bukannya hanya merujuk kepada orang-orang tertentu sahaja.

Memandangkan Khalifah seorang yang mempunyai sifat ego, sombong, malas, penting diri dan lurus bendul, dia tidak mengambil peduli terhadap dakwaan Rukunuddin yang sedia sangsi dengan kewujudan Umayiduddin, disamping khalifah sendiri masih lagi tidak bertindak untuk menyiasat untuk memastikan dakwaan tersebut.

Umayiduddin yang mempunyai kebijaksanaan mengungkap ucapan yang menarik, disamping kepetahan membaca bait-bait ayat-ayat al-Quran, menyebabkan Khalifah tidak mempercayai segala dakwaan Ketua tentara Kerjaaan Abbasiyyah, Rukunuddin. Seterusnya, segala rencana yang dirancang oleh Umayiduddin berjalan dengan jayanya, sehingga melahirkan kejatuhan Kota Baghdad yang merupakan pusat pemerintahan kerajaan Abbasiyyah ketika itu.

Sekian



Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com






- Sri indah (B), sg Buloh
15 oktober 2009 * 3:29 pagi

Isnin, 12 Oktober 2009

BERDAKWAH DI KALANGAN PENGKAGUM ADAT


BERDAKWAH DI KALANGAN PENGKAGUM ADAT

“biar mati anak, jangan mati adat” satu ungkapan bagi mereka yang sangat mempertahankan adat pepatih. Adat ini amat kuat diamalkan di negeri Sembilan.

Islam datang tidak menyerang adat, tetapi mengakui sebarang adat yang tidak bercanggah dengan islam. Pun begitu, dikala wujud adat yang bercanggah dengan Islam, makanya Islam menyeru agar adat itu diubah sedaya mungkin yang mampu.

Di Negeri Sembilan, adat pepatih menjadi pegangan yang teramat kuat. Menyerang adat di sana, merupakan satu tindakan yang tidak bijak, malahan akan melahirkan kerugian dakwah yang teramat sangat.

Justeru, mengambil sikap menyerang adat-adat mereka demi untuk melihat adat itu tidak diamalkan adalah tindakan yang tidak sihat, sebaliknya yang bijak adalah dengan menggunakan segala kebijaksanaan yang ada untuk memberhentikan pengamal adat itu agar meninggalkan adat itu sedikit demi sedikit.

Berdakwah dari kalangan manusia yang kuat memegang adat telah terbukti kejayaannya. Ini pernah dilakukan oleh sebilangan ulama-ulama dari negara Indonesia yang dikenali sebagai wali songo (baca : wali sembilan)

Sejarah perjuangan wali sembilan ini, amat perlu dipelajari dan ditauladani dalam usaha hendak melihat kemenangan islam di Negeri Sembilan.

Jika dibaca sejarah wali sembilan ini, ada seorang dari kalangan mereka digelar dengan gelaran Sunan Ampel (yang pasti, bukan dari Padang Terap, Kedah). Nama betul beliau adalah Raden Rahmat.

Mengikut cerita, sebab diberi gelaran Sunan Ampel itu adalah kerana, bapa beliau telah mengarahkan beliau bersama dengan dua orang adik beradiknya supaya pergi ke Jawa menemui Prabu Brawijaya. Dalam perjalanan ke Jawa, mereka tinggal di Majapahit selama setahun. Di Majapahit, Raden Rahmat telah berkahwin dengan putri temenggung wilwatikta yang bernama Ki Gede Manila. Setelah perkahwinan tersebut, raja Majapahit meminta agar Raden Rahmat tinggal di daerah Ampeldenta.

Waimma raja memerintah ketika itu tidak beragama Islam, tetapi kehadiran Raden Rahmat untuk berdakwah dan menyampaikan islam tidak dihalang. Justeru, peluang ini telah digunakan sepenuhnya untuk menyeru rakyat Ampel kepada Islam.

Raden Rahmat, atau Sunan Ampel amat dikenali seorang yang cukup bijak dalam mengadaptasikan syariah dalam masyarakat Ampel yang sangat berpegang dengan adat. Sunan Ampel tidak bertindak menyerang adat rakyat ampel, sebalik berkawan dan membelai mereka sehingga mereka menerima Islam.

Antara tindakan beliau yang menarik adalah, beliau adalah manusia yang mempelopori penggunaan kalimah ”sembahyang” bagi menggantikan kalimah solat. Walau kalimah ”Sembahyang” berasal dari kalimah ”sembah + dewa Hyang”, tetapi sengaja digunakan demi mendekatkan rakyat ampel kepada Islam.

Begitujuga, digunakan perkataan ”santri” kepada penuntut-penuntut agama Islam di pesantren beliau, walhal asal penggunaan ”santri” adalah digunakan untuk mereka yang mendalami kitab-kitab hindu.

Beliau tidak bertindak gopoh dalam menyeru rakyatnya kepada Islam, sebaliknya menggunakan konsep berhikmat dan berstrategi. Dalam dakwah, beliau tidak terus menyerang adat dan budaya, sebaliknya mengambil beberapa perkara yang tidak melahirkan pertembungan antara Islam dan adat, seperti melakukan kempen ”moh lima” yang merujuk kepada ”Moh Main” iaitu tidak main judi, ”moh Ngombe” iaitu tidak boleh mabuk, ”Moh maling” iaitu tidak mencuri, ”Moh Madat” iaitu tidak menghisap candu dan ”Moh Madon” iaitu tidak boleh berzina.

Kempen ”moh lima” yang dilakukan beliau itu, sebenarnya dilihat kepada masalah besar dikalangan rakyat ampel ketika itu, terutama masalah kemerosotan moral warga yang sering dikeluhkan oleh Sri Kertawijaya.

Berkat usaha dan kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah islamiyyah kepada rakyat ampel, menyebabkan ramai dari kalangan rakyat ampel yang menerima Islam, disamping rakyat Ampel terlalu sayang kepada Raden Rahmat. Ekoran dari itu, menyebabkan beliau terus mendapat gelaran Sunan Ampel yang bermaksud ”utusan tuhan di Ampel”.

Kejayaan Sunan Ampel ini, wajar dijadikan tauladan dalam menyeru manusia kepada Islam, terutama pemegang adat pepatih yang masih kuat diamalkan di Negeri Sembilan. Bertindak menyerang adat pepatih di negeri Sembilan, sebenarnya akan melahirkan prejudis mereka terhadap islam. Apabila prejudis sudah wujud, sudah pasti dakwah akan susah untuk berjaya.

Justeru, belajarlah dari sejarah Sunan Ampel ini dalam menghasilkan dakwah yang berkesan. Tindakan dakwah seperti puak-puak Wahabi di Saudi tidak relevan diamalkan di Malaysia, kerana ia melahirkan perbalahan yang amat merugikan islam itu sendiri. Cara wahabi, biarkan ia berlaku di saudi, tetapi jangan dibawa budaya saudi itu ke Malaysia.

Sekian

p/s : menurut satu laporan ’post mortem’ tentera, rakyat Negeri Sembilan agak sukar menerima PAS di sana disebabkan PAS bertindak menyerang adat pepatih.


Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 oktober 2009 * 2:17 petang


CUBA TEKA, MANA SATU YAHUDI?


Siapa pimpinan umno/BN ini? dengan siapa dia berbincang? kenapa berbincang berdua-duaan? mengapa tidak diketahui rakyat Malaysia pertemuan ini? ada apa-apa ker?

Ahad, 11 Oktober 2009

BAGAN PINANG : PANDANGAN PERIBADI TERHADAP KEKALAHAN PAS


BAGAN PINANG : PANDANGAN PERIBADI TERHADAP KEKALAHAN PAS

Pilihanraya kecil Bagan Pinang sudah berlalu, keputusan juga telah dikeluarkan. Sebelum keputusan dikeluar pun, sudah diagak bahawa PAS akan kalah di DUN bagan Pinang ini. Cumanya, tidak disangka PAS kalah begitu teruk.

Usah disalahkan kepada rakyat, kerana mereka adalah orang bawahan yang sentiasa memerhatikan segala kejadian dikala pilihanraya sedang berlaku.

Dalam pilihanraya ini, aku terlalu acap kali berulang-alik ke Bagan Pinang. Di sana, aku sering ke kedai-kedai kopi dan sekitar perkampungan, memerhatikan mood rakyat terhadap pilihanraya yang sedang berlaku.

Di ceramah-ceramah BN dan PAS, juga aku hadiri, untuk mengetahui keadaan dan sokongan rakyat tempatan terhadap PAS.

Di awal pemerhatianku, aku sudah menjangkakan bahawa PAS akan kalah, disebabkan banyak factor. Antara yang aku ingin berkongsi bersama adalah seperti berikut;

FAKTOR CALON

Aku tidak mengenali calon PAS yang merupakan pesuruhjaya PAS negeri Sembilan itu secara dekat. Setelah perlantikan beliau sebagai calon, mungkin aku baru agak mengenali beliau, waima hanya melihat dari jauh sahaja.

Ramai pengundi-pengundi mendakwa beliau seorang yang ‘sombong’. Malahan, kedengaran juga dari sebilangan pengundi-pengundi cina yang menyebut, “ini orang banyak sombong maa!!”.

Walau kedengaran dari mulut pengundi berbangsa cina, tetapi PAS tetap mendapat undi mereka, ini disebabkan factor kebencian cina kepada BN sudah tahap yang susah mahu diubatkan lagi. Ditambahi lagi, parti MCA yang kononnya mewakili bangsa Cina di Malaysia sedang EGM, menampakkan BN sudah tidak dapat memberikan harapan kepada mereka.

Pun begitu, terpanculnya perkataan ‘Sombong’ dari mulut pengundi cina tersebut, sedikit sebanyak ia merupakan tafsiran umum bagi kandungan isi hati pengundi-pengundi di Bagan Pinang terhadap calon PAS pada kali ini.

Begitujuga, pilihanraya kecil kali ini, memperlihatkan kekarismaan Calon BN dalam menarik undi rakyat terhadap beliau berbanding Calon PAS. Mana tidaknya, Isa Samad sering sahaja kelihatan menjawab dan menyerang isu-isu yang dikemukakan PAS, tetapi Zulkifli tidak kedengaran langsung sebarang isu yang dijawab, atau serangan isu yang dikemukakan oleh beliau.

Mungkin kesenyapan beliau dalam mengemukakan sebarang isu ini merupakan satu strategi, tetapi padaku, strategi itu mungkin amat tepat jika beliau tidak berhadapan dengan isa Samad yang dilihat seperti bijak menjawab, juga mengemukakan isu-isu secara serangan.

ISU PAS TIDAK MENARIK MINAT

Dimaklumkan juga, bagan pinang merupakan tempat kesayangan rakyat terhadap Isa Samad. Ada kawan-kawan memaklumkan, sokongan rakyat Bagan Pinang kepada Isa Samad, samalah seperti sokongan Rakyat Rusila terhadap Tuan Guru Haji abdul Hadi, ataupun sokongan rakyat permatang pauh terhadap Anwar Ibrahim.

Justeru, cara permainan isu di Bagan Pinang tidak boleh sama seperti permainan isu di tempat-tempat yang lain. Dilihat, permainan isu yang dilakukan oleh Salahuddin Ayub dan Dr Zulkifli Ahmad, agak lemah. Tetapi, setelah sebarang isu itu disambut pula oleh Saudara Mahfoz Omar, baru kelihatan sebarang isu yang dibawa agak mencengkam jiwa.

Ini kerana, isu yang dibawa oleh Mahfoz lebih bersifat “memukul gendang untuk menjadikan musuh menari”, berbanding cara ulasan Isu yang dikemukakan oleh Salahuddin Ayub dan Dr Zulkifli Ahmad yang boleh disifatkan “menari dengan gendang mainan musuh”.

UNDI INDIA

India satu bangsa yang amat dikenali sebagai bangsa yang miskin di Malaysia. Mereka mengharapkan pergantungan dari sesiapa sahaja yang boleh membantu mereka.

Di saat PAS hendak berhadapan dengan UMNO/BN di Bagan Pinang, kedengaran isu ‘melayu’ dibisingkan oleh PAS di Selangor, iaitu melibatkan isu selcat.

Tidak dinafikan, isu selcat yang dibangkitkan oleh Hasan Ali ini memang melibatkan kepada pegawai-pegawai kerajaan, tetapi yang pastinya, Hasan Ali sudah dikenali ramai sebagai tokoh politik dari parti PAS yang amat mementingkan melayu berbanding bangsa-bangsa lain. ini dapat dilihat dengan banyak isu-isu di Selangor yang melibatkan beliau. Ditambahi lagi, tindakan hasan Ali bertindak bersuara dalam isu selcat ini dengan alasan mempertahankan pegawai-pegawai kerajaan yang berbangsa melayu, disamping penal penyiasat seperti mewakili bangsa selain melayu, walhal penal selcat itu sendiri terdapat beberapa orang-orang melayu.

Justeru, kehadiran Hasan Ali dengan isu ini, sedikit sebanyak memberi kesan kepada bangsa India yang sedia kala miskin dan susah. Apabila mereka sudah tidak dapat mendapat lindungan dari PAS, sudah pasti mereka akan mencari lindungan dari parti lain. lebih-lebih lagi, ketika itu Najib baru sahaja merasmikan parti Makkal Sakti.

Isu Hasan Ali ini tidak boleh dirujuk kepada bangsa cina, kerana bangsa cina tidak seperti bangsa India. Cina adalah bangsa yang sudah diketahui umum, mempunyai kuasa ekonomi yang tinggi, disamping ramai dari kalangan mereka mempunyai latar belakang pengajian yang agak tinggi, waima dari universiti swasta sekalipun.

Lebih-lebih lagi, orang Cina ini mempunyai satu parti yang sudah umum kelihatan seperti parti yang mewakili bangsa mereka, iaitu DAP, waimma dasar DAP adalah Malaysian Malaysia yang tidak dikhususkan kepada bangsa Cina sahaja.

ANAK MUDA

Anak-anak muda tidak berbelah pihak kepada PAS. kita dapat melihat, mood anak muda lebih kepada BN. Keadaan ini berlaku, kerana pemuda-pemuda PAS tidak kelihatan seperti mesra anak muda, sebaliknya ramai yang hadir seperti mujahidin yang hadir ke bumi Afghanistan untuk mencari tentera Rusia yang menyerang Bandar Kabul.

Adapun BN, mereka mengambil sikap berkawan dengan anak-anak muda. Diberikan duit kepada mereka, untuk diarak bendera BN. Justeru, tidak hairan ramai dari kalangan mereka membawa bendera BN dan seterusnya tindakan tersebut melahirkan satu pandangan anak-anak muda yang lain untuk mereka menyokong BN, berbanding PAS.

Merupakan satu kesilapan besar, apabila ketua pemuda PAS Pusat, Ustaz Din Tantawi didakwa menyebarkan satu sms yang mengajak berjihad. Tidak diketahui, benarkah sms itu datang dari Ustaz Dan Tantawi atau tidak. Yang pastinya, Ustaz Din Tantawi tidak pernah menafikannya.

Tidak dinafikan, sms tersebut memang mengajak kepada Islam (sila klik), tetapi ternyata ia amat tidak tepat disebarkan di Pilihanraya Bagan Pinang, kerana ia boleh mengundang seribu satu spekulasi musuh, yang sudah pasti PAS disinonimkan sebagai parti Taliban amat kuat.

Justeru, Pemuda PAS perlu menjadi sebuah badan pemuda yang bersifat ”Cool yang tidak skema” bagi mendekatkan diri dengan anak muda. Tetapi, sekiranya pemuda PAS masih lagi terus dalam bentuk ”mat skema yang tidak cool”, sampai bila pun anak-anak muda agak susah hendak mengikut Pemuda PAS.

Sekian

P/s : aku agak bersetuju (walau tidak 100 %) dengan satu komen yang dihantarkan kepadaku. Komen tersebut adalah seperti berikut, ”Akhirnya rakyat di Bagan Pinang menolak PAS, menghalau keluar ke kg halaman masing... Maaf, tp sekiranya anda pergi ke Bagan Pinang, sememangnya penyokong parti PAS lebih ramai ttp dtg dr luar negeri sembilan, sikap amat agresif seperti niat bukan berkempen ttp berperang, membaling batu hingga mencederakan org lain termasuk wanita dan wakil media, provokasi melampau kerana penyokong PAS lebih ramai dr BN. Pd hemat saya, ramai dr penyokong PAS itu sendiri yg tk faham maksud Jihad, mungkin Islam sendiri... -Mazda6, N9”

Wallahu ’Alam

PATIK MOHON SEMBAH DERHAKA

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 oktober 2009 * 1:35 petang






MAKLUMAT TERKINI : BAPA RASUAH MENANG BESAR

RASMI pukul 8 malam : BN menang dengan majoriti tinggi, iaitu 5435. Iaitu, BN mendapat sebanyak 8013 undi dan PAS dapat sebanyak 2578 undi.

pukul 7:10 malam : Maklumat terkini yang kita dapat, keputusan semasa bagi pilihanraya kecil Bagan Pinang pada hari ini, setakat pukul 7:10 malam adalah seperti berikut (tidak rasmi);

PAS : 2490

BN : 7821

Justeru, Bapa Rasuah menang dengan majoriti sebanyak 5331

Pengundi yang keluar mengundi hanya 11 ribu orang lebih sahaja.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com