Sabtu, 24 September 2011

MASYARAKAT MAJMUK TIDAK BOLEH LAKSANAKAN ISLAM?

[1]

Dalam tahun lepas, masjid “terapung” di Puchong Perdana adalah menganjurkan satu forum. Aku dijemput menjadi panel untuk digandingkan bersama Bekas Pengarah Yadim yang merupakan agamawan ternama dalam UMNO. Beliau adalah bekas Naib Presiden PAS di suatu ketika masa dahulu. Di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, boleh dikatakan penasihat agama yang terpenting. Beliau adalah Dato’ Haji Nakhaie Haji Ahmad.

Dalam forum tersebut, antara perkara yang dibangkitkan oleh Dato’ Nakhaie adalah tentang sukar perlaksanaan Islam di Malaysia dengan alasan masyarakat majmuk. Alasan lapok ini pernah aku dengar semasa sedang menuntut di Pondok dahulu.

Apabila sampai kepada giliranku, kejayaan perlaksanaan Islam di Madinah menjadi focus ulasanku. Dalam hujjahku, Madinah berjaya dilaksanakan Islam berbanding makkah, walhal masyarakat majmuk itu berada di Madinah, bukan di Makkah. Hujjahku itu tidak dibalas oleh Dato’ Nakhaie, tetapi dikupas oleh beliau tentang perselisihan di kalangan umat Islam dalam beberapa isu kecil, seperti isu wahabi dan sebagainya.

[2]

Aku secara peribadi, meyakini kebaikan dan keadilan hudud. Non Muslim juga tidak perlu takut dengan hudud, malahan mereka sepatutnya juga sokong hudud ini.

Aku sering mengumpamakan orang yang tidak mahu hudud ini seperti seorang yang tidak pernah makan cili atau lada. Ia sering dimomokkan bahawa lada itu pedas sehingga menyebabkan dia bukan sekadar tidak mahu makan, tetapi terlalu takut dengan lada. Lalu, apabila dia termakan sekali, dia mula merasakan betapa sedapnya lada itu. Akhirnya, dia sendiri akan mencari lada apabila hendak makan.

Hudud ini ditakuti kerana dimomokkan jahat oleh orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak mahu dilaksanakan, tetapi dijadikan perkara yang dipolitikkan. Ia digunakan sebagai modal untuk menundukkan musuh politik.

Rakyat jadi takut dengan hudud, kerana perkara yang dibangkitkan adalah keburukkan yang sedikit berbanding kebaikan yang banyak. Apabila keburukkan yang sedikit itu sering dibangkitkan sehingga kebaikan yang banyak itu dikaburkan, menyebabkan hudud yang baik sudah dilihat buruk oleh masyarakat.

Ia seperti orang yang hendak membeli kereta, tetapi sering dimomokkan dalam pemikiran pembeli itu bahawa tayar kereta yang bakal dibeli akan pancit atas bukit grik yang gajah, harimau dan berbagai-bagai lagi binatang buas ada. Disebabkan momokkan itu terlalu banyak, memberi kereta pun tak jadi.

Keadaan yang sama juga berlaku pada hudud. Pihak yang memomokkan itu membesarkan keburukkan yang kecil, seperti sakit potong tangan, sakit kena sebat dan itu dan ini, tetapi mereka abaikan keadilan sejagat dalam masyarakat, pengurangan kadar jenayah, menyelamatkan perasaan dendam dalam diri keluarga mangsa jenayah dan sebagainya. Apabila ini dilakukan, tidak pelik keadilan hudud semakin malap. Ekoran itu, ia dibenci sekian lama.

MAQASID SYARIAH UNTUK TIDAK LAKSANA HUDUD : MENJAWAB "ULAMA UMNO"

[1]

Najib guna "maqasid syariah" untuk tidak melaksanakan hudud. Betul ke kaedahnya?

aku jawab, Kalau Khawarij dulu berlawan dengan Saidina Ali, mereka menggunakan perkataan "Tiada hukum kecuali hukum Allah", lalu dijawab oleh Saidina Ali dengan katanya, "Perkataan itu adalah benar, tetapi yang dikehendakinya adalah kebatilan". Maka begitulah jawapanku terhadap soalan ini.

[2]

Betul ke Maqasid digunakan untuk tidak melaksanakan hukuman termaktub dalam al-Quran?

aku jawab, Maqasid Syariah digunakan untuk melaksanakan Islam secara hikmah, bukan untuk tidak melaksanakan Islam. Dengan maksud, perlaksanaan itu mesti ada perancangan dan plan tindakan serta target.

[3]

soalanku pula, siapa ulama UMNO yang berada di belakang Najib?

sekian

Wallahu 'Alam

Jumaat, 23 September 2011

HUDUD DI MALAYSIA DALAM PADANG DEMOKRASI, BUKAN MONARKI

[1]

Malaysia ini bukan Negara monarki, tetapi Negara demokrasi. Dalam demokrasi, perlaksanaan sesuatu undang-undang atau dasar, tertakluk kepada suara majority. Tanpa mendapat sokongan ramai, ia melahirkan penolakan. Makanya, kebaikan yang diimpi, tetapi keburukan yang tercapai.

Kita tidak boleh sekadar berharap sesuatu impian yang baik itu sekadar tercapai. Tetapi, lebih dari itu adalah, impian yang baik itu kekal diamalkan. Inilah tuntutan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Oleh sebab itu, dalam kitab al-Muwafaqat tulisan Imam As-Syatibi, dinukilkan tindakan Umar bin Abdul Aziz yang tidak terus melaksanakan Islam secara total sejurus mengambil tampuk pemerintahan. Apabila Abdul Malik yang merupakan anak kesayangannya bertanya tentang hal itu, beliau menjawab;

“Jangan kamu gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah cela arak dalam al-Quran sebanyak dua kali, dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang dilaksanakan kebenaran (Islam) secara total, menjadikan rakyat menolaknya pula secara total. Ia merupakan fitnah”.

Umar menjawab sebegitu, kerana Umar mementingkan kejayaan perlaksanaan islam itu bersifat kekal, bukan sementara. Umar tidak berfikir untuk mencapai sesuatu impian sahaja, tetapi Umar berfikir lebih dari itu, iaitu bagaimana impian itu kekal diamalkan. Kebaikan pada Umar, bukan sekadar impian, tetapi kejayaan perlaksanaan.

[2]

Dalam sejarah Islam, diceritakan bahawa Saidina Umar al-Khattab pernah menangguhkan perlaksanaan hukuman potong tangan yang merupakan salah satu hukum hudud yang termaktub dalam al-Quran. Ditangguhkan kerana, ketika itu tertimpa tahun kelaparan. Kelaparan merupakan syubhat, kerana dibimbangi keadilan yang ingin dicapai, tetapi kezaliman yang terlaksana.

Melaksanakan hukuman potong tangan terhadap pencuri adalah satu keadilan. Tetapi, memotong tangan pencuri yang mencuri di kala tiada makanan, dan sang pencuri mencuri itu pula dalam keadaan terpaksa, maka tindakan memotong tangan pencuri itu merupakan kezaliman. Ekoran itu, Saidina Umar menangguhkan perlaksanaan salah satu hukuman hudud tersebut.

Di Malaysia, hukuman Hudud sudah menjadi buah mulut. Sejak 20 tahun dahulu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah melontarkan idea ini, dan diteruskan usaha ini dalam kerajaan PAS di Terengganu dahulu.

Namun, kelemahannya adalah dari sudut penerangan kepada rakyat. lebih-lebih lagi, propaganda UMNO/BN agak kuat menyebabkan hudud yang baik berjaya diburukkan oleh UMNO/BN. Makanya, kerajaan PAS yang mempunyai hasrat yang baik, tidak berjaya melaksanakan hasrat itu, malahan kalah dalam PRU selepas itu.

Dilemma tidak memahami kebaikan hudud, melahirkan problem yang cukup besar. Jika yang tidak memahami itu sebilangan kecil rakyat, ia tidak memberi kesan yang buruk, tetapi jika majority rakyat tidak memahaminya, perlaksanaan hudud melahirkan kesan yang amat bahaya. Dibimbangi, hudud yang baik itu bakal dilihat buruk oleh masyarakat. Jadi, ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

[3]

PAS berada dalam padang demokrasi, bukan padang monarki. Jika Kelantan itu kerajaan beraja, dan PAS itu adalah rajanya, tidak menjadi sebarang masalah terhadap perlaksanaan hudud dalam jangka masa ini. Tetapi, yang PAS perlu fikirkan bahawa PAS berada dalam padang demokrasi. Ia melibatkan suara majority rakyat dalam menentukan kejayaan perlaksanaan hudud itu diterima dan terus diamalkan.

Tidak ada faedahnya hudud hanya berjaya dilaksanakan dalam jangka 5 tahun sahaja, tetapi selepas itu hudud dibuang oleh rakyat jauh ke laut. Tetapi yang paling baik adalah, hudud dilengahkan selama 5 tahun, tetapi selepas 5 tahun hudud itu diterima rakyat, dan berjaya dilaksanakan. Perlaksanaan itu berterusan sehingga bumi ini dibinasakan oleh Allah.

Ekoran itu, tindakan yang perlu dilakukan (diletak target selama 5 tahun sahaja) adalah seperti berikut;

Pertama :

Gerakan usaha memahamkan hudud lebih berkesan. Tidak sekadar berlingkar di kawasan Kelantan sahaja, tetapi hendaklah penerangan itu meliputi seluruh Malaysia. Bentuk penerangan itu seperti mengadakan seminar, wacana, sebaran handbill dan sebagainya. PAS dan kerajaan PAS wajib mengambil peranan ini.

Kedua :

Mewujudkan badan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan usaha memahamkan rakyat tentang hudud. Golongan ini terdiri dari kalangan mereka yang berkepakaran tentang hudud, dan mempunyai kebijaksanaan dalam menerangkan hudud dalam bentuk yang cukup berhikmah.

Mereka yang terlibat dalam NGO ini, hendaklah dilatih tentang cara dan pendekatan yang baik dalam mendepani sasaran yang belum memahami tentang hudud, agar penyampaian kandungan hudud kepada rakyat benar-benar memberi impak yang baik.

Ketiga :

Dianjurkan Seminar dan wacana yang berkaitan dengan Hudud, dengan tidak boleh diabaikan menjemput wakil-wakil parti selain PAS. Jika pihak PAS bentang kertas kerja tentang hudud, maka diminta wakil dari DAP dan PKR mengomentar kertas tersebut. Seperti kertas kerja dibentang oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz atau Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, dan Karpal Sikh atau Lim Guan Eng pula yang mengomentarinya.

[4]

Sebelum kita bercakap soal perlaksanaan, seharusnya kita menyedari bahawa Malaysia adalah Negara demokrasi. Apabila rakyat secara majority mahukan hudud, DAP tidak bersetuju pun terpaksa akur dengan kehendak rakyat. ini kerana, parti mereka adalah parti demokrasi (Democtratic Action Party).

Selagi rakyat tidak diusahakan faham secara menyeluruh, dibimbangi perlaksanaan hudud tidak melahirkan kejayaan. Yang paling bimbang, ia melahirkan kegagalan dan hudud itu pula lebih dibimbangi dilihat buruk oleh rakyat.

Sesuatu perlaksanaan hudud, jangan sekadar berfikir untuk tercapai impian sahaja, tetapi hendaklah difikirkan kejayaan perlaksanaan itu tanpa melahirkan penolakan merupakan mudharat yang lebih besar.

Hanya berfikir untuk mencapai impian tanpa memikirkan kejayaan perlaksanaan yang baik merupakan tindakan yang gopoh, sedangkan gopoh itu dibenci oleh Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, “Gopoh itu sebahagian dari Syaitan”.

Kaedah fiqh ada menyebut, “barangsiapa yang bergopoh terhadap sesuatu sebelum masa yang sesuai, ia akan diakibatkan pengharamannya”.

Jadi, dalam hal ini, perlu diambil kira padang demokrasi dalam perlaksanaan Islam. Iaitu, PAS perlu mengambil himpunan suara rakyat untuk melaksanakan hudud. Ia bukan bermakna mendahulukan rakyat berbanding keputusan Allah, tetapi ia bertujuan untuk mencapai kejayaan perlaksanaan yang jitu, baik dan harmoni, tanpa melahirkan penolakan dan pemburukan pada hukum Allah SWT itu.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Khamis, 22 September 2011

[CADANGAN] KELANTAN JUARA DEMOKRASI SEGAR !!

[1]

Dalam sejarah khilafah islam yang empat, didapati cara perlantikan keempat-empat tokoh itu tidak sama antara satu dengan yang lain. Perjalanan perlantikan yang paling menarik dari perlantikan semua khalifah ini adalah saat perlantikan Saidina Osman.

Dalam hadis riwayat Al-Bukhari, didatangkan satu hadis yang cukup panjang. Iaitu dari seorang sahabat bernama Amru bin Maimun. Dalam hadis tersebut, diceritakan tentang sejarah perlantikan Saidina Osman bin Affan sebagai Khalifah.

Diceritakan bahawa Saidina Umar telah menamakan enam orang sebagai calon Khalifah selepas kemangkatan beliau. Enam orang itu adalah Ali bin Abi Talib, Osman bin Affan, Az-Zubair bin Al-Awwam, Talhah, Saad dan Abdur Rahman bin Auf. 

Setelah ditapis dikalangan para sahabat terhadap keenam-enam sahabat tersebut, yang kekal layak untuk menjadi khalifah adalah dua orang, iaitu Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidina Osman bin Affan.

Lalu bagi memastikan siapakah yang lebih layak dari kedua-dua tokoh ini, Abdur Rahman bin Auf telah menghimpun pandangan rakyat berdasarkan kepada pandangan ketua-ketua dan orang-orang mulia dari kalangan mereka. Usaha Abdur Rahman menghimpunkan pandangan tersebut berlanjutan selama tiga hari tiga malam. Kesungguhan Abdur Rahman bin Auf itu sehingga beliau tidak cukup tidur, malahan sempat menunaikan solat dan berdoa meminta bantuan Allah SWT bagi member keputusan yang baik.

Setelah selesai menghimpun semua pandangan-pandangan manusia ketika itu, didapati orang yang lebih layak menjadi Khalifah selepas Saidina Umar adalah Saidina Osman bin Affan. Makanya, tertaballah Saidina Osman sebagia Khalifah yang ketiga. (Al-Bukhari dalam kitab Fadhail Sahabat dan Kitab Ahkam).

[2]

Dari hadis ini, kita dapati Saidina Umar tidak menamakan seorang sahaja tokoh calon untuk Khalifah selepasnya. Sebaliknya, beliau mencalonkan beberapa nama untuk diserahkan kepada para sahabat untuk menentukan khalifah yang terlantik. 

Namun begitu, para sahabat hanya berjaya menapiskan kelayakan itu sehingga mereka sukar untuk menentukan antara dua, iaitu Saidina Ali dan Saidina Osman, manakah yang lebih layak untuk jawatan Khalifah. Ekoran itu, Abdur Rahman bin Auf telah mengambil sikap menyerahkan pemilihan dua tokoh ini kepada rakyat jelata sehingga keputusan menyatakan bahawa Osman adalah Khalifah yang terlantik.

Cara ini agak unik dan amat sesuai dengan pengamalan dalam budaya politik demokrasi pada hari ini. Di amerika, seseorang presiden Negara mereka dipilih oleh rakyatnya. Begitujuga diamalkan di Indonesia dan beberapa Negara yang lain.

Keadaan ini agak berbeda dengan Malaysia. Ini kerana, perlantikan seseorang Perdana Menteri atau Menteri besar, ia tidak melalui saluran rakyat jelata, tetapi tertumpu kepada keputusan parti yang menang dalam pilihanraya. 

Dalam kes Kelantan, aku mencadangkan PAS memulakan langkah demokrasi segar di Malaysia. Iaitu, tertumpu kepada perlantikan Menteri besar selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Dengan maksud, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menamakan beberapa orang calon untuk jawatan tersebut, kemudian keputusannya itu diserahkan kepada rakyat Kelantan. Atau dalam erti kata yang lain, selepas kemenangan PAS di Kelantan kelak, diadakan pilihanraya diperingkat negeri dalam menentukan siapa yang layak menjadi Menteri Besar.

[3]

Ataupun, dicadangkan kepada Kelantan dan negeri-negeri Pakatan rakyat yang lain, agar melakukan tindakan yang agak sama, tetapi berlainan sikit dari sudut mekanisma. 

Dengan maksud, setelah kemenangan pakatan rakyat memerintah Malaysia/negeri nanti, setiap parti-parti dari pakatan rakyat mencalonkan Perdana Menteri/menteri besar masing-masing, kemudian berlaku pilihanraya sekali lagi dalam menentukan Perdana Menteri/menteri besar mengikut undian rakyat jelata.

Ini sekadar cadangan sahaja, tidak semestinya ia adalah yang terbaik. Namun, sebagai rakyat Malaysia, aku berharap budaya demokrasi segar sebegini dapat diamalkan.

Sekian

Wallahu ‘Alam



Rabu, 21 September 2011

ISU HANTU BONCENG : JANGAN CEMBURU BUTA, JANGAN SENSITIF BUTA


[1]

Kita amat marah dengan ISA. Dakwa kita, ISA zalim. Apabila Najib mansuhkan ISA, lalu mahu digantikan dengan dua lagi undang-undang yang mempunyai unsur tahanan tanpa bicara, kita turut marah.

Orang yang ditahan ISA ini banyak bentuk. Ada yang ditahan tanpa dibicarakan. Tanpa dinafikan juga, di sana terdapat individu yang ditahan tanpa diselidiki terlebih dahulu.

Tanpa kita sedari bahawa kita juga mengamalkan ISA, iaitu Islamic Security Act. Lebel orang itu kafir, munafiq, murtad, tidak wala’, tidak siqah dan sebagainya, merupakan ISA yang kita amalkan.

Tuduhan terhadap filem Hantu Bonceng sebagai menghina agama merupakan satu tuduhan yang berat. Ia adalah ISA dalam bentuk Islamic. Sewajarnya, kalimah “menghina Islam” tidak digunakan, kerana ia memberi implikasi yang cukup berat.

Alangkah baiknya, jika dikatakan “diminta pihak yang berwajib mengkaji kandungan filem terbabit terlebih dahulu, kerana ia dianggap sebagai mengganggu sensitiviti umat Islam di Malaysia”.

Apabila lahir tuduhan “menghina Islam”, sudah pasti pihak yang dituduh mahu mempertahankan diri. Ekoran itu, keluarlah kenyataan yang tidak berapa sedap didengari dari pihak pengarah filem, Ahmad Idham dan seangkatan dengannya.

Kemudiannya, orang ramai pula mula marah dengan Ahmad Idham, apabila beliau tetap mempertahankan bahawa filem yang diarahkan oleh beliau tidak ada unsure menghina Islam. Malahan, tidak kurang juga kutukan dan makian terhambur untuk ditujukan kepada beliau. Di samping itu juga, Ahmad Idham dikhabarkan menggunakan perkataan yang agak kurang enak terhadap mereka yang menganggap filem itu sebagai menghina agama.

Padaku, pemuda PAS yang menuduh filem itu sebagai menghina Islam juga sepatutnya dipersalahkan. Lebih-lebih lagi, ia dianggap sedemikian rupa tanpa dibuat penyelidikan terlebih dahulu. Lebih-lebih lagi juga, sampai hari ini kita tidak kedengaran lagi dimanakah hujjah dan bukti bahawa filem itu menghina Islam. Yang diketahui hanya dengan dakwaan bahawa ia mengganggu sentisitiviti umat Islam.

Tindakan itu, seiras-iras sama dengan tindakan Kerajaan BN yang menangkap sebilangan tahanan untuk diletakkan dalam ISA.

[2]

Dalam Islam, sebarang tindakan perlu diperhatikan implikasinya. Al-Quran sendiri melarang kita mencela sembahan selain dari Allah, kerana bimbang implikasi yang buruk berlaku.

Firman Allah;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya;
“Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain dari Allah, nanti mereka akan cela Allah dengan permusuhan, tanpa ilmu” (Al-an’Am: 108)

Tindakan mendakwa bahawa filem terbabit sebagai menghina Islam tanpa penyelidikan terlebih dahulu, merupakan satu tindakan yang salah. Sudah pasti, ia melahirkan kesan sampingan yang buruk, iaitu kritikan dari pihak Ahmad Idham dalam suasana yang cukup buruk, kemudian berlaku pula kritikan mereka yang “sekepala” dengan pemuda PAS terhadap Ahmad Idham.

[3]

Dari sudut kandungan babak yang didakwa oleh Ketua Pemuda PAS itu, telah aku kupas dalam article yang lepas (sila klik). Malahan, ia telah dijawab juga oleh pihak penapisan filem. (sila Klik). Aku juga tidak tolak kemungkinan bahawa Pemuda PAS akan memohon maaf atas tuduhan sebagai “menghina Islam” apabila membaca atau mendapat penjelasan dari pihak lembaga penapisan filem terbabit.

Namun begitu, timbul beberapa perkara yang dijadikan sebagai hujjah sampingan bagi mengukuhkan pendapat Ketua Pemuda PAS itu. Ia adalah seperti berikut;

MELAWAK DALAM AGAMA

Melawak dalam agama ini, aku kira bukan pada filem itu sahaja. Malahan, banyak ceramah-ceramah yang disampaikan oleh sebilangan agamawan di Malaysia ini mengandungi unsure lawak.

Kita mesti kenal dengan Ustaz Azhar Idrus yang mempunyai pengaruh yang begitu besar di Malaysia pada kala ini. Ramai mendakwa bahawa factor lawak beliau menyebabkan ramai yang menjadikan beliau sebagai ikutan. Malahan, Pemuda PAS sendiri pernah memberi anugerah kepada beliau ekoran pengaruh yang ada pada beliau.

Jika kita perhatikan kuliah-kuliah beliau, kita akan dapati banyak kandungan kuliah beliau yang mempunyai unsure lawak. Seperti beliau pernah menyebut “siratal labi” yang merujuk kepada membaca “siratal Lazi”, juga lawak “takbir ultraman” yang merujuk kepada amalan dalam solat.

Begitujuga dahulu, Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaaqub pernah menjawab pendapat Mahathir yang mengatakan bahawa dalam Al-Quran tidak ada PAS, tetapi ada UMNO dengan merujuk kepada ayat;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا

Ayat ini bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman”, tetapi diterjemah oleh Mahathir dalam satu ceramah beliau sebagai “Wahai orang-orang UMNO”.

Bagi menjawab ulasan Mahathir itu, Allahyarham Ustaz Bunyamin Yaaqub mengatakan bahawa dalam al-Quran juga ada sebut PAS. Iaitu, dengan membaca ayat;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً

Maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu secara menyeluruh” (Al-baqarah : 208)

Tetapi, diterjemah oleh Allahyarham Ustaz Bunyamin sebagai “Wahai orang-orang UMNO, pakat-pakatlah masuk PAS”.

Tidak kedengaran seorang pun marah dengan tindakan itu. Tidak ada pula memorandum dan kritikan terhadap tindakan itu. Jika melawak dalam perkara agama dianggap sebagai sensitive secara mutlak, mengapa perkara ini tidak dibangkitkan langsung?

Padaku, jika yang sana salah, maka yang sini juga salah. Jangan disebabkan geng kita buat maka ia adalah tidak salah, tetapi ia dikira salah apabila dilakukan oleh orang lain.

PERSEPSI

Aku mengatakan bahawa kandungan dialog dalam babak yang dikritik itu tidak salah dari sudut balaghah. Jadi, seharusnya ia tidak menjadi isu. Namun begitu, ada pihak yang mengatakan bahawa ia hendaklah dilihat dari persepsi.

Kalau itu pendapat mereka, seakan-akan mereka lupa dengan beberapa isu yang melibatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam banyak kenyataan-kenyataan beliau.

Antaranya adalah seperti isu “tuhan samseng”. Ia menjadi satu persepsi yang cukup buruk, tetapi diselesaikan dengan perbahasan balaghah, iaitu satu bab dalam perbincangan Balaghah yang dinamakan sebagai “musyakalah”.

Begitujuga dengan isu yang dibangkitkan oleh “geng-geng beraliran ahbash” dengan ulasan Tuan Guru yang menyebut, “Tuhan (Allah) bersila lendik atas arash”, sehingga Tuan Guru mendapat lebel Wahabi oleh mereka.

Dikala hangat berbincang, lalu dijawab oleh Tuan Guru dengan kupasan balaghah, iaitu ucapan Tuan Guru itu seperti kita berkata “muka tangga” yang bukan bermaksud tangga itu ada muka, tetapi balaghah dalam perkataan.

Mungkin persepsi ini tidak salah di sisi kita kerana ia dilakukan oleh Tuan Guru, tetapi salah jika dilakukan oleh orang lain.

[4]

Padaku, dalam isu ini, sewajarnya tidak menggunakan ayat “menghina agama” terhadap filem terbabit. Lagi pula, ia sememangnya tidak salah jika dirujuk dari sudut ilmu Balaghah.

Sekiranya kekal juga dengan ayat “menghina agama”, sudah pasti ia melahirkan tuduhan lain yang tidak berasas. Seterusnya tidak mustahil (tidak bermakna mesti berlaku, tetapi dibimbangi) akan keluar pula tuduhan bahawa Ahmad Idham itu seperti musuh Islam dan seterusnya tidak hairan, akan keluar tuduhan yang mengatakan Ahmad Idham sebagai terkeluar dari islam. Keadaan ini sudah pasti, memberi keburukan yang lebih besar.

Dengan itu, aku mencadangkan agar digunakan ayat yang lain, seperti berkata, “filem itu tidak sesuai untuk tontonan orang Islam” atau sebagainya (terpulang atas kebijaksanaan).

Padaku, jika kita mahu menjaga sensitivity umat Islam, tetapi jangan sampai satu tahap kita menjaga itu sehingga melahirkan sensitivity yang lain. Lagi pula, kita memang perlu dilihat menjaga sensitive, tetapi jangan pula kita lakukan tindakan sehingga ramai melihat kita sedang sensitive buta, sepertimana melihat kepada orang yang cemburu buta.

Kalau dalam kitab Ihya ulum Ad-Din ada istilah “Al-Iqtisad fi Al-Ghirah”, iaitu “pertengahan dalam cemburu”. Maka, mungkin kitab kini kena buat satu tajuk, iaitu “pertengahan dalam sensitive”.

Sekian

Wallahu ‘Alam



Isnin, 19 September 2011

DI MANA SALAHNYA UNGKAPAN ZIZAN DARI HANTU BONCENG ITU?



dalam filem hantu bonceng. Dikatakan ada unsur menghina Nabi Muhammad SAW. Ramai yang menyuruh aku mendengar dan melihat sendiri. tetapi, pada malam ini baru ada kesempatan untuk melihat..

dari klip video yang dikepilkan, padaku, dialog tersebut adalah seperti berikut;

"Wa Asyhadu Anna Muhammad.......... Syaitan !!!!"

bukan seperti berikut;

"Wa Asyhadu Anna Muhammad Syaitan.".

Kalau kita perhatikan, ia sebenarnya mempunyai dua ayat. Ayat pertama adalah, "Wa Asyhadu Anna Muhammad...... " iaitu ayat yang tidak sempurna.. atau dalam pengajian ilmu balaghah, ia disebut kalam naqis, iaitu kalam yang ada kalimah mahzuf. Kalam naqis ini, perlu ditaqdirkan kalam sahaja. iaitu, jika dilihat pada ayat ini, hanya perlu ditambah "Rasulullah".

Kalam Naqis ini, ia boleh berlaku dalam penulisan dan perkataan. tetapi, dalam perkataan adalah yang kerap berlaku. Ini kerana, dalam perkataan ini sering kali berlaku keguguran kalimah, dengan berfaktorkan banyak faktor; seperti terlalu cepat bercakap.

adapun ayat kedua adalah "Syaitan !!!".. Dalam pengajian balaghah, ia boleh diistilahkan sebagai kalam Iijaz hazf (ringkasan yang dibuang. dalam ilmu Balaghah, Kalam Iijaz ini ada dua, iaitu Iijaz Hazf dan Iijaz Qasr). Ia seperti seseorang yang melihat harimau dalam keadaan takut, lalu dia hanya menyebut "harimau!!!", walhal yang dikehendaki oleh orang yang takut itu adalah, "seekor harimau telah datang kepadaku".

kesimpulannya, jeritan Zizan dari filem Hantu Bonceng itu sebenarnya mengandungi dua ayat, atau dalam istilah pengajian nahu disebut sebagaia dua jumlah, iaitu 1- "asyhadu Anna Muhammad....." dan 2- "Syaitan...!!!!".

jadi, ia tidak sepatutnya menjadi isu. namun begitu, sepatutnya bagi pihak pengarah filem, perlu juga berhati-hati dalam perkara ini, agar tidak terjadi seperti yang sedang dibisingkan pada hari ini..