Sabtu, 24 Oktober 2009

BIJAK POLITIK UNTUK MENANG (1)

salah satu kelas Dauratul Hadis di Universiti Darul Ulum, deoband, India

BIJAK POLITIK UNTUK MENANG (1)

Aku mempunyai pendidikan awal di Sekolah Tadika dan Rendah di Sungai Buloh. Diperingkat menengah, aku menghafal al-Quran di Institut pendidikan Al-Balaghulmubin, Pasir Mas Kelantan.

Di Institut pendidikan al-Balaghul Mubin, berlaku pertembungan dua aliran; aliran tradisional dan aliran yang dilebel dengan Wahabi. Makanya, aku agak tidak senang dengan pertembungan ini, malahan bertambah kebingungan kerana tidak mempunyai pengetahuian langsung tentang wahabi.

Memandangkan Tahlil arwah, talqin orang meninggal, baca al-Quran di perkuburan dan berbagai-bagai lagi menjadi amalan masyarakat Islam melayu di malaysia, menyebabkan aku menerima apabila dicadangkan menyambung belajar di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan. Di pondok tersebut, aku sempat menadah kitab dengan Tuan Guru Abdullah bin Abdur Rahman, juga adik beliau, Tuan Guru Haji Muhammad bin Abdur Rahman.

Semasa di Pondok Lubuk Tapah, aku beranggapan Tuan Guru Haji Abdullah bin Abdur Rahman merupakan tokoh fiqh yang dikagumi. Ini kerana, mungkin kerana banyak membaca, menyebabkan beliau banyak dapat menyelesaikan masalah fiqh dengan merujuk kepada kitab-kitab fiqh yang muktabar.

Hampir 3 tahun di Pondok Lubuk Tapah, kemudiaannya aku ke Pakistan untuk menyambung pengajian di sana. Berlabuh sahaja di Karachi, Aku dicadangkan untuk menuntut di Jamiah Abu bakar As-Siddiq, sebuah Universiti aliran salafi. Aku tidak berminat. Tetapi, memandangkan Universiti aliran Deobandi mengajar dalam bahasa Hindi, maka tidak dapat tidak, aku terpaksa menuntut di jamiah Abu bakar untuk mendalami bahasa arab terlebih dahulu.

Selama 2 bulan aku menjadi pelajar di jamiah Abu Bakar. Dalam jangka masa itu, aku belajar Bahasa arab, juga tidak ketinggalan perkara penting yang dipelajari di mana-mana universiti aliran Salafi, iaitu tentang “aina Allah”, di Mana Allah?

Peganganku dengan ajaran di Pondok masih kuat, menyebabkan aku tidak dapat menerima isu yang didebatkan. Ia membenarkan dakwaan ramai pelajar-pelajar pondok bahawa Pakistan tempat pengajian aliran wahabi.

Aku pun meninggalkan Jamiah Abu Bakar, dan seterusnya mendaftarkan diri di Jamiah Farooqiyyah, sebuah Universiti di Pakistan yang beraliran hanafi deobandi. Di situ, aku menuntut banyak ilmu-ilmu. Ternyata, ia amat kontra dengan pemikiran aliran salafi.

Aku keluar dari Jamiah Abu bakar, menyebabkan sebilangan kawan yang berbangsa Turki tidak bersetuju.

“anta tidak suka kepada salaf?” soal Asyqarbaik dalam bahasa arab di saat aku menghadiri majlis Dastarbandi – iaitu majlis Khatam Bukhari di Jamiah Abu bakar as-Siddiq.

Di kala itu, Aku bersama Fadhlurrahman yang berbangsa afghanistan. Fadhlur Rahman sebaya denganku, tetapi sudah khatam pengajian kitab habis Misykat Masabih di Jamiah Farooqiyyah.

Ketika Asyqarbaik bertanya soalan itu, aku terus menjawab, “ana sayangkan salaf, sebab itu ana masuk Jamiah deobadi yang bermazhab Hanafi, kerana Abu Hanifah antara ulama salaf”

Fadhlur Rahman tidak menyangka aku memberi jawapan sebegitu, menyebabkan beliau ketawa kecil, sambil melihat wajahku yang sedang tersenyum ketika menjawab soalan tersebut. Asyqarbaik tidak dapat menjawab balas, sebaliknya diam dan kelihatan wajahnya seperti tersipu-sipu.

JAMIAH DEOBANDI

Deobandi merujuk kepada sistem pengajian tradisional pakistan yang ‘menciplak’ cara pengajian di Universiti Darul Ulum, Deoband, India, tempat ramai tokoh-tokoh ulama Malaysia menuntut ilmu.

Tok Khurasan, Maulana Abdullah noh india, Dato’ Ishak Baharom, Tuan Guru Haji Abbas Besut, Tuan Guru Haji Abdullah Ahmad dan banyak lagi nama-nama tokoh ulama yang hebat mendapat pendidikan dari Darul Ulum Deoband ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz merupakan antara tokoh ulama ternama di Malaysia yang mendapat pendidikan dari Universiti Darul Ulum, Deoband, India ini.

Di Pakistan, pengajian Darul Ulum Deoband ini didapati di Jamiah-jamiah yang disebut sebagai Jamiah deobandi. Cara pengajian di jamiah Deobandi, tidak sama seperti pengajian di Jamiah Abu bakar as-Siddiq yang beraliran salafi.

Pengajian Hadis di jamiah Abu bakar, lebih tertakluk kepada hadis-hadis yang terpilih dari sesuatu kitab hadis, tidak seperti di Jamiah deobandi yang pengajian hadisnya adalah bersifat ‘kulit kitab ke kulit kitab’.

Pengajian mantiq, amat mendalam. Sedangkan, perkara ini tidak terdapat di jamiah abu Bakar as-Siddiq. Pengajian Nahu di Jamiah Deobandi, lebih menarik dan luas berbanding di Jamiah Abu bakar as-Siddiq.

Dengan kata mudahnya, bahan ilmu dari Jamiah Abu Bakar bukanlah bahan ilmu asli Pakistan, tetapi asli pengajian Pakistan adalah dari jamiah deobandi.

Tanpa belajar di Jamiah Deobandi, pasti tidak akan memahami kaedah dan cara pemikiran ulama deobandi. Lebih-lebih lagi, jika menuntut di jamiah Abu Bakar as-Siddiq, kemudian ingin menafsirkan cara pemikiran ulama Deobandi, maka terlebih jauh untuk menafsirkan keunikan pemikiran ulama deobandi.

ULAMA DEOBANDI DI PAKISTAN

Semasa di pakistan, aku mengambil kursus bahasa hindi selama 4 bulan lebih di Faisal abad. Setelah itu, aku sering masuk kelas pengajian umum atau disana disebut dengan nama ‘Daurah’ di musim cuti.

Selalunya, bermula dipertengahan bulan sya’ban sehinga ramadhan, kebanyakkan jamiah deobandi, mengadakan daurah tafsir. Makanya, aku memilih Jamiah Ahsan Al-Ulum sebagai tempat aku mendengar daurah tafsir.

Mufti Maulana Zarwali Khan merupakan salah seorang tokoh ulama hadis, juga pakar dalam bidang tafsir aliran deobandi di Pakistan. Beliau mempunyai ramai musuh, terutama mereka yang beraliran syiah dan Brelvi.

Aku menuntut ilmu tafsir dari beliau. Di kala melihat cara dan kaedah beliau mengajar, aku sudah agak faham mengapa beliau mempunyai ramai musuh. Masakan tidak, kritikan beliau yang terlalu ‘tepat atas muka’ orang yang dikritik, disamping cara istidlal beliau yang amat menterkujatkan akal.

Pernah beliau mengarang sebuah buku dalam bahasa hindi, menfatwakan kemakruhan puasa enam, walhal semua ma’ruf bahawa puasa enam adalah sunnah.

Apabila kita mendengar fatwa tersebut, pasti kita akan ketawa. Tetapi, setelah membaca cara beliau beristidlal, sudah pasti kita akan tergamam untuk menolak fatwa beliau.

Lantaran itu, seorang ulama deobandi dari Multan telah mengkritik fatwa beliau tersebut, dengan menulis sebuah buku yang bertajuk ”Ar-Rad Al-Qawi, ’Ala Qaul Az-Zarwali”. Kritikan itu, dibalas beliau dengan hujjah yang menarik, menyebabkan ulama deobandi dari multan tersebut tidak dapat menjawab balas.

Ketika Maulana Zarwali Khan mengajar, beliau suka membuat lawak-lawak jenaka. Kadang-kadang, apabila kita mendengar ucapannya seperti angkuh, tetapi sebenarnya dia sedang buat lawak bodoh’ :).

Justeru, setelah dia menunggu jawapan balas dari Ulama Deobandi dari Multan itu, tetapi tidak kedengaran sehingga hampir sebulan. Menyebabkan beliau menyebut dalam satu kuliah tafsir beliau, ”Sari Ulama in dunia Mai, sab se alim tin Hai; (1) Imam A’zam, Imam Abu Hanifah, or (2) Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani, or (3) Mai Hoo” yang bermaksud, ”semua ulama dalam dunia ini, yang paling alim adalah tiga orang sahaja, iaitu (1) imam Abu Hanifah, (2) Imam Ibnu Hajar al-’Asqalani, dan (3) Aku”

Ketika kami mendengar beliau berkata sebegitu, kami anak-anak murid riuh ketawa di dalam kelas.

Jika kita ikuti kuliah beliau, kritikan beliau terhadap ulama-ulama yang mengajar di Jamiah Abu bakar pasti akan kedengaran. Boleh dikatakan, jika sehari tidak kritik ”wahabi”, maka itu bukan Maulana Zarwali Khan. Ekoran itu, ramai ulama-ulama yang beraliran salafi di Jamiah Abu bakar as-Siddiq yang tidak suka dengan Maulana Zarwali. Peliknya, mereka tidak pernah membalas kritikan itu dengan debat, waima sering dicabar debat oleh Maulana Zarwali Khan dalam banyak majlis terbuka.

Bersambung.......

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri indah (B), Sg Buloh
25 oktober 2009 * 12:14 tengahari

MENAFSIR TINDAKAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ

Tuan Guru Nik Abdul Aziz semasa muda belia


MENAFSIR TINDAKAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ

Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai pendidikan dari beberapa tokoh ulama dari India. Sejak di kelantan, bapa tuan Guru, iaitu Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sendiri berguru dengan Tok Khurasan, seorang ulama yang menetap di kelantan, tetapi berasal dari India.

Semasa kecil lagi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah dibawa oleh bapanya untuk mendalami ilmu hadis dan tafsir dengan Tok Khurasan. Kemudiannya mendalami ilmu mantiq dengan Tuan guru Haji Abbas, seorang tokoh Ulama yang tinggal di besut; yang mendapat pendidikan dari Negara India juga.

Jamiah Darul Ulum Dioband, New Delhi, India merupakan tempat jelajah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam mendalami ilmu setelah menuntut dengan sebilangan ulama-ulama di Tanah melayu.

Apa yang perlu difikirkan, keberadaan ulama India tidak sama seperti ulama-ulama dari Negara arab. Cara mereka berfikir agak unik, jika mahu dibandingkan dengan ulama Madinah dan makkah, juga ulama dari Negara mesir.

Ekoran itu, kita dapat melihat bagaimana Maulana Ilyas boleh mencetuskan satu pertubuhan yang disebut sebagai Jemaah tabligh dikala negara India mendapat tekanan politik dari penjajah. Ketika itu, serangan dari penjajah terhadap umat Islam di India amat menekan, menyebabkan Maulana Ilyas meletakkan usaha dakwah itu sekadar kemampuan yang ada. Jika mahu masuk dunia politik, sudah pasti akan menimpa mudharat yang lebih besar, makanya Maulana Ilyas mengambil sikap menyeru manusia kepada islam dalam perkara yang tidak mendapat serangan dari penjajah, iaitu dengan menyeru manusia memahami islam menerusi solat berjemaah, juga diwujudkan juga majlis-majlis ta’lim.

Dilihat dari sudut positif, tindakan Maulana Ilyas itu mengandungi seribu-satu kebijaksanaan dalam menyeru manusia kepada Islam. cumanya, puak-puak tabligh yang wujud pada hari ini, tidak memahami tujuan dan maqasid yang telah dilakukan oleh maulana Ilyas tersebut.

Mungkin itu salah satu tokoh ulama dari Negara India. Tetapi, jika kita perhatikan, tindakan ini bukan sekadar dilakukan oleh Maulana Ilyas sahaja, malahan dilakukan juga oleh sebilangan besar ulama-ulama dari negara india yang lain.

Dilihat dari sudut ini, sudah pasti tindakan mereka mengandungi seribu satu rahsia, yang mungkin kurang difahami dengan pandangan mata kasar, tetapi akan difahami apabila didalami dan diselami.

PAS DAN TOK GURU

PAS sudah amat sinonim dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Apabila menyebut PAS, kelihatan wajah Tuan Guru. Menyebut nama Tuan guru, kelihatan pula lambang bulan, atau lambang ’bola pimpong’ yang sering disebut oleh pengundi cina dan india, yang merujuk kepada PAS.

Tuan Guru sering menyebut, PAS sekadar wadah, bukan matlamat. Tujuan asal dalam perjuangan PAS adalah islam. Bahkan, banyak kali juga Tuan Guru menyebut bahawa pendokong PAS perlu menjadi pejuang islam, bukan pejuang PAS.

Atas asas ini, menyebabkan Tuan Guru berjaya menjaga pemerintahan islam di kelantan semenjak 1990 sehingga hari ini. kejayaan ini amat susah kelihatan dalam sejarah PAS sejak ditubuhkan lagi.

PAS dibawah kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, amat unik jika mahu dibandingkan dengan tokoh-tokoh kepimpinan PAS yang lain. ucapan beliau mengandungi seribu satu maksud, yang kadangkala susah untuk difahami jika difikirkan sekali imbas sahaja. Tetapi, jika didalami dan diselami, kita akan dapat lihat dan memahami pemikiran beliau, bahawa pemikirannya itu saling tidak tumpah dengan cara berfikirnya ulama-ulama dari negara india. Mungkin kerana faktor tempat pengajian beliau memberi banyak kesan kepada cara beliau berpolitik.

PAS DAN KELANTAN

PAS pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berjaya menguasai kelantan sejak 1990 sehingga pada hari ini. membaca sejarah, didapati Tuan Guru adalah tokoh penting dalam usaha menggabungkan antara PAS dengan parti-parti melayu ketika itu – termasuk semangat 46 – atas nama APU (angkatan perpaduan Ummah)

Dari sejarah itu, dapat dilihat bahawa kejayaan PAS merampas Kelantan dari taghut UMNO, adalah berasaskan faktor penyatuan PAS dengan parti-parti pembangkang yang lain dalam melawan UMNO. Tanpa penyatuan dengan parti-parti yang lain, agak mustahil PAS berjaya mengalahkan UMNO dalam pilihanraya.

Tidak ada dalam sejarah, PAS berjaya menguasai negeri dengan sebab kekuatan PAS sendiri. Selalunya, kejayaan PAS menguasai negeri, semuanya disebabkan kelemahan musuh – iaitu UMNO – dikala mereka berperang sesama sendiri.

Kejayaan PAS menguasai Terengganu, bersebabkan perbalahan UMNO semasa mereka dalam kes pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari Timbalan perdana Menteri, disamping PAS ketika itu bersama PKR dan DAP menubuhkan Barisan Alternatif (BA) dalam melawan UMNO – laknatullah alaihim ajmain.

Pun begitu, apabila wujud persengketaan antara PAS dengan parti-parti Barisan Alternatif, menyebabkan lahirnya kekurangan kerusi PAS yang agak teruk di Kelantan, tetapi kekalahan maha buruk di Negeri terengganu pada tahun 2004.

Secara teorinya, asas kemenangan PAS adalah kebersamaan PAS dengan parti-parti yang lain. tanpa kebersamaan ini, sudah pasti PAS tidak akan mencapai kemenangan, malahan tidak mustahil PAS boleh jatuh dari pemerintahannya pada bila-bila masa sahaja berlaku pilihanraya.

PAKATAN RAKYAT

Pakatan rakyat telah terbina; membariskan PAS, PKR dan DAP. Kekuatan PAS merupakan kekuatan bagi PKR dan DAP, begitujuga PKR dan DAP merupakan kekuatan bagi PAS.

Dengan wujudnya kebersamaan antara PAS, PKR dan DAP dalam menghadapi sesuatu pilihanraya kecil, pasti kerusi Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan. Tetapi, kekalahan parti Pakatan Rakyat berlaku, apabila tidak wujud kebersamaan antara parti-parti; PAS, PKR dan DAP

DUN Bagan Pinang menjadi bukti yang amat kukuh. Begitujuga, DUN manik urai. Ketidak-kebersamaan itu, menyebabkan PAS kalah teruk di Bagan Pinang, juga kemerosotan undi yang agak teruk dalam pilihanraya DUN Manik Urai.

Justeru, kebersamaan antara PAS, PKR dan DAP perlu diperkukuhkan. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kebersamaan kita menang, pertembungan kita kecundang.

DURI DALAM DAGING

Pakatan Rakyat perlu diperkukuhkan, demi mahu melahirkan kekuatan. Tanpa kekuatan, mana-mana parti pun dalam pakatan Rakyat akan gugur menyembah bumi. Tidak kira, ia bernama PAS, ataupun PKR, juga DAP.

Justeru, sebarang tindakan dari mana-mana parti yang boleh melahirkan permasalahan sesama parti, atau pertembungan sesama parti, wajib dihindarkan. Jika berlaku juga, penyelesaian dengan kadar segera perlu diusahakan.

Isu kerajaan Perpaduan dan ’gabungan PAS-UMNO’ benar-benar memperlihatkan kekalutan, juga melahirkan pertembungan antara PAS dengan PKR dan DAP. Di kala ia disebar-luas, ketika itu pertembungan demi pertembungan sering terjadi.

Isu Kerajaan perpaduan dan ’gabungan PAS-UMNO’, bukan sekadar melahirkan pertembungan antara PAS dengan PKR dan DAP, bahkan wujud juga pertembungan sesama dalaman PAS. apabila ini terjadi, sudah pasti akan melahirkan kelemahan pada Pakatan Rakyat itu sendiri.

Kelemahan Pakatan Rakyat merupakan kelemahan PAS juga. Begitujuga, kelemahan yang akan menimpa pada PKR dan DAP dalam mengadapi UMNO/BN yang maha jahat lagi sial sesial-sialnya.

Makanya, pertembungan ini wajib diselesaikan. Penyelesaian yang paling baik adalah, hapuskan terus pemikiran kerajaan perpaduan ini, juga usaha-usaha ’gabungan UMNO-PAS’. sengaja mewujudkan juga dua isu ini, bermakna berusaha hendak melemahkan Pakatan rakyat, seterusnya memberi kekuatan kepada UMNO/BN yang sedang melakukan penyatuan ahlinya. Apabila UMNO/BN sudah bersatu kembali, maka tunggulah jangka kalah yang akan menimpa Pakatan Rakyat.

POLITIK TOK GURU

Dilihat, isu Kerajaan perpaduan dan ’gabungan PAS-UMNO’ datang dari PAS, sudah pasti Tuan Guru Nik Abdul Aziz amat tertekan dengan keadaan yang menimpa. Apabila ini disedari oleh Tuan Guru, sudah pasti Tok Guru akan bertindak sebijaksana yang mungkin dalam menghindarkan perkara ini.

Sudah berkali-kali Tuan Guru Nik Abdul Aziz berpesan, tutup sahaja isu kerajaan perpaduan, juga jangan wujud lagi sebarang tindakan yang melahirkan usaha ’gabungan PAS-UMNO’ ini. disamping itu juga, tidak pernah terlalai dari lidah Tuan Guru menyebut tentang keputusan Muktamar PAS di Ipoh yang menekankan peri-pentingnya PAS perkukuhkan Pakatan Rakyat.

Pun begitu, ada sebilangan pimpinan PAS yang agak ’kepala batu’, menyebabkan isu yang boleh melemahkan Pakatan Rakyat sering dijadikan mainan. Permainan demi permainan dilakukan, sehingga meluat rakyat berbangsa cina dan India kepada PAS amat teserlah.

Jika keadaan ini dibiarkan, ia memberi kesan bahaya kepada PAS, malahan pakatan rakyat sendiri – termasuk PKR dan DAP – bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13 lagi. Justeru, sebelum tiba waktu pilihanraya umum, tindakan yang paling berkesan perlu dilakukan.

Makanya, Tuan Guru pun meledakkan ’Bom C4’ di tengah-tengah rakyat Malaysua, menjadikan ramai kepimpinan PAS ’terkujat biawak’ apabila mengetahui berita tersebut. Kenyataan meminta diadakan EGM khas, yang melibatkan Presiden PAS, Timbalannya, setiausahanya, juga tidak ketinggalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang banyak membuat masalah di negeri selangor merupakan bom C4 yang tidak dijangka, tetapi mengandungi seribu satu rahsia politik.

Mungkin jika dilihat sekali-imbas, kenyataan itu seperti mewujudkan pertembungan sesama PAS, tetapi hakikatnya, tindakan tersebut merupakan cara untuk menyelamatkan PAS, juga kawan-kawan dari Parti PKR dan DAP dari kalah bagi menghadapi PRU ke 13 nanti.

Aku tidak beranggapan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meluat dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi sehingga benar-benar mahukan Tuan Guru Haji Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden, tetapi sengaja dilakukan sedemikian, agar orang yang berada ’dikeliling’ Tuan Guru Haji Abdul Hadi terkujat dan tidak lagi melakukan tindakan yang boleh melahirkan pertembungan sesama Parti Pakatan Rakyat, yang boleh melahirkan kekalahan PAS dan pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 kelak.

Mengapa aku beranggapan sedemikian? Jawapanku adalah, kerana aku melihat Tuan Guru Nik Abdul Aziz berguru dengan ulama-ulama dari negara India. Makanya, sengaja aku menafsirkan begitu, kerana lebih 4 tahun aku berguru dengan ulama-ulama diobandi di pakistan yang beraliran pengajian dari negara India.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 oktober 2009 * 3:27 pagi

PAS PERLU LAKUKAN TAJDID

Sejak 1990, kepimpinan PAS di Kelantan masih gagah memerintah. apakah resepi dan petua yang digunakan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz? kita wajib belajar dari beliau

PAS PERLU LAKUKAN TAJDID

Tajdid adalah kalimah arab yang berasal dari kalimah “jadid”. Dalam bahasa arab, Jadid bermakna baru. Justeru, kalimah tajdid memberi maksud pembaharuan.

Pembaharuan perlu dilakukan pada setiap hari. Terutama dalam perkara yang berkait dengan keimanan. Nabi SAW ada bersabda;

جَدِّدُوا إِيمَانَكُمْ

Maksudnya;
”tajdidkan (perbaharukan) iman-iman kamu”

Mendengar perkataan nabi itu, ada sebilangan para sahabat bertanya, ”bagaimana hendak perbaharukan (tajdidkan) iman itu?”

”perbanyakkan menyebut ”la ilaha illa Allah”, jawab Nabi SAW ringkas. (Musnad Ahmad : 8353)

Hadis ini membuktikan bahawa, suruhan melakukan tajdid merupakan satu tuntutan yang penting. Kalimah Tajdid iman ini berlaku, terhadap mereka yang sudah sedia beriman. Sengaja disuruh tajdid iman, kerana mahu menghindarkan kelalaian daripada berlakunya kehakisan iman terhadap Allah SWT.

TAJDID DALAM POLITIK

28 oktober tidak lama berkunjung tiba. Didapati, tarikh tersebut merupakan penentu apakan DUN Perak akan dibubarkan atau tidak. Apabila pembubaran DUN akan berlaku, ketika itu, pilihanraya di peringkat negeri Perak pasti akan berlaku.

Dalam keadaan sekarang pula, PAS telah mendapat satu persepsi yang agak buruk, iaitu kewujudan sebilangan pimpinan tertinggi yang berusaha hendak melakukan pergabungan antara dua parti melayu terbesar; UMNO - PAS. Waima dinafikan, ternyata penafian itu bersifat ”bohong”. Ia terbukti menerusi kenyataan salah seorang bekas Naib presiden PAS sendiri, ustaz Ahmad Awang di akhir ucapan penutup beliau sebagai Naib presiden PAS dalam muktamar agong yang baru lepas, yang mendakwa bahawa beliau sendiri dihubungi pimpinan tertinggi tertentu untuk diadakan pergabungan dua parti itu.

Dengan persepsi buruk ini, menyebabkan PAS menjadi huru-hara. Lebih-lebih lagi, dengan banyak isu di Negeri Selangor, PAS dilihat agak kontra dengan dasar dan prinsip yang disepakati dalam Pakatan Rakyat.

Kejadian di Selangor, memberi kesan buruk kepada PAS di peringkat pusat; di mata-mata rakyat Malaysia secara umum. Terutama, Dato’ Hasan Ali yang masakan tidak dikenakan sebarang disiplin parti, sebaliknya mendapat sokongan dari Timbalan presiden PAS pula, seterusnya Presiden PAS mengambil sikap berdiam diri- yang tidak diketahui, kenapa bersikap sedemikian?.

Keadaan yang berlaku ini, melahirkan keraguan rakan-rakan pakatan Rakyat terhadap PAS. Jika problem ini menimpa dikalangan ahli bawahan, ia tidak melahirkan kekalutan, tetapi menjadi kelam kabut, apabila problem ini menimpa pimpinan tertinggi PAS.

Kejadian yang menimpa ini, sudah pasti memerlukan kepada ”tajdid” dari kalangan pimpinan PAS sendiri. Tajdid tersebut, tidak semestinya dengan pertukaran kepimpinan, tetapi cukup sekadar setiap pimpinan mengadakan muhasabah balik; melakukan tajdid balik, demi memastikan tujuan asal keberadaan PAS dalam pakatan Rakyat.

Tajdid ini penting, bagi mewujudkan kekuatan PAS dalam menghadapi pilihanraya di peringkat DUN negeri perak yang dijangka tidak lama lagi akan berkunjung tiba. Jika tajdid ini tidak berjaya dilakukan dengan segera, sudah pasti kemenangan yang diharapkan oleh PAS dalam menghadapi Pilihanraya kecil di peringkat DUN negeri perak akan menghasilkan natijah yang merugikan.

TIDAK SOLO

PAS memang sebuah parti pembangkang yang paling lama, berbanding parti DAP dan PKR. Lamanya PAS ini, sehampir umur dengan UMNO. Tidak dinafikan, parti lama selalunya mempunyai egonya tersendiri, sepertimana orang tua yang dilihat ego terhadap anak-anak muda.

”aku lebih dahulu makan garam berbanding kamu”, satu ungkapan yang menjadi lazim bagi orang melayu, yang sering terpancul dari mulut orang tua-tua dikala anak muda dilihat seperti hendak menegur, atau hendak mendahului mereka.

Apabila penyakit ini menimpa PAS, tidak hairan PAS mula merasakan seperti PAS mampu melawan UMNO secara solo, walhal perkara ini agak mustahil berlaku dalam keadaan sekarang.

Kebersamaan PAS bersama parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat dalam mengalahkan UMNO/BN adalah amat perlu. Saling kuat menguatkan, perlu dilakukan. Jika tidak, PAS agak susah hendak mencapai kemenangan, malahan tidak mustahil PAS akan menghadapi kalah teruk, sepertimana sejarah yang tidak boleh dinafikan lagi, dengan kekalahan PAS di Bagan Pinang baru-baru ini.

UNDI CINA DAN INDIA

PAS tidak boleh abaikan undi cina dan india. Tidak dinafikan, undi melayu merupakan faktor penting, tetapi undi cina dan india juga merupakan faktor penentu dalam usaha hendak menguasai Putrajaya.

Jika difokuskan sangat kepada undi melayu, sehingga mengabaikan undi cina dan india, PAS tidak akan mampu memerintah di Malaysia. Justeru, undi mereka perlu diambil kira.

PAS mendapat ’untung atas darat’; dengan mendapat undi cina dan india pada pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini. Jika diharapkan PAS sahaja, agak mustahil PAS mendapat undi cina dan india secara membanggakan, tetapi dengan kebersamaan PAS dengan Pakatan Rakyat – PKR dan DAP – cina dan india sudah membuka mata untuk menerima PAS.

Menyedihkan, undi Cina dan India ini tidak dihargai oleh PAS dengan setulusnya. Cina dan India yang tidak beragama Islam, seakan-akan PAS jadikan mereka seperti ”team sorak”, walaupun mereka pun banyak memberi khidmat dalam usaha hendak memenangkan PAS.

Memang PAS perlu untuk mendapatkan undi melayu, tetapi untuk mendapat undi melayu, bukan dengan cara bersahabat dengan UMNO. ini kerana, UMNO tidak mewakili melayu, sepertimana PAS tidak mewakili melayu. apa yang pasti, PAS mewakili Islam yang meletakkan keadilan kepada semua bangsa; Melayu, cina dan India, juga keadilan terhadap mereka yang pelbagai agama; islam, Buddha, Hindu, Kristian dan sebagainya.

Adapun UMNO, waima mereka mendakwa perjuangkan melayu, hakikatnya mereka adalah pengkhianat melayu nombor wahid. Bukan kita tidak tahu, bagaimana UMNO telah menghaprakkan orang melayu, agama Islam menjadi agama orang melayu dicandukan, orang melayu merempat dalam khemah dan sebagainya. Justeru, tidak perlu dijadikan UMNO sebagai teman untuk mendapatkan undi melayu, sebaliknya lakukan keadilan yang berteraskan Islam dalam usaha untuk meraih sokongan melayu terhadap PAS. – pergi jahanam dengan UMNO -

PAS JANGAN ’RHOK-RHAK’

Kadang-kadang, disebabkan hendak merebut undi melayu, PAS bertindak ’rhok-rhak’ (bahasa kelantan : tidak tetap pendirian). Ada kala berkata, mahu bersama Pakatan Rakyat. Diwaktu yang lain berkata, muqabalah dengan UMNO.

Tindakan sebegini, menyebabkan rakyat melihat PAS sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian yang tetap ketika bersama dengan pakatan Rakyat. Dengan tindakan PAS ini, menyebabkan orang melayu sendiri hilang keyakinan kepada PAS, seterusnya mereka akan mengambil sikap untuk terus dengan UMNO.

Undi melayu boleh dapat, sekiranya PAS menjadi parti yang cerdik, tangkas, bijaksana dan bijaksini dalam mempertahankan sesuatu prinsip. Sesuatu prinsip yang hendak dipertahankan, perlu dengan kebijaksanaan dan tangkas, bukannya lembik dan lembab.

Konsep setia-kawan yang dilihat penting oleh Islam, perlu dijadikan muhasabah PAS di kala ini. ia bertujuan, untuk melahirkan kemenangan islam yang gemilang di masa akan datang.

Jika keadaan ini tidak berlaku, sampai bila-bila pun PAS tidak akan dapat menguasai malaysia, seterusnya usaha hendak melihat negara Islam yang diperintah oleh PAS tidak akan tercapai.

Justeru, PAS perlu lakukan tajdid. Ia tidak semestinya dengan pertukaran kepimpinan, tetapi cukup sekadar melakukan perubahan dari sudut pemikiran sebilangan pimpinan PAS yang mempunyai kecenderungan kepada UMNO yang maha sial itu. Jika tidak mahu ubah pemikiran juga, maka fikir-fikirkanlah kaedah yang paling tuntas, agar kemenangan islam dalam pilihanraya di masa akan datang tidak terbantut.

Sekian
p/s : Diharap kekalahan PAS dalam pilihanraya ke 11 (tahun 2004) yang lalu tidak berulang kembali.

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 oktober 2009 * 2:44 petang

Jumaat, 23 Oktober 2009

BIMBANG ISLAM TIDAK MENANG

aku hanya yakin dengan dua tokoh ini sahaja dapat melaksanakan islam di malaysia


BIMBANG ISLAM TIDAK MENANG

Islam mesti menang. Itulah ajaran Tuan Guru-Tuan Guru yang sampai ke telingaku. Di Malaysia, PAS adalah wadah jelas menjadikan islam sebagai dasar perjuangan.

Islam tidak akan menang tanpa kebijaksanaan pejuang-pejuangnya. Berjuang islam dengan hentam semborono akan melahirkan natijah buruk kepada Islam itu sendiri.

Bukankah para salaf terdahulu pernah menyebut, "kebatilan yang mempunyai system boleh mengalahkan kebenaran yang tidak mempunyai system".

Di Malaysia, wadah pilihanraya merupakan kaedah untuk melaksanakan islam. Justeru, kehadiran PAS di Malaysia dengan menggunakan pilihanraya merupakan kebijaksanaan dalam usaha hendak memenangkan islam. Jika dibaca dalam al-Quran dan as-Sunnah, memang tidak pernah kendengaran istilah pilihanraya, tetapi ijtihad ulama sentiasa berkembang, menyebabkan pilihanraya diterima pakai untuk melawan musuh islam.

PAS hendak memenangi kerusi secara bersendirian merupakan satu perkara yang amat susah. Negeri-negeri yang pernah dikuasai oleh PAS, tidak pernah disebabkan isu yang dikemukakan oleh PAS, sebaliknya adalah menumpang dari isu orang lain.

PAS memerintah di kelantan, bukan kerana kekuatan PAS, tetapi kebersamaan PAS bersama Semangat 46 atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Ternyata, PAS pimpinan Tuan Guru nik Abdul Aziz di kelantan menunjukkan imej Islam yang baik, menyebabkan mereka yang tidak ikhlas dengan islam mengambil sikap keluar dari APU. Makanya, banyak ahli-ahli dari parti lain mendaftarkan nama untuk menjadi ahli PAS. selepas dari itu, sebarang pilihanraya umum berjaya memberikan kemenangan kepada PAS di kelantan, waima tidak bersama dengan parti-parti yang lain lagi.

Di Terengganu pula, PAS berjaya memerintah pada tahun 1999. kemenangan ketika itu, bukan kerana kekuatan PAS, tetapi kelemahan musuh yang berada dalam keadaan teramat sangat. Isu Anwar Ibrahim yang baru sahaja dipecat dari Timbalan Perdana menteri menjadi buah mulut orang melayu, seterusnya mereka lakukan sabotaj kepada UMNO dengan memberikan undi kepada PAS.

Pun begitu, ketika isu Anwar Ibrahim semakin hari semakin tenggelam, menyebabkan pada tahun 2004, PAS mengalami kalah teruk, malahan UMNO/BN mencapai kemenangan dengan menyapu bersih. Kekalahan PAS itu, sehingga hari ini terengganu tidak sampai ke tangan PAS.

Apa yang dapat dinilai, PAS tidak pernah menang – menguasai negeri - dengan sebab kekuatan sendiri. tetapi, kemenangan PAS adalah menumpang dengan kekuatan orang lain.

Keadaan sama juga menimpa PAS dalam PRU ke 12, pada 8 mac 2008 yang lalu. dalam pilihanraya itu, sepatutnya PAS tidak merasa senang dengan mendakwa bahawa PAS sudah menang, tetapi PAS selayaknya meletakkan satu tanggapan bahawa PAS sedang menuju kepada kejayaan untuk memerintah dengan islam.

Justeru, dengan penubuhan kerajaan pakatan rakyat, usaha dakwah, memperkenalkan model kerajaan islam, kempen kerajaan kasih sayang, kempen mewujudkan kerajaan yang adil yang berasaskan islam perlu dilaksanakan.

Mulakan dengan dakwah di ruang-ruang yang tersedia ada, seperti sering mengadakan ceramah-ceramah di masjid dan surau, mengadakan kempen Islam secara berkesan dan berstrategi kepada rakyat. Semuanya ini bertujuan, untuk memperkenalkan Islam kepada rakyat, agar mereka akan memilih PAS dalam pilihanraya akan datang, seterusnya PAS berjaya melaksanakan islam.

Pun begitu, menyedihkan bahawa semua tindakan sebegini tidak dilakukan secara serius, sebaliknya PAS hanya mengambil sikap tamak dan haloba dalam pemerintahan pakatan rakyat. Waima dari golongan manoriti, tetapi PAS tidak menghormati hak demokrasi, sehingga sanggup berusaha hendak merampas dari hak parti-parti majority.

Di selangor sebagai contoh, di mana sahaja wujud PAS, maka disitu PAS mahu monopoli sesuatu jawatan – seperti Ketua kampong-, walaupun tempat tersebut bukan kerusi PAS. Di tempat PKR dan DAP pun, PAS mahu sesuatu jawatan. Adapun di tempat PAS pula, tidak diberikan ruang kepada PKR dan DAP untuk memegang sesuatu jawatan.

Tidak dinafikan, kejadian sebegini hanya dilakukan oleh segelintir pimpinan PAS, terutama mereka yang mempunyai kepentingan melayu disamping memperjuangkan islam. Pun begitu, tindakan segelintir itu menjadi barah yang merbahaya sehingga mampu melahirkan kebencian rakyat terhadap PAS. lebih-lebih lagi, apabila isu kaum melayu menjadi bahan perbincangan PAS.

Alangkah bodohnya jika isu melayu yang dibicarakan, sedangkan sering kali Tuan Guru nik Abdul Aziz menyebut, "perjuangan melayu tidak ada nilai satu sen pun disisi Allah SWT".

PENUBUHAN PAKATAN RAKYAT

Penubuhan Pakatan rakyat sebenarnya dapat memberi banyak manfaat kepada PAS. ini kerana, PAS sebelum ini mempunyai masalah pendekatan dengan masyarakat selain melayu. Justeru, dengan tertubuhnya Pakatan Rakyat, PAS sudah berjaya melepasi tembok dalam usaha hendak merapatkan diri dengan masyarakat selain melayu.

Pun begitu, menyedihkan apabila peluang ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Kewujudan sebilangan pimpinan PAS yang berjiwa 'hang tuah' yang sayangkan melayu, melahirkan balik tembok pemisah ini. malahan, ia lebih tebal dari tembok pemisah sebelum ini.

Sepatutnya, dengan peluang yang ada, hendaklah digunakan sepenuhnya menceritakan kepada masyarakat selain melayu tentang islam dan keadilannya. Berdakwah dengan sebijaksana yang mungkin, sehingga mereka meletakkan keyakinan kepada Islam yang diperjuangkan islam. menyedihkan, tindakan ini tidak pernah diambil peluang sebijaksana mungkin.

Lebih menyedihkan, di kala PKR dan DAP saling kukuh mengkukuhkan kerajaan pakatan rakyat, kehadiran PAS dilihat seperti anai-anai yang mahu meruntuhkan kekukuhan yang sedang dibina. Isu-isu yang dikemukakan oleh PAS, banyak tidak mengukuhkan Pakatan rakyat, malahan bersifat mahu meruntuhkan.

Sayugiyanya, PAS perlu berada sebagai parti yang mengukuhkan kerajaan pakatan rakyat. Gunakan kesempatan ini, mengemukakan model-model keadilan yang merujuk kepada islam, bukannya membuat seribu satu masalah kepada kerajaan.

Ternyata, ada pimpinan PAS yang otak melayunya lebih tebal berbanding keislamannya, menyebabkan seribu satu masalah dilakukan sehingga melahirkan kebencian rakyat terhadap PAS.

Lebih parah, apabila wujud kelembapan pada sebilangan pimpinan PAS dalam memonopolikan sebarang isu agar dijuarai oleh PAS. kelembapan ini, bukan sekadar merugikan PAS, malahan kadang-kala merugikan islam itu sendiri.

Kalau keadaan ini terus berlaku, sampai bila pun islam tidak akan menang. sebab itu, baru kita faham mengapa nabi SAW berjaya membina kerajaan islam waima tidak sampai 20 tahun berdakwah, sedangkan PAS sudah berjuang dan berdakwah lebih 50 tahun, tetapi sehingga hari ini tidak berjaya membina kerajaan islam di Malaysia.

Sekian

P/s : di awal kemenangan pakatan rakyat, aku meletakkan harapan dalam dua penggal pilihanraya lagi, PAS akan berjaya melaksanakan islam di Malaysia. Tetapi, dengan kewujudan sebilangan pimpinan PAS yang berotak melayu, dan pimpinan yang lembab, lagi tidak bijak berpolitik. Harapanku hendak melihat kerajaan islam dalam jangka 2 penggal lagi, hancur lebur.

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 oktober 2008 * 2:59 pagi

KAWAN ATAU LAWAN?


KAWAN ATAU LAWAN?

Lawan PAS adalah UMNO/BN. Kawan PAS adalah PKR dan DAP. PAS membentuk Negeri atas nama kerajaan pakatan Rakyat bersama DAP dan PKR, bukan dengan UMNO/BN. Dalam pilihanraya yang melibatkan PAS, PKR dan DAP akan datang membantu sebagai kawan, sedangkan UMNO/BN datang menyerang sebagai lawan.

Makanya, sebarang isu yang mahu dicetuskan, mesti bersifat mendapat keuntungan bersama kawan- PKR dan DAP- bukannya mendapat keuntungan bersama lawan – UMNO/BN-. Sebarang tindakan PAS yang menguntungkan lawan, itu dinamakan pengkhianatan terhadap kawan. Apabila pengkhianatan ini berlaku, sudah pasti sangsi dan syak dari kawan – PKR dan DAP – terhadap PAS akan terlahir.

Sejak Pakatan Rakyat memerintah di Selangor, isu yang sering PAS cetuskan banyak memberi keuntungan kepada lawan berbanding kawan. Bermula isu lembu, sehingga isu selcat. Sebarang isu yang tercetus, memperlihatkan kawan-kawan Pakatan Rakyat dari PKR dan DAP menyatakan, mereka tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan PAS, sebaliknya masalah mereka hanya dengan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Berdasarkan maklumat yang diberi, DAP dan PKR di peringkat negeri sudah berkali-kali cuba menyelesaikan segala permasalahan ini secara aman damai, tetapi kedegilan dari pihak Pesuruhjaya PAS selangor ternyata zahir, makanya permasalahan sering sahaja berlaku. Justeru, jalan yang terakhir bagi mereka adalah, melaporkan perkara ini kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat, mursyidul Am PAS. Pada mereka, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat adalah tempat rujukan terakhir, kerana beliau seperti bapa yang bersedia mendengar masalah dan problem anak-anak, dan akan berusaha menyelesaikannya dengan semampu mungkin.

Tuan Guru tidak mudah melatah, sehingga berlaku pilihanraya kecil di Bagan Pinang. PRK Bagan Pinang benar-benar melakarkan satu sejarah hitam yang pedih dan perit untuk diterima bagi mereka yang mahukan islam kehadapan dalam semua urusan. Kekalahan teruk, disamping ‘swing banget’ pengundi-pengundi India meninggalkan PAS benar-benar menyedihkan dan memilukan hati.

Keadaan ini amat nyata berlaku, rentetan banyak isu-isu PAS yang dilihat menaikkan sentimen melayu di Selangor, berbanding isu keadilan, kebajikan dan Islam itu sendiri. Kejadian di selangor dijadikan isu di Bagan Pinang oleh UMNO sehingga melahirkan satu persepsi rakyat terhadap PAS. Makanya, Persepsi rakyat di bagan pinang, PAS adalah parti melayu. Justeru, lebih baik mengundi UMNO berbanding PAS, waima calonnya adalah ‘sifu rasuah’ di Malaysia.

Menyedihkan lagi, apabila kebersamaan PAS bersama kawan-kawan dari PKR dan DAP dalam menghadapi UMNO di Bagan Pinang tidak berlaku. Diberitakan, ada Petugas-petugas dari PKR di salah sebuah negeri di selatan Malaysia datang mahu membantu, tetapi mereka tidak disambut dengan baik, sebaliknya disyaratkan bayaran RM 5 pada setiap bungkusan nasi bagi mereka yang mahu makan nasi yang disediakan oleh PAS dalam Pilihanraya Bagan Pinang.

Nampaknya, kesombongan yang bukan dari ajaran islam ini menjadi sulaman PAS dalam usaha hendak melihat kemenangan Islam di Bagan Pinang. Ternyata, ia tidak melahirkan kebaikan, malahan kehinaan yang amat sangat dengan berita kekalahan teruk PAS dalam PRK tersebut.

Kekalahan PAS di bagan Pinang, amat lambat diadakan ‘post-mortem’. Di kala rata-rata rakyat bawahan sedang menunggu post-mortem, di kala itu kedengaran berita bahawa ada pimpinan penting sedang bercuti di luar negara. Lebih menyedihkan lagi, Kelab Penyokong PAS (KPP) baru didengari setelah swing undi India meninggalkan PAS terbukti berlaku dalam PKR Bagan Pinang.

Inilah bebanan yang sedang dihadapi, bukan sahaja PAS, malahan Pakatan Rakyat itu sendiri. Bebanan ini sebenarnya memberi gambaran buruk lagi rakyat terhadap PAS. Sehingga ada suara-suara yang menyebut, ”kita akan undi Pakatan Rakyat, tetapi kami tidak mahu undi PAS”.

Bila ditanya, ”bagaimana pula dengan nik Aziz?”

“kita akan undi Nik Aziz, bukan kerana dia PAS, tetapi kerana dia orang baik” jawab seorang lelaki berbangsa Cina di DUN Paya Jaras.

Justeru, bagi menyelesaikan permasalahan ini, perkara utama yang perlu diselesaikan adalah, PAS perlu muhasabah diri; pastikan berbedaan antara UMNO/BN dengan PKR dan DAP, manakah lawan dan manakah kawan.

Apabila kawan itu adalah PKR dan DAP, jangan sekali-kali melakukan tindakan yang boleh melahirkan permasalahan dan pertembungan dengan parti-parti ini.

Tetapi yang peliknya, ada pimpinan PAS tertentu menyebut bahawa PKR dan DAP adalah kawan, tetapi tindakan mereka seperti PKR dan DAP itu adalah lawan. Yang lebih pelik lagi, ada pimpinan PAS tertentu itu berkata bahawa UMNO/BN adalah lawan, tetapi mereka bertindak seperti UMNO/BN itu adalah kawan.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
23 oktober 2009 * 8:44 malam

Khamis, 22 Oktober 2009

"LAKUKAN AMANAH DEMI KEMAJUAN ISLAM"


"LAKUKAN AMANAH DEMI KEMAJUAN ISLAM"

Pembukaan kota makkah (Fath Makkah) merupakan satu sejarah besar bagi umat Islam dalam kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Ketika Nabi SAW masuk ke Makkah, kunci Kaabah dibawah jagaan Osman bin Talhah bin Abi Ad-Dar yang merupakan siak kaabah.

Osman bin Talhah tidak pernah melihat Nabi SAW melainkan dengan mendengar nama "Muhammad" sahaja. Justeru, ketika kemasukan Nabi Muhammad SAW ke Makkah, Osman bin Talhah telah naik di atas bumbung kaabah, iaitu di kala diminta oleh nabi SAW untuk mendapatkan kunci Kaabah.

Setelah diberitahu, barulah dia mengetahui bahawa insan yang meminta anak kunci kaabah tersebut adalah nabi SAW, menyebabkan Osman bin talhah telah menyerahkan anak kunci kaabah yang berada ditangannya kepada Ali bin Abi Talib.

Ali bin Abi talib menyerahkan kunci tersebut kepada Nabi SAW, lalu nabi SAW menggunakannya untuk membuka pintu kaabah, lalu masuk. Kemudiannya, menunaikan solat sunat dua rakaat.

Setelah usai menunaikan solat, nabi SAW pun keluar dan melakukan tawaf di keliling kaabah dengan memegang gugusan Kunci kaabah. Apabila sampai kepada bapa saudara nabi, Abbas, nabi SAW pun mahu menyerahkan kunci Kaabah tersebut kepada bapa saudaranya itu.

Belum sempat Nabi SAW memberikan anak kunci itu kepada Abbas, maka turun ayat al-Quran;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا

Maksudnya;
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat"

(Surah An-nisa' : 58)

Menerima sahaja ayat ini, Nabi SAW terus menyuruh Ali bin talib menyerahkan kunci kaabah itu balik kepada Osman bin talhah, sambil meminta maaf kepadanya.

Ketika Ali bin Talib menyerahkan kunci itu kepada Osman, ketika itu Osman bin talhah mengucap Shahadah; mengakui keesaan dan ketuhanan Allah, juga kenabian Muhammad SAW.

Tidak lama kemudian, jibril A.S datang dan memberitahu kepada Nabi SAW bahawa penjaga kunci Kaabah adalah keluarga Osman bin talhah. Setelah Osman bin Talhah berhijrah, maka adiknya yang bernama Syaibah pula yang menjaga kunci Kaabah
[1].

NABI SAW TIDAK EGO

Walau baginda seorang yang menjawat jawatan nabi, merangkap pimpinan utama kerajaan islam, ego sekali-kali tidak pernah wujud dalam dirinya. Apabila wujud sebarang tindakan yang silap, pasti nabi SAW akan mengakui kesilapan.

Keadaan ini sudah banyak dapat dilihat menerusi sirah nabi, seperti teguran Allah SWT terhadap nabi dalam sejarah penurunan surah 'Abasa. Juga, pembenaran ijtihad Omar bin al-Khattab dalam membuat keputusan terhadap tawanan Badar, yang ketika itu nabi SAW menerima ijtihad dari Abu bakar as-Siddiq.

Keadaan yang sama juga berlaku buat kali lainnya menerusi penurunan ayat ini. Waima berjawatan besar, Nabi SAW mengakui kesilapan baginda SAW ketika ditegur oleh Allah SWT, sehingga sanggup memohon maaf kepada siak kaabah, Osman bin talhah.

AMANAH WAJIB DITUNAIKAN

Amanah merupakan tuntutan yang wajib ditunaikan. Tanpa menunaikan amanah, azab Allah akan berkunjung tiba. Dalam surah An-Nisa' ayat 58, kita dapat melihat bagaimana suruhan amanah ini merupakan perkara yang penting.

Dalam ayat ini juga, Allah SWT menyuruh nabi SAW dan sesiapa sahaja agar melaksanakan amanah terhadap sesiapa sahaja. Sama ada terhadap orang yang berbeda mazhab, juga berbeda agama.

Menurut Imam fakruddin ar-Razi, amanah itu dibahagikan kepada tiga perkara; (a) amanah terhadap tuhan, (b), amanah terhadap manusia, dan (c) amanah terhadap diri manusia itu sendiri.

Amanah terhadap tuhan adalah, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Adapun amanah terhadap manusia adalah, melaksanakan segala kewajipan yang wajib dilakukan terhadap manusia, seperti memulangkan harta yang diberi pinjam, tidak menipu dalam timbangan ketika berniaga, tidak menyebarkan aib manusia, para pemerintah melaksanakan keadilan terhadap rakyat, para ulama melaksanakan kewajipan mereka terhadap orang bawahanya, seperti tidak membina ketaasuban yang batil, malahan memberi petunjuk kepada manusia dengan perkara yang boleh memberi manfaat pada hidup mereka di dunia, juga di akhirat.

Amanah manusia terhadap dirinya sendiri pula adalah, dia melakukan tindakan yang tidak memberi mudharat pada dirinya sendiri, sebaliknya terus melakukan tindakan yang melahirkan maslahah dan yang lebih baik untuk dirinya. Begitujuga, tidak melakukan tindakan yang boleh melahirkan mudharat bagi kehidupannya di akhirat kelak, seperti mengikut kehendak nafsu syahwat syaitan, juga mudah marah.

TIDAK MAMPU LAKSANAKAN AMANAH

Orang yang dapat melaksanakan amanah dengan baik, pasti akan mendapat balasan yang besar di sisi Allah SWT.

Dalam hadis, kita dapat melihat banyak pesanan-pesanan Nabi SAW yang menggambarkan betapa besarnya keuntungan bagi mereka yang berjaya melaksanakan amanah.

Pun begitu, jika manusia tidak dapat melaksanakan amanah, maka pesanan azab yang besar dari Allah SWT terhadap mereka. Justeru, bagi mereka yang tidak dapat menunaikan amanah, maka hendaklah dia menarik diri dari memegang sesuatu amanah, seterusnya menyerahkan kepada mereka yang berhak dan layak.

Bagi pihak yang melantik, melihat kepada orang yang "ada nama" untuk diberikan sesuatu amanah adalah sesuatu yang tidak tepat, malahan tersasar. Ini kerana, islam menentukan sesuatu amanah, hendaklah diberi berdasarkan kepada kelayakan.

Lantikan sesuatu amanah tidak berdasarkan kepada kelayakan, boleh melahirkan natijah kehancuran. Seperti sabda Nabi SAW;

إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
"apabila disandarkan sesuatu urusan, bukan kepada ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran" (Sahih al-Bukhari : 57)

Sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Seksyen 6, kota damansara
23 oktober 2009 * 2:24 pagi



[1] At-tafsir Al-Kabir : 5/243.

Isnin, 19 Oktober 2009

CERDIK PANDAI MULA KRITIK PAS ?

CERDIK PANDAI MULA KRITIK PAS ?

Dr Abdul Aziz Bari sudah bersuara. Menerusi tulisan yang terpampang dalam Sinar Harian semalam, kritikan terbuka dilakukan. Tidak dinafikan, wujud kemarahan anggota parti terhadap beliau. Justeru, lahir dua tulisan kritikan balas dari dua tokoh dalam parti, Ketua Penerangan PAS Pusat, dan ketua Penerangan PAS selangor.

Sudah diketahui umum, Dr Abdul Aziz Bari merupakan pensyarah yang masih lagi berkhidmat di Universiti tempatan; yang agak berani mengeluarkan kenyataan tentang kebobrokan UMNO/BN dalam perkara yang berkaitan dengan undang-undang berbanding dengan pensyarah-pensyarah Universiti yang lain. Disamping itu juga, kewujudan Dr Abu Hasan Hasbullah yang kebelakangan ini, nama beliau agak sering diperkatakan juga.

Perkataan Dr Abdul Aziz bari, bukan perkataan pemutus. Tetapi, tidak bermakna perkataan beliau itu adalah tidak benar sama sekali ataupun terus ditolak. Justeru, kritikan beliau tidak boleh dipandang remeh. Ini kerana, kritikan beliau, bukan satu kritikan dari orang sembarangan, tetapi datang dari cerdik pandai; orang yang berkelulusan dan berpendidikan tinggi sehingga menjawat Profesor.

Meremehkan beliau sebagai orang yang hanya berada dalam hawa dingin, bukan merupakan hujjah dalam membalas kritikan beliau. Sebaliknya, berhujjah dengan segala kebijaksanaan merupakan tindakan yang patut dilakukan.

Membalas hujjah dengan menimbulkan perkara yang tidak ada kaitan dengan isu yang dibangkitkan, merupakan falasi dalam berhujjah. Perkara ini amat jelas dalam pengajian ilmu munazarah dan jidal.

Falasi digunakan, dikala tidak mempunyai kemampuan untuk berhujjah. Justeru, ia digunakan dikala untuk mengelak dari wujudnya pandangan terhadap kelemahan yang sedia wujud. Ekoran itu, falasi sering digunakan dalam propaganda dalam peperangan, juga dalam serangan politik.

Dari sudut pemikiran ilmiyyah, berhujjah dengan kaedah falasi, akan menampakkan kebodohan dari pihak yang berhujjah. Tetapi, dari sudut pandangan umum, ia sudah pasti dilihat sebagai satu kemenangan.

Perlu diingat, memang falasi digunakan dengan tujuan untuk menutup kelemahan, tetapi jangan sampai ia melahirkan mudharat yang lebih besar. Tindakan hendak me’falasi’kan isu kritikan terbuka Dr Abdul Aziz bari ini, dengan menukilkan kononnya Dr Abdul Aziz Bari mengambil kenyataan para blogger seperti mengambil pandangan ”tepi jalan”, dibimbangi melahirkan mudharat yang lebih besar.

Ini kerana, secara umumnya sudah mengetahui, malahan mengakuinya, bahawa kewujudan Blogger juga merupakan faktor penting dalam usaha menjatuhkan Barisan nasional di beberapa Negeri dalam Pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini. Justeru, dakwaan kononnya ”blogger” seperti berita dari ”tepi jalan”, ia seakan-akan sebaris dengan kenyataan pimpinan UMNO/BN sejurus kekalahan teruk mereka dalam PRU ke 12 baru-baru ini, disamping bimbang melahirkan serangan blogger terhadap PAS dalam menghadapi pilihanraya di masa mendatang.

Tidak dinafikan, wujud juga berita-berita tepi longkang dari para blogger, tetapi terus melebelkan secara umum para blogger sebagai pemberita tepi longkang, merupakan satu tindakan yang membimbangkan akan melahirkan mudharat lebih besar di masa akan datang. Adalah lebih baik, tidak digunakan kalimah ”tepi longkang”, tetapi gunalah kalimah lain, yang sama maksud dengan apa yang hendak diperkatakan.

Sayugianya, kritikan Dr Abdul Aziz Bari itu hendaklah dijawab dengan segala keilmiyahan yang ada. Bukannya, mewujudkan falasi. Apabila jawapan yang diberikan dengan segala keilmiyahan yang ada, sudah pasti segala kesan-kesan buruk yang dibimbangi ini tidak akan berlaku. Disamping, keraguan rakyat yang sering tertanya-tanya, akan mendapat kepuasan-hati.

Secara peribadi, aku amat bimbang apabila para cerdik pandai sudah mula mengkritik PAS. Ini kerana, sebelum kejatuhan BN pada PRU ke 12 baru-baru ini, kita dapat lihat bagaimana para peguam mengadakan demonstrasi menentang kepimpinan Pak Lah, para ilmuan-ilmuan bahasa menentang dasar pemerintahan Pak Lah dan banyak lagi.

Justeru, berhati-hatilah ketika sudah kedengaran kritikan dari para ilmuan terhadap PAS. kerana dibimbangi, ia adalah permulaan bagi kejatuhan PAS. jangan mendakwa bahawa mereka tidak berkepakaran dalam politik dan sebagainya, kerana dibimbangi mudharat yang menimpa. Perlu diingat, beliau juga salah seorang rakyat Malaysia yang sedang melihat pergolakan politik di Malaysia.

Beliau sedang melihat, bagaimana kebobrokan UMNO/BN. Beliau juga orang yang sedang membandingkan gandingan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Beliau juga menilai, parti manakah yang dilihat perkukuhkan Pakatan Rakyat, dan parti manakah yang dilihat seperti tidak ikhlas dalam Pakatan Rakyat.

Beliau juga melihat, parti manakah yang lembab, dan parti manakah yang cepat, cerdas dan cergas dalam mainan politik. Masakan beliau, malahan rakyat Malaysia secara umumnya sedang melihat ketiga-tiga parti yang wujud dalam pakatan Rakyat; PAS, PKR dan DAP. Dan secara umumnya, rakyat Malaysia bawahan sendiri sedang bercakap-cakap tentang kewujudakan kelembapan pada satu parti, dan kecerdasan pada parti yang lain dalam Pakatan Rakyat sendiri.

Sekian

p/s : mungkin benar dakwaan sebilangan pihak yang mengatakan, faktor pengundi Melayu terus dengan UMNO/BN adalah disebabkan kelembapan parti pembangkang yang didominasi orang melayu? entah lah..

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
20 oktober 2009 * 2:24 petang