Sabtu, 28 Februari 2009

TADABBUR AL-QURAN: SIRI 8

ORANG KAFIR TERAMAT BIMBANG

Keadaan dalam alam akhirat amat dahsyat. Kesedihan, kemurungan hati, kesempitan jiwa, kebimbangan nasib dan semua perkara negatif wujud dalam hati manusia. Sama ada mereka yang beriman, lebih-lebih lagi mereka yang kufur kepada Allah.

Orang beriman juga bimbang tentang nasib mereka, apakah mereka mendapat nasib yang baik, ataupun mereka senasib dengan mereka yang mengingkari ajaran Allah.

Mengapa orang beriman merasa bimbang juga???

Ini diumpamakan seperti orang yang mempunyai segala kelengkapan memandu, dan sebarang kesalahan memandu tidak dilakukannya, tetapi apabila sedang memandu, tiba-tiba ternampak polis, pada masa itu, orang yang memandu itu merasakan macam ada sesuatu yang tak kena, padahal ia tidak mempunyai sebarang kesalahan.

Dalam pemikirannya, terbayang sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Apakah dia akan di saman oleh polis, atau dia terselamat dari disaman oleh polis.

Begitulah keadaan orang beriman ketika berada di alam akhirat nanti.

Dalam keadaan kesedihan dan kebimbangan itu, tiba-tiba Allah mendatangkan binatang-binatang yang pernah bergaduh semasa di dunia dahulu.

Kalau seekor lembu itu telah tanduk seekor lembu lain sehingga tanduknya patah, maka pada hari ini, Allah memberikan ruang kepada lembu satu lagi membalas serangan lembu tersebut, sebagai balasan atas tindakannya semasa di dunia dahulu. Begitulah berlaku pada binatang-binatang yang lain.

Segala pembalasan terhadap sesama binatang itu diperlihatkan oleh Allah SWT di depan mata-mata seluruh manusia.

Apabila selesai binatang-binatang itu berbalas-balas serangan terhadap mereka, terus Allah hancurkan mereka menjadi tanah.

Keadaan ini menyebabkan orang-orang yang kufur kepada Allah merasa amat cemburu. Ini kerana, mereka sudah merasakan bahawa mereka adalah ahli neraka, yang sudah pasti akan berketemu dengan berbagai-bagai azab yang tidak mampu untuk dihadapinya.

Dalam keadaan itu, mereka melihat binatang-binatang itu dihancurkan oleh Allah menjadi tanah, dengan maksud, binatang-binatang itu tidak akan ditimpa lagi dengan sebarang persoalan, sebarang azab yang akan dipertanggungjawabkan kepada mereka selepas hisab, mereka terus mengungkapkan bahawa, alangkah baiknya mereka menjadi seperti binatang yang menjadi tanah, berbanding jadi manusia yang akan terus ditimpa dengan berbagai-bagai tanggungjawab selepas hisab.

Firman Allah;

إِنَّا أَنْذَرْنَاكُمْ عَذَابًا قَرِيبًا يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepadamu (hai orang kafir) siksa yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya; dan orang kafir berkata: "Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu adalah tanah”

(Surah An-Naba’ : 40)

****

Ayat ini, Allah menyebut inzar (melayu : memberi khabar ketakutan). menunjukkan, keadaan pada hari kiamat nanti, wujud berbagai-bagai ketakutan yang maha dahsyat.

Sebab itu, manusia tidak seharusnya takut untuk menghadapi mati, tetapi sewajibnya manusia merasa takut untuk menghadapi kehidupan selepas dari mati.

Ketakutan yang wujud selepas dari kematian di dunia amatlah dahsyat. Kedahsyatan itu sukar untuk digambarkan dalam sebarang bentuk di dunia ini, kerana memandangkan tidak ada seorang pun yang merasa kedahsyatan itu balik ke dunia, cerita keadaan yang berlaku melainkan Nabi SAW ketika menziarahi Syurga dan neraka pada malam isra’ dan Mikraj.

Pun begitu, kesusahan bahu yang memikul tidak sama kesusahan mata yang melihat. Baginda SAW melihat kejadian itu, menceritakan keadaan itu. itupun, apabila mendengar cerita-cerita nabi, kita merasakan meremang bulu roma betapa dahsyatnya azab akhirat bagi mereka yang ingkar ajaran-ajaran Allah SWT.

*****

Allah menyebut;

عَذَابًا قَرِيبًا

Maksudnya;
“Azab yang dekat”.

Azab yang dekat ini ditafsirkan oleh ulama sebagai azab Akhirat. Menunjukkan, akhirat ini adalah sesuatu yang sudah dekat dengan kita. Ini kerana, dengan kehadiran Nabi Muhammad SAW, menunjukkan akhirat itu sudah hampir dengan kita. Ekoran itulah, Nabi Muhammad disebut sebagai utusan yang terakhir.

*****

Allah menyebut;

يَوْمَ يَنْظُرُ الْمَرْءُ مَا قَدَّمَتْ يَدَاهُ

Maksudnya;
“pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua tangannya”

Sengaja Allah menggunakan “yang telah diperbuat oleh kedua tangan”. Tidak disebut kaki, kepala dan sebagainya, sedangkan dalam melakukan maksiat itu, manusia tidak sekadar menggunakan tangan sahaja.

Inilah yang disebut sebagai sastera bahasa arab yang wujud dalam Al-Quran. Ini kerana, Al-Quran adalah kitab yang datang dari Allah yang mempunyai sastera yang tinggi.

Dalam pengajian sastera arab, kita akan berjumpa satu kaedah yang menyebut;

مجاز مرسل , من إطلاق الجزئي و اراد الكلي

Maksudnya;
“majaz mursal, dengan menyebut setengah, tapi menghendaki seluruh”

Dengan erti kata lain, sengaja Allah menyebut kalimah tangan, kerana tangan amat sinonim dengan kerja buat dan amalan.

Amalan manusia yang disifatkan sebagai maksiat, pasti akan dibalas oleh Allah di akhirat nanti. Lebih menyedihkan lagi, apabila amalan yang dilakukan itu adalah amalan yang membawa kepada kufur dan syirik kepada Allah SWT.

Orang-orang kafir, sama ada kafir asli, ataupun kafir kerana murtad, mereka akan berada di akhirat nanti dalam keadaan yang terlalu membimbangkan. Kebimbangan kerana takut dicampakkan oleh Allah SWT kedalam azab neraka yang dahsyat.

Melihat keadaan di padang mahsyar pun mereka sudah tidak tahan, sudah pasti mereka akan membayangkan betapa lebih dahsyatnya kehidupan dalam neraka. Ekoran itulah, mereka merasa kebimbangan yang melampau, sehingga sampai satu tahap mereka terus menungkap;

وَيَقُولُ الْكَافِرُ يَا لَيْتَنِي كُنْتُ تُرَابًا

Maksudnya;
”Berkata orang kafir, alangkah baiknya kalau aku jadi tanah”

Menjadi tanah seperti binatang-binatang yang dijadikan tanah setelah diperadili oleh Allah didepan mereka.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 Febuari 2009 * 4:35 petang.

Jumaat, 27 Februari 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 7

SERING MEMBERI HADIAH

Hadiah merupakan pelunak bagi hati. Hadiah juga merupakan tanda kesediaan seseorang itu berkasih dengan seseorang yang lain. Apabila seseorang itu memberikan sesuatu hadiah, menyebabkan orang yang menerima hadiah akan rasa dihargai, menyebabkan kadangkala perasaan marah juga boleh terhapus.

Sabda Nabi SAW;

تهادوا تحابوا

Maksudnya;
”Berilah hadiah sesama kamu, pasti kamu akan berkasih sayang
[1]

Diceritakan bahawa semasa Imam Hasan Al-Banna sering menyampaikan kuliah agama. Dalam kuliah beliau itu, terdapat seorang Pak Cik tua yang sering mengemukakan soalan-soalan ”pekena”. Soalan yang dikemukakan, bukan dengan tujuan ”mahu tahu”, tetapi mahu menjatuhkan kredibiliti Imam Hasan Al-Banna sebagai seorang tokoh gerakan Islam di Mesir.

Melihat tindakan Pak Cik tersebut, Imam Hasan Al-Banna berfikir tentang cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang sedang menimpa itu. akhirnya, Imam Hasan Al-Banna terfikir kepada hadis nabi yang menyebut tentang hadiah, menyebabkan Imam Hasan Al-Banna telah membelikan satu hadiah dan diberikan kepada Pak Cik tersebut.

Ekoran dari kejadian tersebut, menyebabkan Pak Cik itu sudah mula merasa malu dengan Imam Hasan Al-banna, dan selepas dari kejadian itu, Pak Cik tersebut tidak lagi mengemukakan soalan-soalan ”penena” seperti yang selalu dilakukan sebelum ini.

Dari kisah ini, jelas kepada kita bahawa hadiah merupakan faktor penting dalam menaikkan semangat sayang menyayangi antara manusia. Lebih-lebih lagi, dalam usaha hendak melahirkan kasih sayang antara suami dan isteri.

Nabi SAW merupakan sebaik-baik contoh yang perlu dijadikan tauladan dalam pengurusan rumah tangga ini. ini kerana, didapati baginda SAW juga sering memberikan hadiah kepada isterinya. Semuanya ini adalah bertujuan, untuk melahirkan perasaan kasih sayang antara suami dan isteri.

Ini disandarkan kepada hadis daripada Ummu Kalsum yang bercerita;

لَمَّا تَزَوَّجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَّ سَلَمَةَ قَالَ لَهَا إِنِّي قَدْ أَهْدَيْتُ إِلَى النَّجَاشِيِّ حُلَّةً وَأَوَاقِيَّ مِنْ مِسْكٍ وَلَا أَرَى النَّجَاشِيَّ إِلَّا قَدْ مَاتَ وَلَا أَرَى إِلَّا هَدِيَّتِي مَرْدُودَةً عَلَيَّ فَإِنْ رُدَّتْ عَلَيَّ فَهِيَ لَكِ قَالَ وَكَانَ كَمَا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرُدَّتْ عَلَيْهِ هَدِيَّتُهُ فَأَعْطَى كُلَّ امْرَأَةٍ مِنْ نِسَائِهِ أُوقِيَّةَ مِسْكٍ وَأَعْطَى أُمَّ سَلَمَةَ بَقِيَّةَ الْمِسْكِ وَالْحُلَّةَ

Maksudnya;
“ketika Rasulullah baru berkahwin dengan Ummu Salamah, baginda berkata kepadanya, “sesungguhnya aku telah menghantar hadiah kepada An-Najasyi dengan pakaian berharga dan beberapa botol minyak wangi. Aku dapati bahawa An-najasyi sudah meninggal dunia, menyebabkan hadiah itu dipulangkan balik kepadaku. Sekiranya hadiah itu dipulangkan kepadaku, maka hadiah itu adalah milik kamu”. Berkata (Ummi Kalsum) dalam riwayat lain; seperti bersabda Rasulullah SAW; “jika hadiah itu dihantar balik, hadiah itu akan diberikan kepada semua isteri-isteri baginda, dan baginda memberikan Ummu salamah minyak wangi yang berbaki dan pakaian bernilai itu
[2]

Hadis ini amat jelas menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana Rasulullah SAW menaikkan semangat kasih sayang baginda terhadap isteri-isteri. Memberi hadiah menjadi rutin bagi Nabi SAW.

Oleh itu, bagi mereka yang sedang berada dalam krisis rumah tangga, perlu sangat mengambil pengajaran dari kisah Nabi ini sebagai panduan dalam menyelesaikan krisis tersebut. Disamping itu juga, bagi mengeratkan kasih sayang antara dua suami isteri, sewajarnya menjadikan pemberian hadiah antara pasangan sebagai sesuatu yang rutin.

Pemberian hadiah itu, tidak semestinya dari suami kepada isteri, bahkan tidak ada salahnya jika isteri yang memberikan hadiah kepada suami dalam mengeratkan hubungan kasih sayang dalam berumah tangga.

Begitujuga, bagi mereka yang berpoligami, kadangkala berlaku sedikit krisis antara isteri-isteri. Jadikan hadis ini sebagai panduan dalam mencari jalan penyelesaian. Mungkin suami memberikan hadiah kepada isteri-isteri masing-masing, atau bagi isteri yang sedar kesilapan ini berlaku, beliau bertindak memberikan hadiah kepada isteri yang lain.

Semuanya adalah bertujuan, untuk melahirkan keluarga yang bahagia, berasaskan kepada contoh tauladan Nabi Muhammad SAW.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 febuari 2009 * 3:12 petang.



[1] Al-Mukjam Al-Awsat : 7448.
[2] Musnad Ahmad : 26016.

Khamis, 26 Februari 2009

HINA RAJA MELAYU TAHUN 1983

UCAPAN TUN DR MAHATHIR DALAM PARLIMEN BERKENAAN RAJA MELAYU 18 JANUARI 1983

”Oleh itu, lahirlah pendapat bahawa raja perlu diletak dibawah satu perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan raja. Dengan cara ini, raja tidak boleh lagi bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa raja akan ditentukan dalam perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun, ada raja yang sanggup menyerah negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan perlembagaan”

*****

Kenapa UMNO pada masa itu tidak demonstrasi membantah terhadap kenyataan ini ??

Jawapannya;

Pada "aqidah" UMNO, semua ucapan pemimpin mereka umpama fatwa Nabi. UMNO memegang perinsip, ucapan pemimpin mereka adalah Tidak ada yang tidak benar, melainkan semuanya benar-benar belaka.


sekian

HURAIAN “AL-HALAL WA AL-HARAM FI AL-ISLAM” : SIRI 1

ALLAH SAHAJA BOLEH BUAT HUKUM

Dalam meletakkan atau menetapkan sesuatu hukum, sama ada halal atau haram, terletak sepenuhnya di tangan Allah maha berkuasa. Manusia tidak mempunyai kuasa dalam menetapkan hukum, walaupun manusia itu bernama Tuan Guru, bernama Raja, bernama rahib atau sebagainya.

Mana-mana manusia yang bertindak meletakkan atau menetapkan hukum, bermakna manusia itu telah bertindak melampaui batasan yang diizinkan oleh Allah. Golongan yang menyokong tindakan manusia tersebut, dikira sebagai orang yang syirik kepada Allah SWT.

Firman Allah;

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ

Maksudnya;
”Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah?”

(Surah As-Syura : 21)

Jika diperhatikan kepada tafsiran ayat ini, Imam Ibni Kathir ada mendatangkan hadis yang menyebut tentang tanggungan yang akan dipikul oleh Amru bin Luhai dalam neraka, ekoran tindakannya yang mendatangkan patung ke makkah sehinggakan masyarakat mekah menjadi syirik sedangkan sebelum itu umat mekah berpegang dengan ajaran Nabi ibrahim A.S
[1].

SYIRIK YAHUDI

Jika dilihat kepada yahudi dan nasrani pula, kita akan dapati, antara sebab Allah mencela mereka apabila menganggap paderi dan guru-guru mereka sekutu Allah, iaitu dengan menerima bulat-bulat (baca : Taqlid Buta) hukum yang disebut oleh paderi-paderi dan guru-guru mereka, sedangkan tindakan paderi dan guru mereka itu adalah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah, begitujuga sebaliknya.

Firman Allah;

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Maksudnya;
“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah”

(Surah At-Taubah : 31)

Diceritakan bahawa ayat ini telah didengari oleh seorang paderi Nasrani yang bernama ‘Adi bin Hatim, menyebabkan beliau telah datang berjumpa dengan Nabi SAW seraya berkata;

Wahai Rasulullah, mereka tidak pernah menyembah paderi dan guru mereka…. lalu bersabda Nabi SAW;

بلى، إنهم حرموا عليهم الحلال، وأحلوا لهم الحرام، فاتبعوهم، فذلك عبادتهم إياهم

Maksudnya;
“bahkan, sesungguhnya mereka mengharamkan kepada mereka perkara yang halal. Menghalalkan bagi mereka perkara haram, lalu mereka mengikutinya, maka itu adalah sembahan mereka terhadap mereka”

AQIDAH NASRANI

Jika kita perhatikan pula kepada puak-puak nasrani, kita akan dapati bahawa mereka beriktiqad bahawa anak-anak murid Nabi Isa A.S telah diberikan oleh Nabi isa kuasa untuk menghalalkan dan mengharamkan. Perkara ini, dirujuk kepada bible, dalam perjanjian baru, matius, 18:18 yang menyebut seperti berikut;

”ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia akan diizinkan juga di Syurga
[2]

Dari bible, perjanjian baru ini amat jelas menyatakan bahawa kaedah hukum yang diamalkan oleh nasrani adalah dengan meletakkan asas halal atau tidak dengan merujuk kepada syurga. Jika di syurga, amalan itu adalah halal, maka itu juga halal di dunia. Begitulah sebaliknya.

Dengan tindakan sebeginilah, menyebabkan nasrani dicela oleh Allah atas kesesatan mereka yang bertaqlid buta kepada anak-anak murid yang didakwa anak murid Nabi isa yang bertindak menggubal hukum mengikut selera mereka sendiri.

AQIDAH MUSYRIKIN

Begitujuga, Al-Quran ada menceritakan tentang celaan Allah terhadap musyrikin yang bertindak menghalalkan dan mengharamkan berdasarkan otak mereka sendiri, tanpa merujuk kepada Allah SWT.

Firman Allah;

قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آَللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

Maksudnya;
”Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku tentang rezki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah: "Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah ?"

(Surah Yunus : 59)

Menurut Imam Ibni Kathir, ayat ini diturunkan rentetan dari tindakan puak musyrikin yang mengharamkan makanan laut yang dihalalkan oleh Allah SWT
[3].

Begitujuga firman Allah;

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ

Maksudnya;
”Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung”

(Surah An-Nahl : 116)

KESIMPULAN

Dari segala ulasan-ulasan ini, kita akan dapati bahawa dalam menentukan hukum halal atau haram, tidak selayaknya manusia itu ”pandai-pandai” dalam menentukannya, bahkan hendaklah diserahkan kepada Allah SWT, sama menerusi Al-Quran, atau Hadis Nabi Muhammad SAW.

Hal ini bersesuaian dengan firman Allah;

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُمْ مَا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya;
”sesungguhnya Allah telah menjelaskan kepada kamu secara terperinci apa yang diharamkan-Nya atasmu”

(Surah Al-Anaam : 119)

Pun begitu, dalam nas al-quran dan As-Sunnah, terdapat juga perkara yang tidak jelas; yang memerlukan kepada ijtihad ulama. Dengan demikian pun, kita akan dapati ulama-ulama mujtahid amat berhati-hati dalam menyatakan sesuatu hukum.

Ini dapat dilihat seperti tindakan Qadhi Abu Yusuf yang pernah berkata;

”kami dapati guru-guru kami amat tidak berminat untuk mengeluarkan fatwa. Ketika mereka berkata, ini halal atau ini haram, nescaya perkara itu dipastikan secara nyata dan jelas dari Al-Quran dan As-Sunnah Nabi SAW”.

Begitujuga, Ibrahim An-Nakhai pernah bercerita tentang ashabnya dengan berkata;

”mereka apabila berfatwa tentang sesuatu atau menegah sesuatu, pasti mereka akan berkata ”ini adalah perkara yang dibenci” dan ”ini tidak mengapa”. Mereka akan merasa terlalu hebat dan berat jika mereka menyebut ini halal dan ini haram”

Juga Imam Ibnu Taimiyyah ada menyebut;

”sesungguhnya para salaf tidak akan menyatakan pengharaman sesuatu melainkan perkara itu diketahui pengharamannya secara Qatii”.

Begitujuga, Imam Ahmad yang menjawab soalan orang yang bertanya dengan katanya;

”aku tidak menyukainya”, ”aku membencinya”, ”aku tidak berbangga dengannya”, ”aku tidak memandang baik pada benda itu”

Dan begitulah jika diperhatikan kepada ulama-ulama yang terdahulu.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
27 Febuari 2009 * 4:09 pagi








[1] Tafsir Ibni kathir : 7/198.
[2] Al-Kitab : m.s 29 (perjanjian baru)
[3] Tafsir Ibni Kathir : 4/275.

Rabu, 25 Februari 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 6

BARING ATAS RIBA ISTERI

Orang-orang jahiliyyah terdahulu, memandang perempuan yang berhaid sebagai jijik sehingga mereka meletakkan undang-undang adat mereka yang meletakkan perempuan seperti barang buangan dan barang terpakai.

Apabila datang Nabi SAW, baginda menyeru manusia kepada Islam yang memandang mulia kepada kaum perempuan, walaupun mereka secara fitrah mempunyai masalah bulanan, iaitu Haid dan Nifas.

Bahkan, dengan kehadiran Haid dan Nifas ini, tidak dijadikan oleh nabi SAW sebagai peluang untuk nabi SAW tidak bermesra dengan isteri-isterinya.

Ini dilihat kepada hadis riwayat Aisyah yang berkata;

لَقَدْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَضَعُ رَأْسَهُ فِي حِجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ وَيَقْرَأُ الْقُرْآنَ

Maksudnya;
”Sesungguhnya Rasulullah SAW sering meletakkan kepalanya di ribaku, sedangkan ketika itu aku sedang berhaid, dan Baginda pula membaca Al-Quran
[1]

Dari hadis ini, kita akan dapat melihat betapa Islam adalah agama yang cukup memuliakan kaum perempuan berbanding apa yang telah dilakukan oleh orang-orang jahiliyyah terdahulu.

Kemuliaan ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW yang bermesra dengan isterinya yang sedang berhaid, dengan meletakkan kepala baginda di riba isterinya yang sudah pasti haid itu berada dikemaluan yang berhampiran dengan riba tersebut. Ini ditambahi lagi dengan tindakan nabi SAW membaca Al-Quran di kala kepala baginda SAW berada di riba Isterinya.

Ekoran dari itulah, Imam An-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menjadi dalil kukuh bahawa tidak dilarang membaca Al-Quran dalam keadaan berbaring dan bersandar pada orang perempuan yang sedang berhaid, malahan ianya juga menjadi dalil bahawa tidak menjadi kesalahan membaca Al-Quran berhampiran dengan najis
[2].

Tidak dinafikan, perasaan cinta antara suami isteri itu kadangkala menebal, dan kadangkala menipis, lebih-lebih lagi dikala isteri dalam keadaan tidak suci ekoran haid dan nifas. Oleh itu, bagi hendak menghangatkan perasaan cinta antara suami isteri, perlu mempunyai daya kreatif masing-masing dalam melahirkan perasaan cinta bergelora.

Dengan hadis ini, Nabi SAW seakan-akan mengajar kepada kita tentang antara tindakan yang perlu dilakukan bagi menghangatkan balik perasaan cinta itu.

Justeru itu, sebagai suami, tidak seharusnya merasa malu untuk meletakkan kepala mereka di riba isterinya. Begitujuga, pihak isteri pula tidak selayaknya merasa janggal dengan tindakan suaminya itu sehingga menganggap tindakan sebegitu seperti tindakan anak dengan ibunya yang mahu bermanja.

Sesungguhnya bermanja antara suami isteri merupakan ibadat disisi Allah, yang melahirkan banyak kelebihan dari sudut keuntungan dunia, mahupun keuntungan di akhirat.

Keuntungan di akhirat adalah dengan balasan pahala, dan keuntungan di dunia adalah dengan kemesraan dan kebahagiaan yang wujud dalam kehidupan berumah tangga.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Febuari 2009 * 1:19 petang


[1] Sunan Ibni Majah : 626.
[2] Aun Al-Ma’bud : 1/305.

DOA TOK GURU TERHADAP NAJIB DAN ZAID HAMIDI

<>

KENAPA UMAT LAMBAT FAHAM ISLAM???

KENAPA UMAT LAMBAT FAHAM ISLAM???

Berjumpa dengan dua orang anak buah di salah sebuah Universiti terkemuka di malaysia. Perjumpaan diadakan selepas menyampaikan kuliah subuh di salah sebuah masjid di Ampang, Selangor.

Dalam perjumpaan tersebut, salah seorang dari mereka bertanya kepadaku;

“kenapa Islam zaman kita lambat menang, sedangkan Nabi dalam masa sekejap sahaja boleh memerintah Madinah dengan islam??”

Soalan itu menyebabkan aku berfikir panjang. Berfikir bagi memberikan jawapan yang tepat, walaupun dalam pemikiranku sudah wujud jawapan yang pada andaianku kurang tepat.

Aku mula memasang ”sifir jawapan”. Aku menyebut, Nabi SAW berjaya menerapkan kefahaman dan keyakinan manusia terhadap Allah. Itu yang disebut sebagai Aqidah.

Umat Islam dan non Muslim kini ditimpa dengan krisis ”kenal Allah”. Apabila krisis ”kenal Allah” ini berjaya diselesaikan, pasti kita akan berjaya menerapkan ketaatan manusia kepada Islam.

Soalan kedua bertubi lagi;

”bagaimana baginda SAW berjaya menyelesaikan ”krisis kenal Allah” ini??”

Aku membawa fikiranku ke zaman nabi SAW. aku berfikir tentang sirah Nabi SAW. lalu aku mendapat satu kesimpulan, bahawa umat arab dahulu amat respek dengan kemukjizatan Al-Quran yang merupakan kalamullah dari sudut Sastera.

Walaupun bangsa arab dikenali sebagai bangsa yang tidak pandai membaca dan menulis, tetapi disebalik kelemahan mereka dari sudut membaca dan menulis itu, mereka mempunyai kelebihan dari sudut hafalan, juga mereka memiliki kelebihan dari sudut sastera.

Ekoran kehebatan orang arab dengan sasteralah menyebabkan Allah pernah mencabar orang Arab Quraish agar mencipta sebuah surah yang sama hebat dengan Al-Quran dari sudut sasteranya.

Firman Allah;

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ

Maksudnya;
“Sekiranya kamu berada dalam keraguan daripada apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad), maka datangkanlah satu surah seumpamanya”

(Surah Al-Baqarah : 23)

Apabila bangsa arab adalah bangsa yang hebat dari sudut sastera, lalu kedatangan Al-Quran menyebabkan mereka terpaksa akur bahawa di sana wujud tuhan yang lebih sastera dari segala sastera yang wujud di atas muka bumi Allah. Justeru itulah, mereka kenal Allah, dan seterusnya mereka beriman dengan Allah.

Apabila mereka sudah kenal dan beriman kepada Allah, maka segala arahan Allah dari Al-Quran akan mudah untuk diterima oleh mereka. ini kerana, krisis kenal Allah mereka telah berjaya diselesaikan melalui “sastera” yang wujud dalam Al-Quran.

Dan aku menilai balik dari sudut kehidupan manusia pada hari ini, khususnya di Malaysia. aku merasakan, “Sastera Al-Quran” bukan asas utama untuk kita hendak menyelesaikan masalah “krisis Kenal Allah” dikalangan kita, ini kerana, rata-rata rakyat Malaysia tidak memahami dan mengerti bahasa arab.

Aku mengambil satu kesimpulan, bahawa krisis ini boleh diselesaikan di Malaysia dengan merujuk kepada kemukjizatan Al-Quran dari sudut yang lain, iaitu menerusi ilmu perubatan dan kajian-kajian sains yang boleh dibandingkan dengan Al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW.

Aku berpandangan, jika Al-Quran dan As-Sunnah berjaya dibahas dalam bentuk sains, ilmu psikologi dan ilmu maqasid As-Syariah, aku berkeyakinan dimasa akan datang, kemungkinan Non Muslim akan memandang Islam sebagai agama pegangan hidup mereka.

Jika hal ini mahu dilakukan oleh para agamawan sahaja, mungkin ianya satu yang mustahil. Jika ada agamawan atau individu Doktor atau Ahli Psikologi yang mampu pun, ianya juga dilihat sesuatu yang amat meletihkan.

Oleh itu, sudah sampai masanya, para doctor dan para ahli psikologi bersama dengan agamawan bagi membentuk satu badan yang merungkai segala rahsia-rahsia Al-Quran dan As-Sunnah ini, agar ianya akan menjadi satu medium dakwah yang berkesan bagi melihat Islam diterima oleh manusia di Negara kita di masa akan datang.

Itu adalah pandangan peribadiku, dan bagaimana pula pandangan anda pula?????

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 Febuari 2009 * 12:20 pagi.





KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 5

BERSUKAN BERSAMA ISTERI

Sukan merupakan antara cara untuk menyihatkan badan. Dengan bersukan, tubuh badan akan bergerak agrasif, sudah pasti melahirkan jasmani yang sihat.

Islam menyeru manusia agar hidup sihat. Ekoran dari itu, Islam meletakkan asas bahawa segala amalan kehidupan adalah harus, melainkan wujud nas yang menyatakan pengharamannya.

Bermaksud, semua bentuk sukan yang boleh menyihatkan badan adalah harus, selama mana bentuk sukan itu tidak terkandung unsure-unsur yang menyalahi syariat; menyalahi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah secara Qatii, Sahih dan sorih.

Justeru itulah, kita akan dapati bahawa Nabi SAW sendiri juga sering bersukan. Bermain pedang, memanah, menunggang kuda menjadi amalan nabi SAW dan para sahabat, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menyiapkan diri dengan persediaan dalam menggerunkan musuh-musuh islam.

Firman Allah;

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

Maksudnya;
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu”

(Surah Al-Anfal : 60)

Dalam keadaan begitu pun, didapati bahawa bersukan yang diamalkan oleh Nabi SAW, bukan sekadar nabi bersama-sama para sahabat sahaja, bahkan ada ketika-ketika tertentu, baginda SAW bersukan bersama isteri-isteri baginda.

Antaranya adalah satu hadis Aisyah yang berkata;

سَابَقَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَبَقْتُهُ فَلَبِثْنَا حَتَّى إِذَا رَهِقَنِي اللَّحْمُ سَابَقَنِي فَسَبَقَنِي فَقَالَ هَذِهِ بِتِيكِ

Maksudnya;
“Nabi SAW berlumba-lumba denganku. Aku mendahului baginda. Ketika aku menjadi gemuk, Baginda berlumba-lumba denganku lagi, lalu Baginda telah mendahuluiku. Lalu baginda SAW berkata, ini sebagai balasan terhadap yang lalu”

Dalam riwayat yang lain pula menyatakan bahawa dalam satu permusafiran Baginda bersama para sahabat. ketika itu, Aisyah turut sama dalam permusafiran tersebut.

Dalam perjalanan, Nabi SAW memaklumkan kepada para sahabat agar mereka berjalan dahulu, meninggalkan Baginda dan Aisyah di belakang. Apabila para sahabat sudah berada jauh di hadapan, lalu Baginda berkata kepada Aisyah ajak berlumba-lumba
[1].

Melihat kepada hadis ini, pasti kita akan dapat membayangkan betapa lunaknya hati nabi dalam usaha hendak gembirakan isteri-isterinya. Memandangkan Nabi SAW adalah manusia yang selalu sebuk, baginda akan mengambil segala kesempatan yang ada untuk menggembirakan isteri-isterinya.

Disamping dalam permusafiran, baginda telah mengambil kesempatan yang ada dengan menjadikan sukan berlumba-lumba sebagai cara untuk bermesra dan menggembirakan isteri-isteri baginda.

Dari hadis ini juga, kita akan dapati, Nabi SAW tidak menjadikan tempat awam sebagai penghalang nabi SAW menyeronokkan isterinya. Bahkan, jika di tempat awam itu adalah ruang yang paling berkesan bagi nabi mahu gembirakan Isterinya, pasti dilakukan oleh Baginda SAW.

Sebagai isteri, pasti tindakan sebegini memberi kesan besar kepada hati mereka. hal ini dapat dibuktikan dengan hadis riwayat Aisyah ini. Walaupun kejadian tersebut telah berlalu begitu lama, tapi masih berada diingatan Aisyah sehingga ke saat Aisyah meriwayatkan hadis ini.

Sekian
Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 febuari 2009 * 5:09 petang.












[1] Musnad Ahmad : 22989.

Selasa, 24 Februari 2009

CADANGAN PENAMBAHAN BAIAH CALON PAS

CADANGAN PENAMBAHAN BAIAH CALON PAS

Harakahdaily melaporkan;

"KEPALA BATAS, 23 Feb (Hrkh) - "Baiah merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah s.w.t dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon dalam setiap pilihan raya sama ada umum atau kecil."

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan, PAS nyata mempunyai rahsia tersendiri untuk menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada mengambil sikap melompat parti kerana tindakan itu bukan sahaja membelakangkan kehendak Allah s.w.t bahkan meninggalkan amanah manusia yang mahu seseorang Adun itu melaksanakan tugas dengan cemerlang
[1]

KOMEN:

Inilah kelebihan PAS jika dibandingkan dengan semua parti-parti yang wujud di Malaysia ini. Kelebihan ini sewajarnya dijadikan contoh oleh semua parti-parti agar kekalutan tidak akan berlaku di masa akan datang.

Dirasakan, mungkin kerana unsur Baiah PAS inilah, menyebabkan Ibrahim Ali yang bersemangat nasionalis melayu ini tidak melompat kepada parti UMNO, walaupun jika dilihat kepada terjemahan hati dan jiwa beliau masih lagi berkasih sayang dengan UMNO.

Jika diperhatikan kepada kenyataan Tok Guru Haji Abdul Hadi ini, beliau ada menyatakan bahawa, tindakan melompat parti adalah tindakan yang membelakangkan kehendak Allah. Menunjukkan, baiah ini dilakukan oleh PAS bertujuan bagi mengelak dari unsure membelakangkan kehendak Allah.

Apa yang pasti, bukan sekadar melompat parti sahaja adalah perkara yang membelakangkan kehendak Allah, bahkan di sana banyak lagi perkara yang boleh disifatkan sebagai membelakangkan kehendak Allah.

Ekoran dari itu, di cadangkan agar PAS di masa akan datang agar menambah baik lagi konsep Baiah ini, iaitu seperti menambah unsur berikut;

a) Tidak menjual fail kerajaan kepada musuh politik selepas menang sebagai kerajaan, sama ada memegang jawatan exco, mahupun ADUN biasa.
b) Tidak mengkhianati setia kawan dengan sahabat-sahabat Pakatan yang lain selagi mana sahabat-sahabat pakatan tidak mengkhinati PAS.
c) Perlantikan exco yang mewakili PAS di negeri yang menang, mesti menerusi mesyuarat Perhubungan, bukan dengan kuasa veto Pesuruhjaya PAS negeri.
d) DLL

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
25 Febuari 2009 * 8:38 pagi.





[1] http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19528&Itemid=1

Isnin, 23 Februari 2009

KISAH CINTA NABI SAW : SIRI 4

SENTIASA KETAWA BERSAMA ISTERI

Memandangkan Nabi SAW adalah manusia biasa seperti manusia-manusia yang lain, pasti keinginan dan perilaku nabi SAW seperti manusia kebiasaan. Cumanya, nabi SAW adalah utusan Allah yang sudah pasti segala pergerakan kemanusiaan baginda itu dikawal oleh Allah SWT.

Dalam berkeluarga, dilihat Nabi SAW sangat romantik dengan isteri-isterinya, sehingga diceritakan dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ’Umarah yang bertanya kepada ’Aisyah;

كيف كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا خلا مع نسائه ؟ قالت : « كان أكرم الناس وألين الناس وأحسنهم خلقا ، وكان رجلا من رجالكم وكان بساما ضحاكا »

Maksudnya;
“Bagaimana keadaan Nabi SAW ketika menyendiri bersama isteri-isterinya?. Berkata Aisyah : Baginda SAW adalah semulia-mulia manusia dan selembut-lembut manusia dan sebaik-baik akhlak dari kalangan manusia. Baginda SAW seperti lelaki lain, bahkan beliau terlalu banyak tersenyum dan ketawa (bersama isteri-isterinya)
[1]

Dari hadis ini, kita akan mendapat satu gambaran betapa Nabi SAW adalah manusia yang sangat disayangi oleh isteri-isteri baginda. Gambaran sayangnya isteri baginda itu adalah dilihat kepada pujian yang diberikan oleh Aisyah terhadap nabi SAW.

Sebagai manusia yang paling rapat, pasti isteri lebih mengetahui keadaan suami mereka. Segala kelemahan dan kelebihan yang wujud pada suami, pasti berada dibawah pengetahuan isteri.

Jika diperhatikan pada hadis ini, juga dari hadis-hadis yang lain, kita akan dapati bahawa tidak ada satu hadis pun yang pernah di keluarkan oleh mana-mana isteri nabi tentang keburukan nabi SAW, menunjukkan bahawa kebaikan yang wujud dalam diri nabi adalah sesuatu yang diakui dan sekali-kali tidak wajar jika tidak mencontohi dan mentauladaninya.

Pujian dari hadis ini adalah, baginda SAW adalah manusia yang terbaik dari semua sudut kehidupan; sama ada dari sudut kemuliaan, kelembutan dan akhlaknya terhadap para isterinya.

Kehebatan yang wujud ini digambarkan oleh Aisyah dengan jelas bahawa Baginda SAW semasa berdua-duaan dengan mana-mana isterinya, sering kali didapati mereka berdua tertawa bersama-sama dan senyum bersama-sama.

Senyum dan tertawa bersama isteri secara berdua-duaan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Antaranya, ia merupakan cara untuk melunakkan hati dan perasaan seseorang isteri agar rasa hidup mereka sentiasa ceria.

Disamping itu juga, dengan tertawa dan senyum berdua-duaan, akan mewujudkan satu suasana yang romantik, harmoni, ketenangan dan seterusnya mampu membangkitkan ghairah syahwat yang sudah pasti akan tercapai kehidupan yang puas dalam kehidupan berumah tangga.

Keadaan ini sebenarnya telah membenarkan sebilangan kajian ilmu Psikologi yang menyatakan bahawa, kerangsangan seks yang wujud pada perempuan tidak sama seperti kerangsangan seks yang wujud pada lelaki.

Kaum lelaki, rangangan seks mereka adalah dengan penglihatan mata, adapun perempuan, rangsangan seks mereka adalah dengan romantik, keharmonian dan dengan kata-kata manis dari lelaki
[2].

Justeru itu, inilah rahsia kebahagian rumah tangga yang diajar oleh nabi SAW kepada umatnya yang wajar dijadikan sebagai contoh tauladan demi mengharungi kehidupan berkeluarga yang bahagia.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 febuari 2009 * 2:54 petang.


[1] Az-Zuhd : 1263.
[2] Quran Saintifik : m/s 288-289.

TADABBUR AL-QURAN : SIRI 7

NIAT YANG BAIK, BALASANNYA PUN BAIK

Firman Allah;

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya;
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”

(Surah Al-Baqarah : 271)

HURAIAN

Dalam ayat lepas, Allah menggambarkan tentang larangan infaq yang dilakukan dalam keadaan menunjuk-nunjuk, juga infaq yang dilakukan dengan tujuan untuk menyakitkan hati orang yang diberi infaq. Semua perbuatan itu adalah dilarang dalam islam, sehinggakan menghilangkan segala pahala infaq.

Adapun dalam ayat ini, Allah membincangkan soal pemberian infaq yang dilakukan itu, apakah dalam semua keadaan dilarang infaq dilakukan dalam keadaan menunjuk-nunjuk? Atau disana, larangan itu dalam beberapa keadaan sahaja.

Jika diteliti dari ayat ini, pasti kita akan memahami bahawa dalam islam terdapat satu perbincangan yang disebut sebagai ”maqasid As-Syariah”. Sesuatu larangan dan suruhan dalam Al-Quran atau Sunnah, pasti wujud unsur maqasid atau tujuan.

Begitujuga dalam ayat ini. yang mana, dalam ayat ini, Allah menyatakan bahawa tidak semua infaq dengan tujuan menunjuk-nunjuk itu adalah dilarang, bahkan dalam keadaan tertentu, menunjuk-nunjuk dalam infaq adalah dibenarkan. Hal inilah, menyebabkan Allah menurunkan ayat 271, surah Al-Baqarah.

****

Dalam kitab tafsir, dinyatakan sebab turun ayat ini dengan beberapa riwayat, antaranya;

a) sebilangan sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan dengan sedekah, manakah yang lebih afdhal. Apakah dalam keadaan sembunyi-sembunyi, atau dalam keadaan terang-terangan?? Bagi menjawab soalan itu, Allah menurunkan ayat ini.

b) dalam riwayat lain pula, ayat ini diturunkan berkenaan dua orang sahabat agung; Abu Bakar As-Siddiq dan Omar bin Al-Khattab. Diceritakan, berlaku satu peperangan yang memerlukan infaq dari para sahabat bagi menampung perbelanjaan perang. Semua para sahabat kembali ke rumah masing-masing untuk memberikan harta masing-masing sebagai infaq fi sabilillah. Orang yang mula-mula sampai kepada Nabi SAW untuk diberikan harta infaq adalah Omar. Apabila ditanya kepada Omar, banyak manakah harta yang telah ditinggalkan kepada ahli keluarga beliau, dijawab Omar bahawa sebahagian harta yang dibawanya ini telah ditinggalkan kepada ahli keluarganya. kemudiannya, datang pula Abu Bakar As-Siddiq dengan harta-hartanya yang mahu diberikan kepada Rasulullah sebagai membiayai perbelanjaan perang. Apabila ditanya Nabi SAW tentang harta yang ditinggalkan kepada ahli keluarganya, menyebabkan Abu Bakar menjawab bahawa semua hartanya diberikan untuk pembiayaan peperangan ini, dan ahli keluarganya diserahkan kepada Allah dan Rasul-Nya. Mendengar jawapan Abu Bakar itu menyebabkan Omar menangis seraya berkata;

والله ما اسْتَبَقْنا إلى باب خير قط إلا كنت سابقا

Maksudnya;
”Demi Allah, kami tidak dapat mendahului kamu dalam perkara kebajikan sedikit pun

****

Dalam ayat ini, Allah menggunakan perkataan ”Sadaqat” yang berasal dari kalimah ”sa da qa”.

Kalimah ”sa da qa” mengikut kalimah asal bahasa arab diterjemah sebagai ”benar”.

Adapun mengikut terjemahan lain, didapati kalimah ”sa da qa” bermaksud kesempurnaan bagi sesuatu.

Dengan demikian, jika diperhatikan kepada bahasa arab, didapati kalimah ”saddaaqan” digunakan dalam perkara yang melibatkan kepada mas kahwin. Menunjukkan bahawa, mas kahwin itu merupakan kesempurnaan bagi sesuatu perkahwinan.

Begitujuga, zakat itu disebut juga sebagai sadaqah, kerana zakat merupakan kesempurnaan bagi keimanan seseorang kepada tuhannya.

****

Dalam ayat ini, Allah menyebut;

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ

Maksudnya;
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali”

Ayat ini, Allah menyatakan bahawa bukan semua menampakkan pemberian sedekah itu adalah dilarang, bahkan disana ada ketika tertentu menampakkan (baca : terang-terangan) pemberian sedekah itu dibenarkan.

Antara keizinan sedekah yang dilakukan dalam keadaan menampakkan kepada orang lain adalah;

a) dengan tujuan untuk memberikan pengajaran kepada orang lain agar sama tiru melakukan sedekah.

Jika ini berjaya dilakukan, pasti orang yang bersedekah dengan menampakkan sedekahnya itu mendapat pahala yang berganda-ganda lantaran dari orang lain mengikutinya.

Keadaan ini membenarkan hadis Nabi SAW;

إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya;
”apabila mati manusia, maka terputus segala amalannya melainkan tiga; (1) sedekah jariah (2) ilmu yang memberi manfaat dan (3) anak yang soleh sentiasa mendoakannya
[1]

b) dengan tujuan untuk mengelak fitnah, seperti bimbang tertimbul fitnah yang kononnya penderma itu tidak menderma (baca : zakat)

Ini disandarkan kepada kejadian yang berlaku ekoran tuduhan yang dilakukan oleh orang munafiq yang kononnya Nabi dan para sahabat tidak membayar zakat. Bagi membetulkan keadaan itu, turun ayat ini yang menyatakan bahawa jika Baginda Nabi SAW dan para sahabat infaq dalam keadaan menunjuk-nunjuk pun, maka itu dibenarkan.

orang yang infaq dalam keadaan sembunyi, lalu diketahui juga oleh orang lain, maka bagi orang yang infaq itu pahala yang bersangatan besar disisi Allah.

Ini disandarkan kepada Hadis Abu Hurairah yang berkata;

قَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي أَعْمَلُ الْعَمَلَ فَيُطَّلَعُ عَلَيْهِ فَيُعْجِبُنِي قَالَ لَكَ أَجْرَانِ أَجْرُ السِّرِّ وَأَجْرُ الْعَلَانِيَةِ

Maksudnya;
”Seorang lelaki berkata; Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku melakukan satu amalan, lalu amalan itu diketahui juga, menyebabkan aku berbangga. Bersabda Nabi : bagi kamu dua pahala, iaitu pahala sebab (infaq) bersembunyi dan pahala dalam keadaan terbuka
[2]

adapun infaq yang dilakukan dalam keadaan menunjuk-nunjuk kepada orang lain dengan tanpa tujuan, ataupun dengan tujuan yang tidak syarii, seperti menyakitkan hati penerima infaq, maka infaq itu tidak bernilai disisi Allah, bahkan tindakan sebegitu adalah terlarang sama sekali dalam syariah.

*****

Firman Allah:

وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ

Maksudnya;
“Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu”

Ayat ini pula menjelaskan, kelebihan infaq dalam keadaan tersembunyi, yang mana, pemberian yang dilakukan itu lebih baik bagi diri pemberi tersebut.

Sedekah dalam keadaan bersembunyi adalah lebih baik berbanding sedekah dilakukan dalam keadaan menunjuk-nunjuk adalah kerana dibimbangi ditimpa penyakit hati, seperti riya’, Sumaah dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi, sedekah yang dilakukan dalam keadaan sembunyi-sembunyi ini dapat memberi keselesaan bagi hati para fakir yang menerima sedekah.

Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis Nabi SAW yang menggambarkan kelebihan infaq yang dilakukan dalam keadaan sembunyi-sembunyian, seperti hadis;

سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله:..... ، ورجل تصدق بصدقة فأخفاها حتى لا تعلم شماله ما تنفق يمينه

Maksudnya;
“Tujuh golongan yang mendapat baying-bayang Allah di hari tiada baying-bayang melainkan baying-bayang Allah……. lelaki yang bersedekah dengan sesuatu sedekah, lalu disembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya”

Juga hadis;

صدقة السر تطفيء غضب الرب

Maksudnya;
“sedekah secara sembunyi-sembunyi dapat menutup kemarahan Allah”

*****

Firman Allah;

وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ

Maksudnya;
“Allah akan menghapuskan dari kamu sebagian kesalahan-kesalahanmu”

Ekoran niat mulia yang dilakukan oleh penginfaq-penginfaq ini, sama ada infaq itu dilakukan secara terang-terangan atau secara sembunyi-sembunyian, pasti Allah akan memberikan kemuliaan kepada penginfaq-penginfaq itu dengan dikifaratkan sebahagian dosa-dosa yang telah dilakukan.

Dosa yang dikifaratkan adalah dosa kecil, ini kerana, dosa besar tidak akan terhapus melainkan dengan bertaubat kepada Allah SWT.

****

Firman Allah;

وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya;
“Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”

Dari penghujung ayat ini, nyata kepada kita bahawa infaq yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi itu lebih baik berbanding dalam keadaan menunjuk-nunjuk. Ini kerana, semua tindakan kita bukanlah mahu mendapat keredhaan manusia, tetapi mahu mendapat keredhaan Allah. Apabila keredhaan Allah yang diperlukan, maka tidak perlu menunjuk-nunjuk dalam melakukan infaq. Lebih-lebih lagi, dengan infaq secara sembunyi-sembunyi ini dapat menjauhkan diri dari riya’ dan sumaah dalam infaq.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 Febuari 2009 * 6:48 pagi.




[1] Muslim : 3084.
[2] Sunan Abni Majah : 4216.

SIAPA HINA ISLAM : DAP ATAU UMNO???


SIAPA HINA ISLAM : DAP ATAU UMNO???

Utusan Malaysia hari ini melaporkan;

”NIBONG TEBAL 23 Feb. – Penubuhan Majlis Perundingan Antara Agama oleh kerajaan negeri Pulau Pinang mesti dihentikan kerana ia meletakkan Islam sama taraf dengan agama-agama lain
[1]”.

KOMEN:

Majlis perundingan antara agama yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pulau pinang dianggap sebagai meletakkan Islam sama taraf dengan agama-agama lain???

Sekadar melihat kepada sebutan ”Majlis Perundingan antara agama”, secara peribadi aku menilai, ianya bukan satu konsep yang meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain, tetapi ianya sekadar mencari titik persamaan antara agama islam dengan agama-agama lain.

Jika keadaan inilah yang berlaku, padaku itu tidak bercanggah dengan ajaran Al-Quran, yang mana Allah SWT ada berfirman;

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Maksudnya;
“Katakanlah (Wahai Muhammad), wahai ahli kitab, marilah kepada satu titik persamaan antara kami dan antara kamu”

(Surah Al-Imran : 64)

Bahkan, dengan duduk semeja bersama-sama dengan pihak agama-agama lain merupakan satu ruang yang terbuka bagi pihak Islam berdialog; dalam usaha untuk menyampaikan keadilan, kefitrahan dan kebenaran yang wujud dalam islam.

Tindakan tidak suka kepada dialog, merupakan tindakan yang merugikan Islam, bahkan bercanggah dengan cara Islam yang menganjurkan dialog dengan sesiapa sahaja dalam menyampaikan islam.

Firman Allah;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya;
”Katakan (wahai Muhammad, iaitu kepada Ahli Kitab), datangkan hujjah kamu sekiranya kamu orang yang benar”

(Surah Al-Baqarah : 111)

Padaku, yang benar-benar menghina Islam adalah mereka yang mendakwa bahawa Islam adalah agama yang zalim; mendakwa islam agama jumud; mendakwa Islam tidak layak memerintah; mendakwa Islam agama sesuai di zaman unta; menjadikan Islam sebagai isu demi mempertahankan kepentingan parti tertentu tanpa menjadikannya sebagai kewajipan perlaksaan.

Yang pastinya, kesemua ini dilakukan oleh UMNO laknatullah alaih, lagi jijik dan kotor.

Bahkan, bertindak tidak mahu berdialog dengan agama lain juga merupakan tindakan yang salah, disebabkan tindakan sebegitu telah memberikan satu gambaran buruk terhadap Islam itu sendiri, yang mana pasti golongan agama lain akan meletakkan satu persepsi bahawa Islam adalah agama pengejut dalam berhujjah, sedangkan kelemahan ini bukan terletak kepada Islam, tetapi terletak lepada umat Islam yang jumud sahaja.

Sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 Febuari 2009 * 3:35 pagi.





[1]Http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm