Jumaat, 18 Mac 2011

REVOLUSI TIMUR TENGAH [KOMENTAR FORUM]

17 mac, diadakan forum yg membincangkan tentang revolusi timur tengah. Ia dilakukan di Dewan Masjid UIA, PJ. Aku turut hadir, walau agak lambat sampai.

Menarik juga dengan forum sebegitu. Ia kerana, ditampilkan wakil dari gerakan yg sering disebut-sebut. PAS, IKRAM, ABIM dan HT menampilkan wakil masing-masing.

Apabila penampilan golongan islam, sudah pasti perbincangannya dilihat dalam kerangka fikrah islamic group. Ia mungkin tidak tepat seratus peratus dengan realiti yang berlaku. Ini kerana, kebangkitan di timur tengah itu, bukan orang Islam sahaja yang bangkit, tetapi melibatkan juga orang bukan Islam.

Dalam mendengar celoteh sidang yang bertanya, banyak soalan-soalan yang tertimbul yang menyebabkan aku berfikir. Aku simpulkan, ia berkisar tentang dua perkara besar, iaitu perubahan sistem dan kebebasan.

PERUBAHAN SISTEM

Tidak dinafikan, sistem perlu untuk mengubah cara hidup rakyat selepas berlaku revolusi. Tanpanya, kehidupan rakyat akan kekal seperti sebelum revolusi.

Tetapi, jika dikatakan berpunca sistem rakyat melakukan revolusi, aku mengira ia tidak tepat. Padaku, rakyat bangkit kerana kezaliman sudah melampau. apabila kezaliman mendominasi, perut rakyat sudah lapar, anak-anak rakyat sudah tidak ke sekolah dan banyak lagi kesusahan, tidak hairan akan berlaku kebangkitan.

Cuma, dalam keadaan sebegini, kesempatan untuk menawarkan kepada rakyat sistem yang baik adalah perlu. Tawaran tersebut, hendaklah dalam kerangka rakyat bakal menerimanya dengan hati yang terbuka, bukan melahirkan kebangkitan kali kedua ekoran tidak mahu menerima sistem yang ditawarkan.

Nabi SAW datang ke Madinah, tidak membawa bendera hudud dan qisas, tetapi membawa bendera ukhuwwah antara aus dan khazraj yang berperang sejak sekian lama, membawa bendera keadilan yang berasaskan islam, membawa bendera penawaran kebajikan hidup rakyat. Dengan itu, Nabi SAW dilantik sebagai ketua kerajaan, seterusnya berlaku penurunan hukum bertahap-taahap sehingga Islam menjadi sempurna.

Penurunan hukum-hukum itu pula, bersifat kesesuaian masa dan ketika. Ia dikenali sebagai asbab an-nuzul. Ia juga dikenali dengan ayat makkiyyah dan ayat madaniyyah.

KEBEBASAN

Kebebasan ini ada dua, iaitu, 1- kebebasan dari cengkaman kezaliman. 2- kebebasan yang bersifat mutlak.

Apabila berlaku revolusi, ia bukan kerana rakyat mahukan kebebasan mutlak. Tapi, yang dikehendaki oleh rakyat adalah kebebasan dari cengkaman kezaliman.

Islam bukan agama yang menyengkam rakyat. Malahan, Islam memberikan ruang kebebasan kepada manusia. ekoran itu, apabila kita membaca hadis, kita akan berjumpa sabda nabi SAW yang bermaksud, "berikan hak bersuara bagi orang yang berhak".

Apabila berlaku penindasan, Islam membenarkan kepada manusia bangkit menentang penindasan, hatta dalam keadaan tertentu, terpaksa mengangkat senjata. Ini merupakan dalil, bahawa islam memberi kebebasan untuk menyelamatkan diri dari penindasan.

Dari sudut kebebasan mutlak pula, islam tidak menafikannya. Namun, kebebasan yang diberikan oleh Islam hendaklah diikat dengan tanggungjawab. Ekoran itu, islam mengharamkan melakukan penindasan kepada orang lain, sama ada secara zahir dan batin.

Bertelanjang bukan lambang kebebasan, tetapi lambang penindasan. Kerana, ia menganggu gugat batin manusia yang melihat. Ia melahirkan gangguan seksual, yang menyebabkan berlaku kerosakan yang lain, seperti kejadian rogol.

Aku tidak fikir, orang yang mahu kebebasan sanggup dirompak. Maka begitujuga, kebebasan yang dicadangkan oleh Islam.

Jika kita menilai ini, tidak hairan kita akan memahami kandungan sebenar disebalik kenyataan Dr Yusuf Al-Qaradhawi sejurus berlaku revolusi mesir. Beliau mengatakan, dahulukan kebebasan berbanding perlaksanaan syariah.

Dari segi logik, bagaimana syariah hendak dilaksana, jika tidak ada kebebasan. Walhal, perubahan sistem tidak akan berlaku, tanpa ada kefahaman kepada sistem. dan kefahaman itu tidak akan tercapai kecuali dengan perubahan pendidikan.

Memahami ini, kita akan memikirkan maksud yang diungkap oleh Dr Nuqaib Al-Attas yang berkata, "perubahan boleh berlaku, bermula dari perubahan pendidikan".

Jadi, perubahan sistem bermula dengan perubahan pendidikan. Perubahan pendidikan, akan tercapai dengan kebebasan. Tanpa kebebasan, masakan sistem, pendidikan juga tidak mampu dilakukan perubahan.

Sekian.

Wallahu 'Alam.

Bandar Sri Damansara
19 Mac 2011 * 1:15 pagi

BIBLE DALAM BAHASA MELAYU

bible dalam bahasa melayu?

jawapanku, hanya seperti berikut;

kalau ia adalah hak orang kristian, maka hendaklah berikan hak itu kepada mereka.

sabda Nabi SAW;

فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

maksudnya;
"berikan kepada setiap orang yang mempunyai hak, akan hak mereka" [Al-Bukhari : 1832]

Dan jika yakin bahawa bible telah diselewengkan seperti yang Allah SWT sebut dalam Al-Quran, maka kena galakkan lagi kristian baca bible, supaya mereka akan nampak penyelewengan itu.

firman Allah;

فَوَيْلٌ لِلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَذَا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ

maksudnya;
"kecelakaan bagi mereka yang menulis kitab dengan tangan-tangan mereka sendiri, kemudian mendakwa ia datang dari Allah"

[Al-Baqarah : 79]

dan lagi, kenyataan Ulama PAS, Ustaz Harun Taib;

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Dewan Ulama PAS tidak membantah atau menghalang penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia sambil menyifatkan ia tidak menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Ketuanya Datuk Harun Taib berkata, penganut Kristian tidak sewajar dihalang untuk menggunakan Al Kitab memandang Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara, milik semua rakyat Malaysia.

“Bagi saya tiada masalah kalau kitab Injil digunakan dalam Bahasa Malaysia ... bukan sahaja dalam Bahasa Malaysia kalau dalam bahasa lain juga tiada masalah.

“Adakah akidah orang Islam akan terjejas dengan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia ini? Tidak, ia hanya sekadar kitab yang dibaca penganut Kristian ... itu sahaja. Jadi, kenapa mesti nak halang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata kitab Injil itu hanya diedarkan di kalangan penganut Kristian jadi orang Islam tidak perlu bimbang mengenai perkara itu.

“Tiada masalah, cuma ia tidak boleh disebarkan di kalangan orang Islam ... itu sahaja, kalau nak guna dalam Bahasa Malaysia memang tiada masalah.

“Saya tiada bantahan dalam perkara ini,” katanya.

Ditanya mengenai penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia, Harun yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, penganut Kristian boleh menggunakan istilah itu dengan syarat hanya di kalangan masyarakat itu.

“Kalau orang Kristian nak guna istilah Allah bagi merujuk Tuhan mereka tiada masalah, kalau mereka yakin Allah adalah Tuhan bagi mereka, biarkan sahaja,” kata beliau lagi.

“Lagipun ia berbeza dengan orang Islam kita ‘Allah s.w.t’ tapi orang Kristian ‘Allah’ sahaja, jadi itu ada beza. Kalau mereka yakin itu hak mereka.

“Saya tak bantah kalau orang Kristian nak gunakan Allah tapi hanya di kalangan mereka sahaja. Jadi orang Islam kena berhati-hati dalam perkara ini,” katanya.

baca lagi di sini

sekian

Wallahu 'Alam

KENYATAAN MEDIA ISU JUD DI KELANTAN : SU AKHBAR TGNA

.....

Rabu, 16 Mac 2011

LAWAN ISLAM, KENAPA?

Orang menolak islam ini mempunyai banyak faktor. antaranya adalah, kerana mereka mempunyai kepentingan diri, kerana mereka jahil tentang Islam dan kerana mereka degil dan bangang.

Orang yang jahil tentang islam, tugas kita adalah menyampaikan Islam. Jika mereka mendengar islam, lalu faham, kemungkinan mereka masuk Islam, dan kemungkinan juga mereka tidak masuk Islam, tetapi mereka mengakui kebaikan dalam Islam.

Namun, kita tidak dapat menolak, bahawa selepas mereka mendengar dan memahami Islam, mereka tetap menyerang Islam, disebabkan mereka ada kepentingan diri atau kerana kedegilan mereka terhadap Islam.

Persoalannya, kenapa mereka degil atau kepentingan diri itu sehingga mereka menolak dan melawan Islam? Jawapan ini memang sukar untuk diberi, kerana kedegilan dan kepentingan diri berfaktorkan hati, walhal berlaku berbolak baliknya hati itu terfokus pada kekuasaan Allah.

Walaubagaimana pun, menyerahkan bulat-bulat kepada Allah juga merupakan satu tindakan yang salah. Dengan pemberian akal dan kekuasaan untuk bertindak pada diri kita, sepatutnya dinilai juga dari sudut kesilapan diri kita.

Tidak dinafikan bahawa non Muslim itu, kadangkala mereka mempunyai prejudis kepada Islam. Tetapi, prejudis tidak akan berlaku, tanpa tindakan orang Islam itu sendiri. Sama ada, tindakan itu baru, atau sejarah sejak sekian lama. Ungkapan sejarah pahit dan luka dahulu, jika sering diungkitkan, kadangkala merupakan faktor prejudis sebelah menyebelah berlaku. Makanya, merapatkan jurang yang terpisah sejak sekian lama amat susah hendak didekatkan.

Apabila keadaan ini berlaku, amat sukar untuk menghapuskan prejudis, seterusnya semakin sukar untuk memimpin tangan mereka supaya dekat dengan Islam.

Jadi, apa yang perlu kita lakukan? ia tidak sekadar disalahkan kepada non muslim, tetapi perlu juga dilihat dari sudut kelemahan umat Islam itu sendiri. Umat Islam, perlu mempamerkan keadilan dan kejujuran yang berasaskan kepada Islam. Jika ini berjaya, tidak hairan islam akan diminati oleh non Muslim.

Wallahu 'Alam

Sekian

Jejantas Sg Buloh
17 mac 2011 * 12:08 pagi

Selasa, 15 Mac 2011

DEMOKRASI : BOLEH ATAU TIDAK BOLEH?

Demokrasi bermakna suara rakyat. Dalam kamus dewan, demokrasi didefinisikan sebagai "pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih dalam pilihanraya". [287]

Dalam artikle lepas, telah dinyatakan bahawa pemerintahan Islam adalah pemerintahan yang terlaksana hukum Islam. Dengan apa jua bentuk sekalipun, sesuatu pemerintahan itu sudah termasuk dibawah maksud pemerintahan Islam sekiranya terlaksana hukum Islam dalam pemerintahan tersebut.

Ekoran itu, kita akan dapati Muawiyyah telah memasukkan elemen monarki dalam pemerintahan islam. tindakan memasukkan elemen itu, tidak mencacatkan bagi maksud pemerintahan Islam. [lihat buku "islam, politik dan pemerintahan]

Jika monarki yang mempunyai kuasa individu pun dibenarkan, maka tidak ada sebab mahu dikatakan haram menggunakan demokrasi dalam pemerintahan Islam. Ini kerana, demokrasi tidak tertakluk kepada suara individu, tetapi tertakluk kepada suara rakyat [suara ramai].

DEMOKRASI TERLARANG

Namun begitu, tidak semua demokrasi itu diterima. Dalam keadaan tertentu, demokrasi ditolak. Antaranya adalah seperti berikut;

Pertama;

suara majoriti rakyat [demokrasi] tidak boleh digunakan untuk menentukan dalam perkara yang bersifat qatie dan perkara yang diketahui dalam agama secara pasti.

Contohnya ; solat, puasa, zakat dan banyak lagi.

Firman Allah, "tiada hukum kecuali kepunyaan Allah"

Kedua:

Suara majoriti tidak boleh digunakan untuk menghapuskan kandungan kitab [Al-Quran].

Firman Allah, "Apakah patut kamu beriman sebahagian kitab, dan mengkufurinya [menghapuskan] pada setengah yang lain. Tiada pembalasan terhadap apa yang kamu lakukan itu, kecuali kehinaan hidup di dunia, dan akhirat nanti kamu akan ditolak ke dalam azab yang hebat".

DEMOKRASI YANG DIBENARKAN

dalam keadaan beberapa tempat, suara majoriti [demokrasi] dibenarkan. Iaitu seperi berikut;

Pertama;

Suara majoriti digunakan untuk memilih pendapat yang paling rajih. Ia berlaku dalam perkara khilaf, seperti contoh memakai pendapat Hanafi dalam menetapkan kewajipan geran bagi mereka yang meneroka tanah berbanding syafie yang tidak mewajibkan geran.

Sabda Nabi SAW, "yang dua itu lebih baik dari satu. Yang tiga itu lebih baik dari dua. Yang empat lebih baik dari tiga........"

Kedua;

ia digunakan dalam tanfiz terhadap hukum-hukum Islam. Seperti, menangguhkan dulu perlaksanaan hukum potong tangan, memandangkan ia boleh mendatangkan kemudharatan dalam perlaksanaan di tahun kelaparan atau seumpamanya. Seperti, kelaparan yang memungkinkan mereka mencuri. Apabila dipotong juga tangan, ia akan mempamerkan laksana hudud dikala wujud shubhat.

Ini disandarkan kepada hadis bahawa nabi SAW tidak terus membetulkan kaabah pada tapaknya yang tepat disebabkan rakyat makkah baru sahaja meninggalkan kekufuran.

Ketiga;

apabila pemerintahan sudah menetapkan perlembagaan islam, maka pemimpin negara boleh digugurkan sekiranya dia melakukan tindakan-tindakan berikut;

1- zalim
2- Fasiq, dan
3- lembab [tiada kebijakan ajaib].

lalu, ia terserah kepada suara rakyat dalam menentukan kejatuhan atau pengekalan pemimpin itu sebagai pemimpin atau tidak.

Firman Allah, "jangan kamu cenderung kepada mereka yang melakukan kezaliman, kelak kamu akan disambar oleh api neraka".

Bersambung...

Sg Buloh
15 mac 2011 * 5:00 petang

Isnin, 14 Mac 2011

PEMBINAAN PEMERINTAHAN ISLAM

Imam ahmad meriwayatkan hadis bahawa Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, "kemudian akan ada pemerintahan [khilafah] atas manhaj kenabian" [17680]. Hadis ini dinilai soheh oleh albani. [as-silsilah as-sahihah : 5]

Dalam Islam, pemerintahan Islam digunakan istilah yang pelbagai. Seperti, khalifah, imamah, amirul mukminin, sultan dan banyak lagi. cuma yang pastinya, mengikut definisi oleh Al-Imam al-Mawardi dalam kitab al-ahkam as-Sultaniyyah bahawa pemerintahan Islam yang dikehendaki oleh syarak adalah "melaksanakan agama [islam] dan mentadbir dunia dengannya [agama]". [1/3]

Ibnu Khaldun dalam kitab muqaddimah pula mendefinisikannya sebagai "pengganti dari tuan syarak dalam menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya [agama]" [97]

Asas utama bagi pemerintahan Islam adalah keadilan. Tidak ada gunanya sebuah pemerintahan itu mendapat lebel "pemerintahan Islam", jika pemerintahan itu dipenuhi dengan kezaliman. Jika wujud juga, ia tidak lebih sekadar fitnah terhadap Islam itu sendiri.

Ekoran itu, tidak hairan Ibnu Qayyim menyatakan dalam kitab "at-turuq al-Hukmiyyah" dengan katanya yang bermaksud, "sekiranya di sana nyata tanda-tanda keadilan dalam apa jua keadaan pun, maka disana terdapat syariat Allah". [17]

Adapun hukum-hukum yang termaktub dalam Al-Quran seperti hudud, qisas, ta'zir, ekonomi, jinayah dan sebagainya, ia merupakan wasilah dalam mencapai keadilan tersebut. Wasilah ini, dari segi tasyriknya sememangnya telah sempurna. Tetapi dari sudut tanfiznya, ia perlu dilakukan secara bijaksana, agar tidak melahirkan kemudhataran disebalik mahu melakukan kemaslahatan perlaksanaan Islam itu.

CARA MENUJU PEMERINTAHAN ISLAM

Cara menuju kepada pemerintahan Islam, ia tidak ditentukan secara qatie. Yang paling penting adalah, segala tindakan itu mampu mendatangkan kejayaan terhadap tertubuhnya pemerintahan islam.

Secara logik, berusaha ke arah penubuhan pemerintahan Islam, ia tidak dapat perlu dilakukan penguguran terhadap pemerintahan yang sedia ada terlebih dahulu. Bagi menjatuhkan pemerintahan tersebut, Islam tidak menentukan satu kaedah atau satu cara sahaja, malahan Islam membenarkan dengan beberapa cara.

Dalam kitab al-imamah al-uzma, dinyatakan cara untuk menjatuhkan pemerintahan yang tidak Islam dalam usaha menaikkan pemerintahan Islam ini dengan tiga cara. Iaitu, [1] pemerintahan tidak islam itu mengugurkan dirinya sendiri, [2] Dengan persenjataan seperti revolusi atau pergulingan kuasa, dan [3] dengan muwajahah silmiyyah. [487 - 489]

Di sini, kita dapat lihat bagaimana Islam menerima cara menjatuhkan pemerintahan tidak islam demi menegakkan pemerintahan Islam dengan persenjataan, rampasan kuasa, revolusi, perubahan raja dalam sistem monarki dan sebagainya.

jadi, jika tertubuhnya pemerintahan Islam itu dengan cara pertumpahan darah pun diiktiraf oleh Islam, maka tidak ada alasan yang kukuh untuk menolak tertubuhnya pemerintahan Islam yang tertubuh dengan cara demokrasi.

ISYKAL

Ada pendapat menyatakan, demokrasi tidak diiktiraf kerana ia adalah satu sistem yang datang dari barat. Jadi, ia adalah haram.

JAWAPAN;

Islam bukan agama yang jumud seperti yang ditanggapi oleh sesetengah pihak. Ekoran itu, islam tidak mempunyai masalah dalam menggunakan pertolongan lain dalam menjatuhkan kezaliman, seterusnya dalam usaha perlaksanaan Islam.

pernah berlaku dalam sirah bahawa Nabi SAW mengakui dengan pakatan yang dilakukan di zaman jahiliyyah. Konsep "hilf" atau pakatan ini, merupakan amalan jahiliyyah dalam membantu orang-orang yang ditindas pada zaman jahiliyyah. perkara ini dijelaskan menerusi hadis yang termaktub dalam kitab Sunan al-Baihaqi al-Kubra, daripada Talhah bin Abdillah bin Auf bahawa Rasulullah SAW ada bersabda, "Sesungguhnya aku telah hadir di rumah Abdullah bin Jad'an dalam satu pakatan. Ia teramat aku sukai seperti kesukaanku kepada unta merah [gambaran terlalu suka]. Sekiranya aku diajak kepadanya di zaman Islam, pastu aku akan sahutinya" [12859]

Dalam kitab yang sama, al-baihaqi telah menukilkan perkataan al-Qutaibi bahawa dia mengulas hadis ini dengan menyatakan bahawa hadis ini menceritakan tentang penindasan yang telah Quraish lakukan di Makkah. Lalu, Abdullah bin Jad'an dan Zubair bin Abdul Muttalib mengajak untuk diadakan pakatan atas memberi keselamatan dan pertolongan mereka yang dizalimi. Ajakan itu telah disahut oleh Bani Hashim dan setengah dari kabilah Quraish. [6/367]

dari sini, kita dapat lihat betapa Islam boleh menerima sistem yang lain dari Islam dalam usaha menjatuhkan kezaliman. Sekiranya dalam menjatuhkan kezaliman pun dibenarkan menggunakan sistem bukan Islam, maka lebih-lebih lagi dibenarkan dalam usaha menegakkan pemerintahan Islam.

Juga, bukan semua sistem bukan Islam itu wajib ditolak. Malahan, tidak ada salahnya digunakan sistem itu dalam usaha ke arah penubuhan pemerintahan Islam.

firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah yang bermaksud, "barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah mereka sepertimana mereka menyerang kamu". [194]

Dalam ayat ini, kelihatan Allah SWT menyuruh manusia itu menyerang serangan musuh seperti serangan yang musuh lakukan. Dengan erti kata yang lain, Jika musuh menggunakan persenjataan, maka hendaklah diserang balik dengan persenjataan; jika musuh menggunakan perdebatan ilmiyyah, maka hendaklah diserang balas dengan hujjah ilmiyyah.

Malahan, adalah satu larangan sekiranya musuh menggunakan perdebatan ilmiyyah, lalu diserang balas dengan persenjataan. Kerana tindakan ini boleh disifatkan sebagai melampaui batas.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah yang bermaksud, "Dan perangilah di jalan Allah terhadap mereka menyerang kamu, dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang yang melampuai batas" [190]

Jadi, adalah satu yang disifatkan tidak tepat jika musuh menggunakan demokrasi untuk mempertahankan kuasa, lalu digunakan kaedah yang lain dalam melawan musuh tersebut.

Dan lagi, tidak semua yang datang dari kafir itu hendaklah ditolak. Selagimana tidak ada percanggahan dengan nas secara saheh dan sareh, maka ia dibenarkan.

Ia sama seperti bank yang merupakan satu institusi yang diasaskan oleh bukan Islam. Tetapi, sekiranya segala unsur-unsur yang haram dilupuskan dari institusi kewangan tersebut, maka penubuhan institusi itu tidak boleh dikatakan haram. Maka begitujuga menggunakan demokrasi dalam usaha menjatuhkan pemerintah yang zalim, lalu untuk menubuhkan pemerintahan Islam.

Malahan, menggunakan kaedah bukan Islam tidak bercanggah dengan Islam selagi ia tidak bercanggah dengan nas yang sareh lagi saheh ini dilakukan sendiri oleh Nabi SAW. Ia diasaskan kepada beberapa fakta, iaitu;

Nabi SAW menggunakan pandangan salman al-farisi dalam menggunakan kaedah dan cara menggali parit yang merupakan cara dan kaedah majusi di Farsi berperang. Juga, Nabi SAW menerima pandangan Abu Bakar As-Siddiq yang mencadangkan tawanan badar yang bijak mengajar pelajar Islam, walhal tawanan badar itu tidak beragama Islam.

KOMENTAR TERHADAP PUAK HIZBUT TAHRIR

pertama : pemerintahan islam

Firman Allah, "tiada [yg menetapkan] hukum, kecuali Allah".

Ayat ini bersifat qatie as-subut dan qatie ad-dilalah. Ekoran itu, penubuhan kerajaan yg terlaksana hukum Islam adalah wajib. Itulah kandungan definisi k...halifah yg telah dinukilkan dalam artikle di atas.

Cuma bagaimana atau apakah cara hendak melaksanakan hukum Islam dalam pemerintah, ia tidak bersifat qatie, tetapi sifat zanniy. Ekoran itu, ia perlu kepada ijtihad ulama.

ia diumpamakan seperti kewajipan mengadap qiblat untuk solat. Ia adalah sesuatu yang tidak diijtihadkan lagi. Tetapi cara bagaimana hendak memastikan arah kiblat, ia tidak dinyatakan secara qatie. Makanya, ia terbuka kepada ijtihad para ulama.

Ketiga : monarki

kerajaan yg dikehendaki oleh Islam adalah kerajaan yang menjadikan Islam sebagai asas pemerintahan. Apabila sesuatu kerajaan itu sudah menjadikan Islam sebagai asas, maka ia sudah diiktiraf sebagai kerajaan Islam, walaupun ia berbentuk monarki atau demokrasi.

selepas khalifah empat, muawiyyah mengambil tampuk pemerintahan. Beliau telah menjadikan penggantinya adalah anaknya, seterusnya disambung oleh cucunya sehingga jatuh dinasti, kemudian naik dinasti yg lain.

Walaupun berbentuk dinasti atau monarki, kerajaan itu tetap menjadikan hukum pengamalan adalah bersumberkan islam. Makanya, kerajaan itu adalah kerajaan Islam, waima ia berbentuk monarki atau dinasti.

jadi, kerajaan Islam bermakna kerajaan yg terlaksana hukum Islam, tidak kira ia menerusi turun temurun keluarga, atau sebaliknya. Jika dinasti atau monarki pun diterima asalkan hukum Islam terlaksana, di manakah salahnya penubuhan kerajaan yg terlaksana hukum islam dgn cara demokrasi..

sekian

Wallahu 'Alam


Sg Buloh
14 Mac 2011 * 2:09 pagi

IJTIHAD

Tidak dinafikan segala definisi ijtihad yg telah dikemukakan. sama ada dari sudut lughah dan istilah. Tetapi, jgn dilupa bahawa perbincangan ijtihad ini, mempunyai kaitan seperti berikut;

1- dalam perkara yang yg nas itu be...rbentuk qatie as-subut dan zanniy ad-dilalah.

2- dalam nas yg berbentuk zanniy as-subut dan zanniy ad-dilalah.

3 - perkara yg telah ijmak, tetapi ijmak dalam perkara yang tiada nas.

Ekoran itu, berlakunya ijtihad itu dalam beberapa sebab. ia seperti berikut;

1- satu nas yg mempunyai byk tafsiran.

Contoh; nabi SAW ada bersabda, "barangsiapa yg teroka tanah, maka ia menjadi miliknya".

Dari satu nas ini, ulama mempunyai dua ijtihad. Iaitu, ijtihad imam syafie dan ijitihad imam hanafi. Pada ijtihad imam hanafi, tanah yg diteroka tidak menjadi milik, kecuali mendapat keizinan [geran] dari kerajaan. Adapun ijtihad imam syafie, tanah itu terus menjadi milik, waima tanpa keizinan kerajaan.

2- ada dua atau lebih nas yang dilihat bercanggah.

Contoh: syafie dan maliki berbeda ijtihad dalam menentu keadaan sujud, apakah dahulukan dua lutut, atau dahulukan kedua tangan. Ini kerana, ada dua hadis yang dilihat bercanggah.

Hujjah syafie, berdasarkan hadis bahawa anas bin malik menyatakan dia lihat Nabi SAW solat. Masa sujud, nabi turun lutut dulu, baru tangan. Adapun hujjah Maliki pula, berdasarkan hadis wa-il yg menyatakan nabi SAW menyuruh turun dua tangan dulu berbanding dua lutut.

3- tiada nas yg nyata dan terang.

Contoh : hukum makanan dua alam, halal atau tidak. Syafie mengatakan haram, tapi maliki kata halal. Krn mereka selisih dalam adaptasikan kaedah fiqh "asal sesuatu perkara adalah harus"

4- dalam mengadaptasikan nas.

Contoh : apabila Nabi SAW masuk ke makkah [fath makkah] nabi SAW tidak terus membetulkan tapak kaabah, walhal nabi sebelum itu, nabi SAW pernah sebut kpd aisyah bahawa baginda akan betulkan. Demikian menyebabkan aisyah bertanya nabi, lalu baginda menjawab, "kalaulah tidak kerana umat kamu baru sahaja meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku telah lakukannya".

PERKARA YG TAK BOLEH DIIJTIHADKAN

Pun begitu, ada beberapa perkara yang tidak boleh diijtihadkan. Iaitu;

1- nas yang qatie subut dan qatie dilalah.

2- ijmak ulama pada kewujudan nas.

Dalam dua perkara ini, ia tidak boleh Berlaku ijtihad. makanya, ia tidak boleh berlaku khilaf dikalangan ulama. Inilah yg dimaksudkan dengan perkataan imam as-syafie yg dinukilkan dari kitab ar-risalah, bahawa beliau berkata, "Ikhtilaf ada dua bentuk. Salah satunya haram. Saya tidak berkata yang seperti itu untuk yang lain. Setiap hal yang hujjah-nya telah ditegakkan oleh Allah dalam Kitab-Nya atau melalui lisan Nabi-Nya secara tegas (manshûsh) lagi jelas tidak halal ikhtilaf di dalamnya bagi mereka yang mengetahuinya..Adapun yang tidak seperti itu memungkinkan ada takwil dan dipahami berdasarkan qiyas. Orang yang melakukan takwil atau qiyas pada makna yang terkandung pada hadis atau qiyas meski mungkin berbeda dengan yang lain"

sekian

Wallahu 'Alam

Ahad, 13 Mac 2011

MAQASID : ADA NAS DAN TIADA NAS

Dalam perbincangan maqasid syariah, ia tidak lari dalam dua bentuk, iaitu dalam perkara yang ada nas, dan dalam perkara yang tiada nas.

ADA NAS

Dalam perkara yang ada nas ini, ia tertumpu pada dua maslahah, iaitu, maslahah muktabarah dan maslahah mulghah.

Maslahah muktabarah adalah maslahah yang sememangnya wujud dalam nas. Ia merupakan tuntutan syarak agar dilakukan demi memberi kemaslahatan kepada manusia. Contohnya seperti suruhan Allah SWT agar memotong tangan pencuri. Ia mempunyai maslahah yang perlu diambil, iaitu menyelamatkan masyarakat dari berada dalam kebimbangan harta mereka yang memungkinkan dicuri atau dirompak.

Adapun maslahah mulghah, adalah maslahah yang wujud dalam nas yang dituntut agar ditinggalkan. Contohnya pengharaman arak. tidak dinafikan bahawa arak itu mempunyai maslahahnya tersendiri. Namun, maslahah yang ada pada arak itu hendaklah ditinggalkan, kerana dosanya [iaitu yang boleh mendatangkan mudharatnya] itu lebih besar berbanding maslahah. Lantaran, hukumnya adalah haram.

Dalam dua jenis maslahah ini. Jika ia berbentuk tuntutan untuk dilakukan, wajib diyakini bahawa ia mempunyai banyak kemaslahatan kepada hamba. Sekiranya wujud juga mafsadah, diyakini bahawa mafsadah itu kecil jika mahu dibandingkan dengan maslahah.

Adapun jika ia adalah larangan dari dilakukan, maka diyakini bahawa maslahah itu kecil. Sekiranya wujud mafsadah juga, diyakini bahawa mafsadah itu besar berbanding dengan maslahahnya.

TIADA NAS

Perbincangan maqasid dalam perkara yang tiada nas, dinamakan sebagai al-masalih al-mursalah. Ketika ini, ia diserahkan kepada akal yang sejahtera dan sihat bagi manusia mengimbang sesuatu perkara tersebut antara maslahah dan mudharat.

Sekiranya maslahahnya lebih besar berbanding mafsadah, maka ia adalah halal dilakukan. Adapun sebaliknya, iaitu mafsadah lebih besar berbanding maslahanya, maka ia dilarang dari dilakukan.

Lalu, jika imbangan ini sudah mencapai keputusan, selalunya ia dikuatkan dengan nas-nas yang diqiaskan dengan kejadian tersebut.

Contohnya, seperti perlantikan Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah setelah kewafatan Rasulullah SAW. perlantikan Abu Bakar itu dikuatkan dengan mengqiaskan perlantikan Nabi SAW terhadap Abu Bakar as-siddiq sebagai imam solat di saat Nabi SAW sedang sakit dahulu.

Namun begitu, sekiranya tiada nas yang mengukuhkan keputusan setelah diimbang antara maslahah dan mudharat, maka ia tidak mencacatkan keputusan tersebut. Ia seperi yang dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq yang menghimpun al-Quran atas cadangan yang dilontar oleh Umar bin Al-Khattab. Waima tiada nas secara qias yang mengukuhkan tindakan Abu Bakar tersebut, tetapi keputusan itu ternyata mendatangkan kebaikan dan kemaslahatan yang besar kepada Islam dan umatnya. Dengan erti kata lain, tiada nas itu tidak mencacatkan keputusan yang terhasil setelah diimbang antara maslahah dan mafsadahnya.

Sekian

Wallahu 'Alam.

Kopitiam Bangi
13 Mac 2011 * 9.00 malam.

TA'LIL : ANTARA USUL FIQH DAN ILMU KALAM

Dalam pengajian maqasid syariah, tidak akan lepas dari berbincang tentang ta'lil. Dalam perkara ini, ia perlu dibahas dari dua dimensi, iaitu dari dimensi ilmu usul fiqh dan dimensi ilmu kalam.

Dalam ilmu kalam, perbincangannya adalah, apakah ta'lil ini adalah satu perkara yang wajib pada af'al Allah atau tidak, ataupun ia tertakluk kepada akal manusia.

menurut muktazilah, penentuan baik buruk itu adalah tertakluk oleh akal. menurut asyairah pula, baik dan buruk itu tidak tertakluk kepada akal, tetapi tertakluk kepada hukum syarak [dgn maksud, nas yang mengakui penerimaan dan penolakan]. Adapun maturidiyyah pula berpendapat, baik dan buruk adalah penentuan akal. Namun begitu, dalam menentukan apakah benar ia adalah baik atau buruk diserahkan kepada syarak. [Dhowabit maslahah : 100]

Nyata dari perbincangan ta'lil pada af'al Allah, ketiga2 aliran pemikiran ini mempunyai perbedaan dalam menentukan asas bagi penentuan baik dan buruk. Apakah ia ada kaitan dengan akal, ataupun ia mempunyai kaitan dengan Allah, atau ia semata-mata diserahkan kepada Allah.

DIMENSI USUL FIQH

Dan satu lagi adalah perbincangan ta'lil dari dimensi ilmu usul fiqh. Perlu difahami, kedua-dua dimensi ini tidak boleh disamakan, waima kedua-duanya mempunyai unsur-unsur kesamaan. ia sama seperti perbedaan antara monyet dan manusia, waima tidak dinafikan antara kedua-dua makhluk ciptaan Allah ini mempunyai unsur-unsur kesamaan.

Dari dimensi ilmu usul fiqh, ta'lil banyak dibincangkan dalam kerangka perbahasan qiyas. Dalam ilmu maqasid syariah, ta'lil dari dimensi usul fiqh ini yang dibincangkan secara mendalam.

Jadi, jika ada pihak membahaskan isu maqasid syariah dari dimensi ilmu kalam, tidak hairan mereka akan menjadi golongan yang menolak ilmu maqasid syariah. Walaupun mereka menganggap beraliran al-ghazali, tetapi mereka tersalah menilai isu ta'lil dari sudut dimensi. Al-ghazali dan gurunya, Al-Juwaini membahaskan maqasid dari sudut ta'lil dari dimensi usul fiqh, tetapi memandangkan kita meneroka ta'lil yg dibahas oleh al-Ghazali dari dimensi ilmu kalam, pasti kita akan terkeliru, dan mungkin mengelirukan orang lain.

Sekian.

Wallahu 'Alam.

- Jejantas Sg Buloh
13 Mac 2011 * 6:40 petang