Isnin, 12 Disember 2011

UMUR BALIGH KENA HUDUD?


Lama dah tak menulis. Mood menulis tak ada. Ini pun gagah menulis. Nak bina balik mood menulis.
        Isu yang mahu dibincangkan disini adalah berkenaan cadangan hudud dikenakan kepada orang yang berumur 18 tahun keatas, walhal hudud dikenakan kepada orang yang sudah baligh.
Dalam fiqh syafie, umur paling tinggi bagi baligh adalah 15 tahun, bukan 18 tahun. Tetapan kepada 18 tahun adalah had yang paling tinggi bagi baligh mengikut mazhab Hanafi.
        Jika diperhatikan betul-betul, tetapan umur 15 atau 18 tahun adalah had yang paling tinggi sahaja. Ia terhasil dari kaedah Istiqra’, iaitu kajian induktif. Itu pun, bukan dilihat pada seluruh manusia pada zaman itu, tetapi diambil berdasarkan bilangan tertentu sahaja. Ia dinamakan sebagai Istiqra’ Naqis.
        Secara pastinya, semua sepakat bahawa umur baligh apabila kanak-kanak itu sudah keluar air mani, sama ada dengan mimpi ataupun tidak. Keluar air mani ini, kadang-kadang tak sampai pun umur 15 tahun atau 18 tahun. Malahan tidak mustahil, keluar air mani ini berlaku pada umur 10 tahun atau 8 tahun dan seumpamanya.
        Namun begitu, problem berlaku apabila mahu digezet atau diwartakan sebagai undang2. Dalam bahasa undang2 Islam disebut sebagai “Taqnin”, atau diqanunkan.
        Dalam Negara monarki, keputusan yang hendak dikenakan itu tidak perlu merujuk kepada satu perlembagaan atau buku undang2 tertentu, tetapi cukup sekadar merujuk kepada Syaikh al-Islam yang dilantik di sesebuah Negara atau daerah. Keadaan ini berbeda dengan Negara yang mengamalkan demokrasi, malahan berlaku dalam Negara monarki moden.
        Mengqanunkan atau menjadikannya sebagai buku undang2 yang boleh dirujuk bertujuan, mudah untuk dijadikan rujukan apabila berlaku sebarang kekalutan. Terutama dari pihak peguam yang mahu mempertahankan anak guamannya. Disebalik membukukan sesuatu undang2 itu, ia lebih mendatangkan kebaikan berbanding dengan melantik seorang Syaikh al-Islam yang menjadi rujukan. Ini kerana, buku undang yang telah disepakati, tidak boleh dipengaruhi ketika hukuman mahu dikenakan, berbanding jika dirujuk kepada seseorang Syaikh al-Islam.
        Kembali kepada isu ketetapan umur dalam mengenakan hukuman Hudud. Jika diandaikan, seorang kanak-kanak berumur 14 tahun melakukan kesalahan jenayah, lalu dihadapkan di hadapan hakim (atau Qadhi), kemudian penjenayah kanak-kanak itu bersumpah bahawa dia belum baligh lagi, sudah pasti kanak-kanak itu terlepas dari hukuman. Ini kerana, ia sudah melahirkan syubhat.
        Keadaan ini akan jadi masalah lagi, apabila seseorang yang telah melakukan jenayah yang berumur 20 tahun yang bersumpah bahawa dia belum baligh lagi. Ia juga akan jadi syubhat yang tidak boleh dikenakan hukuman terhadap pesalah tersebut. Begitjuga juga yang bersumpah itu sudah berumur 30 tahun sekalipun, walaupun secara logiknya mana mungkin sudah berumur 20 atau 30 tahun belum baligh lagi.
        Ekoran itu, bagi memastikan ia tidak menjadi masalah dalam perlaksanaan di masa akan datang, makanya merujuk kepada penentuan had umur 18 tahun yang merupakan had umur baligh mengikut pandangan Imam Hanafi.  Ini dengan maksud, mengelak dari sebarang masalah di masa akan datang, apabila seseorang penjenayah yang berumur lebih 18 tahun bersumpah bahawa dia belum baligh lagi. Makanya, sumpahnya automatic boleh ditolak.
       
Wallahu ‘Alam