Jumaat, 16 April 2010

NAJIB NAK JATUHKAN SAMI?

"ustaz.. jangan sebut itu nama Samy Vello lagi" kata seorang kawan berbangsa india di Dun Kota damansara.

"dah tu, nak panggil apa?" soalku.

"Panggil Vello saja.. dia punya sami, kami sudah tarik" katanya menyebabkan aku ketawa.


NAJIB NAK JATUHKAN SAMI?

Baru-baru ni, Kuliah maghrib kat Bangi. Ada seorang orang besar dalam UMNO hadir; Tokoh UMNO agak veteran, berasal dari negeri kelantan. Pernah jadi YB di kelantan. Dia tak kenal aku.

Aku kenal dia melalui TV je sebelum ni. Kali ini, dapat jumpa live dengannya. Dalam kuliahku malam tu, aku kupas perbedaan antara Puji dan Ampu. Kelihatan dia tidak selesa dengan kupasanku itu.

Selepas kuliah, time makan. Sedang makan, banyak benda yang kami bualkan. Tapi, isu politik yang paling best kami bualkan.

Dia pula, seperti tak ada rahsia berbual-bual denganku tentang UMNO. Mungkin dia anggap aku anak muda yang tidak tahu menahu tentang politik kot.

"dato' nampak lagu mana dengan hulu selangor ni?" soalku dalam loghat kelantan.

"dato' Najib bagi MIC sebab nak bagi 1 Malaysia ni berjaya dalam PRU ke-13" jawabnya ringkas.

"apa kaitannya?" soalku kepelikan.

"kalau bagi UMNO bertanding, nanti Dato' Najib nak tarik pengaruh orang cina, India tak berjaya. Lagipun, itu tempat MIC. Kalau tak bagi MIC, nanti puak-puak hindu ni mengamuk" ujarnya.

"kalau BN kalah. Imej najib juga kan?" aku berkerut dahi

Dia diam sejenak, seperti berfikir. kemudian dia jawab, "memang imej dato' najib rosak sikit. Tapi, Sami ni beban besar. Orang India pun tak suka kat sami"

"lagu mana tu?"

"kalau boleh, biar Presiden MIC ni bukan sami lagi"

"Oooooooooooooo"

Dan banyak tajuk juga kami bualkan. Cuma, dirasakan maklumat ini agak penting untuk dikongsikan bersama.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani


- Rawang
17 April 2010 * 5:19 pagi




MAZA HAMBAT UMNO DARI JAIS?


MAZA HAMBAT UMNO DARI JAIS?

MAZA cakap ada majlis "telan air liur ustaz" di selangor. Pengarah JAIS, Khusrin meloncat. Lalu, keluar berita berunsur ugut terhadap MAZA, jika MAZA tidak laporkan itu kepada JAIS.

Dengan nada sindir, MAZA cakap ceramah di rumah orang pun, JAIS boleh tahu sampai pergi tangkap, tapi majlis telan air liur ustaz buat di masjid Khusrin tidak tahu. Memang dasar proksi UMNO dalam kerajaan pakatan rakyat begitu.

Nampaknya, pertembungan MAZA dengan JAIS semakin panas. Apa kesudahannya? tidak diketahui.

Apakah pertembungan ini "menang jadi arang, kalah jadi abu". Atau, pertembungan dua pihak ini, akan berjaya menghambat proksi UMNO dalam jabatan agama islam di Selangor?

kita tunggu dan lihat.

Sekian

p/s : Tak sabar nak tengok debat terbuka antara MAZA dengan Nuruddin Banjari. JAIS boleh anjurkan program ini?

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Rawang
17 April 2010 * 4:14 pagi

Khamis, 15 April 2010

UNDILAH CALON APCO !


"Parlimen diberitahu bahawa Kerajaan bayar RM77 juta setahun pada APCO. RM77 juta boleh beri biasiswa pada 2556 pelajar IPTA selama 4 tahun tanpa pinjaman. 77 buah sekolah rendah dapat dibina dengan kos RM1 juta/sebuah. Dapat taja 154 pelajar Perubatan keluar negara. 2556 rumah rakyat percuma yang berharga RM30K. Betapa malang rakyat Malaysia dapat pemimpin begini.

HENTAM PENDAPAT TULANG BESI


HENTAM PENDAPAT TULANG BESI

Hari ini, Tulang Besi menulis satu article yang bertajuk ”benarkah jentera PAS di Hulu Selangor Perlahan?” (sila Klik). Artikle itu, lebih kepada mengulas berita dari Malaysianinsider.

Dalam artikle itu, Tulang Besi menyatakan bahawa antara punca slow pergerakan jentera PAS untuk PRK Hulu Selangor adalah, faktor yang didakwa team-team Kerajaan perpaduan dan faktor timbalan Presiden PAS.

Membaca berita ini, aku agak tidak bersetuju dengan pendapat Tulang besi, waima aku tidak menafikan bahawa sudah kedengaran ’bisik-bisik’ dari perawi melalui saluran pemuda, bahawa ada sebilangan yang terlalu kecil dari kalangan pimpinan tertinggi pemuda PAS Pusat (Bukan Ustaz Din Tantawi) yang sedang ’membisikkan kepada ramai pemuda’ untuk melemahkan semangat pemuda dari membantu PRK Hulu Selangor dengan mendakwa bahawa calonya, iaitu Dato’ Zaid Ibrahim pernah melawan hudud.

LAWAN HUDUD?

Padaku, Dato’ Zaid Ibrahim sudah menjawab dakwaan itu, bahkan wawancara itu telah termaktub dalam lamanweb harakahdaily. Juga, mungkin kita perlu membedakan antara dua zaman beliau, iaitu di zaman Zaid Ibrahim dalam UMNO dan setelah keluar dari UMNO.

Semasa pelancaran buku ”saya Pun melayu”, aku turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut. Dalam majlis pelancaran yang disempurnakan di Tropicana, Zaid Ibrahim berkali-kali memuji Tuan Guru Nik Abdul Aziz, malahan beliau terlalu mengkagumi Tuan Guru sehingga mencalonkan sebagai ”pemimpin kerohanian” dalam gabungan pakatan rakyat.

Perubahan yang berlaku ini, perlu diraikan. Ini kerana, ia adalah permulaan bagi perubahan pada diri insan yang bernama Zaid Ibrahim, seterusnya di masa akan datang, pendekatan demi pendekatan yang berhemah perlu dilakukan terhadap Zaid Ibrahim.

Padaku, hubungan antara kita dengan Zaid Ibrahim di kala ini, hendaklah dilihat sepertimana hubungan Nabi SAW lakukan terhadap Abu Sufyan di awal sejarah pembukaan Kota Makkah. Jika kita fahami dari hubungan itu, pasti kita tidak mudah bertindak membangkitkan ’dosa-dosa lama’ yang telah dilakukannya, lebih-lebih lagi membangkitkan itu memberi keuntungan kepada UMNO/BN yang mempunyai kemudharatan yang teramat sangat dalam dunia politik di Malaysia.

Sabda Nabi SAW;

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ

Maksudnya;
”Setiap Umatku dimaafkan, melainkan mereka yang membangkitkan balik
[1]

Ulama telah membahagikan makna mujahirin ini dengan beberapa tafsiran. Ada dari kalangan mereka menyebut, makna mujahirin adalah membangkitkan dosa yang dilakukan sendiri. Ada pendapat lain menyebut, termasuk maksud mujahirin adalah membangkitkan ’dosa-dosa lama’ orang lain.

BARU BERMULA

Jika didapati bahawa jentera PAS agak slow di kala ini, padaku ia adalah perkara lumrah, kerana ’baru nak panas injen’. Adapun jentera PKR dilihat agak kedepan, ia sudah pasti jadi begitu, kerana yang bertanding itu adalah calon mereka.

Aku berkeyakinan, jika calon itu adalah calon PAS, sudah pasti jentera PAS sudah bergerak dengan gagah; tidak kira calon itu, mereka yang dilebelkan sebagai erdogan ataupun UG.

Pun begitu, sebagai parti yang bersama-sama Pakatan Rakyat; sebagai parti yang wajib menunjukkan imej setia-kawan, tindakan sebilangan kecil pemimpin tertinggi pemuda PAS itu tidak layak berlaku. Bahkan, sekiranya wujud ’slow’, wajib bagi pihak PAS membuat penjelasan dan memberi kefahaman kepada ahli, agar jentera PAS bangkit dengan agresif dalam memberi bantuan demi melihat kekalahan musuh islam yang paling besar di Malaysia, iaitu UMNO/BN dalam PRK Hulu Selangor.

Sekian

P/S : “Ingat UMNO/BN, Ingat APCO. Ingat APCO, Ingat Zionis. Ingat zionis, Ingat kezaliman terhadap umat Islam Palestine” + “UMNO musuh Islam terbesar di Malaysia”

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
15 april 2010 * 4:15 petang



[1] Al-BUkhari : 5608.

Rabu, 14 April 2010

UMAR DITERIMA SELEPAS ISLAMNYA, WAIMA ZALIM DI ZAMAN KUFUR

Jangan Qiaskan Umar dengan Zaid Ibrahim, tapi zaman jahiliyyah mereka hampir sama


UMAR DITERIMA SELEPAS ISLAMNYA, WAIMA ZALIM DI ZAMAN KUFUR

Terlalu lama hidup Umar bin Al-Khattab dalam keadaan kufur; sujud kepada berhala. Beliau banyak menghabiskan masa dengan sujud kepada berhala yang bernama hubal.

Umar dilahirkan 13 tahun selepas tahun gajah yang merupakan tarikh lahir Rasulullah SAW. Dengan kata lain, Umar muda berbanding Rasulullah SAW selama 13 tahun.

Ketika Baginda SAW dilantik oleh Allah sebagai Rasul, Umar baru berumur 27 tahun, dan beliau memeluk Islam ketika beliau berumur 33 tahun. Beliau meninggal ketika berumur 63 tahun. Bermakna, 33 tahun beliau berada dalam kekufuran, dan 30 tahun beliau berada sebagai mukmin.

Di zaman kufur, Umar yang lebih muda berbanding nabi selama 13 tahun itu, sanggup berusaha membunuh nabi SAW. Beliau berjalan menuju ke rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam untuk membunuh nabi, apabila mengetahui sudah ramai orang Quraish memeluk islam.

Begitujuga, kesadisan umar berada ditahap yang memuncak, apabila beliau sanggup menyeksa seorang hamba perempuan dari bani Mu'ammal, walhal Bani Mu'ammal salah satu qabilah Umar, iaitu Bani 'Adi. Maha dahsyat seksa yang dikenakan itu, bermula dari waktu pagi sehingga waktu petang.

Apabila sampai waktu malam, beliau berhenti dari menyeksa hamba perempuan tersebut, tetapi perasaaan belas kasihan tidak wujud pada dirinya, sehingga sanggup dia mengungkap, "Demi Allah, aku berhenti menyeksa kamu kerana aku terlalu penat. Jika tidak, pasti aku akan terus menyeksa kamu"

Sebelum islam, Umar terlalu berusaha hendak menghalang adiknya yang bernama fatimah daripada memeluk islam. Namun, selepas memeluk islam, beliau bersungguh-sungguh berusaha agar manusia memeluk islam, waima kehilangan harta benda, pangkat, nyawa dan seluruh perkara yang beliau miliki. Beliau berubah total.

SETELAH MEMELUK ISLAM

Mengetahui kisah sebelum Umar memeluk islam, tidak dapat dibayangkan, betapa sadisnya kezaliman yang dilakukan. Pun begitu, setelah memeluk islam, perubahan pada dirinya amat ketara.

Jika dahulu, dia banyak melakukan kezaliman kepada orang yang memeluk islam. Tetapi setelah memeluk islam, beliau telah membuktikan bahawa islam adalah agama yang adil kepada semua manusia; tidak kira terhadap mereka yang muslim, mahupun non muslim.

Semua ini terjadi pada Umar, kerana berkat didikan Nabi SAW. Sikap nabi SAW terhadap Umar, penyebab Umar menjadi seorang insan yang cukup berguna kepada dakwah islamiyyah.

Dunia, sejak dahulu sehingga kini memuji keadilan sejagat yang ditunjukkan oleh Umar. Mana tidaknya, bukan beliau sahaja telah membuktikannya, malahan cicitnya yang bernama Umar bin Abdul Aziz juga telah membuktikannya juga.

Inilah Umar yang telah berjaya mencipta nama di dunia. Beliau mencipta nama atas prinsip Islam. kerana prinsip islam, dia meninggalkan jawatannya, waima jawatan beliau ketika itu lebih besar dan lebih bernilai dari segala jawatan menteri di Malaysia.

Jika beliau wujud dalam pakatan rakyat, inilah tokoh yang wajib dikehadapankan untuk menjawat jawatan perdana Menteri, malahan lebih daripada itu.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Bulatan pahang
15 april 2010 * 3:11 pagi

BERFORUM DENGAN DATO’ NAKHAIE (4 : akhir)


BERFORUM DENGAN DATO’ NAKHAIE (4 : akhir)

Dalam forum itu, aku juga menekankan bahawa golongan yang menolak Islam itu terbahagi kepada tiga jenis, iaitu (1) mereka yang jahil tentang Islam, (2) mereka yang ada kepentingan diri, dan (3) mereka yang degil dari menerima Islam.

Peneranganku, orang yang jahil tentang Islam, hendaklah diberi penjelasan yang jitu dan cerdik dalam memahamkan mereka tentang islam. jika kena gaya dan cara, pasti mereka akan memeluk Islam. keadaan ini seperti Nabi SAW berhadapan dengan As’ad bin Zurarah yang memeluk Islam setelah mendengar penerangan Baginda SAW tentang Islam.

Adapun orang yang ada kepentingan diri adalah seperti Abu Talib yang merupakan bapa Saudara Nabi SAW. Abu Talib tidak memeluk Islam ekoran jawatannya sebagai “PM” Makkah ketika itu. dengan kata lain, dengan sebab jawatan penyebabkan Abu Talib tidak memeluk Islam.

Dan bagi mereka yang menolak Islam kerana degil adalah, mereka yang boleh disifatkan seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Bukan kerana mereka tidak mengetahui kebenaran Islam, tetapi kedegilan yang meluap-luap, penyebab mereka meninggalkan Islam, malahan melawan Islam.

“mengapa kita dok focus sangat nak dakwah kepada orang degil, walhal ramai lagi mereka yang jahil kepada Islam yang sedang menunggu penerangan islam dari kita.. bahkan, Nabi SAW tidak pernah membuang masa untuk focus kepada Abu Jahal dan Abu Lahab. Yang dilihat adalah, Nabi SAW berusaha menyampaikan islam kepada rakyat Madinah yang dilihat ingin mengetahui tentang Islam” lebih kurang begitu ungkapanku dalam forum tersebut.

Harapanku, Dato’ Nakhaie memahami maksudku tentang perincian yang aku lakukan terhadap bentuk manusia yang menolak Islam, dengan disertakan bukti-buktinya sekali.

SESSI DAPUR

Setelah forum, kami dibawa oleh Nazir, Tuan Haji Yasin Muhammed ke dapur untuk sessi santapan. Tuan Nazir memaklumkan, bahawa masjid As-Salam adalah masjid yang kedua terbaik di Selangor dengan pengisian program yang dilakukan. Padaku, makluman Tuan Nazir tersebut amat logic, dengan dilihat program pengisian yang dilakukan.

Ketika sedang menyantap makanan, banyak juga perkara yang kami bincangkan. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan dengan status saman yang dilakukan oleh Dato’ Nakhaie terhadap Dr Asri, Mantan Mufti perlis.

“Saya tak tau kenapa Asri fitnah saya? Saya saman tu pun, nak minta dia minta maaf jer. Kalau dia minta maaf, saya tarik balik saman tu” lebih kurang begitulah ungkapan Dato’ Nakhaie.

Kemudian, kami berbicara juga tentang status Dato’ Nakhaie dalam UMNO. Beliau menyatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan lagi dalam UMNO, bahkan sudah malas hendak melayan lagi politik buat masa ini.

Dinyatakan juga, bahawa beliau sering diminta pandangan di zaman Mahathir menjadi PM dahulu, tetapi mula kendur pada zaman Pak Lah, dan seterusnya ditinggalkan di zaman Najib menjadi PM.

“kalau di zaman Mahathir dulu, ada juga dia minta pandangan kita.. boleh kita beri pandangan dalam kerajaan” lebih kurang begitu ujar beliau.

Aku hanya mengangguk mendengar celoteh Dato’ Nakhaie. Pada tanggapanku, mungkin Dato’ Nakhaie sudah ’frust’ dengan UMNO.

”isy.. kalau ada orang pujuk ni, barangkali masuk PAS balik kot dia ni” bisik hatiku.

KHILAF MAZHAB

Tidak semena-mena, Dato’ Nakhaie buka bicara tentang ilmu hadis. Beliau menyatakan bagaimana ulama-ulama hadis berbeda pendapat dalam menentukan ‘rijal hadis’.

Aku hanya menyampuk, “penentuan tentang rijal hadis ini adalah khilaf.. ada ulama itu kata si fulan ok, dan ada si fulan yang sama tidak ok”

“macam contoh, dalam hadis tentang perempuan berhaid duduk dalam Masjid. Kalau baca dalam kitab At-Taharah karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, beliau menyatakan perawi hadis itu, iaitu Al-Aflat bin Khalifah sebagai ‘Majhul’, tetapi tidak oleh sebilangan besar ulama Syafie” sambungku lagi.

Dato’ hanya mendengar ulasanku. Kelihatan beliau mengangguk-anggukan kepalanya. Mungkin beliau bersetuju dengan kupasanku itu.

Kelihatan Dato’ Nakhaie tidak berpuas hati dengan Albani, sehingga banyak mempertikaikan beberapa ijtihad Albani dalam ilmu hadis. Aku hanya menyampuk dengan meminta Dato’ Nakhaie membaca kitab-kitab yang mengkritik Albani seperti kitab “tanaqhudat Albani’ Karangan Syaikh Hasan Saqqaf, kitab “Al-Marjaiyyatul Ulya” karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan kitab “Alla Mazhabiyyah” karangan Dr Said Ramadhan Al-Buti.

“Ulama pun manusia juga, bukan malaikat. Kadang-kadang betul, kadang-kala silap. Inikan pula kita” ujarku ringkas sambil melemparkan senyuman.

Apabila aku bertanya pendapatnya tentang Syed Nuqaid Al-Attas, beliau hanya menjawab, ”saya tak faham tulisan dia.. jadinya, saya tak boleh komen la”

Aku tersenyum mendengar jawapan Dato’, cumanya aku menyatakan, ”buku ”risalah untuk kaum Muslimin” itu pun, best juga”

Setelah lama berbual, kami pun pulang. Semenjak aku keluar rumah dari subuh, seharian aku tidak pulang melainkan sampai di rumah pada pukul 11:34 malam. Keletihan teramat sangat.

Sekian
Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 April 2010 * 6:37 petang





KEWAJIBAN MENGALAHKAN BN/UMNO


KEWAJIBAN MENGALAHKAN BN/UMNO

Gabungan antara beberapa parti perkauman Cina (MCA), India (MIC), melayu (UMNO) dan sebagainya (Gerakan dan bla bla), maka lahirlah BN. Gabungan ini, menguatkan pemerintahan Najib 1 Malaysia, yang seiya-sekata dengan 1 Israel.

Pastinya, perkauman yang menjadi asas pemerintahan BN selama ini, menyebabkan Islam tidak berjaya dilaksanakan di Malaysia. bukan sekadar tidak berjaya dilaksanakan, malahan atas dasar perkauman itulah menyebabkan rakyat semakin lama tidak mengenali Islam.

Orang melayu dimomokkan dengan konsep “islam itu melayu, melayu itu islam”, penyebab Islam sekadar berlegar di kalangan melayu. Ditambahi lagi, Islam cara UMNO adalah islam yang bermodelkan sentiment perkauman.

Dari pihak non Muslim (cina, India dan sebagainya), perkauman cara UMNO penyebab mereka tidak mengenali Islam. lebih-lebih lagi, konsep “islam melayu, melayu Islam” itu menyebabkan mereka seperti tidak layak memeluk islam.

Ditambahi lagi, dengan konsep perkauman ini, dilihat melayu menjuarai hasil mahsul Negara, dengan mengenepikan hak-hak non Muslim. Dengan kata lain, atas nama ‘Islam – melayu’ dan ‘melayu – islam’, UMNO menafikan hak non Muslim, walhal Islam adalah agama yang mengharamkan penafian hak, waima terhadap non Muslim.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti, kelakuan UMNO/BN sebegini menjauhkan lagi mereka daripada menilai keadilan yang sebenarnya wujud dalam Islam. Makanya, mereka lari menjauhkan diri dari Islam.

Dari asas perkauman ini, menyebabkan islam tidak berjaya dilaksanakan, waima BN memerintah Malaysia sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah, konsep perkauman seperti ini boleh dilebelkan sebagai Assobiyyah yang dibenci oleh Allah SWT, seperti yang disabdakan oleh nabi SAW;

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ

Maksudnya;
“Bukan dari kalangan Kami, mereka yang menyeru kepada Asobiyyah; bukan dari kalangan kamu mereka yang berperang atas dasar Asoboyyah; dan bukan dari kalangan kami mereka yang mati atas dasar Asobiyyah
[1]

Mengetahui hakikat ini, tidak sepatutnya BN (termasuk UMNO) dibiarkan hidup di atas muka bumi. Sudah 50 tahun lebih, UMNO/BN didakwah agar kembali kepada Islam dengan meninggalkan perkauman yang bersifat zalim, tetapi yang dilihat adalah UMNO/BN tetap kekal dengan perkaumannya itu.

Justeru, parti UMNO/BN tidak boleh dibiarkan hidup sebagai sebuah parti yang memerintah. Usaha menjadikan parti UMNO/BN luput dari muka bumi adalah satu kepastian dan kewajipan. Dengan wujudnya UMNO/BN, selagi itu kefahaman Islam dalam bentuk yang sebenar tidak dapat dijelaskan. Lantaran, sampai bila-bila pun Islam tidak dapat menjadi agama yang memerintah di Malaysia.

“binasakan UMNO dan mereka yang berusaha memberi nyawa kepadanya”

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
14 April 2010 * 6:04 petang

[1] Abu Daud : 4456.

Selasa, 13 April 2010

HASAN AL-BANNA MENDENGAR RINTIHAN BAWAHAN

HASAN AL-BANNA MENDENGAR RINTIHAN BAWAHAN

Setelah Ikhwan Muslimin berijtihad untuk terlibat dengan Demokrasi dalam negara mesir, menyebabkan pihak British merasakan seperti terancam. Ekoran itu, British telah menghantar menteri hal ehwal urusan British di Timur Tengah untuk berjumpa dengan Imam Hasan Al-Banna.

Dalam pertemuan tersebut, pihak british menawarkan bantuan kewangan dan dana yang besar kepada Ikhwan dalam menumpukan aktiviti dakwah, disamping menjauhkan diri daripada bidang politik dan pemerintahan.

Tawaran itu ditolak mentah oleh Imam hasan Al-Banna dengan katanya, "seluruh projek Ikhwan dilaksanakan berdasarkan prinsip Sunduquna Juyubuna (tabung kami adalah dari poket-poket kami) dengan izin Allah. Kami tidak menerima bantuan apa pun daripada sesiapa pun, termasuk mana-mana pemerintah dan juga mana-mana Negara".

PILIHANRAYA

Ikhwan telah menetapkan keputusan untuk terlibat dalam demokrasi. Keputusan itu, menyebabkan London telah mengarahkan kedutaan British di kaherah agar mendesak kerajaan mesir supaya mengenakan tekanan kepada Ikhwan.

Ketika itu, perdana Menteri mesir adalah Raf'at Nahhas Pasha. Beliau mendesak agar Ikhwan tidak melibatkan dalam pilihanraya, tetapi Ikhwan tetap berkeras untuk terlibat juga dalam Pilihanraya.

Pun begitu, dalam satu pertemuan yang melibatkan pimpinan Ikhwan dengan Imam Hasan Al-Banna, semua pimpinan tertinggi Ikhwan sepakat menghantar Imam hasan Al-Banna untuk bertanding dalam Pilihanraya. Namun, memandangkan risiko yang besar kerana ancaman pemerintah, menyebabkan sebilangan pimpinan Ikhwan menyerahkan kepada diri Imam hasan Al-Banna untuk bertanding dalam Pilihanraya atau tidak.

Memandangkan pimpinan Ikhwan menyerahkan keputusan itu kepada Imam Hasan Al-banna, menyebabkan Imam Hasan Al-banna mengambil sikap mengundur diri.

Keputusan yang dibuat oleh Imam Hasan Al-banna itu, rupa-rupanya menyebabkan berlaku keretakan dalaman Ikhwan. Ini kerana, sebilangan besar ahli-ahli ikhwan tidak bersetuju dengan keputusan Imam hasan Al-banna itu.

Keretakkan itu semakin ketara, menyebabkan Imam hasan Al-banna telah menugaskan Abdul hakim Abidin ke setiap kawasan untuk memberi penerangan terhadap penarikan diri Imam hasan Al-banna dari terlibat dalam pilihanraya tersebut.

Ketika Abdul hakim sampai di Bandar Asyut, Abdul hakim terpaksa berhadapan dengan seorang ulama yang mewakili suara rakyat. Tokoh ulama itu adalah Muhammad Hamid bin Abu Nasr, yang kemudiannya menjadi Mursyidul Am Ikhwan yang keempat.

Dalam pertemuan itu, Muhammad Hamid bin Abu nasr mempertikaikan keputusan Imam Hasan Al-banna yang tidak mahu bertanding dalam Pilihanraya, bahkan selayaknya Imam hasan Al-banna perlu meraikan keputusan majoriti yang meminta beliau bertanding dalam Pilihanraya.

Makanya, dalam pertemuan tersebut, berlaku sedikit pertembungan antara Muhammad hamid dengan wakil Imam hasan Al-banna, iaitu Abdul hakim Abidin sehingga Abdul Hakim menyebut bahawa Muhammad Hamid tidak layak bertindak sedemikian kerana tindakannya itu mempertikai Mursyidul Am Ikhwan, bahkan menganggap perbuatannya itu sebagai menyimpang dari prinsip-prinsip berjemaah.

Muhammad hamid Abu Nasr tetap bertegas dengan hujjah-hujjahnya bahawa Imam hasan Al-banna perlu meraikan pandangan majority yang meminta agar beliau masuk bertanding dalam Pilihanraya pada tahun tersebut. Sehinggakan, dalam pertemuan tersebut, Muhammad Hamid Abu nasr telah bertindak keluar dari majlis sebagai tanda protes terhadap keputusan Imam hasan Al-banna yang dipertahankan oleh Abdul hakim Abidin.

SURAT

Pada malamnya, Muhammad hamid bin Abu Nasr telah menulis surat kepada Imam hasan Al-banna. Dalam surat itu, Muhammad Hamid telah menyertakan hujjah-hujjah yang panjang dan jelas terhadap ketidak-benarnya tindakan Imam hasan Al-banna yang menarik diri dari bertanding dalam Pilihanraya.

Setelah surat itu sampai ke tangan Imam hasan Al-banna, dengan berjiwa besar Imam hasan Al-banna telah menelefon Muhammad Hamid Abu nasr dari kaherah menyatakan permohonan maaf terhadap kelakuan wakil beliau, Abdul hakim Abidin.

Imam hasan Al-Banna juga berjanji akan mengikut saranan dan syor yang terkandung dalam surat Muhammad hamid bin Abu nasr tersebut, disamping merakamkan kekaguman beliau terhadap pendirian dan hujjah-hujjah Muhammad Hamid bin Abu Nasr yang berani dalam menyatakan pendapatnya, waima terhadap Mursyidul Am Ikhwan sekalipun.

Sekian

p/s : nukilan dari buku "tokoh-tokoh besar gerakan Islam dalam sejarah".

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- bulatan pahang
14 April 2010 * 1:43 pagi

BERFORUM DENGAN DATO’ NAKHAIE (3)

Buat baik sebab nak ajak 'PAS' gabung dengan 'UMNO'

Semua nampak macam 'UMNO' baik bila pimpinannya boleh cium dahi pimpinan 'PAS' . Ada kata, 'UMNO' telah mengadakan anjakan paradigma ke arah kebaikan. (wek : termuntah)

tanpa pengetahuan 'PAS', 'UMNO' buat '1 Malaysia'


Siapa lagi yang boleh bela pimpinan 'PAS' di kala ini?

Rakyat tetap menjadi mangsa..




BERFORUM DENGAN DATO’ NAKHAIE (3)

Memandangkan dato’ Nakhaie ada menyatakan bahawa punca kelemahan umat Islam di Malaysia apabila umat disebukkan dengan perbalahan perkara khilafiyyah furu’iyyah. Makanya, aku juga turut mengupas bahawa antara punca kelemahan umat adalah terjadi kepada ulama’-ulama’ islam itu sendiri.

Ini kerana, dilihat ulama’-ulama tidak mengambil sikap toleransi dalam perkara khilafiyyah furu’iyyah ini, bahkan lebih menjadi ‘tulang belakang’ dalam mewujudkan pertembungan, walhal Islam itu mengajar kepada kita konsep tasamuh atau toleransi dalam khilafiyyah furu’iyyah.

Aku menyatakan bahawa dalam kehidupan ini, tidak ada manusia itu mempunyai kesatuan. Semua manusia ada perbedaan antara satu dengan yang lain. malahan, antara suami dan isteri pun, wujud perbedaan yang tidak boleh di satukan.

“seorang isteri yang suka makan udang, kadangkala tidak suka makan sotong yang merupakan makanan kegemaran suami” ujarku.

Justeru, bagi mewujudkan kesefahaman, perlu wujud toleransi; iaitu suami yang suka makan sotong perlu membeli juga udang yang merupakan makanan kegemaran isteri. Sebagai isteri pula, dia tetap masak sotong kegemaran suaminya, waima dia tidak gemar makan sotong.

Sikap sebeginilah yang disebut sebagai toleransi yang perlu disuburkan dalam membicarakan tentang perselisihan pendapat dalam perkara khilafiyyah furu’iyyah.

Yang kelihatan adalah, pihak ulama sendiri yang bertembung dalam perkara khilafiyyah ini. Ulama yang menyokong qunut sendiri mendesak umat agar tidak solat dibelakang mereka yang tidak menyokong qunut, begitujuga sebaliknya.

Bahkan, sepatutnya ulama perlu menjadi orang yang meredakan umat dalam pertembungan, bukannya menjadi ‘tulang belakang’ terhadap pertembungan, seperti ulama hadir dengan menyatakan “perkara ini adalah khilafiyyah yang boleh ditoleransikan; sesiapa yang hendak buat qunut, maka silakan, dan sesiapa yang tidak mahu buat qunut, maka silakan” demikian lebih kurang kupasanku.

SOALAN CEPU-CEMAS HADHIRIN

Dalam sessi soalan hadhirin, seorang dari hadhirin telah bertanya dengan dua soalan; satu soalan ditujukan kepada Dato’ Nakhaie, dan satu soalan di tujukan kepadaku.

Soalan yang ditujukan kepada dato’ Nakhaie adalah tentang dua parti melayu yang terbesar. Aku meyakini, maksud dua parti terbesar itu adalah PAS dan UMNO.

Adapun soalan yang ditujukan kepadaku adalah, tentang kejayaan Nabi SAW dalam membina kerajaan Islam di Madinah yang merupakan lebih majmuk daripada kerajaan Malaysia. justeru, apakah formula Nabi SAW atas kejayaan pembinaan kerajaan Islam itu?

Dalam jawapan Dato’ Nakhaie, dilihat beliau amat cenderung usaha gabungan PAS-UMNO. Beliau mengulas begitu panjang tentang usaha pergabungan ini, dengan mendesak agar diketepikan keegoan antara kedua-dua parti ini.

Beliau membandingkan kesatuan umat yang dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna dalam mengatasi pertembungan dalam masyarakat di zamannya; iaitu berkenaan dalam isu qunut subuh dengan menyatakan bahawa buat atau tidak buat qunut adalah khilafiyyah dalam perkara sunat, adapun penyatuan adalah perkara wajib.

Apabila sampai giliranku, aku mengulas isu ini dari sudut kepentingan memperlihatkan imej Islam yang baik. Makanya, aku menyebut satu kisah yang berlaku pada zaman Nabi SAW semasa di makkah, iaitu dengan pengislamnya seorang sahabat yang bernama As’ad bin Zurarah R.A; iaitu pengislamannya adalah kaitan rapat dengan firman Allah dari surat Al-‘An’am ayat 151.

Ekoran itu, aku menyatakan bahawa Islam di Malaysia tidak berjaya dilaksanakan apabila islam itu tidak berjaya diberikan imej yang baik. Islam tidak boleh lagi dilihat dalam kerangka perkauman melayu, bahkan yang perlu diusahakan adalah, Islam yang diterima oleh melayu, cina dan India dan seluruhnya.

Persoalannya, apakah konsep yang perlu dikemukakan dalam memperlihatkan Islam ini boleh diterima ramai? Aku menyatakan konsep perjuangkan keadilan islam dan melawan kezaliman jahiliyyah perlu dikemukakan ke hadapan rakyat.

Konsep keadilan yang hendak diperjuangkan, hendaklah konsep yang tidak menafikan hak; sama ada hak itu sesame muslim, mahupun terhadap non Muslim.

Aku berhujjah dengan sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَعْطَى كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah memberikan hak kepada orang yang berhak
[1]

Padaku, Islam di Malaysia tidak diterima apabila penafian hak ini wujud. Penafian hak ini pula, dilakukan atas nama agama, menyebabkan islam semakin tidak diterima, bukan sekadar dikalangan non Muslim, malahan muslim sendiri meninggalkan Islam.

Konsep keadilan Islam yang bersifat sejagat ini perlu diperjuangkan, agar Islam dilihat dengan imej yang baik, waima terhadap non Muslim. Aku mendatangkan bukti dengan satu kisah berlaku pada zaman Nabi SAW, berkenaan Asma’ binti Abi Bakar yang masuk Islam, sedangkan ibunya yang bernama Qutailah binti Abdil ‘Uzza tidak memeluk Islam.

Ibunya telah memberikan hadiah, tetapi tidak diterima oleh Asma’ dengan alasan ibunya tidak beriman, menyebabkan Allah menurunkan firmannya dari surah Al-Mumtahanah ayat yang ke-8.

Konsep keadilan ini perlu ditonjolkan, jika mahu melihat Islam terlaksana di Malaysia. Jika atas dasar perkauman, sampai bila-bila pun Islam tidak akan berjaya dilaksanakan di malaysia.

Dengan riak wajah, Aku berkeyakinan, Dato’ Nakhaie memahami maksud kupasanku itu; bahawa gabungan antara PAS - UMNO tidak relevan dalam usaha hendak melihat pemerintahan Islam berjaya di Malaysia, bahkan usaha pergabungan PAS – UMNO merupakan cara untuk melahirkan kebencian rakyat terhadap Islam, dan sudah pasti ia merupakan kegagalan utama dalam perlaksanaan Islam di malaysia.

Bersambung.... (sessi makan..)

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
13 April 2010 * 3:20 petang




[1] Abu Daud : 2486.

Ahad, 11 April 2010

BERFORUM DENGAN DATO’ NAKHAIE (2)


BERFORUM DENGAN DATO’ NAKHAIE (2)

Firman Allah;

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ

Maksudnya;
“Katakanlah (Wahai Muhammad), Wahai Ahli Kitab, marilah kepada kalimah yang sama (titik kesamaan) antara kami dengan kamu”

(Surah Al-Imran : 64)

Dalam kupasanku dari ayat ini, perlu dilihat kepada manhaj Nabi SAW dalam usaha mengislamkan Madinah. Makkah adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai masyarakat yang majmuk, nyata Islam tidak berjaya dilaksanakan di Makkah, malahan mendapat tentangan hebat dari pihak pemerintah.

Keadaan ini amat berbeda di Madinah. Waima madinah mempunyai masyarakat majmuk, ternyata Nabi SAW berjaya melaksanakan pemerintahan Islam di Madinah di peringkat awalnya.

Apakah rahsianya? Sudah pasti ia berasaskan kepada firman Allah di atas.

Apakah kesamaan antara kaum di madinah; di kalangan kabilah-kabilah arab dan kabilah-kabilah yahudi? Jawabnya adalah, semua mahukan kepada keadilan, tidak mahu kepada kezaliman.

Justeru, Nabi SAW hadir membawa konsep keadilan islam, menentang kezaliman jahiliyyah. Ia terbukti dengan kandungan piagam madinah.

SESSI SOALAN CEPU-EMAS MODERATOR

Dalam sessi ini, Haji Yasin Muhammad, moderator telah menghujankan perkembangan islam di malaysia kini, yang memperlihat tentang keruntuhan moral muda-mudi kini, iaitu dengan berita pembuangan bayi yang menggerunkan.

Tuan Haji Yasin juga mendatangkan beberapa fakta tentang data pembuangan bayi dan sebagainya. Dinyatakan juga, komen Menteri terbabit, Shahrizat terhadap isu yang sedang hangat diperkatakan ini.

Bagi menjawab soalan itu, Dato’ Haji Nakhaie lebih dilihat seperti memfokuskan tindakan menyalahkan itu kepada keluarga. Terutama, berkali-kali beliau menyebut, “hatta para ustaz pun tidak boleh sangka, anak-anak mereka juga akan terlibat dengan zina”

Beliau juga ada menyebut, semasa beliau dalam kerajaan, bahawa beliau selalu bersuara kepada pihak pemerintah tentang usaha dalam menangani isu moral dan sosial di kalangan remaja. Bahkan, dalam menjawab soalan tentang kenyataan yang dibuat oleh Menteri, Shahrizat, kelihatan Dato' agak mengkritik, seperti beliau menyatakan pihak kementerian terbabit perlu mempunyai plan dan perancangan dalam menyelesaikan masalah sebegini.

Apabila sampai giliranku, aku mengupas isu ini dari asal punca. Aku menyatakan, bahawa Islam itu hadir dengan ilmu. Ia terbukti dengan penurunan surah ‘Iqra’.

“Iqra’ bermakna bacalah. Apabila sebut membaca, sudah pasti ia melibatkan ilmu” ujarku.

Masalah yang sedang menimpa umat kini, anak-anak muda tidak diterapkan ilmu dengan cara yang betul. Kita tidak boleh berharap untuk mereka hadir ke masjid untuk mendengar kuliah atau ceramah agama, sebaliknya kita perlu mempunyai pendekatan yang berkesan dalam menerapkan ilmu agar mereka takut kepada Allah.

Aku menyatakan juga, antara kaedah pendekatan tersebut, kita tidak boleh melihat anak-anak muda yang berpeleseran sebagai musuh dan sebagai jijik, bahkan kita perlu melihat mereka dengan kasih sayang. Juga, dalam memberi kefahaman ilmu itu, tidak sekali-kali menyamakan penyampaian ilmu kepada mereka yang “kaki masjid dan surau”, sebaliknya perlu mempunyai cara yang sesuai dengan akal mereka.

Aku mendatangkan satu kisah yang berlaku pada maharaja cina terdahulu, iaitu berkenaan seorang raja yang bermimpi bahawa giginya semuanya gugur. Keesokkannya, dia telah memanggil semua ahli nujum negara dalam mengadap untuk mena’wilkan maksud mimpinya itu.

“maksud mimpi tuanku adalah, Tuanku, dan semua anak dan isteri tuanku akan mati” ujar salah seorang ahli nujum negara.

Jawapan itu, menyebabkan raja tersebut marah sehingga mahu membunuh ahli nujum terbabit.

Melihat keadaan itu, menyebabkan seorang ahli nujum negara yang lain menyampuk dengan katanya, “maksud mimpi tuanku adalah, tuanku diberikan umur yang panjang. Sehinggakan tuanku terakhir sekali mati setelah anak dan isteri tuanku mati”

Mendengar jawapan itu, raja tersebut reda dan tidak marah lagi.

”jika kita dengar dua perkataan itu, sama sahaja; iaitu mati. Tetapi, dengan cara yang berbeda, menyebabkan raja boleh reda dan tidak marah” ujarku.

Bagi menguatkan hujjahku itu, aku nyatakan bahawa hadis ada menyebut;

كلموا الناس على قدر عقولهم

Maksudnya;
”Berkatalah terhadap manusia itu atas kadar akal mereka
[1]

Aku juga berhujjah dengan menyatakan bahawa tidak boleh kepada keluarga sahaja perlu disalahkan dalam hal pembuangan bayi. Sebaliknya, pihak kerajaan juga mempunyai tanggungjawab yang besar.

Mungkin kita tidak mampu untuk perlaksanaan, memandangkan kerajaan kita tidak islam. tetapi, dalam keadaan sedemikian kita perlu mengambil contoh strategi Nabi SAW dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah; iaitu baginda SAW menggunakan peluang yang ada untuk menyampaikan dakwah setelah sekian lama ditahan dan mendapat tekanan.

Bermakna, pihak kerajaan perlu menjadi sebagai satu duta yang serius dalam memahamkan rakyat tentang islam. jika ini berjaya, insya Allah masalah sosial yang sedang menimpa akan berjaya diatasi.

Bersambung...


Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 april 2010 * 2:27 petang



[1] Dalam riwayat bahawa Abdullah bin Mas’ud ada berkata;

مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لَا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ إِلَّا كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً
Maksudnya;
“tidaklah kamu bercakap dengan sesuatu kaum dengan sesuatu perkataan yang tidak sampai kadar akal mereka, melainkan bimbang setengah mereka akan menjadikannya sebagai ftnah. (muslim)

CALON MIC HULU SELANGOR, SIAPA?

Apakah orang dalam gambar ini adalah calon MIC di Hulu Selangor? fuh... MIC menuju anjakan paradigma.. =))