Sabtu, 2 Januari 2010

”MEREKA ADA AGENDA !!”

”MEREKA ADA AGENDA !!”

Aku bimbang anak-anak muda murtad. Tetapi, aku bimbang juga, kalau orang bukan islam semakin hari semakin menolak Islam. Aku kadang-kadang marah, jika islam ini tidak dilihat sebagai ”for all” disebabkan tindakan bodoh dari orang-orang islam sendiri.

Secara peribadi, aku amat pelik apabila Timbalan Presiden PAS mengatakan tentang isu kalimah “Allah” dibenarkan kepada non Muslim memggunakannya dengan kata beliau;

“Keputusan mahkamah itu bukan sahaja melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan malah melanggar akidah umat Islam dan ini tindakan yang tidak dapat diterima.

“Dalam hal ini, seluruh umat Islam perlu bersatu membantah kebenaran yang diberikan selain menyokong rayuan yang akan dilakukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap keputusan itu,“
(klik sini)

Tidak diketahui, apakah benar dia berkata sedemikian atau tidak. Jika benar dia mengatakan sedemikian, padaku Islam yang Timbalan presiden PAS belajar itu mungkin berlainan versi dengan Islam yang aku belajar.

Aku tidak tahu, Islam versi aku salah, atau Islam versi Timbalan presiden PAS itu yang salah. Jika aku salah, mengapa tidak wujud sama sekali nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis yang melarang orang bukan islam daripada menyebut kalimah “Allah”?. Bukan sekadar itu, bahkan sememangnya wujud nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah itu dikalangan non Muslim. (sila klik). Mungkin Al-Quran dan As-Sunnah itu salah kot?

KALIMAH ”ALLAH” ISLAM LAIN, MEREKA LAIN

Memang tidak sama segi tafsiran maksud ”Allah” itu dari sudut agama mereka dengan agama Islam. cumanya, apabila wujud tafsiran ”Allah” itu berbeda, bertindak menghalang mereka daripada menggunakannya adalah tindakan yang terlalu salah. Kerana, ia adalah tindakan menafikan hak mereka yang dibenarkan menggunakan kalimah ”Allah”

Tindakan menafikan hak, waima terhadap orang bukan Islam merupakan tindakan yang tidak dibenarkan dalam islam. bahkan, ia adalah terlarang dari sudut Islam.

Apa yang dapat dilihat, tafsiran kalimah Allah dari sisi yahudi dan nasrani, sememangnya wujud dalam Al-Quran. Allah sendiri menyatakan dalam al-Quran, bahawa yahudi menganggap Uzair anak Allah, dan Nasrani menganggap Isa Anak Allah. Perkara ini jelas dalam al-Quran, surah At-Taubah, ayat 30.

Penurunan ayat ini, semasa nabi SAW masih hidup lagi. Apa yang dapat dilihat, waima Nabi Saw dimaklumkan oleh Allah bahawa fahaman Yahudi dan Nasrani terhadap Allah sedemikian, tetapi Nabi SAW tidak pernah bertindak menghalang mereka daripada menggunakan kalimah Allah.

Memahami tindakan Nabi SAW itu, perkara yang paling penting didebatkan, bukannya menghalang non Muslim daripada menggunakan kalimah ”Allah”. Tetapi yang wajib didebatkan adalah, apa yang perlu Umat Islam lakukan dalam memberi kefahaman terhadap maksud kalimah ”Allah” dalam bentuk yang betul dan tepat. Kerana, inilah cara nabi Muhammad SAW ketika berdakwah di makkah dahulu.

Jika kita mengambil sikap menghalang non Muslim daripada menggunakan kalimah ”Allah”, ternyata KITA BUKAN IKUT NABI SAW, tetapi ISLAM YANG KITA BAWA ADALAH ISLAM VERSI KITA SENDIRI.

MEREKA ADA AGENDA

Hujjah menghalang non Muslim dari menggunakan kalimah ”Allah” dengan alasan bahawa non Muslim mempunyai agenda tersembunyi, merupakan hujjah yang paling bodoh.

Semua manusia mempunyai agenda. Mana mungkin manusia melakukan sesuatu tindakan, tanpa agenda. Pemuda PAS mengedar risalah dakwah malam tahun baru kepada anak-anak muda, mempunyai agenda juga. Begitujuga Kristian yang menerbitkan majalah agama mereka.

Apabila mereka menerbitkan majalah kristian dengan menggunakan kalimah ”Allah”, sudah pasti mereka mempunyai agenda. Terlalu bohong, kalau kita kata mereka tidak mempunyai agenda.

Cumanya, yang kita perlu fikir, bagaimana kita hendak berhadapan dengan agenda mereka?

Kita perlu berhadapan dengan agenda mereka dengan bijaksana. Jika kita menganggap agenda mereka ini sebagai ancaman, ini membuktikan pemikiran politik kita terlalu lemah setahap gaban dan ultraman. Sebaliknya, ia perlu dianggapan sebagai cabaran dalam mengkuatkan usaha dakwah kepada non Muslim.

Jangan disebabkan kita menganggap ia sebagai agenda, lalu kita bertindak satu tindakan yang boleh menyebabkan pandangan umum terhadap Islam semakin buruk, seperti ia boleh melahirkan pandangan bahawa Islam adalah agama yang mengongkong, tidak berfikiran terbuka, penakut, pengecut dan sebagainya. Jika ini berlaku, sedikit sebanyak kita telah berjaya diagendakan oleh mereka.

Justeru, kita perlu bertindak sesuai dengan apa yang telah dilakukan oleh Nabi SAW. Iaitu, bersungguh-sungguh dalam menerangkan maksud ”Allah” kepada non Muslim dengan maksud yang sebenar. Ketika itu, kita akan dapat melihat perubahan yang besar akan berlaku dalam masyarakat Malaysia, sepertimana perubahan besar yang telah dilakukan oleh Nabi SAW.

Cumanya, apakah umat Islam bersedia? Apakah ulama PAS bersedia? Apakah pemuda PAS bersedia? Apakah muslimat PAS bersedia?

Selagi pemikiran kita setaraf pemikiran abad ke 18, selagi itu kita tidak akan berjaya.

Sekian

p/s : Jika kita boleh marah kepada Non Muslim yang ada berusaha hendak menghalang kita azan menggunakan pembesar suara, apakah kita fikir mereka tidak marah apabila kita halang mereka menggunakan kalimah ‘Allah” dalam agama mereka, walhal agama mereka membenarkannya?

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 Januari 2010 * 3:21 petang

ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL


ISU KALIMAH ‘ALLAH’ : ALLAH FOR ALL

Sesuatu hukum dalam Islam, memerlukan kepada dalil. Jika mahu dikatakan boleh, dimanakah dalilnya? Dan jika mahu dikatakan tidak boleh, dimanakah dalilnya?

Dalam manhaj istinbat, Imam Ghazali tidak sealiran kaedah dengan Imam Abi Walid Al-Baji. Manhaj Imam Ghazali, sebarang pengistinbatan terhadap kewujudan sesuatu hukum, memerlukan kepada dalil, tetapi dalam menyatakan sesuatu itu tiada hukum, maka ia tidak perlu kepada dalil. Manhaj ini berbeda dengan Imam Abi Walid Al-Baji yang menyatakan, mengistinbatkan hukum dan menyatakan tiada hukum, kedua-duanya perlu kepada dalil.

Walaubagaimana pun, dalam isu menyebut kalimah Allah bagi non Muslim, Apakah dibenarkan atau tidak, ia memerlukan kepada dalil dalam menyatakan keizinannya. Adapun jika kita adalah golongan yang mengatakan tidak boleh, dalam manhaj Imam Ghazali, tidak perlu didatangkan dalil, bahkan sudah memadai dikatakan tidak boleh jika tidak didapati langsung dalil-dalil yang membenarkannya.

KALIMAH ALLAH

Kalimah Allah adalah kalimah ”rahmat” sekelian Alam. Allah SWT adalah tuhan yang bukan sekadar disembah oleh Orang islam, sebaliknya wajib disembah juga oleh orang-orang selain beragama Islam. cumanya, tafsiran bagi kalimah Allah itu pelbagai dikalangan manusia.

Bagi mereka yang beragama Islam, Allah itu merujuk kepada tuhan yang esa. Adapun bagi mereka yang beragama kristian, ia merujuk kepada triniti. Begitu pula yahudi, merujuk kepada tuhan bapa kepada Uzair.

Justeru, dalam isu penggunaan kalimah Allah bagi non Muslim, apakah ia dibenarkan atau tidak? Apa yang dapat kita perhatikan, banyak nas-nas Al-Quran, dan hadis yang membenarkan penggunaan kalimah Allah, berbanding nas-nas Quran dan Hadis yang melarangnya.

Pertama : Surah Al-Ankabut : 61

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى يُؤْفَكُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menjadikan langit dan bumi dan menundukkan matahari dan bulan?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", maka betapakah mereka (dapat) dipalingkan (dari jalan yang benar)”

(Surah Al-Ankabut : 61)

Ayat ini, dengan jelas orang bukan Islam menjawab “Allah” dikala ditanya oleh Nabi SAW tentang siapa pencipta langit dan bumi. Selepas menyebut kalimah Allah oleh orang bukan Islam ini, Allah tidak pernah menyuruh Nabi SAW menyerang atau menghalang mereka daripada menyebut kalimah “Allah” tersebut.

Kedua : Surah Al-Ankabut : 63

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya;
“Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: "Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?" Tentu mereka akan menjawab: "Allah", Katakanlah: "Segala puji bagi Allah", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami(nya)”

(Surah Al-Ankabut : 63)

Sama juga dengan ayat ini, ia mempunyai maksud yang sama dengan ayat di atas. Bahkan, di akhir ayat ini, Allah menyatakan kepada Muhammad agar mengucapkan syukur terhadap apa yang orang bukan Islam sebutkan – iaitu menyebut kalimah Allah. cumanya, Allah memerli mereka dengan alasan mereka tidak menggunakan akal dengan sihat disebalik pengakuan Allah sebagai tuhan yang menurunkan air daripada langit dan menumbuhkan tumbuh-tumbuhan daripada bumi.

Ketiga : Surah Al-Haj : 40

وَلَوْلَا دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لَهُدِّمَتْ صَوَامِعُ وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا

Maksudnya;
“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah”

(Surah Al-Haj : 40)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa rumah-rumah ibadat yang menyebut kalimah Allah ini, bukan hanya digunakan di masjid-masjid sahaja, bahkan digunakan juga di rumah-rumah ibadat agama selain Islam, seperti gereja dan biara yahudi. Ia merupakan satu pengi’tirafan dari Allah, atas keizinan bagi non Muslim menggunakan kalimah Allah dalam peribadatan mereka.

Keempat : Dalam Sahih Muslim, Nabi SAW bersabda;

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ اللَّهُ اللَّهُ

Maksudnya;
“Tidak akan berlaku kiamat, melainkan tidak ada lagi di bumi orang menyebut, Allah, Allah
[1]

Dalam bahasa arab, kalimah ‘assa’ah’ yang diterjemah sebagai ‘kiamat’. Ia juga boleh diterjemah sebagai ‘kebinasaan’. Hal ini merujuk kepada hadis bahawa Nabi SAW bersabda;

فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Maksudnya;
“apabila amanah dikhianati, maka tunggulah kebinasaan”

Ditanya, ”bagaimana amanah dikhianati?”

”apabila diberikan sesuatu urusan itu kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kebinasaan” Jawab Nabi SAW ringkas tapi padat
[2].

Daripada ini, kita fahami bahawa kebinasaan akan berlaku, jika tiada lagi manusia yang menyebut kalimah Allah atas muka bumi. Dalam hadis ini, tidak pernah wujud satu pengkhususan bahawa keizinan menyebut kalimah Allah ini hanya khusus kepada orang islam sahaja.

Justeru, dari segala dalil-dalil yang dikemukakan ini, difahami bahawa tidak ada larangan dari Islam bahawa orang bukan islam tidak dibenarkan menyebut kalimah Allah. Bahkan, yang wujudnya adalah, nas sendiri memberikan keizinan untuk disebut kalimah Allah bagi orang bukan Islam.

Bahkan, ini dikuatkan lagi sirah Nabawiyyah, yang mana di awal-awal dakwah Nabi SAW, kalimah Allah sudah digunakan oleh orang-orang quraish ketika itu. apabila kedatangan Islam, nabi SAW tidak pernah menghalang atau melarang orang-orang Quraish daripada menyebut kalimah Allah. Malahan, apa yang dilakukan oleh Nabi SAW adalah, baginda SAW memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah dari sudut yang betul.

Perlu diingat, Nabi SAW datang ketika itu, bukan menghalang dari mereka memggunakan kalimah Allah, tetapi Nabi SAW datang memberi penerangan yang betul terhadap maksud kalimah Allah itu sendiri. Inilah tugas nabi, yang wajib dicontohi oleh seluruh umat-umatnya.

ISYKAL DAN JAWAPAN

Pertama :

Mengizinkan non muslim menggunakan kalimah Allah dapat melahirkan keraguan umat Islam terhadap maksud kalimah Allah SWT.

Jawapan;

Penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, sepatutnya tidak difikirkan sebagai ruang non Muslim untuk meragukan umat Islam. bahkan, yang wajib difikirkan oleh umat Islam adalah, bagaimana kalimah Allah ini dijadikan sebagai kalimah yang sering disebut oleh non Muslim, kemudian diberikan kefahaman kepada mereka tentang maksud sebenar terhadap kalimah Allah yang mereka sebut itu. dan inilah, yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam dakwah di marhalah Makkiyyah dahulu.

Kedua:

Lebih baik menghalang dari mereka menggunakan kalimah Allah, kerana ia dibawah maksud ”sad Az-Zarai’”

Jawapan;

Kaedah ”sad Az-Zarai’” digunakan untuk menutup sebarang ruang-ruang yang boleh membawa kepada haram. Adapun dalam kes non Muslim menggunakan kalimah Allah, ia merupakan ruang untuk mendekatkan non Muslim terhadap kefahaman maksud ”Allah”.

Ketiga:

Ramai orang Islam pada hari ini yang lemah aqidah, justeru, dibimbangi mereka terpengaruh dengan agama non Muslim, apabila mereka dibenarkan menggunakan kalimah ”Allah”

Jawapan;

Apabila lemah aqidah, maka perkara yang perlu dilakukan adalah, perkuatkan aqidah mereka. berikan kefahaman kepada mereka tentang aqidah yang sahihah.

Tindakan melarang penggunaan kalimah ”Allah” dari kalangan Non Muslim dalam usaha hendak menyelamatkan aqidah orang Islam, merupakan dakwaan yang terlalu dangkal. Ini kerana, tindakan tersebut samalah seperti doktor yang memberi ubat pening kepala kepada pesakit yang sedang sakit perut.

Keempat:

Tindakan non Muslim yang kini baru sahaja mahu menuntut mahu menggunakan kalimah Allah terkandung agenda tersembunyi

Jawapan:

Apakah wujud agenda tersembunyi atau tidak, ia bukan isu yang wajar dibangkitkan. Apa yang pasti, Nabi SAW ada bersabda;

فَإِنَّ لِصَاحِبِ الْحَقِّ مَقَالًا

Maksudnya;
”Sesungguhnya orang yang ada hak, hendaklah diberikan ruang untuk dia bercakap
[3]

Justeru, dalam isu menggunakan kalimah ”Allah” bagi orang bukan islam, ia merupakan hak yang dibenarkan dalam agama mereka. justeru, hak ini hendaklah diberikan kepada mereka. jika mereka mahu menuntut hak itu, wajib diberikan ruang kepada mereka bersuara dalam menyatakan hak mereka.

Adapun sekiranya benar wujud agenda tersembunyi tersebut, maka ia perlu dihadapi dengan segala kebijaksanaan. Bukannya dengan melarang terus mereka daripada bersuara. Kerana, tindakan sebegitu akan memberi gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim.

KESIMPULAN

Secara asasnya, tindakan membenarkan kalimah Allah kepada Non Muslim bukanlah perkara yang dilarang dalam syarak, sama ada menerusi Al-Quran, atau Hadis nabi SAW.

Sebagai umat Islam, keizinan terhadap non Muslim dalam menggunakan kalimah Allah ini, sewajibnya diambil kesempatan dalam memberi penjelasan dan penerangan yang sebenar terhadap maksud kalimah “Allah” itu sendiri. Kerana, inilah yang sebenarnya dilakukan oleh Nabi SAW.

Tindakan melarang mereka dari menggunakan kalimah Allah, ia merupakan satu tindakan yang boleh melahirkan gambaran buruk terhadap Islam di mata-mata non Muslim, yang sudah pasti, ia tidak memberi keuntungan kepada Islam sedikit pun.

jika mahu difikirkan balik, mengapa tidak dijadikan kalimah “Allah” ini sebagai cara untuk melahirkan penyatuan manusia di seluruh dunia. Sekiranya Najib Tun Razak boleh menggunakan tema 1 Malaysia dalam usaha hendak menutup politik perkauman UMNO, mengapa tidak digunakan “esa Allah” dalam menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang agama dan berbilang bangsa?

“ALLAH FOR ALL”

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Januari 2010 * 4:18 petang



[1] 211.
[2] Al-Bukhari : 57.
[3] Al-Bukhari : 2141.

Jumaat, 1 Januari 2010

APAKAH INI KEHIDUPAN (17)

APAKAH INI KEHIDUPAN (17)

“Assalamualaikum ustaz !” kedengan suara Ika cemas sejurus aku menyambut talian telefon dari Ika .

“Waalaikumsalam.. kenapa Ika?” balasku.

“Doktor sini kata, kena buat report polis dulu. Sebab, Aini ni kes rogol”

”ok tak pe.. nanti ana pegi sana sekarang juga” kataku, “tunggu ana datang” pesanku

Aku dan zul terus ke bahagian kecemasan. Sesampai di situ, kelihatan Aini menangis kuat.

”kenapa Aini nangis ni?” soalku lembut

”Aini tak nak buat report polis.. Aini tak nak la” kata Aini sambil menangis.

”kalau tak report, hospital tak nak rawat Aini tau” aku mula memberi nasihat.

”biar dorang tak nak rawat Aini.. aini nak jumpa adik aini jer” Aini berkeras.

”mana boleh macam tu.. tadikan aini batuk keluar darah. Nanti kalau jadi apa-apa ke, sapa susah” Zul menyampuk.

”betul tu” aku mengiyakan zul.

Ika dan Murni diam sahaja. Mereka berdua hanya melihat apa yang aku dan zul katakan kepada aini.

Mendengar apa yang diujarkan oleh Zul itu, menyebabkan Aini diam. Seakan-akan dia sedang berfikir.

Menangisnya semakin reda. Tapi, kelihatan teresak-esak lagi.

”dulu aini pernah duduk dalam rumah kebajikan. Aini kena tangkap kerana bawa dadah” tiba-tiba aini bersuara. ”masa tu, Mak saudara Aini suruh Aini hantar barang kat kawan dia. Aini tak tahu, yang dalam barang tu ada dadah. Last-last, Aini yang kena tangkap dengan polis” sambung Aini panjang lebar.

Aku, Zul, Ika dan murni mendengar sahaja.

”Aini tak bersalah masa tu.. Aini dikhianati oleh Mak Cik Aini sendiri.. lepas tu, aini kena duduk dalam rumah kanak-kanak.

”kalau buat report. Mesti Aini kena hantar kat rumah Kanak-kanak lagi.. sebab, Aini tak cukup umur” Aini bercerita dengan penuh emosi.

Kami diam. Aku melihat wajah Ika dan Murni yang sedang memerhatikan aini.

”macam ni la Aini. Sekarang ni, sakit Aini ni bahaya. Kalau jadi apa-apa, Ustaz bimbang boleh bawa lagi teruk.. mana tau, bawa mati ker?” aku menenangkan aini.

”aini buat report polis dulu.. lepas tu, hospital akan rawat Aini. Lepas tu, sama ada kena pergi rumah kanak-kanak atau tidak, kita fikir kemudian” aku memberi penjelasan lagi.

”kami akan cuba bantu Aini punya.. jangan bimbang” Zul menyambung

Aini kelihatan berfikir. Dia tengok muka Ika. Ika memberi senyuman manis kepada Aini. Kemudian dia melihat Murni. Murni kelihatan mengangguk, mengisyaratkan kepada Aini agar percaya dengan janji dari Zul itu.

”ok la ustaz.. Aini percaya kat ustaz ngan abang Zul” kata Aini setuju.

aku mengangguk.

”Aini kena bina hidup baru. Yang lepas tu, biarlah yang lepas. Sampai bila Aini nak hidup macma ni ? betul tak » aku memberi semangat.

Aini mengagguk apabila aku bertanya.

”Aini dapatkan rawatan Hospital dulu. Lepas tu, baru fikir tindakan selanjutnya. Ok?” aku meminta persetujuan Aini sendiri.

”baik la ustaz” balas Aini.

Bersambung...

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 Januari 2009 * 10:08 pagi







SUATU HARI DI HOSPITAL

SUATU HARI DI HOSPITAL

Hospital Pasir Mas gamat, apabila seorang pesakit mental telah naik di atas tangki air. semua para doctor memujuk, agar pesakit itu turun. Tetapi, semuanya tidak berhasil.

Apabila pesakit itu melihat, betapa bersungguh-sungguhnya para doctor itu memujuk agar dia turun, menyebabkan dia semakin galak, sehingga mengugut para doctor itu bahawa dia akan terjun dari tangki air tersebut.

“aku tetap nak terjun juga” kata pesakit mental yang gila itu.

”jangan terjun. Nanti mati” kata para doktor yang memujuknya.

Semua doktor berfikir, apakah cara yang paling baik untuk menyuruh lelaki gila itu turun dari tangki air itu. semua cara tidak berhasil.

Akhirnya, Salah seorang doktor telah masuk ke dalam wad, dan memanggil kawannya yang sama-sama gila. Doktor itu memanggil kawannya, dengan tujuan meminta tolong agar dapat memujuk dia turun dari tangki air.

Makanya, datang kawannya itu dengan membawa sebilah pisau kecil – pisau potong kertas. Ketika kawannya itu melihatnya di atas tangki air yang tinggi, kawannya yang gila itu berkata, ”Hoi orang Gila.. kau gila ke nak terjun dari atas tu.. kalau kau jatuh, mesti kau mati. Lebih baik kau turun”

”tak mau. Aku nak terjun juga” kata si gila yang berada di atas tangki.

”ok.. kalau kau tak nak nak terjun juga, aku akan tebang tiang tangki air ini dengan pisau kecil ni” kata kawannya dengan serius sekali.

Mendengar kata kawannya itu, si gila itu berkata, ”dia ni gila.. mesti dia tebang sungguh. Lebih baik aku turun”. Maka turunlah si gila itu dari tangki air tersebut.

Sekian



Khamis, 31 Disember 2009

JAMBAN MENGADAP QIBLAT

JAMBAN MENGADAP QIBLAT

Telefon bimbitku berbunyi. Termaktub nama “Haji Osman”. Beliau seorang yang amat dikenali seorang dermawan. Jika ada sebarang kutipan derma di masjid, derma yang dikeluarkan, kebiasaannya adalah Rm 50. Kalau derma yang melibatkan pembinaan masjid, atau maahad tahfiz, atau orang nak belajar agama, mesti dia akan minta nombor akaun Bank, dan dibank-Innkan wang.

”Assalamualaikum..” aku memberi salam sejurus menyambut talian telefon Haji osman.

”waalaikumsalam ustaz.. apa Khabar?” balas Haji Osman mesra.

”sihat.. Haji apa khabar?.. lama tak dengar berita?” tanyaku.

”tu yang telefon ustaz ni.. kebelakangan ni, sebuk sikit la ustaz.. tu yang saya jarang sangat telefon ustaz tu” ujar Haji Osman yang amat terkenal dengan peramah dalam perbualan.

Dalam masyarakat kampung Paya Jaras, Haji Osman amat dikenali sebagai seorang yang mudah berkawan, disamping mudah memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang berhajat. ekoran itu, tidak hairan apabila dia berbual, dapat dirasakan betapa beliau seorang yang agak sesuai untuk dijadikan kawan rapat.

”eh ustaz.. saya nak tanya sesuatu ni?” kata Haji Osman.

”nak tanya apa? Haji nak kawin lagi ker?” aku bergurau.

”eh ustaz ni.. jangan gurau macam tu ustaz.. bimbang jadi jer” balas Haji Osman dalam nada gurauan juga, sambil dia ketawa besar.

Aku ketawa dengan gurauannya itu.

”sebenarnya ustaz.. saya ada buat sebuah rumah baru” Haji Osman mulakan bicaranya.

”eh haji.. diam diam, dah nak buat rumah dah.. ooo. Lama tak dengar berita, rupa-rupanya dah kawin lagi, sampai tak bagitau?” aku bergurau lagi.

”kah kah kah.. bukanlah ustaz.. ini rumah untuk saya.. rumah lama tu, cadang nak bagi kat anak sulung”

”ooo yer ker... ingat buat rumah untuk isteri kedua tadi” kataku sambil ketawa kecil. ”ok.. pastu, apa masalahnya sekarang?” soalku menyambung bicara.

”macam ni, ikut plan rumah yang saya nak buat ni. Jamban tu, seakan-akan membelakangkan qiblat. Soalnya, boleh ke buat jamban macam tu?” Haji Osman bertanya.

”emm.. kalau ikut kitab fiqh, qada’ hajat dalam keadaan mengadap qiblat dan membelakangkan qiblat, bukan perkara haram” jawabku ringkas.

”kalau macam tu, macam mana pula yang saya dengar ada ustaz-ustaz yang mengajar kat surau. Mereka baca hadis yang Nabi SAW larang dari qada’ hajat dalam keadaan mengadap dan membelakangkan qiblat?” Haji Osman kekeliruan, mahu kepastian.

”memang ada hadis pun. Hadis tu berbunyi;

إِذَا جَلَسَ أَحَدُكُمْ عَلَى حَاجَتِهِ فَلَا يَسْتَقْبِلْ الْقِبْلَةَ وَلَا يَسْتَدْبِرْهَا

Yang bermaksud, ‘apabila seseorang kamu duduk untuk qada hajat, maka jangan dia mengadap qiblat atau membelakangkannya’
[1]. Tetapi, larang dalam hadis ini, bukan larangan yang mengandungi maksud haram, tetapi membawa maksud makruh’’ aku memberi penjelasan terperinci sedikit.

‘’ooo yer ker… baru saya faham’’ ringkas haji Osman.

‘’Pun begitu, larangan dalam hadis yang jadi makruh tu, kena ingat, ketika qada’ hajat di tengah padang lapang. Kalau qada’ hajat dalam bangunan, seperti jamban, tandas atau apa-apa nama sekalipun, maka ia tidak jadi makruh’’ sambung penjelasanku lagi.

‘’macam mana tu ustaz ?’’ soal haji Osman yang nampak seperti keliru

‘’macam ni haji. Zaman nabi SAW dulu, Abdullah bin Omar pergi ziarah rumah kakak dia. Nama kakak dia tu, Hafsah. Hafsah ni pula, salah seorang isteri Nabi” aku memulakan pencerahan terhadap kekeliruan Haji Osman.

”masa Abdullah Bin Omar pergi rumah Hafsah, nabi SAW ada kat rumah. Masa tu, Nabi SAW nak qada’ hajat. Abdullah bin Omar perasan Nabi SAW qada’ hajat dalam keadaan mengadap syam, dan membelakangkan qiblat
[2].

Jadinya, ulama-ulama fiqh terus debat tentang maksud hadis ini. majoriti ulama fiqh kata, hadis ini menjadi dalil bahawa tidak haram qada’ hajat dalam keadaan membelakangkan qiblat ketika qada’ hajat dalam bangunan, seperti jamban dan sebagainya” penjelasan yang agak terperinci aku berikan.

Kedengaran suara Haji Osman merespon ulasanku. Cumanya, dia tidak bercakap, malahan sekadar menyebut, ”ye ye”.

”ini dikuatkan lagi dengan satu kisah yang disebut oleh Imam ibnu hajar Al-Asqalani dalam kitab Fath Al-Bari, bahawa berlaku pada Abdullah bin Omar sendiri, iaitu dalam satu permusafiran, Abdullah bin Omar qada’ hajat dalam keadaan mengadap qiblat.

Kawan Abdullah bernama Safwan bertanya, “bukankah tindakan itu ditegah?”. lalu Abdullah menjawab, "sememangnya ia ditegah, tetapi tegahan itu dikala qada hajat di tengah padang lapang. Adapun jika ada di antara kamu dan antara qiblat itu sesuatu penghalang, maka itu tidak ada apa-apa
[3]" aku mengakhiri penjelasanku.

”emm.. baru saya faham.. jadinya ustaz.. macam mana pula dengan jamban yang saya nak buat kat rumah saya ni?” soal Haji Osman untuk kepastian dengan masalah yang menimpa dirinya.

”macam ni la haji. Lebih baik, buat tidak mengadap ke arah qiblat, atau membelakangkannya. Tetapi, kalau dah terbuat, nak buat macam mana. Lagipun, ia bukan haram” aku memberi jawapan kesimpulan.

”emm.. betul juga.. terima kasih ustaz, sebab bagi penjelasan tadi”

”tak ada apa haji.. biasa sahaja. Memang tugas ana bagi jawapan kepada orang yang bertanya.. kalau tidak, baik tak payah jadi ustaz” jawabku.

“hehehehe.. ok la ustaz.. terima kasih sekali lagi” nampak seperti Haji Osman mahu mengakhiri perbualan.
”sama-sama haji.. Assalamualaikum”

”waalaikumsalam” jawab Haji Osman.

”eh eh.. jangan lupa tau jemput, kalau haji nak kawin lagi” gurauku sebelum meletak telefon.

”heheh.. pandai la ustaz ni” haji Osman membalas gurauan..

Aku terus mematikan telefon bimbitku, dan meletakkan di sebelah laptop di meja yang selalu aku menulis.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 januari 2010 * 4:02 pagi














[1] Muslim : 389.
[2] At-tarmizi : 11.
[3] Fatawa min Ahsan Al-Kalam : 464.

Rabu, 30 Disember 2009

HUSAM WAJIB DIJATUHKAN

HUSAM WAJIB DIJATUHKAN

Aku cukup tidak puas hati dengan Husam. Semasa aku memegang jawatan dalam parti, sebarang agenda yang aku mahu lakukan tidak mendapat tempat. Rakyat lebih suka melihat husam, berbanding melihat aku.

Aku melihat, banyak khazanah ada pada kelantan. terutama, bila minyak sudah diketemui di kelantan. cuba bayangkan, jika aku yang mengelolakannya. Sudah pasti, aku akan menjadi ‘tuan besar’.

“dunia ini, bagai ana yang punya” bak kata tokoh pemikir pembikinan filem, P.Ramli.

Agak susah hendak menjadi pengelola, kalau ada manusia yang bernama Husam Musa ini. Dia amat licik dalam permainan politik, disamping bijak dalam bidang ekonomi. Ini ditambahi lagi, beliau bersih dari sebarang kotoran dalam perkara yang melibatkan wang.

Jadi, apa yang perlu aku lakukan? Aku perlu menyerang. Aku terpaksa membuka blog. Tapi, itu memberi kesan buruk pada nama burukku sendiri. Lebih baik aku membuka blog atas nama isteriku. Lagipun, kalau orang menyerang, sudah pasti orang menyerang itu akan berfikir dua tiga empat kali. Maklumlah, dia seorang wanita.

Disamping itu juga, aku perlu mempengaruhi ipar-iparku. Agar, mereka bersama denganku untuk lakukan serangan terhadap Husam. Inilah masanya, aku perlu bertindak.

Cumanya, aku bimbang dengan keberadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Apakah beliau akan bersamaku, atau bersama dengan husam? Ahhh.. itu tidak penting. Kalau hari-hari aku menyerang husam, takkan Tuan Guru tak termakan hasutanku?

Yang penting, lawan tetap lawan. Lawan sampai jatuh. Husam perlu dijatuhkan. Jika tidak, aku bimbang kebijaksanaan politikku akan tenggelam dengan kebijaksaan politik husam. Tanpa jatuhnya husam, Susah aku hendak menjadi orang nombor dua dalam kelantan, sepertimana Big Mama dalam kerajaan 1 Malaysia.

Yang penting bagiku, ipar-iparku dan kawan-kawan kelilingku, Husam wajib dijatuhkan….

Sekian


SATU HARI KRISIS RUMAH TANGGA NABI


SATU HARI KRISIS RUMAH TANGGA NABI

Jabir bin Abdillah ada bercerita bahawa, satu hari Abu Bakar as-Siddiq datang ke rumah nabi SAW. sesampai di rumah itu, Abu Bakar melihat ramai orang duduk di hadapan pintu rumah Nabi.

Abu bakar menjengok ke dalam rumah nabi, kelihatan di dalam rumah, bahawa Nabi SAW duduk ditengah, dan dikelilingi oleh semua isteri-isterinya. Melihat demikian, Abu Bakar meminta izin dari nabi untuk masuk, tetapi tidak diizinkan oleh Nabi SAW.

Tidak lama kemudian, Omar bin Al-Khattab pula tiba. Pada peringkat awalnya, Omar juga meminta izin untuk masuk, juga tidak diizin oleh Nabi SAW.

Sejenak kemudian, Nabi SAW memberitahu kepada Abu bakar dan Omar, bahawa Nabi SAW telah mengizinkan mereka berdua masuk ke dalam rumah.

Abu Bakar dan Omar pun masuk, dan mereka melihat ketika itu Nabi SAW masih lagi dikelilingi oleh isteri-isterinya. Di kala itu, nabi SAW diam tidak berkata apa-apa pun.

”aku akan bercakap sesuatu kepada Nabi, agar baginda boleh tersenyum” bisik hati omar.

”Wahai Rasulullah, jika anak perempuan zaid – merujuk kepada isterinya – meminta sesuatu nafkah luar dari kemampuanku, sudah pasti aku akan memukul tengkoknya” tiba-tiba Umar bersuara.

Nabi SAW berpaling ke arah Umar, sambil melemparkan senyuman sehingga kelihatan gigi baginda yang putih.

”isteri-isteriku ini berada dikelilingku. Mereka meminta kepadaku nafkah yang aku tidak mampu” kata Nabi SAW.

Mendengar kata-kata Nabi SAW itu, menyebabkan Abu Bakar As-Siddiq bangun berjalan menuju kepada Aisyah. Kelaku Abu Bakar itu, seperti hendak memukul Aisyah.

Tidak sempat Abu Bakar melakukan sesuatu, tiba-tiba Umar juga bangun menuju kepada anaknya, Hafsah.

“apakah kamu meminta kepada Nabi SAW sesuatu yang nabi Saw tidak mempunyainya?” begitulah soalan Abu Bakar kepada Aisyah, dan soalan Omar kepada Hafsah.

Melihat soalan bernada marah dari kedua-dua tokoh sahabat yang bertanya kepada anak masing-masing, menyebabkan Nabi Saw menyuruh kedua-dua sahabat besar itu bersabar, dan tidak marah kepada anak mereka masing-masing.

Ketika itu juga, turun firman Allah;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ إِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا * وَإِنْ كُنْتُنَّ تُرِدْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَالدَّارَ الْآَخِرَةَ فَإِنَّ اللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَاتِ مِنْكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya;
“Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut'ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik * Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar”

(Surah Al-Ahzab : 28-29)

Dengan turunnya ayat ini, setiap isteri-isteri Nabi SAW ketika itu bersuara, “demi Allah, selepas daripada hari ini, kami tidak akan meminta sesuatu lagi kepada Nabi SAW sesuatu yang Nabi SAW tidak mampu berikan
[1]


sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 Disember 2009 * 5:37 petang


[1] Tafsir Ibni Kathir : 6/406.

Selasa, 29 Disember 2009

AL-KISAH CEO BERTAQWA

AL-KISAH CEO BERTAQWA

Abdul Samad (bukan nama sebenar) seorang CEO di Menara Maybank. Waima berjawatan besar, tetapi dia amat merendah diri dengan ilmu. Di rumahnya, penuh dengan keset dan CD ceramah Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Padanya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah idola dalam merentasi dunia ketaqwaan.

Di surau pejabatnya, dia sendiri yang menyusun jadual kuliah. Boleh dikatakan, setiap hari ada sahaja ustaz-ustaz di sekitar Kuala Lumpur yang menyampaikan ceramah dan kuliah zohor di surau Pejabat di Menara Maybank itu.

Suatu hari, salah seorang ustaz telah menyampaikan ceramah di surau Menara Maybank. Tidak semena-mena, tajuk ceramah ustaz itu lebih berkisar kepada tajuk riba.

“kalau kita adalah CEO Bank Ribawi, bermakna kita adalah CEO Riba..apabila kita CEO riba, bermakna kita antara orang yang terawal masuk ke neraka” begitulah ulasan dalam ceramah ustaz yang mempunyai badan yang agak besar.

Tersentak Abdul Samad apabila mendengar ayat ustaz tersebut. Dia sedar, ayat itu amat tepat kena pada kepalanya. Tidak dirasakan sebagai sindiran, tetapi dirasakan sebagai ”sound tepat”.

Usai ceramah, solat zohor ditunaikan. Selesai solat, Abdul Samad berjumpa dengan ustaz tersebut, lalu berlaku perbualan antara mereka.

”Ustaz !.. tadi ustaz menyebut, kalau kita CEO Bank Ribawi, maka kita adalah CEO Riba.. sebenarnya, saya ni CEO Maybank, apakah saya ini CEO Ribawi?” soal Abdul Samad.

Ustaz terbabit melihat mukanya. Tanpa rasa bersalah, ustaz terus berkata, ”Kalau Maybank ini adalah bank Ribawi, lalu awak adalah CEOnya, maka awak adalah CEO ribawi la..”

Abdul Samad berfikir panjang. Dalam kepalanya, banyak perkara yang dia fikirkan. Terfikir tentang bayaran bulanan kereta, rumah, sekolah anak-anak dan banyak lagi.

”ustaz,, kalau saya berhenti dari jadi CEO, saya nak makan apa?”

”saya tak jadi CEO, tetapi alhamdulillah, tubuh saya lebih gemuk dari awak” jawab ustaz itu ringkas.

Jawapan ringkas dari ustaz itu, betul-betul tepat menusuk ke kalbu Abdul Samad. Menyebabkan, malamnya Abdul Samad tidak dapat melelapkan matanya.

Keesokkannya dia pergi kerja, dia mengemukakan surat perletakkan jawatan. Dia meninggalkan lima angka gajinya sebulan, semata-mata takut menjadi CEO Ribawi.

KULIAH AGAMA

Abdul Samad mula berniaga kecil-kecilan. Disamping, ia tidak pernah lalai dari menyusun jadual kuliah di seluruh surau di sekitar taman yang dia tinggal di situ.

Boleh dikatakan, semua surau-surau di sekitar tamannya itu, kuliah disusun oleh Abdul Samad. Sesiapa sahaja ingin mengetahui surau-surau yang menjemput ustaz-ustaz tertentu, cukup sekadar menelefon Abdul Samad.

Dato’ Hasan seorang korporat yang berjaya dalam perniagaannya. Beliau baru sahaja pulang dari Mekah. Sebelum itu, Dato’ Hasan juga bukanlah seorang yang baik, tetapi setelah pulang dari menunaikan haji, ternyata ia memberi kesan kepada dirinya untuk berubah.

Setelah kembali dari Mekah, boleh dikatakan di mana sahaja ada kuliah maghrib, maka di situ pasti akan ada Dato’ Hasan. Dan rujukan utama Dato’ hasan untuk mengetahui jadual kuliah maghrib itu, tidak lain dan tidak bukan adalah Abdul Samad.

Suara hari, selepas menunaikan solat isyak di salah sebuah surau di taman tempat tinggal Abdul Samad, Dato’ Hasan telah mengajak Abdul Samad makan di salah sebuah restoran mamak. Di restoran tersebut, banyak perkara yang mereka bincangkan.

”Anta dah pergi Mekah ke belum lagi?” soal Dato’ hasan kepada Abdul Samad.

Sambil tersenyum, Abdul Samad menjawab, ”belum lagi Dato’.. dah tak ada rezeki lagi”

”pergila ke Mekkah tahun ni” cadang Dato’ hasan.

”ala Dato’.. tak ada duit.. kalau ada duit pun, fikir nak bayar hutang, bukan nak pergi ke Makah pun” jawab Abdul Samad, “Dato’ doakanlah, biar rezeki saya lebih sikit.. saya pun ada rasa nak pergi juga ke Mekah ni” sambung Abdul Samad lagi.

“macam ni la Abdul Samad.. tahun ni, anta pergi mekkah.. ana sponsor anta”

Ungkapan sponsor Dato’ Hasan itu menyebabkan Abdul Samad terperanjat.

“jangan melawak dato’.. pergi ke Mekah ni, bukan sikit duit..” kata Abdul Samad.

“tak per.. esok pagi, kita jumpa kat tabung Haji..” kata Dato’ hasan

“isy Dato’ ni.. serius ke ni?” Soal Abdul Samad seakan-akan tidak percaya dengan tawaran itu.

“betul.. esok kita pergi sama-sama pun tak per” pesan Dato’ hasan.

“insya Allah..” jawab Abdul Samad.

TABUNG HAJI

Selesai menunaikan solat subuh di surau Al-Muttaqin, kebiasaan Abdul Samad akan bubuh sebanyak dua ringgit ke dalam tabung surau tersebut. Setelah pulang, dia terus mengambil mashaf. Tidak sempat memulakan bacaan Al-Quran, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

Dilihat di screen telefon, termaktub nama “Dato’ Hasan”.

“Assalamualaikum Dato’”

“waalaikumsalam.,, pukul 7:30 nanti, Ana pergi rumah anta. Kita pergi Tabung Haji sama-sama”

”baiklah dato’.. insya Allah”

Setelah membaca al-Quran, Abdul Samad terus bersiap-siap. Sebelum pukul 7:30 pagi, Abdul Samad sudah menunggu di depan rumahnya.

Lagi dua minit pukul 7:30, Dato’ hasan sudah sampai di hadapan rumahnya. Kelihatan, Dato’ Hasan tidak memandu sendiri, tetapi keretanya dipandu oleh seorang Driver.

PAKEJ

Sesampai di Tabung haji, Dato’ Hasan berbicara sendiri dengan Counter untuk melihat pakej haji.

”Dato’, Pakej 16 ribu sudah habis” kata Counter perempuan di Tabung Haji.

”tak pe la Dato’, Pakej dah habis.. tak pe la, dah tak ada rezeki” tiba-tiba Abdul Samad bersuara.

‘’Cuba tengok pakej 20 ribu, ada kosong lagi tak ?’’ Tanya Dato’ Hasan kepada Counter.

‘’kalau Pakej 20 Ribu, ada kosong lagi ‘’ jawab Counter perempuan itu.

‘’kalau macam tu, ambil pakej tu’’ pinta Dato’ Hasan.

Abdul Samad berdiam sahaja di sebelah Dato’ Hasan. Tidak dapat berkata apa-apa, melainkan melihat sahaja apa yang dilakukan oleh Dato’ Hasan.

Ketika semua dokumen telah diisi. Dato’ hasan terus mengajak Abdul Samad ke bank. Di sana, Dato’ Hasan telah transfer wang sebanyak RM 20 ribu kepada akaun Tabung Haji Abdul Samad.

Semua yang berlaku, dilihat oleh Abdul Samad. Dia seakan-akan tidak percaya seperti yang berlaku.

BERTOLAK KE MEKAH

Tarikh para jemaah haji bertolak ke Mekah sudah tiba. Makanya, Abdul Samad pun bersiap-siap untuk bertolak.

Di tapak berkumpul semua jemaah Haji, di Kelana Jaya. Dato Hasan juga hadir. Sebelum Dato’ Hasan pulang, dia telah menghulur satu sampul surat yang berisi wang kepada Abdul Samad.

”duit apa ni dato’?” soal Abdul Samad.

‘’tak ada apa.. tolong belikan minyak wangi. Harganya dalam RM 2 ratus sahaja. Yang berbaki tu, buat belanja makan minum di sana” pesan Dato’ Hasan.

“terima kasih banyak-banyak dato’” ucap Abdul Samad. Dia tidak tahu, berapa bilangan duit dalam sampul surat tersebut.

Setelah Dato’ hasan pulang, Abdul Samad membuka sampul surat yang mengandungi duit itu. Dia terkejut, kerana duit dalam sampul surat itu sebanyak RM 9 Ribu, walhal minyak wangi yang dikirim oleh Dato’ Hasan hanya berharga RM 2 ratus sahaja. Bermakna, lebih RM 8 ribu merupakan duit untuk perbelanjaannya di Mekah telah diberikan oleh Dato’ hasan kepadanya.

“subhanallah.. kuasa Allah melebihi kuasaku” itu sahaja yang dapat Abdul Samad sebut.

PULANG

Setelah pulang, Abdul Samad tidak sabar-sabar hendak berjumpa denganku. Pertemuan diatur di salah sebuah restoran di sekitar taman tempat tinggal Abdul Samad.

“ustaz.. ana rasa, betul-betul Allah tunjuk kekuasaan-Nya kepada ana” kata Abdul Samad yang kini sudah bergelar “Tuan Haji”.

“emm. Macam mana tu haji? Storylah sikit” pintaku.

Lalu diceritakan semua kejadian yang berlaku, bermula dari dia berhenti dari jawatan CEO hingga dia pulang dari Mekah ini. cerita yang menarik itu, didengar dengan penuh kagum.

”apa amalan haji yang haji tak pernah tinggal?” soalku kepada Abdul samad.

”ana dok fikir. Selama ini, ana pegang dengan maksud firman Allah yang Allah sebut, barangsiapa yang infaq harta mereka, perumpamaannya seperti satu bijiran yang melahirkan tujuh tangkai.. ana pegang ayat tu betul-betul, sehingga setiap hari, ana tidak pernah tinggal derma dalam tabung surau kat taman ana tu.” kata Abdul Samad.

”Masya Allah.. ana rasa, inilah faktor Allah tunjuk karamah-Nya kepada haji” kataku kagum.

”ye ustaz.. ana yakin dengan janji Allah ini”

Kami berbual agak panjang malam itu. secara peribadi, aku amat mengkagumi Tuan Haji Abdul Samad itu. waima dia tidak berkelulusan agama, dan bermertuakan seorang Ulama, tetapi keyakinannya terhadap agama melebihi berbanding orang-orang yang belajar agama.

Inilah seorang yang kurang dikenali dikalangan masyarakat, tetapi hatinya merupakan kepunyaan Allah SWT. Justeru, waima dengan berat hati, dia terpaksa menolak jawatan CEO. Pun begitu, ketakutannya kepada Allah benar-benar telah Allah buktikan dengan anugerah Allah untuk menerima kunjungannya dalam menunaikan haji dengan rezeki yang dia sendiri tidak sangkakan.

Sekian


Wallahu ’Alam

P/S : jika dahulu, PAS antara parti yang paling kuat menentang Kronisma dan Nepotisma, tetapi mungkin tidak dikala PAS memerintah. Jika dahulu, PAS antara parti yang kuat menentang UMNO, tetapi tidak ketika PAS memerintah. Justeru, jika PAS kuat menentang ISA di kala tidak menjadi kerajaan Pusat, makanya tidak hairan jika PAS mempertahankannya ketika sudah mendapat tampuk pemerintahan Kerajaan Pusat. Aku lebih percayakan Islam berbanding PAS.


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 Disember 2009 * 8:37 pagi

NASIB BAIK AKU BUKAN ORANG BESAR


NASIB BAIK AKU BUKAN ORANG BESAR

Satu hari, seorang gembala kambing pergi di kawasan padang ragut. Kali ini, dia tawar hati untuk menempatkan kambingnya di padang ragut itu, kerana padang ragut itu dipenuhi dengan kambing kepunyaan seseorang yang tidak dikenali.

Pengembala kambing tersebut tidak berpuas hati, menyebabkan dia siasat kepunyaan siapakah kambing yang memenuhi padang ragut kepunyaan kerajaan pimpinan omar.

Dia amat terkejut, apabila dia dapati bahawa kambing-kambing itu kepunyaan Abdullah, salah seorang anak lelaki Omar. Mengetahui itu, menyebabkan pengembala itu terus melaporkan kepada Khalifah Omar bin Al-Khattab.

"aku tidak mengetahui bahawa Abdullah mengembala kambing" kata omar lembut kepada pengembala kambing tersebut.

Lalu, Omar pun memanggil Abdullah dan bertanya, "wahai anakku, Abdullah. Benarkah aku dimaklumi bahawa kamu ada mengembala kambing?"

"benar wahai bapaku"

"benarkah, kambing-kambing kamu itu ditempatkan di penempatan padang ragut kerajaan?" soal Omar lagi.

Sambil menundukkan kepala, Abdullah menjawab, "benar wahai bapaku"

Omar merenung muka Abdullah.

"wahai anakku, aku adalah khalifah. Tetapi dalam masa yang sama, aku adalah bapamu. Justeru, aku arahkan sebagai khalifah agar kamu menjual segala kambing-kambing kamu itu. Kamu wang modalnya, dan keuntungan jualan itu hendaklah disimpan ke dalam baitul mal" Omar memberi arahan tidak tertangguh kepada Abdullah.

***

Alangkah susahnya menjadi orang besar. Sebarang tindakan, memang tidak salah dari sudut syarak, tetapi jika ia salah dari sudut persepsi, ia tetap dikira sebagai sesuatu yang wajib dijaga.

Kadang-kadang aku berkhayal sendirian, betapa susahnya aku mengatakan "tidak" kepada anak-anakku, apabila diminta sesuatu. Jika memberanikan juga diri ini mengatakan "tidak", sudah pasti dari sudut hati kecil, terasa kasih dan sayang terhadap anak seakan-akan terganggu.

Aku membayangkan jika aku seorang yang mempunyai jawatan dalam kerajaan. Apabila aku telah memberi sesuatu jawatan kerajaan kepada anak-anak, lalu dia menyeleweng, apakah aku boleh menghentamnya sepertimana aku menghentam kawan-kawan, juga musuh-musuhku yang melakukan penyewengan.

Sungguh ia susah. Sebab itu, tidak dapat tidak, kita terpaksa akui dengan firman Allah dari surah Al-Imran ayat 14 yang menyatakan, "manusia itu dihiaskan dengan kehendak syahwat; perempuan, anak pinak... " Hingga akhir ayat

"Lebih baik jadi rakyat yang menentu hala tuju kerajaan, berbanding jadi pemimpin" itulah keputusan yang hati kecilku buat.

Sekian

Wallahu Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- taman melewar
30 Disember 2009 * 12:04 pagi

Isnin, 28 Disember 2009

NASIB BAIK AKU BUKAN ANAK, ATAU MENANTU ORANG BESAR


NASIB BAIK AKU BUKAN ANAK, ATAU MENANTU ORANG BESAR

Dulunya, Bapaku bermazhab sesat UMNO. Telahku usahakan. Akhirnya, dia meninggalkan ajaran sesat UMNO, dan kini masuk PAS. ketika itu, aku baru berumur 14 tahun, iaitu dikala sedang berkain palaikat, berjubah dan berserban bersama menuntut di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas Kelantan.

Bapaku bukan orang besar. Dia sekadar orang kampung yang terlalu biasa. Tidak mempunyai pendidikan, sehingga membaca pun tidak termampu. Pun begitu, dia amat mengkagumi Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Aku kagum, kini bapaku boleh kagum dengan Menteri Besar Kelantan itu, waima semasa dia UMNO dulu, dia sering kutuk tok guru didepanku.

Aku berkahwin dengan seorang muslimat yang sama-sama menuntut di Mesir berasal dari Negeri terengganu. Bapa mertuaku seorang yang berkerja sebagai security guard di salah sebuah sekolah Menengah di Jertih.

Dia juga orang biasa sahaja. Tidak mempunyai pendidikan tinggi. Membaca surat tulisannya, sudah cukup untuk aku mengatakan bapa mertuaku bukan orang besar.

Mujur aku tidak mempunyai seorang bapa atau bapa mertua yang terkenal dalam masyarakat. Sama ada berjawatan Perdana Menteri, atau Menteri Besar, atau Presiden mana-mana parti dan sebagainya. Jauh sekali, aku merupakan seorang anak atau menantu kepada seorang yang mempunyai nama dari sudut dunia keagamaan. Cukup sekadar anak dan menantu kepada bapa atau mertua yang menjaga agamanya sepertimana wajib menjaga agama oleh orang biasa.

Jika aku adalah anak atau menantu kepada seorang orang besar dari sudut politik, atau sudut dunia keagamaan, sudah pasti factor aku merupakan penyumbang dalam menentu imej bapa atau mertuaku buruk atau tidak.

Lebih aku bersyukur, apabila aku tidak menjadi factor penyebab keburukan imej Islam, dengan sebab aku tidak menjadi menantu kepada mana-mana tokoh agama yang memberi kesan kepada Islam itu sendiri.

Mungkin kalau aku seorang anak atau menantu kepada orang-orang politik, mungkin aku adalah penyebab kejatuhan imej politik bapa atau mertuaku. Mana tau, aku bergantung dengan baju bapa atau mertuaku untuk mencari kekayaan?

Pun mungkin, jika aku seorang anak atau menantu kepada tokoh agama, mungkin aku adalah penyebab kejatuhan imej ketokohan bapa atau mertuaku. Mana tau, sebarang dosa yang aku lakukan, sudah pasti dilihat halal disebabkan aku anak atau menantu tokoh agama?

“Fuh… nasib baik, bapa dan mertuaku bukan orang besar” bentak hatiku.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
29 Disember 2009 * 3:14 petang

JANGAN MEMBAZIR, WAIMA BERWUDU


JANGAN MEMBAZIR, WAIMA BERWUDU

Azan Zohor kedengaran. Muazzin yang sedang melaungkan azan itu seorang lelaki yang berbangsa Pakistan. Sudah pasti sebutan lafaz-lafaz azan, tidak sama dengan lafaz-lafaz azan sebutan orang Malaysia.

Orang melayu Malaysia, apabila mereka menyebut lafaz arab, kadang-kala orang berbangsa arab sendiri pun merasa kagum. Ini terbukti, setiap kali berlaku musabaqah al-Quran, juaranya boleh dikatakan setiap tahun disandang oleh orang Malaysia.

Masjid Al-Faruqi, sebuah masjid yang berada di Gulshan – E – Iqbal, Karachi, Pakistan. Setiap kali solat berjemaah lima waktu, sekurang-kurang safnya adalah 7 saf. Di waktu solat subuh, jemaahnya kadang-kala mencecah 15 Saf. Lebih hebat, dikala solat Maghrib dan Isyak ditunaikan. Inilah hakikat pengamalan solat jemaah di Pakistan, yang amat jauh jika mahu dibandingkan solat jemaah di Malaysia.

Aku pergi ke masjid dalam keadaan tiada wudu’. Sudah pasti, sesampai di Masjid, aku ke tempat wudu’ terlebih dahulu. Sedang berwudu’, kelihatan seorang anak muda yang mempunyai wajah yang agak berseri. Tenang hatiku, dikala melihat wajahnya.

“dia ni mesti budak soleh.. tidak, takkan macam ni punya berseri muka” cetus hatiku.

Aku perhatikan dia berwudu’. Ternyata, dia membuka pili paip air dengan besar sekali.

“ini pembaziran..” hatiku berkata-kata. ”isy.. kalau ikut apa yang aku belajar, membazir air ketika berwudu’ adalah haram, jika air itu air waqaf.. kalau air itu, air sendiri, membazir air ketika berwudu’ adalah makruh
[1]

Rupa-rupanya, pemuda itu terperasan dengan tindakanku yang sedang memerhatikannya.

”Assalamualaikum..” dia memberi salam kepadaku.

”waalaikumsalam.. ” aku membalas salamnya. Aku melemparkan senyuman kepadanya, dan dia juga membalas senyumanku itu.

”Kiya Hal Hai?” (apa Khabar?) Dia menegur.

”Tik Thak Hoo” balasku ringkas. ”tum yaha, parta hai?” (kamu di sini belajar?) soalku.

“nehi.. yaha kam karta hoo” (tidak.. saya bekerja di sini) jawabnya.

Kami tidak bercakap panjang. Cukup sekadar bertegur-sapa sahaja. Kerana, solat sudah hampir hendak ditunaikan.

SOLAT JEMAAH

Setelah selesai solat jemaah, pemuda itu dilihat bersandar di salah sebuah tiang di masjid Al-Farooqi itu. usai berzikir dan berwirid, aku terus menuju kepadanya.

Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku memperkenalkan diriku. Begitujuga dia, memperkenalkan dirinya sebagai Fadhlurrahman. Dia berbangsa Afghanistan, tetapi bekerja di Pakistan.

”kamu bukan orang pakistan kan?” soalnya.

Aku tersenyum dengan soalan itu. maklumlah, wajahku tidak sedikitpun iras orang yang berbangsa Pakistan. Tiba-tiba soalan sebegini boleh terpancul dari mulutnya.

”yap.. saya bukan orang Pakistan.. saya orang Malaysia” jawabku ringkas.

”di Pakistan, kamu buat apa?”

”saya belajar di sini”

”emmm... di mana kamu belajar?”

”Jamiah Farooqiyyah, Shah Faisal Caloni”

“kamu ni, bakal jadi Maulana la ni” dia berseloroh.

“eh.. tidak la.. biasa-biasa sahaja” jawabku sambil tersenyum.

BERBUAL-BUAL

Sedang kami berbual mesra, aku berfikir, bagaimana hendak keluarkan tajuk tentang pembaziran ketika berwudu’. Sengaja aku mahu membuka tajuk itu, kerana melihat dia berwudu’ tadi dengan membuka pili air dengan besar sekali.

Tidak semena-mena, aku sengaja bercakap tentang ibadat. Kelihatan dia agak tertarik dengan tajuk yang aku buka itu. perbualan kami tentang tajuk ibadat tersebut, seperti berlaku satu wacana yang tidak rasmi.

“kadang-kadang, ketika kita berwudu’ pun, kita boleh lakukan sesuatu yang boleh rugi pahala” aku membuka cerita

“emm.. “ dia kelihatan berfikir. “bagaimana tu?” soalnya.

“ye la.. berwudu’, hukumnya sunat. Kalau nak solat, berwudu’ jadi wajib. Kira-kiranya, dapat pahala la. Tetapi, ketika kita berwudu’, kita tidak sedar bahawa kita sudah lakukan pembaziran. Kalau kita membazir, syaitan cukup suka. Ia boleh jadi makruh.. silap haribulan, haram pun boleh jadi” aku memberi penerangan.

Dia kelihatan termenung sekejap.

”di zaman Nabi SAW dulu, Nabi SAW ada bersabda, ’jangan membazirkan air, waima kamu di sungai yang mengalir’
salah seorang sahabat bertanya, ’Wahai Rasulullah, apakah membazir pun boleh berlaku pada wudu?"
"ya.. Pada semua perkara boleh berlaku pembaziran" jawab Nabi SAW

Aku memberi ulasan dengan membaca satu hadis Nabi SAW riwayat Ibnu Majah
[2].

“Astaghfirullah.. tadi saya berwudu’ dalam keadaan membazir la.. Ya Allah, ampunkanlah saya” tiba-tiba Fadhlurrahman berdoa.

Aku tersenyum apabila mendengar doa Fadhlurrahman itu.

”dia ni mesti orang baik-baik.. ” hatiku berkata.

”kenapa wahai Fahlurrahman?” soalku pura-pura tidak tahu.

”tadi saya berwudu, saya buka pili air besar sangat. Saya tak perasan bahawa saya sudah melakukan dosa.” jelas Fadhlurrahman.

Aku tersenyum melihat reaksi Fadhlurrahman itu.

”bukan sekadar itu sahaja. kalau kita berwudu’ basuh lebih dari 3 kali basuh. Itupun sudah cukup disebut sebagai membazir tau” aku memberi penjelasan lagi.

”dahulu, Nabi SAW didatangi seorang badwi tengok nabi SAW berwudu” aku menyambung ulasanku. ”pada masa tu, nabi SAW berwudu’ dengan basuh pada setiap anggota tiga kali.. badwi itu perhatikan sahaja perbuatan Nabi SAW. masa tu, Badwi itu tanya Nabi SAW tentang basuh tiga kali pada setiap Anggota wudu’. Nabi SAW menjawab,

هَكَذَا الْوُضُوءُ فَمَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ وَتَعَدَّى وَظَلَمَ

”inilah cara wudu yang sebenar. Barangsiapa lebih daripada ini, maka sesungguhnya dia telah melakukan kesalahan, melampaui batas dan melakukan kezaliman
[3]

Dia mengangguk mendengar penjelasan aku itu.

”ada pula manusia boleh jadi membazir ketika berwudu’, sebab dia ditimpa penyakit was was. Semua perkara dia buat, mesti was was. Solat was-was, wudu’ was was.. tapi yang pelik tu, masa makan dia tak was-was langsung” sambungku, sambil melawak.

Dia gelak dengan lawakku itu.

“tapi apa kan daya. Nabi SAW sendiri ada sebut bahawa ada sejenis syaitan yang tugasnya bagi was-was kepada orang yang berwudu’” aku menyambung syarahanku itu

“Acca.. ada juga yer syaitan yang tugas kacau orang berwudu’?” Soal Fadhlurrahman serius.

“yap.. nama syaitan tu, Wilhan
[4]” jawabku ringkas.

“sebab itu, kalau kita was-was masa berwudu’. Jangan layan. Itu semua kerja syaitan wilhan” jelasku lagi.

Dia mengangguk. Dilihat seperti menarik dengan celotehku itu.

Sedang asyik kami berbual-bual. tiba-tiba, dia nampak seperti tergesa-gesa. Dia melihat jam tangannya.

”aree bhai.. maafi maghta hoo” (alamak, Saya minta maaf)” katanya.

”kiyuuu?” (kenapa) soalku.

”Saya sudah terlewat. Saya minta maaf. Saya terpaksa minta diri dulu”

”mehrabani.. kuch nehi” (ok tak per). Jawabku ringkas.

”tetapi, Saya suka berbual dengan kamu” ujarnya.

Aku hanya tersenyum.

”insya Allah, Pir Mulaqat karengge” (dengan izin Allah,, kita jumpa lain kali). Aku mengakhiri perbualan kami.

Sambil membalas senyumanku, dia menjawab, ”Insya Allah”.

Kami pun keluar masjid bersama-sama. Sebelum berpisah, kami bersalam-salaman. Rupa-rupanya, itulah pertemuan kali pertama dan kali terakhir aku dengannya. Sehingga kini, aku tidak berjumpa dengan dia lagi.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
29 Disember 2009 * 3:34 pagi









[1] Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam : 1/458.
[2] hadis nombor : 419
[3] An-Nasai : 140.
[4] Sunan Ibni Majah : 415

إِنَّ لِلْوُضُوءِ شَيْطَانًا يُقَالُ لَهُ وَلَهَانُ فَاتَّقُوا وَسْوَاسَ الْمَاءِ

Ahad, 27 Disember 2009

SOLAT JENAZAH TANPA WUDU'

SOLAT JENAZAH TANPA WUDU'

Solat jenazah baru sahaja selesai ditunaikan. Solat diimamkan Ustaz Harun, seorang imam kampong yang tidak asing lagi di Kampung Melayu. Semasa berdoa, kelihatan seorang lelaki berjalan-jalan dicelah-celah jemaah. Di bubuh pada setiap seorang satu sampul surat ke dalam poket masing-masing.

Aku memahami, itu hadiah saguhati dari keluarga si mati kepada mereka yang menghadiri solat jenazah. Mengenangkan kesusahan dan kesedihan yang menimpa si mati, aku tidak menerima wang saguhati tersebut. Dibubuh kedalam poketku, diberikan balik kepada pemberi tersebut. Dia tersenyum melihatku menolak wang saguhati tersebut, aku pula sekadar membalas senyumannya sahaja.

Nabi SAW berpesan, agar tidak menyusahkan kepada keluarga si mati. Tetapi, budaya melayu menjangkaui kehendak nabi, menyebabkan budaya menyusahkan si mati menjadi amalan kebiasaan bagi masyarakat melayu yang beragama islam.

Sabda nabi SAW;

اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ

Maksudnya;
"buatlah makanan untuk keluarga Jaafar. Ini kerana, keluarnya telah ditimpa sesuatu yang menyibukkan hati mereka" (sunan abi Daud : 2725)

Budaya Islam ini, tidak berlaku dalam budaya orang melayu. Pada orang melayu, buat kenduri – menyediakan makan dan minum – terbeban di kepala keluarga si mati, walhal Islam meletakkan suruhan agar sahabat handai yang bukan dari ahli keluarga si mati yang perlu menyediakan makanan.

Jika merujuk kepada kitab "Aun Al-Ma'bud", dinyatakan bahawa menyediakan makanan itu, bukanlah untuk dimakan oleh mereka yang hadir, tetapi disediakan untuk keluarga si mati. Ia dengan tujuan, meredakan kesdihan keluarga tersebut dari musibah yang sedang menimpa
[1].

SOLAT JENAZAH

"apa hokum solat jenazah dalam keadaan tidak berwudu', ustaz?" tiba-tiba satu suara kedengaran, menyebabkan lamunanku termati.

"ohh.. Pak chik Hamzah.. ingat sapa tadi" aku menyahut, "apa Pak Chik tanya tadi?" aku menyoal dia balik.

Pak Cik hamzah tersenyum bila aku bertanya begitu. Mungkin dia perasan, bahawa tadi aku sedang dalam lamunan.

"saya tanya tadi, boleh ke kita solat jenazah tanpa berwudu'?"

Aku tersenyum mendengar soalan itu.

"setiap solat perlu ada wudu'. Termasuklah solat jenazah" jawabku. "apa hokum bagi semua solat, begitujuga hokum bagi solat jenazah" sambungku lagi.

"tapikan ustaz.. ada saya dengar satu ceramah. Ada seorang ustaz tu sebut, bahawa solat jenazah tidak perlu berwudu" balas Pak Chik Hamzah yang amat terkenal dengan ketekunannya menunaikan solat berjemaah, juga menghadiri kuliah-kuliah agama.

Aku tersenyum melihat cara pak cik hamzah bertanya. Ditambahi dengan raut wajahnya yang serius ketika bertanya.

"memang ada ulasan macam yang pak Cik sebut tu. Kalau kita baca satu kitab tu, nama kitab tu Az-Zawajir, karangan Imam Ibnu Hajar Al-Haitami
[2]. Dia ada sebut bahawa harus menunaikan solat jenazah tanpa wudu'. Tapi, pendapat itu dipertikaikan" aku memberi penjelasan panjang sedikit.

"tapi… kalau kita buka kitab Mazhab hanafi. Memang boleh solat jenazah tanpa wudu'. Tetapi dengan syarat, perlu bertayammum. Walau berada di tepi sungai sekalipun" sambungku lagi.

Pak Cik Hamzah mengangguk dengan ulasanku. Kelihatan dia amat berminat dengan ulasanku.

"em.. baru saya faham. Maknanya, kalau ada orang dok sebut boleh solat jenazah tanpa wudu', itu bukan pendapat Imam Syafie la kan". Pak Cik Hamzah nak kepastian.

"yap.. betul tu pak cik" jawabku.

"ustaz ada dalil tak yang boleh saya jawab, kalau ada orang tanya saya nanti?" Pinta Pak Cik hamzah.

"ada.. iaitu hadis Abdullah bin Omar yang berkata;

لَا يُصَلِّي الرَّجُلُ عَلَى الْجَنَازَةِ إِلَّا وَهُوَ طَاهِرٌ

Yang bermaksud, "tidak boleh seseorang lelaki itu menunaikan solat jenazah, melainkan dia bersuci terlebih dahulu" (Muwatta' : 487)

"terima kasih ustaz sebab bagi jawapan" kata pak Cik hamzah.

"sama-sama… lain kali, kena bayar ni" aku bergurau..

Pak Cik Hamzah tergelak kuat dengan gurauanku.

Sekian

Wallahu 'Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Kota damansara
28 Disember 2009 * 2:07 pagi



[1] Aun Al-Ma'bud : 7/199
[2] Az-Zawajir : 2/361.