Ada manusia yang hidupnya tidak sibuk, masalah pembahagiaan waktu untuk keluarga tidak menjadi masalah baginya. Pun begitu, disana wujud manusia yang hidupnya terlalu sibuk. Kesibukan itu, ada kalanya kerana kerja, ada kalanya kerana dakwah dan berbagai-bagai lagi istilah sibuk ditampalkan.
Ada sebilangan manusia, kesibukan yang mengintai hidupnya menyebabkan dia tidak sempat menyediakan masa untuk bersama keluarga. Jika keadaan ini berterusan, dibimbangi kemesraan sesama keluarga, khususnya antara suami dan isteri akan menjadi hambar.
Apabila hambar kemesraan, menyebabkan hilangnya daya kebahagiaan dan rahmat sebenar dalam berumahtangga seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT.
Firman Allah;
وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya;
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”
(Surah Ar-Rum : 21)
Nabi Muhammad SAW yang merupakan tauladan terbaik, telah memberikan satu gambaran yang berkualiti dalam menghadapi waktu sibuk, disamping tidak mengabaikan tugasan memberikan kemesraan terhadap para isteri.
Keadaan ini dapat dibuktikan dengan satu hadis, bahawa Saidina Husain yang merupakan salah seorang cucu Baginda Nabi bertanya kepada bapanya yang bernama Ali bin Abi Talib dengan katanya;
سَأَلْتُ أَبِي عَنْ دُخُولِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ:كَانَ دُخُولُهُ لِنَفْسِهِ مَأْذُونًا لَهُ فِي ذَلِكَ فَكَانَ إِذَا أَوَى إِلَى مَنْزِلِهِ جَزَّأَ نَفْسَهُ دُخُولِهِ ثَلاثَةَ أَجْزَاءٍ: جُزْءٌ لِلَّهِ، وجزءٌ لأَهْلِهِ، وجزءٌ لِنَفْسِهِ،
Maksudnya;
“Aku bertanya kepada bapaku (Ali bin Abi Talib) berkenaan Rasulullah SAW ketika masuk ke dalam rumah. Berkata; ketika Rasulullah masuk, baginda masuk dengan diberi izin terlebih dahulu. ketika berada dalam rumah, baginda membahagikan masanya di rumah kepada tiga bahagian; (1) untuk Allah, (2) untuk ahli keluarganya, dan (3) untuk dirinya[1]”
Kita mengenali Nabi Muhammad adalah seorang manusia yang amat sibuk dengan tugasan dakwah. Dalam kesibukan itu, Nabi SAW tidak pernah menjadikan tugasan yang lain sehingga terabai.
Antara tugasan yang tidak diabaikan oleh Nabi SAW adalah, memberikan satu waktu khusus untuk bermesra bersama para isteri. Nabi Muhammad SAW mengerti, tugasan baginda dalam dakwah amat besar dan berat. Sebagai pendakwah, sudah pasti beliau akan dijadikan contoh tauladan oleh manusia ramai.
Ekoran dari itulah, kita akan dapati Nabi SAW benar-benar mengajar tauladan kepada manusia. Antara tauladan itu adalah, Nabi SAW tidak mengabaikan tugasan baginda untuk memberikan kemesraan baginda terhadap para isteri.
Kepada para suami, jadikan hadis ini sebagai tauladan dalam mengharungi kehidupan berumahtangga yang bahagia. Jika diperhatikan rata-rata manusia yang bercerai, antara sebabnya adalah, apabila pihak suami terlalu sebuk dengan tugasan mencari rezeki, sehinggakan terlalai dari melaksanakan tugasan terhadap isteri mereka.
Ekoran itulah, didapati isteri menjadi liar. Jika tidak liar pun, mereka akan menjadi manusia yang mempunyai perasaan dalaman yang bergelora, yang apabila ianya terluah melahirkan perceraian yang dibenci oleh Allah SWT.
Justeru, jadikan tauladan Nabi SAW ini sebagai panduan. Panduan dalam berkeluarga, juga panduan dalam melahirkan kemesraan dalam berumahtangga yang berjaya mengecapi kebahagiaan dalam mengharungi bantera kehidupan
Sekian
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com
ustaz_bakistani@yahoo.com
- sri Indah (B), Sg Buloh
22 mac 2009 * 2:27 pagi
[1] Al-Mukjam Al-Kabir : 17867