Ahad, 16 Disember 2012

HUZAIFAH BIN AL-YAMAN : PENJAGA RAHSIA YANG BERANI


Hadis-hadis akhir zaman banyak diriwayatkan oleh Huzaifah. Beliau dilantik sebagai penjaga rahsia-rahsia Nabi SAW, menyeabkan beliau sentiasa di perhatikan oleh Umar al-Khattab apabila berlaku sebarang kematian. Apakah si mati itu disolatkan jenazah oleh Huzaifah atau tidak. Jika tidak dihadiri oleh Huzaifah, Umar juga turut tidak akan tunaikan solat jenazah terhadap si mati tersebut kerana beranggapan bahawa individu terbabit adalah munafiq.

Bapa Huzaifah berasal dari Mekah, sedangkan ibunya berasal dari Madinah. Awal hijrah, para sahabat dari mekah mendapat gelaran muhajirin, dan para sahabat dari Madinah mendapat gelaran ansar, sedangkan Huzaifah mendapat gelaran  kedua-duanya sekali.

Bapanya bernama Husal bin Jabil al-Yamani. Sebilangan ulama tarikh menyebut dengan Husail. Seorang yang di zaman Jahiliah telah meninggalkan Mekah ekoran pergaduhan, lalu melarikan diri ke Yasrib dan bertemu dengan al-Rabbab binti Ka’ab al-Asyhaliyyah. Pertemuan membuahkan percintaan seterusnya berkahwin dan mendapat seorang anak yang hebat bernama Huzaifah.

Bapanya telah syahid dalam medan uhud. Terbunuh ekoran kesilapan sebilangan sahabat yang menyangka bahawa Husail itu adalah seorang musyrik, walhal beliau seorang muslim yang tegar imannya. Ketika sebilangan sahabat yang tidak kenal husail mahu membunuh beliau, Huzaifah perasan dan menjerit sambil mengatakan “Dia adalah bapaku.. dia adalah bapaku… dia adalah bapaku”

Kematian Husail ditangisi oleh Huzaifah. Perkara itu diketahui oleh Nabi SAW dan disabarkan oleh Baginda. Setelah berbincang, akhirnya para sahabat bersedia untuk mengumpul wang untuk dibayarkan diat kepada Huzaifah ekoran kesilapan terbunuhnya bapanya, Husail. Setelah cukup kutipan wang, lalu diberikan kepada Huzaifah. Beliau menerimanya, kemudian menyerah kembali kepada Nabi SAW untuk digunakan dalam peperangan untuk memenangkan islam di masa akan datang. Tindakan beliau itu semakin menambah lagi perasaan sayang Rasulullah SAW kepada Huzaifah.

Dalam peperangan Khandak atau dikenali juga sebagai peperangan Ahzab. Didapati dengan galinya parit keliling Madinah menjadikan pihak musuh-musuh Islam mati kutu untuk bertindak. Mereka berkhemah di luar Madinah untuk mencari jalan untuk melakukan serangan. Keadaan mereka yang duduk beberapa ketika di luar Madinah itu mahu diketahui oleh Nabi SAW. Makanya satu malam, setelah menunaikan solat, Nabi SAW bertanya; “siapakah di kalangan kalian yang boleh pergi siasat keadaan musuh, lalu kembali. Aku akan memhon dengan Allah agar dia akan menjadi teman karibku dalam syurga nanti?”

Semua tidak menjawab, lalu Nabi SAW pun terus mengarahkan kepada Huzaifah pergi. Tanpa bertanya dan memberikan alasan, Huzaifah terus bangun dan pergi sepertimana yang diarahkan.

Secara senyap-senyap Huzaifah menyusup masuk ke kawasan khemah musuh. Dengan bantuan Allah, ketika itu datang angin agak kuat yang menyebabkan api nyalaan yang menjadi suluhan mereka terpadam. Ketika itu, kedengaran suara Abu Sufyan mengarahkan agar para tenteranya memegang tangan sesama mereka. Dengan arahan itu, cepat-cepat Huzaifah memegang tangan dua orang tentera Quraish. Kemudiannya pula kedengaran suara Abu Sufyan menyuruh agar sesama mereka bertanya nama temannya sebelah, agar didapati bahawa musuh tidak menyelinap masuk ke kawasan khemah mereka. Mendengar arahan itu, tanpa sempat dua orang tentera di tepi Huzaifah bertanya, Huzaifah memulakannya terlebih dahulu. Ia menjadikan mereka tidak pula bertanya nama Huzaifah dalam kegelapan itu.

Tidak lama kemudian, kedengaran Abu Sufyan bersungut dengan menyatakan bahawa yahudi yang asalnya bergabung dengan mereka telah mengkhianati mereka. Pihak yahudi telah lari meninggalkan mereka. Maklumat itu menjadikan Huzaifah seronok untuk dilaporkan kepada Nabi SAW.

Dalam keadaan tidak disedari Quraish, Huzaifah telah lari meninggalkan Khemah musuh dan masuk ke Madinah dan melaporkan maklumat tersebut kepada Nabi Muhammad SAW.

Inilah kehebatan seorang sahabat bernama Huzaifah. Kehebatannya dimanfaatkan sehingga pada era pemerintahan Umar bin al-Khattab. Ini kerana, disamping ketaqwaan, beliau juga terkenal dengan kehebatan dalam berfirasat.

Semasa Umar menjadi Khalifah, dilema Umar adalah apabila rakyat Madyan yang kini dikenali sebagai Lubnan berhadapan dengan masalah penyakit wabak. Kemana sahaja mereka berpindah, didapati mereka terkena penyakit wabak tersebut. Dalam keadaan begitu, Umar telah mengarahkan Huzaifah agar pergi ke kawasan yang selamat untuk difirasatkan. Semasa sampai satu kawasan padang pasir, dengan kekuataan firasat Huzaifah bahawa tempat itu sememangnya tidak akan tersebar penyakit, maka menyebabkan rakyat Madyan telah berpindah di tempat tersebut. Dengan perpindahan itu, menyebabkan padang pasir yang lapang itu dikenali sebagai Kufah pada hari ini.

Huzaifah meninggal pada tahun 36 Hijrah di Madyan, walaupun dilahirkan di Makkah dan tinggal di Madinah. Selama hayat Rasulullah SAW, beliau hadir pada semua peperangan kecuali peperangan Badar sahaja. Itupun, ekoran beliau tidak ada di Madinah pada ketika itu.

Wallahu ‘Alam

Sekian