Jumaat, 27 Januari 2012

MENEGUR PEMERINTAH SECARA TERBUKA? [2]


[1]

Sebelum mengeluarkan sesuatu hukum, jangan hanya dilihat dari sudut yang literal, tetapi hendaklah dilihat juga kehendak nas. Antara kehendak nas itu adalah, perlu dilihat dari sudut maalat al-Af’al, atau implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Jika diperhatikan kepada definisi hukum, perkara ini amat nyata. Contohnya definisi hukum dalam mazhab Hanafi. Ini kerana, definisi hukum syarak di sisi mereka adalah, tidak semata-mata bermaksud harus atau taat sahaja, tetapi ia perlu dilihat kepada kesan perbuatan syarak atau perlu dilihat kepada tujuan akhir[1]. Dengan erti kata yang lain, dalam mazhab hanafi, ia mesti wajib, sunat dan harus, tetapi perlu dilihat kepada maqasid dan maalat al-afal (implikasi).

Malahan, ada sebilangan ulama-ulama dalam mazhab selain hanafi juga memandang pentingnya implikasi dalam fiqh. Antaranya adalah al-Imam al-Mawardi yang bermazhab Syafie menyatakan;

"Setiap tindakan yang menyebabkan tidak tercapai kepada tujuan akhir, maka tindakan itu batal[2]"

Turut memandang kepentingan melihat kepada implikasi ini adalah al-Imam as-Syatibi. Ini kerana, beliau ada menyatakan;

            “Melihat kepada implikasi terhadap segala perbuatan adalah perkara yang diperakui dan merupakan tujuan secara syarak, sama ada perbuatan itu bersifat muwafaqat (melayu : selari) atau bersifat mukhalafah (melayu : menyalahi/tidak selari). Demikian itu adalah bahawa mujtahid tidak boleh berhukum terhadap sesuatu perbuatan dari perbuatan-perbuatan yang disandarkan kepada mukallaf (melayu : orang yang diberati hukum) dengan mereka melaksanakan (sesuatu tuntutan hukum) kecuali selepas melihat kepada kesan (atau : implikasi) terhadap perbuatan tersebut[3]

[2]

Antara contoh-contoh bagi memahami perkara ini adalah seperti berikut;

Pertama;
Firman Allah;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan”( Surah Al-‘An’am, ayat 108)

Menurut Dr al-Raisuni[4], dari sudut hukum asal, memaki sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka, maka perkara itu diharamkan oleh Allah SWT.

Kedua;
Daripada Aisyah R.Ha, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW ada berkata kepadanya;

أَلَمْ تَرَيْ أَنَّ قَوْمَكِ لَمَّا بَنَوْا الْكَعْبَةَ اقْتَصَرُوا عَنْ قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَرُدُّهَا عَلَى قَوَاعِدِ إِبْرَاهِيمَ قَالَ لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

            “Apakah kamu tidak melihat sesungguhnya kaum kamu ketika mereka membina kaabah, mereka membataskan pada qawaed Ibrahim”. Aku (Aisyah) bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, kenapa tidak kamu kembalikannya pada qawaed Ibrahim?”. Nabi Muhammad SAW menjawab, “kalaulah tidak kerana baru kaum kamu meninggalkan kekufuran, pasti aku sudah lakukan”( Sahih Al-Bukhari, Bab Kelebihan Makkah dan binaannya, hadis no : 1480)

Dari sudut hukum asal, kembalikan Kaabah pada batasan Qawaed Ibrahim itu adalah satu perkara yang wajib. Namun, dibimbangi mendatangkan implikasi yang buruk, iaitu perbalahan sesama bangsa Quraish yang baru sahaja memeluk Islam, menyebabkan ia ditangguhkan dulu oleh Rasulullah SAW.

[3]

Puak-puak literalis mengatakan tidak boleh mengugurkan pemerintah yang zalim. Ekoran itu juga, tidak boleh menegur pemerintah Negara secara terbuka. Hadis yang dibacakan mereka itu adalah seperti berikut;

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَنْصَحَ لِسُلْطَانٍ بِأَمْرٍ فَلَا يُبْدِ لَهُ عَلَانِيَةً وَلَكِنْ لِيَأْخُذْ بِيَدِهِ فَيَخْلُوَ بِهِ فَإِنْ قَبِلَ مِنْهُ فَذَاكَ وَإِلَّا كَانَ قَدْ أَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ لَهُ

“Barangsiapa yang mahu memberi nasihat kepada pemerintah terhadap sesuatu urusan, maka jangan lakukan dalam keadaan terbuka, tetapi peganglah tangannya dan menyendiri dengannya. Sekiranya ia menerima, itu yang sepatutnya. Sekiranya tidak menerima, sesungguhnya dia telah menunaikan tanggungjawabnya terhadap pemimpin tersebut”

Ulasan hadis ini adalah seperti berikut;

Ulasan Pertama;

Hadis ini adalah hadis yang lemah (doif)[5]. Alasan-alasannya adalah seperti berikut;

Satu;

Dalam hadis ini didapati Syuraih bin Ubaid al-Hadhrami mengambil hadis dari Iyadh bin Al-Ghanm. Didapati kedua-dua periwayat hadis ini tidak pernah bertemu. Ini kerana, kelahiran Syuraih bin Ubaid ketika Iyadh bin al-Ghanm telah meninggal dunia.

Dua;

Dalam kitab al-Sunnah oleh Abu Asim (1097), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ismail. Menurut al-Hafiz dalam kitab al-Isobah, beliau adalah seorang yang terlalu lemah.

Tiga;

Dalam al-Mustadrak (5269), dalam sanadnya terdapat seorang perawi bernama Ishaq bin Ibrahim. Menurut Imam Al-Nasaie bahawa dia tidak siqah (tarikh Damsyik), dan imam Abu Daud pula menyatakan bahawa dia tidak ada apa-apa pun (mizan al-iktidal).

Ulasan Kedua;

Jika DIANDAIKAN saheh atau hasan sekalipun hadis ini, perlu diperhatikan bahawa hadis ini bukan bersifat mutlak, tetapi ia bersifat maalat al-Af’al atau perlu diilihat kepada implikasi hadisnya. Ini kerana, hadis ini ada sambungannya, iaitu bahawa Iyyad bin Ghanm berkata kepada Hisyam seperti berikut;

فَهَلَّا خَشِيتَ أَنْ يَقْتُلَكَ السُّلْطَانُ فَتَكُونَ قَتِيلَ سُلْطَانِ اللَّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى

“apakah kamu tidak takut bahawa sultan Allah (pemerintah) akan membunuh kamu, maka jadilah kamu orang yang dibunuh oleh Sultan Allah (pemerintah)”

[4]

Jadi, merujuk kepada hadis di atas sebagai alasan untuk mengatakan tidak boleh menegur pemerintah secara terbuka seperti yang didakwa oleh puak-puak literalis adalah tidak tepat dan tidak benar sama sekali. kesalahan merujuk kepada hadis ini, sama ada hadis ini adalah hadis yang lemah, ataupun jika di andaikan sahih sekalipun, ia adalah bersifat Maalat al-Af’al, iaitu melibatkan kepada implikasi terhadap sesuatu perbuatan.

Dengan maksud, hukum asal menegur secara terbuka adalah dibenarkan, tetapi sekiranya bimbang mendatangkan mudharat yang lebih besar, maka ia dilarang. Namun begitu, dalam kerangka Negara demokrasi, menegur secara terbuka ini merupakan perkara yang dibenarkan, malahan ia boleh mendatangkan maslahah yang lebih besar. Makanya ia adalah satu tindakan yang tidak salah dari sudut Islam, tidak seperti yang didakwa oleh puak-puak literalis.

Wallahu alam.



[1] Dr Abd al-Qadir bin Hirz Allah, at-ta'lil al-maqasidi : 98 - 99
[2] Al-Imam al-Mawardi, Al-Hawi Al-Kabir : 6/282
[3] Al-Imam as-Syatibi, Al-Muwafaqat : 4/194.
[4] Al-Muhadarat fi Maqasid al-Syariah.
[5] Al-Jahr wa al-‘Ilan bi Dho’f Hadis al-Kitman fi Munasah al-Sultan.

Khamis, 26 Januari 2012

KUPASAN TENTANG MENGUGURKAN PEMERINTAH ZALIM [1]


[1]

Dalam nas (al-Quran atau Hadis), ia hendaklah diperhatikan kepada dua perkara;
1-      Wasail
2-      Maqasid.

Maksud maqasid adalah capaian bagi kemuncak bagi syariat, yang dengannya disyariatkan segala hukum.

Maqasid syarik  (melayu : tujuan pensyariatan oleh pembuat syariat) ialah memberi kemaslahatan kepada hamba pada dunia mereka dan akhirat mereka, sama ada dengan cara menarik manfaat atau dengan cara menolak mudharat[1]. Sekiranya mendatangkan kemaslahatan, maka ia adalah perkara yang perlu diperakui. Adapun mendatangkan mafsadah, maka ia hendaklah ditolak.

Adapun wasail, ia adalah penghubung kepada capaian terhadap maqasid[2]. Tanpanya, maqasid tidak akan tercapai. Dengan erti kata yang lain, wasail sebagai “orang tengah” dalam menentukan capaian terhadap keputusan akhir, apakah ia mencapai maslahah atau mafsadah. Perkara ini diakui oleh ulama-ulama maqasid sendiri. antara yang mengakui perkara ini adalah al-Izz bin Abd al-Salam[3].

[2]

Antara contoh untuk memahami tentang wasail dan maqasid ini adalah seperti berikut;

Pertama;

Hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW  ada bersabda;

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ

“Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan, dan berhari rayalah kamu dengan melihat anak bulan. Sekiranya kabur, maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”( Al-Bukhari, bab perkataan Nabi SAW “apabila kamu nampak anak bulan, maka berpuasalah. Apabila kamu nampak anak bulan, berhari rayalah”, hadis no : 1776.  Muslim, bab kewajipan berpuasa dan berhari raya dengan tengok anak bulan, hadis no : 1810.)

Dalam hadis ini, dipaparkan wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa dan berhari raya), iaitu dengan melihat anak bulan. Namun begitu, dalam hadis ini juga, Nabi Muhammad SAW menyebut “sekiranya kabur (tidak nampak anak bulan), maka hitunglah/hisablah bilangan dalam syaaban sebanyak tiga puluh (hari)”.

Maka dengan itu, ada sebilangan ulama seperti al-Imam Taqi al-Din al-Subki membenarkan penggunaan Hisab Falaki atau kiraan falak sebagai wasail untuk mencapai maqasid (berpuasa di bulan Ramadhan dan penentuan hari raya)[4].

Kedua;

Firman Allah SWT;

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ

Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada fitnah lagi”(Surah al-Baqarah, ayat 193)

Berperang itu merupakan wasail, sedangkan maqasid dalam ayat ini adalah mengelak dari berlaku fitnah. Dengan maksud, dalam beberapa keadaan, tempat dan masa, (seperti di Malaysia) berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah.

[3]

Mengugurkan pemerintah dari hadis-hadis yang melarang itu bersifat wasail. Jika perang bertujuan untuk mengelak fitnah, tetapi situasi di Malaysia pula berperang itu sendiri boleh mendatangkan fitnah, maka begitujuga  hadis-hadis yang digunakan oleh pihak yang haramkan gugur pemerintah yang zalim.

Hadis-hadis itu bersifat wasail, bukan maqasid. Apabila ia bersifat wasail, bermakna ia bukan satu perkara yang haram secara mutlak, tetapi tertakluk kepada kondusif tertentu.

Dengan maksud, ia haram dalam kerangka Negara monarki, tetapi tidak haram dalam kerangka Negara demokrasi. Juga, ia haram jika mendatangkan mudharat yang lebih besar, tetapi jika mendatangkan kemaslahatan yang lebih besar, maka ia adalah satu perkara yang dibenarkan.

Wallahu Alam.




[1] Dr Yusuf al-Alim, Al-maqasid al-‘ammah li-al-syariiyyah al-islamiyyah :79.
[2] Ibid.
[3] Al-Izz bin Abd al-Salam, Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam : 1/53
[4] al-Qaradhawi, Al-Siyasah al-Syariiyyah fi Dau’ Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 123.

Selasa, 24 Januari 2012

Isnin, 23 Januari 2012

Jadual Kuliah bulan Febuari 2012 (Ustaz Wan Ji)


Jadual Kuliah bulan Febuari 2012 (Ustaz Wan Ji)

1 (rabu) ;
[fiqh taharah] al-Hikmah, Subang bestari

2 (khamis);
 [bebas] masjid al-muhtadin, damansara damai (maghrib),
[bebas] SKMM (Zohor)

3 (Jumaat);
 [tafsir surah al-Baqarah] Surau al-Siddiqin, tasik puteri

4 (sabtu);
[fiqh munakahat] Surau islah, Bandar baru Sungai Buloh

5 (ahad) –
[bebas] Ubudiyyah, Gombak

6 (Isnin) –

7 (selasa) –
[mauled Nabi] Subang perdana (maghrib),
[soal jawab fiqh] BSN (Zohor)

8 (rabu)-
[fiqh solat] masjid Saujana Utama (maghrib),
[fiqh solat]MAS (zohor)

9 (khamis) –
[ Maulid al-Nabi] meru, [hadis] Nurul Iman, Subang Suria.

10 (jumaat) –
Masjid kelana Jaya (tarkirah dan khutbah Jumaat)

11 (sabtu) –
[fiqh solat] Kota Kemuning (maghrib),
[tafsir surah al-Talaq] Masjid BBSB (subuh)

12 (ahad) –
[tafsir surah al-baqarah] Masjid al-naim, Jalan kebun

13 (isnin) –
[tafsir surah al-Fatihah] Masjid Country Home.

14 (selasa) –
[ Maulid Nabi] taman Kuantan klang.

15 (rabu)-
[tafsir surah al-Taghabun] masjid al-Hidayah, kelana Jaya

16 (khamis) –
[bebas] Nurul Muttaqin, Setapak

17 (Jumaat) –
[bebas] Pusat Tarbiah, Jalan kebun (lepas Isyak),
Masjid BBSB (tazkirah dan Khutbah jumaat)

18 (sabtu) –
[fiqh munakahat] Surah Islah, Bandar baru Sungai Buloh(maghrib),
[fiqh siyasah] Masjid meru (Subuh)

19 (ahad) –
[fiqh solat] Masjid Sri damansara

20 (isnin) –
[bebas] Seksyen 17, shah Alam/Surau al-Kausar, Klang

21 (selasa) –
[bebas] Taska salsabila, kelana Jaya.

22 (rabu) –
[tafsir surah al-talaq] masjid BBSB (maghrib),
[fiqh solat] MAS (zohor)

23 (khamis) –
[fiqh solat] Surau al-hikmah, Subang bestari

24 (Jumaat) –
[fiqh solat] masjid saujata Utama (maghrib),
Surah Zahidiyyah (tazkirah dan khutbah Jumaat)

25 (sabtu)

26 (ahad) –

27 (isnin) –
[bebas] Surau Munawwarah, shah alam.

28 (ahad)

29 (isnin)

                        

UMAR YANG TEGAS DALAM URUSAN HARTA RAKYAT

Zaman Umar jadi Khalifah, Beliau pernah melantik Abu Hurairah sebagai gabenor Islam di Bahrain. Abu Hurairah adalah sahabat Nabi yang banyak meriwayatkan hadis. Nama betulnya Abd al-rahman bin Sakhar. Sebelum masuk islam, namanya Abd al-Syams (hamba matahari), kemudian ditukar kepada Abd al-rahman.

Seperti yang diketahui umum, gaya pemerintahan Umar terlalu teliti dalam pemerintahan. Sehinggakan dia meletakkan syarat, sesiapa sahaja yang dilantik menjadi gabenor dalam keadaan mempunyai dua pakaian sahaja, maka dia hendaklah tinggal dua pakaian juga apabila meninggalkan jawatannya. Malahan, Umar bin al-Khattab akan mengambil tindakan siasatan terhadap pemimpin lantikan beliau yang asalnya mempunyai satu pakaian, tiba-tiba didapati mencapai kekayaan, walaupun kekayaan itu terhasil dari cara yang halal.

Semasa Abu Hurairah menjadi gabenor di Bahrain, Umar dapati bahawa Abu Hurairah semakin kaya, menyebabkan Umar telah memanggil Abu Hurairah ke Madinah untuk mengadap. 

 “Wahai Musuh Allah, dan musuh Kitab Allah! Apakah kamu sedang mencuri harta Allah?” Sergah Umar.

Dengan nada perlahan, Abu Hurairah berkata, “Aku bukan musuh Allah, juga bukan musuh kitab Allah. Sebaliknya aku adalah musuh kepada mereka yang memusuhi Allah dan Kitab-Nya. Sebenarnya,aku tidak mencuri harta Allah”. 

 “dari pada mana kamu dapat kekayaan sebegitu hebat?” soal Umar. 

“Aku mempunyai kuda yang beranak-pinak selepas aku menjadi gabenor”. Jawab Abu Hurairah.

 “serahkan kesemua harta kamu itu ke Bait al-Mal”, arah Umar bin al-Khattab tegas. 

Lalu Abu Hurairah menyerahkan kesemua harta-hartanya yang ada kepada bail al-Mal. Kemudiannya, beliau menadah tangannya ke langit sambil berdoa, “Ya Allah, ampunilah Amir al-Mukminin”. 

 Selang beberapa ketika, Abu Hurairah dipanggil pula oleh Umar dan untuk melantik beliau menjadi gabenor Islam di tempat yang lain pula. Tetapi, tawaran Umar itu ditolak oleh Abu Hurairah sambil berkata, “agar kehormatanku tidak tercela, hartaku tidak dirampas, punggungku tidak dipukul…” 

Wallahu ‘alam

Ahad, 22 Januari 2012

ISLAM DAN KEBEBASAN

[1]


Hak kebebasan merupakan fitrah insani. Ekoran itu, hak kebebasan ini diberikan oleh Islam. Dalam kitab maqasid as-syariah al-islamiyyah karangan Ibnu Asyur, dinyatakan bahawa, kebebasan [al-hurriyyah] mempunyai dua maksud, iaitu; Pertama, tunduk kepada makhluk. dan kedua, manusia itu boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu.

Menurut Ibnu Asyur, kedua-dua maksud ini merupakan kandungan syariah itu sendiri, kerana kedua-duanya terbit dari kehendak fitrah. bagi mengukuhkan pendapat ini, Ibnu asyur mengungkap perkataan Umar bin Al-Khattab yang pernah berkata, "kenapa kamu mengabdikan diri kepada manusia, walhal ibu kamu melahirkan kamu dalam keadaan merdeka [bebas]" [Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : 390 - 391].

Lebih menarik, apabila Ibnu Asyur menyatakan bahawa kandungan syarak itu sendiri membatalkan pengabdian [sesama makhluk] kepada menyebarkan kebebasan. Pun begitu, kebebasan yang ditawarkan oleh Islam itu tertakluk kepada penyusunan sistem. [Maqasid As-Syariah Al-Islamiyyah : 392]

Perkataan Ibnu asyur ini, selari dengan perkataan Friedrich August Von Hayek yang menyatakan kebebasan itu perlu diikat dengan tanggungjawab [liberalisme : esei-esei terpilih F.A Hayek : 69 - 90]

[2]

Kita mengetahui bahawa Nabi Musa dibesarkan dalam rumah Firaun. Juga diketahui bahawa ketika itu Firaun sudah kufur. Namun, ketika itu tidak kita ketahui bahawa ada usaha melawan firaun yang dilancarkan oleh Musa, sebaliknya ia dilakukan setelah Nabi Musa berada bersama-sama dengan bapa mertuanya, Nabi Syuib.

Dalam mengulas perkara ini, Ibnu Asyur ada menyatakan, "sesungguhnya perlantikan Musa adalah untuk menyelamatkan Bani Israel dari kefasadan yang dilakukan oleh Firaun. difahami disini bahawa maksud kefasadan itu, bukan kekufuran, tetapi kefasadan berbentuk perbuatan yang dilakukan dibumi, kerana Bani Israel tidak mengikut firaun dari sudut kekufurannya" [Maqasid As-Syariah Al-islamiyyah : 273].

Jelas, bahawa kebebasan dalam Islam bukan bermakna kebebasan itu dengan maksud boleh melakukan pengkhianatan kepada manusia lain, tetapi kebebasan dalam Islam adalah memberikan hak kebebasan disamping menyediakan sistem hidup yang mampu mengawal manusia dari terjebak kepada kezaliman dan kerosakan pada diri sendiri dan pada orang lain.

[3]

Dalam kebebasan itu, ada juga pengawalan. Pengawalan itu berdasarkan kepada tanggungjawab pada setiap manusia, khususnya mukmin. Pengawalan itu bukan bermakna menutup atau menafikan hak, tetapi mengawal yang dimaksudkan adalah untuk tidak melakukan penindasan, juga menafikan hak manusia lain.   


Sekian.

Wallahu 'alam