[1]
Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Teori demokrasi, semua perkara tidak dapat dilaksanakan melainkan mendapat suara majority. Tanpanya, sebarang perlaksanaan tidak dapat dilaksanakan, termasuk hukum Allah SWT.
Inilah dilemma yang sedang menimpa bagi sebarang gerakan Islam yang sedang berusaha ke arah perlaksanaan hukum Allah SWT dalam negara demokrasi. Namun begitu, meninggalkan terus demokrasi, atau tidak berusaha ke arah perlaksanaan islam dengan alasan demokrasi juga adalah satu perkara yang salah juga.
Kaedah fiqh ada menyebut;
ما لا يدرك كله لا يترك جله
Maksudnya;
"Perkara yang tidak dapat melakukan semua, maka jangan tinggalkan semuanya"
Ini merupakan kaedah yang diiktiraf dalam syarak. Ia bermaksud, jika seseorang itu tidak mampu melaksanakan sesuatu hukum, atau sesuatu suruhan secara seluruhnya, maka hendaklah dilakukan sekadar yang mampu.
Ia berasaskan kepada satu hadis, bahawa nabi SAW ada bersabda;
وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya;
"Apabila Aku menyuruh kamu sesuatu urusan, maka lakukannya sekadar kemampuan kamu" [Al-Bukhari : 6744]
Justeru, keterlibatan dalam system demokrasi adalah perlu. perlunya itu, dalam kaedah usul fiqh disebut sebagai bersifat Muaqqat [sementara], bukan bersifat muabbad [selama-lamanya]. [baca ulasan panjang tentang demokrasi di
sini]
[2]
Sejak merdeka lagi, kerajaan persekutuan Malaysia di pegang oleh UMNO/BN. Segala keputusan di Malaysia, tertakluk keputusan majority dalam parlimen yang MP-MPnya, secara majority dimonopoli oleh UMNO/BN.
Namun, tidak pernah ada daya usaha oleh UMNO/BN untuk melaksanakan hukum-hukum islam, terutama hukum hudud. Yang wujudnya, usaha ke arah mengelirukan kepada rakyat Malaysia [khususnya terhadap non Muslim] tentang hukum Hudud.
Justeru, sudah diyakini bahawa UMNO/BN tidak akan melaksanakan hukum Islam itu, waima ia adalah wajib secara qatie.
Namun, parti yang sering kedengaran melaungkan perlaksanaan hudud ini adalah PAS. Namun, PAS tidak akan berjaya melaksanakannya juga, sekiranya PAS tidak majority dalam parlimen.
Walau tidak berjaya melaksanakannya, sekadar usaha PAS yang ada, sedikit sebanyak rakyat Malaysia sudah mula kenal dengan hukum islam itu, waima sebelum ini sering dimomokkan buruk oleh UMNO/BN. Seperti kedengaran suara sumbang dari pimpinan UMNO yang beragama islam, seperti kata mereka, "perlaksanaan hudud akan menyebabkan ramai yang tidak ada tangan", "kalau nak makan sup tangan, sila hadir di Kelantan" dan banyak lagi.
Kalau yang bersuara itu adalah mereka yang tidak beragama Islam, maka itu agak kurang memberi kesan kepada rakyat dalam menolak hukum islam tersebut. Tetapi, jika hukum Allah SWT itu dipersendakan oleh pemimpin-pemimpin negara yang beragama islam, sudah pasti ia melahirkan seribu satu kekeliruaan. Sama ada yang keliru itu adalah orang Muslim, malahan terlebih terkeliru itu adalah non Muslim.
[3]
PAS berjaya membina kerajaan di beberapa buah negeri, iaitu selepas berlaku sejarah 8 mac 2008 yang lalu. Pembinaan kerajaan tersebut, bukan PAS berdiri sendiri, sebaliknya bersama dengan PKR dan DAP, kecuali kelantan yang mampu berdiri sendiri sejak 20 tahun yang lalu.
Kelantan yang diperintah oleh PAS, telah berjaya mencadangkan Rang undang-undang Hudud, tetapi tidak berjaya dilaksanakan juga, kerana tidak mendapat persetujuan parlimen. Keadaan yang sama juga berlaku di Terengganu, semasa PAS memerintah di negeri itu pada tahun 1999 sehingga 2004 yang lalu.
Dari itu, nyata kepada kita bahawa perlaksanaan hukum hudud ini agak susah hendak dilaksanakan sekiranya PAS tidak dapat menguasai parlimen secara majority. Sekadar mendapat beberapa buah negeri, ia tidak memberi kemampuan PAS melaksanakan hudud, kecuali sekadar mampu mencadangkan rang undang-undang hudud yang dipersetujui dalam DUN sahaja.
[4]
Kini telah terbina satu gabungan parti politik yang membangkang BN bernama Pakatan rakyat. PAS, PKR dan DAP berada dalam satu meja dalam usaha menjatuhkan BN. Jika diharapkan kepada PAS sahaja untuk menguasai putrajaya, maka itu agak mustahil buat masa ini.
Rumitnya, apabila ketiga-tiga parti ini mempunyai idealogi yang berbeda, waima mempunyai mimpi yang sama. Mimpi setiap parti-parti ini adalah, mahukan jatuhnya regim UMNO/BN yang zalim, dengan naiknya keadilan berdasarkan idealogi parti masing-masing.
Justeru, apabila timbul isu hudud. Pertembungan antara PAS dan DAP pasti akan kelihatan. PAS mahu dengan hudud yang merupakan perintah dari Allah, dan DAP pula menolak hudud dengan cara pemikiran parti mereka.
Jika difikir secara rasional, pertembungan ini akan memberi keuntungan kepada UMNO/BN. Dengan maksud, pertembungan ini, akan menyebabkan ISA tetap akan kekal bertapak di Malaysia, system kehakiman yang cacamarba, SPR yang kekal menipu dan banyak lagi. Makanya, pertembungan ini sewajarnya dielakkan, bagi memastikan kejayaan perlaksanaan hudud yang lebih berkesan dan berhikmah berjaya dilaksanakan nanti.
[5]
Tidak dinafikan, hukum melaksanakan hudud, qisas dan Ta'zir adalah satu perkara yang wajib. Namun, perlu diingat, dalam pengajian usul fiqh ada menyatakan bahawa wajib itu terbahagi kepada dua jenis, iaitu Al-Wajib 'Ala Al-faur [wajib yang segera dilaksanakan], dan Al-Wajib 'Ala At-tarakhi [Wajib yang tidak segera dilaksanakan].
Kewajipan solat adalah 'Al-wajib 'Ala Al-faur'. Dengan maksud, apabila seseorang itu telah memeluk islam, maka menjadi kewajipan yang tidak dapat dielakkan lagi bahawa ia menunaikan solat.
Adapun kewajipan menunaikan haji, ia tidak bersifat 'ala Al-Faur', tetapi ia bersifat 'Al-Wajib 'Ala At-tarakhi' [wajib yang tidak perlu disegerakan]. Dengan maksud, selama mana seseorang itu tidak mencukupkan dirinya dengan syarat-syarat yang mewajibkannya menunaikan haji, seperti kemampuan harta, kesihatan dan sebagainya, maka kewajipan haji itu tertangguh sehingga ia berjaya menyempurnakan syaratnya itu terlebih dahulu.
Maka keadaan yang sama juga dalam perlaksanaan hudud. Iaitu, ia di bawah 'Al-Wajib 'Ala At-tarakhi'. 'Illat' bagi kewajipan ini adalah tertakluk kepada penguasaan kerajaan. Ini kerana, hudud tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa kerjasama dari pihak polis sebagai pihak pelaksana, tanpa penjara dan sebagainya. Dan semua ini, tidak akan berjaya selagi PAS tidak mendapat majority suara dalam parlimen, atau dalam bahasa kini disebut sebagai PAS menguasai putrajaya.
[6]
Dilemma kini adalah, PAS bersama dengan PKR dan DAP. Didapati, DAP tidak bersetuju dengan cadangan PAS itu. Namun, DAP bersetuju dengan PAS dalam banyak perkara, dalam usaha menjatuhkan regim UMNO/BN.
Justeru, dalam hal ini, hudud tidak relevan di'isu'kan di kala PAS belum menguasai parlimen secara majority [sebaiknya, tidak diisukan, tetapi hendaklah distrategikan secara berhikmah]. Jika di'isu'kan juga, ia sekadar memberi keuntungan UMNO/BN yang mahu mempertahankan kuasa.
Namun begitu, jika PAS berdiam diri sahaja dalam bab hudud ini juga adalah satu perkara yang salah. Makanya, adalah lebih baik jika PAS mengadakan sessi penerangan secara berhikmah kepada rakyat tentang kebaikan hudud, disamping sering mengadakan wacana ilmiyyah secara tertutup bersama pimpinan tertinggi DAP, seperti Karpal Singh, Lim Guan Eng, Lim kit Siang dan sebagainya.
Bukan sekadar itu, malahan PAS perlu mengadakan sessi dialog ilmiyyah dengan sesiapa sahaja yang dilihat menolak hukum hudud. Sessi dialog itu, hendaklah dilaksanakan dalam keadaan yang bijak sana, iaitu tidak mendatangkan mainan isu oleh pihak musuh politik [UMNO/BN].
Mungkin akan ada suara sumbang akan bercakap, PAS hanya pentingkan kerusi berbanding Islam. Ingin dinyatakan bahawa, "Kalau PAS tidak bersama Pakatan rakyat, maka UMNO/BN akan terus memerintah. Apabila UMNO/BN memerintah, maka mudharat kepada Islam lagi besar.
Ini kerana, Selagi UMNO memerintah, ISA terus terlaksana, kehakiman tetap cacamarba, SPR yang menipu dan banyak lagi akan terus berjalan dalam negara. Justeru, PAS bertindak seperti itu adalah atas dasar islam, bukan kehendak kerusi semata-mata".
Sekian
Wallahu 'Alam
Al-Bakistani
- Sri Indah [b] sg buloh
25 Ogos 2010 * 2:30 pagi