Isnin, 18 Februari 2013

WACANA POLITIK : UNDI CALON NON MUSLIM DAN MENTERI NON MUSLIM


PERTAMA : UNDI CALON NON MUSLIM

            Perkara yang paling penting diketahui, dalam kerangka pengamalan negara demokrasi di Malaysia, penentuan sesuatu dasar dan system pemerintahan tidak akan berlaku berpuncakan calon, tetapi kebersamaan antara parti-parti yang memerintah. Menang seseorang calon PR di sesuatu DUN atau Parlimen, ia tidak dapat menentukan dasar pemerintahan Negara berubah. Tetapi, perubahan pada system pemerintahan akan berlaku, apabila PR mentadbir Negara. Begitulah juga BN.
            Ekoran itu, penentuan pemilihan calon dalam Pilihanraya di Malaysia, bukanlah terletak kepada factor calon, tetapi terletak kepada factor parti mana yang mendominasi dalam pemerintahan. Dengan pendominasian itu, sesuatu system dan dasar pemerintahan boleh dirobah seperti yang dimahukan.
            Makanya, disini lahir satu perbincangan, iaitu seseorang muslim yang mengundi di sesuatu DUN atau Parlimen yang bertanding ditempat tersebut adalah orang bukan Islam. Ia menjadi satu wacana yang perlu diperbincangkan bagi memastikan kejayaan melaksanakan bentuk pemerintahan yang baik.
            Perbincangan itu adalah seperti berikut;

            Satu :
            Kemenangan Islam adalah apabila manusia masuk Islam, juga mendekatkan diri mereka dengan Islam. Perkara ini, dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bahawa apabila datang kemenangan dan pertolongan, maka didapati orang akan masuk Islam beramai-ramai. (Surah al-Nasr, ayat 1-2)

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ * وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا

            Kemenangan tidak tercapai kecuali dengan pertolongan. Ini kerana, hakikat hidayah itu adalah hasil dari pilihan Allah, bukan pilihan kita. (Surah al-Qasas, ayat 56)

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

            Pertolongan Allah SWT akan diberikan kepada mereka yang melaksanakan keadilan. Ibn Taimiah ada menyatakan, bahawa Allah SWT akan tolong Negara yang adil, waima ia kafir sekalipun. (Ibn Taimiah, Hisbah, hlmn 4)

ان الله ينصر دولة عادلة وإن كانت كافرة , ولا ينصر دولة ظالمة وإن كانت مؤمنة

            Perkataan ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran, bahawa Allah SWT tidak akan membinasakan ahli sesebuah negara secara zalim, jika rakyat dan pemerintahnya saling melakukan Islah atau pembaik pulih. (Surah Hud, ayat 117)

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ

            Al-Qaradawi menukilkan dari kupasan Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam kitab “Duar al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islami”, yang dimaksudkan secara zalim ini merujuk kepada Negara yang diperintah tidak berasaskan kepada ajaran Islam, tetapi Negara itu adil. (Fakhr al-Din al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, jld 8, hlmn 486; al-Qaradawi, Daur al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islami, hlmn 356)

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ , اي لا يهلكهم بمجرد شركهم إذا كانوا مصلحين يعامل بعضهم بعضا على الصلاح و السداد

            Dua:
            Kaedah Fiqh ada menyatakan bahawa berlaku antara dua mudharat, hendaklah dilakukan mudharat yang kecil, demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Mengundi calon non Muslim, memang merupakan satu mudharat, tetapi dengan tidak mengundi itu akan menjadikan sesuatu pemerintahan yang merosakan. Ketika itu, dibenarkan mengundi calon bukan Islam untuk menolak kemudharatan yang lebih besar, iaitu system pemerintahan yang tidak adil dan tidak baik.

KEDUA : NON MUSLIM SEBAGAI MENTERI

Apabila menang dalam PRU, yang menang itu bukan sekadar PAS dan PKR sahaja, tetapi disana ada beberapa orang yang menang dari kalangan mereka yang tidak beragama Islam, sama ada individu non Muslim dari parti DAP; dari PKR; dari PAS. Makanya, sudah pasti, mereka akan diberikan hak memegang beberapa jawatan dalam menteri.
            Orang yang tidak melarang memberikan jawatan menteri kepada non Muslim beralasan dengan firman Allah SWT yang melarang orang Islam menjadikan orang bukan Islam sebagai wali, atau penguasa. (Surah al-Imran, ayat 26)

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

            Juga ayat 118 dari surah al-Imran bahawa Allah SWT melarang mengambil orang selain Muslim sebagai Bitanah atau teman kepercayaan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ

            Penjelasan terhadap pemahaman terhadap ayat ini adalah seperti berikut;
            Satu :
            Ayat ini bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu-pintu haram. Ia sama seperti larangan Allah dari mencela sembah-sembahan selain Allah, kerana bimbang berlaku Maalat atau implikasi yang buruk, iaitu celaan non Muslim terhadap Allah tanpa ilmu dan prejudis. (Surah al-An’am, ayat 108)

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

            Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan musyrikin, waima ia boleh mencapai maslahah. Namun, sebenarnya ia boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia. (Ibni Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim : jld 3, hlmn 314)
            Menurut Ar-Raisuni pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan tercapainya mafsadah yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela sembahan selain Allah itu dilarang. (Dr Ahmad al-Raisuni, Muhadharat fi Maqasid al-Syariah : 219)
            Jadi, larangan celaan ini bersifat sad al-Zaraie. Dengan maksud, jika tidak mendatangkan implikasi yang buruk, maka ia tidak dilarang. Maka keadaan yang sama juga pada ayat larangan mengambil non Muslim sebagai pemimpin berdasarkan ayat ke 26 dan ayat 118  dari surah ali-imran.

            Dua:
            Maksud sad al-Zaraie adalah menutup pintu-pintu haram. Ia berasaskan kepada kaedah fiqh yang menyatakan, “perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga turut haram”

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

            Ia membawa maksud, sesuatu yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga turut haram. Contohnya seperti nas melarang meminum arak, maka menjual arak juga adalah haram. Juga, hukum asal menjual anggur adalah harus, tetapi menjadi haram jika dijual kepada pembuat arak.
            Juga penting diambil perhatian, menutup pintu haram itu tidak semestinya diharamkan terus, tetapi dengan meletakkan syarat-syarat yang ketat, sudah tercapai maksud Sad al-Zaraie. Ini seperti ulama-ulama Islam tidak terus mengharamkan system perbankan secara mutlak, waima asalnya bank itu terlibat dengan riba. Makanya, mereka benarkan perjalanan bank dengan diletakkan syarat bahawa tidak terlibat dengan riba, gharar dan sebagainya.
            Ia sama seperti penderiaan PAS yang mengizinkan perempuan menjadi calon dalam Pilihanraya dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, sedangkan di sana wujud hadis yang menyatakan larangan perempuan menjadi pemimpin[1]. (Haji Harun Taib, Muslimat pembangun ummah, hlmn 181)
            Makanya, dalam negara yang mengamalkan system demokrasi, kerenahnya tidak sama seperti negara yang mengamalkan system monarki. Ini kerana, dalam system monarki, pemerintah itu umpama tuan kepada rakyat, sedangkan dalam system demokrasi, pemerintah umpama pekerja bagi rakyat. Dalam erti kata yang lain, pemerintah melaksanakan kehendak rakyat, dan rakyat boleh gugurkan sesuatu pemerintah berdasarkan pemilihan rakyat yang dikenali sebagai Pilihanraya atau referendum rakyat.
            Disamping itu juga, dalam Negara demokrasi, seseorang yang memegang jawatan dalam negara tidak boleh melakukan tindakannya sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia tertakluk dengan undang-undang bertulis yang disepakati ramai. Dengan maksud, individu menteri yang melakukan tindakan menyalahi undang-undang bertulis, ia boleh dikenakan hukuman.
            Ekoran itu, dalam kerangka demokrasi, melantik menteri dari kalangan orang bukan Islam tidak menjadi masalah untuk perlantikan non Muslim sebagai menteri, selama perlantikan itu mendatangkan kebaikan yang banyak, juga tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar berbanding kebaikan.



[1] Dari teks dari buku;
“maka majlis syura Ulama PAS di dalam mesyuaratnya di Kota Bharu pada 30hb. Disember 2001 berhubung dengan muslimat menjadi calon dalam pilihanraya dan seterusnya menjadi wakil rakyat telah membuat keputusan seperti berikut:-
“bahawa mesyuarat majlis syura Ulama PAS pada 15hb. Syawal 1422/30hb. Disember 2001 telah membuat keputusan bersetuju mengekalkan amalan PAS sebelum ini iaitu mengharuskan muslimat menjadi calon dalam mana-mana pilihanraya dengan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu” (Haji Harun Taib, Muslimat pembangun ummah, hlmn 181)