”Muqabalah mula nak kena belah??”. inilah maudu’ bicara Penarik beca dari blog beliau dalam melaporkan beberapa pimpinan PAS yang terkenal jatuh di kawasan-kawasan masing-masing. Ustaz Taib Izzamuddin di PAS Kawasan Baling dan Roslan SMS di kawasan Kelana Jaya.
Setelah diputuskan kekalahan dalam jawatan YDP di PAS kawasan Kelana Jaya, dikhabarkan saudara Roslan menangis. Apakah benar berita ini atau tidak, tidak diketahui. Pun begitu, jika benar Saudara Roslan menangis. Persoalanku, Mengapa menangis???
Orang menangis ada beberapa sebab. Disebabkan gembira, juga disebabkan bersedih.
Justeru, Roslan menangis kerana gembira jatuh atau kerana sedih jatuh???
Kalau beliau menangis kerana sedih, amat malanglah beliau menjadi seorang pejuang islam. Tetapi jika beliau menangis kerana gembira, maka beliau adalah pejuang Islam yang sebenar. Aku amat respek orang sebegini. Tabek spring aku berikan.
Jika merujuk kepada Islam, tidak dilantik memegang jawatan berbentuk amanah merupakan nikmat dari Allah.
Sabda Nabi SAW:
مَنْ وَلِيَ الْقَضَاءَ فَقَدْ ذُبِحَ بِغَيْرِ سِكِّينٍ
”barangsiapa yang mengurus sesuatu urusan (selepas dilantik), dia telah disembelih tanpa pisau[1]”
Walaupun hadis ini tidak sahih, tetapi maksudnya tidak menyalahi kehendak syariah. Ini kerana, sesuatu jawatan merupakan amanah. Sesuatu amanah, hendaklah ditunaikan dengan adil. Amanah yang mahu ditunaikan secara adil, memerlukan kepada mujahadah yang terlalu kuat. Justeru, jawatan bukanlah sesuatu yang ringan, bahkan ia adalah sesuatu tanggungjawab yang amat berat untuk ditanggung.
Ekoran dari itulah, tidak hairan Nabi SAW pernah melarang meminta jawatan.
Sabda Nabi SAW;
مَنْ طَلَبَ قَضَاء الْمُسْلِمِينَ حَتَّى يَنَالهُ ثُمَّ غَلَبَ عَدْله جَوْره فَلَهُ الْجَنَّة ، وَمَنْ غَلَبَ جَوْره عَدْله فَلَهُ النَّار
Maksudnya;
”Barangsiapa yang meminta jawatan dikalangan orang islam hingga dia mendapatnya. Lalu, keadilannya mengatasi kezalimannya, maka baginya syurga. Dan jika kezalimannya mengatasi keadilannya, maka baginya neraka[2]”
Pun begitu, jika sememangnya seseorang itu layak, bahkan penerimaan jawatan yang diberi itu mempunyai maslahat yang lebih besar dalam melakukan sesuatu keadilan dan amanah, maka itu merupakan satu kelebihan di sisi Allah.
Sabda Nabi SAW;
إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
Maksudnya;
”Sesungguhnya orang yang berjaya melakukan keadilan, disisi Allah mereka berada di atas mimbar daripada cahaya daripada tangan kanan Allah. Kedua-dua tangan Allah adalah kanan, diserahkan kepada mereka yang melakukan keadilan dalam hukum mereka dan ahlinya dan terhadap apa yang mereka uruskan[3]”
Oleh yang demikian, difahami dari ini, kebahagian atau tidak, bukan terletak kepada pegang jawatan, tetapi terletak ke atas kemampuan kita dalam melaksanakan amanah dikala memegang jawatan.
Persoalannya, apakah kita mampu melaksanakan amanah????
Justeru itulah, diucapkan tahniah kepada mereka yang kalah, dan takziah kepada mereka yang menang dalam percalonan jawatan parti.
Sekian
p/s : padaku : ”Idea gabung dengan UMNO adalah idea yang menjumudkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Idea PAS meneruskan berpakat bersama Pakatan Rakyat, adalah idea yang berjaya memperlihatkan islam agama yang universal”
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
12 april 2009 * 11:06 pagi
[1] Sunan Abi Daud : 3100
[2] Sunan Abi Daud : 3104.
[3] Sahih Muslim : 3406.