Sabtu, 28 November 2009

APAKAH INI KEHIDUPAN? (5)

APAKAH INI KEHIDUPAN?

“kita naik kereta sapa?” Tanya abang Ali.

”terpulang la.. kereta ana pun tak pe juga” jawabku sambil memakai selipar ketika keluar dari rumah Haji Rahman.

Aku berjalanan menuju ke arah keretaku. Didapati, keretaku telah dikepung beberapa buah kereta yang lain. keretaku tidak boleh keluar.

”macam mana nak keluar ni?” hatiku berkata-kata.

Aku menunggu kehadiran Abang Ali.

”kereta ustaz kena kepung dah ni.. kita naik kereta ana je la ustaz” Abang Ali bersuara.

”ok gak... lagi pun, kita agak lewat dah ni” aku menjawab sambil menekan butang alarm keretaku.

Aku ambil sebuah buku dalam keretaku, dan kemudian tutup pintu dan terus menekan alarm, untuk mengunci kereta.

TAMAN CHERAS

Kami terus naik kereta abang ali. Dan meluncur terus ke Taman Cheras. Di bangunan yang kami menyangka Aini sedang berada di situ.

Dalam perjalanan, hp ku berbunyi. Aku lihat screen Hp ku, tercatit nama Ika.

”Assalamualaikum... kenapa ka?” aku mulakan bicara

”waalaikumsalam.. Aini dah sampai kat tempat tu.. dia cakap tadi, semua budak-budak lelaki tu dah keluar pergi kerja.. tetapi, dalam pukul 12 nanti, ada budak lelaki yang lain balik kat tempat itu” Ika bercerita panjang lebar.

”ok... tak per... kalau ada apa-apa maklumat lagi, Ika bagitau kat ana tau...” kataku.

”baik ustaz... Assalamualaikum”

”waalaikumsalam” sambil aku menekan butang merah, memutuskan hubungan telefon.

Aku terus telefon Aini.

”Aini dah ada kat tempat tu ker?” tanyaku..

”Ye ustaz... Aini takut la ustaz..” Aini bersuara dalam nada yang tidak menyenangkan hatiku, ”Dorang dah pergi kerja.. tapi, dalam pukul 12 nanti, ada yang lain balik.. Aini takut la” sambung Aini lagi.

Suara ketakutan Aini itu, menyebabkan aku agak kecemasan.

”tak per Aini.. Aini kena tenang... kami dalam perjalanan. Dekat dah ni” jawabku, ”Aini standby, apabila ustaz Telefon nanti, Aini terus lari keluar dari pintu.. kami tunggu. Kami naik kereta estima warna kuning” aku memberi panduan.

”ok ustaz...” Aini menyambut dengan suara yang agak mencemaskan juga.

SALAH TEMPAT

Apabila sampai di bangunan yang dijangka itu, aku terus menelefon Aini. Aku minta, agar Aini bersiap di tepi pintu.

Aku terus keluar dari kereta abang ali. Dan berdiri ditepi kereta abang ali.

”Aini keluar lari.. kami kat depan bangunan ni ha” aku memberi panduan kat Aini.

”ok ustaz..” jawabnya

”Aini jangan letak telefon, dengar sahaja arahan ustaz” sambungku lagi.

Kedengaran bunyi pintu dibuka. Kemudian, bunyi pintu besi. Suara Aini juga kedengaran..

”tidak boleh buka la ustaz... dorang kunci kat pintu besi ni..” tiba-tiba aini bersuara

”apa?... ok... nanti ustaz telefon balik” jawabku

Aku meletakkan telefon, dan terus menuju ke arah kereta estima Abang Ali.

”pintu besi dikunci. Memang tak boleh keluar. Macam mana sekarang?” soalku.

”kita pecahkan je kunci tu” abang ali memberi cadangan.

”ok.. jom kita naik atas rumah tu” kataku.

Kami pun naik untuk pecahkan pintu tu....

Bersambung......


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
29 November 2009 * 12:43 Tengahari





Jumaat, 27 November 2009

BEREBUT NAK JAWATAN?


BEREBUT NAK JAWATAN?

Jika mahu dibandingkan dengan salaf soleh yang berjuang islam, amat jauh beda dengan orang sekarang yang berjuang islam. Abu Bakar mati-matian menolak jawatan khalifah, waima beliau layak. Omar yang tersangat layak, tidak semena-mena menyokong cadangan Abu Ubaidah untuk dilantik Abu Bakar menjadi Khalifah.

“sekiranya ada nabi selepasku, sudah pasti nabi itu adalah Omar” ucapan Nabi SAW yang kedengaran ke telinga Abu Bakar, menyebabkan Abu Bakar agak berat menerima jawatan Khalifah setelah kewafatan Nabi. Pada Abu Bakar, selepas Nabi SAW, Omar amat layak untuk jawatan tersebut. jika tidak, masakan Nabi SAW mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa.

Waima kenyataan sebegini menandakan kelayakan Omar untuk memegang jawatan Khalifah, ternyata Omar lebih mementingkan keuntungan umat Islam berbanding keseronokkan dalam memegang kuasa. Justeru, Omar menolak dari menerima jawatan tersebut, malahan memberi sokongan penuh terhadap cadangan untuk dilantik Abu Bakar sebagai Khalifah Islam pertama, selepas kewafatan Nabi SAW.

Kisah sebegini berlaku, dikala Nabi SAW sudah pun wafat. Pun begitu, ia berada dalam proses pengkebumian. Memandangkan urusan pentadbiran politik merupakan sesuatu yang penting, menyebabkan perbincangan tentang pengganti Nabi SAW semakin rumit yang melahirkan kelewatan dalam mengkebumikan jenazah nabi SAW.

JAWATAN MB KELANTAN

Cerita sebegini mustahil berlaku di kalangan manusia yang sedang berebut jawatan MB di Kelantan? Waima Tuan Guru masih sihat, sudah kedengaran suara-suara ‘bangsat’ kearah itu.

Apa yang dapat dilihat, di saat ini, rakyat kelantan sedang berhadapan dengan satu isu yang amat besar, iaitu mereka ‘dirogol hak’ dalam isu minyak, tiba-tiba seorang pimpinan PAS berjawatan exco, malahan bertitle ulama boleh mengeluarkan kenyataan yang berbau “tamak jawatan” untuk jawatan MB kelantan.

Bukankah, orang yang berbicara tersebut seorang exco? Justeru, kenapa tidak digunakan ruang dalaman kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan yang mahu dibangkitkan? Ini kerana, sebarang kenyataan yang dilontarkan oleh seseorang exco kerajaan menerusi media, sudah pasti ia akan melahirkan polimik. Jika mahu dilontarkan juga ke alam media, dicadangkan letak sahaja jawatan exco, kemudian buatlah sebanyak mungkin kenyataan media di luar kawalan kerajaan.

Ini kerana, kenyataan media seperti ini, akan melahirkan polimik kerajaan sepertimana keadaan yang agak sama berlaku dalam isu yang melibatkan Hasan Ali yang tergila-gila mahu jadi MB yang bersuara dalam isu selcat pada satu hari raya Aidil fitri baru-baru ini.

Apa sudah jadi dengan sebilangan besar ulama-ulama dalam PAS? kelihatan ”hub ar-riasah” sudah menjalar masuk dalam jiwa mereka. Mereka sudah tidak lagi tidak dilihat sebagai pejuang hak rakyat, tetapi dilihat sebagai manusia yang tidak sabar hendak memegang sesuatu jawatan penting. Contohnya seperti Isu minyak. Dilihat, ia tidak disuarakan dengan serius oleh ulama-ulama ini, tetapi disuarakan oleh golongan bukan ulama.

Jika keadaan ini berlaku, tunggulah kejatuhan kepimpinan ulama di masa akan datang...

Sekian

p/s : Mungkin ulama-ulama terbabit tidak pernah terbaca hadis Nabi SAW berikut;

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا

Maksudnya;
”Wahai Abdur Rahman bin Samurah, jangan kamu meminta jawatan. Ini kerana, jika kamu diberinya dalam sesuatu masalah, akan diwakilkan kepada diri kamu (tanpa dapat pertolongan dari Allah)” (Al-Bukhari : 6132)

Juga satu pesanan penting dari Nabi SAW;

مَنْ طَلَبَ قَضَاء الْمُسْلِمِينَ حَتَّى يَنَالهُ ثُمَّ غَلَبَ عَدْله جَوْره فَلَهُ الْجَنَّة ، وَمَنْ غَلَبَ جَوْره عَدْله فَلَهُ النَّار

Maksudnya;
”Barangsiapa meminta sesuatu urusan orang islam, sehingga dia mendapatnya. Kamudian keadilannya melebihi kezalimannya, maka baginya syurga. Sebaliknya, jika kezalimannya melebihi keadilannya, maka baginya neraka” (Abu Daud : 3104)

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
28 November 2009 * 1;12 petang








Rabu, 25 November 2009

APAKAH INI KEHIDUPAN? (4)


APAKAH INI KEHIDUPAN? (4)

Perjalanan dari Sungai Buloh ke Bandar Husin Onn, mengambil masa hampir sejam. Itupun jika tidak jem. Kalau jem biasa, mungkin sejam lebih. Jika jem teruk, 2 hingga 3 jam merupakan perkara biasa.

Jadual kuliah dhuha di Surau Al-Amin pada pukul 9:30 pagi. Pukul 9 baru aku selesai berbincang dengan kawanku. Aku terpaksa berkejar ke sana dengan kadar segera.

Bimbang sampai lewat. mungkin akan ada yang menunggu. Aku menghantar sms kepada abang ali, bahawa aku sampai agak lewat sikit. Abang Ali membalas, “ok” sahaja.

Ternyata agak lewat sampai. Dalam pukul 9:45 pagi, baru aku berjaya menjejakkan kakiku ke Surah Al-Amin.

Kuliahku pada pagi itu, berkisar tentang taharah. Kitab Fiqh Manhaji terjemahan melayu menjadi asas rujukan kuliah. Majoriti hadirin mempunyai kitab, waima ada juga yang menjadi pendengar yang baik.

Kebiasaan kuliah fiqh, setelah selesai, aku akan membuka soalan. Banyak soalan-soalan yang terlontar, dan aku berusaha jawab sekadar kemampuan dan sekadar pembacaan dan kefamanku. Lebih menarik, apabila Haji Ghaus, seorang veteran yang aku hormati turut melontarkan pandangan tentang satu perkara yang aku ulas dalam kuliahku itu.

Setelah kuliah, seperti yang telah dinyatakan oleh Abang Ali, bahawa Haji Abdur Rahman mengadakan majlis ’belah mulut’ cucunya yang baru. Aku terus ke rumah Haji Abdur Rahman bersama jemaah yang lain. Aku sendiri melakukan ’belah mulut’ itu, atau dalam bahasa arab disebut tahnik, yang merupakan satu sunnah nabi SAW secara perbuatan.

Selesai bertahnik, Abang Ali yang duduk bersebelahanku bertanya tentang Aini. Aku menjawab sekadar yang aku tahu.

Sedang kami berbual-bual, dan menunggu makanan sedang dihidangkan, aku melihat ada misscall pada hp. Aku melihat, ada dua misscall; dari Zul dan Ika.

Aku terus telefon Zul.

”assalamualaikum... hang kat mana?” Zul memulakan bicara.

“waalaikum salam. Awatnya syaikh?” soalku

”Aini sekarang ni akan bertolak balik dari Batu Caves ke Taman Cheras. Baik kita pi sekarang” Zul bersuara dalam telefon dengan loghat utara, kerana beliau orang Pulau Pinang.

”aku dok kat Taman Cheras dah ni. Aku baru habis kuliah Dhuha ni ha. Kalau aku pi terus. Hang nampak macam mana?” tanyaku.

”boleh gak.. tapi hang kena bersiap la” Kata Zul.

“ok... aku ngan abang Ali ni.. aku ngan abang ali akan bertindak. Assalamualaikum..” jawabku sambil melihat ke arah abang ali.

”ok.. Walaikumsalam” balas Zul, dan terus aku menekan punat merah, memutuskan talian telefon.

”apa cerita ustaz?” Abang Ali bertanya.

“budak tu dalam perjalanan balik ke Taman Cheras. Kita kena pegi tunggu kat tempat malam tadi. Kita pegi untuk ambil budak tu” aku memberi respon dari apa yang Zul sebutkan tadi kepada Abang Ali.

“kalau boleh, ustaz bagitau kat budak pompuan tu. Biar lewat sikit sampai. Cakap la, nak buang air, nak makan ke, nak apa ke.. Kita kena raikan juga Haji Rahman ni.. makanan dah terhidang ni ha.. takkan nak tinggalkan macam tu jer...” kata Abang Ali..

Aku mengangguk diam... cumanya, aku sedang berfikir, apakah tindakan yang perlu aku lakukan untuk maklumkan kepada Aini seperti yang dicadangkan oleh Abang Ali itu..

Aku mengambil mee yang sedang dihidangkan. Makan, tapi tidak terfokus. Kepala ku sedang terfikir tentang Aini yang dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari batu Caves.

”ana cadangkan, biar kita main game sikit” tiba-tiba abang ali bersuara saat sedang menyantap hidangan. ”kita cakap kat budak-budak lelaki tu, yang kita nak jumpa dia” sambung Abang Ali.

”emm... macam mana tu abang?” soalku sambil menyuapkan mee ke mulut.

”ana minta anak perempuan ana bercakap dengan budak tu. Cakap kawan dia, Nak jumpa dengan dia” Abang Ali memberi cadangan agak bernas. “budak-budak lelaki tu, bila dengan kata budak perempuan tu ada kawan perempuan. Mesti dorang suka punya. Masa tu, kita cekup dorang” sambung Abang Ali lagi.

“ok.. tapi, apa-apa hal kita kena bagitau kat budak pompuan tu sama bang.. kalau dia tak faham, lain pula jadinya nanti” aku meluahkan kebimbangan.

Aku mengambil hpku. Aku mencari nama aini.

”Abang ambil nombor ni, kemudian abang call budak tu.. nama dia Aini” Aku memberi cadangan.

Abang Ali terus ambil nombor telefon tersebut, dan terus call.

”hello !!! ini Aini ke?” suara abang ali seperti seorang bapa sedang bercakap dengan anak perempuannya.

Aku tidak tahu apa yang Aini bercakap.. aku hanya mendengar apa yang diucapkan oleh Abang Ali sahaja.

Yang aku dengar, Abang Ali menyebut segala perancangan yang dicadangkan tadi, tetapi dilihat agak berlainan keadaan yang hendak berlaku, disebabkan Aini agak tidak bersedia untuk berlakon seperti yang dirancang.

Tiba-tiba, Hpku berbunyi lagi. Nama Zul terpahat dalam Hp. Aku terus angkat.

”awatnya Zul? Ada cerita lagi ka?” soalku

“Aini dah dekat sangat dah. Baik hang pi sekarang” ungkap zul menyebabkan aku semakin tak senang duduk.

”Ok zul.. aku pi sekarang” jawabku sambil mematikan talian telefon.

”jom bang, kita pegi sekarang” aku memaklumkan kepada abang ali, sambil berdiri..

”baik ustaz... jap, ana nak maklumkan kat orang rumah ana jap... dorang ada sini juga.. ” jawab abang ali....

Bersambung....

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
26 November 2009 * 3:20 pagi








Selasa, 24 November 2009

APAKAH INI KEHIDUPAN? (3)

APAKAH INI KEHIDUPAN? (3)

Memandangkan kami tidak mengetahui, di manakah pangsapuri yang dimaksud oleh Aini, menyebabkan kami terpaksa menunggu di Taman Cheras. Tunggu dengan hati yang tidak tenang. Pemikiran kami sering tertanya-tanya tentang nasib Aini pada malam itu.

Kami menghubungi abang ali yang tinggal berhampiran dengan kawasan itu. beliau datang bersama 6 orang kawan yang lain. Ada dari kalangan mereka, yang tidak sempat pulang ke rumah lagi, iaitu setelah pulang dari tempat kerja.

Apabila sampai sahaja abang ali ke tempat tersebut, aku menceritakan keadaan yang terjadi. Pada tanggapan kami semua, Aini bukan budak yang baik. Masakan tidak, tentu dia tidak semudah itu dirogol. Pun begitu, mengenangkan tanggungjawab kemanusian, kami tetap bersedia membantu, terutama apabila dia meminta bantuan dari kami, sambil menangis-nangis menyebut nasibnya menerusi telefon.

Kami menunggu di rumah kedai yang didakwa tempat tinggal mereka yang merogol aini. Aku bersama zul, tidak berganjak dari kawasan itu. kami tunggu sehingga waktu mencecah pukul 3 pagi.

Apabila jarum jam janganku menjejakkan kepada angka 3, aku memaklumkan kepada zul yang sedang berdengkur di sebelahku; dalam kereta.

”pukul berapa dorang balik pun tak tahu ni?”

Mata yang sedang kemerah-merahan, Zul bertanya, ”pukul berapa dah?”

”pukul 3 la”

Tidak lama kemudian, Abang Ali pun datang dengan sebuah kereta, bersama seorang kawannya. Abang ali terus masuk ke dalam keretaku. Berbual-bual tentang Aini, juga termasuk beberapa isu politik negara, termasuk isu kelantan.

”kalau setengah jam lagi, depa tak balik, kita balik je la” tiba-tiba Zul mencelah.

Aku tidak menjawab. Sekadar menganggukkan kepala sahaja.

”Cuba Ustaz Telefon dia”, Abang Ali bersuara.

Aku terus mengambil hpku dari poket seluarku. Aku terus menaip nama Aini.

Terdengar suara perempuan menyebut, ”Nombor yang anda dail...” aku terus mematikan hpku.

”Hp dia tutup” kataku.

BEREDAR

Jam ditangan menjengah pukul 3:30 pagi.

”kita tunggu respon dia esok la” aku bercakap kepada Abang Ali dan Zul. Hatiku, sedikit sebanyak sudah ada putus asa.

”baiklah” kata abang ali, ”tapi ustaz, jangan lupa, esok dalam pukul 9:30 pagi, kuliah dhuha kat al-amin” sambung abang ali lagi.

”Ok, Insya Allah” jawabku ringkas.

Kami pun beredar dari Taman Cheras. Abang Ali menuju ke rumah, dan aku memandu keretaku ke arah legend Hotel, tempat Zul bermalam. Setelah menghantar zul, aku terus meluncurkan keretaku ke arah Sungai Buloh, rumahku.

Dalam perjalanan, pemikiranku tidak lekang dari memikirkan tentang nasib Aini.

“apa dah jadi ngan Aini malam ni?” hatiku berkata-kata.

Aku sampai di rumah dalam pukul 4:50 pagi. Sudah hampir dengan subuh. Di rumah, aku tidak terus tidur. Bimbang, terlanggar solat subuh.

Aku mengambil buku “bertuhan tanpa agama” karangan Bertrand russel. Aku membaca, tetapi tidak terfokus. Sedang memikirkan tentang Aini; tentang nasibnya malam itu.

SOLAT SUBUH

Dalam lamunan itu, kedengaran azan subuh. Aku menggerakkan isteriku yang sedang tidur. Aku terus mengambil tuala. Mandi dan berwudu. Kemudian menunggu isteriku bersiap-siap menunaikan solat subuh bersama.

Setelah selesai solat, aku berdoa dalam hatiku, agar Aini terselamat sebelum aku berputus asa untuk menyelamatkannya.

Selepas solat, aku terus tidur. Kepenatan teramat sangat. Aku menguncikan jam, untuk bangun pukul 7 pagi, kerana ada kawan mahu berjumpa pada pukul 7:30 pagi.

Aku tidur begitu nyenyak. Tidak terganggu langsung, melainkan mendengar jam hpku berbunyi, menunjukkan pukul 7 pagi sudah menjengah.

Aku bangun, waima tidur tak mencukupi. Terus masuk bilik air, qada’ hajat dan mandi. Setelah memakai pakaian, terus aku mengambil kitab ’Fiqh Manhaji’. Terus menuju ke Bandar Baru Sungai Buloh.

Di restoran Rasamas, aku bersembang dengan kawanku agak panjang. Lebih berkisar tentang buku, dan politik semasa, terutama isu kelantan.

Jam menunjukan angka pukul 9 pagi.

”ana ada kuliah dhuha di cheras pukul 9:30 pagi” aku meminta permisi, “bimbang terkejar-kejar pula nanti” sambungku ringkas.

”ok.. nanti kita sembang semula” jawabnya.

Aku terus meluncurkan keretaku ke arah Cheras. Aku menjangka, mustahil dalam jangka setengah jam, aku boleh sampai di tempat yang untuk aku sampaikan kuliah Dhuha itu.

”ana sampai lambat sikit” kandungan sms yang aku sendkan kepada Abang Ali.

Bersambung.....

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 November 2009 * 11:43 malam


Isnin, 23 November 2009

APAKAH INI KEHIDUPAN? (2)

APAKAH INI KEHIDUPAN? (2)

Aku terus menelefon Haji Sobri, yang tinggal di kawasan Gombak. Apakah beliau tahu tentang pangsapuri yang berada di kawasan itu. Haji sobri memaklumkan, di situ pangsapuri terlalu banyak. Susah hendak mengetahui, yang mana satu.

Kami kebingungan. Kepanikan. Tidak tahu cara yang paling baik untuk bertindak lagi.

”apa nasib Aini malam ni” hatiku berkata-kata.

Kami cuba menelefon. Suara aini seperti hampir menangis, aini berkata, ”kawasan ni ramai india. Dorang mabuk. Dorang minum arak”

”Cuba Aini bagi gambaran tempat tu. Ada nampak perhentian bas ke, nampak lebuh raya ke. Atau apa-apa pun” tanyaku dalam telefon.

“aini tak nampak apa-apa la…” suara mula menangis.

“aduh….. janganlah nangis” hatiku mengeluh..

”ok.. tak pe.. aini perhati dahulu. Kemudian nanti, saya telefon balik” balasku.

Terus aku matikan telefon.

Aku melihat wajah zul. Dia selambur. Terlakar wajah seorang yang tenang waima dalam kekalutan dan kegusaran. Bukan senang berjumpa orang sebegitu.

”Bateri hp aku nak mati. Tinggal satu bar jer” tiba-tiba Zul bersuara.

Aku melihat kekanan dan kekiri. Melihat deretan kedai.

”jom kita pegi minum. Dalam kedai tu, boleh cas bateri hp kau tu” jawabku memberi cadangan.

”semua kedai cina ni. Macam mana?” tanya zul lagi.

Aku senyum mendengar soalan zul itu.

”ala syaikh... kita masuk kedai cina, kita minum air buah ke, air tin ke apa-apa la.. jangan minum yang depa masak, sudah la” aku memberi jawapan.

”ok jom” zul membalas jawapanku dengan wajah selamburnya.

Apabila masuk ke kedai itu. aku tengok dari jauh sebuah peti ais. Di dalam peti air itu ada beberapa biji kelapa.

”kasi saya air kelapa itu” kataku, sambil mengisyaratkan dengan telunjuku ke arah peti ais itu.

”bagi saya air fresh Oren” Zul meminta.

“makan tuan?” soal pekerja kedai yang berbangsa Bangladesh.

“tak pe.. kami nak minum jer” jawabku ringkas.

Selesai minum, Zul terus menelefon aini, untuk memastikan tempat yang dia sedang berada sekarang.

Tetapi Kali ini, talian terputus terus. Dalam pemikiranku, apakah hp aini kehabisan bateri, ataupun sudah dirampas oleh lelaki-lelaki durjana yang tidak kenal erti dosa dan pahala.

”aku yakin, depa akan balik malam ni juga” tiba-tiba zul memecah kekusutan hatiku.

”di sini tempat tinggal mereka. Mesti burung akan balik ke sangkarnya” zul mencelah lagi.

Aku hanya mengangguk. Tidak berkata. Hatiku berperang. Tidak tenang. ”apa yang sedang terjadi ni” hati kecilku berkata-kata.

Bersambung......

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- sri indah (B), sg Buloh
24 November 2009 * 12:54 Tengahari

APAKAH INI KEHIDUPAN? (1)

APAKAH INI KEHIDUPAN?

“Ustaz, Ika (bukan nama sebenar) dan yani (bukan nama sebenar) ada kawan dengan seorang perempuan. Perempuan itu kena rogol” Ismail (bukan nama sebenar) memaklumkan kepadaku menerusi telefon, ketika itu, aku berada dalam perjalanan pulang dari menunaikan solat jumaat.

Berita itu, amat mengejutkan. Aku ‘blur’, tidak ada jawapan yang mampu diberi.

“emm… anta bagi ana masa, ana nak bincang dengan beberapa orang kawan. Apa-apa hal, ana hubungi antum balik” jawabku ringkas.

“ok ustaz”… jawab ismail.

Aku menekan butang merah hpku, kemudian mencari nama kawanku yang merupakan seorang wartawan, untuk bertanya pendapatnya.

“Assalamualaikum” aku memulakan bicara

“waalaikumsalam” jawabnya.

“syaikh, ada budak kena rogol. Dia kena kurung. Macam mana nak buat?. Anta tolong bagi pandangan sikit”

“ apa? Emmm.... kita kena ambil budak perempuan tu. Anta datang sekarang kat tempat ana” jawabnya ringkas.

”ok” jawabku. Kemudian menekan butang merah, untuk memutuskan hubungan telefon.

Aku terus pulang kerumah, waima asalnya hendak ke kedai celcom untuk membayar bil telefon. Setelah menukar pakaian, aku terus menuju ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Zul (bukan nama sebenar).

KUALA LUMPUR

Dalam perjalanan dari Sungai Buloh ke Kuala Lumpur, aku menelefon Ika, untuk bertanya tentang cerita sebenar. Ika memaklumkan, perempuan itu beliau kenal, semasa dalam satu perjalanan pulang ika bersama kawan-kawan dari salah satu program di ibu kota.

Mereka kenal sejak hari ahad lepas, kemudian berhubung semula selepas itu, tetapi mendapat berita yang mengejutkan, bahawa perempuan itu dirogol.

aku meminta, agar diberikan kepadaku nombor telefon perempuan yang dimaksudkan itu.

sesampai sahaja aku di Kuala Lumpur, aku berbincang dengan zul. Kami menunaikan solat asar terlebih dahulu, kemudian berbincang. Keputusannya, kami perlu mendapat maklumat yang agar mendalam sikit, untuk melakukan tidnakan selanjutnya

Aku menelefon ika, dan meminta agar memberikan maklumat yang agak terperinci, agar mudah kami bertindak untuk mengambil perempuan itu.

Setelah kami diberikan alamat. Kami berdua, terus menuju ke arah alamat yang diberikan.

Kami mencari-cari tempat yang dimaksudkan, tetapi agak susah hendak ketemui. Ditelefon beberapa orang kawan yang berada di Cheras, bertanya kepada mereka tentang alamat yang diberikan.

Dalam perjalanan mencari alamat yang dimaksudkan, kami menelefon perempuan tersebut, dan memaklumkan bahawa kami akan membantu untuk melepaskannya.

Aini (bukan nama sebenar) memaklumkan, bahawa lelaki-lelaki yang merogolnya itu, hendak membawanya ke salah satu Pangsapuri di Batu Caves, tetapi tidak diketahui dengan tujuan apa.

Ditanya, alamat dan tempat pangsapuri tersebut. Tetapi Aini tidak dapat memaklumkan, kerana dia tidak mengenali Kuala Lumpur, kerana baru sahaja sampai di situ.

Kami kebingungan. Kami berbincang. Akhirnya, kawanku berkata, ”kita tunggu di Cheras, sebab kita tak tahu alamat tepat di Batu Caves itu. Aku yakin, mungkin malam ini, mereka akan balik. Burung akan balik ke sangkar” katanya sambil memberi analogi menarik.

TUNGGU

Rupa-rupanya kami diberikan alamat yang tidak tepat. Menyebabkan kami menunggu ditempat yang salah. Kami menghubungi beberapa rakan yang berada di sekitar cheras. Dan kami berhimpun dalam 6 orang lagi.

Kami menunggu lelaki-lelaki dan perempuan yang dirogol itu sehingga pukul 3:45 pagi. Tidak kelihatan langsung.

Sedang kami sedang memantau deretan kedai, kami menerima satu sms dari perempuan tersebut, tercatit dalam hp zul ”mereka sudah keterlaluan...”

Mendapat sms itu, Zul terus menelefonnya, dan bertanya. Dia memaklumkan, bahawa semua lelaki itu sedang mabuk. Kemudian dia menangis. Zul tidak faham apa yang disebutkan lagi.

Keadaan amat genting. Jantungku berdebar kencang. Kami kepanikan. Tidak tahu, hendak berbuat apa lagi.

Bersambung.....

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri indah (B), Sg Buloh
23 November 2009 * 4:21 petang

Ahad, 22 November 2009

SIAPA YANG SAYANG TOK GURU?

SIAPA YANG SAYANG TOK GURU?

Siapa yang tidak kenal Tuan guru nik abdul aziz. Satu tokoh yang bukan sekadar dikenali di alam malaysia, tetapi kemasyhuranya telah menjangkaui sehingga disebut rakyat barat dan timur.

Beliau dikenali, kerana politik bersih yang diamalkan. Anti kezaliman dan menuntut keadilan yang berasaskan islam menjadi pasak kukuh dalam lapangan politik yang diamalkan oleh beliau.

Lebih 19 tahun beliau memerintah kelantan sebagai menteri besar, tidak pernah sekali kedengaran sebarang penyelewengan. Masakan penyelewengan, berita separa penyelewengan pun tidak sekali bertiup. Ini menyebabkan tuan guru semakin dihormati oleh kawan, terutama digeruni oleh lawan.

Anwar Ibrahim pernah mengungkap, "Kita sukar untuk melupakan tok guru (nik Abdul aziz) dalam berpolitik di malaysia". Di dakwa, ungkapan Anwar Ibrahim ini terpancul keluar ketika beliau masih lagi memegang jawatan timbalan perdana menteri lagi.

Sedihnya, kebelakangan ini kedengaran berita tentang isu yang melibatkan menantu beliau, IR Ariffahmi setelah dilantik sebagai COO PMBI-MBI. Waima setahun jagung terlibat dengan pentadbiran kerajaan negeri kelantan, masakan berita angin, malahan tsunami besar menimpa kerajaan negeri.

Tidak diketui kisah sebenar yang menimpa kerajaan pimpinan Tuan Guru yang berumur lebih 19 tahun itu. Tetapi sejak kehadiran menantunya itu angin kencang berkencangkan, sehingga berjaya mengkencangkan keadaan kerajaan, yang sudah pasti memberi imej kurang sihat keadaan keperibadian Tuan Guru sendiri.

Jika benar arif sebagai menantu yang ingin menjaga reputasi mertuanya sebagai seorang Tuan Guru dan menteri besar, sepatutnya di kala rakyat sedang berbicara tentang penyelewengan yang kononnya melibatkan diri beliau, sudah pasti beliau akan bertindak meletakkan jawatan.

Tetapi sedihnya, tindakan sedemikian tidak dilakukan oleh si menantu, seakan-akan merelakan mertua mendapat tempelan persepsi buruk dari rakyat. Juga, sanggup membiarkan kepercayaan rakyat luntur terhadap mertua yang merupakan mentor rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam politik melaysia pada hari ini.

Yang lebih memelikkan lagi, di saat kedegilan si menantu dari menarik diri yang boleh melahirkan persepsi buruk kepada si mertua, seorang exco yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan pun dengan Tuan Guru, menarik diri dalam pentadbiran. Walhal, exco tersebut tidak pernah membuat onar dalam pertadbiran sejak sekian lama, jika dibandingkan dengan menantu yang bernama arif.

Mengapa perkara ini terjadi? Siapa sebenarnya yang sayangkan mertua arif itu?

Jika aku, bukan kerana dia mertua, aku menyayangi Tuan Guru, tetapi memandangkan beliau tokoh ketaqwaan aku menyayangi Tuan Guru.

Aku tidak mahu, ketaqwaan yang semakin hari teserlah dalam malaysia yang banyak terbukti menerusi tuan guru digadaikan begitu sahaja.

Sekian

P/S : tulisan ini, mungkin saudaraku IR arifffahmi tidak selesa, tetapi ini yang ingin aku ungkapkan. Maaf...

Wallahu 'Allah

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



-Hospital Kuala Lumpur
22 November 2009 * 4:32 petang