Khamis, 2 Februari 2012

WANG TARUHAN ADALAH DEPOSIT HANGUS?


Dalam satu majlis debat dengan Rakan-rakan dari Hizbu Tahrir Malaysia, mereka ada menyatakan;

kaedah menyebut, "matlamat tidak boleh menghalalkan cara". Pilihanraya di Malaysia, ada wang taruhan. Bukankah ia merupakan satu judi yang diharamkan oleh Allah. 

Jadi, tindakan PAS nak menangkan Islam di Malaysia dengan cara demokrasi pilihanraya adalah tindakan matlamat menghalalkan cara.

JAWAPAN

Dalam kaedah hukum dinyatakan bahawa;

الحكم على شيء فرع عن تصوره

Maksudnya;
"hukum terhadap sesuatu itu, sebahagiannya terletak pada memahami gambarannya"

Hakikat judi adalah pertaruhan. Iaitu dua pihak atau lebih yang bertembung menaruhkan wang masing-masing, kemudian pihak yang menang mendapat habuan dari taruhan wang tersebut.

Adapun dalam kes "wang taruhan" dalam pilihanraya di Malaysia, ia pada hakikatnya bukan taruhan. Ini kerana, bagi pihak yang menang, mereka tidak dapat habuan dari wang taruhan, sebaliknya mendapat wang mereka balik sahaja. Cuma, dari pihak yang kalah (mengikut kadar undi yang mereka dapat) pula, mereka tidak dapat wang itu.

Memandangkan kaedah menyebut;

الحكم يدور على المسمى لا على الإسم

Maksudnya;
"hukum berlegar pada benda yang diberi nama, bukan pada nama".

Dengan itu, kita akan dapati bahawa hakikat bayaran itu bukan wang taruhan, tetapi dikenali sebagai wang bayaran deposit hangus. 

Deposit hangus ini, dikenali dalam fiqh Islam sebagai 'Urboun. ‘Urboun adalah sebahagian harga yang diberikan oleh pelanggan selepas kontrak dimeterai. Ia juga adalah sebahagian daripada harga keseluruhan barang yang ingin dibeli. Cuma sekiranya pelanggan membatalkan hasrat untuk membeli dan sekaligus membatalkan kontrak. 

Para ulama menyebut bahawa SEMUA jumlah deposit yang dibayar AKAN HANGUS. Sama ada ia dari kerugian sebenar penjual atau tidak. Namun adalah digalakkan jika penjual mampu memulangkan sebahagian wang tersebut atas ihsannya.  

Dari sudut dalil, hanya terdapat dua dalil dari bab ‘Arboun, iaitu yang menolak ‘Urboun dan mengharuskannya, namun kedua-dua hadis terbabit adalah lemah. 

Konsep ‘Urboun hanya dibenarkan di dalam mazhab Hanbali berdasarkan ijma' para sahabat disamping tidak dinafikan bahawa Imam Malik tidak mengharuskannya[1].

Umar al-Khattab dikatakan pernah digunapakai oleh Khalifah Umar al-Khattab dan dipersetujui oleh semua sahabat Nabi yang hidup ketika itu. Gabenor Mekkah di zaman Khalifah Umar pernah membeli sebuah penjara dari Safwan Ibn Umayyah dengan harga empat ribu dirham, dan beliau memberi syarat bahawa jika Umar meluluskan pembelian itu, kontrak akan dimeterai namun jika Umar tidak bersetuju membelinya, Safwan akan diberi empat ratus dirham[2].

Jadi, tentang wang pertaruhan dalam pilihanraya, bukanlah dibawah maksud judi. Tetapi ia dalam rangka perbincangan deposit hangus yang ulama berselisih pendapat dalam menentukan status hukumnya. Perselisihan itu dibawah perkara yang boleh dihormati.

Wallahu ‘Alam



[1] at-Ta'lil al-Maqasidi: 182
[2] cerita panjang lebar sila lihat dalam kitab Zad Al-Maad

Selasa, 31 Januari 2012

SATU KISAH DI GEREJA


[1]

Hari itu, hari jumaat. Aku dijadualkan berkhutbah jumaat di Masjid haji kamaruddin, PJ. Dalam perjalanan, tiba-tiba telefon aku berderingan. Aku lihat di screen, nama seorang ahli politik yang berjawatan Ahli Parlimen.

“apa pula pak haji ini? ada benda yang dia nak lanya la tu” bisik hatiku sendirian.

Aku angkat telefon, kami berbual-bual. Dia bertanya khabar dan kemudiannya bertanyakan tentang satu hadis yang bermaksud, “sesiapa yang menyakiti hati Zimmi, maka dia adalah menyakiti hatiku juga”.

Aku menjawab, bahawa hadis itu bukan perkataan Nabi Muhammad SAW, tetapi ia adalah perkataan Umar Abd al-Aziz. Lalu aku mencadangkan satu hadis lagi yang sememangnya saheh dan terbukti bahawa ia perkataan nabi SAW.

Aku pun membaca matan  arabnya, lalu menterjemahkan hadis tersebut, “barangsiapa yang menzalimi Mu’ahid (non Muslim), atau mengurangkan haknya, atau membebankan kepadanya luar dari kemampuannya, maka akhirat nanti aku akan penghujjah untuknya  (non Muslim itu)”.

Dia bertanya matan arab untuk dicatit. Aku membaca satu kalimah demi satu kalimah untuk memudahkan ahli parlimen itu mencatit matan arab bagi hadis tersebut.

Selesai dari itu, aku bertanya, “nak buat apa Tanya hadis ni tuan haji?”

Aku agak janggal nak membahasakan diri kami dengan YB, tetapi lebih senang dengan tuan Haji, sebab kami mengenali satu sama lain sebelum lagi dia bergelar YB.

“Ana ada dialog dekat gereja dengan paderi di PJ lepas jumaat ini” jawabnya ringkas.

“Eh.. ana nak tumpang pegi dengar, boleh tak?” aku mencelah.

“Boleh.. datang je.. gereja xevier, PJ…kita jumpa sana”.

“Ok.. lepas jumaat ana terus ke sana. Lagi pula ana berkhutbah di kawasan PJ juga ni”. Ujarku

[2]

Selesai solat jumaat aku terus ke sana. Memandangkan aku selesai solat jumaat, maka aku memakai jubah. Sesampai sahaja, majlis baru bermula.

Berlaku dialog yang cukup sihat dan menarik. Menterujakan sungguh, apabila disebelah pihak masing-masing mengemukakan idealogi pemikiran masing-masing. Perbincangan keagamaan dari sudut politik.

Yang menyebabkan aku terkejut,apabila Ahli parlimen terbabit membacakan satu hadis yang aku ajarnya sebelum solat jumaat terbabit selepas dia mengupas beberapa bukti tentang keadilan islam. Apabila selesai dia menterjemah sahaja hadis terbabit, didapati semua hadirin yang beragama kristian, juga dua orang paderi yang hadir sebagai pendengar menepuk tangan.

Aku terkejut melihat keadaan itu. Aku merasakan, ini satu budaya baru dalam kerangka PAS. Ia tidak pernah aku lihat sebelum ini.

“kalaulah benda ini Berjaya disuburkan oleh PAS, tidak hairan dalam jangka kurang 10 tahun, Islam akan Berjaya terlaksana di Malaysia” bisik hatiku.

Inilah Khalid Samad, seorang ahli politik memegang jawatan ahli Parlimen Shah Alam dari PAS.