skip to main |
skip to sidebar
DEMOKRASI ALAT DAKWAH ISLAM
Islam berkembang dengan dakwah. Bermula dengan dakwah fardiyyah hinggalah jihad fi sabilillah. Dakwah merupakan perkara penting dalam Islam. Dengan dakwah, manusia akan merasakan kehebatan islam. Dengan dakwah, manusia akan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Dengan dakwah, manusia akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Manusia pula memerlukan kehidupan yang sempurna. Mereka inginkan keamanan, keselamatan, kedamaian dan berbagai-bagai lagi keinginan. Semuanya adalah keinginan fitrah kemanusiaan yang sememangnya wujud dalam jiwa manusia.
Dunia telah berada dalam kegelapan. Kegelapan berlaku dengan sebab manusia tidak dapat menyediakan dasar kehidupan yang boleh memimpin mereka membawa kepada kesesuaian dengan kehidupan fitrah.
Kesemua kehendak fitrah ini tidak dapat dikecapi dengan tidak menjadikan islam sebagai dasar kehidupan. Allah SWT merupakan tuhan yang telah mencipta manusia. Dengan penciptaan itu menggambarkan Allah bersangatan mengetahui cara kehidupan manusia bagi mencapai kehendak fitnah kemanusiaan tersebut.
Dengan itu, Allah telah mendatangkan sistem kehidupan dengan mengutuskan Nabi dan Rasul bagi menyampaikan ajaran-Nya, yang hakikat ajaran itu sebenarnya mendidik manusia agar tidak menuruti kehendak nafsu yang boleh membawa kepada penghapusan terhadap kehendak fitrah insani tersebut.
Pun begitu, di sana terdapat manusia yang nafsunya agak buas sehinggakan kandungan ajaran Allah itu di tingalkan disamping melawan dengan hebatnya.
Tidak kira yang melawan itu bernama Kafir atau munafiq atau seumpama dengannya. Serangan terhadap Islam itu hebat di lakukan oleh mereka, bermula dari zaman nabi-nabi terdahulu sehinggakan umat Nabi Muhammad SAW.
PEMERINTAHAN ISLAM DISERANG
Serangan dari musuh islam terhadap Islam sememangnya hebat. Berbagai strategi yang dilakukan oleh mereka untuk melihat Islam sebagai agama yang terhina.
Dengan tertubuhnya pemerintahan Islam di Madinah, Islam telah menjadi agama yang sememangnya kuat di mata dunia. Kekuatan itu telah dicemburui oleh dunia-dunia yang tidak Islam sehinggakan mereka telah bertindak untuk menjatuhkan pemerintahan Islam.
Mereka berusaha hendak menguasai pemerintahan islam. semuanya bertujuan untuk menjadikan mereka sebagai pemerintah disamping mahu menindas terhadap pemerintahan Islam yang lain.
Pelbagai serangan yang dilakukan oleh mereka. serangan dari sudut tenaga telah mengakibatkan mereka kecundang. Mereka berusaha menyerang umat Islam melalui pemikiran pula. Serangan ini dilihat agak berjaya. Maka mereka menyerapkan berbagai-bagai fahaman kepada umat Islam.
Kejayaan mereka terserlah dengan kejatuhan pemerintahan islam satu persatu, sehinggakan khalifah Osmaniyyah yang merupakan tonggak kekuatan pemerintahan islam gugur pada tahun 1924.
Dengan kejatuhan itu, kuffar merasakan bahawa umat Islam boleh dimainkan oleh mereka. mereka membina boneka-boneka mereka yang terdiri dari kalangan orang yang mendakwa Islam sendiri. golongan munafiq diberi tempat dalam pemerintahan. Dan mereka dididik agar mempertahankan pemikiran barat disamping memperjuangkan pemikiran yang di doktrinkan itu.
Keadaan ini telah membuahkan hasil yang sangat berjaya. Kejatuhan kerajaan Osmaniyyah turki pun disebabkan dengan kejayaan mereka membina boneka barat yang bernama Mustafa Kamal Art-Tarturk yang dengan kehadiran Mustafa kamal inilah antara punca utama kejatuhan kerajaan osmaniyyah.
Tindakan yang sama dilakukan di sebilangan Negara-negara umat Islam yang lain. sebilangan Negara, mereka memulakan serangan dengan kuasa penjajahan. adapun di Negara yang mereka tidak mampu untuk menjajah, mereka telah melantik anak-anak didik mereka yang telah dibonekakan untuk memerintah.
Maka dengan sebab itulah, setelah kejatuhan kerajaan Islam, umat Islam semakin lemah. Isu Palestine dan kasymir, penyelesaianya sering diperkatakan semenjak berpuluh-puluh tahun. Tidak sekadar itu, barat semakin menggila untuk menghina Islam dan umatnya, mereka menyerang pula Iraq dan Lubnan.
Setelah mereka berjaya menguasai di sebilangan Negara-negara umat Islam ini, mereka akan memaksa agar Negara umat Islam ini mengamalkan sistem pemerintahan yang berasaskan kepada demokrasi. Sistem yang direka cipta oleh mereka sendiri. semua bertujuan untuk melahirkan generasi yang beraqidah dengan sistem demokrasi ciptaan mereka.
DUNIA ISLAM TERSEPIT
Dunia Islam berada dalam keadaan tersepit. Hendak mencegah sistem demokrasi mati bapa, hendak menerima pula mati emak. Dalam dilema sedemikian, barat tetap melaksanakan sistem demokrasi dalam Negara-negara umat Islam.
Boneka-boneka mereka diletakkan sebagai pemerintah sebagai pelaksana kepada sistem demokrasi yang direka cipta oleh mereka. maka berjalanlah sistem demokrasi di kalangan umat Islam.
Golongan maksiat mula bersuara mahukan kebebasan. Tuntutan membuka aurat dilakukan sehingga mereka berjaya. Dunia Islam dipenuhi dengan maksiat yang melampau.
Keadaan ini menyebabkan, golongan taqwa mula berfikir untuk menyelesaikan keadaan sebegini. Jika mahu mengisytiharkan perang bersenjata, pemikiran ini dalam keadaan ketika itu agak tidak menghasilkan natijah yang baik. Ini kerana, golonngan taqwa hanya sedikit yang tidak memungkinkan jihad bersenjata akan menghasilkan kejayaan.
Mereka mula memikirkan usaha dakwah melalui sistem demokrasi itu sendiri. mereka mula meng”edit” beberapa unsure-unsur dalam demokrasi agar tidak bercanggah dengan Islam.
Tindakan ini bersesuaian dengan firman Allah;
فَمَنِ اعْتَدَى عَلَيْكُمْ فَاعْتَدُوا عَلَيْهِ بِمِثْلِ مَا اعْتَدَى عَلَيْكُمْ
Maksudnya;
“barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu”
(Surah Al-Baqarah : 194)
Demokrasi yang merupakan matlamat dalam pemikiran barat, digantikannya dengan menjadikan sebagai alat untuk berdakwah. Maka dengan itu, banyaklah jemaah-jemaah islam ketika itu melibatkan diri dengan demokrasi. Penglibatan mereka bukan kerana mahu menjadikan demokrasi itu sebagai fahaman, tetapi sekadar mahu menjadikan ia sebagai alat untuk menyampai dakwah untuk menyedarkan umat Islam terhadap Islam.
KEJAYAAN DAKWAH DALAM DEMOKRASI
Rupa-rupanya, dengan tindakan jemaah-jemaah islam yang “memperalatkan” sistem demokrasi itu telah menghasilkan natijah yang baik kepada dakwah islamiyyah.
Kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan menubuhkan parti dan kebebasan menyampaikan fahaman politik masing-masing telah menyebabkan jemaah islam berjaya menyedarkan umat Islam dengan islam. umat Islam yang melihat pergerakan jemaah Islam yang menyediakan Islam sebagai model keamanan dan keadilan telah merasakan kepentingan menjadikan Islam sebagai agama memerintah. Maka dengan itu, ramailah umat Islam sedar dan berusaha hendak mendaulatkan Islam mengikut kemampuan yang ada pada diri mereka.
Apakan daya, golongan boneka barat amat takut dengan perkembangan Islam itu menyebabkan mereka mula bertindak ganas. Mereka sanggup menangkap dan memenjarakan umat Islam yang mahukan Islam memerintah. Kesombongan mereka semakin menjadi-jadi sehinggakan mereka sanggup membunuh umat Islam tersebut.
Dalam keadaan itulah, mereka mula melanggar kandungan demokrasi yang mereka canang dahulu. walaupun mereka adalah golongan yang mencetuskan perhimpunan, kini perhimpunan yang ingin di adakan oleh pencinta Islam dan keadilan dianggap sebagai penderhaka.
Mereka mula mengupah agamawan untuk menjadi “barua-barua politik” untuk menulis dan berceramah tentang kesyirikan sistem demokrasi dengan tujuan untuk menghentam jemaah Islam yang menggunakan sistem demokrasi untuk kemenangan Islam.
Tetapi, adakah mereka sedar, sebenarnya merekalah orang yang beraqidah dengan sistem demokrasi syirik. Adapun jemaah-jemaah islam, mereka tidak pernah beraqidah dengan sistem demokrasi itu, tetapi mereka meng”edit” demokrasi agar ianya tidak bercanggah dengan Islam dan kemudiannya menjadikannya sebagai alat untuk menyampaikan dakwah Islamiyyah. Sememangnya jemaah-jemaah islam berjaya menyampaikan mesej dakwah melalui ruang demokrasi ini.
PENUTUP
Menghadapi musuh secara damai merupakan kaedah yang perlu di utamakan sebelum menghadapi mereka dengan kekerasan. Lihatlah dalam kisah sulh al-hudaibiyyah, bagaimana kaedah damai ini di guna pakai oleh Rasulullah SAW untuk berhadapan dengan kegilaan tentera musyrikin Makkah ketika itu.
Demokrasi merupakan salah satu cara yang boleh digunakan (setelah di edit) untuk berhadapan dengan musuh dengan menggunakan cara damai. maka dengan sebab itulah, dalam keadaan Negara mengamalkan sistem demokrasi ini, tidak menjadi kesalahan kepada jemaah Islam untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam dengan menggunakan sistem demokrasi juga.
Apa yang penting dari usaha ini adalah, semuanya untuk mendaulatkan Islam di atas muka bumi Allah, yang mana, ianya merupakan tuntutan Allah SWT.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
9 mei 2009 * 8 :15 pagi
para rahib yahudi adalah golongan yang menyelewengkan kandungan Al-Kitab. penyelewengan yang dibuat mereka, diterima oleh orang bawahan yahudi, menyebabkan mereka sesat dari jalan pertunjuk
TADABBUR AL-QURAN : SIRI 17
BAHAYA TAQLID BUTA
Syaitan sentiasa menyeru manusia agar melakukan fahsya’ dan mungkar. Juga, menyeru manusia agak bercakap tentang perkara yang mereka sendiri tidak ketahui.
Memperkatakan perkara yang tidak diketahui itu, antara sebabnya adalah mendengar segala perkara yang diberitahu tanpa disiasat terlebih dahulu. Tindakan seperti ini disebut sebagai Taqlid buta.
Golongan yahudi terdahulu, dilebelkan oleh Allah sebagai golongan yang tersasar dari agama mereka. Sebab utama mereka jadi sebegitu, apabila mereka hanya mengikut para rahib tanpa mereka mengetahui, apakah para rahib itu benar-benar merujuk kepada kandungan nas dari Allah ataupun dari kehendak hawa nafsu.
Menyedihkan lagi, apabila ada sebilangan mereka yang apabila diseru kepada Islam yang dibawa oleh Nabi SAW, mereka tidak menerima seruan tersebut, malah mereka akan mendakwa bahawa mereka rasa sudah cukup lantaran mengikut para rahib mereka.
Mereka beralasan, para rahib mereka sudah alim, maka ekoran itulah mereka merasa berpuas hati, walaupun segala ”fatwa-fatwa” yang dikeluarkan itu bukanlah berasaskan kepada wahyu, tetapi berasaskan kepada hawa nafsu.
Keadaan ini bukan sekadar berlaku di zaman kini, malah pernah berlaku semenjak zaman nabi SAW lagi.
Dalam Kitab ”Lubab An-Nuqul” karangan Imam As-Sayuti, beliau menyebut riwayat dari Ibni Abi Hatim dari Ikrimah bersumber dari Ibni Abbas, bahawa satu hari Nabi SAW telah berjumpa dengan dua orang tokoh yahudi di madinah; iaitu Rafi’ bin Huraimallah dan Malik bin Auf. Pertemuan yang diadakan itu dengan tujuan menyeru kedua-dua tokoh ini kepada Islam.
Apabila Nabi SAW menyeru mereka dengan seruan islam, menyebabkan kedua-dua tokoh ini marah seraya berkata;
"Hai Muhammad! Kami akan mengikuti jejak nenek moyang kami, karena mereka lebih pintar da lebih baik daripada kami."
Tindakan mereka ini menyebabkan Allah menurunkan satu ayat yang berbunyi;
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آَبَاءَنَا أَوَلَوْ كَانَ آَبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ
Maksudnya;
”Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”
(Surah Al-Baqarah : 170)
Apabila direnung sedalam-dalamnya pada ayat ini. Kita akan dapat melihat, betapa Islam amat melarang kita mentaati kepada sesuatu pihak dengan semata-mata merujuk “standard” pihak tersebut, bahkan islam menyeru sebarang ketaatan yang diberi, pastikan ianya dirujuk kepada kefahaman kita terhadap perkara yang hendak diberikan ketaatan.
Ketaatan yang hendak diberi, bukan terletak kepada seseorang, tetapi terletak kepada apa yang dibawa oleh orang tersebut; iaitu Apakah ketaatan itu memberikan habuan keuntungan untuk Islam, ataupun ianya merugikan kepada Islam.
Lebih parah, apabila ketaatan yang diberi, memberikan gambaran keuntungan “hawa nafsu” dari golongan tertentu. Seperti, tindakan para rahib yahudi yang meletakkan kehendak hawa nafsu mereka sehingga sanggup menyelewengkan kandungan kitab taurat. Apabila penyelewengan ini berlaku, pengikut mereka telah memberikan ketaatan kepada mereka secara “taqlid buta” yang akhirnya mereka tenggelam dalam lautan kesesatan.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg buloh
9 mei 2009 * 1:47 pagi
Tidak kelihatan gambar Raja Nazrin berbisik dengan Zambry kadir, tetapi yang kelihatan adalah gambar Raja Nazrin berbisik dengan MB Perak yang sah, YAB Dato’ Seri Muhammad Nizar bin Jamaluddin.
Selepas berbisik-bisik antara dua hamba Allah ini, kelihatan pula Nizar mengiringi Raja Nazrin. Yang lebih menarik, apabila Nizar menyebut;
"saya iringi Tuanku keluar dan Tuanku mengatakan baginda mahu bekerja dengan Pakatan Rakyat.[1]"
Ish !!! tak sabar-sabar nak tahu, apa yang akan berlaku selepas ini pula..
Benar kata pepatah;
“penantian satu penyeksaan”
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
8 mei 2009 * 3:33 petang
[1] http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/7/mstar_berita/20090507184051&sec=mstar_berita
Al-Quran itu adalah rahmat ke seluruh alam, bukan untuk orang islam sahaja ataupun untuk orang PAS sahaja, ataupun untuk orang melayu sahaja KEPIMPINAN ULAMA ATAU…..??
“ustaz pilih ulama ke, Profesional??” soalan yang dilontarkan dari seorang kawan dengan lagak bersahaja.
“ulama ke, professional ke, ana tak kisah. Yang penting, UMNO wajib di kuburkan dari muka bumi ini, pastu Islam memerintah malaysia” jawapanku bersemangat.
Aku sedar mengapa soalan sebegitu dilontarkan. Di dunia maya, isu ini menjadi bahan perbincangan yang agak hangat.
Masa Tuan Guru Haji Harun Taib mencabar Ustaz Nasaruddin Mat Isa bagi merebut jawatan Timbalan Presiden, isu ulama – profesional dibicarakan dengan lenggok yang agak berbeza. Isu yang dimainkan adalah ”ulama Konservatif dan ulama Profesional”.
Yang pastinya, dua istilah ini tidak berenggang dari mulut para ahli PAS, mahupun di luar PAS dikala menjelang Muktamar Agong PAS.
Kini, isu Ulama – profesional dibicarakan lagi. Ada pihak yang mempertahankan ulama dengan berpegang prinsip jawatan Presiden dan Timbalan presiden dari kalangan ulama. Ada pihak yang lain pula, mencadangkan kembali kepada perlembagaan PAS, yang tidak mewajibkan ulama menjadi Presiden, ataupun Timbalan presiden.
Nampaknya, krisis perundangan yang berlaku di Perak tidak sekadar di Perak sahaja, bahkan sudah menyusup masuk ke dalam isu dalaman PAS.
Kalau pihak istana melanggar undang-undang tubuh kerajaan negeri perak dengan memecat Ir Nizar dari menjadi MB, seterusnya melantik Zambry sebagai MB “palsu”, ramai yang marah. Mungkin ada pihak yang tidak marah, apabila ada pihak yang melanggar perlembagaan PAS.
Ada pihak menyebut, perlu memberi wala’ kepada para ulama, dengan alasan Perlembagaan PAS, sekadar rujukkan di dunia sahaja. Sedangkan, dikala mereka berbicara, mereka tidak sedar, bahawa mereka telah tidak memberi wala’ kepada Perlembagaan PAS; yang sesuatu dasar atau fasal dalam perlembagaan tersebut diluluskan dalam muktamar, yang sudah pasti keputusannya di sokong oleh ratusan ulama yang menghadiri muktamar.
Mungkin itulah “double Standart” dalam pengamalan kita. Jika yang ”kena” itu adalah kawan kita, maka kita akan pertahankan sehabis-habisnya. Tetapi, jika yang ”kena” itu bukan kawan kita, mereka akan dibiarkan mati kelaparan dan kehausan, waima dia dari satu jemaah dengan kita.
Neraca penilaian kita adalah ”kawan aku”, bukan ”ketetapan” yang telah dibuat. Ekoran itulah, wujud sebilangan ”ustaz-ustaz” mencandukan wala’ demi mempertahankan kawan.
HAPUSKAN UMNO
Sudah terlalu lama UMNO memerintah. Sejak merdeka, sehingga kini UMNO masih lagi memegang tampuk pemerintahan pusat.
PAS memerintah di Kelantan. Jatuh bangun PAS dalam kerajaan kelantan dahulu, tetapi kini masih segar memerintah dibawah kepimpinan ulama yang berminda profesional, Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nikmat.
Disebabkan UMNO memerintah, kerosakan dalam pemerintahan dari semua sudut berlaku. Kerosakan dari sudut ekonomi, sosial, antara kaum, agama dan banyak lagi. Semuanya berpunca dari UMNO laknatullah alaih.
Bak kata Ustaz Idris Ahmad dalam satu sesi dialog isu Abdullah bin Moorty di Anjung rahmat dalam tahun-tahun yang lalu;
“UMNO wajib dipersalahkan”.
Memandangkan keadaan ini berlaku, UMNO tidak selayaknya dibiarkan hidup di atas muka bumi. Parti UMNO ini wajib dibenamkan dalam bumi, sehingga namanya menjadi tatapan dalam muzium negara sahaja.
Justeru itulah, tindakan membiarkan UMNO kekal hidup adalah tindakan yang bodoh. Ini kerana, membiarkan UMNO hidup bermakna membiarkan kerosakan berlaku dalam negara.
Makanya, tindakan menjahanamkan UMNO adalah perlu. Tidak kira, yang menjahanamkan UMNO itu dari kalangan Ulama, mahupun profesional.
Jika ulama mampu, maka silakan ulama menjahanamkan UMNO. jika profesional mampu, maka profesional perlu diberikan ruang.
ISLAM BERDAULAT
Selepas UMNO hancur, pengisian Islam perlu dilakukan. Dalam pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat, sedikit sebanyak memberi ruang kepada kita dalam mengadakan persiapan yang cukup dalam usaha menuju kepada pemerintahan Islam (baca : negara Islam).
Non muslim tidak memahami Islam. Di kala Pakatan rakyat memerintah, inilah ruang dialog dilaksanakan.
Pimpinan PAS tidak boleh sekadar berbicara tentang islam dalam konteks “Syok Sendiri”. Islam yang dibicarakan, tidak boleh sekadar dalam usrah, bahkan perlu melampaui kepada sasaran dakwah yang lebih luas, iaitu sehingga sampai ke telinga-telinga non Muslim.
Tanpa non Muslim, negara Islam agak sukar dibina. Masakan tidak, bilangan mereka sama cecah dengan bilangan muslim.
Perlu kita sedari, Negara ini bukan negara berkhalifah, tetapi negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Tetapi menyedihkan, ada sebilangan pihak yang berada dalam negara demokrasi, tetapi cara mereka berdakwah seperti mereka berada dalam negara yang mengamalkan sistem feudal atau anarki.
Demokrasi adalah sistem suara rakyat. Golongan majority, maka itu golongan yang duduk di atas. Jika PAS mahu memerintah, PAS perlu mendapat suara majoriti. Suara majoriti tidak cukup sekadar dikalangan muslim, malah suara non muslim juga mempunyai saham untuk memberikan kuasa kepada PAS untuk memerintah.
Persoalannya, bagaimana mahu memberikan non muslim juga menjadi suara Islam???
Di sinilah yang disebut sebagai dakwah islamiyyah. Sekadar berceramah dan berkuliah di masjid dan surau, itu bukan dakwah, tetapi berpesan dengan kebaikan. Jika mahu disebut dakwah pun, ianya disifatkan definisi dakwah dari sudut bahasa.
Dakwah perlu diperluaskan. Juga perlu mempunyai strategi. Ramai para ustaz yang sanggup berhadapan dengan orang-orang islam yang hadir di surau dan masjid, tetapi jarang para ustaz sanggup berhadapan dengan non Muslim, malah golongan islam liberal ketika berbicara tentang Islam.
Menyedihkan, usaha secara serius dalam berbicara Islam dihadapan non Muslim dan golongan Islam liberal, dilakukan oleh golongan ulama adalah amat sedikit. Tetapi, membanggakan lagi, apabila “ulama mee celup” yang kehadapan dalam berbicara tentang Islam dihadapan mereka.
Para ulama perlu bertindak berani; keluar ke lapangan. Berhadapan dan berdialog dengan non Muslim dan golongan islam Liberal ini. Jika para ulama bertindak sedemikian, maka ulama inilah yang disebut sebagai ulama profesional, yang berjaya menampakkan Islam itu sememangnya “for All”. Tetapi, jika para ulama masih lagi dalam lingkungan muslim sahaja, Islam For All nampaknya agak ternafi.
Lebih-lebih lagi, kalau ada ulama itu lebih suka kepada “usrah” sahaja, menampakkan lagi bahawa Islam itu seperti “For Ahli PAS” sahaja.
Dakwah yang diperluaskan ini perlu dilakukan, demi mahu melakukan pengisian Islam dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
Menyedihkan, ada ulama yang tidak bersetuju dengan kerajaan pakatan Rakyat, dengan alasan ramai non Muslim, ekoran itulah kedengaran ”suara-suara sumbang” dari kalangan ulama (sama ada konservatif ataupun Profesional) menyeru kepada pembentukan negara berasaskan melayu.
Apakah Islam itu untuk melayu????? Jika begitu yang kita faham, maka apa beza kita dengan UMNO????
Sekian
P/S : Selepas ini, para ulama tidak boleh susun jadual kuliah mereka di masjid dan surau sahaja, bahkan selepas ini mereka perlu menyusun jadual dialog antara agama di rumah-rumah ibadat agama selain islam. kalau tak mahu, tak payah jadi pimpinan PAS.
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 mei 2009 * 1:51 petang
NIZAR : “BAITURRAHMAN” DALAM TSUNAMI POLITIK 2008
Firman Allah;
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
Maksudnya;
“Serulah kepada jalan tuhan kamu dengan bijaksana dan peringatan yang bangun”
(Surah An-Nahl : 125)
Sebelum tsunami politik mac 2008, tokoh politik bernama Ir Muhammad Nizar bin Jamaluddin agak kurang dikenali. Kini, nama itu sudah tidak asing lagi dalam dunia politik Malaysia, malahan asia, juga di seluruh minda-minda tokoh gerakan Islam di seluruh dunia.
Dalam tragedy banjir besar; tsunami yang menimpa beberapa Negara asia, termasuk Malaysia. Allah memperlihatkan sebuah negeri Acheh telah hancur musnah. Pun begitu, mengkagumkan apabila dalam kehancuran yang begitu dahsyat menimpa, banjir besar yang mengamuk tidak menyentuh sebuah masjid di tengah-tengah Bandar Acheh, iaitu masjid yang bernama Baiturrahman.
Begitulah kekaguman yang menimpa tsunami politik di Malaysia pada Mac 2008 yang lalu. Iaitu, walaupun insan yang tinggi lampai, yang mempunyai gaya kepimpinan yang mengkagumkan itu tidak dikenali dahulu, tetapi kini, Ir Muhammad Nizar menjadi ahli politik yang tidak asing, malah mencetuskan satu fenomena baru dalam dunia politik Malaysia.
Kejayaan beliau dalam mengurus kerajaan Negeri Perak yang dimajoritikan exco selain PAS amat membanggakan. Walaupun exco tidak beragama Islam agak ramai dalam ahli mesyuarat kerajaan, kejayaan beliau melakukan pendedahan konsep keadilan sejagat yang diperjuangkan Islam dalam pemerintahan tidak dapat dinafikan lagi.
Jika dahulu, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menguasai kota konstentinopel dengan berbekalkan ketaqwaan dan ”jiwa besar” dalam pengurusan. Kejayaan yang memperlihatkan keprofesionalan beliau dalam mentadbir tentera-tentera perang dalam menyerang musuh-musuh Islam. Maka Ir Muhammad Nizar bin Jamaluddin berjaya menguasai hati-hati rakyat, khususnya dari kalangan non Muslim di negeri perak, bahkan di Malaysia, berbekalkan jiwa besar dalam pengurusan kerajaan dengan menjadikan maqasid syariah – iaitu keadilan sejagat- sebagai asas pemerintahan.
SIAPA IR NIZAR?
Beliau di lahirkan pada 17 mac 1957 di Kampung Air Hitam Labu, Kampar Perak.
Beliau mendapat pendidikan awal di Kampar, iaitu di Sekolah menengah Anglo Chinese, Kampar. Seterusnya sekolah Menengah Teknik, Persiarah Brash, Ipoh.
Diperingkat yang lebih tinggi, beliau melanjutkan pelajarannya di Advance Level (A Level) di Norwich City College Of Arts & Technology Norwich, Norfolk, England. Seterusnya mendapat Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Aston di Brimingham, United Kingdom.
Beliau bukanlah seorang yang mempunyai pengajian islam secara formal. Pun begitu, kemampuan beliau bersyarah, malahan berkuliah agama amat tidak diragukan lagi. Ucapan beliau dikala berbicara islam, berjaya menyentuh lubuk hati para pendengar.
Beliau tidak ubah seperti tokoh islam yang bernama Salahuddin Al-Ayyubi yang berjaya menakluk Jerussalem, seterusnya menguasai Baitul Muqaddis yang sekian lama berada di tangan tentera Salibiyyah, Nasrani.
Salahuddin Al-Ayyubi yang berasal dari kalangan bangsawan, bukanlah seorang yang mempunyai pendidikan Islam secara formal. Pun begitu, dengan terserlahnya ketenangan, terhindar dari sebarang kelesuan dalam berfikir, menampakkan beliau sangat berkamampuan dalam melawan tentera Salibiyyah, bermula dari mesir hingga ke Palestine.
Lane-Poole, seorang Ahli sejarah Inggeris ada menulis mengenai Salahuddin Al-Ayyubi;
“Sebagai anak kepada gabenir yang disukai raja, beliau memang menduduki tempat istimewa tetapi beliau tidak menunjukkan tanda-tanda kehebatan yang bakal tiba. Sebaliknya, beliau mempamirkan contoh jiwa yang tenang, dan menjauhi kelesuan pemikiran golongan bangsawan”
Keadaan yang agak sama juga berlaku pada Ir Muhammad Nizar bin Jamaluddin. Dengan ketenangan yang terserlah dari raut wajah beliau ketika berhadapan berbagai-bagai masalah dalam kerajaan, tidak melesukan beliau dalam berfikir demi memajukan islam sehingga diterima ramai.
IR NIZAR DI TERIMA RAMAI
Dikalangan rakyat bawahan, Ir Nizar bin Jamaluddin adalah manusia yang diterima. Di mana sahaja beliau berada, penerimaan rakyat terhadap beliau amat membanggakan.
Dalam PAS, beliau memegang jawatan yang agak penting. Jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak dan Yang Di Pertua (YDP) PAS Kampar diamanahkan kepada beliau. Jawatan-jawatan yang diberikan, tidak menyebabkan beliau lupa dan lalai dari menunaikan amanah rakyat, malah merupakan motivasi diri beliau dalam mengurus kehendak rakyat dengan bijaksana.
Yang lebih membanggakan lagi, apabila didapati Ir Muhammad Nizar bin Jamaluddin bukan sekadar mampu berbicara dalam bahasa melayu dan bahasa Inggeris sahaja, bahkan beliau juga mampu berbicara dalam bahasa Cina dan Tamil, waima sikit sekalipun.
Dengan kemampuan inilah, didapati beliau diterima rakyat bawahan. Tidak dibataskan kepada orang melayu sahaja, malahan menjangkaui bangsa cina dan india.
Dalam satu ceramah di Taman Melewar, YB Nga Kor Meng, seorang ADUN dari parti DAP pernah berkata;
“Cara kepimpinan yang adil yang paling tepat, adalah cara kepimpinan YAB Ir Muhammad Nizar bin Jamaluddin...dia berlaku adil kepada semua bangsa.. sebab itu, semua bangsa terlalu menyayanginya. tidak pernah saya bayangkan, seorang pemimpin melayu masuk dewan Cina, semua orang cina berdiri, sampai mereka berdiri atas kerusi, untuk menyambut kedatangan beliau... inilah kejayaan yang ditunjukkan, oleh gaya kepimpinan yang adil, terbuka, telus, amanah dan berkebajikan”
Penerimaan terhadap beliau dari kalangan rakyat malaysia yang tidak beragama Islam, sedikit sebanyak memberikan impak yang kuat terhadap dakwah islamiyyah di negara ini. Kejayaan itulah, memperlihatkan banyak perkara ajaib yang menimpa malaysia, iaitu apabila ada sebilangan besar ADUN-ADUN yang tidak beragama islam mempunyai kemampuan membaca Surah Al-Fatihah dan sebilangan ayat-ayat Al-Quran.
Kejayaan ini, tidak boleh sekali-kali diremeh temehkan, bahkan hendaklah dijadikan pengajaran dan pelajaran dalam meneruskan usaha dalam mendaulatkan islam dalam negara yang tercinta ini.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Al-Bakistanihttp://g-82.blogspot.comustaz_bakistani@yahoo.com- Sri indah (B), Sg Buloh6 mei 2009 * 1:13 pagi
keikhlasan Ir Nizar memegang tampuk pemerintahan PR dalam usaha melakukan perubahan ke arah Islam di Perak amat terbukti. Seorang tokoh Profesional yang membanggakan PAS ketika ditimpa tsunami politik 2008 TANGGUNGJAWAB SEBAGAI PEMIMPIN
Memimpin kerajaan bukanlah sesuatu yang senang. Ianya dipenuhi dengan mehnah dan tribulasi yang akan berjaya dihadapi bagi mereka yang benar-benar mempunyai jiwa yang besar. Tanpa semangat dan jiwa yang kental, memerintah negeri akan melahirkan natijah yang buruk; sama ada di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat.
Ekoran dari itulah, tidak hairan, apabila kita membelek-belek hadis-hadis Nabi SAW, pasti kita akan bertemu azab-azab bagi mereka yang tidak berjaya menunaikan amanah sebagai pemimpin.
Sabda Nabi SAW;
لَيَأْتِيَنَّ عَلَى الْقَاضِي الْعَدْلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ سَاعَةٌ يَتَمَنَّى أَنَّهُ لَمْ يَقْضِ بَيْنَ اثْنَيْنِ فِي تَمْرَةٍ قَطُّ
Maksudnya;
”Pasti akan berlaku pada Qadi yang ’Adil pada hari kiamat nanti; yang satu masa nanti, dia tidak mahu berhukum di antara dua orang yang bertelagah, walaupun disebabkan sebiji tamar sekalipun[1]”
Jika merujuk kepada hadis ini, Baginda SAW mengkhususkan menyebut tentang Qadhi, maka terlebih beratlah dugaannya bagi pemerintah, yang mana, Qadhi berada dibawah kekuasaannya.
Pun begitu, mengenangkan tidak ada yang berkelayakan untuk memegang jawatan, maka tidak dapat tidak, memegang jawatan telah menjadi satu kewajipan demi melaksanakan tuntutan Allah SWT.
Harapannya, dengan memegang jawatan, segala amanah yang diberikan dapat ditunaikan dengan berkesan, disamping mengharapkan balasan Allah SWT seperti yang diungkapkan oleh Nabi SAW dengan sabda Baginda;
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ
Maksudnya;
“Tujuh golongan yang Allah memberikan bayang-bayang-Nya di hari tiada bayang-bayang melainkan bayang-bayang-Nya, pemerintah yang ‘Adil……[2]”
AWAL KEMENANGAN
Di awal kemenangan Pakatan Rakyat di Perak, berlaku sedikit kelam kabut dalam perlantikan Menteri Besar. Ini kerana, melihat kepada majority parti yang menang adalah DAP, sedangkan dalam undang-undang tubuh negeri perak, disyaratkan seseorang Menteri Besar yang dilantik hendaklah dari kalangan orang berbangsa melayu beragama Islam.
Mesyuarat demi mesyuarat di lakukan, terserahlah kepada PKR untuk menentukan Menteri Besar, kerana mereka berada di tangga kedua tertinggi dalam bilangan ADUN-ADUN dalam kerajaan negeri Perak.
Setelah pihak PKR bermesyuarat, didapati mereka tidak mempunyai seorang tokoh pun yang berkelayakkan untuk memegang jawatan Menteri Besar, menyebabkan pihak PKR telah menyerahkan jawatan Menteri Besar itu kepada PAS.
Ustaz Ahmad Awang yang merupakan Pesuruhjaya PAS Perak, merangkap Ahli Majlis Syura Ulama telah memanggil 6 orang ADUN PAS yang menang.
Di peringkat awal mesyuarat tersebut, Ustaz Ahmad Awang bertanya kepada semua ADUN-ADUN PAS yang menang, apakah dari kalangan ADUN-ADUN yang menang itu, yang mahu menawarkan diri sebagai Menteri Besar. Didapati, semuanya menolak dari tawaran tersebut.
Akhirnya, Ustaz Ahmad Awang bersama dengan ahli mesyuarat beliau telah bermesyuarat dan menabalkan Saudara Ir Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak.
Jawatan itu diterima dalam keadaan berat hati. Ini kerana, mengenangkan ujian-ujian mendatang, disamping ketentuan Allah yang akan dihadapi di akhirat nanti.
Pun begitu, disebabkan itu adalah keputusan Syura, maka jawatan tersebut diterima dengan serba doa dan istighfar kepada Allah, agar tidak ditimpakan ujian yang tidak mampu dihadapi, seperti firman Allah SWT;
رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِ
Maksudnya;
“Ya Allah !! jangan kamu beratkan kepada kami perkara yang kami tidak mampu hadapinya”
(Surah Al-Baqarah : 286)
MENGISI KEMENANGAN
Setelah ditabalkan sebagai Menteri Besar dengan perkenan Sultan, maka usaha melaksanakan tugas sebagai Khalifah Allah wajib di tunaikan.
Justeru, antara tindakan awal yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat di Perak adalah, dibubarkan semua ketua-ketua kampung lantikan ADUN-ADUN BN sebanyak 817 kampung-kampung di seluruh perak, untuk diadakan perlantikan baru dengan diserahkan kepada rakyat-rakyat di kampung-kampung dalam menentukan ketua kampung pilihan mereka.
Makanya, dapat dilihat bagaimana di semua kampung-kampung di seluruh Perak mengadakan pesta pemilihan ketua kampung selama 3 bulan.
Setelah ketua-ketua kampung dipilih menerusi ”proses pilihanraya kecil-kecilan” itu, menyebabkan perkara ini dicemburui oleh Kerajaan Pusat yang masih lagi diperintah oleh Barisan Nasional, dengan mereka melantik JKKKP bagi mengganggu perjalanan kampung di bawah ketua kampung lantikan rakyat.
Begitujuga, pihak kerajaan Pakatan Rakyat telah membebaskan balai-balai dan dewan-dewan orang ramai, agar boleh digunakan secara bersama.
Bukan sekadar itu sahaja, pihak exco-exco kerajaan negeri perak termasuk Menteri Besar telah mendedahkan harta-harta peribadi kepada rakyat, agar rakyat dapat mengetahui, apakah selepas ini, wujud dari kalangan exco atau menteri besar yang memakan harta rakyat secara batil.
Kami dari kerajaan Pakatan Rakyat bertindak sedemikian, adalah kerana bimbang dengan persoalan yang akan ditanya oleh Allah SWT, seperti yang dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran, surah Yasin;
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya;
”Pada hari ini, kami (Allah) akan mengunci mulut-mulut mereka, maka berkatalah tangan-tangan mereka, dan bersaksi kaki-kami mereka terhadap apa yang lakukan”
(Surah Yasin : 65)
PENUTUP
Amanah yang diberi, bukan untuk dikhianati, tetapi ianya adalah satu beban yang wajib ditunaikan dengan adil dan saksama. Mengkhianati amanah, bermakna merelakan diri dicampak ke dalam neraka Allah SWT.
Justeru, walaupun bukan pilihan kami untuk memegang jawatan, tetapi mengenangnya amanah rakyat wajib disampaikan kepada yang berhak, maka ianya diterima dengan berat hati, walaupun ditempuhi dengan ujian yang kadangkala memeningkan kepala.
Diharapkan, amanah yang berjaya ditunaikan, menjadi habuan akhirat dikala mengadap Allah SWT, disamping menjadi modal utama untuk dibangkitkan bersama Nabi kesayangan, Muhammad SAW.
Sekian
p/s : olahan dan ulasan dari ceramah Ir Nizar.
Wallahu ’Alam
[1] Musnad Ahmad : 233324.
[2] Muwatta’ Imam Malik : 1501.
KERAJAAN PERPADUAN, MAHUNYA APA???
Aku tidak mahu menyokong sesuatu yang didakwa baik dan sesuai, dengan semata-mata ianya datang dari mulut seseorang tokoh. Ini kerana, apa yang aku faham, wala’ itu adalah taat, bukannya taqlid buta.
Justeru, Aku semakin kebingungan apabila cuba memahami maksud kerajaan Perpaduan. Untuk memahamkan lagi tentang Kerajaan Perpanduan, aku telah berbicara dengan sebilangan kawan-kawan, berdiskusi, membaca beberapa artikle dan banyak lagi, tetapi aku tidak dapat mengetahui apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan yang dipertahankan oleh sebilangan pihak, dan dibangkang sebilangan pihak yang lain.
Ada sebilangan kawan menyebut, kerajaan perpaduan merupakan satu provokasi bagi menggelabahkan UMNO, dan ada pula menafikannya, bahkan mendakwa itu adalah sesuatu cadangan yang ikhlas.
Semakin berdiskusi, aku mengambil kesimpulan bahawa, kerajaan perpaduan adalah kerajaan tiada pembangkang; melibatkan gabungan antara PR dan BN, bukan PAS dan UMNO.
Aku tidak tahu, apakah benar kefahaman aku itu, atau pun salah. Jika salah, tolong betulkan kefahamanku itu, dengan menyatakan bentuk kerajaan perpaduan yang dicadangkan.
ISLAM UNTUNG
Isu kerajaan perpaduan yang dibicarakan adalah sesuatu yang bersifat ijtihadi. Apabila ia adalah perkara ijtihadi, sudah pasti ianya diberikan dua pahala sekiranya benar, dan satu pahala sekiranya salah.
Yang pastinya, pahala mesti dapat. Yang tidak dapat pahala, apabila tidak berijtihad langsung.
Dalam berijtihad pula, kadangkala ianya tepat dengan waqi atau tidak. Mungkin ianya amat sesuai dikala ini, bahkan kadangkala ianya tidak sesuai di kala ini, tetapi amat sesuai di kala yang mendatang.
Sebab itulah, kita dapat melihat bagaimana penolakan terhadap fatwa Ibnu Hazm di zaman beliau, tetapi fatwa yang sama dirujuk kepada beliau, bahkan amat relevan di zaman kini.
Mungkin kita perlu berbicara tentang kesesuaian kerajaan perpaduan di zaman kini, bukan kesesuaian di masa akan datang, ataupun di masa yang telah berlalu. Justeru, ianya perlu dilihat dari sudut ”maslahah” dan ”mafsadah” yang wujud pada kerajaan perpaduan yang dicadangkan.
Unsur ”maslahah” dan ”mafsadah” yang ingin dibicarakan, sudah pasti dilihat kepada keuntungan Islam; juga islam tidak mendapat kerugian dari kerajaan perpaduan.
Oleh itu, apabila kerajaan perpaduan itu difahami sebagai gabungan antara PAS, PKR, DAP, UMNO, MCA, MIC dan semua parti-parti, sehinhga tidak wujud lagi pembangkang dalam kerajaan, apakah ianya dapat menguntungkan Islam, atau merugikan Islam itu sendiri.
Pada penilaianku, jika itu yang difahami dari kerajaan Perpaduan, bukankah itu akan melahirkan satu persepsi buruk dari rakyat terhadap kita?
Ini kerana, sudah berpuluh-puluh tahun kita menyerang UMNO/BN; sudah berpuluh-puluh tahun kita mengutip derma untuk melawan UMNO/BN sehingga kita berjaya menanamkan pandangan bahawa UMNO/BN itu jijik dan kotor di mata rakyat, lalu kita menyeru keadaan sedemikian, bukankah ini akan melahirkan kebencian rakyat terhadap kita sendiri???
Lihatlah gambaran Pilihanraya kecil yang berlaku dalam negara kini. Apabila didapati, banyak PRK yang dimenangi berbelah pihak kepada Pakatan Rakyat, bukannya Barisan Nasional. Menunjukkan, kebencian rakyat terhadap UMNO/BN sememangnya berlaku; tidak boleh dinafikan lagi.
Justeru, apabila kita menyeru kepada kerajaan perpaduan yang ditafsirkan gabungan antara PAS, PKR, DAP, UMNO, MCA, MIC dan semua parti-parti sehingga wujudnya kerajaan tanpa pembangkang, bukankah itu adalah satu kerugian dalam dakwah Islamiyyah itu sendiri???
Secara peribadi, aku menilai UMNO/BN dalam keadaan kelemasan, walaupun mereka menjadi kerajaan yang memerintah di peringkat pusat. Makanya, cadangan kerajaan gabungan semua parti-parti ini seakan-akan memberikan nafas baru untuk UMNO/BN yang sedang kelemasan tersebut.
Mengapa tidak kita lenyapkan terus UMNO/BN dari muka bumi Allah SWT, juga dalam masa yang sama, kita merancang program dakwah berstrategi bagi memahamkan rakyat terhadap Islam itu sendiri???
Aku mengira, di kala ini (mungkin tidak dikala lain), ruang yang terbaik untuk melakukan tindakan tersebut dengan kewujudan kita dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
Mungkin kita akan menjawab, tindakan itu tidak syarie, kerana kerajaan Pakatan Rakyat yang dibina itu, terdiri dari kalangan ramai ahli-ahli parlimen yang tidak beragama Islam.
Persoalannya, apakah syarie pula kita membiarkan UMNO/BN memerintah?? ini kerana, jika membiarkan UMNO/BN memerintah, bermakna membiarkan UMNO/BN menjarah harta rakyat, membiarkan UMNO/BN menggodam sistem kehakiman, SPR, media dan banyak lagi???
Bukankah itu bermakna, kita rela berlakunya maksiat yang berbentuk penafian terhadap keadilan sejagat yang diperjuangkan oleh islam itu sendiri???
Entahlah !! aku tidak faham.. aku cuba mahu memahamkannya dari sudut yang positif, tetapi agak kurang boleh menerimanya, apabila aku menilai dari sudut Waqie kini.
Mungkin aku salah tanggapan tentang kerajaan Perpaduan yang dicadangkan. Pun begitu, aku mengharapkan diberikan pencerahan agar aku tidak kegusaran lagi !!! Memohon agar dinyatakan, dimanakah maslahah atau keuntungan yang Islam dapat dalam kerajaan perpaduan yang dicadangkan !!!
Sekian
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 mei 2009 * 6:55 petang