DA’I BERJIWA POLITIK
Politik Islam. dua kalimah yang digabungkan, melahirkan penafsirannya tersendiri. Politik bermaksud pentadbiran. Islam adalah agama yang diredai oleh Allah.
Berpolitik islam, bermaksud melakukan pentadbiran mengikut kehendak agama yang dikehendaki oleh Allah SWT. Tidak mentadbir mengikut kehendak Allah, maka tindakan itu bukanlah gambaran bagi orang yang berpolitik Islam.
Lawan Islam adalah kufur. Justeru, lawan bagi politik islam adalah politik kufur. Politik kufur adalah politik yang bukan sekadar tidak melaksanakan tanggungjawab ilahi, malah melawannya.
Dalam politik, perbahasan tentang maslahah dan mafsadah - manfaat dan mudaharat adalah perkara penting. Konsep maslahah dan mafsadah - manfaat dan mudharat merupakan maqasid disebalik pensyaritan hukum Islam.
Firman Allah;
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya;
“menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk”
(Surah Al-‘Araf : 157)
Semua perkara yang qatii yang berbentuk suruhan, maka ia adalah maslahah. Adapun perkara yang qatii yang berbentuk larangan, maka ia adalah mafsadah, waimma akal tidak memahaminya sekalipun.
Sebab itu, di saat pengharaman arak di zaman Nabi, walau sahabat ketika itu tidak mengetahuinya mafsadah arak, mereka tetap meninggalkannya. Pun begitu, dengan ketinggian teknologi moden, baru sekarang terbukti kemafsadahan arak.
Ini menandakan, sesuatu pengharaman yang datang dari nas yang qatii ad-dilalah adalah mafsadah. Adapun perkara yang halal pula, maka ia adalah maslahah.
Adapun perkara yang bersifat zanni, sesuatu suruhan dan larangan, akal diberikan ruang untuk menilai disebalik maslahah dan mafsadahnya.
Begitujuga, dalam perkara yang tiada nas, tetapi wujud di zaman kini. Maka hendaklah dilihat maslahah dan mafsadahnya. Jika wujud maslahah, maka ia adalah halal - harus. Sebaliknya, jika wujud mafsadah, maka ia adalah haram.
Mana mungkin Allah halalkan perkara yang memberikan keburukan kepada manusia. Begitujuga, mana mungkin Allah akan haramkan perkara yang memberikan kebaikan kepada manusia.
Jika sesuatu tindakan yang hendak dilakukan, perlu dilihat terlebih dahulu, apakah tindakan tersebut boleh mendatangkan maslahah atau mafsadah; mendatangkan kebaikan, atau mendatangkan keburukan.
Jika sesuatu tindakan itu dilihat ada pertembungan antara mafslahah dan mafsadah, perlu dilihat apakah maslahahnya lebih besar, atau mafsadahnya lebih besar.
Jika melahirkan mudharat yang sedikit, tetapi mendapat maslahahnya yang lebih besar, maka ambil yang maslahah yang besar itu, waimma terpaksa melakukan mudharat yang kecil.
Orang minum arak memang wajib diusahakan agar dia berhenti dari minum arak. Pun begitu, perlu difikirkan cara yang paling berkesan agar dia sememangnya berhenti minum arak.
Jangan berpuas hati semata-mata seseorang itu berhenti minum arak dihadapan kita, tetapi dibelakang kita dia masih lagi kuat minum arak. Sebagai pendakwah, perkara yang wajib difikirkan adalah, bagaimana mahu jadikan peminum arak itu berhenti terus dari meminum arak.
Alangkah baiknya, jika peminum arak itu dijadikan kawan terlebih dahulu. apabila sudah menjadi kawan, sedikit demi sedikit kita dapat menyerap kefahaman kepadanya tentang keburukan arak, dan seterusnya dia dapat kesedaran dan terus berhenti dari minum arak.
Jika ini yang kita lakukan, kita mendapat dua keuntungan, iaitu kita mendapat kawan dan kita dapat berhentikan orang tersebut dari minum arak. jika dia tidak berhenti dari minum arak pun, sekurang-kurangnya kita sudah mendapat kawan.
Pun begitu, kalau kita terus sound, dibimbangi peminum arak itu akan terus lari meninggalkan kita. Justeru, Kawan pun kita tidak dapat, malah dia tetap terus minum arak. Bermakna, kita telah mendapat dua kerugian, waimma kita berpuas hati dapat ”sound” orang itu.
Melakukan bantahan kepada pihak kerajaan kerana mengadakan konsert, memang tindakan yang bijak dalam usaha hendak benteras kemungkaran. Jika dimarah pun, pihak penganjur program sahaja membenci yang sememangnya menjadi ”musuh” kita selama ini.
Begitujuga, dikira sebagai bijak jika pihak kerajaan tidak layan bantahan kita, maka kita lakukan program ”ramah mesra” dengan pengunjung-pengunjung konsert tersebut, disertai dengan nasihat yang kita kemukakan, sama ada dengan menggunakan risalah atau dengan berbual-bual dengan mereka sehingga menjadi kawan.
Tetapi, jika kita bertindak melakukan bantahan dengan berdemonstrasi, bukankah disitu kita telah mendapat banyak kerugian?
Konsert tersebut tetap berjalan macam biasa, disamping anak muda makin meluat dengan kita. Makanya, dalam pilihanraya umum, kita susah hendak mendapat undi dari mereka, seterusnya kita tidak berjaya menguasai kerajaan.
Bukankah, apabila mendapat kerajaan, kita telah mendapat ’lesen besar’ untuk menghapuskan maksiat?
Apabila kita tidak berjaya mendapat kerajaan, masakan konsert, maksiat yang lebih besar daripada ini pun kita tidak mampu nak benteras.
Justeru, sesuatu tindakan yang hendak dilakukan, perlu difikirkan cara yang lebih berkesan untuk dilakukannya. Dibimbangi, kita diumpamakan dengan pepatah, ”yang dikendong keciciran, yang dikejar tak dapat”
Mungkin inilah hikmat hadis Nabi SAW menggunakan perkataan ”mengubah/menukar” dikala melihat mungkar, tidak mengunakan perkataan ”memberhentikan” melalui hadis;
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya;
”barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah/menukar dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Itu merupakan selemah-lemah iman[1]”
Sekian
Baca sama;
Mat Skema yang tak cool
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com
- sri Indah (B), Sg Buloh
28 ogos 2009 * 3:18 petang
[1] Sahih Muslim : 70.