Khamis, 5 November 2009

ALLAH TIDAK HAIRAN DENGAN HARTA DAN RAKYAT KAMU”


“ALLAH TIDAK HAIRAN DENGAN HARTA DAN RAKYAT KAMU”

Kebijaksanaan Nabi SAW dalam mainan politik, menyebabkan nabi SAW berjaya menguasai Makkah tanpa berlaku pertumpahan darah. Perkara ini amat jelas berlaku dalam sejarah pembukaan kota Makkah (baca : Fath Makkah).

Setelah Nabi SAW berjaya menguasai Makkah, rupa-rupanya kejayaan tersebut menggentarkan sebilangan pemimpin-pemimpin di dua tamadun utama di zaman nabi; Rom dan Farsi.

Rom ketika itu, adalah sebuah kerajaan yang dikuasai oleh orang yang beragama kristian, sedangkan Farsi pula sebuah kerajaan yang dikuasai oleh orang yang beragama majusi.

Di Kerajaan Rom dibawah kepimpinan kristian, ada seorang pembesarnya bernama Abu Harisah bin ’Alqamah. Ketika berita Nabi SAW bersama para sahabat berjaya menguasai Makkah sampai kepada pengetahuan Rom dan Farsi, Abu Harisan telah bercakap dengan adiknya, ”Aku tahu bahawa ajaran Muhammad itu adalah benar. Kadang-kala Aku terfikir, untuk menganut ajaran Muhammad itu”

Adik Abu Harisah itu mendengar sambil menganggukkan kepalanya sahaja.

”cumanya, aku bimbang. Jika Aku menganut ajaran Muhammad, kemudian kerajaan ini akan berada di bawah pemerintahan Muhammad. Apakah ketika itu, aku mendapat harta dan rakyatku?” sambung Abu Harisah bin ’Alqamah.

Ekoran beliau bercakap sedemikian, menyebabkan Allah SWT turun ayat yang berbunyi;

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَنْ تُغْنِيَ عَنْهُمْ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَأُولَئِكَ هُمْ وَقُودُ النَّارِ

Maksudnya;
“Orang-orang kafir itu tidak terkaya terhadap mereka oleh harta dan anak-pinak (rakyat) mereka terhadap Allah sedikit pun. Mereka adalah bahan bakar api neraka”

(Surah Al-‘Imran : 10)

KEBENARAN TERSERLAH SEBAB BIJAKSANA BERPOLITIK

Kisah yang dinukilkan ini, memperlihatkan kepada kita betapa kebenaran sampai satu masa pasti akan teserlah. Sudah diketahui umum, Nabi SAW mula berdakwah di Makkah, tetapi dakwahnya itu ditolak oleh sebilangan besar pembesar-pembesar Makkah, termasuk bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab.

Nabi SAW terpaksa beralah di Makkah, iaitu berhijrah meninggalkan Makkah menuju ke Madinah demi kemaslahatan dakwah islamiyyah, waima hati kecilnya terlalu sayang tanah tempat kelahirannya. Pun begitu, demi dakwah dan menunaikan perintah Allah, waima hati kecil terlalu sedih meninggalkan makkah, maka perjuangan dakwah di madinah tetap dilakukan.

Di Madinah, Nabi SAW banyak melakukan ’reform’ dalam pemerintahan. Nabi SAW menggubal perlembagaan madinah, membina masjid, wujudkan perdamaian antara penduduk Islam dan yahudi dan banyak lagi. Semua ini, menyebabkan Islam semakin hari semakin tersebar, seterusnya ramailah yang memeluk islam, tidak kira mereka yang berbangsa arab, mahupun yang beragama yahudi.

Kebijaksanaan Nabi SAW dalam berpolitik semakin terserlah, iaitu dengan satu sejarah besar di dalam islam yang disebut sebagai sejarah perjanjian al-Hudaibiyyah (Sulh Al-Hudaibiyyah). Dalam isi perjanjian tersebut, banyak dilihat seperti merugikan umat Islam, tetapi ternyata memberi keuntungan besar kepada Umat Islam 10 tahun kemudian dari itu. (sila klik)

Apa yang dapat dilihat, kebijaksanaan berpolitik Nabi SAW dalam perjanjian Al-Hudaibiyyah, menyebabkan Nabi SAW berjaya menguasai Makkah.

Kejayaan ini, menyebabkan dunia ketika itu melihat Islam dan Nabi Muhammad SAW. mereka mengkaji dan meneliti keberadaan Nabi Muhammad, menyebabkan mereka menerima Islam.

Di zaman Omar bin Al-Khattab, dapat dilihat bagaimana Islam sudah berjaya tersebar sampai ke satu pertiga dunia. Semuanya bersebab, kebijaksanaan NabiSAW dalam berpolitik. Waima mereka tidak melihat nabi, tetapi mereka berjaya menerima Islam ekoran mengetahui Nabi SAW dari berita-berita yang kedengaran lantaran mainan Politik yang maha bijak yang dilakukan oleh Nabi SAW.

KUFUR KERANA HARTA DAN PANGKAT

Manusia menjadi kufur mempunyai sebab yang banyak. cumanya, dari ayat ke 10 dari surah Al-Imran, Allah menyatakan bahawa ada dua sebab besar manusia tidak menerima Islam; kerana harta dan rakyat.

Dalam Al-Quran sendiri, kita akan berjumpa banyak kisah-kisah yang dinukilkan oleh Allah menceritakan tentang tokoh-tokoh besar yang menjadi kufur, seperti Firaun, Namrud, dan sebagainya. boleh dikatakan, kekekufuran mereka berakibatkan dua faktor penting ini.

Dibaca perjalanan hidup Abu Talib, kita juga dapati bahawa beliau kekal dengan kekufuran sehingga kematian, adalah bersebab rakyat; kerana bimbang rakyatnya mengetahui bahawa dia menganut ajaran anak saudaranya sendiri.

Ada sebilangan ulama tafsir mengatakan, ayat ke 10, surah Al-Imran ini diturunkan juga berkenaan dengan orang yang tidak mahu pergi berjihad. ia menggambarkan, kerana harta dan anak-pinak, ada dari kalangan manusia tidak mahu berjihad.

BAHAN BAKAR API NERAKA

Ketika api dinyalakan, sudah pasti memerlukan bahan nyalaan api. Antara api dan nyalaan api, sudah pasti nyalaan api lebih panas.

Begitujuga neraka. Dalam neraka, bahan bakar api neraka ini tidak sepertimana bahan bakar api dunia. Bahan bakar api di dunia, memerlukan kayu, minyak, getah dan sebagainya, sedangkan api neraka, bahan bakarnya adalah manusia yang kufur kepada Allah SWT.

Menurut Imam Al-Fakhr Ar-Razi, bahan bakar adalah azab yang paling hebat; ia merupakan azab yang paling akhir; yang wujud dalam neraka.

Allah SWT menyatakan dari surah Al-Imran ayat ke 10 ini, betapa orang yang kufurkan ayat-ayat Allah disebabkan harta dan rakyatnya, bahawa mereka akan mendapat azab yang maha hebat ini; sebagai bahan bakar api neraka.

Minta berlindung kita dengan Allah, daripada azab yang maha hebat ini.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
6 november 2009 * 7:29 pagi






2 ulasan:

lutfi berkata...

Salam Ustaz,

Semoga semua benefited dari tulisan2 ustaz.

mengenai jarak antara treaty of hudaibiyah dgn fathul makkah, mengikut apa yg saya faham, tak sampai 2 tahun. permulaan journey dari madinah ialah monday, 1st Zulqaidah tahun 6 Hijrah, dimana berlakunya perjanjian hudaibiyah (al-majmoo', by An-Nawawee). dan nabi saw masuk mekah semasa Fathul Makkah pada pagi jumaat, 20th ramadan, tahun 8 Hijrah (As-seerah An-Nabawiyah by Abul Hasan An-Nadawee). lebih kurang jarak 23 bulan. maknanya dlm jangka yg pendek tk sampai dua tahun, berlipat2 kali ganda org masuk Islam walaupun perjanjian itu berat sebelah kpd kaum musyrik quraisy. wallahu'alam

Al-Bakistani berkata...

terima kasih atas komentar yang amat bernas...

cumanya, komen ana..

Ana tidak nafikan kekhilafahan ulama-ulama tarikh dalam penentuan jarak antara perjanjian hudaibiyyah dan fath Makkah

pun begitu, jika kita merujuk kepada kitab tafsir, kita akan dapati banyak kitab tafsir menyebut tafsiran ayat surah al-Fath ayat 18, bahawa jarak antara perjanjian hudaibiyyah dan fath Makkah selama 10 tahun..

wallahu 'Alam

Sekian

Al-Bakistani