Ahad, 5 Disember 2010

AKU KAGUM "HUBUNGANNYA DENGAN ALLAH"

Aku bukan seorang ahli tasawwuf, lebih-lebih lagi sehingga sanggup menghabiskan seluruh hidupku dengan tarikat itu dan tarikat ini. Semasa di pondok dahulu, Tuan Guru Haji Abdur Rahman Lati pernah mengijazahkan aku satu amalan tarikat, tetapi aku tidak amalkannya. Amalan sekadar "la ilaha illa Allah" yang Tuan Guru suruh aku amalkan sehari sebanyak satu ribu kali, aku tidak amalkannya.

Secara peribadi, aku lebih berminat beramal dengan zikir-zikir yang warid dari hadis yang saheh dan dari Al-Quran. Ekoran itu, Ma'surat adalah amalan zikir yang paling aku yakin, berbanding zikir-zikir atas nama Hizb dan sebagainya.

sefaham aku, Amalan zikir adalah hubungan antara manusia dengan Tuhannya. hati yang berzikir, hati yang selalu teringat kepada kekuasaan-Nya yang maha hebat. orang yang "syok" berzikir, adalah orang yang sedang "syok" bersama Allah.

Kadangkala, berkawan juga membantu untuk kita berzikir. Walau sekadar menyebut "YA Allah", atau "Ya Rahman" atau sebagainya, kadangkala dengan bantuan kawan tersebut, perkataan "YA Allah" atau "Ya Rahman" yang diungkap sekali ungkap itu mengingatkan kita kepada tuhan yang mencipta langit dan bumi, berbanding kita menyebut "Ya Allah" seribu kali sambil memegang biji tasbih.

YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS adalah antara ramai-ramai kawan-kawanku yang terlalu minat berbicara tentang dirinya dengan Allah. Dalam bulan ramadhan, boleh dikatakan hampir setiap minggu beliau telefonku di waktu sahur, semata-mata berbual-bual tentang hubungan diri masing-masing dengan Allah yang maha berkuasa.

Semasa berbual, kadangkala aku bercerita tentang ketuhanan dan beliau mendengar. Tetapi, semasa bercerita, hatiku tidak pernah hadir tentang apa yang aku ceritakan. Aku bercerita itu, tidak lebih sekadar pengetahuan ilmu yang dibaca dan didengar dari guru-guru, tanpa penghayatan terhadap cerita tersebut. Tetapi, setelah habis berbual, kadangkala aku termenung sendirian dan mula menghayati terhadap apa yang aku ceritakan itu. Menghayati hubungan diri dengan Allah dalam keadaan termenung sendirian itu lebih memberi kesan dan terasa manis pada jiwa berbanding bercerita dalam telefon tadi.

Antara kawan-kawanku yang lain; yang cukup menjadikan aku terkesan apabila berbicara tentang hubungan diri dengan Allah adalah pak bakaq Haq. Apabila berbicara tentang Allah, beliau sering menjadikan aku termenung sendirian. faktor bahasa yang diungkapkan oleh beliau, sudah cukup untuk aku akui bahawa beliau seorang yang cukup jujur dalam perkataan. kejujurannya dalam perkataan itu, kadangkala menyebabkankan aku termenung, mengenangkan Allah yang maha berkuasa.

Seperti yang diketahui ramai, Anak Pak Bakaq telah meninggal dunia semalam. Aku mengetahui berita itu, tidak lama selepas Allah telah mengambil roh Muhammad Sadiq. pada asalnya, aku menghantar sms kepadanya. tujuannya adalah sekadar ingin bertanya, apakah pada malam itu kami boleh berjumpa untuk berbual dan bertanya khabar. Tetapi, SMS yang dibalasnya itu ternyata menyebabkan hatiku sebak sendirian.

"Tolong doa agar Allah ampunkan anak saya. Dia dah tak ada"

Aku cukup terkesan dengan perkataan "Allah ampunkan anak saya". membaca ayat ini, badanku seperti terkena letrik. Ayat itu, mengingatkan aku kepada Pak Bakaq yang menutup kesedihannya ketika anaknya sedang berada dalam HKL. Ayat itu, mengingatkan aku kepada Pak Pakaq yang boleh melawak dengan kami, walhal di saat itu dia sedang kesedihan dengan penderitaan anaknya yang sedang sakit.

Aku dapat rasakan kesedihan yang tersembunyi disebalik wajah Pak bakaq yang tenang. Aku dapat rasakan, walau dia melawak yang menyebabkan kami ketawa, tetapi disebalik ketawa itu tersembunyi seribu satu masalah yang sedang difikirkan.

Pada hari ini, sekali lagi hatiku sebak apabila membaca posting Pak Bakaq kali ini. [sila Klik]

sekian

Wallahu 'Alam


Al-Bakistani
- Sri Indah [b] Sg Buloh
6 Disember 2010 * 4:20 pagi




1 ulasan:

kulupSakah berkata...

man arafa nafsahu fakad arafa rabbahu