Rabu, 6 April 2011

KELAYAKKAN BERSAING UNTUK PRESIDEN

PAS di era sebelum lahirnya Pakatan Rakyat, tidak boleh disamakan selepas kewujudan Pakatan Rakyat. Di era lalu, wujud politik berlawan; antara PAS - UMNO. Tapi di era kini, politik adalah dua; berlawan dan bersaing.

Keadaan sekarang, PAS berlawan dengan UMNO. Perlu diingat, dalam keadaan sekarang juga PAS bukan sekadar berlawan dengan UMNO, tetapi perlu bersaing dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat; DAP dan PKR.

Kelayakkan PAS untuk menjadi ketua dalam Pakatan Rakyat perlu kepada keyakinan dari rakyat Malaysia. Keyakinan itu, bukan mempunyai imej yang baik sahaja, tetapi keyakinan dari segi penyusunan organisasi yang hebat; mempunyai kebijakan ajaib dan banyak perkara lagi.

Memandangkan kelayakkan mengepalai Pakatan Rakyat bukan terletak pada sesuatu parti, tetapi kelayakkan itu terletak pada seorang tokoh yang mengapalai parti. Makanya, kepala parti itu mesti orang yang mempunyai keyakinan di mata rakyat.

Tidak ada faedah seseorang ketua parti itu hanya disokong oleh ahli parti, tetapi tidak mendapat keyakinan rakyat. Ini kerana, seseorang ketua parti yang boleh mengepalai Pakatan Rakyat, bukan sekadar hasil dari sokongan ahli-ahli parti, tetapi hasil keyakinan dari rakyat paling ramai. Golongan paling ramai itu adalah orang yang berada di luar parti.

2 H : HUSAM ATAU HADI

Dalam usaha menjatuhkan penjajah di indonesia, rata-rata rakyat berkepingin dengan sukarno. Dengan ucapan yang gah, mampu membangkitkan rakyat indonesia untuk melawan penjajah.

Namun, selepas penjajah tersembam di bumi indonesia, sukarno masih lagi berbicara soal penjajah. ekoran itu, sukarno sudah tidak relevan lagi seperti beliau relevan sebelum kejatuhan penjajah. Jadinya, Rakyat indonesia mula muak dengan sukarno yang suatu ketika dulu amat disanjungi. Rakyat mahu bangun atas runtuhan penjajah, bukan mahu mendengar retorika sukarno yang tidak pernah jemu berbicara soal penjajah. Makanya, rakyat mula jemu terhadap sukarno, menyebabkan mereka menolak sukarno selepas kejatuhan penjajah.

Pakatan Rakyat dalam era ini, mungkin agak hampir sama dengan sejarah sukarno. Rakyat sudah muak dengan UMNO/BN yang menindas. Kenaikan harga barang, minyak, video lucah dan banyak lagi kebobrokan melahirkan kebencian rakyat.

Secara dasarnya, rakyat sudah muak dengan UMNO/BN. Cuma, rakyat masih tidak yakin dengan Pakatan Rakyat. Makanya, rakyat berbelah bahagi untuk memilih; antara BN atau PR.

Keyakinan rakyat ini perlu dibina. Tanpanya, agak sukar rakyat memberi undi kepada Pakatan Rakyat. bagi membina keyakinan ini, keberadaan pemimpin yang tidak diyakini tidak boleh dikekalkan. Sebaliknya perlu menampilkan pemimpin-pemimpin politik yang memberi wajah baru; sesuai dengan penampilan Malaysia di era terbaru.

PEMILIHAN MUKTAMAR

Pemilihan dalam muktamar kali ini, ada dua tokoh yang perlu ditampilkan sebagai calon Presiden PAS dalam usaha membina keyakinan rakyat. Dato Seri Abdul Hadi Awang dan Dato Paduka Husam Musa adalah calon yang terbaik perlu dipamerkan.

Kedua-dua tokoh ini telah tercipta nama dipersada politik negara. Abdul Hadi dengan watak ulamanya, dan Husam dengan watak seorang politikus yang bicaranya dalam soal agama dan politik, tidak lepas dari berfakta dan bermaklumat.

Secara peribadi, aku lebih bersetuju dengan Husam untuk menjadi Presiden PAS untuk pemilihan parti dalam muktamar pada kali ini. Tetapi mengenangkan maklumat dari hasil kajian Dr Abu Hasan yang memaklumkan bahawa PAS kemungkinan akan kalah teruk dalam PRU bakal berlaku ini, menyebabkan aku terpaksa menyokong Dato Seri Abdul Hadi untuk Presiden parti.

Ini kerana, dengan kekalahan teruk dalam PRU akan datang, memungkinkan berlaku sejarah pertukaran kepimpinan parti dalam muktamar selanjutnya. Keadaan ini pernah berlaku; iaitu dalam sejarah kejatuhan Dato Asri dahulu; kejatuhan beliau dari jawatan Yang DiPertua PAS [kini Presiden PAS].

MARAH

mungkin sebilangan pembaca akan marah dengan tulisan artikle ini. Tidak hairan juga, akan tersembur puluhan makian dari mereka yang bersentimen ulama.

Padaku, apa yang aku suarakan ini adalah soal hak sebagai ahli PAS dalam memberikan pandangan terhadap kemajuan partinya. Jika ada orang mahu menghalang, ia sama seperti menafikan hak.

Padaku, bukan soal ulama yang perlu dibangkitkan. Tetapi perkara yang perlu dibangkitkan adalah, apakah dalam era ini, orang yang berkelayakkan tidak perlu ditabalkan?

Tidak dinafikan bahawa Nabi SAW menyebut tentang ulama yang merupakan pewaris Nabi. Tetapi, ulama itu sendiri tidak semestinya berpakaian ala arab,malahan hendaklah mempunyai kefahaman agama yang mendalam. Pun begitu, tidak cukup sebagai ulama dalam memastikan kelayakkan seseorang pemimpin. bahkan kelayakkan itu adalah mereka yang mampu memberi saingan terhadap rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud, "apabila disandarkan sesuatu urusan itu bukan kepada ahlinya [tidak layak], maka tunggulah saat kebinasaan".

Dalam hadis ini, Nabi SAW tidak menyatakan ulama yang mampu menahan kehancuran, tetapi yang mampu menahan kehancuran adalah mereka yang berkelayakkan terhadap sesuatu jawatan yang disandangnya.

Sekian

Wallahu 'Alam

Sg Buloh.
7 april 2011 * 2:40 pagi.

Ahad, 3 April 2011

BERCAKAP ISLAM DALAM GEREJA

Satu hari jumaat. Aku dijadualkan berkhutbah di salah sebuah masjid di Petaling Jaya. Dalam perjalanan, telifon bimbitku berbunyi. Di screen termaktub nama "khalid Al-Haj".

"apa hal pak aji khalid samad ni tel pula.. mesti ada hadis-hadis yang dia nak confirmkan" bisik hati kecilku.

Aku angkat telefon. Tidak sempat memberi salam, Khalid samad sudah memberi salam. Aku menjawabnya.

"anta apa khabar?" soalan awal kedengaran dalam sesawang telifon bimbitku.

"alhamdulillah, khair" balasku dalam bahasa arab.

"eh.. Hadis yang sebut, barangsiapa menyakiti non Muslim, maka dia telah menyakiti hatiku juga.. Bunyi arabnya macam mana?"

Aku pun membaca matan hadis tu dalam bahasa arab. aku pasti, khalid menulis hadis itu, kerana dia bertanya beberapa huruf untuk dapat kepastian.

Aku menghurai lebih kurang tentang hadis itu. kerana, dari sudut pengajian hadis, hadis tersebut banyak berlaku pertikaian. Ada ulama menyatakan bahawa ia bukan perkataan Nabi Muhammad SAW, tetapi ia perkataan Umar bin Abdul Aziz.

Namun begitu, aku mencadangkan satu hadis lain yang saheh. Iaitu hadis yang bermaksud, "barangsiapa menzalimi non muslim, atau mengambil hak mereka tanpa jalan yang betul, mengurangkan hak mereka, maka hari akhirat nanti, aku akan menjadi penghujah terhadap mereka [non Muslim]"

Aku menyebutnya dalam matan arab. Dan aku yakin, ketika itu Khalid Samad menulis hadis tersebut.

Aku bertanya, mengapa dia bertanyakan tentang hadis itu. Diberitahu bahawa dia telah dijemput untuk hadir dalam satu forum bersama paderi dan penganut kristian di salah sebuah gereja di PJ.

Aku bertanya, bila forum itu berlaku? Dia menjawab, "selepas selesai solat jumaat".

mengenangkan pada hari tersebut aku berkhutbah di PJ, aku meminta izin beliau untuk hadir. Ternyata Khalid samad tidak menghampakan aku.

***

Setelah selesai solat jumaat, aku terus ke gereja yang dimaksudkan bersama dengan seorang pelajar Medic UM. memang menarik melihat dan mendengar ahli-ahli penal yang dijemput menyatakan pandangan masing-masing.

Boleh dikatakan, disebelah kristian, semuanya dari kalangan ilmuan-ilmuan kristian, tetapi di pihak Islam, yang hadir adalah seorang yang tidak bergelar ulama, tapi sekadar seorang profesional muslim yang merupakan seorang ahli politik dari parti Islam.

Dalam forum terbabit, berbagai-bagai lagi ulasan yang kedengaran. Dari pihak Khalid Samad pula, beliau berjaya mengemukakan hujjah yang menarik dalam menggambarkan keadilan Islam yang wujud dalam Al-Quran dan as-Sunnah. Yang lebih aku berbangga, apabila khalid telah membaca hadis yang aku maklumkan kepadanya, didapati bahawa boleh dikatakan paderi dan orang kristian yang hadir menepuk tangan, tanda sokong terhadap kandungan hadis yang dibaca oleh Khalid Samad.

***

Sebagai orang Islam, sudah pasti keadaan ini amat membanggakan aku. Perkara yang aku fikirkan adalah, bagaimana Islam yang sering dilihat dengan prejudis oleh non Muslim sudah mula diterima mereka. Walaupun mereka tidak memeluk Islam, tetapi dengan sikap mereka menyatakan Islam adalah agama adil adalah satu kebanggaan yang cukup besar bagi diriku.

Lebih aku bangga, apabila ada seorang teman berbangsa cina dan beragama kristian tadi berkata kepadaku, "Saya kenal Islam, melalui politik... kalau tidak kerana politik, mungkin saya tidak nampak Islam sebagai agama yang baik".

Sekian

Sg Buloh
4 april 2011 * 2:25 pagi.

Sabtu, 2 April 2011

MENILAI PANDANGAN HT TENTANG DEMOKRASI

Demokrasi bukan satu sistem yang terbaik. Tetapi buat masa ini, itu sahaja sistem yang ada.Ia sama seperti hukum masbuk bagi orang yang lewat solat jumaat. Seseorang yang sempat mendapat rukuk dalam rakaat kedua imam dalam solat jumaat, adalah orang yang mendapat solat jumaat, dan solat jumaatnya adalah sah. [fiqh manhaji]

Hukum sah solat bagi orang yang lewat solat jumaat sekiranya dapat rukuk dalam rakaat Imam itu, bukanlah bermakna orang Islam mesti bertindak dengan selalu datang lambat agar sentiasa masbuk dalam solat jumaat. Tindakan itu bercanggah dengan firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ

Maksudnya;
"apabila diseru kepada solat, maka hendaklah dia bersegera kepada mengingati Allah dan meninggalkan jual beli".

[Al-Jumuaah : 9]

Namun begitu, sekiranya adalah kes-kes tertentu, seperti terlewat kerana kesebukan kerja, terlalai, tertidur atau sebagainya, maka kelewatannya itu sehingga dia sempat mendapat tamaninah dalam rukuk pada rakaat kedua imam, menunjukkan ia dapat rakaat tersebut.

Maka begitujuga situasi gerakan Islam di Malaysia yang menggunakan demokrasi. Ia bukan bermakna demokrasi itu satu sistem yang terbaik [kalau dibandingkan dengan monarki, sudah pasti demokrasi lagi baik]. Tetapi, memandangkan ia adalah satu-satunya sistem yang diamalkan di Malaysia untuk mengubah perlembagaan kepada Islam, maka ia dibenarkan. Lebih-lebih lagi, keterlibatan itu melahirkan banyak kemaslahatan kepada umat Islam, juga pada perlaksanaan Islam itu sendiri.

Perlu disedari bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang menjadikan perlembagaan sebagai dasar rujukan kerajaan. Pembentukan perlembagaan atau penggubalan terhadap perlembagaan itu tertakluk kepada satu sistem yang bernama demokrasi. Memandangkan pemerintahan pada hari ini tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan, disamping kezaliman semakin berleluasa, tidak dapat tidak perlembagaan yang ada wajib digubal, malahan digantikan dengan yang lebih baik. Ia disifatkan sebagai melaksanakan tugasan amar makruf dan nahi mungkar.

mengenangkan perkara itu, cara untuk melakukan tindakan itu hendaklah sesuai dengan manhaj Nabawi yang telah dicerapi oleh para ulama mujtahid yang berkelayakkan.

Dalam perbahasan ini, dinyatakan manhaj Nabi SAW dalam melakukan tindakan tersebut adalah seperti berikut;

1- tindakan itu hendaklah bersifat waqie
2- tindakan itu hendaklah tidak melahirkan kemudharatan yang lebih besar.

Nabi Muhammad SAW bertindak, sememangnya tindakan itu bersifat waqie. Tindakan yang bersifat angan-angan, ia tidak dilakukan oleh Nabi SAW. Ekoran tindakan bersifat waqie itu, wujud dalam sirah beberapa istilah, seperti hijrah, sulh al-Hudaibiyyah, perjanjian aqabah dan banyak lagi. Tanpa keperluan waqie ketika itu, Nabi SAW tidak perlu melakukan sulh al-hudaibiyyah sehinggakan terpaksa melakukan satu perjanjian yang dilihat secara umumnya seperti menguntungkan musuh, malahan mendapat tentangan dari sebilangan sahabat.

Begitujuga, Nabi SAW tidak meruntuhkan kaabah, lalu dibina balik pada tapaknya yang sebenar setelah berlaku fath Makkah sambil Nabi SAW berkata kepada Aisyah;

لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Maksudnya;
"kalaulah tidak umat kamu baru sahaja meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku sudah lakukannya [runtuh dan bina balik pada tapaknya]". [Muwatta’ : 710]

Semua menandakana bahawa tindakan Nabi SAW itu bersifat waqie ketika itu.Dibawah maksud manhaj nabawi juga adalah, bertindak yang tidak melahirkan mudharat yang lebih besar.

Kaedah fiqh ada menyebut, "kemudharatan hendaklah dihapuskan sekadar yang mampu". Ia sudah pasti berasaskan kepada sabda Nabi SAW;

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya;
"Apabila aku mencegah kamu berkenaan sesuatu, maka hindarilah ia. Apabila aku menyuruh kamu lakukan sesuatu urusan, lakukannya sekadar kemampuan kamu". [Al-Bukhari : 6744]

Juga sabda Nabi SAW;

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya;
"barangsiapa yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah ia tukar dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu, maka dengan benci dalam hati. Ia merupakan selemah-lemah iman". [Muslim : 70]

Dalam mensyarahkan hadis ini, perkataan Qadhi Iyad telah dinukilkan oleh Im,am An-Nawawi dalam syarah Muslim. Beliau menyatakan;

هَذَا الْحَدِيث أَصْل فِي صِفَة التَّغْيِير فَحَقُّ الْمُغَيِّر أَنْ يُغَيِّرهُ بِكُلِّ وَجْه أَمْكَنَهُ زَوَاله بِهِ قَوْلًا كَانَ أَوْ فِعْلًا

Maksudnya;
“hadis ini adalah asal sifat mengubah [kemungkaran]. menjadi hak pihak yang mengubah [orang yang melihat kemungkaran] bahawa dia mengubah dengan semua bentuk yang termampu menghilangkannya [kemungkaran], sama ada dengan perkataan atau dengan perbuatan" [Syarh An-Nawawi : 1/131].

Jadi, keterlibatan dengan demokrasi di Malaysia dalam usaha menjatuhkan kemungkaran pemerintahan, disamping dalam usaha hendak mengubah perlembahaan yang merupakan dasar pemerintahan adalah satu perkara yang mesti. Tindakan tidak terlibat, akan mengakibatkan kemungkaran pemerintahan yang boleh dikurangkan akan terabai. Ia sudah pasti mengundang kemudharatan yang lebih besar; ia sudah pasti tidak dikehendaki oleh Allah SWT.

HARAM QATIE?

Ada sebilangan pihak menganggap demokrasi adalah sesuautu yang haram secara mutlak. Lebih sadis, apabila ia dinilai sebagai haram qatie.

Hendaknya diperhatikan bahawa penilaian sesuatu disebut sebagai haram qatie adalah bersandarkan kepada nas yang bersifat qatie as-subut dan qatie ad-dilalah, atau zannie as-subut dan qatie ad-dilalah.

contohnya solat. Ia termaktub secara qatie as-subut [mutawatir, sebab firman Allah], dan mencapai qatie ad-dilalah sehingga tidak berlaku perbedaan pendapat langsung atas kewajipan solat. Dalam nas itu, disebutkan secara terang kewajipan solat. Ekoran itu, orang yang menyalahi kewajipan solat dikira sebagai murtad; terkeluar dari Islam.

Adapun demokrasi, tidak ada satu nas yang qatie as-subut dan qatie ad-dilalah menyatakan pengharamannya. Jadi, tindakan pihak yang menyatakan bahawa demokrasi adalah haram secara qatie adalah tindakan yang salah. Malahan, tuduhan demokrasi sebagai haram qatie, sama seperti mereka melebelkan Dr Yusuf Al-Qaradhawi sebagai terkeluar dari Islam.

Juga perlu diambil perhatian, larangan yang membawa kepada haram dalam nas ini mempunyai dua bentuk; larangan secara mutlak [An-Nahyu Az-Zati], dan larangan berbentuk sifat [An-Nahyu Al-Wasfi.

Larangan berbentuk sifat ini pula terbahagi kepada dua; sifat yang lazim [Al-wasf Al-lazim lahu] dan sifat yang berjiran [Al-wasf Al-Mujawir lahu] dengan larangan tersebut.

Contoh bagi larangan secara mutlak adalah larangan makan babi. Ini kerana, babi itu secara zatnya bersifat haram. Adapun contoh bagi larangan berbentuk sifat yang lazim, seperti larangan riba. Ini kerana, asal riba adalah jual beli kerana wujud muawadhad, iaitu pertukaran. Namun, memandangkan wujud sifat-sifat penambahan yang menindas, maka ia dikira haram. Contoh bagi larangan bersifat berjiran pula adalah seperti menunaikan solat dengan pakaian yang dicuri, atau berpuasa pada satu syawal.

Dari segi hukum, larangan secara mutlaq dan bersifat lazim ini, tidak timbul perbahasan yang panjang. Tetapi perbahasan fiqh berlaku pada larangan yang bersifat berjiran. Contohnya seperti seseorang yang melakukan puasa nazarnya pada satu syawal; apakah puasanya sah atau tidak.

Mengikut mazhab Hanafi, puasa nazar itu sah, tetapi perbuatannya itu haram. Ini kerana, larangan itu berlaku pada sifat [satu syawal], bukan pada zat puasa.

Maka begitulah juga demokrasi. Ia bukan larangan dari sudut zat, tetapi ia adalah larangan bersifat berjiran. Ekoran itu, demokrasi yang digunakan untuk menukar hukum Allah yang sudah termaktub dalam al-Quran adalah haram. Ini kerana, firman Allah;

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya;
"hari ini, telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku cukupkan nikmat-nikmatku dan aku redha Islam sebagai agama".

[Al-Maidah : 3]

Tetapi, demokrasi yang digunakan dalam bentuk tanfiz, iaitu perlaksanaan sesuatu hukum Islam seperti mencari pendapat yang rajih dikalangan ulama untuk diadaptasikan dalam pemerintahan, menentukan pertukaran pemimpin dan sebagainya, maka ia dibenarkan.

HAKIKAT DEMOKRASI

Sesuatu hukum itu, tertakluk kepada hakikat benda. Ia tidak tertakluk kepada nama. kaedah ada menyebut;

الحكم علي شيء فرع عن تصوره

Maksudnya;
"hukum pada sesuatu itu, satu bahagiannya adalah terletak pada [mengetahui] gambaran [benda yang hendak dihukumkan]"

Jadi, untuk memastikan sesuatu status hukum, hendaklah dipastikan hakikatnya, bukan dinilai pada ungkapan lidah-lidah manusia yang sudah masyhur, atau istilah-istilah yang sudah menjadi uruf di kalangan masyarakat.

Juga, ia tidak boleh dinilai dari sudut namanya yang datang dari non Muslim, maka ia ditolak. Ini kerana, kaedah menyebut;

الحكم يدور علي المسوي لا علي الإسم

Maksudnya;
"hukum itu berlegar pada benda yang diberi nama, bukan pada nama"

Demokrasi adalah satu istilah yang berasal dari Yunani. Ia bermaksud, suara rakyat. Demokrasi ini sering disebut sebagai sistem pemerintahan. Didalamnya terkandung beberapa perkara penting, seperti hak bersuara, hak golongan minoriti, rakyat menentukan keputusan dan banyak lagi.

perlu diperhatikan, status sesebuah negara itu tertakluk pada perlembagaan yang merupakan sumber rujukan sesebuah negara. Sekiranya perlembagaan itu menjadikan Islam sebagai dasar rujukan negara, sudah pasti negara itu digelar sebagai negara Islam. Maka begitujuga pada yang lainnya.

Adapun demokrasi, ia bukan sistem pemerintahan, tetapi sistem pemilihan dalam menentukan sesuatu sistem atau dasar pemerintahan. Dengan maksud, demokrasi mampu menjadikan perlembagaan yang menjadi dasar sesebuah pemerintahan itu bertukar; [jika di Malaysia] dari bentuk sekarang kepada islam menjadi rujukan.

Begitujuga, demokrasi merupakan merupakan sistem lantikan seseorang pemimpin dalam sesuatu pemerintahan. Dari itu, sebutan demokrasi sebagai sistem pemerintahan adalah sebutan ringkasan yang perlu dijelaskan lagi. Ia seperti Allah SWT menyebut;

وَاسْأَلِ الْقَرْيَةَ

Maksudnya;
"tanyalah qaryah [pekan]"

[Yusuf : 82]

dalam ayat ini, Allah SWT suruh tanya pekan, walhal pekan tidak boleh menjawab pertanyaan. Dari itu, para ulama menyatakan pada ayat "tanyalah pekan" itu mengandungi kalimah yang tidak termaktub, tetapi difahami secara uruf bahasa, bahawa maksudnya adalah, "tanyalah kepada ahli pekan tersebut" [kalimah ahli ditambah].

Nyata disini, bahawa demokrasi bukan sistem pemerintahan, sebaliknya adalah sistem pemilihan atau penetapan pada sesuautu dasar/sistem pemerintahan, atau seseorang pemimpin negara. Ia sama seperti orang menyatakan SPR merupakan satu sistem penyusunan dalam mengurus pilihanraya, tetapi ia bukan sistem pilihanraya. Ekoran dari itu, nyata bahawa perdebatan demokrasi ini, hendaklah dalam kerangka sistem pemilihan/penentuan terhadap sesuautu dasar pemerintahan, bukan sebagai sistem pemerintahan.

LARANGAN DAN DIBENARKAN

Pemerintahan islam adalah pemerintahan yang terlaksana hukum Islam. Dengan apa jua bentuk sekalipun, sesuatu pemerintahan itu sudah termasuk dibawah maksud pemerintahan Islam sekiranya terlaksana hukum Islam dalam pemerintahan tersebut.

Ekoran itu, kita akan dapati Muawiyyah telah memasukkan elemen monarki dalam pemerintahan islam. tindakan memasukkan elemen itu, tidak mencacatkan bagi maksud pemerintahan Islam. [lihat buku "islam, politik dan pemerintahan]

Jika monarki yang mempunyai kuasa individu pun dibenarkan, maka tidak ada sebab mahu dikatakan haram menggunakan demokrasi dalam pemerintahan Islam. Ini kerana, demokrasi tidak tertakluk kepada suara individu, tetapi tertakluk kepada suara rakyat [suara ramai].

DEMOKRASI TERLARANG

Dalam artikle lepas, dinyatakan bahawa demokrasi adalah pengharaman berbentuk sifat yang berjiran [Al-Wasf Al-Mujawir lahu]. Jadi, secara zatnya tidak haram, tetapi pengharaman itu berbentuk sifatnya sahaja. Justeru, pembuangan sifat akan mengembalikan kepada hukum zatnya.

Lantaran itu, apabila wujud beberapa sifat-sifat, maka demokrasi jadi haram. Antaranya adalah seperti berikut;

Pertama;

suara majoriti rakyat [demokrasi] tidak boleh digunakan untuk menentukan dalam perkara yang bersifat qatie dan perkara yang diketahui dalam agama secara pasti.

Contohnya ; solat, puasa, zakat dan banyak lagi.

Firman Allah;

إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ

Maksudnya;
"tiada hukum kecuali kepunyaan Allah"

[Al-An’am : 57]

Kedua:

Suara majoriti tidak boleh digunakan untuk menghapuskan kandungan kitab [Al-Quran].

Firman Allah;

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ

Maksudnya;
"Apakah patut kamu beriman sebahagian kitab, dan mengkufurinya [menghapuskan] pada setengah yang lain. Tiada pembalasan terhadap apa yang kamu lakukan itu, kecuali kehinaan hidup di dunia, dan akhirat nanti kamu akan ditolak ke dalam azab yang hebat".

[Al-Baqarah : 85]


DEMOKRASI YANG DIBENARKAN

Dua sifat yang disebutkan diatas adalah faktor-faktor penyebab demokrasi diharamkan. Namun begitu, apabila dua sifat ini dibuang, maka ia kembali kepada hukum asal, iaitu harus.

Dalam keadaan begitu, demokrasi amat diguna pakai dalam perkara-perkara berikut;

Pertama;

Suara majoriti digunakan untuk memilih pendapat yang paling rajih. Ia berlaku dalam perkara khilaf, seperti contoh memakai pendapat Hanafi dalam menetapkan kewajipan geran bagi mereka yang meneroka tanah berbanding syafie yang tidak mewajibkan geran.

Sabda Nabi SAW,

اثْنَانِ خَيْرٌ مِنْ وَاحِدٍ وَثَلَاثٌ خَيْرٌ مِنْ اثْنَيْنِ وَأَرْبَعَةٌ خَيْرٌ مِنْ ثَلَاثَةٍ فَعَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَنْ يَجْمَعَ أُمَّتِي إِلَّا عَلَى هُدًى

Maksudnya;
“dua lebih baik dari satu. Tiga lebih baik dari dua. Empat lagi baik dari tiga. Hendaklah kamu dengan jemaah [majoriti], kerana Allah SWT tidak akan menghimpunkan umatku kecuali atas petunjuk”

[Musnad Ahmad : 20331]

Malahan, apabila berlaku pertembungan antara golongan yang kecil, nabi SAW menyuruh merujuk kepada suara ramai.

Sabda Nabi SAW;

إِنَّ أُمَّتِي لَا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلَالَةٍ فَإِذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan. Sekiranya kamu lihat perselisihan, maka hendaklah kamu ambil “As-Sawad Al-‘Azam””

[Ibnu Majah : 3940]

Dalam menafsirkan maksud “sawad a’zam”, Kitab As-Sindi menyatakan;

أَيْ بِالْجَمَاعَةِ الْكَثِيرَة فَإِنَّ اِتِّفَاقهمْ أَقْرَب إِلَى الْإِجْمَاع

Maksudnya;
“Jemaah yang ramai. Kerana, kesepakatan mereka lebih hampir kepada ijmak”

Imam As-Sayuti dalam menafsirkan “sawad ‘Azam”;

أَيْ جَمَاعَة النَّاس وَمُعْظَمهمْ الَّذِينَ يَجْتَمِعُونَ عَلَى سُلُوك الْمَنْهَج الْمُسْتَقِيم وَالْحَدِيث يَدُلّ عَلَى أَنَّهُ يَنْبَغِي الْعَمَل بِقَوْلِ الْجُمْهُور

Maksudnya;
“Ia adalah himpunan manusia dan kebanyakkan yang mereka bersepakat atas melalui jalan yang betul. Hadis itu menunjukkan bahawa selayaknya beramal dengan perkataan majoriti” [Hasyiah As-Sindi : 3940]

Al-Munawi pula berkata;

(فعليكم بالسواد الأعظم) من أهل الإسلام أي الزموا متابعة جماهير المسلمين فهو الحق الواجب والفرض الثابت الذي لا يجوز خلافه فمن خالف مات ميتة جاهلية

Maksudnya;
“[hendaklah kamu ikut sawad ‘azam dari ahli islam] iaitu, lazimi mengikut pendapat majoriti orang islam, kerana ia adalah kebenaran yang wajib dan fardu yang pasti, yang tidak harus menyalahinya. Barangsiapa menyalahinya, lalu mati, maka ia mati jahiliyyah” [Faidul Qadir : 2/547]

Kedua;

ia digunakan dalam tanfiz terhadap hukum-hukum Islam. Seperti, menangguhkan dulu perlaksanaan hukum potong tangan, memandangkan ia boleh mendatangkan kemudharatan dalam perlaksanaan di tahun kelaparan atau seumpamanya. Seperti, kelaparan yang memungkinkan mereka mencuri. Apabila dipotong juga tangan, ia akan mempamerkan laksana hudud dikala wujud shubhat.

Ini disandarkan kepada hadis bahawa nabi SAW tidak terus membetulkan kaabah pada tapaknya yang tepat disebabkan rakyat makkah baru sahaja meninggalkan kekufuran.

Ketiga;

apabila pemerintahan sudah menetapkan perlembagaan islam, maka pemimpin negara boleh digugurkan sekiranya dia melakukan tindakan-tindakan berikut;

1- zalim
2- Fasiq, dan
3- lembab [tiada kebijakan ajaib].
4- Dan sebagainya..

lalu, ia terserah kepada suara rakyat dalam menentukan kejatuhan atau pengekalan pemimpin itu sebagai pemimpin atau tidak.

Firman Allah,

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Maksudnya;
"jangan kamu cenderung kepada mereka yang melakukan kezaliman, kelak kamu akan disambar oleh api neraka".

[Hud : 113]

SYURA DAN DEMOKRASI

Ada sebilangan pihak mengatakan bahawa demokrasi tidak boleh digunakan kerana ia tidak pernah diamalkan oleh Nabi SAW. Malahan mereka mewajibkan kembali kepada syura. Dalam perkara ini, perlu dilihat dalam dua perkara, iaitu Syura dan amalan yang tidak dibuat oleh Nabi SAW.

Melihat kepada perlantikan empat orang khalifah Islam selepas kewafatan Nabi SAW, kita akan dapati bahawa cara pemilihan mereka tidak mempunyai satu cara. Tapi, dengan kepelbagaian cara itu, diiktiraf sebagai syura. [Al-Imamah Al-Uzma : 147 – 157]

Dengan ini difahami, bahawa yang dikatakan syura itu, sememangnya ia wujud nas kewajipannya. Iaitu firman Allah;

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

Maksudnya;
"lakukan syura dikalangan kamu. Apabila kamu berazam, maka hendaklah kamu bertawakkal kepada Allah".

[Al-Imran : 159]

namun, ayat ini bersifat umum, tanpa dinyatakan bentuk-bentuk syura secara khusus. Apa yang pasti, dalam kitab-kitab tafsir menyatakan, maksud syura yang merujuk kepada ayat ini adalah, "meminta dikeluarkan pandangan" [Tafsir Al-Jalalain : 59]

Apabila dilihat pada amalan sahabat selepas kewafatan Nabi SAW, kita dapati mereka tidak mempunyai satu bentuk yang khusus tentang syura. Malahan selepas datang zaman monarki dan dinasti, bentuk syura semakin bertukar sehingga ia diinstitusikan.Ini menandakan, bentuk syura itu tidak mempunyai satu bentuk yang khusus.

Malahan jika dirujuk dalam hadis pula, didapati bahawa Nabi SAW;

إِنَّ أُمَّتِي لَا تَجْتَمِعُ عَلَى ضَلَالَةٍ فَإِذَا رَأَيْتُمْ اخْتِلَافًا فَعَلَيْكُمْ بِالسَّوَادِ الْأَعْظَمِ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Umatku tidak akan bersepakat atas kesesatan. Sekiranya kamu lihat perselisihan, maka hendaklah kamu ambil “As-Sawad Al-‘Azam””

[Ibnu Majah : 3940]

Dengan ini, dikukuhkan lagi dengan sabda Nabi SAW dalam hadis yang lain, "empat itu lebih baik dari tiga, tiga itu lebih baik dari dua...."

NABI TAK BUAT

Mengenangkan Bentuk syura itu sendiri tidak mempunyai satu bentuk yang khusus, maka tidak menjadi kesalahan jika menggunakan demokrasi untuk dijadikan sebagai neraca dalam menentu sesuatu keputusan. Ini kerana, tidak semua perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW, maka ia adalah tertolak.

Malahan wujud satu hadis, dari Rifaah bin Rafi’ berkata, bahawa mereka solat jemaah bersama Nabi SAW. Apabila bangkit dari rukuk, kedengaran seorang sahabat menambah pada bacaan tasmi' [sami'Allahulman hamidah], dengan membaca, "hamdan kasiran taiyiban mubarakan fih".

Setelah solat, Nabi SAW bertanya, "siapakah yang membaca tadi". Sahabat itu menjawab, “Saya Rasulullah SAW’

Rasulullah terus menyatakan bahawa baginda nampak beribu-ribu malaikat telah turun telah mengangkat kalimah tersebut untuk dibawa naik kepada Allah. [Muwatta’ : 442]

Juga satu hadis, bahawa seorang sahabat yang telah bertayammum di musim sejuk disebabkan dia telah berjunub. Perbuatannya itu diketahui oleh Nabi SAW, menyebabkan baginda bertanya.

Dia menjawab dengan membaca satu firman Allah;

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya;
"jangan kamu bunuh diri kamu. Sesungguhnya Allah amat sayang kepada kamu".

Mendengar jawapan Amru bin Al-As itu, Rasulullah ketawa tanpa berkata apa-apa pun. [Abi Daud : 283]

Dari dua hadis yang dikemukakan ini, kelihatan bahawa tidak semua perkara yang tidak dibuat oleh Nabi, maka ia terlarang. Malahan, ia dibenarkan dilakukan selama ia tidak bercanggah dengan nas yang saheh dan sareh.

begitujuga, tidak terkeluar dari kerangka manhaj nabawi, sekiranya melakukan sesuautu tindakan yang tidak digunakan oleh Nabi SAW secara zahir, tetapi mempunyai sandaran dari sudut "khafie an-nas".

Jika dilihat pada hadis, bahawa Nabi SAW ada bersabda;

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya;
"barangsiapa melakukan sesuautu amalan yang bukan dari urusan kami ini, maka amalan tersebut akan tertolak" [Ibnu majah : 14]

Dalam mensyarahkan hadis ini, as-sindi telah menyatakan maksud dengan "urusan kami ini" adalah selama tidak bercanggah nas yang zahir, dan tidak bercanggah dengan nas yang khafie. [Hasyiah As-Sindi : 1/14]

Dengan maksud, sekiranya ia tidak bercanggah dengan nas yang khafie [bukan zahir perbuatan], maka ia tidak boleh diharamkan, malahan ia diketagorikan sebagai masyruk [disyariatkan].

Jadi, demokrasi tidak boleh diharamkan secara mutlak dengan alasan Nabi SAW tidak lakukan. Sebaliknya, dalam keadaan sekarang, iaitu dalam usaha menjatuhkan regim, maka menggunakannya adalah dibenarkan.

bersambung


Sg Buloh
3 April 2010 * 2:27 pagi