“Itu Ikhwan sudah menang memang diktator. Dulu cakap, mahu
buat demokrasi”, satu ungkapan dari seorang rakan berbangsa cina dan tidak
beragama Islam yang menyebabkan aku berfikir panjang. Ia diungkapkan selepas
berlaku kebangkitan rakyat mesir buat kali kedua yang tidak setuju dengan
deklarasi mursi, Presiden Mesir dari mazhab Ikhwan muslimun.
Aku berusaha mencari maklumat lagi. Membaca dan bertanya
kepada rakan-rakan yang selalu memberikan analisa yang tepat. Kalau tidak tepat
pun, ia hampir-hampir tepat. Berbagai ungkapan mereka. Cuma ayat yang paling
terkesan padaku, “habisla PAS. PAS agung-agungkan sangat ikhwan. Kononnya
tarbiah ikhwan. Demokrasi sebelum memerintah, tapi diktator selepas memerintah.
Kalau Ikhwan boleh buat, takkan anak buah ikhwan (iaitu) PAS tak boleh buat?”.
Aku mula berfikir, bahawa kekuatan PAS kini, mendapat
kepercayaan penuh dari non Muslim yang melihat PAS berdemokrasi. Cuba
bayangkan, jika kepercayaan ini hilang terhadap PAS? Otakku bergerak kuat
memikirkan hal ini.
Aku mula memikirkan bahawa penolakan terhadap sesuatu perkara
bermula dari prejudis. Perkara ini diakui sendiri oleh al-Quran. Apabila orang
mula prejudis dengan PAS, ini memberi gambaran negatif terhadap PAS dalam PRU
akan datang. Aku dapati, followers FB aku yang terdiri rakan-rakan yang tidak
beragama islam juga ramai. Rata-rata mereka selalu bertanyakan aku tentang PAS,
walaupun aku tidak mempunyai sebarang jawatan dalam PAS.
Aku tidak mewakili PAS, tetapi persepsi mereka melihat aku
seperti PAS juga menjadi masalah bagi diri aku. Dengan keadaan begini, aku mula
bimbang jika mereka prejudis dengan PAS ekoran kejadian di Mesir ini. makanya
aku perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan dari terlahirnya prejudis buruk
ini. aku mula mengutuk terhadap tindakan mursi yang dilihat seperti diktator
tersebut.
Aku berfikir, memang tindakan aku itu akan mencalarkan
peribadi aku di mata-mata pro mursi, tetapi ia berjaya menyelamatkan persepsi
rakan-rakanku dari kalangan non Muslim yang sedang berjinak-jinak dengan PAS.
Padaku, orang Malaysia yang pro mursi,
tidak akan meninggalkan PAS, tetapi rakan-rakanku dari non Muslim, memungkinkan
akan tidak menyokong PAS di masa akan datang. Aku bertindak, melakukan mudharat
kecil untuk mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Juga melakukan
tindakan yang boleh hilangkan mudharat yang pasti dengan melakukan tindakan
yang melahirkan mudharat yang zann sahaja.
PERSEPSI
Umar bin al-Khattab pernah meminta izin dari Nabi untuk
membunuh Abdullah bin Ubai ekoran kejahatannya. Tetapi, ia tidak diizinkan oleh
Nabi SAW kerana bimbang persepsi umum menyatakan bahawa muhammad membunuh
sahabatnya sendiri. Ini gambaran bahawa Nabi SAW amat pentingkan persepsi.
Isu politik, adalah isu persepsi. Meninggalkan persepsi, akan
menatijahkan keburukan dalam politik. Itulah hakikat politik sejak dahulu,
lebih-lebih lagi di era langit terbuka ini.
Tindakan Mursi itu, walaupun dilihat benar oleh sebilangan
manusia, tetapi sedikit sebanyak, ia memberikan persepsi yang cukup bahaya. Ia
bukan kepada Ikhwan sahaja, tetapi terhadap gerakan-gerakan Islam di negara
lain yang menjadikan ikhwan sebagai ummu al-Qura dan juga rujukan utama dalam
gerakan mereka. Gerakan Islam di dunia yang menjadikan ikhwan sebagai kiblat
tarbiah, sudah pasti akan terpalit dengan kesilapan ikhwan.
Apabila mursi ambil sikap “seperti diktator”, walhal sebelum
naiknya sebagai presiden, ikhwan banyak kali ungkap demokrasi, ia akan memberi
persepsi yang buruk kepada gerakan Islam lain yang menggunakan demokrasi yang
mereka belum memerintah. PAS di Malaysia, sudah pasti akan terpalit sama dalam
persepsi ini jika gagal diurus dengan baik.
REVOLUSI
Sekadar pembacaan aku terhadap politik mesir. Apa yang aku
tahu, asal revolusi ini berlaku ekoran dari sebilangan besar rakyat mesir yang
tidak mengundi pada tahun 2010. Dikatakan, hanya 40 juta dari 80 juta rakyat
mesir yang keluar mengundi, sedangkan yang berbaki tidak keluar mengundi.
Dikatakan, sikap yang diambil oleh rakyat mesir ketika itu adalah disebabkan
mereka meluat dengan politik.
Tindakan itu dilihat serius oleh seorang tokoh ternama juga
di mesir bernama muhammad al-Baradie. Beliau dikenali sebagai orang yang
mendapat anugerah nobel keamanan. Keadaan di mesir itu, menyebabkan beliau
telah melakukan kritikan terhadap pemerintahan Mubarak dengan bermula dari
facebook sahaja, sehinggakan follower Fbnya begitu ramai dan mula membicarakan
tentang keburukan pemerintahan Mubarak sehinggakan membawa ke medan tahrir.
Keadaan bertambah semakin hangat, apabila berlaku satu kes
terbunuhnya seorang budak lelaki bernama Khalid Said di iskandariah. Dikatakan
bahawa beliau terbunuh dalam tahanan polis ekoran tuduhan dadah. Perkara ini
dihangatkan dalam FB oleh seorang pemuda yang mempunyai pendidikan agak tinggi
di Mesir bernama Wael al-Ghanaim.
Semasa mereka
berhimpun di tahrir, mereka menuntut mubarak menyelesaikan empat perkara dasar,
iaitu kemiskinan ketara, rasuah yang bermaharaja lela, pengangguran yang
semakin teruk dan menyelesaikan maslaah inflasi dan gaji rendah di kalangan
pegawai-pegawai kerajaan. Tuntutan mereka diabaikan oleh mubarak.
Apabila mubarak tidak layan tuntutan tersebut, ia mengundang
kemarahan sehinggakan kedengaran khabar angin mengatakan bahawa mubarak bakal
meletakkan jawatannya, lalu mahu digantikan dengan anak lelaki mubarak untuk
memegang jawatan presiden. Berita angin ini mengundang marah di kalangan rakyat
yang sudah sedia berhimpun di medan tahrir sehinggalah terjadinya revolusi.
IKHWAN
Seperti yang diketahui umum, ikhwan tidak mempunyai keputusan
semasa revolusi sedang berlaku. Semasa mubarak belum lagi jatuh, ikhwan tidak
menghalang ahli-ahlinya untuk terlibat dengan revolusi, tetapi ikhwan sendiri
menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dengan revolusi. Di pihak salafi pula,
mereka agak ketara kerana mereka mengharamkan terus keterlibatan dalam revolusi
terbabit.
Namun begitu, selepas kejatuhan mubarak, ikhwan pandai mengambil
kesempatan, sehinggakan banyak kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihanraya
selepas kejatuhan mubarak. Disamping ikhwan yang tidak terlibat dengan
revolusi, geng salafi yang asalnya mengharamkan revolusi juga menjadi teman
akrab ikhwan selepas kejayaan Ikhwan dalam pilihanraya.
DEKLARASI
Sebelum berlaku deklarasi, kita mendengar kenyataan erdogan
yang mencadangkan sekular sebagai pemerintahan di mesir, tetapi ia ditolak oleh
ikhwan. Ternyata ikhwan hendak membuat pemerintahan mereka sendiri. Tanpa
berbincang dengan rakan-rakan yang sama-sama menjatuhkan mubarak, seperti
al-Baradei mereka membuat deklarasi mereka dengan mencadangkan Islam sebagai
asas negara, disamping menjadikan al-Azhar sebagai rujukan dalam perkara
syariat di mesir. Ia ditambah lagi dengan satu dekri yang seiras-iras dengan
dekri suharto pada tahun 1966 yang
meletakkan kuasa presiden bersifat mutlak, sehingga tidak boleh digugat oleh
sesiapa pun, hatta mahkamah.
Tidak dinafikan, memang tujuan menetapkan kuasa presiden
bersifat mutlak itu untuk menghalang tindakan sabotaj dari pihak mubarak,
tetapi tindakan mereka mengenepikan al-Baradei juga merupakan satu kesan yang
agak buruk yang bakal berlaku. Makanya, geng al-Baradie ini bangkit untuk
melawan mursi, dan diambil kesempatan oleh geng-geng pro mubarak seperti amru
musa.
PAS 1999
Keadaan ini, hampir sama seperti apa yang berlaku pada PAS
pada tahun 1999 yang lalu. Ketika itu, PAS berjaya menguasai terengganu dalam
Pilihanraya dengan isu Anwar Ibrahim, iaitu apabila beliau dipecat dari jawatan
Timbalan PM dan beliau telah diaibkan, dipukul dan dipenjarakan.
Apabila PAS mendapat tampuk pemerintahan, PAS telah melakukan
kempen negara Islam, juga menggubal rang undang-undang hudud terengganu, tanpa
berbincang terlebih dahulu dengan
rakan-rakan Barisan Alternatif (BA), seperti PKR dan DAP. Keadaan itu
melahirkan kemarahan dari DAP sehinggakan DAP telah keluar dari BA. Kesan dari
keadaan buruk itu, menyebabkan PAS dan PKR kalah teruk dalam PRU tahun 2004.
KEBIMBANGAN
Kalau kita melihat seni politik Rasulullah SAW, kita akan
dapati sejurus sahaja Nabi SAW mengambil tampuk pemerintahan Madinah, antara
tindakan yang Nabi SAW ambil adalah mengurangkan musuh, disamping meramaikan
kawan. Ini dibuktikan dengan tindakan Nabi SAW melakukan perjanjian
persahabatan dengan kaum yahudi di Madinah dengan menubuhkan satu perjanjian
bersama bernama piagam madinah. Jika diperhatikan kepada kandungan piagam, kita
akan dapati bagaimana unsur persahabatan itu wujud, seperti saling bantu
membantu dalam memajukan madinah, penjagaan nyawa antara satu dengan yang lain
dan sebagainya.
Seni politik ini diamalkan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz di
Kelantan di awal beliau memerintah di Kelantan, iaitu dengan tidak meramaikan
musuh, tetapi meramaikan kawan. Keadaan ini berbeda dengan terengganu di kala
pemerintahan PAS. Ini kerana, pihak JIM dan ABIM yang mempunyai fikrah islam
pun boleh dianggap musuh, tetapi keadaan ini tidak berlaku dalam pemerintahan
PAS di Kelantan. Makanya tidak hairan, walaupun kelantan pemerintahan PAS penuh
dengan berbagai-bagai kelemahan, tetapi berjaya mempertahankan kuasa lebih 20
tahun.
Keadaan ini tidak sama berlaku pada pemerintahan Ikhwan di
mesir yang dipimpinan oleh Mursi. Ini kerana, tindakan mursi adalah seperti
meramaikan musuh berbanding meramaikan kawan dalam politik. Terutama,
musuh-musuh yang diciptakan itu adalah dari kalangan orang yang mula-mula
sekali mencetuskan revolusi di mesir. Apabila ini berlaku, mereka tidak akan
duduk diam. Sudah pasti, mereka akan memulakan gerakan sekadar yang mampu untuk
melakukan gugat terhadap pemerintahan mursi dalam jangka setahun atau dua tahun
ini.
RAMAI DALAM HIMPUNAN
Ramai berhimpun mempertahankan mursi di awal pemerintahan
tidak boleh menjadi kayu ukur kekuatan pemerintahan mursi. Ini kerana, bagi
mereka yang berada dalam kerangka politik pada tahun 1999 sehingga 2004, kita
akan dapati bagaimana usrah-usrah PAS ketika itu amat bersemangat.
Ceramah-ceramah PAS memang terlalu boleh dibanggakan ekoran kehadiran manusia
yang begitu ramai. Walaupun PAS berhadapan dengan DAP dalam isu negara Islam
dan hudud, tetapi bilangan orang yang hadir dalam ceramah-ceramah PAS tetap
ramai.
Namun begitu, dalam keadaan kehadiran orang ramai mendengar
ceramah PAS, pada pilihanraya 2004, ia merupakan pilihanraya yang amat malang
bagi PAS. Kerana, ia mengakibatkan kejatuan PAS di terengganu, dan hampir jatuh
di kelantan.
KEKUATAN AL-BARADIE
Seorang kawan aku bekerja sebagai pemandu lori. Beliau pernah
menyatakan kepadaku bahawa sesuatu yang tidak berat, perlu diangkat dengan
tenaga. Tetapi sesuatu yang berat, ia perlu diangkat dengan otak.
Dia menjelaskan lagi contohnya dengan menyatakan bahawa dia
telah ke terangganu untuk menghantar tiang-tiang besi yang berat. Sesampai di
sana, dia dapati mesin untuk mengangkat tiang-tiang besar yang berat itu tiada.
Disamping, pekerja di sana untuk diminta tolong juga tiada. Dia berfikir,
bagaimana hendak menurunkan besi-besi yang berat, sedangkan dia tak ada
kemampuan dan kuatan untuk menurunkan besi-besi itu dari lorinya. Makanya, dia
telah membuka semua pagar-pagar belakang lori, dan dia gostan lorinya laju-laju
dan memberhentikannya secara mengejut. Tindakannya itu menyebabkan semua
besi-besi yang berat itu boleh diturunkan juga.
Secara teorinya, sesuatu yang terlalu berat itu boleh
diturunkan dengan menggunakan akal, walaupun tidak mampu diturunkan dengan
tenaga. Teori ini kita dapat lihat dilakukan oleh Israel yang asalnya tidak
mempunyai negara.
Namun, dalam keadaan mereka tidak mempunyai negara, mereka
telah memanfaatkan akal mereka untuk menguasai ekonomi, seterusnya rata-rata
kita mengakui bahawa ekonomi dunia pada hari ini dikuasai oleh yahudi secara
proksi. Juga, dengan kebijakan mereka,
mereka telah mendapat penempatan di palestine, walaupun asalnya mereka
tidak mempunyai sebarang tempat pun.
Ini yang dibimbangi bakal di lakukan oleh al-Baradie terhadap
pemerintahan mursi untuk masa akan datang. Ini kerana, al-Baradie bukan
calang-calang manusia. Disamping mempunyai kepakaran dalam atom, beliau juga
mempunyai kebijakan politik untuk jangka masa yang panjang. Ini dapat
dibuktikan, dengan tindakan beliau di FB menyebabkan berlakunya revolusi di
mesir sehingga kejatuhan mubarak.
DENDAM POLITIK
Diberitakan bahawa sejurus selesai revolusi di iran, ramai
dari kalangan ulama-ulama sunni yang terlibat sama dengan revolusi menjatuhkan
shah iran ditangkap oleh pemerintahan iran pimpinan syiah. Tidak diketahui
sejauh mana kebenaran berita ini. namun, berita-berita sebegini amat masyhur di
kalangan mereka yang anti-syiah di semua tempat.
Ekoran dari itu, melahirkan dendam dari kalangan orang sunni
terhadap syiah di dunia. kesannya adalah, orang sunni amat memusuhi syiah,
tidak sepertimana sebelum berlakunya revolusi iran yang dapat dilihat
peperangan idea dan takfir antara syiah dan sunni kurang berlaku.
Kebimbangan sebegini juga bimbang berlaku di mesir dengan
tindakan mursi ini. ia akan melahirkan politik dendam terhadap mursi oleh geng
sekular, liberal dan kristian di sana. Kesannya adalah, bimbang kedamaian dalam
pemerintahan di mesir tidak akan tercapai. Ia memungkinkan memberi kerosakan
yang lebih besar buat masa yang mendatang.
PENUTUP
Secara asasnya, pada pandangan dan pembacaan aku yang lemah
ini, aku merasakan suasana politik damai ini wajar dibina di mesir. Aku
merasakan, politik di dunia pada hari ini amat sesuai dengan memakai teori
think win win atau teori fikir menang-menang yang diungkapkan oleh cowey dalam
7 habitnya.
Aku tidak fikir, ikhwan akan berjaya melaksanakan semua apa
yang mereka mahukan. Ia sama seperti PAS
yang mahu membawa idea negara islam dengan DAP yang membawa fikrah negara
sekular. Jika semua pihak bertegang urat mempertahankan idealogi masing-masing,
sampai bila-bila pun rasuah, penyelewengan wang rakyat di Malaysia tidak akan
berjaya diselesaikan. Makanya, setiap parti perlu hormati idealogi parti
kawannya, demi menimbulkan unsur kesamaan antara semua pihak. Yang paling
penting, bagaimana semua pihak berjaya memberikan hak kepada rakyat, sama ada
hak berbentuk metarial, juga berbentuk hak bersuara dalam menyatakan pandangan
dan idealogi.
Mungkin kita suka mursi menyekat suara al-baradei (membuat
dasar pemerintahan). Namun, sikap kita mungkin lain sedikit jika al-baradie
melakukan tindakan yang sama jika dia berada pada tampuk pemerintahan mesir.
Jika kita tidak mahu suara kita disekat, sekali-kali kita tidak boleh menyekat
suara orang yang tidak seidealogi dengan kita.
Dalam bernegara, rakyat dibawah mempunyai berbagai-bagai
fikrah dan idealogi. Ia sejawarnya diraikan dengan suasana demokrasi yang
sihat. Tindakan kita menafikan hak rakyat yang tidak sama idealogi dengan kita
dari bersuara, bakal memberikan implikasi yang cukup buruk di masa mendatang.
Makanya, ia sewajarnya diurus dengan berhikmah.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan