PERTAMA : UNDI CALON NON MUSLIM
Perkara yang
paling penting diketahui, dalam kerangka pengamalan negara demokrasi di
Malaysia, penentuan sesuatu dasar dan system pemerintahan tidak akan berlaku
berpuncakan calon, tetapi kebersamaan antara parti-parti yang memerintah.
Menang seseorang calon PR di sesuatu DUN atau Parlimen, ia tidak dapat
menentukan dasar pemerintahan Negara berubah. Tetapi, perubahan pada system
pemerintahan akan berlaku, apabila PR mentadbir Negara. Begitulah juga BN.
Ekoran itu,
penentuan pemilihan calon dalam Pilihanraya di Malaysia, bukanlah terletak
kepada factor calon, tetapi terletak kepada factor parti mana yang mendominasi
dalam pemerintahan. Dengan pendominasian itu, sesuatu system dan dasar
pemerintahan boleh dirobah seperti yang dimahukan.
Makanya,
disini lahir satu perbincangan, iaitu seseorang muslim yang mengundi di sesuatu
DUN atau Parlimen yang bertanding ditempat tersebut adalah orang bukan Islam. Ia
menjadi satu wacana yang perlu diperbincangkan bagi memastikan kejayaan
melaksanakan bentuk pemerintahan yang baik.
Perbincangan
itu adalah seperti berikut;
Satu :
Kemenangan
Islam adalah apabila manusia masuk Islam, juga mendekatkan diri mereka dengan
Islam. Perkara ini, dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran bahawa apabila
datang kemenangan dan pertolongan, maka didapati orang akan masuk Islam
beramai-ramai. (Surah al-Nasr, ayat 1-2)
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ * وَرَأَيْتَ
النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا
Kemenangan
tidak tercapai kecuali dengan pertolongan. Ini kerana, hakikat hidayah itu
adalah hasil dari pilihan Allah, bukan pilihan kita. (Surah al-Qasas, ayat 56)
إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَكِنَّ اللَّهَ
يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
Pertolongan
Allah SWT akan diberikan kepada mereka yang melaksanakan keadilan. Ibn Taimiah
ada menyatakan, bahawa Allah SWT akan tolong Negara yang adil, waima ia kafir sekalipun.
(Ibn Taimiah, Hisbah, hlmn 4)
ان الله ينصر دولة عادلة وإن كانت كافرة , ولا ينصر دولة
ظالمة وإن كانت مؤمنة
Perkataan
ini selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran, bahawa Allah SWT tidak akan
membinasakan ahli sesebuah negara secara zalim, jika rakyat dan pemerintahnya
saling melakukan Islah atau pembaik pulih. (Surah Hud, ayat 117)
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ
وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Al-Qaradawi
menukilkan dari kupasan Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam kitab “Duar al-Qiyam wa
al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islami”, yang dimaksudkan secara zalim ini merujuk
kepada Negara yang diperintah tidak berasaskan kepada ajaran Islam, tetapi
Negara itu adil. (Fakhr al-Din al-Razi, al-Tafsir al-Kabir, jld 8, hlmn 486;
al-Qaradawi, Daur al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islami, hlmn 356)
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَى بِظُلْمٍ
وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ , اي لا يهلكهم بمجرد شركهم إذا كانوا مصلحين يعامل بعضهم
بعضا على الصلاح و السداد
Dua:
Kaedah Fiqh
ada menyatakan bahawa berlaku antara dua mudharat, hendaklah dilakukan mudharat
yang kecil, demi mengelak dari berlaku mudharat yang lebih besar. Mengundi
calon non Muslim, memang merupakan satu mudharat, tetapi dengan tidak mengundi
itu akan menjadikan sesuatu pemerintahan yang merosakan. Ketika itu, dibenarkan
mengundi calon bukan Islam untuk menolak kemudharatan yang lebih besar, iaitu
system pemerintahan yang tidak adil dan tidak baik.
KEDUA : NON MUSLIM SEBAGAI MENTERI
Apabila menang dalam PRU, yang menang itu bukan sekadar PAS
dan PKR sahaja, tetapi disana ada beberapa orang yang menang dari kalangan
mereka yang tidak beragama Islam, sama ada individu non Muslim dari parti DAP;
dari PKR; dari PAS. Makanya, sudah pasti, mereka akan diberikan hak memegang
beberapa jawatan dalam menteri.
Orang yang
tidak melarang memberikan jawatan menteri kepada non Muslim beralasan dengan
firman Allah SWT yang melarang orang Islam menjadikan orang bukan Islam sebagai
wali, atau penguasa. (Surah al-Imran, ayat 26)
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ
مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ
Juga ayat
118 dari surah al-Imran bahawa Allah SWT melarang mengambil orang selain Muslim
sebagai Bitanah atau teman kepercayaan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا
بِطَانَةً مِنْ دُونِكُمْ
Penjelasan
terhadap pemahaman terhadap ayat ini adalah seperti berikut;
Satu :
Ayat ini
bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup pintu-pintu haram. Ia sama seperti
larangan Allah dari mencela sembah-sembahan selain Allah, kerana bimbang
berlaku Maalat atau implikasi yang buruk, iaitu celaan non Muslim terhadap
Allah tanpa ilmu dan prejudis. (Surah al-An’am, ayat 108)
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ
فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ
عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا
يَعْمَلُونَ
Ibnu Kathir menyatakan bahawa Allah SWT
melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan
musyrikin, waima ia boleh mencapai maslahah. Namun, sebenarnya ia boleh membawa
kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin
terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia. (Ibni
Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim : jld 3, hlmn 314)
Menurut Ar-Raisuni
pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan
dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah
merupakan jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada
implikasi menyebabkan tercapainya mafsadah yang lebih besar, iaitu mereka
mencela Allah dalam keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan,
menyebabkan mencela sembahan selain Allah itu dilarang. (Dr Ahmad al-Raisuni,
Muhadharat fi Maqasid al-Syariah : 219)
Jadi, larangan
celaan ini bersifat sad al-Zaraie. Dengan maksud, jika tidak mendatangkan
implikasi yang buruk, maka ia tidak dilarang. Maka keadaan yang sama juga pada
ayat larangan mengambil non Muslim sebagai pemimpin berdasarkan ayat ke 26 dan
ayat 118 dari surah ali-imran.
Dua:
Maksud sad
al-Zaraie adalah menutup pintu-pintu haram. Ia berasaskan kepada kaedah fiqh
yang menyatakan, “perkara yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga turut
haram”
ما أدى إلى الحرام فهو حرام
Ia membawa maksud,
sesuatu yang boleh membawa kepada haram, maka ia juga turut haram. Contohnya
seperti nas melarang meminum arak, maka menjual arak juga adalah haram. Juga,
hukum asal menjual anggur adalah harus, tetapi menjadi haram jika dijual kepada
pembuat arak.
Juga penting
diambil perhatian, menutup pintu haram itu tidak semestinya diharamkan terus,
tetapi dengan meletakkan syarat-syarat yang ketat, sudah tercapai maksud Sad
al-Zaraie. Ini seperti ulama-ulama Islam tidak terus mengharamkan system
perbankan secara mutlak, waima asalnya bank itu terlibat dengan riba. Makanya,
mereka benarkan perjalanan bank dengan diletakkan syarat bahawa tidak terlibat
dengan riba, gharar dan sebagainya.
Ia sama seperti
penderiaan PAS yang mengizinkan perempuan menjadi calon dalam Pilihanraya
dengan dikenakan syarat-syarat yang ketat, sedangkan di sana wujud hadis yang
menyatakan larangan perempuan menjadi pemimpin[1].
(Haji Harun Taib, Muslimat pembangun ummah, hlmn 181)
Makanya, dalam
negara yang mengamalkan system demokrasi, kerenahnya tidak sama seperti negara
yang mengamalkan system monarki. Ini kerana, dalam system monarki, pemerintah
itu umpama tuan kepada rakyat, sedangkan dalam system demokrasi, pemerintah
umpama pekerja bagi rakyat. Dalam erti kata yang lain, pemerintah melaksanakan
kehendak rakyat, dan rakyat boleh gugurkan sesuatu pemerintah berdasarkan
pemilihan rakyat yang dikenali sebagai Pilihanraya atau referendum rakyat.
Disamping itu
juga, dalam Negara demokrasi, seseorang yang memegang jawatan dalam negara
tidak boleh melakukan tindakannya sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia tertakluk
dengan undang-undang bertulis yang disepakati ramai. Dengan maksud, individu
menteri yang melakukan tindakan menyalahi undang-undang bertulis, ia boleh
dikenakan hukuman.
Ekoran itu, dalam kerangka demokrasi, melantik menteri
dari kalangan orang bukan Islam tidak menjadi masalah untuk perlantikan non
Muslim sebagai menteri, selama perlantikan itu mendatangkan kebaikan yang
banyak, juga tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar berbanding kebaikan.
[1]
Dari teks dari buku;
“maka majlis syura Ulama PAS di dalam mesyuaratnya di
Kota Bharu pada 30hb. Disember 2001 berhubung dengan muslimat menjadi calon
dalam pilihanraya dan seterusnya menjadi wakil rakyat telah membuat keputusan
seperti berikut:-
“bahawa mesyuarat majlis syura Ulama PAS pada 15hb.
Syawal 1422/30hb. Disember 2001 telah membuat keputusan bersetuju mengekalkan
amalan PAS sebelum ini iaitu mengharuskan muslimat menjadi calon dalam
mana-mana pilihanraya dengan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu” (Haji Harun Taib, Muslimat pembangun ummah, hlmn 181)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan