Rabu, 2 Jun 2010

PELUANG DAN PERSEPSI – UNTUK ISLAM ATAU UNTUK DIRI SENDIRI?

[1]

Malaysia mengamalkan demokrasi berpilihanraya. Apabila terlibat dalam pilihanraya, sudah pasti suara majority merupakan asas kemenangan. Untuk terlibat dalam pilihanraya, perlu kepada penubuhan parti. Justeru, penubuhan parti adalah satu keperluan.

Dalam budaya politik kepartian, perkara yang paling penting difikirkan adalah dua, [1] peluang, dan [2] persepsi. Kedua-dua ini merupakan senjata utama dalam memastikan kemenangan terhadap sesuatu parti.

[2]

Parti islam perlu memikirkan kedua-dua perkara ini, agar mereka diterima oleh rakyat. Juga perlu menjadi ingatan, bahawa pihak musuh juga memikirkan perkara yang sama.

Justeru, dalam apa-apa isu pun, pasti unsur peluang ini akan diguna-pakai oleh setiap parti politik. Peluang itu dalam dua keadaan, [1] peluang dalam memperkuatkan pengaruh sesuatu parti, ataupun [2] peluang untuk melemahkan musuh sesuatu parti.

Justeru, dalam isu ghaza sebagai contoh, sudah pasti semua parti-parti berusaha untuk mencapai peluang ini. Sama ada mereka berjaya mencipta kekuatan parti mereka, ataupun sekurang-kurangnya mereka berjaya melemahkan kekuatan musuh.

[3]

Senjata yang paling ampuh dalam mencapai peluang ini [sama ada mengkuatkan parti sendiri, ataupun melemahkan parti musuh] adalah persepsi. Apabila sesuatu parti berjaya menampalkan persepsi buruk kepada parti musuh, pasti parti musuh itu berjaya dilemahkan, disamping parti itu dapat berusaha hendak membaiki imej sehingga parti mereka menjadi kuat.

Persepsi yang dilakukan untuk menjadi tatapan rakyat, bukan terhadap ahli-ahli parti yang sememangnya ’karat’. Ini kerana, rakyat adalah penentu kepada kemenangan sesuatu parti, bukan bilangan ahli yang ’karat’.

Persepsi digunakan dalam mencapai peluang ini tidak dapat tercapai, tanpa kebijaksanaan dalam berpolitik. Disamping itu, ’cepat bertindak’ juga adalah tersangat perlu.

Ekoran itu, dalam politik kepartian kita akan dapat melihat bahawa parti yang diketuakan oleh pemimpin yang tidak bijak politik, dan lambat bertindak adalah parti yang terkebelakang.

Itulah hakikat politik kepartian. Jika kita tidak bersetuju, lebih baik kita masuk jemaah tabligh sahaja.

[4]

Dikhabarkan [dari sumber yang sahih sanad pertama] bahawa demonstrasi bantah rejim israel pada 4 Jun ini, ramai yang berebut nak jadi ketua. Al-maklumlah, demonstrasi ini tidak dilarang oleh kerajaan [mesti tidak ada yang kena tangkap], disamping mendapat perhatian antarabangsa.

Persoalannya, kenapa berebut? Jawabnya adalah untuk mendapatkan persepsi rakyat Malaysia dan rakyat luar Malaysia.

Persoalan kedua pula adalah, Persepsi yang hendak dicipta itu untuk parti atau diri sendiri? Kalau ikhlas kerana Islam, tidak perlu berebut untuk nak mengetuai demonstrasi, bahkan serahkan kepada mereka yang layak dan sememangnya istiqamah dalam demonstrasi untuk mengepalai demonstrasi.

Peliknya, demonstrasi yang tidak mendapat perhatian akhbar dalam dan luar negara, tidak pernah berlaku perebutan untuk menjadi ketua. Tetapi, sebaliknya berlaku, apabila demonstrasi ini melibatkan perhatian akhbar dalam dan luar negara.

Sebab itu, kadangkala terfikir, apakah mahu mengepalai demonstrasi ini demi Islam, atau kerana diri sendiri? Apabila diberitahu perkara ini, hati merasa sedih. Sebab, Kalau macam ni berlaku, susahlah untuk melihat islam itu menang dan memerintah di Malaysia dalam jangka ini?

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 Jun 2010 * 1:50 petang.

BERTENANG SAHAJA !!!

[1]

Tidak disangka, article semalam benar-benar menyebabkan handphoneku sibuk ditalian. Ada melalui SMS, dan ada berhubung terus. Menyambut segala talian itu, boleh dikatakan aku hanya mampu menjawab, “biarlah orang tu buat macam tu. Kita anggap je dia berniat baik. Cuma mungkin dia tersalah bertindak untuk nak tunjuk niat baik dia tu”

Ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapanku itu, sehingga seorang kawan yang agak “kepala masam”, berkali-kali meminta supaya aku bagitahu orang itu, sebab dia nak bertindak.

Aku lebih banyak menyabarkannya, dan berkali-kali berkata kepadanya, “Api jangan dibalas dengan api. Tapi api dibalas dengan air, barulah api akan padam”

Dia tetap tidak berpuas hati, menyebabkan aku mengeluarkan satu kisah di zaman Rasulullah, bahawa satu hari Abu Bakar As-Siddiq didatangi seorang lelaki, lalu terus memaki-hamun Abu Bakar As-Siddiq dihadapan Nabi SAW.

Abu Bakar tidak membalas, sebaliknya dia mendiamkan diri sahaja. Ketika itu, Nabi SAW tidak berganjak. Apabila terlalu teruk sangat makian itu, menyebabkan Abu Bakar membalas.

Apabila Abu Bakar membalas, ketika itu juga Baginda SAW bangun dan berlalu pergi. Tindakan Nabi SAW itu, menyebabkan Abu Bakar bertanya. Lalu, dijawab oleh Rasulullah SAW dengan menyatakan bahawa ketika Abu Bakar tidak membalas, kelihatan Malaikat berada bersama. Tetapi, apabila Abu Bakar menjawab, ketika itu juga malaikat yang berada di samping Abu Bakar bertebaran meninggalkan Abu Bakar. [kisah ini ada dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir]

Apabila cerita ini aku kemukakan, menyebabkan dia agak ‘slow’, dan kemudian kami boleh berbual dalam tajuk lain dan terus melupakan tentang cermin keretaku yang dipecahkan.

[2]

Boleh dikatakan semua yang menghubungiku itu, menawarkan bantuan kewangan, tetapi aku menolak. Namun, ada sebilangan yang mendesak, lalu aku memberikan nombor akaun bank, tetapi berpesan agar bagi sikit sahaja, tidak perlu bagi banyak. Cukup sekadar meringankan beban, bukan sampai terlebih pula.

Ada sebilangan memberitahuku bahawa mereka membantu itu, dengan niat mahu mendapat saham akhirat. Apabila mereka mengatakan demikian, aku hanya membalas dengan jawapan, “ana pun nak cari pahala juga. Kalau semua sponsor, anta je la dapat pahala, ana tak dapat”.

[3]

Kepada si pemecah cermin itu, aku berharap dia tidak takut dan bimbang. Aku tidak menaruh sedikit dendam pun terhadapnya, dan berharap suatu masa nanti, kita dapat bertemu dan berbual-bual mesra seperti sebelum ini.

Mungkin dia bertindak ketika sedang beremosi, menyebabkan dia hilang kawalan perasaan. Tetapi, mungkin selepas dia sudah rasional, mungkin dia akan memikirkan kesan baik buruk terhadap tindakannya itu.

Lagi pun, jika itu dianggap sebagai kesalahan, kita tidak perlu marah kepadanya. Ini kerana, Nabi SAW ada bersabda dalam hadis yang bermaksud, “setiap anak adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang bersalah adalah orang yang kembali ke pangkal jalan”

Mungkin dia mengambil masa untuk berfikir secara rasional dalam menentukan tindakannya itu betul atau salah. Jika dia menganggap itu sebagai tindakan yang betul, aku menghormati anggapannya itu. Tetapi aku berharap, ia tidak lakukan perkara ini pada orang lain.

Kepada kawan-kawan blogger yang menulis tentang isu kecil ini, diharapkan bertenang. Anggapkan sahaja ini sebagai satu ujian dari Allah, untuk menambah lagi usaha kita dalam melawan pengkhianatan di mana sahaja.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 mei 2010 * 2:04 Pagi

Selasa, 1 Jun 2010

TAHNIAH KERANA PECAHKAN KERETA SAYA

Dalam tahun lepas, keretaku pernah disembur dengan Cat merah. Tidak diketahui siapa yang melakukannya. Pada hari ini, ketika sedang aku menyampaikan kuliah Tafsir di Surau Al-Azhar; salah sebuah surau di Sri Damansara, kedengaran alarm keretaku "menyanyi". Aku cuba menutup, tetapi tetap berbunyi, maka aku biarkan sahaja.

Setelah menunaikan solat Isyak, kemudian menunaikan solat hajat, memohon agar diberikan keselamatan kepada sahabat-sahabat di Palestine yang ditangkap oleh tentera Israel, aku terus mahu pulang.

Agak terkejut, apabila melihat cermin keretaku telah pecah. Tiada barang berharga yang hilang, waima dalam keretaku itu, ada tersimpan satu plastik wang syiling dan sebuah kamera. Di maklumkan oleh seseorang, bahawa dilihat seorang yang nampak memecahkan keretaku itu. Dari yang diceritakan, aku dapat mengagak siapa yang melakukan demikian, kerana kami pernah bersua. Orang itu, adalah antara pembaca blogku ini.

Mungkin kerana tulisan-tulisanku dalam blog, menyebabkan dia bersikap sedemikian. Mungkin dia berniat baik, justeru dia tidak boleh disalahkan. cuma dia mungkin salah dalam bertindak terhadap baiknya itu. Mungkin dia terlalu sayang kepada individu tertentu, menyebabkan dia sanggup memecahkan cermin keretaku. Kalau dia berjumpa denganku pun, Aku tidak berniat sedikit pun nak minta sebarang pampasan. Malahan, semasa membuat report polis tadi pun, aku tidak menyebut pun namanya langsung sebagai orang yang disyaki, kerana menganggap dia berniat baik, dan bimbang merosakan lagi reputasinya sebagai orang yang komitment dengan Islam.

Bahkan, jika berjumpa dengan dia, aku bersedia belanja dia minum dan bersedia berbual mesra seperti biasa; seperti tidak ada apa-apa masalah pun.

Apa yang ingin aku nyatakan kepadanya, kejadian yang tertimpa ini, tidak melunturkan semangatku untuk terus menulis seperti biasa. Dan aku berharap, dia berpuas hati setelah dia memecahkan cermin keretaku itu tadi.

Di sini, dipaparkan gambar keretaku yang telah dipecahkan itu;




"Duit nak cover isteri bersalin bulan depan dah kena bayar cermin kereta.. nampaknya kena pinjam kat sapa-sapa la dulu nak cover duit isteri nak bersalin"

TIDAK ADA AGAMA KATA JUDI HALAL


Apa nak hairan, jika Malaysia tidak ada perasaan terhadap tindakan ganas yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam, khususnya umat Islam Malaysia. Masakan tidak, mereka halalkan yang haram, sama perangai dengan agama Yahudi.

Alasan mereka, kononnya orang agama selain islam, walhal semua agama mengatakan judi adalah haram. Hakikatnya, mereka mementingkan perut, berbanding ketentuan tuhan terhadap apa yang akan masuk ke dalam perut mereka. Di sini, dipaparkan satu artikle tentang satu ulasan terhadap gambaran agama selain islam tentang judi.

***

Negara telah dihangatkan dengan kelulusan pihak kerajaan meluluskan lesen kepada Berjaya Corporation untuk menguruskan pertaruhan sempena Piala Dunia 2010 yang menjelang tiba. Tentangan bukan sahaja datang dari pihak parti pembangkang dan orang Islam, bahkan dari pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat bukan Islam.

Saranan dari bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar keputusan kerajaan tersebut dikaji semula amatlah dialu-alukan dan harus diteliti oleh pihak kerajaan.

Ia bukan sahaja dapat mereda suasana dan desakan majoriti masyarakat, bahkan bersesuaian dengan identiti Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di kalangan Negara-negara Islam terutama dalam negara menonjolkan diri sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa dan juga Pusat Halal Dunia.

Walaupun lesen judi hanya dibenarkan untuk pelanggan di kalangan bukan Islam termasuk pekerja dan premis, namun judi bukan sahaja mendapat tentangan daripada masyarakat Islam tetapi bukan Islam sendiri. Jika ditelusuri judi di kalangan agama dunia, majoriti merujuk tentang keburukan judi kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam sebagai agama rasmi negara, secara jelas menyatakan haramnya judi.

Allah ta’ala telah berfirman yang mafhumnya: "Wahai orang-orang mukmin. Sesungguhnya arak, judi, berhala, anak panah (judi) adalah najis (kotor) dari kelakuan syaitan. Jauhilah ia supaya kamu beroleh kemenangan. Sesungguhnya syaitan bertujuan menjadikan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu dari mengingati Allah dan mendirikan solat". Al-Maidah, 90-91. Ayat ini jelas menunjukkan pengharaman 'khamr' (arak) dan segala bentuk 'maysir' (judi).

Ajaran lama Budha Hinayana, menggariskan lima larangan kepada penganut Budha iaitu; " membunuh, mencuri, menipu, berzina, meminum alkohol dan berjudi".

Namun ajaran baru Budha Mahayana telah melonggarkan larangan ini dan ia hanya terpakai kepada yang mahu menjadi sami atau betul-betul menghayati ajaran Budha. Juga tercatit dalam kitab lama Budha kisah masyhur 'Ratapan si Penjudi' (Gambler's Lament) yang menjadi pengajaran berguna apabila seorang penjudi yang kalah wang taruhan menyebabkan dia kehilangan anak dan isteri.

Dalam kitab Budha, 'Tipitaka' juga ada menceritakan enam perkara bahaya akibat judi: Pertama bagi yang menang akan mengundang kebencian, kedua bagi yang kalah akan tertekan kerana kehilangan wang, ketiga tidak ada perkataan yang boleh digunakan untuk pembelaannya di mahkamah, keempat dia akan dijauhi oleh rakan dan keluarga, kelima dia akan susah untuk menemui jodoh kerana tiada yang mahu bersuamikan si penjudi dan keenam mencari kekayaan atas pertaruhan menyebabkan kesengsaraan kepada orang lain (yang kalah)' .

Walaupun ajaran Budha tidak mengharamkan secara jelas aktiviti judi dan membenarkannya sekadar permainan rekreasi dan hiburan seperti permainan 'mahjung' atas dasar untung nasib atau ‘ong’. Namun Budha memberi amaran keras bagi yang mempertaruhkan wang dan mengabaikan tanggungjawab keluarga sehingga hilang wang pertaruhan dan sumber mata pencarian.
Apa yang berlaku, aktiviti judi yang sedia ada di negara kita terutama di kalangan yang berpendapatan rendah telah menyebabkan kebobrokan rumah tangga dan ramai terperangkap dengan hutang dengan meminjam melalui 'Ah Long' dan ceti haram.

Bagi ajaran Kristian pula tidak ada kejelasan dalam pengharaman judi tetapi ajaran Kristian memberi amaran bagi yang mencari kekayaan secara cepat dan cintakan wang seperti yang disebut di dalam Timothy 6:10 " Bagi mereka yang mencintakan wang ia adalah punca bagi segala kejahatan. Bagi mereka yang terlalu taksub berlumba mendapatkan wang dan mengabaikan tanggungjawab agama, seolah dia mencucuk dirinya dengan kesedihan di kemudian hari".

Dalam Hebrew 13:5 pula mengatakan " Bebaskan dirimu dari kecintaan dunia (wang) dan berpadalah dengan apa yang kamu ada, kerana Tuhan telah mengatakan, ' Aku tidak akan tinggalkan kamu dan tidak akan membiarkan kamu (sentiasa menolongmu)'. Majoriti gereja bersepakat menyatakan keburukan judi dan sebahagian membenarkan loteri kebajikan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan juga aktiviti judi ‘Bingo’ sebagai akiviti rekreasi yang popular di kalangan warga pesara di negara barat.

Namun begitu majoriti gereja menolak penubuhan pusat judi secara besaran seperti kasino atas dasar 'melampau'. Manakala gereja Prebysterian menolak terus segala bentuk judi termasuk loteri kerana atas hujah ia mengambil wang dari golongan miskin dan berpendapatan rendah, yang mengharapkan hadiah lumayan, tetapi hanya 'seorang dalam sejuta sahaja' yang memenangi hadiah wang yang dijanjikan.

Manakala bagi penganut agama Yahudi, para Rabbi (pemimpin agama Yahudi) menetapkan aktiviti judi dibenarkan semasa perayaan Hannukah sahaja sebagai satu bentuk hiburan di musim perayaan.

Usaha kerajaan UK suatu ketika dahulu untuk menubuhkan kasino secara besaran atas alasan untuk menarik pelancong dan menambah pendapat negara mendapat kecaman dari rakyat.

Di Amerika Syarikat pula, walaupun di peringat Federal (Pusat) membenarkan aktiviti judi, namun setiap negeri mempunyai kuasa untuk mengharamkannya. Nevada membenarkan lesen judi pada tahun 1931 dan menjadi sumber ekonomi utama negeri, diikuti Atlantic City dan New Jersey pada tahun 1976 dan Mississipi pada tahun 1990. Kebanyakan negeri lain di Amerika Syarikat masih tidak membenarkan lesen judi atas sebab kesan moral dan sosial kecuali loteri kebajikan dan permainan Bingo oleh pertubuhan bukan kerajaan untuk tujuan kebajikan.

Judi secara logiknya adalah permainan orang yang mempunyai lebihan wang dan tidak terasa apabila mereka kalah judi. Oleh kerana itulah pusat perjudian yang terkenal di Eropah, Monaco, rata-rata penghuninya adalah hartawan dan selebriti.

Dalam sesetengah negara berlumba membina pusat-pusat perjudian dengan anggapan ia dapat meningkatkan hasil pendapatan negara, lain pula halnya sebuah negeri kepulauan kecil di Pasifik, Vanuatu, yang berpenduduk hampir 300,000 orang dan majoriti beragama Kristian. Kerajaan Vanuatu telah meluluskan akta pengharaman judi di negara mereka sejak tahun 2006 dan ia tidak mendapat sebarang bantahan dari rakyat malah dialu-alukan.

Sekiranya pungutan suara dilakukan di kalangan awam, juga ketua-ketua semua agama di Malaysia selain Islam, nescaya mereka akan bersetuju tentang kemudaratan judi dan arak kepada masyarakat, melebihi kebaikan.

Semoga acara sukan dan sebagainya tidak dicemari dengan aktiviti yang tidak sihat seperti judi. Ia bukan sahaja menggalakkan mereka yang meminati sukan tersebut berminat untuk berjudi sama, malah menambah masalah judi yang sedia ada di negara kita.

sumber : Malaysiakini/bm

UMNO/BN ADA SAHAM BUNUH AKTIVIS KEMANUSIAAN

RM 77 juta wang rakyat Malaysia yang dibayar kepada Apco tidak syak lagi menunjukkan perkongsian kita atas pembunuhan petugas misi kemanusiaan Freedom Flotila.

Amat menyayat hati bagaimana akhirnya Malaysia sedikit sebanyak terlibat dengan penajaan keganasan Israel - menerusi Apco.

Rakyat marhaen seperti biasa menunjukkan kemarahan mereka atas kekejaman Israel dengan berarak ke kedutaan Bapa Angkat Israel - Amerika. Ia langkah yang baik - sekurang-kurang kita mempamirkan respon dan kemarahan kita.

Namun, selepas Kedutaan Amerika, tidak selesai demo bantahan ini jika kita tidak lanjutkan ke depan pejabat Perdana Menteri.

Pembatalan serta merta kontrak Apco tidak boleh dilakukan oleh kita rakyat biasa. Ia hanya boleh dilakukan oleh Perdana Menteri dan kebencian kepada kekejaman Israel harus dibuktikan dengan menidakkan peranan Israel dalam urusan negara kita. Apa lagi, memberikan agen risikan Israel yang berlindung di belakang syarikat penasihat semua dokumen rahsia negara, seperti tercatit dalam perjanjian kontrak berkenaan.

Menaja syarikat dari Israel sama dengan menaja Israel. Bermakna, tangan kita telah terpercik darah saudara kita yang tertindas. Terpercik sama darah rakan kemanusiaan dari seluruh dunia yang telah dibunuh Israel ketika sedang berusaha membuka tirai besi penindasan ke atas rakyat yang tidak punya apa-apa di Gaza - selain simpati dunia.

Alangkah azabnya perasaan kita berpemimpinkan pemimpin yang sedang mengisi poket Israel dengan wang kita sendiri pada waktu Israel sedang menunjukkan keangkuhannya.

Saya bersetuju dengan pendirian pemimpin Pakatan memberikan PM masa 48 jam untuk bertindak.

Tindakan seterusnya ialah himpunan rakyat mendesak ditarik balik cubaan mengenakan tindakan menggantung Dewan ke atas DSAI - atas pendedahannya mengenai hubungan Malaysia- Apco - Israel.

Jika tidak, Israel mentertawakan kita. Baru beberapa bulan Apco diterima menjadi penasihat negara kita, kita sudah bersedia mengorbankan anak watan kita sendiri demi Israel.

Kita marahkan Amerika. Tapi jangan lupa, kalau kita sendiri gagal membetulkan tindakan Putra Jaya, apa sangat yang hendak kita harapkan dari Amerika? Apa lagi Israel. Kita mulakan dari Putra Jaya.

Jika di depan kedutaan Amerika kita berapi-api tapi Apco masih tegak berdiri di Putra Jaya, itu namanya hipokrit.

Kalau kita marahkan Amerika kerana tidak berbuat apa-apa tetapi kita sendiri secara salah menghukum rakyat kita kerana mendedahkan skandal Apco, itu maknanya kita telah bersatu hati dengan Israel.

sumber : Husam Musa

Isnin, 31 Mei 2010

"BUKTI ISRAEL SUDAH HAMPIR LENYAP" - AHMADINEJAD

Presiden Iran Mahmud Ahmadinejad mengatakan bahawa serangan biadab Israel terhadap armada bantuan kemanusiaan untuk penduduk Jalur Gaza adalah indikator besar akhir kesudahan entiti Zionis.

Nejad mengatakan, Isnin (31/5), apa yang terjadi hari ini terhadap armada kebebasan adalah ujian sesungguhnya sejauh maja komitmen Negara-negara yang menyerukan HAM.

Nejad menegaskan akhir kesudahan Zionis Israel sudah dekat. Dia mengatakan, “Hari ini kita menyaksikan bagaimana entiti Zionis yang Zalim membunuh para aktivis antarabangsa yang membawa bantuan internasional untuk penduduk Jalur Gaza dan menculik sejumlah dari mereka. Sebahagian pihak memandang ini adalah bukti kekuatan entiti Zionis, namun sesungguhnya itu adalah indikator besar bahawa lenyapnya Israel sudah dekat dan awal kesudahannya.”

Nejad menyerukan kepada Negara-negara yang mendukung entiti Zionis Israel dengan mengatakan, “Jika anda ingin memiliki kedudukan dan kredibiliti di dunia, maka hentikannya dukungan kalian kepada para penjahat Zionis yang mahir melakukan pembunuhan dan kehancuran.” ~~infopalestina

***

Dalam banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin di dunia, kenyataan ini nampak yang paling "Kaww" dan canggih sekali.

Ahad, 30 Mei 2010

UNIT AMAL BUKAN ’ANAK-TIRI’ BEB!!

[1]

Mungkin kita tidak lupa dengan istilah tentera merah dalam himpunan BERSIH dahulu. Boleh dikatakan, sejarah 8 mac 2008 terjadi, bermula dari gegaran rakyat pada himpunan BERSIH tersebut.

Dalam himpunan itu, unit amat mendapat gelaran baru. ’Tentera merah’. Semuanya ekoran keberanian bawahan-bawahan PAS ini bekerja demi melihat UMNO tergugat, seterus keadilan islam berjaya terlaksana di Malaysia.

Sedihnya, ’tentera merah’ ini kurang dihargai, malahan sering dilihat seperti golongan yang tidak penting. Lantaran, tidak kasar jika dikatakan mereka adalah seperti ’anak-tiri’ yang dibenci oleh ibu tiri, dan diabai oleh bapa sendiri.

[2]

Tidak dapat dibayangkan, bagaimana perasaan seorang anak kecil yang mahu bergembira dengan sambutan ulangtahun kelahirannya. Jiran-jiran bersungguh-sungguh menyediakan berbagai-bagai persiapan; menyediakan makanan, minuman, kek, lilin dan sebagainya. lalu, apabila tiba waktu sambutan, didapati bapa dan ibu sendiri tidak dapat bersama. Alasan yang dikemukakan juga tidak munasabah; iaitu mengantuk.

Nasib anak ini tidak ada beda dengan apa yang berlaku pada unit amal Malaysia semalam. Ini kerana, 29 Mei merupakan tarikh Unit amal mengadakan sambutan ulang-tahu Unit Amal Malaysia. Makanya, pada tahun 2010, disepakati sambutan ulangtahun ke-20 Unit amal disambut di Dewan Komuniti Serendah.

Namun, sambutan program yang sepatutnya meriah itu agak memberi kesedihan kepada sebilangan besar ahli dan kepimpinan Unit Amal. Ini kerana, semua YB-YB PAS [total], sama ada di peringkat parlimen, mahupun diperingkat DUN sebuk berceramah di seluruh Malaysia [mungkin?], sehingga tidak ada seorang pun yang dapat melapangkan masa untuk hadir kecuali, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Abang Mat Sabu dan YDP PAS Hulu Selangor.

Waima sambutan ulangtahun ini dilakukan di negeri selangor yang merupakan salah sebuah negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat [Pas antara parti yang berada dalam kerajaan], pihak perhubungan PAS Negeri Selangor tidak menghantar seorang wakil pun untuk hadir.

Paling menyedihkan, Unit Amal Malaysia yang dibawah ’penjagaan’ Pemuda PAS Pusat, didapati ketua Pemuda PAS Pusat pun tidak dapat menghadirkan diri, kerana mungkin sebuk berceramah di tempat lain [mungkin?]. Mungkin dia kesebukan, apakah tidak terfikir langsung untuk menghantar timbalan atau naib ketua sebagai wakil?

”Ah.... Unit Amal bukan penting.. mereka itu balaci je” mungkin itu yang difikirkan kot. Mungkin je, bukan betul pun.

[3]

Pada program tersebut, dijemput beberapa orang penceramah. Mereka adalah, Dato’ Seri Nizar, Abang mat Sabu dan seorang pimpinan DAP, Ronnie Liu.

Semasa ceramah, ada kutipan derma. Hasil kutipan pada malam itu, pihak unit amal berjaya mengutip derma sebanyak RM 1 ribu lebih.

Paling memalukan, apabila dipohon derma secara peribadi, ada seorang YB yang merupakan Ahli parlimen PAS di Negeri Kedah [bekas YDP di salah sebuah PAS Kawasan di Selangor] telah menderma sebanyak RM 30, walhal Ronnie Liu [seorang pimpian DAP] memberi derma dari duit poketnya sendiri sebanyak RM 2 ribu, dan Madelin, juga pimpinan DAP mewakili parti DAP menyampaikan derma sebanyak RM 1 ribu .

[4]

Jika ini keadaan pimpinan PAS yang bergelar YB atau tidak, tidak hairanlah PAS tidak diberi peluang oleh Allah untuk memerintah Malaysia sehingga kini.

Walau bagaimanapun, ‘tentera merah’ ini tetap berkhidmat. Ini kerana, perjuangan mereka bukan melihat para YB ini memakai tali leher, duduk dalam dewan berhawa dingin, naik kereta besar, melihat pemimpin mereka main golf bersama sultan, melihat pemimpin mereka naik kereta bernombor angka dua atau satu, melihat pemimpin mereka berlagak sana dan sini dengan gelaran dato’, tan sri dan sebagainya, tetapi perjuangan mereka adalah melihat Islam memerintah Malaysia.

Tentera merah terus berjuang demi Islam, waima mereka dilupakan oleh ‘ibu dan bapa’ mereka sendiri.

Sekian

baca sama:
keluhan Aktivis Amal (Pak Bakaq)

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
31 mei 2010 * 2:13 Pagi