Satu kenyataan Akhbar oleh ustaz fadhil Noor dalam akhbar Operasi keluaran April 2001(klik untuk besarkan)
[1]
Pada tahun 1998 dahulu, Anwar Ibrahim telah dipecat dari UMNO; jawatan dan keahlian parti. Ekoran itu, ramai yang bangkit menentang kezaliman Mahathir.
Menentang kezaliman mahathir ketika itu, sama seperti menentang kezaliman UMNO. Mati mahathir, maka matilah UMNO.
Serangan demi serangan dilakukan, sehingga Anwar Ibrahim merengkok dalam penjara dengan berbagai-bagai tuduhan ciptaan, seperti rasuah dan liwat.
Ketika itu, Ustaz Fadzil Noor mengambil sikap yang cukup efektif, iaitu beliau tidak bersikap jumud sepertimana sebilangan ulama-ulama yang wujud atas muka bumi. Ternyata beliau ulama yang mempunyai ketajaman siyasi, menyebabkan kebijaksanaan itu beliau berjaya menarik ramai anak-anak muda, malahan orang yang allergic dengan PAS, mula mengenal tentang perjuangan islam di Malaysia yang diwadahkan atas nama PAS
[2]
Ketika itu, tidak dinafikan bahawa Anwar Ibrahim sedang diserang hebat dengan berbagai-bagai serangan berbentuk fitnah. Serangan yang paling kuat digunakan adalah, serangan dari sudut moral; iaitu dengan tuduhan bahawa kononnya Anwar Ibrahim telah melakukan seks luar tabi'I, atau dikenali sebagai liwat.
Serangan demi serangan yang dilakukan, menyebabkan Anwar Ibrahim lebih bersikap difensif, berbanding menjadi penyerang dalam melakukan serangan dahsyat terhadap Mahathir dan UMNO. Namun, pengikut-pengikut Anwar Ibrahim masih tidak kehilangan 'ayah', apabila mereka mempunyai seorang mentor yang bernama ustaz Fadzil Noor yang merupakan Presiden PAS ketika itu.
Dengan kebijaksanaan dan ketajaman politik, ustaz fadzil noor tidak bertindak memaksa semua mereka yang frust dan mula benci dengan UMNO agar masuk PAS. sebaliknya, mengambil sikap memberi ruang yang amat terbuka agar Anwar Ibrahim membuka sebuah parti baru, yang kini dikenali sebagai PKR [Parti Keadilan Rakyat].
Dengan tertubuhnya parti KeADILan, menyebabkan hubungan antara PAS dan DAP semakin hampir. Dengan erti-kata lain, kewujudan Parti KeADILan itu, seperti jambatan yang menjadi penghubung antara PAS dengan DAP yang sering dilihat seakan-akan tidak seangkatan, terutama dalam perkara yang bersifat prinsip.
Dengan pergabungan parti-parti anti-UMNO/BN itu, disamping kebijaksanaan politik ustaz fadzil noor, menyebabkan PAS berjaya mengekalkan kekuasaannya di kelantan, menguasai Terengganu, disamping dapat merampas kerusi-kerusi DUN dan Parlimen di negeri-negeri yang boleh dikatakan mustahil PAS diterima.
[3]
Di kala itu, Ustaz Fadzil Noor ternyata mempunyai pemikiran politik yang tajam, dan jiwanya sungguh merdeka, dengan berkali-kali mengeluarkan kenyataan bahawa bersedia menabalkan Anwar Ibrahim sebagai perdana Menteri Malaysia.
Kenyataan sebegini, menyebabkan makin bertambah ustaz Fadzil noor disayangi oleh rakyat; terutama mereka yang benci UMNO/BN dan sayang kepada Anwar Ibrahim.
Kenyataan Ustaz Fadzil Noor itu, sama seperti Nabi SAW mengeluarkan kenyataan di hadapan bapa saudara nabi, Abbas dengan melantik Abu Sufyan sebagai ketua deligasi makkah yang terselamat apabila Umat Islam masuk ke Makkah.
Kenyataan itu juga, sama seperti strategi Amru bin Al-As yang dilantik menjadi gabenor islam di mesir oleh Umar bin Al-Khattab ketika menjadi Khalifah islam kedua, iaitu dengan menyebut kepada rakyat mesir tentang perkahwinan antara nabi SAW dengan seorang perempuan dari keturunan Mesir, iaitu Mariah Qibtiah, menyebabkan rakyat mesir tidak segan dan silu, malahan berbangga untuk memeluk islam secara beramai-ramai, dengan alasan bahawa mereka merupakan ipar dengan nabi SAW.
[4]
Sedih menimpa selepas kemangkatan Ustaz Fadzil noor. Kebijaksanaan politik seperti ustaz Fadzil noor agak tidak wujud selepas beliau meninggal dunia, menyebabkan isu Negara Islam berjaya dijadikan 'point' utama; yang dijadikan modal musuh untuk melemahkan hubungan antara parti-parti dalam barisan Alternatif [BA] ketika itu.
Serangan balas membalas antara PAS dan DAP semakin menjadi-jadi, disamping sikap beberapa pimpinan PAS yang agak mengenepikan PKR dan DAP di negeri yang diperintah oleh PAS, menyebabkan DAP telah mengambil sikap keluar dari hubungan Barisan Alternatif.
Kenyataan berbentuk 'serang' antara PAS dan DAP juga menjadi-jadi, seperti kenyataan karpal "langkah mayat saya jika mahu laksanakan Negara Islam" dan sebagainya, menyebabkan PAS sendiri sudah lupa dengan kenyataan sebilangan besar pimpinan UMNO yang menghina islam dan Nabi Muhammad SAW.
kenyataan seperti, "nabi SAW berjanggut sebab tidak ada pisau cukur", "kalau laksanakan hudud, pasti tidak ada batu-batu untuk dibuat jalan raya" dan banyak lagi kenyataan yang merosakan aqidah dari pimpinan UMNO dilupakan oleh PAS, ekoran kenyataan Karpal itu. Walhal, istilah Negara Islam adalah satu istilah yang tidak pernah wujud sama sekali di zaman nabi Muhammad, malahan di zaman salaf As-Soleh.
Istilah Negara Islam adalah satu istilah yang diwujudkan oleh Rashid redha, sebagai membalas propaganda yahudi yang berusaha hendak menjatuhkan khalifah islam.
[5]
Dalam islam, sesuatu istilah yang tidak wujud dalam nas, ia tidak perlu dipertahankan. Yang perlu dipertahankan adalah kandungan dan pengisian islam.
Istilah Negara islam adalah sekadar istilah. Sekiranya dengan istilah Negara islam itu, menyebabkan orang takut kepada perlaksanaan islam, maka tidak ada gunanya istilah itu dipertahankan sedemikian rupa.
Ini kerana, kaedah dalam syariah ada menyebut;
الحكم يدور على المسمى , لا على الإسم
Maksudnya;
"hukum itu berlegar pada benda yang diberi nama, bukan pada nama"
Yang paling penting adalah pengisian. Bentuk pengisian Negara islam adalah, konsep keadilan sejagat, menentang kezaliman, Negara kasih sayang, berkebajikan, persefahaman antara rakyat waima berbeda agama dalam sesebuah negara dan sebagainya, adalah perkara yang amat penting diterapkan dalam sesebuah Negara. Kejayaan penerapan bentuk ini, merupakan kejayaan dalam pembentukan Negara islam pada hakikatnya.
Malahan, jika dikaji kandungan piagam madinah pun, kita akan dapati bahawa konsep sebegini yang diterapkan oleh rasullallah SAW, menyebabkan pembentukan Negara islam pertama di madinah, terlaksana dengan begitu jayanya sekali, sehingga bersambungan sehingga zaman kejatuhan kerajaan osmaniyyah di turki pada tahun 1924.
[6]
Kesedaran ini wujud pada Ustaz fadzil noor. Makanya, dalam satu sessi dialog isu Negara Islam yang diadakan di Kuala Lumpur, yang dihadiri ramai cendekiawan dan bijak-sana muslim dalam Negara; dalam ucapan penutup, ustaz fadzil Noor ada menyebut bahawa jika istilah Negara Islam ini dapat menggerunkan non Muslim daripada menerima usaha PAS kearah pembentukan Negara islam, maka istilah tersebut usah digembar-gemburkan.
Namun, ucapan ustaz Fadzil Noor itu tidak dilihat penting oleh sebilangan besar pimpinan PAS ketika itu, ekoran melihat kekuatan [al-magrur bi nafsih/syok sendiri] PAS memerintah di kelantan dan terengganu, maka istilah itu tetap diratib.
Dokumen Negara Islam pun dibentang. Dokumen itu, tidak lebih sekadar memperlihatkan sebuah Negara kehukuman, tanpa berjaya mengemukakan maqasid syariahnya, seperti konsep keadilan sejagat, menentang kezaliman, kasih sayang dalam hukum dan sebagainya. Non Muslim melihat dokumen itu sebagai satu dokumen penindasan terhadap mereka, tidak sebagai alternative. Ia bukan kerana salah kandungan dokumen, tetapi salah cara mempersembahkan dokumen.
Dikala itu pula, serangan Perdana Menteri baru, Pak lah badawi dengan imej Mr Clean dan islam hadhari, disamping slogan propaganda 'bekerja bersama saya, bukan berkerja untuk saya' mengakhirkan kekalahan teruk pada PAS, sehingga PAS kalah di terengganu, dan banyak kerusi PAS jatuh ke tangan UMNO/BN di kelantan dan di negeri-negeri yang lain.
[7]
Kali ini, sekali lagi serangan terhadap Anwar Ibrahim menyebabkan keadaan beliau lebih bersifat difensif berbanding menyerang. Disamping itu pula, wujud usaha membeli ADUN dan MP dari parti keadilan semakin menjadi-jadi.
Anwar Ibrahim telah disebukkan dengan berbagai-bagai propaganda ciptaan UMNO/BN, seperti isu agen yahudi dan isu moral, yang ada sebilangan [tidak semua] dari pimpinan PAS dan PKR menerima dan mempercayainya.
Keadaan ini menyebabkan, Pakatan rakyat seperti anak itik kehilangan ibunya. Kelam kabut, kerana tidak ada yang dapat menyambut, sepertimana ustaz fadzil Noor menyambut dalam tahun 1998 dahulu.
Jika keadaan ini terus menimpa, susah hendak dipastikan keputusan PRU akan datang.
Justeru, PAS atau PKR perlu mengkedepankan satu tokoh sepertimana ketokohan ustaz fadzil Noor yang diterima rakyat, tidak kira ia seorang pemimpin politik yang masih muda, ataupun tidak. Muda atau tua bukan alasan, tetapi yang paling penting adalah kematangan politik sehingga berjaya membawa satu gelombang politik bagi menggugat UMNO/BN dalam PRU akan datang.
Pastikan, tokoh yang hendak dikedepankan ini adalah tokoh yang disayangi rakyat, bukan disayangi oleh ahli-ahli sesuatu parti sahaja. Tidak ada gunanya, tokoh yang dikedepankan ini ditaasubkan oleh ahli partinya, tetapi ditolak oleh rakyat secara majority.
Pemimpin yang lembab dan tidak dinamik, tidak wajar dikedepankan. Jika dikedepankan juga, ia tidak lebih sebagai bebanan politik dalam usaha menggugat kemaraan UMNO/BN dalam PRU akan datang.
Keadaan ini perlu dilakukan bermula dari sekarang, kerana ramai pengkaji politik menyatakan bahawa "peluang dalam politik hanya sekali. Apabila terlepas, ia tidak akan tercapai lagi"
Sekian
Wallahu 'Alam
Al-Bakistani
- bandar baru Sungai buloh
19 Mei 2010 * 4:37 petang