Rabu, 14 September 2011

Isnin, 12 September 2011

BETAPA SAYANGNYA RAKYAT KELANTAN KEPADA TUAN GURU

[1]

Tidak dapat dibayangkan betapa sedihnya hati Abu Bakar As-Siddiq ketika turunnya firman Allah bagi ayat yang terakhir yang menyatakan bahawa kandungan syariah Islam ini telah disempurnakan oleh Allah s.w.t. Di kala itu, boleh dikatakan perasaan gembira di kalangan para sahabat terserlah, tetapi ia merupakan penyebabkan air mata Abu Bakar As-Siddiq membasahi pipinya yang mulia.

Apabila ditanya, Abu Bakar As-Siddiq terus menyatakan bahawa penurunan ayat yang terakhir memberi satu isyarat bahawa itulah saat terakhirnya mereka bersama dengan Nabi Muhammad s.a.w yang cukup mereka cintai. Keadaan itu menyebabkan para sahabat Nabi yang lain merasa sedar, lalu turut menangis. Abu Bakar As-Siddiq sudah merasakan perkara ini, tidak hairan beliau amat tenang apabila mendapat berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa di zaman itu wujud satu lagi tokoh yang cukup hebat bernama Umar bin Al-Khattab. Berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w agak sukar diterima oleh beliau, menyebabkan beliau bertindak seperti orang yang kehilangan arah. Beliau dilihat seperti mengamuk dan meracau, seperti seekor ibu ayam yang sedang melilau mencari anak-anaknya yang hilang.

Namun begitu, keadaan Umar bin Al-Khattab berjaya ditenangkan oleh manusia berjiwa lembut dan tenang bernama Abu Bakar As-Siddiq. Terutama apabila mendengar ucapan yang cukup bernas dari Abu Bakar as-Siddiq yang berkata, “Barangsiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad itu telah mati. Barangsiapa yang sembah Allah, sesungguhnya Allah itu hidup tidak akan mati”.

Aku kira, keberadaan dua karakter seperti ini wujud di setiap zaman kegemilangan seseorang tokoh. Ada pihak menilai seseorang tokoh itu, sepertimana Abu Bakar As-Siddiq menilai Rasulullah s.a.w. Ia mempamerkan Kesayangan beliau terhadap Nabi Muhammad s.a.w tidak menafikan rasional beliau yang mengakui bahawa Nabi Muhammad s.a.w itu bakal wafat, kerana ia adalah satu sunnah alam, malahan dinyatakan sendiri oleh Allah s.w.t dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud, “Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati”.

Di sisi yang lain pula, ada satu karakter lagi bernama Umar bin Al-Khattab. Beliau adalah seorang tokoh yang berjaya mengadakan banyak reformasi dalam pemerintahan di zaman beliau menjadi Khalifah. Itu sudah cukup menandakan beliau seorang yang cerdik, dan mempunyai pemikiran yang cukup rasional dalam bidang politik.

Namun begitu, kesayangan beliau kepada Nabi Muhammad s.a.w begitu tinggi, sehingga beliau agak emosional dalam menerima berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Berita kesedihan diterima itu menyebabkan beliau yang dikenali sebagai manusia cukup rasional dalam berfikir, tetapi bertindak sebaliknya, sehinggakan beliau terpaksa diredakan oleh Abu Bakar As-Siddiq.

Padaku, rakyat Kelantan dan seluruh Rakyat Malaysia yang menyayangi Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mempunyai cara seperti dua karakter ini. Ada karakter seperti Abu Bakar As-Siddiq. Tanpa dinafikan juga bahawa di sana ada di kalangan rakyat Kelantan khususnya, dan Malaysia umumnya meletakkan sayang mereka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz seperti Umar bin Al-Khattab menyayangi Rasulullah s.a.w.

Walau kita dapat lihat bahawa cara kedua-dua tokoh ini berbeda dalam menerima berita kewafatan Nabi Muhammad SAW, tetapi adalah satu perkara yang kita tidak boleh nafikan bahawa kedua-dua tokoh ini amat menyayangi Nabi Muhammad s.a.w.

Ia bukan bermakna, Abu Bakar yang tenang itu tidak menyayangi Nabi Muhammad s.a.w. Juga tindakan Umar itu tidak bermakna beliau menpertuhankan Nabi Muhammad s.a.w. Tidak, sekali-kali tidak. Tetapi, kesayangan yang terlalu tinggi itu menyebabkan beliau bertindak sedemikian.

[2]

Idea yang aku lontarkan agar Tuan Guru Nik Abdul Aziz round Malaysia dan dalam masa yang sama tidak bertanding dalam Pilihanraya mendapat komentar yang banyak. Ada yang melihat dengan positif, tanpa dinafikan ada yang melihatnya dengan pandangan negative.

Di peringkat Negeri Kelantan sendiri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz secara peribadi melihatnya sebagai positif, tetapi dilihat seperti negative oleh sebilangan pemimpin-pemimpin PAS di peringkat Negeri.

Dari pihak yang negative dengan idea itu, ada sebilangan mereka menolak dengan rasional, tanpa dinafikan disana ada yang menolaknya dengan emosional. Malahan Makian dan kutukan terhadap diriku berlaku.

Padaku, itu hak dan tanggungjawab mereka. Aku tidak akan menyalahkan mereka, malahan akur dengan tindakan mereka itu. Mungkin anugerah perasaan sayang mereka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kurniaan Allah itu setara dengan sayangnya Umar al-Khattab kepada Rasulullah s.a.w.

Jika Umar boleh hilang rasional dikala mendapat berita kewafatan Nabi Muhammad s.a.w, tidak hairan ada yang hilang rasional ketika mendengar idea yang tidak popular tersebut.

[3]

Pada penilaianku, rata-rata menerima idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz round Malaysia, tetapi tidak dapat menerima idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bertanding dalam Pilihanraya seterusnya tidak menjadi Menteri Besar dalam sessi akan datang.

Dalam perbincangan dan wacana secara tidak langsung, ada pandangan lain yang mencadangkan agar Tuan Guru tetap juga bertanding pilihanraya, tetapi beliau tidak lagi ditabal sebagai Menteri Besar. Penilaianku, itu juga idea yang bernas.

Ada bertanya, mengapa idea ini dilontarkan. Jawapanku adalah, cadangan tersebut berfaktorkan beberapa perkara berikut;

Pertama;

Apabila Tuan Guru tidak bertanding dalam PRU, maka Tuan Guru boleh fokus round Malaysia dalam usaha menjatuhkan UMNO/BN di Malaysia.

Kedua;

Tuan Guru sendiri telah membuka ruang kepada muka-muka baru yang merupakan anak didik-anak didik beliau sendiri untuk mengambil tampuk pemerintahan yang beliau bina sejak sekian lama.

Ketiga;

Sekiranya berlaku kekalutan di kala beliau hidup ketika pemerintahan Kelantan bertukar ‘driver’, beliau yang masih hidup boleh meredakan keadaan itu. Tanpa beliau, amat sukar hendak meramal keadaan yang berlaku di Kelantan kelak.

Keempat;

Padaku Tuan Guru bukan segala-galanya dalam politik PAS di Kelantan. Namun, segala-galanya memerlukan bantuan Tuan Guru. Dengan maksud, bermula dari sekarang Tuan Guru perlu mengkedepankan tokoh yang berkemampuan seperti Tuan Guru. Sekiranya wujud sebarang kelemahan dalam pemerintahan tokoh itu di kala beliau hidup, ia berjaya dibaiki sendiri oleh Tuan Guru.

[4]

Dari sudut hati kecilku, perkara yang paling aku bimbang adalah, dua perkara besar. Iaitu,

Pertama;

Kebimbangan terhadap kepercayaan dan iktiqad sebilangan individu ahli PAS yang meletakkan tanggapan bahawa Kelantan ini bertahan kerana factor Tuan Guru Nik Abdul Aziz sahaja. Dengan tanggapan, selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz, maka Kelantan akan jatuh ke tangan UMNO/BN.

Keadaan ini mengingatkanku terhadap keputusan tidak popular Umar yang memecat Khalid Al-Walid dari menjadi panglima Perang, walhal sebelum ini Khalid Al-Walid memimpin perang tidak pernah kalah. Walaupun dibantah oleh sebilangan besar sahabat yang hidup ketika itu, tetapi Factor kepercayaan “hanya Khalid sahaja berjaya memberi kemenangan dalam berperang” itu melahirkan kerosakan dari sudut kepercayaan, menyebabkan Umar mengambil keputusan tidak popular tersebut.

Padaku, kepercayaan bahawa Kelantan itu hanya diperintah PAS berfaktorkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri besar perlu dipecahkan. Perlu diwujudkan kepercayaan bahawa tanpa Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi menteri Besar pun, PAS boleh menang di Kelantan, kerana kemenangan itu adalah pemberian Allah, iaitu meletakkan kepercayaan sepertimana Umar bin Al-Khattab mewujudkan kepercayaan bahawa kemenangan dalam peperangan itu bukan kerana Khalid Al-Walid semata-mata, malahan tanpa Khalid menjadi Panglima Perang pun, Islam boleh mencapai kemenangan dalam sebarang peperangan.

Kedua;

Kebimbangan “calar” tuan Guru Nik Abdul Aziz di masa akan datang. Mahathir calar di kala beliau meletakkan jawatan. Begitujuga Pak Lah Badawi yang meletakkan jawatan ketika beliau “terlalu banyak calar”.

Keadaan di masa akan datang, sukar diramal; apakah baik, apakah buruk, itu di bawah kekuasaan Allah yang maha berkuasa. Sekiranya baik, maka itu adalah perkara yang sudah berlaku sekian lama pada individu Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Namun sekiranya buruk, itu yang kita tidak habis-habis meminta bantuan dari Allah agak mengelakkan dari berlaku.

Meranung jauh kebelakang, aku masih ingat dengan individu bernama Dato’ Dr Hasan Ali. Sebelum sejarah 8 mac 2008, Hasan Ali disukai oleh ramai rakyat Selangor sehingga beliau disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar PAS di Negeri Selangor. Tetapi, setelah beliau dibisingkan dengan isu hubungan intim beliau dengan UMNO dan hubungan rapuh beliau dengan Pakatan Rakyat, beliau digugurkan dari jawatan pesuruhjaya PAS, dengan mendapat sokongan padu dari sebilangan besar ahli PAS sendiri.

Inilah kebimbanganku yang amat ketara bermain-main dalam fikiranku apabila berfikir tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

[5]

Idea round Malaysia tidak ada khilaf dalam penerimaannya. Tetapi, idea tidak bertanding, penerimaan dan penolakkannya berlaku sedikit khilaf.

Secara idealnya, Tuan Guru NIk Abdul Aziz sendiri memandangnya sebagai positif. Namun idea itu agak ditolak oleh PAS di peringkat Kelantan. Pada tanggapanku, kebimbangan PAS Kelantan itu juga berasas, malahan juga logic. Ia kerana, mungkin idea itu menghasilkan resiko yang agak besar dalam berhadapan dengan pilihanraya di peringkat Negeri.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz memang mempunyai keputusan dia sendiri, tetapi sebagai pemimpin yang baik, sudah pasti beliau tidak akan mengambil keputusan sendiri, sebaliknya beliau akan menerima suara majority dari “kabinet” PAS di peringkat Negeri, malahan diperingkat pusat. Ini kerana, jatuh bangun Kelantan, bukan tertumpu kepada diri beliau sendiri, tetapi melibatkan sokongan dan dokongan dari rakan-rakan kabinet beliau.

Jadi, keputusan yang telah dan bakal dibuat hendaklah dihormati. Kerana, pandangan ramai itu lebih hampir kepada kebenaran berbanding pandangan yang sedikit.

[6]

Aku meletakkan kepercayaan bahawa kemenangan Islam itu bukan sebagai memerintah. Kemenangan dalam Islam yang aku faham adalah apabila ramai manusia memeluk islam.

Hujjah aku ini merujuk kepada firman Allah dari surah An-Nasr, ayat pertama dan kedua. Firman Allah itu bermaksud, “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan, kamu akan melihat manusia masuk kepada kepada Islam itu beramai-ramai”.

Adapun berjaya menguasai kerajaan adalah satu hadiah bonus dari Allah. Ini berasaskan kepada firman Allah yang bermaksud, “katakanlah Wahai Muhammad, kepunyaan Allah segala kerajaan. DIA akan memberikan kerajaan kepada siapa yang dia mahu” (Al-Imran : 26)

Jadi, Idea atau pandangan yang aku lontarkan dalam program pertemuan blogger dan facebooker itu sebagai sesuatu pandangan yang jika mahu diistilahkan sebagai soal ijtihad sahaja (walaupun tidak layak dengan istilah itu). Sekiranya ia benar, ia menghasilkan dua pahala, dan sekiranya tidak benar, maka ia menghasilkan satu pahala sahaja.

Kerana padaku, tindakan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Round Malaysia, ia akan menarik perhatian non Muslim untuk mendekati politik Islam. Ia sudah pasti lebih hampir kepada makna bagi kemenangan islam mengikut neraca ayat al-Quran di atas.

Walaubagaimana pun, aku tidak menyatakan idea itu adalah yang terbaik malahan ia mungkin tidak relevan langsung. Ia terpulang kepada mereka terlibat dengan penentuan masa depan parti PAS dan kemenangan Islam di Malaysia untuk membuat keputusan.

Sekian

Wallahu ‘Alam



Ahad, 11 September 2011

TOK GURU PERLU ADAKAN PERTEMUAN BERSAMA ARTIS PULA !!!????


Aku kira, usaha mempertemukan antara Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan Amy Search dahulu cukup memberi kesan sokongan sebilangan besar artis kepada PAS. Rentetan itu juga, dunia dakwah di Malaysia kini sudah mengenali orang bernama Bob Luqman, yang merupakan penulis lirik lagu Isabella yang cukup masyhur dalam akhir 80 an dan awal 90 an dahulu.

Tanpa kita nafikan, di era ini, fenomena banyak artis mahukan kepada Islam berlaku. apakah disebabkan perkembangan ini terpengaruh dari Negara seberang, iaitu Indonesia, itu tidak dapat dipastikan hakikatnya.

Keberadaan Ustaz Akhil Hay yang merupakan artis rockers yang bertukar dengan imej dakwah juga tidak boleh dinafikan kesan kepada kedekatan kebanyakan artis kepada Islam dalam Negara ini. Ia merupakan satu perkara yang cukup membanggakan kita dalam usaha dakwah di Malaysia.

Pada pertemuan dalam forum bersama blogger dan facebooker anjuran kerajaan Negeri Kelantan, kita dapati ada seorang artis yang agak masyhur juga hadir. Tanpa merasakan takut dan segan kepada masa depan dunia artis, beliau tetap mengadirkan diri, waima program itu adalah anjuran kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Artis yang aku maksudkan adalah Saudara Mustafa Kamal. Yang pada hari itu baru aku tahu bahawa beliau adalah orang Kelantan.

Kehadiran beliau itu, menyebabkan aku terfikir bahawa fenomena artis mula menyatakan sokongan mereka kepada PAS secara terbuka sedang berlaku. mungkin kerana mereka sudah dapat menilai antara keburukan UMNO dan kebaikan PAS.

Ada kawan menyatakan pandangan bahawa fenomena ini bermula apabila ada usaha yang dilakukan oleh sebilangan pihak untuk pertemukan antara Amy Search dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Jika benar pandangan itu, alangkah baiknya jika Tuan Guru Nik Abdul Aziz dapat bertemu dengan ramai lagi artis-artis yang masyhur untuk berlaku satu fenomena lebih besar dari ini, iaitu kejatuhan kerajaan BN dari tampuk pemerinatah Putrajaya.

Sekian

Wallahu ‘Alam




Sabtu, 10 September 2011

UTUSAN MALAYSIA SPIN KENYATAAN AKU


2 september bersamaan dengan 4 syawal baru-baru ini, aku hadir dalam majlis pertemuan blogger dan facebooker anjuran kerajaan Negeri Kelantan bertempat di Lundang, Kota Bharu Kelantan. Dalam program tersebut, aku mencadangkan agar Tuan Guru Nik Abdul Aziz ROUND MALAYSIA untuk menjatuhkan UMNO/BN, sepertimana perubahan yang berjaya dilakukan oleh Mahatma Ghandi di India, dan Rashid Ghanoushi di Tunisia. Ekoran itu, Tuan Guru tidak seharusnya bertanding lagi dalam PRU akan datang untuk focus ROUND MALAYSIA itu.

Pendapat aku itu dijawab oleh Datuk Husam Musa. Beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan mencadangkan agar Tuan Guru Nik Abdul Aziz terus Round Malaysia, tetapi kekal juga bertanding dalam PRU. Padaku, program malam itu sudah selesai.

Tidak disangka-sangka, dua hari kemudiannya, iaitu pada 4 september, ia menjadi satu berita hangat di Kelantan. Iaitu, apabila ia dijadikan berita di muka surat utama dalam sinar harian versi Kelantan. Makanya, aku dihujani dengan pelbagai komentar dari rakan-rakan, sama ada melalui email, facebook dan juga melalui telefon.

“anta mencadangkan tuan guru letak jawatan?” antara soalan yang banyak kedengaran.

“Ana tidak cadangkan tuan Guru letak jawatan.. yang ana cadangkan adalah, Tuan Guru perlu round Malaysia untuk jatuhkan UMNO/BN di Malaysia, sepertimana yang dilakukan oleh Mahatma Ghandi di India, dan Rashid Ghanoushi di Tunisia.. Cuma, bimbang kesihatan Tuan Guru yang sudah tua, dicadangkan Tuan Guru tidak bertanding dalam PRU pada kali ini, tetapi focus untuk round Malaysia untuk jatuhkan UMNO/BN” jawabku panjang lebar bimbang orang keliru.

Rakan-rakan yang berhubung terus denganku berpuas hati dengan peneranganku. Tetapi, mengenangkan akhbar mementingkan duit, wang dan kemasukan berbanding melaporkan yang sepatutnya, menyebabkan tajuk berita mereka diolah sedemikian rupa bagi memburukkan lagi keadaan.

Pada hari ini, keluar pula berita dalam utusan Malaysia melaporkan berita tersebut, waima program yang telah berlalu itu berlanjutan sehingga seminggu yang lepas. Seperti yang kita tahu, Utusan melaporkan perkara yang mereka mahu sahaja, tanpa mereka melaporkan banyak lagi perkara yang aku nyatakan dalam program tersebut.

MEREKA BUANG POINT PENTING, dan membesarkan perkara yang tidak penting dalam ucapan cadanganku itu.

Antara perkara yang tidak aku sebutkan dalam ucapanku, tetapi ditambah-tambah oleh Utusan tersebut adalah pada ayat berikut;

“Pada 3 September lalu, Wan Ji dilaporkan berkata: "Tuan Guru tidak perlu bertanding pilihan raya, tidak perlu jadi Menteri Besar lagi, tumpu sahaja kepada ceramah. Tugas itu boleh diserah kepada ramai lagi ulama muda lain”

Ungkapan “tumpu pada sahaja kepada ceramah. Tugas itu boleh diserahkan ramai lagi ulama muda lain” adalah penambahan dari Utusan yang disandarkan kepadaku, walhal aku tidak pernah menyebut seperti yang dilaporkan. Dan lagi, forum itu berlaku pada 2 september, bukan 3 september seperti yang dilaporkan.

Apakah harus aku lakukan terhadap utusan?

Mungkin aku tidak perlu pening lagi nak cari duit untuk membayar yuran untuk aku sambung pengajianku….

Sekian

baca sama :
tok guru nik Abdul Aziz perlu round Malaysia untuk hapuskan BN.

Wallahu ‘Alam




Ahad, 4 September 2011

[ARKIB] GURU-GURU TOK GURU HAJI HASHIM PASIR TUMBUH

Tuan guru Haji Hashim Abu Bakar, lebih akrab dengan panggilan Ayah Sin. Pada tanggal 30 Ogos 2011, jam 1.15 sore, saat umat Islam merayakan hari raya aidilfitri tokoh ulama tersohor itu kembali rahmatullah dalam usia 91 tahun di rumahnya di komplek Madarasah Ad-Daniah Balakariah Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan, kerana sakit tua.

Lahir pada 1920, di Kg. Pantai Johor, Alor Setar, Kedah, daripada keluarga ulama. Bapanya berasal dari Pattani yang berhijrah ke Kedah dan berkahwin dengan anak tempatan. Pada 1935, ketika usianya 12 tahun, ibu bapanya menghantar belajar di Darul Ulum dan di Masjidil Haram, Mekah. Antara gurunya ketika itu, ialah Syeikh Mohd. Yasin al Padangni, seorang ulama terkenal di Mekah asal Minangkabau, Indonesia, Syeikh Hassan Mashud dan Syeikh Muhamad Alawi daripada Maghribi.

Sekembalinya ke tanah air (1939), dia menyambung lagi pengajian secara tradisional di Madarsah Asyariah, Bagan Datok, Perak, selama setahun (1940). Semasa Jepun menduduki Tanah Melayu beliau kembali ke kampung kelahirannya di Kedah, sehingglah pada 1946. Setahun selepas tentera Jepun menyerah kalah, Haji Hashim berhijrah ke Kelantan. Ketika di Kelantan, dia mendalami lagi ilmu agama di Pondok Bunut Payung.

Antara rakan-rakan sepengajian beliau ketika itu, samada sewaktu di Mekah, mahupun di tanah air, ialah bekas guru di Maahad Muhammadi, Ustaz Haji Hasan Idris, iaitu anak Tok Guru Haji Idris, Bachok dan Tok Guru Ayah Kob, Machang, Kelantan.

Madarasah Ad-Daniah Bal-akariah atau nama popularnya Pondok Terosan, Pasir Tumboh, dibuka pada 1953 oleh dua orang ulama bersuadara, Haji Mustafa bin Abu Bakar dan adiknya Haji Abdul Aziz Abu Bakar. Ketika itu Ayah Sin menyambung sentri di pesantren tersebut. Minat beliau kepada pengajian Islam secara tradisional menjadikan dirinya sangat sinonim dengan suasana pesanteran.

Kebetulan, Almarhum mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Tok Guru Haji Abdul Aziz atau nama akrabnya, Tok Guru Ayah Jik, adalah adik ipar. Menurut haraki pondok Terosan, Ayah Sin merupakan murid paling kanan antara ribuan murid yang belajar di situ ketika itu. Justeru bila Tok Guru Ayah Jik meninggal dunia, maka kepimpinan pesanteran Pasir Tumboh diserahkan kepada beliau.

Ayah Sin, mula memimpin pesanteran pada 1987. Banyak perubahan dilakukannya sedikit demi sedikit, terutama membangunan pasarana. Masjid diperbesarkan, asrama-asrama moden untuk sentri setingi 5 lantai didirikan. Lengkap dengan kantin, kedai runcit dan lain-lain kemudahan, bagi menggantikan rumah-rumah kecil bebentuk pondok kayu yang sudah usang dan tidak teratur.

Hari ini, sesiapa yang berkunjung ke Pondok Terosan, akan terpegun dengan pembanguan yang dijalankan berbanding dengan sebelumnya.

sumber : Pak Rossem

Sabtu, 3 September 2011

TOK GURU NIK AZIZ KENA ROUND MALAYSIA UNTUK HAPUSKAN BN

2 September, pada hari raya keempat, Kelantan mengadakan program pertemuan dengan Blogger dan Facebooker di Balai Islam, Lundang bersama dua tokoh; Dato' Husam Musa dan Saifuddin Nasution. 

Aku hadir dan memberi pandangan dalam program tersebut. Padanganku adalah, Tuan Guru perlu round Malaysia dalam Kempen PRU akan datang dalam usaha hendak merampas tampuk pemerintahan Putrajaya. Dengan itu, Tok Guru NIk Abdul Aziz perlu berehat dari bertanding PRU akan datang.

Tidak disangka-sangka, pandangan aku menjadi liputan meluas dalam akhbar Sinar harian Kelantan pada hari ini. Jadi disini, aku ingin menyatakan hujjah pandangan aku seperti berikut;

satu;

Secara peribadi, aku pernah melihat bagaimana masyarakat yang berbilang kaum terlalu sayangkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ramai teman-teman yang tidak beragama Islam pernah menyatakan kepadaku bahawa "Nik Aziz ini bukan manusia biasa, tp dia adalah orang tuhan".

Tuan Guru Nik Aziz mempunyai Aura yang tersendiri yang melebihi aura Anwar Ibrahim. Beliau hadir dalam satu program, orang sudah merasa berpuas hati melihat wajah beliau di atas pentas, waima beliau tidak menyampaikan sebarang ucapan sekalipun. 

Aura ini perlu dimanfaatkan oleh Pakatan Rakyat dalam usaha hendak merampas Putrajaya dari rejim UMNO. Caranya adalah, Tuan Guru perlu round Malaysia. Kalau boleh disetiap DUN dan Parlimen yang ditandingi Pakatan Rakyat. Iaitu, tidka tertumpu kepada DUN dan Parlimen yang ditandingi PAS sahaja.

kedua:

Dato Husam menjawab bahawa dalam keadaan Tuan Guru bertanding pun, beliau boleh round Malaysia. Aku agak kurang bersetuju dengan pandangan Dato Husam tersebut, waima aku hormati pandangan terbabit. 

alasanku adalah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz terlalu tua. Jika kita berbual dengan Tuan Guru, kita akan dapat lihat bahawa tangan tuan Guru pun sudah gementar. Jadi, jika dia round Malaysia pun merupakan satu beban bagi dirinya yang begitu tua, inikan pula ingin fokus sama pada DUN yang dia bertanding.

padaku, dalam keadaan ini, kita mengambil manfaat yang lebih besar berbanding manfaat yang kurang besar.

ketiga :

Dalam forum terbabit, aku mengumpamakan Tuan Guru ini seperti Mahatma GHandi di India, dan Rashid Ghanoushi di Tunisia. KEdua-dua tokoh ini menjadi spritual leader, tanpa mereka bertanding dalam PRU.

Mahatma Ghandi itu merupakan Nik Aziz India, dan rashid Ghanoushi itu umpama Nik Aziz Tunisia jika dilihat dalam kerangka politik di Malaysia pada hari ini. Tok Guru memang tidak mempunyai kepentigan dalam jawatan Menteri Besar, tetapi dalam budaya politik, persepsi adalah satu perkara yang penting. Jadi, mempamerkan beliau tidak mempunyai kepentingan dalam jawatan menteri besar adalah perlu. ekoran itu, beliau akan dilihat setara dengan dua tokoh (ghandi dan Ghanoushi) dalam sejarah peradapan politik di Malaysia akan datang.


sekian


PANTUN KEMERDEKAAN

Harimau Mati meninggalkan belang;
Penjajah British mati meninggalkan UMNO..

hahahaa