Sabtu, 25 April 2009

MENGHARAMKAN YANG HALAL MELAHIRKAN KEBURUKAN DAN MUDHARAT

Dalam menentukan sesuatu hukum itu halal atau haram, maka itu diserahkan kepada Allah. Atas kehendak Allah sahaja, dalam menentukan sesuatu itu halal atau haram.

Pun begitu, apabila Allah mengharamkan sesuatu, pasti perkara tersebut adalah buruk. Dan apabila Allah halalkan sesuatu, maka perkara itu adalah baik.

HARAM KERANA DENDA

Tidak dinafikan, Allah pernah mengharamkan perkara yang baik terhadap orang-orang yahudi terdahulu.

Firman Allah;

وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا أَوِ الْحَوَايَا أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ ذَلِكَ جَزَيْنَاهُمْ بِبَغْيِهِمْ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ

Maksudnya;
” Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku
[1] dan dari sapi dan domba, Kami haramkan atas mereka lemak dari kedua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung keduanya atau yang di perut besar dan usus atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kedurhakaan mereka; dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar”

(Surah Al-An’Am : 146)

Pun begitu, tujuan Allah haramkan itu merupakan denda dan azab terhadap mereka, ekoran tindakan mereka yang melakukan maksiat, makan harta riba, makan harta manusia secara batil, mencegah dari disampaikan ayat-ayat Allah dan banyak lagi.

Firman Allah;

فَبِظُلْمٍ مِنَ الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَاتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ كَثِيرًا * وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Maksudnya;
“Maka disebabkan kezaliman orang-orang Yahudi, kami haramkan atas (memakan makanan) yang baik-baik (yang dahulunya) dihalalkan bagi mereka, dan karena mereka banyak menghalangi (manusia) dari jalan Allah * dan disebabkan mereka memakan riba, padahal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan karena mereka memakan harta benda orang dengan jalan yang batil. Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir di antara mereka itu siksa yang pedih”

(Surah An-Nisa’ : 160-161)

Keadaan ini tidak berlaku kepada umat Nabi Muhammad SAW. apabila sesuatu maksiat yang dilakukan oleh Umat Nabi Muhammad, Allah tidak akan memberikan denda seperti Allah berikan denda kepada kaum yahudi; iaitu dengan mengharamkan beberapa jenis makanana terhadap mereka.

Mengikut bentuk syariat Nabi Muhammad, sebarang maksiat yang dilakukan hendaklah bertaubat kepada Allah, iaitu dengan melakukan perkara-perkara berikut; (1) bertaubat nasuha, (2) banyak melakukan amalan baik, kerana ia bisa menghapuskan dosa-dosa kecil, (3) bersabar dalam menghadapi sebarang ujian dan musibah, kerana ia juga bisa menghapuskan dosa-dosa kecil.

BENTUK SYARIAT MUHAMMAD

Syariat Nabi Muhammad terasas bahawa yang halal itu adalah baik, dan haram itu adalah buruk. Justeru itu, apabila wujud sesuatu perkara yang tidak tersabit dalam nas secara sahih dan sareh, maka hendaklah dilihat kepada perkara tersebut, apakah menghasilkan mudharat atau menghasilkan manfaat??

Jika ia melahirkan manfaat, maka hukumnya adalah halal. Adapun jika ianya melahirkan mudharat, maka hukumnya adalah haram. Begitujuga, apabila didapati mudharatnya lebih besar berbanding manfaar, maka hukumnya adalah haram. Dan apabila manfaat lebih besar berbanding mudharat, maka hukumnya adalah halal.

Ini diasaskan kepada kaedah yang tersebut dalam Al-Quran, iaitu firman Allah;

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Maksudnya;
” Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”

(Surah Al-Baqarah : 219)

SAINS MEMBUKTIKAN

Kebenaran firman dan sabdaan wahyu ternyata terbukti. Walaupun dahulu kala, ramai manusia tidak mengetahui hikmat sesuatu larangan, mereka tetap taat dan patuh. Pun begitu, setelah wujudnya kemajuan sains dan teknologi, semua ini telah memberikan bukti hasil yang membanggakan.

Dahulu, orang tidak pernah tahu kuman yang wujud dalam babi, tetapi memandangkan taat dan patuh mereka terhadap Allah, mereka tidak sekali-kali makan babi. Pun begitu, apabila zaman kemajuan sains dan teknologi semakin berkembang, maka ramailah manusia telah berjumpa jawapan disebalik hikmat Allah SWT atas pengharaman babi.

Apa yang pasti, ini membenarkan firman Allah SWT ;

وَاللَّهُ يَعْلَمُ الْمُفْسِدَ مِنَ الْمُصْلِحِ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَأَعْنَتَكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya;
”dan Allah mengetahui siapa yang membuat kerusakan dari yang mengadakan perbaikan. Dan jikalau Allah menghendaki, niscaya Dia dapat mendatangkan kesulitan kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

(Surah Al-Baqarah : 220)

Sekian

p/s : ulasan dari kitab ”Al-Halal wa Al-haram fi Al-Islam” karangan Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 april 2009 * 12:10 tengahari

[1] Yang dimaksud dengan binatang berkuku di sini ialah binatang-binatang yang jari-jarinya tidak terpisah antara satu dengan yang lain, seperti: unta, itik, angsa dan lain-lain. Sebahagian ahli tafsir mengartikan dengan hewan yang berkuku satu seperti kuda, keledai dan lain-lain.

Tiada ulasan: