Khamis, 23 Julai 2009

ISU TEOH BENG HOCK : PEMBUKTIAN MELALUI QARINAH

ISU TEOH BENG HOCK : PEMBUKTIAN MELALUI QARINAH

Isu kematian Teoh Beng Hock masih lagi menjadi perbincangan media, sama ada di akhbar bercetak, mahupun alam maya. tidak diketahui kisah sebenar disebalik kematian Teoh beng Hock itu, apakah dibunuh, ataupun terbunuh dengan cara yang tidak sengaja.

Aliran Be End dan umNO, mereka lebih menganggap Teoh terjun dari bangunan SPRM itu dengan tujuan bunuh diri. Adapun dari aliran Pakatan Rakyat, rata-rata mendakwa, ia ada kaitan dengan pembunuhan.

Bukti-bukti kukuh atas dakwaan dari dua belah pihak masih lagi tidak ketemui. Pun begitu, qarinah-qarinah yang wujud atas dakwaan kedua-dua pihak, masih lagi boleh dinilai, apakah ia kuat atau lemah.

Dakwaan yang mengatakan teoh bunuh diri, ia agak dangkal. Pun begitu, dakwaan Teoh dibunuh atau terbunuh agak kuat dengan dokongan qarinah-qarinah.

Dalam Islam, Qarinah tidak boleh menjadi bahan bukti dalam menentukan sesuatu kes, tetapi tugas qarinah adalah mengkuatkan bukti yang sedia wujud.

Pun begitu, ia bukan bermaksud, sesuatu qarinah yang wujud perlu diketepikan, malah ia wajib juga di ambil kira, terutama dalam usaha untuk mengkuatkan sesuatu bukti, atau qarinah itu sebagai lontaran awal untuk melahirkan bukti.

NABI SULAIMAN DAN DUA ORANG IBU

Jika diperhatikan kepada hadis, kita akan dapati bagaimana kepentingan qarinah dalam menghasilkan bukti. Antaranya adalah seperti sebuah hadis yang diceritakan oleh nabi SAW berkenaan dengan kisah Nabi Sulaiman A.S dan Nabi Daud AS.

Nabi Saw bercerita;

كَانَتْ امْرَأَتَانِ مَعَهُمَا ابْنَاهُمَا جَاءَ الذِّئْبُ فَذَهَبَ بِابْنِ إِحْدَاهُمَا فَقَالَتْ صَاحِبَتُهَا إِنَّمَا ذَهَبَ بِابْنِكِ وَقَالَتْ الْأُخْرَى إِنَّمَا ذَهَبَ بِابْنِكِ فَتَحَاكَمَتَا إِلَى دَاوُدَ فَقَضَى بِهِ لِلْكُبْرَى فَخَرَجَتَا عَلَى سُلَيْمَانَ بْنِ دَاوُدَ فَأَخْبَرَتَاهُ فَقَالَ ائْتُونِي بِالسِّكِّينِ أَشُقُّهُ بَيْنَهُمَا فَقَالَتْ الصُّغْرَى لَا تَفْعَلْ يَرْحَمُكَ اللَّهُ هُوَ ابْنُهَا فَقَضَى بِهِ لِلصُّغْرَى

Maksudnya;
“Dua orang perempuan yang kedua-duanya mempunyai anak. Salah seorang dari anak mereka telah dilarikan oleh serigala. Berkata salah seorang dari kedua-duanya, serigala itu melarikan anak kamu. Berkata satu lagi, serigala itu melarikan anak kamu. Lalu mereka berjumpa dengan Nabi Daud untuk dijatuhkan hukuman tersebut. Nabi Daud berhukum agar anak itu adalah kepunyaan perempuan yang tua. Kedua-dua perempuan itu keluar kepada Nabi Sulaiman bin Daud dan memberitahu kepada baginda (tentang hukuman Nabi Daud tersebut). Nabi Sulaiman berkata, datangkan kepadaku sebilah pisau, aku ingin belah anak ini untuk diberikan bahagian masing-masing. Lalu berkata perempuan yang muda, tolong jangan lakukan, mudah-mudahan Allah merahmatikan. Anak itu adalah anak (perempuan tua itu). lalu Nabi Sulaiman berhukum bahawa anak itu adalah kepunyaan anak perempuan muda
[1].

Jika kita renung dari kisah ini, pasti kita akan dapat membayangkan bagaimana kaedah “provokasi” yang digunakan oleh Nabi Sulaiman dalam mencari bukti untuk memastikan ibu sebenar terhadap anak tersebut.

Hadis ini membuktikan bahawa, kaedah qarinah iaitu dengan menilik antara dua ibu; ibu yang manakah mempunyai perasaan kasihan belas terhadap anak tersebut. Ini kerana, jika benar seseorang itu adalah ibu kepada anak tersebut, sudah pasti dia tidak akan sanggup melihat anaknya itu dibunuh.

Adapun perempuan tua pula, didapati tidak sensitive ketika mendengar bahawa anak tersebut akan dibelah dua, menunjukkan bahawa ianya bukan ibu kepada anak tersebut. ini kerana, mana mungkin seorang ibu redha anaknya dibunuh.

Justeru, hadis ini membuktikan bahawa kaedah qarinah ini digunakan dalam Islam dalam “memprovoke” bagi mendapatkan bukti yang kukuh dalam mengendalikan sesuatu kes.

NABI YUSUF DAN ZULAIKHA

Begitujuga, kaedah qarinah ini digunakan pakai dalam Islam dengan merujuk kepada kisah Nabi Yusuf yang dituduh berzina dengan isteri pembesar Mesir yang bernama Zulaikha.

Firman Allah;

قَالَ هِيَ رَاوَدَتْنِي عَنْ نَفْسِي وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ أَهْلِهَا إِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِنْ قُبُلٍ فَصَدَقَتْ وَهُوَ مِنَ الْكَاذِبِينَ * وَإِنْ كَانَ قَمِيصُهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ فَكَذَبَتْ وَهُوَ مِنَ الصَّادِقِينَ * فَلَمَّا رَأَى قَمِيصَهُ قُدَّ مِنْ دُبُرٍ قَالَ إِنَّهُ مِنْ كَيْدِكُنَّ إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ

Maksudnya;
“Yusuf berkata: "Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya)", dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: "Jika baju gamisnya koyak di muka, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. * Dan jika baju gamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar." * Maka tatkala suami wanita itu melihat baju gamis Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: "Sesungguhnya (kejadian) itu adalah diantara tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar."”

(Surah Yusuf : 26-28)

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan tentang kehadiran dua orang saksi yang menyatakan bahawa, sekiranya qamis atau baju yang dipakai Yusuf itu koyak di hadapan, menunjukkan yusuf memang bersalah. Adapun jika baju yusuf itu koyak di belakang menunjukkan bahawa Isteri pemerintah yang bersalah.

Ini kerana, jika benar isteri pemerintah mendakwa bahawa yusuf ingin merogolnya, sudah pasti baju yusuf akan koyak di hadapan, disebabkan isteri pemerintah akan menghalang jika yusuf mahu merogolnya. Tetapi, hakikat sebenar adalah, baju yusuf terkoyak dibelakang, menunjukkan, Yusuf ketika itu mahu lari dari godaan isteri pemerintah, tetapi ditarik oleh isteri pemerintah sehingga baju yusuf terkoyak dari pihak belakang.

Dari kisah Nabi Yusuf ini, kita akan dapati bagaimana kaedah qarinah dapat memberikan suatu bukti dalam pengendalian sesuatu kes.

KISAH OMAR DAN SEORANG PEREMPUAN MUDA

Begitujuga, qarinah tersebut boleh dirujuk melalui firasat. Ini disandarkan kepada kisah yang berlaku pada zaman Omar bin Al-Khattab menjadi Khalifah.

Menurut Ibnu Quddamah dalam kitab Mughni, diceritakan seorang perempuan muda telah datang berjumpa dengan Omar yang ketika itu, Kaab bin Sur sedang duduk bersama dengan Omar.

Perempuan itu berkata;

يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، مَا رَأَيْت رَجُلًا قَطُّ أَفْضَلَ مِنْ زَوْجِي ، وَاَللَّهِ إنَّهُ لَيَبِيت لَيْلَهُ قَائِمًا ، وَيَظَلُّ نَهَارَهُ صَائِمًا

Maksudnya;
“Wahai Amirul Mu’minin, aku tidak melihat seorang pun lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, malamnya sentiasa qiyamullail, dan siangnya sentiasa berpuasa.

Mendengar perkataan perempuan itu, Omar memuji suaminya itu. Perempuan itu merasa malu dan terus pulang dengan wajah yang hampa.

Melihat keadaan itu, Kaab berkata kepada Omar;

يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ ، هَلَّا أَعْدَيْت الْمَرْأَةَ عَلَى زَوْجِهَا ؟ فَقَالَ : وَمَا ذَاكَ ؟ فَقَالَ إنَّهَا جَاءَتْ تَشْكُوهُ ، إذَا كَانَتْ حَالُهُ هَذِهِ فِي الْعِبَادَةِ ، مَتَى يَتَفَرَّغُ لَهَا ؟

Maksudnya;
”Wahai Amirul Mu’minin, apakah tuan tidak mengira masalah perempuan itu terhadap suaminya? Omar berkata : apa sebenarnya? Lalu berkata (kaab), sesungguhnya perempuan itu datang untuk membuat laporan kepada kamu. Apabila suaminya sentiasa dengan ibadat, bilakah masanya suaminya meluangkan masa untuknya (dengan jimak)?”

Mendengar kata-kata kaab, Omar menyuruh suami perempuan itu dipanggil. Ketika suami itu berada di hadapan Omar, Kaab diminta agar menjatuhkan hukuman terhadap suami tersebut.

Kaab terus berkata;

فَإِنِّي أَرَى كَأَنَّهَا امْرَأَةٌ عَلَيْهَا ثَلَاثُ نِسْوَةٍ ، هِيَ رَابِعَتُهُنَّ ، فَأَقْضِي لَهُ بِثَلَاثَةِ أَيَّامٍ وَلَيَالِيهِنَّ يَتَعَبَّدُ فِيهِنَّ ، وَلَهَا يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ


Maksudnya;
”Sesungguhnya aku melihat, seakan-akan lelaki ini mempunyai tiga orang isteri. Dan isterinya (yang datang) itu adalah isteri yang keempat. Maka aku hukumkan kepadanya, tiga hari dan tiga malam merupakan hari dia beribadat (puasa dan qiyamullail), dan bagi isterinya adalah hari yang keempat pada siang dan malamnya”

Omar bertanya, bagaimana kamu berhukum ini? Kaab menjawab, aku berdalilkan firman Allah SWT;

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ

Maksudnya;
” maka kawinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat”

(Surah An-nisa’ : 3)

Mendengar ini, Omar terus berkata;

وَاَللَّهِ مَا رَأْيُك الْأَوَّلُ بِأَعْجَبَ إلَيَّ مِنْ الْآخِرِ ، اذْهَبْ فَأَنْتَ قَاضٍ عَلَى أَهْلِ الْبَصْرَةِ

Maksudnya;
”Demi Allah, pandangan kamu dalam perkara pertama adalah bersangatan aku kagum berbanding satu lagi. Pergilah kamu menjadi qadi kepada penduduk Basrah
[2]

Dari kisah ini, membuktikan kepada kita bahawa qarinah juga merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan bukti yang boleh diguna pakai, bahkan ianya telah diterima oleh golongan salaf terdahulu.

KESIMPULAN

Dari ulasan-ulasan yang dikemukakan ini, menjelaskan kepada kita bahawa islam mempunyai kaedah yang tersendiri dalam mencari sesuatu bukti dalam mengendali sesuatu kes dengan menggunakan kaedah qarinah.

Justeru, dalam kes kematian Teoh beng Hock, qarinah seperti penyelak tingkap bangunan SPRM, seluarnya terkoyak di punggung, keadaan baringan mayat teoh dan banyak lagi, sekali-kali tidak boleh diabaikan, malah ia hendaklah diambil kira bagi memastikan hak teoh mendapat keadilan.

Jangan dipedulikan tentang teoh yang berbangsa cina. Sebab, Islam sekali-kali tidak melihat kepada bangsa seseorang, tetapi yang dilihat oleh Islam adalah hak seseorang itu hendaklah diletakkan pada tempatnya. Yang penting kita kena fikirkan, teoh beng hock adalah manusia, yang wajib diberikan penghormatan atas kemanusiaan itu, waimma dia berbeda agama dengan kita sekalipun.

Ini adalah isu hak kemanusiaan yang Islam mewajibkan kepada kita menghormatinya.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
24 Julai 2009 * 2:57 pagi



[1] Sahih Al-Bukhari : 3173.
[2] Al-Mughni : 16/53 - 54

1 ulasan:

MOHAMADAZHAN berkata...

salam ustaz. boleh sy mohon izin copy artikel ini ke blog sya. sangat bgus. satu ilmu baru bg sy.terima kasih.