Ahad, 13 September 2009

“MEMANG DIA TIDAK BERAGAMA ISLAM, TETAPI DIA ADALAH IBUMU”


“MEMANG DIA TIDAK BERAGAMA ISLAM, TETAPI DIA ADALAH IBUMU”

Asma’ bin Abu Bakar merupakan adik beradik dengan Aisyah R.ha. bapanya, Abu Bakar merupakan sahabat rapat Rasulullah SAW.

Sewaktu bapanya belum memeluk Islam, dia telah berkahwin dengan seorang perempuan Makkah bernama Qutailah binti Abdil Uzza. Setelah memeluk Islam, Qutailah kekal dengan kekufurannya, sedangkan Abu Bakar bersama Aisyah dan Asma’; sama-sama memeluk Islam.

Waimma mereka berbeda agama dengan ibunya, hubungan kekeluargaan masih tetap berlaku.

Suatu hari, Qutailah telah datang berjumpa dengan Asma’ dengan membawa beberapa barangan berupa hadiah yang hendak diberikan kepada anaknya, Asma’.

“saya tidak akan menerima hadiah dari ibu, kerana ibu tidak beragama Islam” Asma’ membalas huluran hadiah dari ibunya.

Qutailah bersedih dengan jawapan yang diberikan itu. perkara ini dimaklumkan oleh Aisyah kepada Rasulullah SAW. mengetahui itu, Nabi SAW memanggil Asma’ bertanyakan tindakannya yang dia lakukan terhadap ibunya itu.

Asma’ membenarkan perkhabaran dari Aisyah tersebut. Tindakan Asma’ itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan satu ayat yang berbunyi;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
“Allah tidak pernah menghalang kamu daripada melakukan kebaikan dan keadilan terhadap mereka yang tidak pernah menyerang agama kamu dan tidak mengeluarkan kamu daripada Negara kamu. Sesungguhnya Allah sayang kepada orang yang melakukan keadilan”

(Surah Al-Mumtahanah : 8 )

KEKELUARGAAN WAIMMA BERBEDA AGAMA

Islam adalah agama yang menyeru kepada hubungan baik. Melahirkan permusuhan adalah ditegah didalam Islam, waimma dengan mereka yang berbeda agama sekalipun.

Dalam kes Asma’ ini, kita dapat melihat tindakan yang boleh disifatkan seperti extream perkauman itu agak wujud. Pun begitu, tindakan tersebut merupakan satu kesilapan besar, lantaran dia ditegur oleh Allah SWT menerusi firman Allah SWT dari surah Al-Mumtanahan tersebut.

Perbedaan agama tidak menyebabkan hubungan anak dan bapa, atau dengan ibu terputus. Mereka tetap berkeluarga, Cuma kedua-dua itu hanya tidak mempunyai keyakinan beragama yang sama sahaja.

Mencari kesamaan dalam semua perkara, adalah sesuatu yang mustahil. Mana mungkin seseorang ibu itu, atau seseorang bapa itu mempunyai kesamaan dalam semua sudut. Masakan keyakinan, kadangkala dalam perkara yang berkaitan dengan makanan pun, anak dan bapa, ibu dan anak tidak mempunyai kesamaan.

Justeru, jika wujud perbedaan dari sudut keyakinan antara anak dan ibu bapa, maka itu adalah perkara yang tidak mustahil. Malah, itulah lumrah dalam kehidupan.

Pun begitu, dengan wujudnya perbedaan, bukan bermakna hubungan kekeluargaan mesti diputuskan. Cumanya, dalam menyelesaikan perbedaan ini, perlu wujud unsure toleransi yang tidak melahirkan perbalahan dan kekacauan untuk masa yang akan datang.

Sifat hormat menghormati atas dasar kemanusiaan merupakan satu perkara yang penting. Ia perlu disuburkan, kerana ia adalah tuntutan Islam yang termaktub dalam Al-Quran dan As-sunnah.

BUAT BAIK

Dalam islam, melakukan kebaikan merupakan tuntutan yang teramat penting. Jika di zaman nabi dahulu, nabi SAW pernah menyebut bahawa Allah telah menganugerahkan syurga kepada seorang pemuda yang telah memberi minum kepada anjing.

Diceritakan bahawa seorang lelaki sedang berjalan dalam satu permusafiran. Dalam permusafiran tersebut, lelaki itu berasa terlalu dahaga.

Dalam perjalanan, dia berjumpa sebuah telaga. Dia pun mengambil air dari telaga tersebut, dan minum dengan sepuas-puasnya.

Setelah dia minum, sebelum dia berlalu pergi, dia terlihat seekor anjing yang sedang terjelir, dan sedang menjilat-jilat pasir yang basah kerana kehausan. Dia merasa bersalah tidak memberi minum kepada anjing tersebut.

Dia pun sekali lagi mengambil air dari telaga itu, dibubuhkan air itu kedalam kasutnya dan diberi minum kepada anjing itu sehingga anjing itu puas.

”Allah mengucapkan syukur (terima kasih) kepada lelaki tersebut” Nabi SAW menyebut kepada para sahabat.

Para sahabat mendengar apa yang disebut oleh nabi SAW, bahawa Allah mengucapkan syukur kepada lelaki yang memberi minum kepada anjing tersebut, menyebabkan para sahabat bertanya, ”apakah kami boleh mendapat pahala disebabkan kami melakukan kebaikan kepada binatang?”

Sambil tersenyum nabi SAW menjawab;

فِي كُلِّ كَبِدٍ رَطْبَةٍ أَجْرٌ
Maksudnya;
”pada setiap hati yang basah akan mendapat balasan ”

Imam Ibnu Hajar Al-’Asqalani menyatakan, maksud dengan hati yang basah adalah kelunakan dalam menjalani kehidupan. Bermaksud, mudah melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja .

Dari hadis ini, kita dapat lihat bagaimana tindakan melakukan kebaikan perlu dilakukan waimma terhadap binatang. Inikan pula, terhadap manusia, walau tidak beragama islam sekalipun.

KEADILAN

Konsep keadilan dalam Islam tidak ditumpukan kepada orang islam sahaja, malah keadilan itu perlu dilakukan kepada sesiapa sahaja. keadilan yang ditunjukkan dalam islam, sememangnya wujud dalam semua segi ajaran Islam.

Lihatlah konsep perlaksanaan hukuman syariah. Didalamnya terkandung seribu satu rahsia keadilan dalam mencapai kehidupan yang harmoni dan aman bahagia.

Perlaksanaan sebat kepada peminum arak dikenakan kepada mereka yang beragama Islam, tanpa dikenakan kepada orang bukan islam. pun begitu, jika mereka bersetuju untuk dikenakan hukuman sebat juga, tidak ada salahnya hukuman itu dilaksanakan terhadap mereka.

Hikmat disebalik sebat terhadap peminum arak, mengandungi seribu satu rahsia keadilan. Antaranya, ia bertujuan untuk orang uang minum arak tidak lagi bertindak dengan tindakan yang boleh menyebabkan orang memanggilnya sebagai gila, seterusnya dapat menyelamatkan orang yang belum minum arak, daripada bertindak seperti orang gila (iaitu dengan cara minum arak).

Bukankah manusia yang waras, amat marah jika dipanggil sebagai gila? Jika ini berlaku, tidak hairanlah Allah SWT mengharamkan arak, juga meletakkan hukuman sebat kepada mereka yang minum arak.

Hukuman sebat juga mengandungi seribu satu rahsia keadilan islam. antaranya adalah, sebatan yang dilakukan tidak mengandungi maksud menyeksa, tetapi mengandungi maksud mengajar dan mendidik. Justeru, tidak hairan Islam membenarkan sebatan itu tidak sekadar dengan menggunakan rotan, malah sudah dikira seperti sebat dengan membaling kasut sebagai hukuman terhadap peminum arak.

Keadilan Islam ini, tidak difokuskan kepada orang islam, malah orang bukan Islam pun wajib diberikan keadilan. Inilah yang diperjuangkan oleh Islam.

’Fatwa’ mengatakan boleh mencuri di kedai-kedai, atau rumah-rumah orang bukan Islam, merupakan fatwa yang songsang, kerana ia bercanggah dengan konsep keadilan Islam.

Hak kemanusiaan dari sudut ucapan tahniah dengan kehadiran perayaan agama lain, memberikan hak rumah ibadat, hak memegang jawatan dalam kerajaan, hak berpolitik dan sebagainya, semuanya wujud dalam islam, tetapi sedihnya agak kurang dikaji gali oleh ramai manusia.

SAYANG TERHADAP KEBAIKAN

Semua manusia mahukan dirinya menjadi baik, juga mahu melakukan kebaikan kepada orang lain. pun begitu, wujud juga manusia yang melakukan kejahatan.

Mereka melakukan kejahatan itu, mempunyai banyak sebab dan punca. Ada dari kalangan mereka lakukan kejahatan kerana kesempitan hidup, dan banyak lagi. Yang pastinya, kejahatan itu amat berkait dengan mengikut tuntunan hawa nafsu.

Tidak mempunyai perasaan sayang, menyebabkan manusia melakukan kejahatan. Apabila hilang perasaan sayang terhadap manusia lain, maka manusia itu pasti akan melakukan perkara yang boleh menyebabkan manusia lain susah. Memberi kesusahan kepada manusia lain, merupakan tanda tidak wujudnya kasih sayang sesama manusia.

Hubungan antara manusia, semuanya bermula dari Nabi Adam. Apabila semuanya berasal dari nabi Adam, sudah pasti semua manusia itu adalah adik beradik. Tidak sewajarnya seseorang adik, mengkhianati adik beradiknya yang lain. Inilah konsep kasih sayang yang diterapkan oleh islam.

Apabila wujud dari kalangan adik beradik kita yang lain diseksa, dan ditindas, pasti kita akan mempertahankannya. Mempertahankannya itu menandakan kita telah meletakkan kesayangan kita terhadap mereka.

Ekoran itu, kita akan menyeru manusia kepada kebaikan. Bersama-sama dengan mereka, berusaha hendak menghindarkan dari berlaku dosa dan maksiat.

Firman Allah;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
”dan tolong menolonglah kamu atas kebaikan dan ketaqwaan, dan jangan kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan”

(Surah Al-Maidah : 2)

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com





- Sri Indah (B), sg Buloh
13 september 2009 * 3:58 petang







Tiada ulasan: