Khamis, 3 September 2009

SUAMI LARANG ISTERI ZIARAH KELUARGA?

SUAMI LARANG ISTERI ZIARAH KELUARGA?

SOALAN;

Benarkah ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatan terhadap ibu bapa?

JAWAPAN:

Seseorang isteri, tidak dinafikan mempunyai tanggungjawab terhadap kedua ibubapa. Melakukan tanggungjawab terhadap kedua ibubapa merupakan tuntutan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Firman Allah;

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya;
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”

(Surah Al-Isra’ : 23)

Pun begitu, setelah ijab dan kabul antara dua lelaki dan perempuan, maka sah antara kedua-dua itu sebagai suami isteri. Apabila seseorang perempuan sudah menjadi isteri, maka ketika itu, ketaatan terhadap suaminya perlu didahulukan berbanding terhadap ibubapanya.

DALIL-DALILNYA;

Pertama: Al-Quran

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya;
“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka”

(Surah An-Nisa’ : 34)

Kedua : hadis yang riwayatkan oleh Al-Bukhari;

لَا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَصُومَ وَزَوْجُهَا شَاهِدٌ إِلَّا بِإِذْنِهِ وَلَا تَأْذَنَ فِي بَيْتِهِ إِلَّا بِإِذْنِهِ

Maksudnya;
“Tidak halal bagi seseorang perempuan itu berpuasa dalam keadaan suaminya tidak ke mana-mana, melainkan dengan izinnya. Tidak boleh seseorang perempuan mengizinkan orang masuk ke dalam rumahnya, melainkan mendapat keizinan dari suaminya
[1]

ISTIDLAL:

Dari kedua-dua dalil yang dikemukakan, menunjukkan kepada kita bahawa dalam perkara yang melibatkan kepada syahwat suami pun, isteri perlu memberikan ketaatan, maka terlebih utama isteri memberi ketaatan selain dari perkara yang melibatkan syahwat.

Justeru, ketaatan terhadap suami melebihi dari ketaatannya terhadap ibubapanya sendiri. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Imam ahmad dalam kitab Syarh Muntaha Al-Iradah
[2].

Ini dikuatkan lagi dengan satu hadis yang telah meriwayatkannya oleh Al-Hakem, lalu disahehkannya. Begitujuga, riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang hasan bahawa Aisyah R.Ha bertanya kepada Rasulullah SAW;

أي الناس أعظم حقا على المرأة قال زوجها قلت فأي الناس أعظم حقا على الرجل قال أمه

Maksudnya;
“Manusia yang manakah yang besar haknya atas perempuan?”. Menjawab Nabi SAW; “suaminya”. Berkata Aisyah; “manusia yang manakah yang besar haknya terhadap lelaki?” menjawab Nabi SAW; “ibunya
[3]

Malah, seseorang perempuan yang mentaati suaminya menyebabkan dia mendapat ruang yang cukup untuk masuk ke syurga Allah SWT.

Sabda Nabi SAW;

إذا صلت المرأة خمسها و صامت شهرها و حصنت فرجها و أطاعت زوجها قيل لها : ادخلي الجنة من أي أبواب الجنة شئت

Maksudnya;
“Apabila seseorang perempuan itu solat lima waktu, berpuasa pada bulan ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya, maka katakanlah kepadanya, masuklah kamu ke dalam syurga daripada mana-mana pintu yang kamu mahu
[4]

HUBUNGAN KEKELUARGAAN

Adalah baik jika isteri tersebut bersekali dalam melakukan ketaatan terhadap suami dan ibubapanya. Jika cara ini diambil, sudah pasti ia tidak melahirkan sebarang kemusykilan dan masalah.

Tidak dinafikan, antara tuntutan Allah SWT terhadap suami dan isteri adalah melakukan kebaikan dan hubungan silaturahim dengan keluarga dan mertua masing-masing. Pun begitu, melakukan kebaikan terhadap ibubapa dan mertua, tidak semestinya dengan menziarahi mereka, malah sudah dikatakan melakukan kebaikan dan mengadakan hubungan silaturahim kepada mereka dengan berhubung menerusi telefon, berutusan surat, e-mail dan sebagainya.

Adapun sekiranya berlaku masalah dalam hubungan kekeluargaan, seperti dengan campur tangan mertua dan ibu bapa akan melahirkan masalah pada keselamatan dan keamanan rumah tangga, maka ketika itu, si isteri hendaklah mentaati perintah suaminya. Apabila suami melarang dari menziarahi keluarganya, maka hendaklah perintah suami itu dipatuhi. Melanggari perintah suami, maka si isteri tersebut sudah boleh dikira sebagai perempuan yang derhaka.

ISYKAL

PERTAMA:

Apakah dikira sebagai dosa, jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN:

Tidak dikira sebagai dosa jika tidak menziarahi ibu bapa disebabkan tidak mendapat keizinan dari suami. Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah, iaitu hadis berikut;

كان رجل قد خرج إلى سفر وعهد إلى امرأته أن لا تنزل من العلو إلى السفل وكان أبوها في الأسفل فمرض فأرسلت المرأة إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم تستأذن في النزول إلى أبيها ، فقال صلى الله عليه وسلم " أطيعي زوجك " فمات فاستأمرته فقال " أطيعي زوجك " فدفن أبوها فأرسل رسول الله صلى الله عليه وسلم إليها يخبرها أن الله قد غفر لأبيها بطاعتها لزوجها

Maksudnya;
“seorang lelaki yang keluar bermusafir. Dia telah berpesan kepada isterinya bahawa jangan turun dari tingkat atas kepada tingkat bawah. Bapa isterinya itu tinggal di tingkat bawah. Bapanya ditimpa sakit. Isterinya itu telah mengutuskan seorang perempuan kepada Rasulullah SAW agar memberi keizinan kepadanya turun untuk menziarahi bapanya yang sedang sakit. Nabi SAW bersabda; ”taatilah suami kamu”. Kemudiannya, bapanya meninggal dunia, lalu dia mengutuskan lagi kepada Rasulullah. Nabi SAW bersabda : ”taatilah suami kamu”. Jenazah bapanya dikebumikan. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan seseorang kepada si isteri untuk diberitakan bahawa Allah telah mengampunkan dosa bapanya disebabkan ketaatannya terhadap suaminya
[5]

KEDUA:

Jika suami tidak membenarkan juga menziarahi ibu bapa, sedangkan ibu bapa tidak pernah pun menjadi punca berlaku masalah rumah tangga. Apakah boleh si isteri pergi ziarah juga, tanpa mendapat keizinan dari suami?

JAWAPAN;

Sepertimana yang telah dimaklumkan di atas, ketaatan terhadap suami perlu didahulukan berbanding ketaatan terhadap ibu bapa. Justeru, apabila seseorang isteri telah menziarahi ibubapanya tanpa keizinan suami, tindakan tersebut boleh mengakibatkan isteri tersebut diisytihar sebagai isteri yang derhaka.

Isteri yang derhaka, susah untuk masuk ke syurga, kerana Nabi SAW ada bersabda;

أَيُّمَا امْرَأَةٍ مَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَنْهَا رَاضٍ دَخَلَتْ الْجَنَّةَ

Maksudnya;
“Mana-mana perempuan yang mati, dalam keadaan suaminya sentiasa reda dengannya. Makanya, dia akan masuk syurga
[6]

Dari hadis ini, Nabi SAW menyatakan isteri yang mati dalam keadaan suaminya reda dengan kehidupannya semasa hidup bersama, isteri tersebut ditentukan syurga oleh Allah. Sebaliknya, jika isteri tersebut mati dalam keadaan suaminya tidak reda dengannya, disebabkan beberapa tindak tanduk, dan perangainya yang tidak menyenangkan hati suami, maka isteri tersebut ditentukan neraka oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
Ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 september 2009 * 5:22 petang



[1] Sahih Al-Bukhari : 4796.
[2] Syarh Muntaha Al-Iradah : 3/47.
[3] Al-Mustadrak ‘Ala Sahihain : 7353.
[4] Sahih Al-Jami’ : 660.
[5] Takrij Ahadis Al-Ihya’ li Al-Iraqi : 1551.
[6] Sunan At-Tarmizi : 1081, sunan Ibni Majah : 1844.

10 ulasan:

Awanama berkata...

jika sekiranya siisteri telah tidak tertanggong lagi tekanan dan perlakuan fisikal serta mental dari suami ditambah pulak dengan pelbagai penderaan keluarga mentua,adakah dianggap nusyus dan derhaka sekiranya si-isteri pilih pulang kepangkuan ibu bapanya tanpa izin suami?jika sekiranya dianggap derhaka,adakah syurga dinafikan terhadap isteri tersebut buat selama lamanya?

Awanama berkata...

Takut saya baca artikel ni. Macam mana pula hukum Islam terhadap suami yang tidak memberi keizinan isteri untuk berbakti pada ibu bapanya? Cos ada kes yang mana isteri tertekan disebabkan suami tidak izinkan jumpa ibu bapa hingga la ibunya meninggal pun si suami tidak izinkan...

Awanama berkata...

Askm...pandangan ustaz mungkin betul tapi ada kemungkinan tidak betul ...

1- Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara yang bertentangan dengan syarak .... tidak syak lagi menghalang isteri daripada bertemu dengan ibubapa tanpa sebab adalah perkara yang bertentangan dengan syarak...sekiranya kita menyatakan bahawa wajib taat kepada suami dalam hal ni maka seolah2 kita membenarkan seorang isteri minum arak sekiranya disuruh oleh suami...minum arak dan menghalang isteri dari bertemu ibubapa khususnya yang telah lama berpisah adalah haram!...bukankah Rasulullah menyebut 3x kepada ibu dan sekali kepada ayah...bukankah Allah memperihalkan tentang kewajipan berbuat baik kepada kedua2 ibu bapa dalam perkara yg tidak maksiat walaupun mereka bersungguh2 menyesatkan kamu?!....
2. Ketaatan mutlak hanya kepada Allah dan RasulNya...manakala ketaatan bersyarat selain daripada kedua2nya!
3.Bukankah memperkukuhkan hubungann silaturahim itu satu tuntutan dan memutuskannya adalah satu kejian...

....sila rujuk pandangan yg sebaliknya utk penjelasan seterusnya...terutama Dr, Yususf al-Qaradawi dan Imam Assyatibi....maafkan saya ustaz..

Al-Bakistani berkata...

pertama:

artikle ini, bukan pandangan ana, tapi ana merujuk kepada tiga buah kitab, iaitu Al-Fatawa min Ahsan Al-Kalam karangan Dr AtiahSaqar, Syarh Muntaha Al-Iradah dan Ihya' ulum Ad-Din..

kedua;

apa yang dikritik dari artikle ini, tidak bercanggah dengan maksud artikle yang ana kemukakan ini.

ini kerana, sudah dinyatakan dalam artikle, hubungan silaturahim tidak sekadar menziarahi ibu dan bapa. malah, dengan cara lain pun sudah cukup dikatakan sebagai silaturahim.

justeru, tidak bermakna, tidak menziarahi itu memberi maksud memutuskan hubungan silaturahim.

jika suami tidak membenarkan menziarahi ibu bapa, tetapi dalam masa yang sama membenarkan kepada isterunya mengadakan hubungan silaturahim dengan cara lain, apakah Islam sudah membenarkan isteri itu melanggar perintah suami??

jika keadaan itu juga sudah dibenarkan, maka samalah kita mengatakan boleh minum arak dikala tercekik makanan yang boleh membawa kepada mati, sedangkan dikala itu ada minuman yang lain, seperti air susu, air kelapa dll.

kalau tiada air lain, melainkan arak sahaja, sedangkan ketika itu sedang tercekik makanan yang boleh membawa kepada mati, maka dibenarkan minum arak sekadar menjaga nyawa sahaja.

ketiga:

perlu dibedakan antara dua keadaan. (1) hak yang isteri wajib berikan kepada suami dan (2) hak yang wajib suami berikan kepada isteri.

kritikan yang disandarkan kepada as-syatibi dan qaradhawi merujuk kepada maksud "hak yang wajib suami berikan kepda Islam", sedangkan artikle ini berbicara tentang "hak yang wajib isteri berikan kepada suami"

keempat;

persoalan-persoalan yang dikemukakan, akan dibahas dalam artikle datang. mungkin artikle datang bertajuk "apakah suami mempunyai kebebasan mutlak terhadap isteri dan anak perempuannya??

kelima:

terima kasih atas kritikan dan persoalan-persoalan yang bersifat bernas..

sekian

Wallahu 'Alam

Al-bakistani

Bawang Goreng berkata...

Sambungan....

Siapakah yang meriwayatkan hadis dengan sanad yang lemah ini?

Hasil carian di internet lagi, menemukan saya dengan info di bawah :

Sumber 1 – http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm menyebut :

Peruntukan dalam feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal al-Syaksiyyah menegaskan harus si isteri ziarah ibu bapanya walaupun tidak mendapat izin suami seminggu sekali, sekiranya kedua ibu bapanya sakit harus baginya menziarahi mereka setiap hari kalau dia mahu.

Harus juga bagi si isteri menziarahi sanak saudaranya dalam sebulan sekali, namun ditegaskan oleh para ulama itu sekiranya suasana aman, sekiranya suasana tidak aman maka tidak harus bagi si isteri keluar tanpa izin suaminya, yang demikian ialah demi menjaga keselamatannya (hlm:162).

Sumber 2 – http://kias.edu.my/nushus.htm pula menyebut :

Mengenai keluar rumah kerana menziarahi dua ibu bapa walau pun tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz mengikut setengah pandangan, malah mereka berpendapat isteri mempunyai hak menziarahi dua ibu bapa lebih kerap sekiranya dua ibu bapanya sakit dan tidak ada orang lain yang menjaganya. Ini tanpa mengira samada di izin atau tidak oleh suami kerana manusia dituntut oleh Islam membuat kebaikan sedaya yang mampu kepada dua ibu bapa ,samada sebelum atau selepas kahwin dan samada ibu bapa Islam atau tidak.

Hanafi hanya membolehkan isteri menziarahi dua ibu bapa tanpa izin sekirnya mereka sakit sahaja. Dengan lain perkataan menziarahi dua ibu bapa tanpa izin tidak termasuk dalam perbuatan Nushuz sekiranya mereka sakit. Ada pandangan lain menyatakan makruh suami tidak mengizin isteri menziarahi dua ibu bapanya. Alasannya membuat kebaikan kepada dua ibu bapa dan menghubung tali silaturrahim adalah kewajipan yang dituntut oleh agama. Menghalang mereka menziarahi dua ibu bapa menyebabkan berlaku kerenggangan hubungan dan mendorong mereka melaku perbuatan derhaka. Sedangkan melaku kebaikan dan menghubung silaturrahim adalah satu tuntutan Syara`. Firman Allah, (al-Isra’ : 24), maksudnya, “Allah telah memfardukan kepada kamu supaya kamu jangan mengabdikan diri melainkan terhadapNya dan kepada dua ibu bapa hendaklah kamu melaku ihsan.”

Persoalan :

1. Apakah hak seorang suami dalam melarang/menegah isteri daripada menziarahi ibubapanya?
2. Apakah peruntukan undang-undang Islam Negeri dalam hak isteri menziarahi ibubapa/keluarga (tanpa izin suami)?
3. Bukan sedikit isteri dalam dilema terpaksa taat kepada suami sehingga mengabaikan ibubapa. Benarkah ketaatan isteri berpindah kepada suami bila dia berkahwin?
4. Bukan sedikit anak perempuan membelakangkan ibu bapa, atas alasan sudah bersuami.

Akibat dilema inilah, ada isteri yang menyangka Islam tak adil dan banyak memihak kepada suami. Akibat dilema ini juga, ada ibubapa merasa, dapat anak perempuan rugi sebab bila dia bersuami, dah jadi hak suami dan ibubapa tak dipedulikan lagi. Adakah ini ajaran Islam yang sebenarnya?

Mengikut fahaman saya, taat kepada siapapun kita harus melihat kepada keadaan/situasi seseorang isteri. Kalau suami halang isteri daripada menziarahi atau menjaga ibubapa yang sakit, apakah isteri perlu taat hanya kerana takut masuk neraka kalau tak taat?

Ada suami yang beri kata dua kepada isteri, contohnya “Kalau kamu balik kampung ibubapa kamu, jatuh talak satu.” Atau isteri diugut begini, “Sekarang awak sudah menjadi isteri saya, jadi awak kena taat pada saya. Bukan taat kepada ibubapa awak. Kalau saya tidak benarkan awak ziarah ibubapa awak, awak tak boleh ziarah.”

Dalam situasi di atas, apakah pilihan isteri? Sejauh manakah ketaatan kepada suami mengatasi ketaatan kepada ibu bapa? Apakah jatuh haram isteri (berdosalah) yang langgar perintah suaminya yang melarang dia menziarah ibubapa sakit (contohnya).

Mohon dijelaskan.

Bawang Goreng berkata...

Salam ziarah.

Quote : Perkara ini disandarkan kepada satu hadis dengan sanad yang agak lemah...

Hukum Beramal dengan Hadis Dhaif
(link : http://ibnuazmiasy-syafii.blogspot.com/2009/08/hukum-beramal-dengan-hadis-dhaif.html)

Para ulama berkhilaf pendapat dalam penggunaan hadis dhaif. Ringkasnya ada tiga golongan:

GOLONGAN PERTAMA
Hadis dhaif TIDAK BOLEH DIGUNAKAN walaupun untuk tarqib (galakan),tarhib (menakut-nakutkan),fadhail amal (kelebihan beramal) ataupun untuk langkah berjaga-jaga. Ini merupakan pendapat IMAM BUKHARI dan MUSLIM yang disokong oleh Abu Bakar al-Arabi (Mazhab Maliki), Abu Syamah al-Maqdisi (Syafie), Ibnu Hazmin (Zahiri) dan lain-lain.

GOLONGAN KEDUA
Harus (boleh) menggunakan hadis dhaif jika tidak ada sandaran-sandaran lain tentang sesuatu perkara sama ada daripada al-Quran, hadis, qias, ijma, istihsan dan lain-lain. Ini adalah pendapat IMAM AHMAD, IBNU TAIMIYYAH dan IBNU QAYYIM. Kata Imam Ahmad: " Hadis dahif lebih kami sukai daripada fikiran seseorang."

GOLONGAN KETIGA
Hadis dhaif boleh digunakan sebagai hujah dalam fadhail amal, peringatan, kisah-kisah, galakan dan sebagainya. Namun begitu secara umumnya tidak boleh digunakan dalam soal akidah dan hukum-hakam. Ini adalah pendapat yang muktamad bagi para ulama muhaqqiqin dengan syarat-syarat yang tertentu. Antara tokoh yang berpegang dengan panangan ini ialah IMAM NAWAWI dan AL-HAFIZ IBNU HAJAR.

Saya lebih cenderung kepada golongan pertama, kerana saya pernah baca, hadis IMAM BUKHARI dan MUSLIM hampir/dekat dengan al-Quran. Jadi, saya guna-pakai pendapat Imam Bukhari dan Muslim dalam bab hadis dhaif juga. Hadis dhaif tidak boleh digunakan dalan menjatuhkan hukum halal/haram.

Al-Bakistani berkata...

telah dijawab dalam komen di atas... baca dengan teliti..

Bawang Goreng berkata...

Sila jelaskan, di manakah jawapan anda? Saya tidak menemuinya.

Anda juga tidak menjawab status hadis yg dikemukakan. Dari sumber (bicaramuslim.com), statusnya PALSU, bukan sanad lemah (dhoif).

Apa pula pendapat anda ttg :
1. feqh Prof Dr. Mahmud Ali al-Syarthawiy di dalam kitab Syrah Qanun al-Ahwal al-Syaksiyyah
2. http://kias.edu.my/nushus.htm

Sila bersikap adil. Mengemukakan hadis palsu adalah DUSTA atas nama Rasulullah. Hati-hati dengan hadis palsu yang BANYAK menindas wanita terutama isteri.

Allah dan Rasul-Nya tidak menyukai orang-orang yang sombong dan zalim.

1 ~ Perkahwinan bukanlah pemisah di antara seseorang anak dengan ibu-bapanya, sebaliknya ia adalah sebagai pengerat hubungan kekeluargaan dengan hadirnya seorang lagi ahli baru di dalam sesebuah keluarga itu.

2 ~ Sebagai mana seseorang suami wajib memahami perasaan dan kehendak isterinya dan begitulah juga dengan si isteri, maka pasangan suami-isteri ini juga wajiblah memahami bahawa tanggungjawab mereka terhadap kedua-dua ibu-bapa mereka adalah tetap dituntut, apatah lagi di saat kedua-dua ibu-bapa semakin tua.

3 ~ Ada di kalangan ibu-bapa yang menyangka bahawa si menantu telah merampas kasih-sayang yang pernah dicurahkan kepada mereka oleh anak kandung mereka . Ini adalah satu perasaan yang silap dan menyumbang ke arah konflik rumah-tangga. Punca utamanya ialah : Lemahnya Iman akibat kejahilan dan bisikan syaitan terkutuk.

4 ~ Ketaatan kepada Allah Ta’ala dan Baginda Rasulullah s.a.w adalah ketaatan secara total tanpa berbelah bagi, manakala ketaatan kepada selain Allah Ta’ala dan Baginda s.a.w adalah BERSYARAT iaitu selagi tidak bercanggah dengan firman Allah Ta’ala dan sabda Baginda s.a.w.

5 ~ Ketaatan si isteri kepada kedua ibu-bapanya TIDAKLAH MENAFIKAN kewajipannya juga untuk taat kepada suaminya.

... bersambung...

Bawang Goreng berkata...

...sambungan...

Kisah yang dikatakan dari hadis itu BERCANGGAH dengan ajaran Islam yang melarang seseorang anak itu memutuskan hubungan silatur rahim dengan kedua ibu-bapanya, walaupun selepas bergelar seorang isteri.

Apakah ada lagi bentuk paling terburuk putusnya silatur-rahim di antara seseorang anak dengan ibu-bapanya jika dia tidak menziarahi kedua ibu-bapanya, lebih-lebih lagi di dalam keadaan sakit yang tenat!??

Kisah yang disebutkan atas, walaupun inyatakan sanadnya lemah (silsilahnya), namun matannya (teks) nya sudah menggambarkan bahawa kisah tersebut adalah salah-satu di antara HADIS-HADIS PALSU yang menyerang pemikiran umat Islam (hatta sebahagian para pendakwah sendiri).

Mengapakah ia dianggap palsu?

Kerana ia sendiri JELAS BERTENTANGAN dengan hadis-hadis sahih yang mewajibkan setiap anak melakukan kebaikan kepada kedua ibu-bapa mereka dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim dengan ibu-bapa mereka!

Cukuplah dengan sebuah hadis yang sahih yang menyatakan sabda Baginda Rasulullah s.a.w terhadap anak yang sedemikian rupa :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّه قَالَ مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Ertinya : Daripada Saidina Abu Hurairah r.a , Baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “ Comotlah hidungnya , comotlah hidungnya , comotlah hidungnya “ . Kemudian Baginda s.a.w ditanya oleh seseorang : “ Siapakah yang comot hidungnya itu wahai utusan Allah ? “ . Jawab Baginda s.a.w : “ Iaitu sesiapa sahaja yang salah-seorang ataupun kedua-dua ibu-bapanya mencapai usia tua , akan tetapi si dia ( anak ) itu tidak pula masuk syurga “ ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam Muslim rh di dalam Kitab al-Bir was silah.


PENJELASAN HADIS DI ATAS :

(( “ Comotlah hidungnya “ )) ~ Satu kata-kata simbolik bagi bangsa Arab yang bermakna : “ Celakalah “ ataupun “ Rugilah “ . Sebahagian ulama’ rh memahami perkataan ini sebagai satu doa daripada Baginda Rasulullah s.a.w terhadap setiap anak yang derhaka , iaitu anak yang tidak berbuat kebajikan kepada kedua ibu-bapanya , khasnya di saat kedua ibu-bapa itu sangat-sangat berhajat kepadanya.

(( “ Akan tetapi si dia ~ anak ~ itu tidak masuk syurga “ )) ~ Iaitu disebabkan si anak itu tidak menolong kedua-dua orang-tuanya, lebih-lebih lagi di saat mereka berdua sudah tua, sudah lemah, sakit dan seumpamanya , maka si anak itu tidak layak masuk syurga . Maka celakalah, rugi besarlah bagi anak yang seperti ini.

Wa Na’uzubilLahi Min Dzalik (Kita berlindung dengan Allah Ta’ala daripada terjadinya demikian itu).

al-‘allamah Syeikh ‘Atiah Saqr ha (Bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar ) telah menyatakan mengenai hal seperti ini di dalam fatwanya yang terkenal : FATAWA WAL AHKAM LIL MAR AH al-MUSLIMAH (Beberapa Fatwa Dan Hukum-Hakam Bagi Wanita Islam), bahawa si suami tidak boleh sama sekali melarang isterinya daripada menziarahi kedua ibu-bapanya, apatah lagi jika ziarah tersebut hanya dilakukan di dalam keadaan kadang-kadang (seperti seminggu sekali).

Walaupun begitu, si isteri juga hendaklah berfikiran cerdik dan mengerti bahawa bersilatur-rahim dengan kedua ibu-bapa TIDAKLAH SEMESTINYA dengan menziarahi mereka dan meninggalkan rumah-tangga, bahkan boleh juga dengan menggunakan perantaraan telefon (misalnya).

Lainlah apabila kedua ibu-bapa itu di dalam keadaan genting dan mencemaskan yang tidak dapat tidak, ziarahnya si anak adalah satu-satu jalan dan "penawar" kepada mereka berdua.

Wallahu A'alam Bis Sowab.

Bawang Goreng berkata...

...sambungan...

~ Tidak ada satu panduan khusus ~ sekadar apa yang kami ketahui daripada sumber-sumber yang sahih mengenai Islam ~ mengenai suami lebih wajib mentaati ibu-bapanya daripada mendengar permintaan si isteri. Begitu juga dengan si isteri lebih wajib mendahulukan permintaan suaminya daripada kedua ibu-bapanya.

Memang TIDAK DAPAT DINAFIKAN si suami tetap wajib menjaga perasaan kedua orang ibu-bapanya dan begitulah juga dengan si isteri.

TIDAK DAPAT JUGA DINAFIKAN bahawa si isteri juga kadang-kadang lebih perlu mengutamakan suaminya daripada kedua ibu-bapanya (isteri), lebih-lebih lagi apabila si isteri tinggal dengan suaminya berjauhan daripada kedua orang ibu-bapanya.

Namun yang paling penting sekali diketahui ialah : “Apabila bertembungnya kedua-dua permintaan daripada suami/isteri dengan permintaan ibu-bapa yang mana satukah lebih patut diutamakan?“

Di sinilah seseorang Islam itu perlu menjadi manusia yang cerdik dan matang.

Apabila ibu-bapa memohon si suami / si isteri berbuat sesuatu dan bertembung pula dengan permintaan dan hajat salah-seorang drp kedua-dua pasangan itu, apakah yang perlu dilakukan oleh setiap pasangan itu?

Jawapannya : Perlulah digunakan FIQH al-MUWAZANAT (Kefahaman Mengenai Pertimbangan), iaitu :

A ~ Di antara kedua-dua permintaan itu, yang mana satukah LEBIH SESUAI dengan tuntutan al-Quranul Karim dan as-Sunnah?

B ~ Kemudian, ditimbang pula, di antara kedua-dua permintaan itu yang mana satukah lebih ringan risikonya apabila tidak dilaksanakan.

Biasanya si ibu-bapa akan LEBIH MUDAH MEMAHAMI apakah sebab si anak tidak dapat menunaikan permintaan mereka. Ini disebabkan sebagai mana yang kami jelaskan di permulaan tadi, hubungan di antara ibu-bapa dengan anak-anak mereka ialah hubungan asal yang berteraskan kepada hubungan darah. Amat jarang si ibu-bapa membesarkan dan menanggung anak-anak mereka agar anak-anak itu di kemudian hari akan memberi balasan dan ganjaran yang setimpal dengan apa yang telah dicurahkan.

Adapun hubungan suami–isteri pula tidaklah begitu. Si suami apabila memberikan sesuatu kepada si isteri, maka dia sebenarnya masih mengharapkan imbalan seperti kasih-sayang, layanan mesra dan sebagainya. Begitulah juga dengan si isteri yang tentu mahukan sesuatu apabila berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang isteri yang baik.

...bersambung...