Selasa, 6 Oktober 2009

“ISA A.S BUKAN ANAK ALLAH, TETAPI HAMBA-NYA”


“ISA A.S BUKAN ANAK ALLAH, TETAPI HAMBA-NYA”

Satu kelompok nasrani dari najran telah datang berjumpa dengan Nabi SAW. Kehadiran mereka berjumpa dengan Nabi SAW, adalah untuk mendengar sebarang kenyataan Nabi SAW yang boleh dijadikan modal untuk mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad sebenarnya menyokong akidah mereka.

Justeru, mereka lakukan berbagai-bagai tindakan, demi untuk menjadikan Nabi SAW mengeluarkan kenyataan seakan-akan sealiran dengan mereka.

“Wahai Muhammad, bukankah Al-Masih (Isa) adalah kalimah Allah dan Ruh-Nya?” soal mereka

Nabi SAW terus menjawab, “benar”

Mereka tersenyum, terus berlalu pergi.

Tindakan mereka itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan ayat yang berbunyi;

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ

Maksudnya;
“Adapun mereka yang di dalam hati-hati mereka ada kecenderungan kepada kesesatan, mereka mengikut perkara yang syubhat; dengan tujuan untuk melahirkan fitnah dan melahirkan penta’wilan (yang mengarut)”

(Surah Al-‘Imran : 7 )

Tujuan penurunan ayat ini adalah, untuk memberi tahu kepada manusia bahawa kedatangan orang-orang nasrani najran tersebut, bukanlah untuk mendengar ayat-ayat Allah dalam bentuk yang sebenar, tetapi mahu melahirkan ta’wilan-ta’wilan yang membenarkan kesesatan yang mereka berpegang sejak sekian lama.

ALLAH JAGA MANUSIA

Allah SWT mencipta manusia tidak sekadar penciptaan, malahan Allah akan sertakan sama kemaslahatan hidup untuk mereka. kemaslahatan hidup yang Allah berikan itu, bukan sekadar untuk jasmani mereka, bahkan maslahah rohani pun diberikan oleh Allah SWT.

Maslahah jasmani adalah seperti penciptaan rupa bentuk manusia, tubuh badan, dan sebagainya. kemaslahatan jasmani ini, diberikan semenjak manusia berada dalam rahim ibu lagi.

Firman Allah;

هُوَ الذي يُصَوّرُكُمْ فِي الأرحام

Maksudnya;
“Dia (Allah) yang membentukkan kamu dalam rahim-rahim”

(Surah AL-Imran : 6)

Pun begitu, keadilan yang ditunjukkan oleh Allah ternyata membuktikan kebijaksanaan-Nya. Ini kerana, Allah SWT tidak sekadar mengemukakan maslahah jasmani sahaja, malahan maslahah rohani pun diberikan oleh Allah SWT kepada manusia.

Maslahah rohani itu, digambarkan oleh Allah SWT menerusi sambungan ayat yang berbunyi;

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ

Maksudnya;
“Dia (Allah) adalah tuhan yang telah menurunkan kepada kamu akan Al-Kitab (al-Quran)”

(Surah Al-Imran : 7)

Penurunan Al-Kitab (iaitu : al-Quran), bertujuan untuk memberikan ilmu kepada manusia yang merupakan kemaslahatan bagi kerohanian manusia.

Dalam al-Quran, ia mengandungi seribu satu rahsia ilmu yang sehingga sekarang, kajian demi kajian dilakukan, banyak rahsia-rahsia yang masih lagi belum terselongkar.

Disamping menyeru kepada amalan baik, dan meninggalkan amalan jahat, dosa dan pahala, syurga dan neraka, al-Quran juga merupakan sumber ilmu dalam kajian-kajian ilmu di zaman moden. Keterbuktian kebenaran al-Quran ternyata terbukti pada hari ini.

AYAT MUHKAMAT DAN MUTASYABIHAT

Lawan bagi ayat muhkamat adalah ayat mutasyabihat. Asal makna mutasyabihat adalah kesamaran. Seperti kita berjalan di waktu malam, tidak sama seperti kita berjalan dalam waktu siang.

Apabila kita tengok orang berjalan pada waktu siang, kita mudah kenal. Kita tidak perlu meneka, siapa orang yang berjalan itu. adapun waktu malam, kita tengok orang berjalan dalam waktu gelap, melahirkan pelbagai tekaan dan ramalan.

Apabila dikaitkan dengan tekaan dan ramalan, ketika itulah, melahirkan pelbagai tafsiran dan ta’wilan terhadap orang yang berada dalam gelap tersebut.

Penilaian kita disebalik ta’wilan dan tafsiran itu, hendaklah merujuk kepada qarinah-qarinah yang wujud, seperti contoh kita hendak mengatakan bahawa orang dalam gelap itu adalah ahmad. Sudah pasti, kita akan melihat gerak jalannya, lenggangnya, cara menghayun tangan ketika berjalan dan sebagainya. apabila kita tengok, maka disitulah kita mampu mencari tafsiran yang tepat atau sebaliknya.

Keadaan yang sama juga dalam memahami ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat. Ayat muhkamat adalah ayat yang difahami secara tepat, tanpa melahirkan tafsiran yang pelbagai. Adapun ayat mutasyabihat, ia adalah ayat yang melahirkan tafsiran yang pelbagai, malahan wujudnya kepelbagaian tafsiran tersebut diizinkan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya dalam al-Quran, ia terkandung dua jenis ayat ini; ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat.

Firman Allah;

مِنْهُ آَيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ

Maksudnya;
”Daripadanya, ada ayat-ayat yang muhkamat. Maka ia adalah ibu bagi al-kitab. Dan selainnya adalah ayat-ayat yang mutasyabihat”

Ulama-ulama tafsir ada menafsirkan makna kedua-dua jenis ayat ini dengan pelbagai tafsiran. Ada ulama mengatakan, maksud dengan ayat muhkamat adalah ayat yang menasakhkan, adapun ayat mutasyabihat adalah ayat yang mansukh.

Ada pula ulama lain kata, maksud dengan ayat muhkamat adalah ayat yang difahami tanpa tadabbur dan taammul, sedangkan ayat mutasyabihat adalah ayat yang difahami menerusi tadabbur dan taammul.

Disisi yang lain pula, ada ulama menafsirkan maksud dengan ayat-ayat muhkamat adalah ayat-ayat yang menceritakan sesuatu ketetapan yang tidak ada perbedaan pendapat lagi dikalangan ulama, seperti kewujudan Allah, keesaann-Nya, wujudnya hari kiamat, ketentuan dosa dan pahala dan sebagainya. adapun maksud dengan ayat mutasyabihat pula adalah, ayat-ayat yang memerlukan tafsiran ulama, dan seterusnya melahirkan khilaf dalam tafsiran tersebut, seperti kekhilafan ulama dalam menafsirkan ayat yang menyebut tentang melihat Allah diakhirat nanti, apakah melihat dengan mata kepala, atau dengan pandangan hati, tentang kedatangan imam mahdi dan sebagainya.

ORANG YANG CONDONG KEPADA KESESATAN

Dalam keadaan sedemikian, wujud dari kalangan manusia yang mempunyai penyakit hati. Tidak dinafikan, penyakit hati itu banyak, seperti riya’, sum’ah, dengki dan sebagainya. pun begitu, disana terdapat penyakit hati yang lebih buruk dan jahat, iaitu hati yang sakit untuk cenderung dalam menyelewengkan kandungan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru itulah, tidak hairan kita dapati, Imam Al-Ghazali membahagikan ulama itu kepada dua jenis; ulama yang beramal dan ulama yang jahat (arab : Ulama as-Su’).

Ulama yang baik, adalah ulama yang akan menyampaikan kandungan al-Quran dan as-Sunnah dalam bentuknya yang sebenar, tanpa mengandungi unsur-unsur penyelewengan. Adapun ulama yang jahat, mereka tidak menjadikan akal dan panduan ilahi sebagai penafsiran al-Quran, tetapi menjadikan nafsu mereka sebagai panduan. Apabila keadaan ini berlaku, menyebabkan mereka mengemukakan tafsiran-tafsiran, ataupun ta’wilan-ta’wilan terhadap al-Quran bersesuaian dengan kehendak hawa nafsu mereka.

Allah SWT menyatakan, kewujudan manusia sebegini sememangnya tidak boleh dinafikan. Malahan, mereka akan bertindak juga untuk bertindak dengan sedemikian, demi melahirkan fitnah dan penyelewengan terhadap umat. Tindakan mereka tidak ada lain, melainkan mahukan habuan dunia yang maha sedikit, disamping mengikut tuntunan hawa nafsu yang maha jahat.

Firman Allah;

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ

Maksudnya;
”Adapun mereka yang didalam hati mereka ada kecenderungan kepada kesesatan, mereka akan mengikut apa yang kesamaran, demi mengharapkan fitnah dan ta’wilan (yang mengarut)”

Kebejatan inilah yang berlaku kepada ahli-ahli kitab terdahulu. Yahudi dan nasrani sebagai contoh, merupakan golongan yang meletakkan sentimen perkauman mereka terlebih atas berbanding kebenaran. Makanya, mereka sanggup melakukan penyelewengan terhadap kandungan kitab-kitab mereka, injil dan taurat sehingga hari ini, kandungan taurat dan injil itu, amat tersasar dengan kandungan taurat dan injil di zaman Nabi Musa dan nabi Isa terdahulu.

ALLAH MAHA MENGETAHUI

Allah adalah tuhan yang mencipta manusia. ciptaan terhadap manusia, tidak sekadar penciptaan, disertakan pula dengan panduan hidup, agar manusia hidup dalam keadaan aman dan damai; dapat berjumpa jalan menuju ke syurga, berbanding terjerumus ke dalam neraka.

Bagi memastikan manusia ikut panduan tersebut, maka Allah menurunkan Al-Quran, disamping kedatangan Nabi membawa as-Sunnah bagi menafsirkan maksud al-Quran itu. tujuannya adalah, agar manusia tidak tersasar jalan dalam menuju akhir kehidupan didunia bagi mengecapi kebahagian hidup diakhirat nanti.

Pun begitu, kedatangan al-Quran itu, membuka ruang kepada manusia untuk memanfaatkan akal mereka dalam memahaminya, makanya Allah tidak sekadar mengemukakan ayat-ayat muhkamat sahaja, sebaliknya disertakan juga ayat-ayat mutasyabihat.

Kedatangan ayat-ayat mutasyabihat itu adalah untuk melatih, dan memberikan ruang kepada manusia dalam memanfaatkan akal mereka dalam mengikuti al-Quran, tidak seperti orang yahudi dan nasrani yang mengikuti kitab-kitab mereka.

Pun begitu, disebalik keizinan menggunakan akal dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah, terdapat manusia menggunakan akal mereka untuk melahirkan tafsiran-tafsiran yang mengarut disebalik ayat-ayat yang mutasyabihat tersebut. Apabila keadaan ini berlaku, menyebabkan Allah SWT terus meletakkan batasan dan panduan, bahawa keizinan penafsiran itu hendaklah dirujuk kepada Allah, kerana Allah SWT sahaja yang mengetahui ta’wilnya yang sebenar.

Firman Allah;

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya;
”Tidak mengetahui akan ta’wilnya melainkan Allah”

Sebab itu, tindakan membaca sesuatu ayat al-Quran, lalu ditafsirkan merupakan tindakan yang silap. Tetapi, tindakan yang betul adalah, sebarang tafsiran yang hendak dilakukan, perlu dirujuk kepada ayat-ayat yang lain, disamping menjengok juga kepada hadis-hadis; ucapan, tindakan dan diamnya Nabi SAW.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 oktoberber 2009 * 1;51 petang


1 ulasan:

Owner Aurora Sofiya berkata...

ASW,

Ustaz boleh tak bagi Hadith lengkap perihal "ilmu sebagai barang keciciran umat Islam, dan jika bertemu ilmu walaupun dr orang bukan Islam, kita wajib mengambil/belajarnya"

Shukran