Rabu, 7 Oktober 2009

BUKAN ISU DAP-PAS, TETAPI….

BUKAN ISU DAP-PAS, TETAPI….

Hari ini, PAS Selangor telah mengadakan satu sejarah - seperti didakwa oleh ketua penerangan PAS Selangor (sila klik) - iaitu dengan wujudnya majlis perdamaian antara PAS - DAP. Makanya, terpampang muka-muka pimpinan PAS dan DAP yang kelihatan tersenyum. (sila klik)

Tidak diketahui, apakah wujud keikhlasan disebalik senyuman yang tergambar itu. Ini kerana, keadaan yang sama pernah berlaku antara Dato' Hasan Ali dan Ronnie Liu dalam isu arak baru-baru ini.

Waimma bersalam dengan tergambar senyuman kemesraan antara dua tokoh tersebut, disamping ’janji setia’ tidak akan mengadakan sebarang tindakan yang melahirkan kekacauan dalam Pakatan Rakyat, tetapi keadaan yang berlaku adalah sebaliknya; iaitu berlaku juga selepas itu satu isu yang sepatutnya tidak berlaku, iaitu selcat.

Hakikatnya, jika difikirkan balik secara rasional, juga dari sudut kronologi kejadian yang berlaku di selangor, isu pertembungan antara PAS - DAP di Selangor, bukanlah isu antara PAS dan DAP, tetapi adalah isu Hasan Ali yang sering melakukan tindakan yang melahirkan pertembungan.

Lebih menjijikkan, segala kejadian yang berlaku, boleh dikatakan semuanya disandarkan kepada isu melayu. kononnya, mempertahankan melayu.

Tidak diketahui, atas asas apa menyebabkan mereka ini suka berbicara tentang melayu. Jika dilihat dari segala kandungan silibus tarbiyyah PAS, tidak terdapat pula kandungan perjuangan melayu. setahu aku, perjuangan melayu hanya wujud dalam ’silibus tarbiyyah UMNO’ sahaja.

Walaubagaimana pun, diharapkan pertemuan antara PAS - DAP pada hari ini benar-benar melahirkan perdamaian, dengan tidak melahirkan krisis lagi selepas ini, sepertimana berlakunya krisis selepas perdamaian antara Dato’ hasan Ali dengan Ronnie Liu di Tropicana baru-baru ini.

sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani



- Sri Indah B, Sg Buloh
8 oktober 2009 * 2:10 pagi

Selasa, 6 Oktober 2009

“ISA A.S BUKAN ANAK ALLAH, TETAPI HAMBA-NYA”


“ISA A.S BUKAN ANAK ALLAH, TETAPI HAMBA-NYA”

Satu kelompok nasrani dari najran telah datang berjumpa dengan Nabi SAW. Kehadiran mereka berjumpa dengan Nabi SAW, adalah untuk mendengar sebarang kenyataan Nabi SAW yang boleh dijadikan modal untuk mereka mendakwa bahawa Nabi Muhammad sebenarnya menyokong akidah mereka.

Justeru, mereka lakukan berbagai-bagai tindakan, demi untuk menjadikan Nabi SAW mengeluarkan kenyataan seakan-akan sealiran dengan mereka.

“Wahai Muhammad, bukankah Al-Masih (Isa) adalah kalimah Allah dan Ruh-Nya?” soal mereka

Nabi SAW terus menjawab, “benar”

Mereka tersenyum, terus berlalu pergi.

Tindakan mereka itu, menyebabkan Allah SWT menurunkan ayat yang berbunyi;

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ

Maksudnya;
“Adapun mereka yang di dalam hati-hati mereka ada kecenderungan kepada kesesatan, mereka mengikut perkara yang syubhat; dengan tujuan untuk melahirkan fitnah dan melahirkan penta’wilan (yang mengarut)”

(Surah Al-‘Imran : 7 )

Tujuan penurunan ayat ini adalah, untuk memberi tahu kepada manusia bahawa kedatangan orang-orang nasrani najran tersebut, bukanlah untuk mendengar ayat-ayat Allah dalam bentuk yang sebenar, tetapi mahu melahirkan ta’wilan-ta’wilan yang membenarkan kesesatan yang mereka berpegang sejak sekian lama.

ALLAH JAGA MANUSIA

Allah SWT mencipta manusia tidak sekadar penciptaan, malahan Allah akan sertakan sama kemaslahatan hidup untuk mereka. kemaslahatan hidup yang Allah berikan itu, bukan sekadar untuk jasmani mereka, bahkan maslahah rohani pun diberikan oleh Allah SWT.

Maslahah jasmani adalah seperti penciptaan rupa bentuk manusia, tubuh badan, dan sebagainya. kemaslahatan jasmani ini, diberikan semenjak manusia berada dalam rahim ibu lagi.

Firman Allah;

هُوَ الذي يُصَوّرُكُمْ فِي الأرحام

Maksudnya;
“Dia (Allah) yang membentukkan kamu dalam rahim-rahim”

(Surah AL-Imran : 6)

Pun begitu, keadilan yang ditunjukkan oleh Allah ternyata membuktikan kebijaksanaan-Nya. Ini kerana, Allah SWT tidak sekadar mengemukakan maslahah jasmani sahaja, malahan maslahah rohani pun diberikan oleh Allah SWT kepada manusia.

Maslahah rohani itu, digambarkan oleh Allah SWT menerusi sambungan ayat yang berbunyi;

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ

Maksudnya;
“Dia (Allah) adalah tuhan yang telah menurunkan kepada kamu akan Al-Kitab (al-Quran)”

(Surah Al-Imran : 7)

Penurunan Al-Kitab (iaitu : al-Quran), bertujuan untuk memberikan ilmu kepada manusia yang merupakan kemaslahatan bagi kerohanian manusia.

Dalam al-Quran, ia mengandungi seribu satu rahsia ilmu yang sehingga sekarang, kajian demi kajian dilakukan, banyak rahsia-rahsia yang masih lagi belum terselongkar.

Disamping menyeru kepada amalan baik, dan meninggalkan amalan jahat, dosa dan pahala, syurga dan neraka, al-Quran juga merupakan sumber ilmu dalam kajian-kajian ilmu di zaman moden. Keterbuktian kebenaran al-Quran ternyata terbukti pada hari ini.

AYAT MUHKAMAT DAN MUTASYABIHAT

Lawan bagi ayat muhkamat adalah ayat mutasyabihat. Asal makna mutasyabihat adalah kesamaran. Seperti kita berjalan di waktu malam, tidak sama seperti kita berjalan dalam waktu siang.

Apabila kita tengok orang berjalan pada waktu siang, kita mudah kenal. Kita tidak perlu meneka, siapa orang yang berjalan itu. adapun waktu malam, kita tengok orang berjalan dalam waktu gelap, melahirkan pelbagai tekaan dan ramalan.

Apabila dikaitkan dengan tekaan dan ramalan, ketika itulah, melahirkan pelbagai tafsiran dan ta’wilan terhadap orang yang berada dalam gelap tersebut.

Penilaian kita disebalik ta’wilan dan tafsiran itu, hendaklah merujuk kepada qarinah-qarinah yang wujud, seperti contoh kita hendak mengatakan bahawa orang dalam gelap itu adalah ahmad. Sudah pasti, kita akan melihat gerak jalannya, lenggangnya, cara menghayun tangan ketika berjalan dan sebagainya. apabila kita tengok, maka disitulah kita mampu mencari tafsiran yang tepat atau sebaliknya.

Keadaan yang sama juga dalam memahami ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat. Ayat muhkamat adalah ayat yang difahami secara tepat, tanpa melahirkan tafsiran yang pelbagai. Adapun ayat mutasyabihat, ia adalah ayat yang melahirkan tafsiran yang pelbagai, malahan wujudnya kepelbagaian tafsiran tersebut diizinkan oleh Allah SWT.

Sesungguhnya dalam al-Quran, ia terkandung dua jenis ayat ini; ayat muhkamat dan ayat mutasyabihat.

Firman Allah;

مِنْهُ آَيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ

Maksudnya;
”Daripadanya, ada ayat-ayat yang muhkamat. Maka ia adalah ibu bagi al-kitab. Dan selainnya adalah ayat-ayat yang mutasyabihat”

Ulama-ulama tafsir ada menafsirkan makna kedua-dua jenis ayat ini dengan pelbagai tafsiran. Ada ulama mengatakan, maksud dengan ayat muhkamat adalah ayat yang menasakhkan, adapun ayat mutasyabihat adalah ayat yang mansukh.

Ada pula ulama lain kata, maksud dengan ayat muhkamat adalah ayat yang difahami tanpa tadabbur dan taammul, sedangkan ayat mutasyabihat adalah ayat yang difahami menerusi tadabbur dan taammul.

Disisi yang lain pula, ada ulama menafsirkan maksud dengan ayat-ayat muhkamat adalah ayat-ayat yang menceritakan sesuatu ketetapan yang tidak ada perbedaan pendapat lagi dikalangan ulama, seperti kewujudan Allah, keesaann-Nya, wujudnya hari kiamat, ketentuan dosa dan pahala dan sebagainya. adapun maksud dengan ayat mutasyabihat pula adalah, ayat-ayat yang memerlukan tafsiran ulama, dan seterusnya melahirkan khilaf dalam tafsiran tersebut, seperti kekhilafan ulama dalam menafsirkan ayat yang menyebut tentang melihat Allah diakhirat nanti, apakah melihat dengan mata kepala, atau dengan pandangan hati, tentang kedatangan imam mahdi dan sebagainya.

ORANG YANG CONDONG KEPADA KESESATAN

Dalam keadaan sedemikian, wujud dari kalangan manusia yang mempunyai penyakit hati. Tidak dinafikan, penyakit hati itu banyak, seperti riya’, sum’ah, dengki dan sebagainya. pun begitu, disana terdapat penyakit hati yang lebih buruk dan jahat, iaitu hati yang sakit untuk cenderung dalam menyelewengkan kandungan al-Quran dan as-Sunnah.

Justeru itulah, tidak hairan kita dapati, Imam Al-Ghazali membahagikan ulama itu kepada dua jenis; ulama yang beramal dan ulama yang jahat (arab : Ulama as-Su’).

Ulama yang baik, adalah ulama yang akan menyampaikan kandungan al-Quran dan as-Sunnah dalam bentuknya yang sebenar, tanpa mengandungi unsur-unsur penyelewengan. Adapun ulama yang jahat, mereka tidak menjadikan akal dan panduan ilahi sebagai penafsiran al-Quran, tetapi menjadikan nafsu mereka sebagai panduan. Apabila keadaan ini berlaku, menyebabkan mereka mengemukakan tafsiran-tafsiran, ataupun ta’wilan-ta’wilan terhadap al-Quran bersesuaian dengan kehendak hawa nafsu mereka.

Allah SWT menyatakan, kewujudan manusia sebegini sememangnya tidak boleh dinafikan. Malahan, mereka akan bertindak juga untuk bertindak dengan sedemikian, demi melahirkan fitnah dan penyelewengan terhadap umat. Tindakan mereka tidak ada lain, melainkan mahukan habuan dunia yang maha sedikit, disamping mengikut tuntunan hawa nafsu yang maha jahat.

Firman Allah;

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ

Maksudnya;
”Adapun mereka yang didalam hati mereka ada kecenderungan kepada kesesatan, mereka akan mengikut apa yang kesamaran, demi mengharapkan fitnah dan ta’wilan (yang mengarut)”

Kebejatan inilah yang berlaku kepada ahli-ahli kitab terdahulu. Yahudi dan nasrani sebagai contoh, merupakan golongan yang meletakkan sentimen perkauman mereka terlebih atas berbanding kebenaran. Makanya, mereka sanggup melakukan penyelewengan terhadap kandungan kitab-kitab mereka, injil dan taurat sehingga hari ini, kandungan taurat dan injil itu, amat tersasar dengan kandungan taurat dan injil di zaman Nabi Musa dan nabi Isa terdahulu.

ALLAH MAHA MENGETAHUI

Allah adalah tuhan yang mencipta manusia. ciptaan terhadap manusia, tidak sekadar penciptaan, disertakan pula dengan panduan hidup, agar manusia hidup dalam keadaan aman dan damai; dapat berjumpa jalan menuju ke syurga, berbanding terjerumus ke dalam neraka.

Bagi memastikan manusia ikut panduan tersebut, maka Allah menurunkan Al-Quran, disamping kedatangan Nabi membawa as-Sunnah bagi menafsirkan maksud al-Quran itu. tujuannya adalah, agar manusia tidak tersasar jalan dalam menuju akhir kehidupan didunia bagi mengecapi kebahagian hidup diakhirat nanti.

Pun begitu, kedatangan al-Quran itu, membuka ruang kepada manusia untuk memanfaatkan akal mereka dalam memahaminya, makanya Allah tidak sekadar mengemukakan ayat-ayat muhkamat sahaja, sebaliknya disertakan juga ayat-ayat mutasyabihat.

Kedatangan ayat-ayat mutasyabihat itu adalah untuk melatih, dan memberikan ruang kepada manusia dalam memanfaatkan akal mereka dalam mengikuti al-Quran, tidak seperti orang yahudi dan nasrani yang mengikuti kitab-kitab mereka.

Pun begitu, disebalik keizinan menggunakan akal dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah, terdapat manusia menggunakan akal mereka untuk melahirkan tafsiran-tafsiran yang mengarut disebalik ayat-ayat yang mutasyabihat tersebut. Apabila keadaan ini berlaku, menyebabkan Allah SWT terus meletakkan batasan dan panduan, bahawa keizinan penafsiran itu hendaklah dirujuk kepada Allah, kerana Allah SWT sahaja yang mengetahui ta’wilnya yang sebenar.

Firman Allah;

وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya;
”Tidak mengetahui akan ta’wilnya melainkan Allah”

Sebab itu, tindakan membaca sesuatu ayat al-Quran, lalu ditafsirkan merupakan tindakan yang silap. Tetapi, tindakan yang betul adalah, sebarang tafsiran yang hendak dilakukan, perlu dirujuk kepada ayat-ayat yang lain, disamping menjengok juga kepada hadis-hadis; ucapan, tindakan dan diamnya Nabi SAW.

Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 oktoberber 2009 * 1;51 petang


Isnin, 5 Oktober 2009

HUZAIFAH BIN AL-YAMAN : D'CROMOK



حذيفة إبن اليمن واحد من أصحاب النبي , حذيفة إبن اليمن كان أهل الصوفي , حذيفة إبن اليمن و كان صادق النبي , حذيفة إبن اليمن كان أهل الصوفي

Maksudnya;
“Huzaifah bin Al-yaman adalah seorang daripada kalangan sahabat-sahabat Nabi. Huzaifah bin Al-Yaman, beliau adalah ahli sufi. Huzaifah bin Al-Yaman, beliau adalah orang yang membenarkan nabi. Huzaifah bin Al-Yaman, beliau adalah ahli sufi”

“JANGAN LAKUKAN KEROSAKAN!”


“JANGAN LAKUKAN KEROSAKAN!”

Semasa Nabi SAW berada di Makkah, istilah munafiq tidak pernah timbul. Tetapi, kewujudakan golongan munafiq adalah setelah penghijrahan nabi SAW bersama-sama sahabat muhajirin ke Madinah.

Di Madinah, terdapat beberapa kabilah, terutama dua kabilah yang besar; Aus dan Khazraj. Kedua-dua kabilah ini yang memberi bantuan kepada nabi SAW sehingga mereka digelar dengan panggilan ‘Ansar’.

Amalan kedua-dua kabilah ini adalah seperti amalan yang diamalkan oleh musyrikin arab, disamping mengambil sedikit sebanyak amalan dari puak-puak yahudi yang menetap di Madinah. Puak-puak yahudi yang berada di Madinah terdapat tiga kelompok; iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah.

Ketika Nabi SAW masuk ke Madinah, ramai dari kalangan rakyat madinah dari kalangan Aus dan Khazraj ini memeluk islam. terdapat juga dari kalangan orang yahudi yang masuk islam, walaupun bilangan mereka terlalu sedikit, seperti seorang yahudi yang bernama Abdullah bin Salam R.a. Walau beliau asalnya seorang berbangsa yahudi, tetapi setelah memeluk islam, beliau merupakan seorang sahabat yang hebat, malahan beliau antara sahabat nabi yang dijanjikan syurga semasa hidup.

Sebelum tercetus peperangan badar, golongan munafiq ini belum lagi timbul. Tetapi, setelah kemenangan berbelah pihak kepada Islam dalam peperangan badar, menyebabkan ramai dari kalangan orang-orang madinah yang memeluk islam.

Ada sebilangan kecil dari mereka yang memeluk islam itu, bukan kerana keikhlasan mereka terhadap Islam, tetapi demi untuk mengaut keuntungan semampu yang boleh, juga mewujudkan pertembungan antara rakyat Madinah dan sebagainya, agar madinah yang sudah dikuasai oleh orang Islam akan jatuh balik ke tangan orang kafir semula. Golongan itu disebut sebagai munafiqin.

Banyak tindakan-tindakan jahat yang dilakukan mereka; kerosakan dan kebinasaan. Tindakan itu, semua dengan harapan agar kekuatan madinah pimpinan Nabi akan jatuh dan gugur kehinaan.

Di kala Nabi SAW menetapkan perjanjian agar wujudnya persaudaraan antara Aus dan Khazraj, mereka hadir sebagai batu api; dengan tujuan mewujudkan perbalahan antara kaum-kaum tersebut. banyak isu-isu pertembungan kabilah diwujudkan mereka, semata-mata mahu melahirkan kelemahan dalam dalam kerajaan Islam Madinah, pimpinan Nabi SAW.

Tindakan mereka itu merupakan satu kemungkaran, malahan penyebab utama berlakunya kerosakan. Justeru itu, Allah menurunkan ayat 11 dan 12 dari surah Al-Baqarah;

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ * أَلَا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ

Maksudnya;
Apabila diberitahu kepada mereka, ”jangan kamu lakukan kerosakan di atas muka bumi”.

“Sesungguhnya kami adalah orang yang melakukan pembaikan” jawab mereka.

Sebenarnya, mereka adalah golongan yang melakukan kerosakan, tetapi mereka tidak sedar dan tidak perasan.

MEMBERI PESANAN

Sebarang kerosakan yang dilakukan oleh manusia, semuanya berpaksikan kepada nafsu. Sesuatu tindakan yang berasaskan kepada wahyu, maka itu tidak disebut sebagai kerosakan.

Kerosakan yang berlaku, tidak kira apa jenis sekalipun. Ada kalanya berbentuk melahirkan kerosakan kepada diri individu manusia, seperti membawa kepada gejala sosial, zina, dan sebagainya. ataupun, kerosakan itu bersifat yang lebih luas, seperti melibatkan negara dan masyarakat.

Rasuah merupakan kerosakan yang akan menimpa negara. Sistem ekonomi kapitalis, melahirkan suasana kehidupan rakyat bawahan yang semakin hari semakin terkebawah, disamping yang kaya akan terus menjadi kaya.

Dikala wujud keadaan ini, Islam menyeru agar dilakukan nasihat. Ia tidak cukup sekadar berjumpa dan diberitahu sahaja, malahan mewujudkan wacana secara sihat, bagi mencari keputusan yang jitu merupakan satu perkara yang dituntut.

Firman Allah;

قُلْ هَاتُوا بُرْهَانَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya;
”Katakanlah, datangkan hujjah-hujjah kamu, sekiranya kamu adalah orang yang benar”

(Surah Al-Baqarah : 111)

Tindakan memberhetikan golongan yang melakukan maksiat dengan menghentam sahaja, merupakan tindakan yang kurang bijak, disamping melahirkan kerugian dakwah yang teramat sangat.

Ini kerana, apabila tidak dilakukan dialog, wacana, berdebat dan sebagainya, malahan hanya sekadar menghentam, ia akan mewujudkan prejudis mereka terhadap islam, juga terhadap pendakwah itu sendiri.

Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti pendakwah akan menghadapi masalah dalam pendekatan. Dengan ini, akan terlahirnya kerugian teramat sangat dalam berdakwah.

KEROSAKAN DI BUMI MEMBAWA KE AKHIRAT

Kerosakan menerusi ayat 11 dari surah Al-Baqarah, ditafsirkan oleh para ulama tafsir sebagai maksiat. Sebarang maksiat yang dilakukan, bermakna ia membenarkan berlakunya kerosakan.

Persoalannya, mengapa maksiat dikaitkan dengan kerosakan menerusi ayat ini?

Apa yang perlu diingat, Islam satu agama yang menekankan kebahagiaan hidup didunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Kebahagian hidup dunia, tidak dapat tidak merujuk kepada Islam. apabila tidak berzina, memang dilihat seperti tidak wujudnya kesenangan diri untuk mendapat keenakkan seks, tetapi disebalik zina itu terdapat seribu satu kesusahahan yang lebih besar berbanding kenenakkannya.

Apabila seseorang perempuan yang berzina, mengandung merupakan satu kemungkinan yang besar. Apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti perempuan itu akan menghadapi seribu satu kesusahan, disamping lelaki yang berzina dengannya terlepas tangan dari sebarang kesusahan yang sedang dihadapi oleh perempuan yang berzina.

Justeru, bagi mewujudkan tanggungjawab antara lelaki dan perempuan yang sama-sama mengecapi keenakan seks, maka islam mewujudkan pernikahan; pengikat hubungan antara lelaki dan perempuan.

Bermakna, apabila dua suami isteri bersetubuh dalam cara perkahwinan, ia akan terwujud tanggungjawab suami terhadap isteri yang sedang berada kesusahan dalam mengandungkan anak.

Dari ini, kita dapat melihat bagaimana kebahagian hidup antara lelaki dan perempuan itu wujud. Tidak menyusahkan kepada satu pihak, melepaskan dari kesusahan pula dari pihak yang lain. malahan, bersifat kesusahan tersebut dihadapi bersama-sama.

Apabila dengan tidak berzina itu, kebahagian hidup di dunia ini sudah tercapai, disampng itu juga, tidak berzina akan memberikan ganjaran pahala di akhirat nanti. Makanya, berzina itu memberi kesusahan dalam hidup di dunia, seterusnya melahirkan masalah yang teramat besar di akhirat nanti.

MENGAKU BUAT BAIK

Waimma melakukan kebinasaan, masakan mahu diakui ia sebagai perkara buruk. Manusia akan menganggap, apa yang mereka lakukan sebagai kebaikan, walau ia pada hakikatnya adalah keburukan.

Orang-orang munafiq di zaman Nabi yang melakukan kerosakan, dengan mewujudkan tindakan yang boleh menjatuhkan kerajaan islam, pasti mereka akan mengatakan mereka sebagai orang yang baik.

Tindakan seperti itu adalah perkara biasa bagi mereka yang melakukan sesuatu kejahatan. Tujuan mereka bertindak sedemikian adalah, untuk menyelamatkan diri mereka dari dikatakan sebagai orang yang melakukan kerosakan (cover line), disamping untuk meneruskan agenda yang sudah tersemat dalam diri mereka sendiri sejak sekian lama.

Pada mereka, Islam bukan agama yang wajar ditegakkan. Sebaliknya, kewujudakan islam akan menyebabkan mereka menjadi susah. Susah hendak bermualamat dengan riba, rasuah, berzina, maksiat dan sebagainya.

Ekoran itu, mereka akan mencipta seribu satu tindakan yang dilihat seperti baik, tetapi hakikatnya adalah keburukan; yang bisa merosakan umat Islam itu sendiri. Mereka akan mewujudkan kesamaran terhadap islam di mata-mata orang bukan islam, bahkan di mata-mata orang Islam sendiri. Pada mereka, itu semua perkara baik, walhal ia adalah buruk; yang murkai oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ’Alam



Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), sg Buloh
5 oktober 2009 * 3:34 petang

Ahad, 4 Oktober 2009

APAKAH NASIB UNDI POS SAMA SEPERTI UNDI CINA DAN INDIA?

APAKAH NASIB UNDI POS SAMA SEPERTI UNDI CINA DAN INDIA?

Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang sudah tidak lama lagi akan berlangsung. Dengan wujudnya undi Pos di Dun berkenaan, maka ramai yang menjangka, kemenangan akan berbelah pihak kepada BN.

Apa yang boleh diulas, undi pos merupakan talian hayat bagi BN bagi memastikan kemenangan bagi seseorang ADUN dari parti BN. Justeru, kita dapat lihat ramai pimpinan BN yang mempunyai kerusi selamat, datang dari DUN atau parlimen yang mempunyai tempat yang ada undi Pos. Contohnya, perdana menteri malaysia sendiri.

Jika dahulu, BN akan terselamat di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai pengundi-pengundi berbangsa cina dan india. Justeru, dalam pilihanraya umum tahun 2004, kita menyaksikan pembahagian sempadan yang berpaksikan dua bangsa ini dilakukan sedemikian rupa, yang mengakibatkan satu pemandangan bahawa kemenangan besar bagi BN dalam tahun tersebut.

Pun begitu, ternyata keyakinan BN terhadap pengundi bagi mereka mencapai kemenangan dengan undi cina dan india meleset dalam pilihanraya tahun 2008, menyebabkan mereka jatuh tersembam dengan jatuhnya beberapa buah negeri ke tangan pakatan rakyat.

Keadaan itu menimpa BN bagi undi cina dan india, malahan tidak mustahil, keadaan yang sama akan menimpa BN dengan undi pos.

Apakah ia akan berlaku?

Jawabnya, ia tidak mustahil sama sekali. Itupun, jika melakukan sesuatu, sepertimana tindakan kita dalam mengubah minda pengundi cina dan india.
Sekian

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 oktober 2009 * 1:46 petang

Sabtu, 3 Oktober 2009

SEPAKAT PETANDA MENANG DI BAGAN PINANG – USTAZ HARUN TAIB

SEPAKAT PETANDA MENANG DI BAGAN PINANG – USTAZ HARUN TAIB

Dengan kesepakatan yang wujud antara komponen parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, Ustaz Harun Taib meletakkan keyakinan untuk PAS mencapai kemenangan dalam menghadapi Pilihanraya kecil di Dun Bagan pinang yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu yang sedang berada di Australia untuk mengadakan lawatan di sana berkata, “Dalam Pilihanraya kecil di Bagan Pinang ini, kita yakin mencapai kemenangan dengan sokongan padu dari komponen parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP.


”Kita harapkan ahli-ahli UMNO memberikan undi mereka kepada PAS dalam Pilihanraya kecil ini, disamping mendapat undian dari pengundi-pengundi Pakatan Rakyat yang sedia ada”, kata beliau yang akan pulang ke Malaysia dalam dua atau tiga hari lagi.

Apabila ditanya tentang target beliau dalam pilihanraya kecil di bagan Pinang. Beliau yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Terenganu berkata ketika menghubungi Al-Bakistani pagi tadi, ”Kita meletakkan keyakinan kemenangan PAS dalam Pilihanraya kecil di Dun bagan pinang. Ini dilihat kepada perkembangan politik yang berlaku kebelakangan ini yang banyak berbelah pihak kepada Pakatan Rakyat”

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya
4 oktober 2009 * 7:48 pagi

UMNO SENTIASA TAKUT DENGAN AL-QURAN


UMNO SENTIASA TAKUT DENGAN AL-QURAN

Utusan Malaysia menukilkan tulisan awang selamat yang bertajuk ”apabila Gobala memetik ayat al-Quran” (sila Klik). Dalam artikle itu, diberikan gambaran bahawa gobalakrishnan yang tidak beragama Islam itu, tidak mempunyai kelayakan untuk memetik mana-mana ayat Al-Quran pun dalam menyampaikan ceramah.

Semasa krisis rampasan kuasa di perak, UMNO juga pernah mengherdik tindakan YB Nga Kor Meng yang membaca al-Quran. Herdikan itu disokong pula oleh seorang mufti yang berlebelkan Tan Sri, dengan dakwaan ia bercanggah dengan islam.

Pelik bin ajaib dengan pemikiran orang UMNO yang mendakwa beragama Islam ini. Mereka amat marah, apabila wujud orang bukan Islam yang sudah mula membaca Al-Quran, tetapi mereka tidak pernah mengambil tahu tentang bagaimana semakin wujudnya orang Islam yang berbangsa melayu yang semakin hari semakin tipis kemampuan mereka membaca Al-Quran.

Apa yang nyata, hakikat UMNO adalah, mereka sebagai golongan yang tidak pernah mengikut al-Quran dengan ikhlas. Al-Quran diikuti, pada perkara yang sesuai dengan kehendak nafsu mereka. Adapun yang bercanggah dengan kehendak nafsu, sudah pasti Al-Quran akan tidak dilayan, malahan diabaikan sedemikian rupa.

Di zaman dahulu, seperti amalan UMNO ini sering dilakukan oleh kaum yahudi; kaum yang mementingkan perkauman Bani Israel berbanding kebenaran. Keadaan yang sama sudah berlaku kepada parti perkauman melayu yang bernama UMNO. Justeru, tidak hairan jika dikatakan UMNO dan Yahudi; kedua-duanya mempunyai kesamaan yang amat ketara.

Takut kepada Al-Quran, sememangnya berlaku kepada UMNO. jika mahu dimarahkan kepada orang islam yang membaca Al-Quran, sudah pasti dirasakan seperti amat pelik. Tetapi, mereka akan berani menghalang orang bukan islam dari membaca Al-Quran, dengan pelbagai hujjah-hujjah yang hakikatnya berpaksikan nafsu syaitan keyahudian mereka.

Jika dibaca balik kisah di zaman terdahulu, kita akan dapat lihat bagaimana wujudnya kebencian dan ketakutan orang kafir Quraish terhadap bacaan Al-Quran itu sendiri. Seorang sahabat Nabi bernama Zubair bin Al-Awwam pernah bercerita bagaimana takutnya orang-orang kafir Quraish terhadap Al-Quran. Pada mereka, jika Al-Quran didengari oleh rakyat Makkah, sudah pasti mereka akan ditolak. Justeru, ketika Abdullah bin Mas’ud datang kepada mereka membacakan al-Quran dengan suara yang merdu, menyebabkan mereka sanggup memukul Abdullah bin Mas’ud sehingga luka.

Keadaan ini yang sedang berlaku kepada UMNO. Apabila wujud manusia – terutama ahli politik – berhujjah dengan al-Quran, pasti mereka akan menggunakan berbagai-bagai cara dan kaedah, bagi menutup mulut manusia tersebut dari membaca al-Quran.

Justeru, bagi menghadapi UMNO, jadikanlah al-Quran sebagai sandaran berhujjah. Sudah pasti, UMNO tidak akan bersedia berhujjah balas.

Sekian

p/s : kalau seseorang itu dikuasai oleh jin Kafir, kaedah yang paling berkesan adalah membaca ayat-ayat al-Quran. Nampaknya, keadaan yang sama juga perlu dilakukan terhadap manusia yang dikuasai pemikiran UMNO.

Wallahu ’Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 Oktober 2009 * 4:17 pagi

LIM GUAN ENG DAN ISA SAMAD : SIAPA PEJUANG MELAYU SEBENAR?


LIM GUAN ENG DAN ISA SAMAD : SIAPA PEJUANG MELAYU SEBENAR?

Siapa yang tidak kenal dengan Lim Guan Eng, pasti kita akan tergambar seorang ketua menteri dari Parti DAP di salah sebuah negeri di Malaysia, Pulau Pinang.


Waimma beliau berbangsa Cina, tetapi amat jarang kita mengambil tahu tentang sejarah kebanggaan yang di lakukan beliau, iaitu mempertahankan seorang anak gadis melayu yang telah di rogol bekas ketua menteri dari mazhab UMNO, berbangsa melayu. Dalam usaha mempertahankan anak melayu tersebut, mengakibatkan beliau telah di tahan di bawah tahanan ISA selama lebih kurang 2 tahun.


Menurut maklumat, semasa beliau berada dalam tahanan, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor berkali-kali datang menziarahi beliau sehingga Allahyarham menghadiahkan sebuah buku kepada beliau yang menceritakan tentang seorang tokoh Islam yang terkemuka bernama Omar bin Abdul Aziz.


Ekoran dari membaca tersebut, beliau mula mendalami tentang sejarah pemerintahan Omar bin Abdul Aziz, sehingga bercita-cita mahu membuat sebuah pemerintahan berkebajikan, seperti yang dilakukan oleh Omar bin Abdul Aziz.

Ternyata di awal pemerintahan beliau menjadi Ketua Menteri, beliau berkali-kali menyebut ingin membuat pemerintahan Omar bin Abdul Aziz, malahan ternyata beliau melakukan tindakan tersebut, waimma beliau tidak beragama islam.

Dalam keadaan sedemikian pun, amat menggelikan hati apabila isa samad yang sedang terpalit dengan rasuah berkata bahawa Lim Guan Eng seorang banduan.
Apakah dia tidak sedar bahawa, Lim Guan Eng terpaksa menjadi banduan sebab ditahan oleh Kerajaan BN ekoran tindakan beliau mempertahankan anak gadis melayu yang dikhianati oleh bekas seorang ketua menteri yang berbangsa melayu sendiri.

Adapun Isa samad, beliau terpalit dengan rasuah yang sudah pasti melibatkan kepada pengkhianatan terhadap harta rakyat.


Justeru, dakwaan isa samad yang mahu menyamakan beliau dengan Lim Guan Eng adalah amat tersasar, malahan menggambarkan pemikiran beliau amat mundur, terutama dalam kempen beliau untuk menguasai kerusi Dun Bagan Pinang.


sekian


P/s : apa perasaan MB Negeri Sembilan, jika Isa Samad menang dalam pilihanraya kecil Dun Bagan Pinang nanti?



Wallahu 'alam.

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com



Uptown kota damansara.
4 oktober 2009 * 1:00 malam