Jumaat, 17 September 2010

'POLITIK PENCAK' ANAK MUDA?


[1]

Menarik melihat perkembangan politik PKR kebelakangan ini. Dilihat anak muda [AMK] lebih kehadapan berbanding orang tua dalam politik yang aku istilahkan sebagai ‘politik menggunakan otak’. Anak muda sanggup berhadapan di meja dan pentas debat, dalam mempamerkan fikrah dan agenda politik yang mahu dibawa, sedangkan orang tua sedang sibuk mengumpul pengaruh dengan tindakan-tindakan yang terkhilaf dikalangan pandangan umum sebagai etika atau tidak.

Menurut maklumat yang diberi, idea cadangan debat antara calon AMK ini cetusan Hasmi Hashim, seorang budayawan yang berumur 34 tahun. Beliau seorang yang mempunyai kemampuan dalam bidang seni lukisan, dan antara terawal dalaman PKR yang mencetuskan perdebatan tentang ‘pencerahan’ yang dikemukakan secara pengistilahan oleh Ammanual Kant, yang sebenarnya disuburkan oleh Ibnu Rushd, kemudian di masyhurkan di Malaysia oleh Pak Khalid dari IKD [Institut Kajian Dasar].

Khabar angin juga memaklumkan, pada awal cadangan ini, pandangan beliau dikesampingkan, tetapi dilihat relevan pada saat pertembungan tiga calon, dan saudara Hasmi adalah antaranya. Apakah faktor empat calon yang dipertandingkan, atau faktor AMK pimpinan Samsul iskandar tidak mempunyai minda dalam politik adalah penyebab kepada cadangan ini dilihat relevan? itu tidak diketahui. Walaubagaimana pun, perkembangan politik anak muda PKR [AMK] ini amat menarik diperhatikan. Ini kerana, dilihat anak muda lebih matang berdemokrasi berbanding orang tua dalam PKR dalam berpolitik.

[2]

Sukar untuk menilai masa depan politik Malaysia. Yang pasti, kekuatan dalam usaha melemahkan UMNO/BN terbukti dengan penyatuan antara PAS, PKR dan DAP atas badan bernama Pakatan Rakyat. Penyatuan seperti ini pernah berlaku, iaitu di era pemecatan Jawatan Timbalan perdana Menteri malaysia, Anwar Ibrahim. Namun, umurnya tidak panjang, kerana perpecahan berlaku setelah kemangkatan Allahyarham Ustaz Fadzil noor, menyebabkan DAP keluar dari gabungan Barisan Alternatif ketika itu.

Perpecahan itu membawa kepada kekalahan teruk bagi PAS, sehingga Terengganu terlepas tangan, dan kelantan pimpinan PAS hampir terlungkup menyembah bumi. Namun, ia berjaya disatukan balik setelah Anwar Ibrahim mula aktif dalam politik setelah terlepas dari tahanan besi Sungai Buloh.

Perang politik berjaya melemahkan UMNO/BN dalam PRU ke 12. 8 mac 2008 merupakan sejarah gerhana bagi UMNO/BN, dan sejarah suluhan bagi PAS, PKR dan DAP. Ia menggamitkan ketiga-tiga parti itu berjaya disatukan atas nama Pakatan Rakyat [PR]. Anwar Ibrahim dilihat sebagai tokoh yang berjaya menyatukan ketiga-tiga parti yang berbeda idealogi perjuangan. Sebarang perbalahan yang dicetuskan dari pihak PAS, atau dari pihak DAP ataupun mainan propaganda musuh, berjaya disejukkan sebelah menyebelah oleh Anwar Ibrahim.

Keberadaan tokoh politik sebegini, mengimbau kepada perjuangan politik Dr Burhanuddin Al-Helmi dan Allahyarham ustaz Fadzil Noor. Namun, pentas dan watak yang berbeda, menyebabkan skrip yang sama sukar difahami tafsirannya.

Watak iras Dr Burhanuddin Al-helmi dan ustaz Fadzil Noor ini, ternyata menggerunkan UMNO/BN. Ia menyebabkan, usaha mematikan watak ini dilakukan serangan dari semua sudut secara serius sekali. Ia tidak ada lain, kecuali UMNO/BN bertujuan untuk menghapuskan kesepakatan antara PAS, PKR dan DAP dalam usaha hendak mempertahankan kuasa yang sudah menjadi sumber nasi haram mereka sejak sekian lama.

[3]

Tidak dapat dipastikan masa depan Anwar Ibrahim itu; apakah beliau akan selamat dari tuduhan liwat yang sering diratib oleh media-media propaganda UMNO/BN itu, atau sebaliknya. Jika beliau selamat, ia merupakan pengharapan besar bagi PR untuk melakukan serangan hebat terhadap UMNO/BN, tetapi jika dia tidak selamat, ia merupakan satu gerhana besar bagi PR dalam usaha menyerang BN dari kekal bertapak menguasai Bani Tamim [dalam bahasa arab, bani tamim bermakna Putrajaya].

Menurut pendapat sebilangan ahli politik. Jika Anwar Ibrahim diputuskan bersalah pada tuduhan liwat ini, beliau mempunyai dua pilihan sahaja, iaitu; ke sangkar besi, ataupun terbang mencari kebebasan di negara-negara luar. Apabila keadaan ini berlaku, ia merupakan satu malapetaka besar bagi PR. Kecuali, jika Anwar akan bertindak sepertimana Ayatullah Al-Khomaini yang mampu bertindak dari negara barat dalam usaha menjatuhkan pemerintahan kukubesi Shah Iran, sehingga berlaku ‘saurah iraniyyah’ atau dimasyhurkan dengan nama ‘revolusi iran’. Persoalannya, apakah susuk tubuh bernama Anwar Ibrahim mampu? Justeru, keadaan ini menggamit satu kebimbangan bagi PR.

Jadi, penyelesaian dalam hal ini adalah budaya politik baru. Politik baru yang dimaksudkan adalah politik yang tidak lagi bergantung kepada tokoh, sebaliknya kesedaran politik dalam diri rakyat itu sendiri menjadi ‘tokoh’ yang mampu menggerakkan perubahan. Budaya politik yang perlu dibina, bukan kerana faktor Anwar Ibrahim, bukan kerana Tok Guru Nik Abdul Aziz, bukan kerana Lim Guan Eng dan sebagainya. Budaya politik yang dibangunkan berasaskan kesedaran dan kehendak rakyat sendiri yang mahu berubah. Berubah dari berada di bawah penjajah bernama UMNO/BN kepada kemerdekaan jiwa.

[4]

Kebimbangan ini sering menerobos ke dalam hatiku, apabila mengenangkan di awal kejayaan PR menguasai bani tamim. Di perak telah membuktikan bahawa PR yang menguasai SUK dihalau sadis oleh UMNO/BN. Jika di sebuah negeri kecil bernama perak pun, UMNO/BN bertindak ganas menghalau PR dari kekal di takhta amanah rakyat, inikan pula jika PR menguasai pusat pentadbiran yang bernama Putrajaya.

Jika inilah keadaannya, dalam era perjalanan menguasai Putrajaya, anak-anak muda dalam politik hendaklah anak muda yang berjiwa menyerang dan berani ‘berpencak’, disamping mempunyai daya intelek melebihi dunia era 3G, malahan 10G. kedua-dua unsur ini [berani berpencak dan mempunyai daya intelek] adalah penting, kerana ia adalah sumber kepercayaan rakyat, disamping mampu melawan kemaraan UMNO/BN yang bakal bertindak ganas.

Anak-anak muda ini tidak akan mampu digerakkan oleh amir-amir yang hanya pandai menulis teks ucapan, hanya pandai berceramah, hanya pandai mengemukakan teori itu dan ini, malahan amat jauh anak-anak muda boleh digerakkan oleh amir-amir yang dalam pemikirannya hanya berfikir untuk memegang jawatan Ahli majlis, jawatan penasihat atau lembaga pengarah GLC dan sebagainya. Lebih parah lagi, apabila amir yang mahu memimpin itu masih lagi bergantung dibawah bulu ketiak pemimpin politik yang sudah mempunyai nama dan pengaruh. Sebaliknya, anak-anak muda ini akan mampu digerakkan oleh Khalifah yang mempunyai idealisma perjuangan yang jelas, dan berani menyerang dalam mempertahankan runtuhan rumah-rumah rakyat yang dizalimi.

apakah ini akan berjaya???

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani

- Sri Indah [b] Sg buloh
18 september 2010 * 3:02 pagi

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

1.Parti politik untuk puak melayu dan islam hanya tiga jee!!Umno atau Pas!!itu jee!!yang lain buat peghabihh beras jeee!!!
2.Satu lagi tak dak parti!!he he!!
3.Ikut suka hangpa la!!nak sokong yang mana!!