Ahad, 13 Mac 2011

MAQASID : ADA NAS DAN TIADA NAS

Dalam perbincangan maqasid syariah, ia tidak lari dalam dua bentuk, iaitu dalam perkara yang ada nas, dan dalam perkara yang tiada nas.

ADA NAS

Dalam perkara yang ada nas ini, ia tertumpu pada dua maslahah, iaitu, maslahah muktabarah dan maslahah mulghah.

Maslahah muktabarah adalah maslahah yang sememangnya wujud dalam nas. Ia merupakan tuntutan syarak agar dilakukan demi memberi kemaslahatan kepada manusia. Contohnya seperti suruhan Allah SWT agar memotong tangan pencuri. Ia mempunyai maslahah yang perlu diambil, iaitu menyelamatkan masyarakat dari berada dalam kebimbangan harta mereka yang memungkinkan dicuri atau dirompak.

Adapun maslahah mulghah, adalah maslahah yang wujud dalam nas yang dituntut agar ditinggalkan. Contohnya pengharaman arak. tidak dinafikan bahawa arak itu mempunyai maslahahnya tersendiri. Namun, maslahah yang ada pada arak itu hendaklah ditinggalkan, kerana dosanya [iaitu yang boleh mendatangkan mudharatnya] itu lebih besar berbanding maslahah. Lantaran, hukumnya adalah haram.

Dalam dua jenis maslahah ini. Jika ia berbentuk tuntutan untuk dilakukan, wajib diyakini bahawa ia mempunyai banyak kemaslahatan kepada hamba. Sekiranya wujud juga mafsadah, diyakini bahawa mafsadah itu kecil jika mahu dibandingkan dengan maslahah.

Adapun jika ia adalah larangan dari dilakukan, maka diyakini bahawa maslahah itu kecil. Sekiranya wujud mafsadah juga, diyakini bahawa mafsadah itu besar berbanding dengan maslahahnya.

TIADA NAS

Perbincangan maqasid dalam perkara yang tiada nas, dinamakan sebagai al-masalih al-mursalah. Ketika ini, ia diserahkan kepada akal yang sejahtera dan sihat bagi manusia mengimbang sesuatu perkara tersebut antara maslahah dan mudharat.

Sekiranya maslahahnya lebih besar berbanding mafsadah, maka ia adalah halal dilakukan. Adapun sebaliknya, iaitu mafsadah lebih besar berbanding maslahanya, maka ia dilarang dari dilakukan.

Lalu, jika imbangan ini sudah mencapai keputusan, selalunya ia dikuatkan dengan nas-nas yang diqiaskan dengan kejadian tersebut.

Contohnya, seperti perlantikan Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah setelah kewafatan Rasulullah SAW. perlantikan Abu Bakar itu dikuatkan dengan mengqiaskan perlantikan Nabi SAW terhadap Abu Bakar as-siddiq sebagai imam solat di saat Nabi SAW sedang sakit dahulu.

Namun begitu, sekiranya tiada nas yang mengukuhkan keputusan setelah diimbang antara maslahah dan mudharat, maka ia tidak mencacatkan keputusan tersebut. Ia seperi yang dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq yang menghimpun al-Quran atas cadangan yang dilontar oleh Umar bin Al-Khattab. Waima tiada nas secara qias yang mengukuhkan tindakan Abu Bakar tersebut, tetapi keputusan itu ternyata mendatangkan kebaikan dan kemaslahatan yang besar kepada Islam dan umatnya. Dengan erti kata lain, tiada nas itu tidak mencacatkan keputusan yang terhasil setelah diimbang antara maslahah dan mafsadahnya.

Sekian

Wallahu 'Alam.

Kopitiam Bangi
13 Mac 2011 * 9.00 malam.

Tiada ulasan: