Rabu, 2 Mac 2011

Statistik Kemiskinan Mengelirukan



Angka rasmi dan angka yang disiarkan media bersimpang siur dan bertentangan antara satu sama lain.

Oleh KHIER ZAHRIE

KUALA LUMPUR, 26 Okt - Sungguh mengelirukan. Amat memalukan. Bagaimana statistik yang dibuat oleh kerajaan kemudiannya disanggah oleh kerajaan sendiri. Semasa Umno/BN menghentam pembangkang khususnya Kerajaan PAS di Kelantan, isu kemiskinanlah yang menjadi modalnya.

Kerajaan PAS Kelantan didakwa tidak melakukan apa-apa untuk membebaskan kemiskinan rakyatnya. Rakyat Kelantan makin miskin di bawah pemerintahan PAS. Bahkan tuduhan sehingga kepada seolah-olah yang menjadikan rakyat miskin itu adalah kuasa dan hasrat PAS.

Inilah sikap bebal dan babilnya Umno/BN. Semua jari yang ada di tangan mereka menghalakan kepada PAS yang menjadi penyebabnya rakyat menjadi miskin.

Di masa yang sama, yang mampu membasmi kemiskinan adalah UMNO/BN sahaja. Samada semasa kerajaan Pusat di pimpin oleh Dr Mahathir mahupun Abdullah Badawi atau kalau ditoleh ke belakang lagi mahupun Perdana Menteri yang sebelumnya dan sebelumnya.

Apa sudah jadi dengan statistik kemiskinan mengikut negeri-negeri yang menjadi senjata paling tajam yang selalu digunakan dalam peperangan isu antara UMNO/BN dengan PAS/BA. Senjata yang diagung- agungkan oleh pemimpin Umno/BN, sekarang ini terserlah dengan memuntahkan segala kecelaruan dan kekeliruannya.

Di kawasan Parlimen Pekan, yang menjadi wakil rakyat adalah Timbalan Perdana Menteri sendiri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak, didapati jumlah orang miskin yang mendiami kawasan tersebut adalah seramai 1,047 orang. Dengan tidak mengubah walaupun sehuruf perkataan, BERNAMA melapurkan "Terdahulu, Najib yang juga anggota Parlimen Pekan, menyampaikan bantuan sumbangan kepada 1,047 penduduk miskin daerah Pekan".(22 Oktober, 2005 14.42 PM)

Sekiranya, inilah yang terjadi dan benarlah sebagaimana lapuran BERNAMA, maka betapa pilunya hati mengenangkan nasib yang menimpa rakyat dan bangsa Melayu di Pekan yang bukan sahaja mempunyai Timbalan Perdana Menteri sebagai wakil rakyat mereka akan tetapi pernah juga mempunyai Perdana Menteri.

Apakah sebab "bala jentaka"nya sehingga kemiskinan Bandar D'Raja itu tidak mampu dihapuskan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kalaulah Pekan yang pernah mempunyai dua orang yang berada di peringkat "kayangan" itupun tidak mampu untuk membasmikannya, maka apalah taruhan dan harapan nasib rakyat yang ada di Kelantan kerana mereka tidak ada Perdana Menteri dan Timbalannya.

Angka 1047 orang bukanlah sedikit. Dan dirasakan mungkin lebih daripada itu jumlah sebenarnya. Mengikut statistik 2002/2003 yang dikeluarkan kerajaan, di Pahang hanya mempunyai 1714 orang sahaja yang miskin.

Bererti setelah ditolak orang miskin dari Pekan, hanya tinggal seramai 697 orang sahaja lagi bagi 13 parlimen(Pahang ada 14 parlimen). Sekiranya dibahagi sama rata 697 orang itu kepada setiap parlimen maka jumlahnya adalah seramai lebih kuang 53 orang sahaja yang miskin di setiap parlimen. Benarkah begitu???? Wallahu A'lam.

Walau bagaimanapun Pahang bukanlah sebuah negeri yang disenaraikan sebagai maju. Pahang sama sahaja dengan Sabah, Kelantan, Kedah, Terengganu, Perlis dan Sarawak.

Di utara, mengikut statistik pada tahun yang sama Perlis mempunyai 822 orang miskin. Mungkin betul dan benar kerana Perlis negeri kecil. Sudah tentu apabila negeri kecil maka rakyatnyapun sedikit. Apatah lagi Exconya hampir sama ramai dengan Ahli Dewan Undangan Negeri. Boleh jaga rakyat dengan begitu teliti sekali. Apatah lagi Menteri
Besarnya juga seorang yang aktif??.

Walau bagaimanapun, semuanya macam kisah seribu satu malam. Macam angan-angan Mat Jenin. Akhbar Berita Harian 18 Oktober 2005 edisi Utara melapurkan, tanpa prajudis

"Shahidan berkata, kira-kira 40,000 penduduk miskin akan menerima bantuan kerajaan negeri pada Ramadan ini dan sumbangan itu dilakukan secara berperingkat".

Jumlah 40,000 orang bukan 40 orang!! Tidak tahulah kalau-kalau Shahidan tersalah sebut atau wartawan tersalah lapur. Harap-harap begitulah. Sebab sukar mempercayai antara angka yang dinobatkan di dalam statistik negara dengan apa yang berlaku di Perlis. Sungguh menyayat hati sekali. Walau bagaimanapun diingatkan sekali lagi
bahawa Perlis juga bukan dikategorikan sebagai negeri maju.

Akan tetapi, terkejut dan amat terkejut sekali apabila negeri yang diistiharkan negeri maju seperti Selangor akhirnya "melondehkan kainnya" apabila Pusat Zakat Selangor (PZS) dalam websitenya mendedahkan bahawa tanpa syak wasangka

"Shah Alam – Pusat Zakat Selangor (PZS) MAIS telah memperuntukkan bantuan sebanyak RM7,418,750 kepada asnaf fakir dan miskin serta anak yatim sempena persiapan Ramadhan dan Syawal tahun ini.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM6,834,800 diperuntukkan kepada 9,909 orang asnaf miskin dan RM392,250 kepada 529 orang golongan fakir. Manakala anak yatim fakir miskin pula diperuntukkan sebanyak RM191,700.

Sabak Bernam merupakan daerah yang paling tinggi menerima peruntukan iaitu sebanyak RM5.1 juta yang melibatkan 2,453 orang miskin diikuti daerah Hulu Langat sebanyak RM1.050 juta untuk 1563 orang dan Kuala Selangor berjumlah RM1.095 juta untuk 1563 orang fakir dan miskin". Tajuk Berita: PZS (MAIS) Agih RM7.4 juta sempena Ramadhan dan Syawal (Tarikh: 06/10/2005 Penulis: zool; http://www.e-zakat.com.my/).

Terkedu hati dan terkelu lidah. Lemah seluruh anggota badan. Bahasa yang macam mana lagi mahu diungkapkan Bagaimana mahu dibuat penjelasan terhadap apa yang di lapurkan oleh PZS itu. Apakah institusi agama itu sanggup membohongi kenyataan sebenar? Atau
siapakah yang sebenarnya berbohong?. PZS kah atau Khir kah atau statistik negarakah?.

Dengan apa yang dicatatkan oleh Daftar Profil Miskin Tegar 2002/2003 Mengikut Daerah, Bahagian PK, KKLW, Selangor hanya mempunyai seramai 489 orang miskin sahaja. Siapa yang benar dalam hal ini. Sekali lagi Wallahu A'lam.

Menurut sumber Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pada tahun 2004, dimana pertanyaan mulut daripada Y.B TUAN LIM CHOON KIN (DAMANSARA UTAMA), mengenai orang miskin di Selangor mengikut daerah adalah seperti berikut:

DAERAH JUMLAH PENDUDUK MISKIN

Sabak Bernam 799
Kuala Selangor 618
Hulu Selangor 705
Petaling 345
Gombak 545
Kuala Langat 510
Hulu Langat 192
Sepang 356
Klang 319
JUMLAH KESELURUHAN 4,389

Apapun alasannya, Kerajaan Kelantan dan rakyatnya tidak perlu bersedih di atas segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada mereka baik dari pemimpin Umno di luar mahupun pemimpin Umno di dalam negeri sendiri. Kalau diambil kira dengan hujah Pak Pandir "bukan anak aku sorang mati, anak orang lainpun mati juga" sudah cukup
menggambarkan segala-galanya.

Mengikut Satistik 2002/2003, Kelantan mempunyai isi rumah miskin seramai 12,826 orang. Akan tetapi sekiranya dibandingkan dengan negeri maju seperti Selangor yang orang miskinnya berjumlah 10,043 orang apalah sangat gahnya pemimpin Umno Selangor. Kadar zakat fitrahpun sama sahaja Kelantan dengan Selangor iaitu RM4.70. Apalah
hebat sangatnya negeri yang dipimpin oleh Umno jika dibandingkan dengan negeri yang dipimpin oleh PAS.

Begitu juga dengan Sabah yang sering menjadi negeri contoh dalam ceramah-ceramah pemimpin Umno Kelantan kerana kemajuannya hasil dari BN memerintah. Menurut sumber Berita Harian 18 Oktober 2005 edisi Sabah & Sarawak, orang miskin tegar sahaja sudah berjumlah 20,000 orang. Tidak termasuk lagi dengan yang dikategorikan sebagai miskin.

Siapa yang harus dipersalahkan tentang statisti yang bercelaru ini. Pemimpin Umno Kelantan, Selangor, Pahang dan Perlis perlu menilai semula sikap "cerdik tak boleh tumpang, bodoh tidak boleh diajar" yang bersarang dalam benak hati mereka.

Walau bagaimanapun itulah hakikat sebenarnya. Bukan mencari kesalahan sesiapa cuma memohon sedikit keikhlasan dalam percakapan dan berhujah. Mungkin juga di masa-masa akan datang sesuatu yang bersabit dengan statistik perlu diperhalusi tanpa mempunyai agenda politik dan kepentingan parti.

Yang hitam katalah hitam dan yang putih sebutlah putih. Buai laju- laju sampai pokok sena, janganlah rasa malu, sekiranya kita sendiri yang kena". //Hrkh


dengan sama;

Tiada ulasan: