Kehidupan politik umat harus segera diselamatkan sebelum terlambat, sebelum timbulnya keyakinan bahawa “politik” itu benar-benar “kotor” dan kerananya semua orang politik juga kotor, sebelum meluasnya rasa jijik terhadap politik yang nanti akan menyebabkan umat yang inginkan kemurnian membenci politik lalu menyerahkannya kepada orang-orang “kotor”. Kita perlu mendaulatkan moral politik bagi mewujudkan politik yang bermoral sebagaimana yang pernah dibincangkan oleh al-GhÉzÉli dalam pembicaraannya tentang SiyÉsatu ‘l-akhlÉq.
Usaha menyelamatkan kehidupan politik ini meminta penyertaan seluruh kalangan umat terutama ahli-ahli politik Islam sendiri. Mereka harus punya rasa tanggungjawab bukan sahaja memperjuangkan aspirasi politik Islam tetapi juga menghayati etika politik Islam dalam tindak-tanduk politik mereka. Prinsip penyatuan agama dan negara dalam Islam seharusnya membawa implikasi bahawa politik dan kehidupan berpolitik harus diatur dan dikendalikan menurut agama dan secara agama. Malang sekalilah andainya ahli-ahli politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita.
Kaum cendekiawan – intelektual dan ulamanya – juga harus ikut berperanan menegakkan moral dalam kehidupan berpolitik. Hendaknya para cendekiawan kita tidak mengulangi skandal intelektual yang pernah dilakukan oleh generasi intelektual Perancis tahun 1920-an yang telah melakukan apa yang disebut oleh Julien Benda sebagai The Betrayal of the Intellecruals – Pengkhianatan Kaum Intelektual.
Menurut Benda, Plato telah menganjurkan bahawa moral yang harus menentukan politik. Machiaveli merubahnya dengan tesis bahawa moral tidak punya hubungan apa pun dengan politik. Kaum Intelektual Peranchis merubahnya lagi dengan tesis bahawa politiklah yang menentukan moral. Itulah betrayal yang telah dilakukan oleh kaum intelektual Perancis itu apabila mereka mengkhianati tanggungjawab moral mereka sebagai intelektual dalam mengejar keuntungan-keuntungan politik.
Sejarah dan tradisi politik kita di zaman kegemilangan kesultanan Melayu memperlihatkan peranan dan partisipasi positif para ilmuan dalam menegakkan politik bermoral. Kerjasama dan persefahaman terjalin erat di antara ilmuan dan sultan dalam menegakkan keadilan. Para ilmuan Melayu telah menghasilkan kitab-kitab ketatanegaraan untuk panduan sultan-sultan dalam menegakkan keadilan. Para ilmuan Melayi telah menghasilkan kitab Bustanu ‘s Salatin dan Raja Ali Haji yang menulis kitab al-ThamarÉt al-Muhimmah (mengandungi persamaan-persamaan dengan NasÊhatu‘il-Muluk oleh al-GhÉzÉli) dan kitab Intizamu WazÉ‘ifi ‘l-Malik (mengenai tugas-tugas raja).
Sementara itu ramai pula dari kalangan sultan-sultan Melayu yang meminati ilmu seperti Sultan Maliku ‘z-Zahir (Samudera-Pasai), Sultan Mansur Shah (Melaka) dan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Aceh). Malah ramai pula dari kalangan raja-raja Melayu yang mengamalkan Tasawwuf atau didampingi oleh guru-guru tasawwuf. Mereka termasuklah Sultan Muhammad Yusuf al-Khalidi al-Naqshabandiy (Riau), Sultan Musa al-Mu’azzam Shah dan puteranya Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah (Langkat) dan Sultan Ageng Tirtayasa (Banten) yang didampinginya oleh menantunya yang sufi Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makassary.
Potret raja-raja Melayu yang sering ditampilkan sebagai raja-raja zalim sebenarnya bukanlah gambaran yang representative. Dalam hubungan ini Prof Taib Osman, sarjana yang banyak menekuni pengkajian tentang peradaban Melayu menyatakan, “ Gambaran raja-raja yang zalim yang terbit daripada tulisan orang-orang putih pada abad kesembilan belas sebenarnya bukanlah satu gambaran yang mewakili peradaban Melayu, tetapi mungkin dalam masa manusia Melayu sedang mengalami transisi, kerana kalau mengikut kitab-kitab tatanegara itu, pemerintahan tidak boleh yang lain daripada bersifat adil.” (Rampaian pengajian Melayu, hlm. 246).
Demikianlah sepintas sorotan sejarah dan budaya politik moral umat Melayu. Politik bermoral yang terhasil dari komitmen bersama raja dan ilmuan. Sehubungan ini kami ungkapkan satu dokumen wasiat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam kepada zuriatnya:
“…dan lagi Raja-raja hendaklah mengamalkan lapan perkara. Pertama, hendaklah selalu ingat akan Allah dan meneguhi janji dengan sekalian Wazir-wazir dan Menteri Hulubalang dan sekelian pegawai dan dengan sekalian rakyat. Kedua, janganlah Raja-raja menghinakan Alim ulama dan yang ahli akal bijaksana.Ketiga, segala yang datang pada pihak musuh daripada seterunya jangan sekali-kali raja percaya. Keempat, hendaklah raja memperbanyak alat senjata dan membeli kesayangan rakyat dan wazir Sipahi (tentera), supaya jauhlah musuh raja, sebab ada yang menghalaukan dengan sayang. Kelima, hendaklah raja menurun tangan, yakni murah.
Hendaklah mengingat kesetiaan rakyat, wazir dan Alim ulama dan sekalian Sipahi dengan membalas jasanya masing-masing dengan tertib. Keenam, hendaklah raja menjalankan hukum dengan hukum Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Iaitu seperti yang telah tetap di dalam Qanun Al-Asyi Darussalam; Pertama al-Quran, Kedua al-Hadith, Ketiga Ijma’, Keempat Qiyas, maka…keluar daripada itu pun empat perkara: pertama hukum, kedua adat, ketiga qanun, keempat resam. Ketujuh, janganlah raja-raja itu duduk dengan orang yang jahat budi dan jahil.
Kedelapan, hendaklah Raja-raja itu memelihara hati orang yang berbuat baik kepada raja dan kepada negeri dan kepada rakyat. Maka hendaklah raja memandang kepadanya serta memaniskan muka raja memandang mereka itu senantiasa senang hati, kerana ia banyak kebaktian kepada Raja. Hendaklah raja itu memeriksa sekalian wazir-wazir dan Hulubalang dan segala orang yang jahat dan durhaka dan tiada ia mengikut qanun kerajaan. Maka tiap-tiap yang salah itu hendaklah di hukum dengan tertib menurut kesalahan dosa yang diperbuat, sesudah diperiksa dengan sehalus-halusnya, supaya jangan zalim menjatuhkan hukum.
Dan demikian lagi raja-raja hendaklah senantiasa ia memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan Alim ulama dan mendengar nasihat ulama. Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri daripada bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak, iaitu ulama-ulama yang suka memuji-muji raja dan maghzulkan dia dan mengharap minta keredhaan raja. Maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membikin huru-hara negeri dan yang memecah-belah rakyat seperti dajal…...(Petikan dari Qanun Aceh Daru ‘s-Salam)
Memang sejarah Islam keseluruhannya banyak memaparkan komitmen para ilmuan dalam menegakkan politik moral ini. Ketika diminta oleh Khalifah HÉrËn al-RashÊd untuk menulis kitab tentang cukai, QÉÌi AbË YËsuf tidak menolak, lalu dihasilkannya kitab al-KharÉj yang terkenal itu. Tetapi dalam mukaddimah kitab tersebut AbË YËsuf memuatkan nasihat-nasihat dan peringatan-peringatannya kepada khalifah agar beliau bertaqwa, adil, cekap dan sebagainya.
Ketika ‘Abdu ‘r-RaÍmÉn an-NÉÎir membangun projek mewah bandar al-ZahrÉ’ di Sepanyol, beliau dibantah oleh qÉÌinya, Mundhir ibn Sa ‘id yang menganggapnya sebagai suatu pembaziran yang menjolok. Khalifah ‘Abdu ‘r-RahmÉn an-NÉÎir menerimanya dengan baik lalu menyederhanakan projeknya dengan menggunakan bahan-bahan yang lebih murah. Demikianlah sekadar contoh ilmuan yang sedia bekerjasama dengan pemerintah tetapi tidak pernah lupa kepada misi besar menegakkan kebenaran, keadilan dan nilai-nilai murni lainnya.
1 ulasan:
ustaz knape name-name tokoh tu smacam je? heheh
Catat Ulasan