Selasa, 1 November 2011

FIQH TALIBAN vs FIQH WASATI

[1]

Dari sudut perjuangan, Taliban cukup hebat. Niat baik mereka mahu menjadikan Afghanistan sebuah Negara yang terlaksana Islam tidak dapat dinafikan. Kita wajib belajar dari kesungguhan mereka menegakkan Islam dalam pemerintahan.

Mujahidin Taliban, jika mahu dibandingkan dengan kita dari sudut amalan, mereka jauh lebih baik berbanding kita. Mereka menitiskan air mata ketika menunaikan solat. Perkara ini amat jauh dibandingkan dengan kita.

Namun begitu, dari sudut pengamalan fiqh, mereka sudah jauh tertinggal kebelakang. Fiqh mereka hanya apa yang termaktub dalam hasyiah dan matan. Fiqh mereka terkongkong dengan mazhab Hanafi. Itupun tidak semua fikrah fiqh mazhab Hanafi yang menjadi bidang pengajian mereka. Fiqh mereka, teks-teks turats, tanpa mereka mengambil kira konteks semasa, tempat dan kondusif.

[2]

Semasa belajar di Pakistan, tragedy meruntuhkan patung Buddha di satu tempat di Afghanistan bernama bamiyan terjadi. Ia berlaku pada bulan febuari 2001.

Dr Yusuf al-Qaradhawi antara ulama yang tidak menyokong tindakan Taliban tersebut. Bukan sekadar itu, malahan Dr Yusuf al-Qaradhawi mengkritik tindakan Taliban.

Sebelum Qaradhawi bertemu dengan Seorang tokoh ulama besar Taliban bernama Sayed Muhammad Saqib, merupakan seorang guru Bahasa arab, dikhabarkan bahawa al-Qaradhawi bertemu dengan Maulana Taqi Osmani, Mufti Besar Pakistan. Diketahui ramai, bahawa Maulana Taqi Osmani merupakan salah ulama yang menjadi rujukan dunia yang amat pro dengan Taliban.

Diceritakan juga bahawa pertemuan antara Qaradhawi dengan Maulana Taqi Osmani itu juga berlaku perdebatan kecil. Apa kandungan debat itu, tidak diketahui. Namun yang diketahui ramai, Maulana Taqi Osmani tidak bersetuju dengan Qaradhawi dalam pandangan beliau terhadap tindakan Taliban itu.

Walaubagaimana pun, Qaradhawi tetap berjumpa dengan Sayed Muhammad Saqib. Berlaku perdebatan dalam mengemukakan hujjah antara mereka. Tetapi, semasa aku berada di Pakistan, segala kandungan debat itu tidak disebarkan, kecuali hujjah-hujjah dari Pihak Taliban, disamping tersebar gelaran dari kalangan mereka yang pro-taliban terhadap al-Qaradhawi dengan gelaran “Ulama Asnam” (melayu : Ulama Berhala).

Semasa belajar di sana, aku Nampak sendiri tersebarnya gambar sebesar poster yang dijual dengan harga yang cukup murah. Gambar poster itu mempamerkan patung bamiyan yang diruntuhkan Taliban disertakan beberapa ungkapan dalam bahasa Urdu (hindi). Disamping itu juga, termaktub beberapa lebel yang diberikan kepada al-Qaradhawi. Lebel yang paling jelas adalah “ulama berhala”.

Aku membeli poster itu, dan menyimpannya. Namun sedih, semasa pihak Polis menyerbu rumahku ekoran tuduhan JI (Jamaah islamiyah), poster tersebut telah dirampas dan sehingga hari ini, pihak Polis tidak menghantar balik hak milikku itu.

[3]

Semasa belajar di Mesir, aku berkawan dengan sebilangan rakan-rakan berbangsa arab. Aku tinggal serumah dengan “Bhai”, seorang rakan rakyat Malaysia dari negeri Kedah, dan dua rakan dari Indonesia dan seorang rakan berbangsa arab Palestine.

Di mesir juga, aku mendapat rakan-rakan arab yang mempunyai hubungan rapat dengan “team-team kajian” dalam satu lamanweb arab yang agak masyhur juga, iaitu Islamonline.net. Dalam lamanweb itu, banyak perkara yang berjaya aku mendapat manfaat, terutama tentang disiplin fiqh dan fatwa-fatwa ulama moden tentang isu-isu semasa.

Boleh dikatakan, setiap minggu aku menghantar e-mail kepada pihak “muharrir Fatwa” Islamonline.net. Antara perkara yang aku minta mereka memberi penjelasan adalah tentang hujjah debat antara pihak al-Qaradhawi dengan Sayed Mohammad Saqib dalam isu patung bamiyan di Afghanistan. Ternyata, permintaan aku dimakbulkan. Aku mendapat salinan tersebut setebal 18 muka surat, dan aku membacanya sehingga habis.

[4]

Semasa belajar di Pakistan dulu, aku hanya mendengar hujjah dari pihak Taliban sahaja. Sudah pasti ketika itu, aku memandang lekeh terhadap Dr Yusuf al-Qaradhawi. Namun begitu, aku memikirkan sesuatu yang tidak kena terhadap Taliban, apabila membaca sendiri isi kandungan debat antara qaradhawi dengan Sayed Mohammad Saqib.

Antara kandungan debat tersebut, Sayed Mohammad Saqib gagal menjawab beberapa hujjah Qaradhawi. Jawapan yang diberi, ternyata tidak ilmiah.

Dalam hujjah mereka, didakwa bahawa berhala wajib diruntuhkan, waima berumur lebih 2000 tahun. Mereka berdalilkan tindakan Nabi SAW mengarahkan Khalid bin al-Walid meruntuhkan berhala-hala yang berada di keliling kaabah.

Qaradhawi mengemukakan hujjah bahawa berhala di keliling Kaabah sahaja diruntuhkan, bagaimana pula berhala selain berada di keliling Kaabah. Lalu, Qaradhawi membedakan antara kalimah “At-Timsal” dan “al-asnam” yang ramai mendakwa bahawa kedua-dua kalimah memberi maksud berhala.

Dalam kupasan al-Qaradhawi, patung berhala yang sudah lama tidak disembah (seperti Bamiyan yang lebih 2000 tahun tidak disembah) itu, sudah dikira sebagai At-Timsal, bukan al-Asnam. Malahan dalam al-Quran menyatakan bahawa patung bernama at-Timsal itu tidak wajib diruntuhkan. Hal ini, Dr Yusuf al-Qaradhwi merujuk kepada firman Allah dari surah As-Saba’ yang berbunyi;

يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِنْ مَحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَاسِيَاتٍ اعْمَلُوا آَلَ دَاوُودَ شُكْرًا وَقَلِيلٌ مِنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya;
          “Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-patung dan piring-piring yang (besarnya) seperti kolam dan periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah hai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih”  (Surah Saba’ : 13)

Dalam firman Allah ini, diceritakan bagaimana para Jin membina gedung-gedung yang tinggi untuk Nabi SUlaiman. Bukan sekadar itu, dibuat juga untuk Nabi Sulaiman adalah At-Timsal, iaitu patung-patung.

Dari ayat ini menandakan bahawa patung yang diruntuh oleh Khalid Al-walid itu adalah al-Asnam, sedang patung yang dibina para jin untuk Nabi Sulaiman itu adalah at-Timsal. Ternyata penghujahan itu gagal dijawab oleh Wakil Taliban terbabit.

Antara hujjah lain yang digunakan oleh al-Qaradhawi adalah, Qaradhawi mengemukakan Fiqh Maalat al-Af’al, iaitu Fiqh Implikasi terhadap sesuatu tindakan. Qaradhawi mengemukakan beberapa dalil nas terhadap fiqh Maalat al-Af’al itu.

Antaranya adalah, larangan mencela sembah-sembahan selain Allah kerana bimbang berlaku celaan balik terhadap Allah secara prejudis dan tanpa Ilmu. Juga DrYusuf al-Qaradhawi bertanya pandangan mereka tentang tindakan para sahabat yang membuka Afghanistan, Syria dan seumpamanya tanpa mereka meruntuhkan berhala-hala yang ada sehinggakan ia kekal pada hari ini.

Semua ini tidak berjaya dijawab oleh pihak Taliban, sebaliknya berlaku sedikit perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pihak Taliban terhadap Dr Yusuf al-Qaradhawi; dari sudut adab berhujjah dan menyambut tetamu.



bersambung.......

1 ulasan:

Na'im Nikmat berkata...

Terima kasih ya Ustaz atas perkongsian...Tak sabar menanti smabungannya....