[5]
Antara perkara menarik yang diungkapkan
oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi terhadap pihak Taliban adalah Qaradhawi berkata;
“tindakan Taliban meruntuhkan Patung Buddha
akan memberi Implikasi yang lebih bahaya kepada umat Islam sejagat, terutama di
tempat yang bilangan umat Islam sedikit; yang tinggal dikalangan masyarakat
Buddha. Kamu (wahai Taliban) telah bermusuh dengan Barat; amerika dan eropah,
mengapa kamu bermusuh juga dengan timur, walhal bilangan mereka banyak? Kenapa
kamu bermusuh dengan Jepun dan Cina, walhal kamu perlu kepada mereka dari sudut
ekonomi dan politik”
Dalam huraian al-Qaradhawi itu
lagi, beliau menyatakan seperti berikut;
“Fiqh itu bukan sekadar menjaga
maksud yang ada dalam Hasyiah (syarah terhadap syarah) dan Matan, tetapi
hendaklah diperhatikan pada Maalat (melayu : Implikasi) terhadap sesuatu
tindakan dan apa yang bakal terjadi selepas itu”
[6]
Secara peribadi, aku menilai
perbedaan antara fiqh Taliban dari Fiqh wasati adalah seperti berikut;
Pertama : Fiqh Taliban tidak
memikirkan Maalat al-Af’al.
Dalam kandungan syariat, amat
ditekankan juga tentang implikasi. Tanpa melihat kepada implikasi, ia akan
mengakibatkan objektif syariat tidak tercapai. Ekoran itu, kita dapat melihat
bahawa sebilangan ulama mazhab mementingkan implikasi terhadap sesuatu
perbuatan sehingga memasukkannya sebagai salah satu elemen penting dalam hukum.
Ini dapat dilihat pada definisi
hukum dalam mazhab Hanafi. Ini kerana, definisi hukum syarak di sisi mereka
adalah, tidak semata-mata bermaksud harus atau
taat sahaja, tetapi ia perlu dilihat kepada kesan perbuatan syarak atau perlu
dilihat kepada tujuan akhir. (ta’lil maqasidi)
Dengan
erti kata yang lain, dalam mazhab hanafi, ia mesti wajib, sunat dan harus,
tetapi perlu dilihat kepada maqasid dan maalat al-afal (implikasi).
Malahan,
ada sebilangan ulama-ulama dalam mazhab selain hanafi juga memandang pentingnya
implikasi dalam fiqh. Antaranya adalah al-Imam al-Mawardi. Beliau ada
menyatakan;
"Setiap
tindakan yang menyebabkan tidak tercapai kepada tujuan akhir, maka tindakan itu
batal" (Al-Hawi Kabir)
Turut memandang kepentingan
melihat kepada implikasi ini adalah al-Imam as-Syatibi. Ini kerana, beliau ada
menyatakan;
“Melihat kepada implikasi
terhadap segala perbuatan adalah perkara yang diperakui dan merupakan tujuan
secara syarak, sama ada perbuatan itu bersifat muwafaqat (melayu : selari) atau
bersifat mukhalafah (melayu : menyalahi/tidak selari). Demikian itu adalah
bahawa mujtahid tidak boleh berhukum terhadap sesuatu perbuatan dari
perbuatan-perbuatan yang disandarkan kepada mukallaf (melayu : orang yang
diberati hukum) dengan mereka melaksanakan (sesuatu tuntutan hukum) kecuali
selepas melihat kepada kesan (atau : implikasi) terhadap perbuatan tersebut”
(al-Muwafaqat)
Dalil-dalil terhadap perkara ini
adalah seperti berikut;
Antara dalil-dalil bersumber dari
nas dalam menyatakan bahawa wujudnya fiqh maalat al-‘af’al ini adalah seperti
berikut;
Pertama:
Firman Allah;
“Dan janganlah
kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka
nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan” (Surah
Al-an’am : 108)
Dari sudut hukum asal, memaki
sembahan-sembahan selain Allah adalah dibenarkan. Namun begitu, dibimbangi ia
memberi implikasi yang buruk disebalik memaki sembahan-sembahan itu, iaitu
menerima makian balas terhadap Allah SWT dari mereka, maka perkara itu diharamkan
oleh Allah SWT.
Kedua;
Daripada Abdullah bin Amr berkata
bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda; “Sebahagian dari dosa besar itu adalah
seseorang itu memaki kedua ibu bapanya”. Nabi Muhammad SAW ditanya, “Bagaimana
mungkin wujud orang yang memaki kedua ibu bapanya?”. Berkata Nabi Muhammad SAW,
“Seseorang memaki bapa seseorang yang lain, lalu dia memaki balik bapanya dan
memaki balik ibunya”.(Bukhari)
Dalam hadis ini, kelihatan Nabi
Muhammad SAW melarang seseorang memaki ibu bapa temannya. Larangan itu kerana
melihat kepada implikasi yang bakal diterima, iaitu seperti memaki ibu bapanya
sendiri.
Kedua : mereka tidak membedakan
antara Tasyrik dan Tanfiz
Jika diperhatikan kepada
kandungan fatwa-fatwa ulama salaf mahupun khalaf, didapati bahawa fatwa mereka
tidak terlepas dari dua tahapan, iaitu tasyrik dan tanfiz.
Sepertimana yang kita tahu,
syariat ini telah dilengkapkan dan disempurnakan oleh Allah SWT. Mengingkari
perkara ini hakikatnya mengingkari firman Allah SWT yang menyatakan hal ini.
Firman
Allah;
“Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku
cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu”
(Al-Maidah : 3)
Dalam
menafsirkan ayat ini, Ibnu Abbas menyatakan;
“(sempurna
itu) adalah Islam. Allah SWT memberitahu kepada Nabi-Nya SAW dan orang mukmin
bahawa Allah SWT telah sempurnakan untuk mereka keimanan mereka. Tidak perlu
kepada penambahan sampai bila-bila pun. Allah SWT telah lengkapkan, tanpa perlu
dikurangkan lagi sampai bila-bila” (Ibnu Kathir)
Ada dari satu sudut lagi perkara
yang perlu dibincangkan adalah dari sudut perlaksanaan (arab : tanfiz). Dalam
istilah yang lain, digunakan juga dengan istilah tanzil dan tatbiq. (fi
Al-Ijtihad Tanzili)
Dari sudut perlaksanaan (arab :
tanfiz, tanzil atau tatbiq), ia memerlukan kepada ijtihad juga. Ekoran itu, Dr
Basyir bin Maulud Jahish telah mengklasifikasikan perkara ijtihad ini kepada
dua, iaitu seperti berikut;
Pertama : Al-ijtihad fi al-Fahm
Kedua : Al-Ijtihad fi At-Tatbiq
(Diguna juga : at-Tanzil)
Dalam mendefinisikan maksud
al-Ijtihad fi al-Fahm (ijtihad dalam memahami nas), Dr Basyir menulis, “Adapun
al-Ijtihad fi al-Fahm, ia adalah membongkar kandungan al-khitab al-Syarie
(melayu : Percakapan syarie) bagi mengikuti percakapan penentu kepada syariat
(Allah dan Rasulullah SAW), sama ada berbentuk suruhan (Wajib atau sunat) dan
berbentuk larangan (Haram atau Makruh).
“Jalan untuk menuju kepada
perkara ini ada dua perkara;
“Pertama : membongkar semua
kefahaman secara menyeluruh (arab : Kulli) dan yang mempunyai kaitan dengannya.
Juga, menentukan hakikat-hakikatnya yang terhasil dari nas-nas (al-Quran dan
as-Sunnah). Serta, penjelasan dalil-dalilnya yang bersifat terperinci (arab :
tafsiliyyah) terhadap segala kandungan makna-maknanya melalui alat-alat
kefahaman yang diperakui. Ia dinamakan sebagai ijtihad fi Nitaq an-Nas.
“Kedua : Ijtihad dalam perkara
yang tiada nas dengan menggunakan petunjuk kaedah-kaedah umum dan maqasid
kulliyyah bagi pensyariatan. Ia mempunyai cara yang pelbagai.
Adapun ijtihad fi at-Tatbiq
(diguna juga : at-Tanzil) adalah proses amali (arab : al-Ijra’ al-‘Amali) terhadap perkara yang telah terhasil atas
tahap kefahaman yang nyata bagi hukum-hukum syarak (untuk diadaptasikan)
terhadap reality sesuatu perbuatan” (fi al-Ijtihad Tanzili)
[7]
Qaradhawi adalah antara ulama
yang mempromosikan idea wasati. Fikrah wasati adalah terhasil dari gabungan
tiga aliran pemikiran fiqh, iaitu seperti berikut;
Pertama;
Aliran Burhani, iaitu pemikiran
falsafah yang jelas-jelas lebih menekankan pada penggunaan akal dan rasional
dengan disertakan bukti-bukti yang nyata.
Kedua:
Aliran Bayani, iaitu pemikiran
kalam atau tauhid yang lebih menekankan pada teks-teks naqliah (nas al-Quran
dan as-Sunnah) dengan sedikit unsur aqliah (akal).
Ketiga:
Aliran Irfani, iaitu pemikiran
tasawwuf yang lebih menekankan pada penggunaan rasa dan dzauq dengan
bukti-bukti yang sulit dipertanggungjawabkan secara nyata.
Aliran Wasati adalah gabungan
ketiga-tiga aliran pemikiran, sedangkan aliran zahiri (literalis) adalah aliran
Bayani sahaja. Golongan Zahiri amat mudah menuduh golongan wasati sebagai
aliran liberal, walhal aliran liberal adalah aliran Burhani semata. Tuduhan
zahiri ini berlaku, kerana mereka adalah golongan Bayani yang jumud. Ini kerana, mereka tidak mempunyai kefahaman tentang aliran Burhani dan Irfani. Malahan tidak mustahil, golongan zahiri ini akan menuduh aliran burhani dan irfani ini sebagai sesat.
[8]
Dalam fiqh Politik, perkara yang
amat penting difikirkan adalah tiga perkara penting, iaitu Tempat, masa dan
kondusif. Adapun dunia kini adalah dunia global, sudah pasti segala tindakan
yang jika dilihat dari sudut literal tanpa memikirkan kepada maalat boleh
mendatangkan imej buruk kepada Islam, walhal perkara tersebut wajib dihindari.
Taliban pula bertindak tanpa
memerhatikan kepada perkara ini, ekoran itu mereka berjaya dari sudut
melahirkan pejuang-pejuang, tetapi mereka gagal mempamerkan Islam sebagai agama
adil, agama keindahan, agama kasih sayang, agama yang wajar diterima sejagat
kepada dunia.
Ekoran itu, Taliban boleh
dijadikan guru untuk melahirkan kader-kader pejuang yang berani dan bersemangat
dalam memperjuangkan Islam, tetapi mereka tidak boleh dijadikan guru dalam
pentadbiran dan politik.
Adapun Qaradhawi, beliau bukanlah
satu gerakan yang ramai, tetapi dengan fikrah yang banyak dilontar beliau
ternyata memberi implikasi baik kepada imej Islam. Beliau berjaya mempamerkan
bahawa Islam ini adalah agama kehidupan, agama kasih sayang, agama kebajikan,
agama yang tidak menafikan hak dan seumpamanya. Fikrah sebegini perlu disebar
luaskan, supaya suatu masa nanti Islam berjaya menjadi agama yang diterima,
bukan dikalangan Muslim sahaja, tetapi
dikalangan non Muslim juga.
Sekian
1 ulasan:
terbaik! terbaik! terbaik!!!
Catat Ulasan