Layang-layang terbang
naik ke udara. Terbangnya begitu menarik, tidak seperti kekabu bantal yang
terbang. Kekabu terbang hanya mengikut tiupan angin. Ia akan ke kanan, jika
angin bertiup ke kanan. Ia akan ke kiri jika angin bertiup ke kiri. Keadaan ini
berbeda dengan layang-layang terbang, kerana ia agak terarah. Semuanya berpunca,
layang-layang mempunyai tali yang dipegang oleh manusia.
Dalam keadaan
begitupun, ada ketika tali layang-layang boleh terputus. Maka terbanglah layang-layang
seperti kekabu. ia akan menjadi tidak terarah, malahan lebih teruk keadaannya
berbanding kekabu. Namun apakan daya, tali telah terputus, tidak dapat dibantu
lagi.
Begitujuga kehidupan
manusia di dunia. Ia ada hidup bagaikan kekabu, dan ada hidup seperti layang-layang
yang bertali. Manusia ditetapkan qada’ dan qadarnya sepertimana tiupan angin
terhadap layang-layang. Tetapi, manusia akan terarah apabila mereka diikat
dengan tali akal yang dipandu oleh pemegang tali, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Ada manusia yang tali
akalnya terputus, maka jadilah dia gila. Ada manusia yang talinya tidak
terputus, tetapi sengaja dilepaskan oleh pemegang talinya, iaitu mereka tidak
mahu mengikut sumber wahyu ilahi. Makanya, mereka hidup terumbang ambing,
sepertimana kekabu.
Hidup sebagai kekabu,
sentiasa diharapkan kasih sayang-Nya. Ini kerana, Allah SWT tidak akan mengazab
kepada mereka yang tidak didatangkan Rasul, sepertimana yang termaktub dalam
surah al-Isra’, ayat 15. Makanya, mengharapkan kasih sayang Allah terhadap
mereka yang tidak diberikan akal agar diberikan kebahagiaan hidup di alam
akhirat kelak. Begitujuga, bagi mereka seperti layang-layang yang terputus
talinya.
Namun, terserahkan
kepada kasih sayang Allah bagi mereka yang sengaja tidak memegang tali
layang-layang itu. Ini kerana, ia sudah diberikan peluang oleh Allah untuk
talinya dipegang, tetapi diabaikan oleh manusia itu sendiri.
Walaubagaimana pun,
disamping kita tidak lupa akan kemurkaan-Nya, kita tetap mengharapkan kasih
sayang ilahi, ini kerana, sayang tuhan itu melebihi kemurkaan-Nya. Firman Allah
yang bermaksud, “azab-Ku diberikan kepada siapa yang dia mahu dan rahmat-Ku
luas melepasi semua perkara” (al-‘araf, ayat 156)
Wallahu ‘Alam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan