PERBAHASAN TIGA : HUKUMAN MURTAD
Dalam perbahasan di sini, dibahaskan dalam beberapa perkara,
iaitu seperti berikut;
PERKARA SATU : DEFINISI
Dalam klausa 23 (1) Rang Undang-Undang Hudud Kelantan
menyatakan;
“Irtidad ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan dan perkataan
yang disebutkan oleh seorang islam yang mukallaf yang mana perbuatan atau
perkataan itu mengikut hukum syarak adalah menjejaskan atau berlawanan dengan
aqidah ugama Islam:
Dengan syarat bahawa perbuatan itu dilakukan atau perkataan
itu disebutkan dengan niat, dengan sukarela dan dengan pengetahuan dan tanpa
apa-apa paksaan oleh sesiapa atau oleh keadaan”
Dalam klausa 23 (2) pula menyatakan;
“perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang
menjejaskan aqidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan
mengenai atau bersabit dengan perkara asas yang dianggap mesti diketahui dan
dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan umumnya kerana dia
orang islam seperti perkara rukun islam, rukun iman dan perkara-perkara halal
dan haram”
Definisi ini seiras-iras dengan apa yang termaktub dalam
Qanun Jinayah Syar’iyah, Karangan Bekas Mufti Sabah. Dalam Fasal keenam, perkara
84 dinyatakan;
“(murtad) Ialah sesuatu perbuatan yang dilakukan atau
perkataan yang disebutkan oleh seseorang islam yang mukallaf di mana perbuatan
atau perkataan itu menyebabkan seseorang tadi keluar dari agama Islam.
Dalam perkara 85 (a)(b)(c) pula menyatakan;
“seseorang islam boleh menjadi murtad ialah disebabkan salah
satu dari perkara-perkara berikut;
(a)
Disebabkan iktiqad (kepercayaan)
(b)
Disebabkan perbuatan yang sengaja.
(c)
Disebabkan perkataan yang sengaja.
Dalam definisi murtad dalam rang undang-undang hudud kelantan
ini, dapat difahami bahawa ia adalah seperti berikut;
1-
Murtad juga adalah orang yang menggunakan perbuatan
dan perkataannya yang boleh menjejaslan aqidah Ugama Islam
2-
Mempertikai perkara yang DIANGGAP DAN DIPERCAYAI diketahui
dalam agama secara pasti oleh umum orang islam.
3-
Dalam definisi ini juga, orang yang menggunakan perkataan
dan perbuatannya untuk bermain-main dan menghina perkara agama boleh dikira
sebagai murtad.
4-
Murtad itu adalah seseorang yang mengiktiraf dirinya
keluar dari Islam dengan pengetahuan dirinya dan tanpa dipaksa.
Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan,
iaitu;
1-
Apakah munafiq, pelaku bidaah dan pelaku khurafat
dikira sebagai murtad atau tidak?
Ini kerana, nifaq adalah sifat yang
terlahir dalam bentuk perkataan dan perbuatan yang boleh menjejaskan Aqidah. Menurut
Fakhr al-Din al-Razi, nifaq ini ada dua bentuk, iaitu nifaq dari sudut I’tiqad
atau aqidah yang diletakkan pada empat ketagori, iaitu iktiqad disertai
pengetahuan atau taqlid atau kejahilan atau sememangnya hatinya kosong. Dan satu
lagi adalah nifaq dari sudut perkataan atau lisan yang diletakkan pada tiga
ketagori, iaitu Iqrar, ingkar dan diam. (al-Tafsir al-Kabir, jld 1, hlmn 329)
أعلم
أن الكلام في حقيقة النفاق لا يتخلص إلا بتقسيم نذكره فنقول : أحوال القلب أربعة ،
وهي الاعتقاد المطابق المستفاد عن الدليل وهو العلم؛ والاعتقاد المطابق المستفاد لا
عن الدليل وهو اعتقاد المقلد ، والاعتقاد الغير المطابق وهو الجهل ، وخلو القلب عن
كل ذلك . فهذه أقسام أربعة ، وأما أحوال اللسان فثلاثة : الإقرار؛ والإنكار ، والسكوت
Jika diperhatikan dalam al-Quran,
khususnya dalam surah al-Baqarah, Allah SWT sendiri menyatakan bahawa orang
Munafiq itu sebenarnya tidak beriman, yang sudah pasti rosak aqidahnya. Dalam ayat,
Allah SWT nyatakan bahawa mereka mendakwa bahawa mereka beriman dengan Allah
dan hari akhirat, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman. (Surah al-Baqarah,
ayat 8)
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ آَمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ
الْآَخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِينَ
Allah SWT juga nyatakan bahawa sifat mereka adalah
bermain-main dengan hukum Allah dan menghinanya. Ini sepertimana dalam surah
al-Baqarah, ayat 14.
وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آَمَنُوا قَالُوا آَمَنَّا وَإِذَا
خَلَوْا إِلَى شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ
Sepertimana kita tahu, orang munafiq
didefinisikan sebagai orang yang kufur dalam hatinya, tetapi dilihat sebagai
islam. Kadangkala, dalam keadaan tertentu, perkataannya terzahir dengan cara
mereka bercakap. Sepertimana Allah SWT nyatakan dalam surah Muhammad, ayat 30;
وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ
وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ
Juga, terhadap pelaku bidaah dan
khurafat, apakah boleh dikira sebagai murtad. Ini kerana, amalan bidaah dan
khurafat, sudah pasti dikira sebagai tindakan yang disifatkan sebagai menyanggahi
agama sehinggakan ia disifatkan nabi SAW sebagai sesat. (Sunan Abi Daud, hadis
no : 3991, Sunan Nasai, hadis no : 1560)
فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ
وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Secara pastinya yang diketahui umum bahawa orang munafiq
tidak dikenakan hukuman murtad.
2-
Aqidah aliran mana?
Apabila disebut aqidah ugama Islam, ia sudah pasti melibatkan
dengan perbincangan teologi. Ekoran itu, apakah tafsiran aqidah yang
dimaksudkan, tidak dinyatakan dalam klausa ini. Apakah semua yang menyanggahi
aqidah asyairah, atau aqidah maturidiyyah, atau salafiyyah, atau wahabiyyah
mujassimah dan sebagainya itu dikira sebagai murtad.
Ini kerana, sifat dalam klausa tersebut menyebut aqidah islam
secara umum. Tidak ditentukan aqidah mana. Makanya, ia akan melahirkan polemik.
Iaitu dibimbangi kalau kerajaan itu diperintah oleh pemimpin asyairah,
memungkinkan klausa ini digunakan untuk menghukum murtad kepada orang
salafiyyah wahabiyyah; kalau kerajaan itu diperintah oleh pemimpin salafiyyah
wahabiyyah, dihukum murtad kepada orang yang beraqidah asyairah dan sebagainya.
ini kerana, semua aliran-aliran ini mendakwa bahawa mereka beraqidah dengan
aqidah ugama Islam.
Makanya, perlu dinyatakan lebih nyata dan jelas seperti
menyatakan maksud dengan aqidah itu adalah perkara yang aqidah yang disepakati
oleh umat Islam atau seumpamanya, supaya tidak menjadikan undang-undang ini
sebagai cara untuk melakukan kezaliman kepada pihak yang tidak sehaluan.
3-
Orang jahil tentang agama ekoran dikelirukan.
Dalam klausa itu juga ada menyatakan bahawa dikira sebagai
orang yang murtad bagi orang menggunakan perbuatan-perbuatan atau
perkataan-perkataan yang menjejaskan aqidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau
perkataan-perkataan mengenai atau bersabit dengan perkara asas yang dianggap
mesti diketahui dan dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan
umumnya kerana dia orang islam.
Apabila digunakan kalimah “dianggap” dan “sebagai pengetahuan
umum”, ia akan melahirkan polemik yang agak rumit juga. Iaitu, melibatkan orang
islam yang tidak kenal Islam, tetapi mengeluarkan pendapat yang menyanggahi
Islam dari pengetahuan umum, sudah pasti dia sudah dikira sebagai orang yang
murtad. Dia mengeluarkan pendapatnya itu, sama ada disebabkan pandangan
intelektualnya atau disebabkan keraguan-keraguan yang sedang bermain-main dalam
dirinya.
Makanya, dalam rang undang-undang hudud, ia diselesaikan
dengan klausa 23 (3) yang menyatakan;
“sesiapa yang
disabitkan melakukan kesalahan irtidad, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke
atasnya dikehendaki oleh mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak
kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah.
Dalam klausa 23(4) pula;
“sekiranya
dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap
perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka mahkamah
hendaklah mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya
hartanya sama ada diperoleh sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu
dirampas untuk dipegang bagi keperluan baitul Mal”
Melihat kepada kluasa ini, kita akan dapati ada beberapa
perkara yang perlu dibincangkan, iaitu;
1-
Apakah dengan menyuruh dia bertaubat selama lebih tiga
hari itu sudah menyelesaikan masalah?
Ini kerana, secara pengalamannya sudah banyak kita berjumpa
dengan manusia sukar untuk memahami sesuatu perkara yang walaupun belajar lebih
40 tahun dan seumpamanya. Keadaan ini membenarkan apa yang disebut oleh Nabi
SAW dalam hadis bahawa tugas Nabi SAW itu adalah menyampaikan ilmu, sedangkan
mencampak kefahaman itu adalah tugasan Allah SWT. (saheh al-Bukhari, hadis no :
69)
مَنْ يُرِدْ
اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللَّهُ
يُعْطِي
Apabila ini berlaku, ia memungkinkan dikenakan hukuman bunuh
kepada orang yang dilahirkan sebagai “bodoh” dan “tidak bijak” yang dilahirkan
dari keluarga muslim atas kesalahan murtad. Ia sudah pasti, melahirkan problem
yang selanjutnya, iaitu islam adalah agama yang tidak meraikan kelemahan sememangnya
wujud diri seseorang manusia, sedangkan Islam tidak sekali-kali begitu.
KESIMPULAN
Definisi murtad ini, wajar diperhalusi balik dan perlu
diberikan definisi yang lebih kemas dan tidak boleh membuahkan tafsiran yang
tidak sewajarnya, kerana bimbang hukuman bunuh akan dikenakan kepada mereka
yang tidak bersalah dengan menggunakan alasan klausa-klausa ini.
PERKARA DUA : HUKUM BUNUH MURTAD
Bersambung ….. (smile, peace…. :D )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan