Khamis, 4 Jun 2009

USRAH SMS : SIRI 2 : HARAM KAHWIN ADIK BERADIK SUSUAN


USRAH SMS : SIRI 2

Tajuk perbincangan;

“apa hikmatnya Allah haramkan kahwin dengan adik beradik susuan? Kalau ada pandangan, tolong balas sms ini.”

Respon;

Dr Hafiz An-Nur;

Ha yang ini saya ada idea.. dari sudut perubatan la yang saya rasa.. biasanya kalau mak atau ayah ada penyakit genetik, pastu dapat kat anak-anak.. kalau sesama adik beradik kahwin, potensi untuk dapat penyakit itu lagi besar daripada kahwin dengan orang yang tak ada penyakit.. itulah pendapat saya...

Dr Saiful;

pada pandangan ana ustaz.. dari segi logik akalnya, untuk jaga keturunan.. tp dari segi sainsnya.. kalau kahwin dengan adik beradik susuan.. membolehkan mendapat resiko anak yang dilahirkan cacat.. contoh.. congenital heart disease, sindrom down, mental retardatin dll.

Lagi:

kalau ustaz nak tahu lebih lanjut, ustaz cuba taip consanguinity kat internet.. insya Allah ada..

Dr Najua :

salam.. memang saya sure dari sudut sebab-sebab Islam ustaz lagi arif.. tapi saya rasa la kan.. dalam susu ibu ada imunity dan ada juga penyakit yang boleh merebak melalui susu ibu.. sebab-sebab Allah tak bagi kahwin, takut-takut pasangan itu akan dapat imunity yang sama terhadap penyakit-penyakit.. nanti zuriat lemah.. tak boleh berkembang dengan sihat dan elok...

Dr Hakem;

http://doktorbonot.blogspot.com/2009/06/tak-boleh-kahwin.html

sekian

p/s : perbincangan ini berlaku melalui sms.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
5 jun 2009 * 7:32 pagi

TAJDID TARBIYYAH ERA PAKATAN RAKYAT

TAJDID TARBIYYAH ERA PAKATAN RAKYAT

Dua hari lepas, aku ke wangsa maju. Berjumpa dengan Rosli yang matanya buta, tetapi mempunyai ketajaman dalam menganalisa sesuatu isu dan hujjah.

Aku kagum dengan rosli. Walaupun beliau seorang yang buta, tetapi idea-idea yang beliau kemukakan amat bernas, dan kadang-kala idea itu apabila dilontarkan menyebabkan aku termenung berfikir.

Baru-baru ini, selepas menyampaikan satu kuliah maghrib di salah sebuah surau di sekitar selangor, aku telah pergi ke wangsa maju untuk ”lepak” dengan rosli. Dalam ”lepak” kami itu, kami berdiskusi berbagai isu yang berkaitan dengan dakwah islamiyyah.

Antara perkara yang dibicarakan adalah tentang keterbukaan PAS dengan membuka keahlian PAS kepada non Muslim.

Beliau menyatakan, idea membuka keahlian PAS kepada non Muslim adalah tindakan yang bijak, sesuai dengan kehendak keadaan semasa. Pun begitu, beliau mengandaikan keburukan dimasa akan datang akan berlaku, jika tidak dilakukan beberapa tindakan tambahan, termasuk dalam silibus-silibus usrah.

Beliau bertanya kepadaku, apakah wujud dalam silibus usrah PAS yang membicarakan tentang ”fiqh Aqalliyyat” (terjemahan : fiqh Minoriti)? Aku menjawab, tidak ada.

Beliau menyebut, ketidak wujudnya fiqh Aqalliyyat dalam perbincangan usrah-usrah PAS di kala mengizinkan non muslim menjadi ahli PAS akan membawa masalah besar di masa akan datang.

Mendengar lontaran idea itu, aku termenung berfikir. Aku merasakan, lontaran idea itu amat bernas dan wajar difikirkan bersama, lebih-lebih lagi pimpinan PAS yang memegang jawatan tinggi dalam lajnah tarbiyyah.

TAJDID TARBIYYAH

Tarbiyyah PAS masih lagi boleh disifatkan sebagai konsep dakwah nabi di ”marhalah makkiyyah”. Ekoran itulah, kita akan dapati banyak teks-teks usrah PAS yang bersifat perbicaraan aqidah, juga fikrah.

Pun begitu, jika kita perhatikan kepada konsep dakwah nabi SAW. Di marhalah madaniyyah, konsep dakwah Nabi SAW tidak sama seperti di Marhalah makkiyyah lagi.

Di marhalah madaniyyah, usaha penerangan Islam dalam bentuk dakwah bil lisan dan dakwah bil hal menjadi agenda utama Nabi SAW, dengan bertindak dalam bentuk yang agak keterbukaan.

Ekoran itulah, kita akan dapati. Antara tindakan yang memberikan kejayaan besar kepada dakwah nabi SAW adalah, apabila kejayaan nabi SAW mengislamkan sebilangan besar orang-orang yahudi dan nasrani dengan hujjah-hujjah ilmiyyah yang disandarkan kepada wahyu ilahi.

Siapa yang tidak kenal Abdullah bin salam yang merupakan salah seorang dari sepuluh orang sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau berbangsa Bani Israel dan asalnya beragama yahudi. Beliau memeluk Islam dengan sebab terpaksa mengakui kebenaran hujjah Islam yang dikemukakan oleh Nabi SAW.

Begitujuga, ’Adi bin Hatim yang beragama nasrani. Beliau memeluk Islam sehingga boleh dikatakan beliau antara orang yang dirujuk dalam mengetahui sesuatu hadis Nabi SAW.

Melihat perubahan dakwah nabi SAW itu, kita perlu belajar. Iaitu, perlunya ada agenda perubahan dalam tarbiyyah PAS. Perbicaraan tentang fikrah memang penting, tetapi fikrah yang kita bicarakan itu hendaklah tidak melahirkan “pandang sinis” kepada mereka yang tidak sealiran dengan fikrah PAS, malah ia perlu bersifat toleransi dan bisa “duduk semeja” berbincang dengan aliran-aliran fikrah Islam yang lain, dalam usaha mendaulatkan Islam dalam negara.

Begitujuga, silibus tarbiyyah perlu diadakan penambahan, dengan ditambahkan beberapa buku yang bisa mencernakan minda para dai’. Perbincangan yang berbentuk “di luar kotak” dalam usrah perlu dilakukan. Ia bertujuan, melahirkan pemikiran kritis dan kreatif dalam menghadapi mehnah di masa akan datang dalam membawa agenda dakwah islamiyyah.

Secara peribadi, aku berpandangan. Jika ini berjaya di laksanakan, di masa akan datang, tidak mustahil PAS akan menjadi parti yang mendominasi negara dalam pemerintahan – insya Allah -.

Sekian

p/s : aku mencadangkan pihak PAS mengadakan program wacana atau seminar terhadap pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmi, pemikiran Prof Zulkifli Muhammad dan pemikiran Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana, sekadar bacaanku tentang ketiga-tiga tokoh ini, didapati agenda perubahan yang dilancarkan oleh mereka banyak memberi kesan kepada kejayaan PAS pada masa kini.

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 jun 2009 * 6:10 petang

Rabu, 3 Jun 2009

ANTARA TIPU DAN BENAR

GOMBAK: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang dilabel "sebagai terlalu liberal ke arah Umno" susulan pilihan raya umum 2008, hari ini menegaskan, kepimpinan parti itu tiada niat langsung untuk sertai Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya ambil kesempatan di sini untuk sekelian kalinya menegaskan bahawa pemimpin tertinggi parti tidak pernah punya sebarang niat atau perancangan untuk masuk Umno atau BN.

KOMEN:

Betul tu... mana ada agenda nak masuk UMNO, yang ada agenda nak gabung dengan UMNO. Justeru, tuduhan itu adalah fitnah semata-mata.

Yang ada hanyalah, pertemuan sulit dengan Pak Lah, juga bersama beberapa tokoh dalam UMNO secara sembunyi-sembunyi. Perkara ini, tidak boleh diberitahu kepada ahli-ahli PAS, hatta terhadap Mursyidul Am. Ini kerana, memberitahu kepada ahli PAS dan Mursyidul Am memberi maksud "tidak wala'".

Memberi Wala' adalah wajib syarii, malah tipu ahli PAS dan rakyat Malaysia juga tidak menjadi salah, bahkan ia adalah syarii di sisi agama.

Ahli PAS tidak wajar tahu? Sebab nanti ahli PAS bising, mengakibatkan bocor rahsia. UMNO tahu tidak mengapa, sebab UMNO adalah kawan baik, dia akan jaga rahsia kita sampai kiamat.

Pertemuan dengan Pak Lah, itu adalah benar. Penafian selepas itu adalah tipu. Kenyataan hari ini - tiada usaha gabung dengan UMNO - adalah benar. Tetapi tidak diketahui, apakah wujud penafian berbentuk tipu selepas ini?? Allah lebih mengetahui.. diharap, kita orang beriman tidak ditipu kali kedua, sebab mukmin yang kuat tidak akan disengat ular dari satu lubang sebanyak dua kali.

sekian

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 mei 2009 * 2 :07 pagi


KALAU PAS GABUNG DENGAN UMNO (UMPAS)???


KALAU PAS GABUNG DENGAN UMNO (UMPAS)???

Aku amat membenci sebarang usaha untuk menggabungkan PAS dengan UMNO. Tidak kira, orang yang mengusahakan itu berstatus ulama, mahupun professional.

Pada hari ini, aku cuba berfikir untuk menerima PAS bergabung dengan UMNO yang diusahakan oleh sebilangan pihak.

Mungkin kita tidak terfikir, apa akan jadi jika PAS bergabung dengan UMNO. Setelah aku fikirkan, antara perkara yang akan berlaku adalah seperti berikut;

a) Atas nama setiakawan, pimpinan PAS diperingkat pusat mengeluarkan surat pekeliling agar semua ahli PAS tolong kempen untuk menangkan calon UMNO dalam PRU ke 13.

b) Sudah pasti, tidak akan kedengaran lagi istilah pondok panas PAS. Malah, semua ahli PAS diarahkan oleh pimpinan BN agar tidak naikkan bendera parti, tetapi naikkan bendera BN.

c) Tuan Guru Haji Abdul Hadi dilantik menjadi Timbalan Presiden BN.

d) Semua ahli PAS di arah memberi wala’ kepada Najib Tun Razak yang mempunyai kaitan dengan skandal pembunuhan Altantuya. Diarahkan sedemikian kerana Najib adalah Perdana Menteri Malaysia.

e) Dalam muktamar agong PAS, dilihat Najib Tun Razak dijemput hadir; dan beliau dijemput sebagai perasmi muktamar PAS sepertimana Najib merasmikan perhimpunan agong parti-parti komponen BN yang lain.

f) Dll.

Jika difikirkan balik, rasa macam jijik jer. Pun begitu, semua perkara ini tidak mustahil boleh berlaku. Itupun tertakluk kepada undian-undian perwakilan dalam muktamar PAS dalam dua tiga hari ini.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
4 mei 2009 * 1:20 pagi.

Selasa, 2 Jun 2009

PERGI TAK KEMBALI : SIRI 4 : SALAM DAN RATAP KEMATIAN


SALAM DAN RATAP KEMATIAN

Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Muhammad bin Qais R.A yang bercerita bahawa satu malam ketika Nabi SAW pulang ke rumah Aisyah, Nabi SAW mendapat Aisyah sudah tidur. Melihat keadaan itu, menyebabkan Nabi SAW keluar dari rumah semula dan terus menuju ke kubur Baqi’.

Ketika Nabi SAW berada di kubur Baqi’, Nabi SAW terperasan satu kelibat manusia dalam gelap, menyebabkan Nabi SAW telah mengekori kelibat itu. Apabila sampai di rumah Aisyah, baru Nabi SAW mengetahui bahawa kelibat manusia yang Nabi SAW nampak itu adalah isterinya, Aisyah R.Ha.

Aisyah bertanya kepada Nabi SAW, mengapa baginda pergi ke kubur pada waktu malam yang gelap itu. Mendengar soalan itu, menyebabkan Nabi SAW berkata bahawa kehadiran baginda di tanah perkuburan Baqi’ itu adalah perintah dari Allah SWT agar Baginda SAW dalam mendoakan keampunan dosa untuk mereka.

Aisyah bertanya lagi, bagaimana cara untuk mendoakan keampunan dosa untuk ahli kubur. Nabi Muhammad SAW terus bersabda;

قُولِي السَّلَامُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنْ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلَاحِقُونَ

Maksudnya;
“Katakanlah, selamat sejahtera ke atas orang yang menetap di tempat ini (tanah perkuburan) dari kalangan orang mukmin dan orang Muslim. Mudah-mudahan Allah merahmati golongan yang telah awal kembali, juga orang yang kemudian kembali berbanding kami. dan sesungguhnya kami – dengan kehendak Allah – akan mengekori kamu
[1]

Nyata dari hadis yang diungkapkan ini bahawa menziarahi kubur adalah perkara sunnah. Tujuan penziarahan tersebut adalah untuk mengingati mati.

Disamping itu juga, menjadi perkara sunat di kala masuk ke kawasan perkuburan, diucapkan salam. Perkara ini dilihat kepada hadis yang tersebut di atas.

Pun begitu, memberi salam itu disunatkan kepada jenazah orang muslim dan mukmin. Adapun jenazah orang kafir, adalah dilarang mengucapkan salam, begitujuga memberi salam kepada jenazah orang munafiq
[2].

MERATAP KEMATIAN

Meratapi atas kematian adalah sesuatu yang dilarang oleh Syariah Islamiyyah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud, Sabda Nabi SAW;

ليس مِنَّا من ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَةِ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya;
“Bukan dari kalangan kami, mereka yang memukul muka, mengoyakkan baju dan menyeru dengan seruan jahiliyyah
[3]

Didalam Kamus Dewan, meratap bermaksud, “menangis sambil mengeluarkan kata-kata, mengeluh (sambil menjerit, menangis dll)”
[4]

Mengeluh dengan kematian seseorang adalah sesuatu yang diharamkan oleh Syariah dan dibawah katagori amalan-amalan jahiliyyah.

Daripada Abdullah bin Mas’ud juga, Sabda Nabi SAW;

إيَّاكُمْ وَالنَّعْيَ فإن النَّعْيَ عَمَلُ الْجَاهِلِيَّةِ

Maksudnya;
“jauhi dirimu dari ‘an-na’yu’, kerana ‘an-na’yu’ adalah amalan jahiliyyah
[5]

Menurut Imam As-Syaukani, ‘an-na’yu’ didalam bahasa arab bermaksud, memberi khabar kepada manusia tentang kematian.

Adapun maksud ‘an-na’yu’ didalam istilah syariah adalah, “mengkhabarkan kepada manusia atas kematian seseorang disertai dengan kesedihan dan menyebut dengan musibah yang akan menimpa
[6]

Memahami makna ‘an-na’yu’ mengikut istilah syariah, difahami bahawa ‘meratapi’ keatas kematian adalah amalan yang diharamkan oleh Syariah Islamiyyah.

Adapun memberi khabar kepada manusia dengan kematian atas tujuan untuk menjemput untuk hadir menunaikan solat Jenazah atau sebagainya, maka itu tidak dibawah katagori amalan jahiliyyah yang diharamkan, bahkan ianya adalah diharuskan didalam Islam.

Ini berdalilkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW memberi tahu kepada kami tentang kematian tiga orang ketua yang terbunuh didalam satu peperangan, iaitu Zaid bin Harithah, Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawwahah
[7].

Juga, Rasulullah SAW memberitakan tentang kematian raja An-Najasyi pada hari tersebut.
[8]

APAKAH MENANGISI KEMATIAN SI MATI ADALAH PERKARA YANG DIHARAMKAN?

Menangisi atas kematian yang diharamkan adalah, menangis yang disertai dengan suara. Adapun menangisi kematian seseorang dengan kadar menitiskan air mata sahaja, maka itu tidak diharamkan oleh Islam.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf, ketika kematian Ibrahim, iaitu salah seorang anak-anak Rasulullah SAW. Berkata Abdur Rahman bin Auf;

أخذ النبي (ص) بيدي فانطلقت معه الى ابنه ابراهيم وهو يجود بنفسه قال فأخذه النبي (ص) ووضعه في حجره حتى خرجت نفسه قال فوضعه ثم بكى فقلت تبكي يا رسول الله وأنت تنهى عن البكاء فقال إني لم أنه عن البكاء ولكن نهيت عن صوتين أحمقين فاجرين صوت عند نعمة لهو ولعب ومزامير شيطان وصوت عند مصيبة لطم وجوه وشق جيوب وهذه رحمة ومن لا يرحم لا يرحم

Maksudnya;
“telah memegang oleh Nabi akan tanganku, lalu aku pergi bersama Baginda kepada anaknya, iaitu Ibrahim yang sedang nazak. Lalu mengambil oleh Nabi SAW akan Ibrahim dan meletakkannya pada pangkuan Baginda hingga menitis air mata baginda SAW. Lalu aku (Abdur Rahman) berkata, Wahai Rasulullah SAW, kamu menegah dari menangis. Menjawab Baginda SAW, aku tidak menegah kamu dari menangis, tetapi aku melarang dua suara yang hodoh, iaitu suara nikmat kelalaian dan seruling Syaitan dan suara ketika ditimpa musibah, memukul muka dan mengkoyak baju. Adapun ini (menitis air mata tanpa suara ketika kematian) adalah tanda kasih sayang dan barangsiapa yang tidak belas kasih, nescaya dia tidak dibelas kasih
[9]

Dari hadis ini menjelaskan maksud sebenar larangan menangis yang dimaksudkan oleh nabi ketika kematian, adalah menangis yang boleh melahirkan suara atau dinamakan juga dengan “meratap” seperti diperbahasan lepas.

APAKAH SI MATI AKAN DIAZAB DENGAN RATAPAN ORANG YANG MASIH HIDUP?

Si mati tidak diazab dengan ratapan orang yang masih hidup. Ini berdasarkan kepada firman Allah;

وَلا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Maksudnya;
“seseorang yang berdosa tidak menanggung dosa orang lain”

(surah al-Isra’ : 15)

Adapun maksud hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Omar, iaitu sabda Nabi SAW;

إنَّ الْمَيِّتَ يُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ

Maksudnya;
“sesungguhnya si mati di azab dengan sebab tangisan ahli keluarganya”
[10]

Melihat kepada zahir hadis ini, seakan-akan Rasulullah SAW menyatakan azab kepada si mati disebabkan ratapan yang dilakukan oleh orang yang masih hidup.

Walaubagaimanapun, menurut As-Syaikh Idris Al-Marbawi didalam kitabnya “Bahrul Mazi”, beliau mengatakan bahawa, yang dimaksudkan si mati akan diazab dengan sebab tangisan atau ratapan ahli keluarganya adalah sekiranya si mati itu menyuruh atau redha dengan perbuatan menangisi dan meratap atas kematiannya
[11].

Pandangan As-Syaikh Idris Al-Marbawi ini bersesuaian dengan hujjah yang dikemukakan oleh Abu Hurairah yang dinukilkan oleh Imam As-Syaukani didalam kitabnya “nail al-awtar”
[12].

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 mei 2009 * 12:59 tengahari





[1] Sahih Muslim : 1619
[2] Syarh An-Nawawi ‘Ala Muslim : 3/401
[3] Nail al-Awtar , karangan Imam As-Syaukani : (4/155) saheh al-Bukhari (1/435) hadis no :1232.
[4] Kamus Dewan , edisi ketiga ; hlmn 1109
[5] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/96)
[6] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[7] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[8] Nail al-awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/97)
[9] Majma’ az-Zawaid, karangan Ali bin Abi Bakar al-Haisami (3/17)
[10] Nail al-Awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/155)
[11] Bahrul Mazi, As-Syaikh Idris Al-Marbawi (7/134)
[12] Nail Al-Awtar, karangan Imam As-Syaukani (4/156)

ABU HANIFAH DAN HUJJAH AQLI

Tok guru Nik Abdul Aziz adalah antara tokoh politik islam yang bijak berhujjah dengan hujjah aqli

ABU HANIFAH DAN HUJJAH AQLI

Dalam kedamaian kota Baghdad, Imam Abu Hanifah keletihan. Keletihan menyampaikan siri pengajian kuliah ilmu hadis yang menjadi rutin harian beliau yang dihadiri ribuan murid.

Selesai menyampaikan kuliah tersebut, Imam Abu Hanifah bersandar di salah sebuah tiang masjid Baghdad sambil mulutnya terkumat kamit berzikir. Menunggu masuknya waktu solat Fardu zohor.

Beliau tidak berehat di rumah, malah jika tidak menyampaikan kuliah pun, beliau pasti akan hadir awal ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah seperti yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

Imam Abu Hanifah memahami hadis Nabi SAW yang berbunyi;

صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya;
“Solat Jemaah itu lebih afdhal berbanding solat bersendirian sebanyak 27 kali darjat”

***

“Allahu Akbar, Allahu Akbar…”

Kedengaran suara azan bergema keluar dari mihrab muazzin masjid Baghdad yang berada disebelah kanan mimbar masjid. Suara merdu muazzin masjid Baghdad itu menyebabkan hati Imam Abu Hanifah sayu, mengingatkan perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam usaha membebaskan manusia dari belenggu kejahilan.

Selesai azan dikumandangkan, Imam Abu Hanifah terus bangun untuk menunaikan solat sunat zohor Qobliyyah. Selepas menunaikan solat sunat, solat zohor secara berjemaah ditunaikan dengan beliau sendiri menjadi imam.

Selesai dari berdoa selepas menunaikan solat berjemaah itu, ramai yang bersalaman tangan dengan Imam Abu Hanifah. Tidak ketinggalan juga, mereka yang sempat berpeluk dengan beliau, dengan harapan mahu menumpang berkat. Beliau tidak menghampakan mereka, malah memberikan layanan yang baik terhadap mereka yang menghormati beliau.

Kemudiannya, beliau menunaikan solat sunat zohor Ba’diyyah pula. Selepas solat sunat, beliau berzikir ringkas dan berdoa yang nampaknya agak panjang sedikit.

Selesai berdoa, Imam Abu Hanifah mahu bangun untuk pulang kerumah; untuk berehat. Belum sempat beliau bangun, segerombolan orang-orang berfahaman Khawarij yang tinggal di Baghdad telah datang dan menghunuskan pedang mereka ke tengkok Imam Abu Hanifah.

“wahai Abu Hanifah, kami ingin bertanya kepada kamu dua persoalan. Kalau kamu memberi jawapan yang memuaskan hati kami, kami akan lepaskan kamu. Tetapi, jika kamu memberi jawapan yang tidak memuaskan hati kami, kami akan memancung kepala kamu” mereka memulakan perbicaraan dengan nada yang agak kurang ajar dan keras.

Golongan khawarij adalah golongan yang mendakwa bahawa tidak ada istilah syurga bagi orang yang berdosa besar. Pada mereka, orang yang berdosa besar adalah kafir, sepertimana kafirnya orang-orang yang menyembah berhala, lantaran itu, mereka meletakkan satu keyakinan, orang yang berdosa besar adalah ahli neraka.

Melihat kepada pedang yang terhunus, disamping suara keras yang mereka ungkapkan itu, menyebabkan sedikit gementar wujud dalam diri Imam Abu Hanifah.

Makanya, beliau berkata, ”tolong sarungkan pedang kamu itu, kerana ia menyebabkan hatiku terganggu dari menjawab soalan-soalan yang kamu mahu kemukakan nanti”

”Mana mungkin kami mahu menyarungkan pedang ini, sedangkan kami berkeyakinan bahawa kami akan mendapat pahala yang cukup besar jika kami ”menyarungkan” pedang ini ke tengkok kamu” jawab mereka degil dengan nada yang sombong.

Kebiadapan yang ditunjukkan itu, menyebabkan lahir perasaan berani dalam diri Imam Abu Hanifah. Dengan seberani pendekar, Imam Abu Hanifah bersuara, ”kalau macam tulah kehendak kamu, hunuskan pedang itu ketengkokku dan kemukakan dua soalan yang kamu mahukan itu”

Mendengar sahutan bernada berani Imam Abu Hanifah itu, maka mereka mula bertanya, ”dua orang jenazah; satunya, seorang lelaki yang minum arak lalu dia mati dalam keadaan dia mabuk. Dan satu lagi, seorang perempuan yang mengandung anak zina, lalu mati sebelum dia bertaubat. Apakah kedua-dua orang ini kafir atau muslim?”

Tujuan mereka bertanya dengan soalan ini adalah untuk mendengar jawapan Imam Abu Hanifah yang bermazhab Ahli Sunnah wa Al-Jamaah tentang status kedua-dua jenazah itu sebagai muslim, sedang perkara ini berbeda sama sekali dengan fahaman mazhab Khawarij yang beranggapan orang yang berdosa besar itu adalah kafir. Justeru, dua soalan yang ditimbulkan itu, sememangnya dengan tujuan, mereka mahu memenggal kepala Imam Abu Hanifah.

Pun begitu, mendengar soalan dari golongan khawarij itu, menyebabkan Imam Abu Hanifah bersuara.

”daripada puak manakah dua manusia itu?” soal Imam Abu Hanifah. ”apakah mereka itu dari kalangan yahudi, atau nasrani?” sambung beliau lagi.

”tidak” jawab golongan khawarij itu serentak.

”kalau begitu, sudah pasti mereka berdua dari kalangan majusi?” soal Abu Hanifah lagi.

”pun tidak” jawab mereka serentak.

”kalau mereka bukan yahudi, bukan nasrani dan bukan majusi. Agama apa dua-dua manusia itu?” tanya Imam Abu Hanifah memprovokasi.

Serentak mereka menjawab, ”mereka beragama Islamlah !!”

Sambil tersenyum, Imam Abu Hanifah menjawab, ”nampaknya kamu sendiri memberikan jawapannya”.

Mereka berpandangan sesama mereka. Pun begitu, masih tidak berpuas hati, menyebabkan salah seorang dari kalangan mereka bersuara.

”apakah kedua-dua itu ahli syurga, ataupun ahli neraka?”

Sekali lagi sambil tersenyum Imam Abu Hanifah menjawab.

”aku tidak boleh menentukan status seseseorang, sama ada dia ahli syurga atau ahli negara. Pun begitu, aku mahu berkata sepertimana berkatanya Nabi Ibrahim A.S seperti yang Allah firmankan dalam Al-Quran;

فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya;
” barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

(Surah Ibrahim : 36)

Juga aku berkata seperti berkatanya Isa A.S menerusi firman Allah dalam Al-Quran;

إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya;
”Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
(Surah Al-Maidah : 118)

Sekali lagi golongan khawarij itu berpandangan sesama mereka. Lalu mereka terus mengakui kebenaran hujjah dari Imam Abu Hanifah dan seterusnya bertaubat dan menjadi murid kepada Abu Hanifah.

Sekian

p/s : kisah ini adalah olahan dari nukilan kitab Tarikh At-Tasyri’, muka surat 275.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com




- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 mei 2009 * 2:43 pagi