ABU HANIFAH DAN HUJJAH AQLI
Dalam kedamaian kota Baghdad, Imam Abu Hanifah keletihan. Keletihan menyampaikan siri pengajian kuliah ilmu hadis yang menjadi rutin harian beliau yang dihadiri ribuan murid.
Selesai menyampaikan kuliah tersebut, Imam Abu Hanifah bersandar di salah sebuah tiang masjid Baghdad sambil mulutnya terkumat kamit berzikir. Menunggu masuknya waktu solat Fardu zohor.
Beliau tidak berehat di rumah, malah jika tidak menyampaikan kuliah pun, beliau pasti akan hadir awal ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah seperti yang dianjurkan oleh Nabi SAW.
Imam Abu Hanifah memahami hadis Nabi SAW yang berbunyi;
صَلَاةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلَاةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya;
“Solat Jemaah itu lebih afdhal berbanding solat bersendirian sebanyak 27 kali darjat”
***
“Allahu Akbar, Allahu Akbar…”
Kedengaran suara azan bergema keluar dari mihrab muazzin masjid Baghdad yang berada disebelah kanan mimbar masjid. Suara merdu muazzin masjid Baghdad itu menyebabkan hati Imam Abu Hanifah sayu, mengingatkan perjuangan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam usaha membebaskan manusia dari belenggu kejahilan.
Selesai azan dikumandangkan, Imam Abu Hanifah terus bangun untuk menunaikan solat sunat zohor Qobliyyah. Selepas menunaikan solat sunat, solat zohor secara berjemaah ditunaikan dengan beliau sendiri menjadi imam.
Selesai dari berdoa selepas menunaikan solat berjemaah itu, ramai yang bersalaman tangan dengan Imam Abu Hanifah. Tidak ketinggalan juga, mereka yang sempat berpeluk dengan beliau, dengan harapan mahu menumpang berkat. Beliau tidak menghampakan mereka, malah memberikan layanan yang baik terhadap mereka yang menghormati beliau.
Kemudiannya, beliau menunaikan solat sunat zohor Ba’diyyah pula. Selepas solat sunat, beliau berzikir ringkas dan berdoa yang nampaknya agak panjang sedikit.
Selesai berdoa, Imam Abu Hanifah mahu bangun untuk pulang kerumah; untuk berehat. Belum sempat beliau bangun, segerombolan orang-orang berfahaman Khawarij yang tinggal di Baghdad telah datang dan menghunuskan pedang mereka ke tengkok Imam Abu Hanifah.
“wahai Abu Hanifah, kami ingin bertanya kepada kamu dua persoalan. Kalau kamu memberi jawapan yang memuaskan hati kami, kami akan lepaskan kamu. Tetapi, jika kamu memberi jawapan yang tidak memuaskan hati kami, kami akan memancung kepala kamu” mereka memulakan perbicaraan dengan nada yang agak kurang ajar dan keras.
Golongan khawarij adalah golongan yang mendakwa bahawa tidak ada istilah syurga bagi orang yang berdosa besar. Pada mereka, orang yang berdosa besar adalah kafir, sepertimana kafirnya orang-orang yang menyembah berhala, lantaran itu, mereka meletakkan satu keyakinan, orang yang berdosa besar adalah ahli neraka.
Melihat kepada pedang yang terhunus, disamping suara keras yang mereka ungkapkan itu, menyebabkan sedikit gementar wujud dalam diri Imam Abu Hanifah.
Makanya, beliau berkata, ”tolong sarungkan pedang kamu itu, kerana ia menyebabkan hatiku terganggu dari menjawab soalan-soalan yang kamu mahu kemukakan nanti”
”Mana mungkin kami mahu menyarungkan pedang ini, sedangkan kami berkeyakinan bahawa kami akan mendapat pahala yang cukup besar jika kami ”menyarungkan” pedang ini ke tengkok kamu” jawab mereka degil dengan nada yang sombong.
Kebiadapan yang ditunjukkan itu, menyebabkan lahir perasaan berani dalam diri Imam Abu Hanifah. Dengan seberani pendekar, Imam Abu Hanifah bersuara, ”kalau macam tulah kehendak kamu, hunuskan pedang itu ketengkokku dan kemukakan dua soalan yang kamu mahukan itu”
Mendengar sahutan bernada berani Imam Abu Hanifah itu, maka mereka mula bertanya, ”dua orang jenazah; satunya, seorang lelaki yang minum arak lalu dia mati dalam keadaan dia mabuk. Dan satu lagi, seorang perempuan yang mengandung anak zina, lalu mati sebelum dia bertaubat. Apakah kedua-dua orang ini kafir atau muslim?”
Tujuan mereka bertanya dengan soalan ini adalah untuk mendengar jawapan Imam Abu Hanifah yang bermazhab Ahli Sunnah wa Al-Jamaah tentang status kedua-dua jenazah itu sebagai muslim, sedang perkara ini berbeda sama sekali dengan fahaman mazhab Khawarij yang beranggapan orang yang berdosa besar itu adalah kafir. Justeru, dua soalan yang ditimbulkan itu, sememangnya dengan tujuan, mereka mahu memenggal kepala Imam Abu Hanifah.
Pun begitu, mendengar soalan dari golongan khawarij itu, menyebabkan Imam Abu Hanifah bersuara.
”daripada puak manakah dua manusia itu?” soal Imam Abu Hanifah. ”apakah mereka itu dari kalangan yahudi, atau nasrani?” sambung beliau lagi.
”tidak” jawab golongan khawarij itu serentak.
”kalau begitu, sudah pasti mereka berdua dari kalangan majusi?” soal Abu Hanifah lagi.
”pun tidak” jawab mereka serentak.
”kalau mereka bukan yahudi, bukan nasrani dan bukan majusi. Agama apa dua-dua manusia itu?” tanya Imam Abu Hanifah memprovokasi.
Serentak mereka menjawab, ”mereka beragama Islamlah !!”
Sambil tersenyum, Imam Abu Hanifah menjawab, ”nampaknya kamu sendiri memberikan jawapannya”.
Mereka berpandangan sesama mereka. Pun begitu, masih tidak berpuas hati, menyebabkan salah seorang dari kalangan mereka bersuara.
”apakah kedua-dua itu ahli syurga, ataupun ahli neraka?”
Sekali lagi sambil tersenyum Imam Abu Hanifah menjawab.
”aku tidak boleh menentukan status seseseorang, sama ada dia ahli syurga atau ahli negara. Pun begitu, aku mahu berkata sepertimana berkatanya Nabi Ibrahim A.S seperti yang Allah firmankan dalam Al-Quran;
فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya;
” barangsiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barangsiapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”
(Surah Ibrahim : 36)
Juga aku berkata seperti berkatanya Isa A.S menerusi firman Allah dalam Al-Quran;
إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya;
”Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
(Surah Al-Maidah : 118)
Sekali lagi golongan khawarij itu berpandangan sesama mereka. Lalu mereka terus mengakui kebenaran hujjah dari Imam Abu Hanifah dan seterusnya bertaubat dan menjadi murid kepada Abu Hanifah.
Sekian
p/s : kisah ini adalah olahan dari nukilan kitab Tarikh At-Tasyri’, muka surat 275.
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/
ustaz_bakistani@yahoo.com
- Sri Indah (B), Sg Buloh
3 mei 2009 * 2:43 pagi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan