Sabtu, 2 Mei 2009

KONSEP TADARRUJ DALAM PERLAKSANAAN ISLAM

Walaupun bukan berkelulusan agama secara formal (ulama mee celup), tetapi Ir Nizar sendiri mampu menyampaikan ceramah agama di Masjid dan Surau dalam meneruskan agenda dakwah islamiyyah semasa menjadi menteri Besar Perak

KONSEP TADARRUJ DALAM PERLAKSANAAN ISLAM

Setelah 50 tahun lebih UMNO memerintah, banyak perkara yang melibatkan perlaksanaan Islam tidak dilaksanakan. Rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam sendiri, sudah agak tidak mengenali Islam. Semuanya berpunca islam berjaya dicandukan oleh UMNO.

Dari sisi inilah, didapati rakyat semakin hari semakin jahil tentang Islam. Bahkan, apabila sebarang perkara yang melibatkan Islam dicadangkan, maka kedengaranlah ungkapan-ungkapan tidak senang, seperti islam sesuai di zaman unta, hudud adalah zalim dan banyak lagi.

Justeru, usaha kearah perlaksanaan Islam secara menyeluruh menjadi batu penghalang. Ianya bersebab, apabila Islam yang indah itu telah didoktrinkan buruk dengan sedemikian rupa.

Penerapan Islam yang mahu dilakukan, terpaksa berhadapan dengan berbagai-bagai rintangan. Makanya, konsep tadarruj (baca : bertahap-tahap) menjadi asas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak bagi menyelesaikan persamalahan ini.

ISLAM AGAMA MUDAH

Konsep perlaksanaan Islam secara tadarruj, bukanlah sesuatu yang salah, bahkan ianya amat bersesuaian dengan kehendak Syariah Islamiyyah yang meletakkan asas bahawa agama islam adalah agama yang mudah.

Firman Allah;

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya;
”Allah mahu kemudahan terhadap kamu, dan Allah tidak mahu kesusahan terhadap kamu”

(Surah Al-Baqarah : 185)

Juga firman Allah;

يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُخَفِّفَ عَنْكُمْ وَخُلِقَ الْإِنْسَانُ ضَعِيفًا

Maksudnya;
“Allah menghendaki dimudahkan terhadap kamu dan manusia itu dicipta dalam keadaan lemah”

(Surah An-Nisa’ : 28)

Diantara kemudahan yang terkandung dalam syariah islam adalah, Allah mensyariatkan wujudnya “rukhsah” atau “keringanan” dikala wujud kepayahan dalam melaksanakan Islam.

Daripada Abdullah bin Omar, Sabda Nabi SAW;

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ أَنْ تُؤْتَى رُخَصُهُ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ تُؤْتَى مَعْصِيَتُهُ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah suka dilakukan rukhsah, sepertimana Allah benci dilakukan maksiat
[1]

Antara kemudahan yang dibenarkan dalam Islam adalah, Allah mengharuskan melakukan perkara yang haram dikala wujudnya unsur mudharat.

Firman Allah;

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah Tetapi barangsiapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

(Surah Al-Baqarah : 173)

KONSEP TADARRUJ PAKATAN RAKYAT PERAK

Antara kemudahan yang dianjurkan dalam Islam adalah, perlaksanaan secara bertahap-tahap. Hal ini boleh dilihat dipermulaan islam, yang mana arak itu diharamkan secara berperingkat-peringkat dan bertahap-tahap.

Sunnah alam telah menyatakan, semua perkara itu bermula dari sesuatu yang kecil, yang kemudiannya semakin membesar dan terus membesar. Kekuatan itu bermula dengan kelemahan. Tidak ada kekuatan itu bermula dengan kuat, bahkan semestinya bermula dengan kelemahan. Tidak ada manusia itu cerdik, melainkan mereka bermula dengan kejahilan (baca : tidak tahu).

Keadaan yang sama juga dalam perlaksanaan islam. Jika tidak mampu melaksanakannya secara sempurna dalam keadaan sekarang, tetapi perlu mempunyai usaha bagi melaksanakannya dimasa akan datang.

Dalam pemerintahan Omar Abdul Aziz, kita dapati beliau merupakan seorang khalifah islam yang baik dan berjaya. Beliau berjaya menegakkan keadilan, menyebarkan kebaikan dan sebagainya. Tetapi dalam masa yang sama, beliau sendiri tidak berjaya melaksanakan semua yang dikehendaki oleh islam, seperti menghidupkan peranan syura yang menjadi asas pemerintahan islam dan tidak berjaya mengeluarkan pemerintahan khalifah dari ruang kuasa keluarga Bani Umayyah
[2].

Pernah anak beliau bertanya tentang lambatnya beliau melaksanakan urusan pemerintahan islam ini. Mendengar soalan anaknya itu, beliau menjawab;

لا تعجل يا بني، فإن الله ذم الخمر في القرآن مرتين، وحرمها في الثالثة، وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya;
“Jangan kamu terburu-buru wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali. Dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang menanggung kebenaran secara keseluruhannya, lalu mereka menolak seluruhnya dan menimpa fitnah
[3]

Justeru, semenjak Perak berada dibawah kerajaan Pakatan Rakyat, banyak penerapan islam secara bertahap telah dilakukan. Ini dapat dibuktikan dengan kejayaan pihak kerajaan Pakatan Rakyat Perak mengadakan program di bulan Ramadhan dengan solat maghrib, solat Isya’, berbuka puasa, solat tarawih, bertazkirah, qiyamullail dan bersahur secara berjamaah di dataran majlis perbandaran Ipoh yang berada di tengah-tengah bandaraya ipoh.

Jika dahulu, dataran itu adalah temapt anak-anak muda berpeleseran, rempit, berdua-duaan dan banyak lagi. pun begitu, semenjak Pakatan Rakyat mengambil kerajaan Perak, dataran itu berjaya dijadikan tempat melakukan ibadat dan tempat mencari ilmu.

Begitujuga, kejayaan kerajaan Pakatan Rakyat Perak menyelamatkan 19 buah sekolah agama rakyat yang telah dinafikan hak mereka oleh BN.

Masjid-masjid yang di zaman Barisan Nasional dikawal sedemikian rupa, sehinggakan sebarang program-program keagamaan seperti kuliah, tazkirah dan sebagainya disekat, tetapi semenjak Pakatan Rakyat memerintah, diberikan ruang terbuka kepada para ustaz menceritakan kesyumulan islam.

Kejayaan penerapan Islam secara bertahap di Perak semakin terserlah, apabila semenjak kita memerintah, kita menegakkan konsep keadilan sejagat. Semuanya bersesuaian dengan fitrah yang di ajar dalam Al-Quran. Sehingga kini, sudah ramai orang DAP, terutama pemimpin mereka yang mampu membaca Al-Quran. Seperti mereka mampu membaca surah Al-hujurat ayat 13

Apabila diadakan sebarang program yang berkaitan dengan Islam kehadiran ke program-program tersebut, tidak sekadar dari kalangan orang melayu sahaja, bahkan kehadirannya sudah menggambarkan bertapa Islam adalah sebuah agama sejagat, bersesuaian untuk semua kaum dan bangsa.

Lebih mengharukan lagi, semenjak Pakatan Rakyat memerintah, pimpinan DAP sudah boleh bertahlil bersama orang-orang islam dalam masjid, bahkan sudah ada dari kalangan mereka yang memakai baju melayu dalam majlis-majlis keramaian.

PENUTUP

Walaupun dalam jangka masa yang terlalu singkat, kami telah membuktikan kejayaan dalam memberikan keuntungan kepada Islam itu sendiri. Dengan sebab itu, kami berkeyakinan, di suatu masa nanti, jika kami diberikan mandat memerintah di perak, berbekalkan konsep tadarruj, pasti akan melahirkan kejayaan Islam yang lebih gemilang lagi.

Kami terlalu optimis, jika perkara ini berjaya diteruskan, tidak mustahil, di suatu masa nanti, negeri kami akan menjadi negeri Islam yang paling unik di Malaysia. Ini kerana bilangan rakyat kami adalah 48 peratus bukan mereka yang berbangsa melayu dan beragama Islam. keadaan ini tidak sama di negeri-negeri lain, seperti negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sekian

p/s : article ini adalah olahan dan penambahan dari kandungan ceramah Ir Nizar

Wallahu ‘Alam




[1] Musnad Ahmad : 5600. dalam kitab Sahih At-Targhib wa at-tarhib karangan Albani, beliau menyatakan hadis ini adalah hasan sahih. : 1059.
[2] Fatawa Muasarah : 3/432
[3] Al-Muwafaqat : 2/148

Jumaat, 1 Mei 2009

PAS PERMATANG PAUH MAHU TANDING DI DUN PENANTI??

PAS PERMATANG PAUH MAHU TANDING DI DUN PENANTI??

Mstar melaporkan;

“PETALING JAYA: PAS Permatang Pauh tetap dengan pendirian mahu meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti walaupun hasrat tersebut terus ditolak oleh kepimpinan pusat parti itu”

Juga;

“Selain pendirian PAS Permatang Pauh, sebelum ini Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Mohd Nordin berkata, Pemuda PAS mahu PKR memberikan kerusi itu kepada PAS bertanding memandangkan prestasi Fairus sebelum ini tidak memuaskan
[1]

Dalam Utusan meloya pula melaporkan;

“Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas sengaja mewujudkan konflik kononnya berlaku pergeseran, seolah-olah memberi peluang kepada BN untuk meraih kemenangan
[2]

KOMEN;

Antara dua berita ini. seakan-akan, berlaku sesuatu yang tidak kena.

Jika dilihat pada analisa Prof. Dr. Muhammad Mustafa ishak, beliau berpendapat berita desakan PAS mahu bertanding dalam PRK di Penanti ini sebagai ”gimik”.

Tidak diketahui sejauh manakah kebenaran analisa Prof. Dr Mohammad itu. Pun begitu, jika diandaikan benarnya berita, kononnya PAS Permatang Pauh mendesak mahu bertanding di kerusi Penanti, sedangkan itu merupakan kerusi PKR. Makanya tindakan itu merupakan tindakan yang tidak cerdik, malah bercanggah dengan konsep Sunnah nabi SAW.

Jika dirujuk kepada cara kaedah Nabi SAW dalam berperang. Nabi SAW menggunakan dua pilihan sebelum melancarkan sesuatu serangan. Sama ada mahu mengambil jalan ”diplomasi”, atau jalan ”serang”.

Sekiranya diambil jalan ”serang”, maka diplomasi tidak akan digunakan melainkan dalam keadaan tertentu sahaja.

Pun begitu, apabila Nabi SAW sudah memutuskan menggunakan jalan ”diplomasi”. Dalam keadaan apa pun, Nabi SAW akan mematuhi segala syarat-syarat diplomasi, tanpa mengkhianati perjanjian diplomasi yang dimentrai bersama.

Ekoran dari itulah, kita akan dapati, dalam apa jenis diplomasi yang dilakukan oleh Nabi SAW, tidak pernah pengkhianatan itu bermula dari pihak Islam, bahkan semuanya bermula dari pihak musuh.

Jelasnya, kaedah Nabi SAW dalam berperang. Nabi SAW memastikan terlebih dahulu, antara Kawan dan lawan. Apabila diplomasi di lakukan, maka ianya adalah kawan. Apabila diplomasi tidak mahu digunakan, maka konsep lawan yang digunakan oleh Nabi SAW.

Apabila Nabi SAW sudah menggunakan ”diplomasi”, Nabi SAW tidak akan mengkhianati segala terma syarat dalam sesuatu perjanjian yang telah dibuat; yang melahirkan diplomasi. Pun begitu, jika Nabi SAW mendapat tahu bahawa pihak musuh mahu melakukan sebarang pengkhianatan terhadap perjanjian ”diplomasi”, Nabi SAW tidak terus menyerang, tetapi akan bertindak menghantar wakil berjumpa dengan pihak yang berdiplomasi agar diberikan nasihat supaya tidak mengkhianati perjanjian tersebut.

Keadaan ini berlaku dalam peperangan Ahzab. Dalam peperangan tersebut, didapati nabi SAW telah mengadakan diplomasi dengan Yahudi Bani Quraizah untuk sama-sama menyerang tentera Ahzab.

Ketika hampir kepada berlakunya peperangan, didapati Huyay bin Al-Akhtab yang merupakan Ketua Yahudi Bani Nadhir telah datang berjumpa dengan Kaab bin Al-Asyraf yang merupakan ketua kabilah Yahudi Bani Quraizah.

Pertemuan itu berlaku, dengan tujuan memujuk Kaab agar membatalkan perjanjian diplomasi dengan Nabi SAW, dan seterusnya yahudi Bani Nadhir dan Yahudi Bani Quraizah berganding bahu menyerang kerajaan islam Madinah pimpinan Nabi SAW.

Kaab bin Al-Asyraf termakan dengan pujukan Huyay. Berita itu, sampai kepada pengetahuan Nabi SAW.

Mengetahui keadaan yang berlaku, Nabi SAW telah menghantar dua orang sahabat yang bernama Sa’ad bin Mu’az dan Sa’az bin Ubbadah agar menyiasat kesahihan berita tersebut.

Sekiranya didapati benar Kaab sudah mahu memutuskan perjanjian diplomasi dengan tentera Islam, Baginda SAW menyuruh kepada dua orang sahabat tersebut, agar memujuk Kaab bin Al-’Asyraf tidak memutuskan perjanjian diplomasi yang telah dilakukan.

Jelas dari kisah ini, kita dapat lihat bahawa, sebarang tindakan yang menampakkan kecacatan dalam perjanjian, akan diusakan sendiri oleh Nabi SAW agar tidak dirosakan. Kerosakan perjanjian itu, sama ada dari pihak Nabi SAW sendiri, malahan Nabi akan berusaha menyelamatkan perjanjian, sekiranya pihak yang berdiplomasi mahu mengkhianati perjanjian.

Keadaan ini tidak sama seperti yang berlaku pada PAS Permatang pauh menerusi berita hari ini; yang menyatakan bahawa mereka tetap mendesak agar mahu bertanding di kerusi DUN Penanti, sedangkan mengikut perjanjiannya, kerusi tersebut adalah kepunyaan PKR.

Apa yang ingin dinyatakan, tindakan ini menyalahi dengan konsep sunnah Nabi SAW dalam berdiplomasi; yang selayaknya kita pelajari.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
2 mei 2009 * 6:36 pagi

[1] http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/5/1/mstar_berita/20090501170921&sec=mstar_berita
[2]http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_06.htm
dialog adalah cara yang terbaik untuk dakwah islamiyyah....

ISLAM ITU, MAHUNYA APA PAK???

Sepenting hari ini, kehidupanku dihabiskan di kawasan Petaling Jaya. Dijadulkan berkhutbah jumaat di Masjid Dato Haji kamaruddin, seterusnya “pelahap” di Universiti Malaya, dan terus ke salah sebuah gereja di Petaling Jaya kerana menghadiri satu wacana ilmu tentang kerajaan pakatan rakyat.

Dalam perjalanan ke masjid, aku di telefon oleh salah seorang YB PAS; Ahli parlimen dari negeri selangor (mungkin tidak perlu disebut nama, melainkan ditanya). Bertanya tentang satu hadis Nabi SAW berkenaan dengan kedudukan non muslim dalam kerajaan Islam.

Setelah menjawab kedudukan hadis tersebut, juga berbicara tentang beberapa isu menerusi telefon dengan Ahli Parlimen tersebut. Beliau bertanya.

“anta di mana??” soalnya….

“Di UM, PJ” jawabku ringkas…

“ana ada program di salah sebuah gereja di PJ, datanglah sama” jemputnya…

“menarik tu… apa-apa hal, ana telefon balik tuan haji” jawabku teruja dengan keberanian seorang YB PAS berstatus Profesional, yang bersedia berhujjah tentang Islam dihadapan penganut kristian.

Selepas menunaikan solat jumaat, bersama seorang “anak buah”, kami terus pergi makan di UM. Setelah selesai “pelahap”, kami terus ke Gereja tersebut untuk mendengar hujjah-hujjah Islam yang akan diperdebatkan dalam rumah ibadat bukan agama Islam.

Aku seorang sahaja berpakaian jubah. ”Anak buah” aku pula, berbaju melayu. Yang lainnya pula, berpakaian biasa, walaupun ada yang tidak menutup aurat, dan ada yang menutup aurat.

Kami disambut dengan senyuman ”sang penyambut tetamu” yang berbangsa india. Kami membalas senyuman tersebut.

Kami mengambil tempat, dan mendengar hujjah-hujjah yang disampaikan oleh ahli penal-ahli penal yang hadir, termasuk YB PAS tersebut.

Aku agak kurang memahami Bahasa Inggeris, tetapi kehadiran ”anak buah” yang aku bawa bersama itu sedikit sebanyak memahamkan aku isi kandungan wacana tersebut.

Mendengar hujjah dari YB PAS yang merupakan salah seorang Ahli Penal itu, aku merasa bangga sebagai ahli PAS. Ini kerana, Islam yang disifatkan ”For All” ternyata telah berjaya di ”for All”kan di seluruh tempat, termasuk gereja.

Walaupun YB tersebut bukan orang yang berkelulusan agama secara formal, bahkan pendidikan agamanya boleh diistilahkan oleh ustaz Nik Abduh Sebagai ”ulama mee celup”, ternyata dalam berhujjah di hadapan hadirin dan hadirat beragama kristian, hujjahnya berjaya diterima, sehinggakan boleh dikatakan semua hadirin dan hadirat bertepuk tangan, tanda bersetuju dengan hujjah Islam tentang konsep hak menurut islam yang dikemukakan.

BANGSAR

Waktu asar sudah masuk. Aku terpaksa mengundur diri dari gereja. Kami terus naik kereta menuju ke masjid, menunaikan solat berjemaah di masjid bulat, Petaling Jaya.

Selesai solat di tunaikan, cadangan awalnya hendak pergi ke digital mall, PJ. Sebelum sampai, aku di telefon oleh salah seorang kawan rapat.

”Ya Syaikh !! anta di mana??” tanya ikmal (namanya berkebetulan) dengan suaranya yang mesra “alam”.

“ana di PJ la syaikh” balasku dengan suara “manja”.. heheh

“ana di Bangsar ini. Datanglah kat sini. Kita berwacana” jemputnya...

“bestnya tu... ok ana pergi sekarang” jawabku ringkas.

Aku terus membatalkan hasrat menuju ke Digital Mall, bahkan terus ke Bangsar untuk menghadiri satu wacana ilmu.

WACANA

Dalam wacana itu, banyak perkara yang dibincangkan. Aku amat tertarik, apabila konsep keadilan menjadi bahan bicara yang agak “panas”. Aku secara peribadi, baru sahaja mengkhatamkan kitab “Al-muwafaqat”, mengemukakan konsep “maslahah” dan “Mafsadah” yang aku fahami menerusi tulisan As-Syatibi itu.

Dengan kehadiran kawan-kawan yang lain, mereka juga mengemukakan pandangan plato dan socrates dan beberapa pandangan tokoh-tokoh yang lain tentang konsep keadilan, menyebabkan wacana kami itu menjadi agak meriah dan lebih menarik.

Kami mendapat beberapa titik kesamaan, disamping tidak menafikan wujud beberapa persoalan-persoalan yang perlu difikirkan untuk dicari jawapannya lagi. Walaubagaimanapun, wacana itu menarik dan cukup memberikanku input-input yang baru.

Cumanya, setelah selesai wacana. Dalam perjalanan pulang, aku berfikir banyak perkara. Isu politik semasa, isu parti, jemaah, isu ekonomi, kerajaan perpaduan dan berbagai-bagai lagi. Apabila hampir sampai di rumah, semua yang aku fikirkan itu melahirkan satu persoalan yang aku menganggap ianya penting untuk difikirkan. Iaitu, Islam itu, mahunya apa pak?? Mungkin, ianya akan di ulas dalam artikle yang akan datang..

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
1 mei 2009 * 10:15 malam

Khamis, 30 April 2009

JANGAN CANDUKAN AGAMA !!

JANGAN CANDUKAN AGAMA !!

Aku sedang menelaah buku “pengalaman bertuhan”. Buku itu memuatkan beberapa article kisah manusia yang sedang mencari tuhan. Menarik juga dengan tulisan-tulisan yang mengisahkan perjalanan hidup manusia yang berbeza agama, beraneka ragam dan cara berfikir.

Sambil menelaah, aku berdiskusi dengan sebilangan kawan berkenaan kehidupan mencari tuhan ini. Sedang berdiskusi, terlintas di hati ini ingin berbual; berwacana secara ilmu dengan beberapa tokoh yang aku kenali, bagi mengetahui asas perjuangan mereka.

Aku menghantar sms kepada salah seorang tokoh intelek yang bukan dari PAS, bahkan beridealogi sosialis, menyatakan hasrat ingin berdialog, berwacana dalam isu idealogi perjuangan beliau. Beliau terus menelefonku, dan menyatakan kesediaan dengan begitu gembira sekali.

Kami mengatur pertemuan di salah sebuah kedai makan di Kota Damansara.

Kami berbual panjang. Memakan masa, hampir 2 jam. Banyak perbincangan yang dibicarakan. Tidak ada tajuk yang tetap, tetapi yang pastinya berkisar tentang ”ideologi sosialis” yang diperjuangkan.

Menarik juga dengan ulasan beliau. Walaupun beliau seorang pendokong fahaman karl Marx, Aku seakan-akan merasa, aku bukan berbual dengan seorang tokoh luar dari kebiasaan, tetapi seperti berbual-bual dengan tokoh-tokoh Islam yang lain.

Kalimah ”Alhamdulillah”, ”astaghfirullah” dan ”masya Allah”, menjadi lintasan lidah beliau tanpa berfikir, mahupun berat. Pada anggapanku, sebutan kalimah-kalimah tersebut, bukan ”buat-buat”, tetapi ianya pasti kebiasaan beliau.

KARL MARX

Sebelum ini, aku sudah mengkhatamkan sebuah buku yang bertajuk ”Muhammad SAW dan Karl Marx” karangan seorang penulis dari Indonesia. Munir Che Anam namanya.

Dalam tulisan tersebut, amat menarik apabila dibandingkan tentang masyarakat tanpa kelas mengikut konsep pemikiran akal Karl Marx dengan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Justeru, semasa berbual dengan tokoh intelek yang berfahaman sosialis, isu Karl Marx ini dijadikan bicara asas. Lebih-lebih lagi, karl marx adalah tokoh utama pemikiran sosialis ini.

Aku bertanya, kenapa Karl marx mengasaskan pemikiran sebegini? Beliau menyatakan, ianya berpunca dari keadaan yang dilihat sendiri oleh karl Marx yang ketika itu berhadapan dengan pihak paderi yang menjadikan agama sebagai bahan mencari kekayaan, disamping menindas golongan miskin.

Golongan paderi ketika itu, menjanjikan syurga kepada orang miskin, tetapi kemiskinan mereka tetap tidak diselesaikan juga.

Rentetan keadaan itulah, menyebabkan Karl Marx menyebut bahawa agama itu adalah candu.

Beliau mengulas juga isu ini dari sudut Islam. Beliau menyebut, ada sebilangan ulama-ulama Islam yang berfikiran sedemikian, tanpa menafikan wujud ulama-ulama Islam yang ikhlas.

Beliau menukilkan maksud Firman Allah yang menyebut tentang golongan agamawan yang menjual agama mereka dengan harga yang murah, semata-mata mencari habuan keuntungan di dunia.

Aku mengangguk, membenarkan apa yang beliau ungkapkan. Kerana, sudah pasti yang dimaksudkan itu adalah firman Allah dari surah Al-Baqarah ayat 174, yang mana Allah menyebut ;

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا

Maksudnya;
“Sesungguhnya mereka yang menyembunyikan kebenaran yang Allah turunkan daripada Kitab dan mereka menjualnya dengan harga yang murah”

(Surah Al-Baqarah : 174)

Beliau mengungkap kisah, bagaimana kemasukan pihak penjajah ke Negara Mesir. Penjajah diberi ruang masuk, walaupun tidak persetujuai oleh rakyat bawahan. Apabila ditanya kepada para ulama, mengapa mereka tidak bersuara, bangun membangkitkan suara rakyat untuk melawan penjajah. Setelah ditanya, jawapan para ulama ketika itu adalah ”menjaga periuk nasi”.

Justeru, inilah pemikiran golongan agamawan telah berjaya mencandukan agama mereka sendiri demi kepentingan diri mereka sendiri.

Aku tidak menafikan, apa yang disebut, bahkan aku membenarkan ungkapan beliau itu. Padaku, apa yang diungkapkan adalah benar, tidak ada apa yang wajar dinafikan.

PENUTUP

Padaku, setelah mendengar segala ulasan-ulasan beliau. Aku berpandangan, bahawa jika hendak disalahkan kepada karl Marx sahaja dengan ungkapan beliau itu. Padaku, itu adalah satu tindakan yang silap.

Sebagai manusia yang memberontak dalam mencari kebenaran, sudah pasti tindakan paderi-paderi itu menyebabkan Karl Marx berfikiran sedemikian.

Kemungkinan Karl Marx tidak berjumpa buku-buku yang bercerita tentang nabi Muhammad SAW. Jika beliau berjumpa, aku berkeyakinan, ungkapan « agama adalah candu » sudah pasti tidak akan terpancul dari mulut karl marx ketika itu.

Jelasnya, Karl Marx adalah manusia memberontak. Tidak hairan, beliau sanggup mengeluarkan kalimah « Agama adalah candu ».

Harapannya, janganlah perkara yang sama, berlaku dalam agama Islam yang kita cintai ini…

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 april 2009 * 5:18 petang

Rabu, 29 April 2009

BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN SEJAGAT

BERSAMA MENEGAKKAN KEADILAN SEJAGAT

Firman Allah;

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan”

(Surah An-Nahl : 90)

Semua manusia mahukan keadilan. Keadilan merupakan kehendak fitrah manusia. Jika dihayati, Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri merupakan ajaran yang disebut sebagai ”way Of Life” yang sudah pasti merujuk kepada kehendak fitrah.

Sedihnya, fitrah yang wujud dalam Al-Quran dan As-Sunnah itu telah dilarang dari dihayati manusia, bahkan dihina sedemikian rupa. Justeru, penerangan tentang fitrah Islam perlu dilakukan.

Ayat dari surah An-Nahl ini, jika direnungi secara mendalam, kita akan dapati bahawa ianya menyeru manusia kepada keadilan yang merupakan asas fitrah kemanusiaan.

Ekoran dari itulah, tidak hairan, apabila membaca ayat ini, Abdullah bin Mas’ud melakukan komentar dengan menyebut;

إن أجمع آية في القرآن لخير وشر هذه الآية

Maksudnya;
“Sesungguhnya ayat yang paling konprehensif dalam Al-Quran berkenaan dengan kebaikan dan kejahatan adalah ayat ini
[1]

Sesungguhnya keadilan yang sebenar adalah keadilan dalam berinteraksi dengan fitrah manusia. Panduan yang terbaik dalam mengawal agar manusia itu sentiasa berlaku adil adalah Al-Quran dan As-Sunnah, ini kerana, Al-Quran dan As-Sunnah wujud bukan dari pemikiran manusia, tetapi datang dari tuhan yang mencipta manusia.

Al-Quran itu sendiri, jika dikaji secara mendalam, pasti kita akan berjumpa bahawa ia menyeru kepada keadilan yang merupakan kehendak fitrah manusia. Apabila mereka menolak Al-Quran, bermakna mereka telah menolak kehendak fitrah, yang sudah pasti tindakan mereka itu merujuk kepada sentimen, jumud dan hawa nafsu yang sentiasa bercanggah dengan Wahyu Ilahi.

PAKATAN RAKYAT KE ARAH KEADILAN SEJAGAT

Pemerintahan Pakatan Rakyat di Perak, telah menyebabkan kita bertindak memperjuangkan keadilan yang berasaskan kepada fitrah kemanusiaan ini. sebarang keputusan yang kami lakukan, semuanya merujuk kepada mesyuarat yang tidak dibataskan kepada exco-exco kerajaan yang berbangsa melayu sahaja, bahkan menjangkaui berbilang kaum; Cina dan India. Iaitu, terdiri dari 6 orang exco dari parti DAP, 3 orang exco dari parti PKR dan seorang exco dari PAS tidak termasuk Menteri Besar.

Prinsip keadilan sejagat yang diperjuangkan, benar-benar meletakkan Islam sebagai asas. Yang lebih membanggakan, apabila segala keputusan yang dilakukan itu mendapat penghormatan tinggi dari kalangan sahabat-sahabat dari parti DAP dan PKR.

Atas keadilan sejagat inilah, Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, memberikan kebajikan kepada rakyat mengikut kadar kemampuan yang ada.

Ekoran dari itulah, di awal Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, pihak kerajaan telah memberi keampunan dengan menghapuskan segala saman dan notis bagi kesalahan yang dilakukan sehingga tidak berkait dengan pihak mahkamah kepada mereka yang dikenakan saman atau notis kompaun untuk apa sahaja salah laku; parking kereta, penjajaan di 15 tempat pihak berkuasa tempatan.

Begitujuga, di Perak, terdapat lebih 5000 keluarga miskin tegar. Pendapatan mereka kurang dari RM 450 sebulan. Ketika PR mengambil alih kerajaan, ketika itu harga minyak naik mendadak, yang mengakibatkan harga barang keperluan harian seperti gula, beras dan sebagainya naik secara mendadak juga.

Ekoran itu, bagi meringankan beban tersebut, dalam keadaan kerajaan negeri mempunyai kemampuan kewangan yang amat terbatas, tetapi tetap juga cuba memberi bantuan kepada rakyat dengan mengeluarkan bantuan kewangan kepada rakyat sebanyak RM 1 juta.

Disamping itu juga, Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak memberikan air percuma bagi pengunaan air yang pertama 20 meter kiub kepada sebanyak 19 ribu keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan kurang dari RM 700.

PAKATAN RAKYAT DICEMBURUI MUSUH

Kejayaan pihak kerajaan Pakatan Rakyat menjaga hak rakyat mengikut konsep keadilan sejagat ini, menyebabkan pihak UMNO/BN merasa cemburu.

Makanya mereka bertindak berbagai-bagai cara untuk menjatuhkan kerajaan pakatan Rakyat di Perak. Juga, tidak ketinggalan merosakan reputasi kerajaan dengan berbagai-bagai lebel dan istilah.

Memandangkan Perak merupakan negeri yang paling banyak kampung baru, iaitu sebanyak 134 kampung baru, 80 % penghuni kampung baru adalah kaum cina. Mereka tinggal di situ hampir 60 tahun, tetapi tidak berikan hak milik kekal.

Makanya, dengan konsep keadilan sejagat, selepas Pakatan Rakyat memerintah di Perak, diberikan kepada mereka hak pegangan bebas dengan membayar kadar yang lebih tinggi dari kadar harga tanah pajakan selama 99 tahun untuk mendapat hak pegangan bebas (baca : Free hold).

Begitujuga, pihak kerajaan telah memberi ruang kepada rakyat perak yang duduk di kampung tersusun, yang duduk di kampung baru, yang duduk di kampung adat asli dengan mendapat ”free hold” (baca : pegangan bebas).

Konsep keadilan yang diperjuangkan ini, mendapat tempat di hati-hati rakyat perak, menyebabkan sebilangan besar rakyat perak mula menerima Pakatan rakyat sebagai parti yang di dokong oleh mereka.

Keadaan ini menyebabkan UMNO/BN cemburu, sehingga sampai satu tahap, walaupun konsep keadilan sejagat yang diperjuangkan, tetapi mereka sanggup melebelkan MB Perak sebagai Boneka DAP.

Mereka mendakwa bahawa MB Perak telah ”menjual” hak melayu kepada cina, sedangkan di masa mereka memerintah Perak, UMNO/BN telah menggadaikan tanah sebanyak 1300 ekar tanah bagi kepada MCA di kampar, untuk dibina sebuah universiti; iaitu Kolej tengku Abdur Rahman.

Begitujuga, mereka gadai 22 ribu ekar tanah kerajaan dengan diberikan kepada syarikat yang bukan bumiputra di lekir manjung. Bahkan, 4 hari sebelum pilihanraya umum. Mantan Menteri Besar Perak, Tajol Rosli dan mantan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi telah pergi ke Bikam ataupun konstrim perak, memberikan hampir 12 ribu ekar tanah kepada petani-petani bukan islam di sana.

Menganehkan lagi, Perak adalah negeri yang paling banyak SUWA, iaitu sekolah persendirian menengah cina yang tidak ada bantuan kerajaan. Di perak SUWA ini ada 9 buah. Setiap tahun, Mantan MB memberi bantuan kepada setiap SUWA sebanyak RM 30 ribu.

Menyedihkan, bantuan yang sama tidak pernah diberikan kepada sekolah agama rakyat. Justeru, setelah Pakatan Rakyat mengambil kerajaan, secara bersama antara PAS, PKR dan DAP, pihak kerajaan pakatan Rakyat telah meluluskan 1.3 juta untuk sekolah agama rakyat.

Tidak sekadar itu sahaja, Kerajaan Pakatan Rakyat telah memberikan 6 ribu ekar tanah untuk kolej Islam Perak, sedangkan keadaan ini tidak pernah berlaku di zaman UMNO/BN menguasai kerajaan dahulu.

PENUTUP

Kejayaan Pakatan Rakyat di Perak adalah sesuatu kejayaan yang tidak boleh dinafikan lagi. Jika wujud penafian yang dilakukan oleh UMNO/BN, itu sekadar menutup malu mereka yang dipenuhi dengan berbagai kebobrokan dalam pemerintahan dahulu.

Kejayaan yang diperjuangkan ini, hakikatnya berpegang dengan konsep islam yang tersebut dalam Al-Quran, surah Al-Nahl ayat 90.

Sekian

p/s : artikle ini olahan dari kandungan ceramah Ir Nizar.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com


- Sri Indah (B), Sg Buloh
30 april 2009 * 1:59 tengahari



[1] At-Tafsir Al-Kabir : 9/451.

PANDANGAN BERNAS DARI RUANGAN KOMEN


PANDANGAN BERNAS DARI RUANGAN KOMEN

Ini antara komen-komen yang bernas dari sidang pembaca. Mungkin, pandangan ini dapat membuatkan kita berfikir tentang apa yang perlu kita lakukan demi kemenangan islam di masa akan datang.

***

Assalamualaikum wbt,
Sekadar memberikan sedikit pandangan.

Saya melihat akibat dari penerapan sistem pendidikan sekular, maka wujud 2 kelompok yang sangat berbeza, secara mudahnya boleh disebut sebagai golongan profesional dan golongan agama. Sampai wujud keadaan dimana sesetengah pihak berpandangan pemerintah mesti dari golongan professional dan ada juga yang merasakan mesti dari golongan ulama.Pemisahan ini sampai mewujudkan profesional yang dangkal pengetahuan agamanya, akhirnya menjadi manusia yang lemas dalam lautan kapitalisme. Dan masa yang sama, golongan agama pula sangat umum pengetahun semasa dan tidak dinamik.

Pada saya, ini adalah kesan dari sekularisme. Walhal berabad lamanya Islam tertegak, para khalifahnya adalah orang yang faham persoalan politik dengan jelas, professional cara kerjanya dan mendalam ilmu agamanya.

Dan inilah suasana dalam kehidupan Islam. Suasana ini pudar apabila sekularisme diterapkan dan universiti2 tidak lagi mengajar Islam secara talaqi, tetapi mengikut sistem silibus. Dan Islam hanya diajar sebatas fikrah tanpa menekankan aspek perlaksanaan(thariqah).

InsyaAllah, dengan penerapan kembali sistem Islam, apa pun bidang yang kita ikuti, kita mampu menjadi individu yang faqih fiddin dan tinggi etika profesionalisme, malahan lebih hebat dari cerdik pandai yang ada sekarang, amin.

Salam perjuangan

Selasa, 28 April 2009

KALAU UMNO BUAT KEPIMPINAN ULAMA???

KALAU UMNO BUAT KEPIMPINAN ULAMA???

Di awal pemerintahan Pak Lah menjadi PM, islam Hadhari di masyhurkan sehingga Terengganu yang berada di bawah pemerintahan PAS berjaya dirampas balik oleh UMNO, juga Kelantan terlalu hampir untuk bertukar tangan.

Ketika itu, ramai pengkaji-pengkaji beranggapan, istilah Islam yang digunakan oleh Pak lah, disamping imej ”Mr Clean” yang dimainkan media, juga faktor Pak Lah Cucu Tok Guru Haji Fahim ternyata berjaya memporak perandakan PAS.

Kini, setelah aku membaca istilah ”kepimpinan ulama” yang dimainkan, kadangkala aku terfikir sesuatu. Aku terfikir, kalau satu masa nanti, UMNO mengambil sikap untuk melantik Ustaz Nakhoi sebagai Presiden UMNO, Ustaz Firdaus sebagai Ketua Pemudanya dan Dr Mashitah sebagai Ketua Wanita.

Dan ketika itu, Ustaz Nakhoie melancarkan bentuk kepimpinan baru yang dinamakan sebagai Kepimpinan Ulama.

Padaku, semua itu tidak mustahil. Sebab, sebelum naiknya Pak Lah Badawi pun, tiada siapa yang menyangka UMNO yang syirik itu mahu menggunakan ”islam Hadhari” sebagai moto menarik pengaruh mereka.

Aku befikir lagi, jika UMNO menggunakan ”kepimpinan Ulama”, apakah yang PAS patut lakukan ketika itu???

Jika mahu menyatakan, UMNO sedang buat ”wayang kulit” dengan istilah tersebut, dirasakan rakyat agak kurang boleh menerima dengan apa yang nyatakan, kerana ternyata Presiden UMNO ketika itu adalah orang yang berkelulusan dalam bidang agama.

Aku berfikir lagi cara untuk menghadapi keadaan itu. tapi tidak berjumpa juga jawapan yang konkrit.

Fikir punya fikir, aku teringat kaedah mantiq menyebut;

”Ta’rif yang kuat adalah ta’rif yang jami’ dan Mani’”

Jins, Nau’ dan Fasl perlu letakkan pada tempatnya. Jangan jins diletakkan pada tempat Nau’, atau Nau’ diletakkan pada tempat Fasl. Atau, Fasl diletakkan pada tempat Nau’ dan Jins dan seterusnya.

Padaku, kepimpinan ulama adalah seperti kita meletakkan Fasl pada tempat Jins, yang sudah pasti ianya tidak konkrit.

Sekian

p/s : biarkan istilah Jins, Nau’ dan Fasl difahami oleh orang yang memahami sahaja. Kepada mereka yang tidak memahaminya, harap maaf. Sengaja tidak diterjemahkan dan ditafsilkan, kerana ianya untuk mereka yang bergelar ulama sahaja.

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com/

ustaz_bakistani@yahoo.com



- Sri Indah (B), Sg Buloh
29 april 2009 * 1:25 petang